"Jom, beryani kambing", sapa saya kepada Rosli yang sedang menuju ke tempat wudhuk di surau syarikat. "Wow apahal?" respon darinya.
"Hari ni kan hari Jumaat, penghulu segala hari, hari yang istimewa," mencelah Nazri selamba. "Ya betul tu, hari yang istimewa, jadi kenalah kita meraikannya", nasi tambah dari saya pula. Rosli tersenyum kambing tanda setuju. Saya dan Nazri meneruskan langkah ke kereta Nazri untuk ke Masjid Muadz Bin Jabal bagi solat Jumaat merangkap makan tengahari nasi beryani kambing di gerai depan pagar masjid.
Sekembali dari solat itu, saya singgah untuk minum di kantin. Sekali lagi terserempak dengan Rosli. Beliau ialah pegawai di bahagian legal syarikat. Dulunya bekerja di syarikat guaman. Orangnya mudah tersenyum dan cepat mesra walaupun dengan orang yang baru dikenalinya. Perwatakannya zuhud dan sangat sederhana. Ahli surau syarikat yang setia setiap solat zohor dan asar berjemaah. "Jom minum", sapa saya sambil mengambil beberapa biji kueh. Rosli yang telan memesan teh ais dari makcik kantin pula membalas, "Eh makan lagi?"
"Makan je selagi mana Allah memberi kita nikmat makan ni", kata saya. Rosli tersenyum kambing hingga menyerlahkan janggutnya yang memang ala-ala janggut kambing tu. Teh ais yang dipesannya sudah berada di tangan dan dia bertanya saya, "Nak duduk kat luar ke dalam?" Saya menjawab, "Kat dalam la, selagi Allah bagi nikmat aircond ni, kita nikmati je lah." Rosli senyum kambing lagi. Suasana dalam kantin yang dipanggil Kak Midah Cafe itu memang dilengkapi dengan kemudahan hawa dingin, berbanding dengan tempat yg di sebelah luar sana yang di lengkapi kipas syiling yg sentiasa menjadi pot untuk para perokok tegar.
Kami memilih meja yang terletak di bahagian tengah. Saya mengeluarkan sekeping risalah kecil yang di ambil dari Masjid Muadz Bin Jabal tadi dan bertanya kepada Rosli, "Hang kenal tak Ustaz ni?" Poster kecil yang difotostat itu ialah perihal sebuah wacana ilmu bersama ulamak masyhur nusantara Al Fadhil Sheikh Nuruddin Marbu Al Banjarin Al Makiki 6 Mei 2011 Jumaat lepas solat maghrib di Masjid Muadz Bin Jabal. Air muka Rosli terus berubah. Ada nur kasih bercahaya di matanya. Dia menjadi bersemangat. Katanya, "Ya aku mengenali tokoh ulamak hebat ini."
"Dia selalu mengajar kitab di Masjid USJ Taipan", katanya. "Aku adalah salah seorang anak muridnya." Rosli memberitahu bahawa Syeikh Nuruddin adalah ahli ilmu dan pakar hadis yang tersohor. Berasal dari Banjar Masin Indonesia dari keluarga Ulamak besar. Menuntut ilmu di Mekah selama 8 tahun dan di Mesir selama 7 tahun dengan memperoleh BA Kuliah Syariah dan Diploma am "Dirasyat Ulya". Semasa di Mesir beliau telah mengadakan halaqah pengajian ilmu yang diberi nama "Tafaqquh Fi al-Din" untuk pelajar Nusantara. Pengajian ini telah berjalan mencecah 20 tahun sehingga beliau digelar sebagai "Al-Azhar al-Thani". Pada tahun 2004 beliau menubuhkan pondok yang diberi nama Ma'ahad Az-Zain Al-Makki Al-A'li Littafaqquh Fiddein, Bogor Jawa Barat. Dan kini dalam rangka menubuhkan sebuah lagi pondok di Bukit Pinang, Kedah yang diberi nama Ma'ahad Nuruddin Li Tarbiah Wa I'dad al-Ulama' Wa al-Du'ah. Syeikh Nuruddin juga telah mengarang dan mentahqiq lebih dari 50 buah kitab. Hebat tokoh ini.
Saya agak terkedu sekaligus bersyukur kerana Syeikh Nuruddin akan berkunjung ke Masjid di khariah saya pada hari minggu ini dalam majlis Qiamullail Perdana dan Majlis Tafaqquh Fiddin.
