Wednesday, May 25, 2011

Berpada Pada Yang Ada

Ada seorang pemuda berazam untuk menjadi seorang jutawan pada usianya 40 tahun. Dia berniat sekiranya berjaya mencapai cita-citanya itu maka dia akan bersara, dan menyimpan duit satu jutanya itu ke dalam Bank Rakyat yang memberi dividen 15% setahun. Dengan pulangan berjumlah RM150,000 setahun itu sudah cukup untuk dia sekeluarga menikmati hidup yang selesa. Begitulah perancangannya dan beliau akan mengisi masa dengan menuntut ilmu dan mengembara.

Direzkikan Allah maka pemuda itu berjaya mencapai cita-citanya hasil dari keuntungan dalam perniagaan dan pelaburan saham. Tetapi apabila sudah mencapai tahap itu, sifat tidak cukup dalam diri terus memberi kekuatan padanya untuk mengejar kejayaan yang lebih. Lalu dia pun menanam azam untuk mengumpulkan duit berjumlah RM5 juta dalam masa 5 tahun yang seterusnya ini. Maka selepas 5 tahun dia berjaya mengumpul sejumlah RM4.5 juta. Dia tersenyum puas. Namun dalam hatinya berkata aku kekurangan RM500,000 lagi untuk mencapai RM5 juta itu. Hatinya resah. Ditakdirkan pula dia jatuh sakit dan terlantar di Hospital Ampang.

Dia agak menyesal kerana tidak menjaga kesihatannya dengan baik. Harapnya dia bermuhasabah diri dan mensyukuri segala nikmat dan rezki yang Allah kurniakan, namun sifat tidak cukup dan tidak berpada pada yang ada terus memburu hidupnya. Di atas katil hospital itu pun dia masih merancang strategi dan mencari jalan bagaimana untuk mendapatkan RM500 ribu tadi. Maka benarlah sifat manusia yang tidak cukup dengan apa yang ada.

Bilakah kita akan cukup? Jawabannya ialah apabila setiap rongga badan kita mula dipenuhi tanah dan pasir yang menandakan sudah tiada lagi udara Allah untuk disedut. Bila mana jantung sudah gagal berdenyut menyedut masuk oksigen dan menghembus keluar karbon dioksida. Maknanya ketika itu manusia itu mati, barulah cukup. Selagi itu belum cukup gamaknya?

Rasulullah SAW bersabda: “Sekiranya anak cucu Adam memiliki dua lembah emas nescaya dia tetap masih menginginkan lembah emas yang ketiga, dan sekali-kali tidak akan penuh mulut anak cucu Adam kecuali tanah,dan Allah menerima taubat bagi orang yang bertaubat”. (Hadis Riwayat: .Bukhari-Muslim)

Pada ceramah perdana siang tadi, Ustaz Yusri ada mengisahkan bahawa nikmat yang Allah kurniakan begitu banyak dan tidak terhitung. Contohnya air dan udara, dua komponen yang