***
Alhamdulillah saya dan isteri telah menyertai Qiamullail pada pagi tadi bermula 4 pagi dengan ibadah solat sunat tahajjud berjamaah 8 rakaat dan solat sunat taubah berjamaah 2 rakaat, disudahi dengan solat sunat witir. Solat ini bimbingan imam jemputan dari rombongan Sheikh Nuruddin. Ruang solat masjid dipenuhi oleh para jemaah dari jauh dan dekat yang pada congakan saya sekitar 600 orang. Sungguh shahdu melihat saf yang memenuhi ruang masjid umpama solat Jumaat pula, tapi pada kesamaran cahaya lampu yang dipasang terhad. Bertahajjud bersujud di hadapan Allah, berzikir, dan berdoa memohon keredhaan dan keampunan-Nya.
Azan subuh dilaungkan oleh Muazzin tepat jam 5:43 pagi. Selesai solat subuh berjamaah, Nazir masjid Ustaz Abu Bakar Yan pun memulakan majlis dengan mengalu-alukan kehadiran para jamaah sekelian dan mengingatkan agar semua menghormati adab2 dalam majlis ilmu bersama Syeikh Nuruddin yang memang terkenal sebagai seorang guru yang begitu mengambil kira tentang adab tertib dalam setiap majlis ilmunya.
Syeikh Nuruddin menyentuh persoalan kepentingan bermazhab dengan umpama seorang yang ingin menuju satu destinasi contohnya untuk ke Kelantan dari KL tetapi tidak begitu tahu selok belok jalannya atau tiada kereta sendiri, maka elok benar ia menaiki bas ekspres kerana di sana dia tidak perlu risau pasal selok belok jalannya atau masalah tiada keretanya, malah dia boleh duduk dengan selesa di seat yang tersedia malah dapat tidur dengan lena. Dia sebenarnya bertaklik kepada pemandu bas itu untuk membawanya ke destinasi yang dituju. Maka begitulah kita ini bertaklik dengan Imam Shafie sebagai pemandu yang akan membawa kita ke destinasi yang dituju.
Satu analogi lagi ialah kita teringin untuk makan nasi kerabu. Maka kita bertaklik dengan Makcik pembuat nasi kerabu kerana kepakaranya yang memang terbukti. Maka hasilnya kita dapat menikmati nasi kerabu yang kita idamkan tadi. Tapi kita tidak boleh campur adukkan kepakaran tukang2 pembuat nasi dagang, nasi lemak, atau nasi padang jika tujuan kita untuk menikmati nasi kerabu, kerana ia akan jadi caca merba pula. Maknanya dalam bermazhab pula tidak boleh untuk kita mencampur adukkan sesuatu fatwa itu mengikut mazhab yang berbeza-beza. Kita pengikut mazhab Shafie bertaklik dengan Imam Shafie mengikut segala kefahamannya yang berpandukan Al-Qur'an, Hadith dan ijmak ulamak.
Ibarat orang yang menolak fahaman bermazhab pula ialah umpama seseorang yang hendak makan nasi beryani kambing contohnya. Di depannya tersedia beras, tomato, bawang, daging kambing, santan, rempah-ratus, maka silakan untuk memasaknya menjadi nasi beryani kambing. Payah bukan atau mungkin agak mustahil pada si jahil. Alangkan mudahnya jika kita beli saja kat gerai depan pagar masjid Muadz Bin Jabal pada setiap tengahari Jumaat untuk satu hidangan nasi beryani yang kita idamkan itu? Tidak dinafikan segala persoalan dan panduan sudah terangkum dalam Al-Qur'an, namun di sana kita masih memerlukan hadith dan ijmak ulamak untuk menfsirkan secara yang jelas untuk mudah di ikuti. Justru dituntut sangat2 untuk kita menuntut ilmu, mencintai majlis2 ilmu, menadah kitab dan ajaran ulamak2 muktabar.
Pada persoalan perpaduan ummah pula, Syeikh Nuruddin menyeru para tok2 guru dan alim ulamak supaya memainkan peranan untuk menyatukan umat Islam di negara ini dengan mencari titik2 persamaan dan bukannya menumpukan kepada perkara2 perbezaan yang sebenarnya tidak banyak pun. Kita ini umat Islam yang mengucap dua kalimah syahadah yang sama, bersolat mengadap kiblat yang sama, berpuasa, berzakat dan berkunjung ke tanah haram untuk ibadah haji. Ideologi dan aqidah yang sama. Perbezaan adalah lebih kepada perkara cabang, maka di sana formula untuk bersatu padu mengukuhkan saf Islam mestilah diutamakan untuk menghadapai musuh2 Islam.
Majlis Tafaqquh Fiddin bersama Sheikh Nuruddin Marbu Al Banjari Al Makki berakhir pada sekitar pukul 8:30 pagi. Pihak masjid menyediakan hidangan nasi dan gulai kawah untuk semua jamaah yang hadir. Alhamdulillah.
@@@
No comments:
Post a Comment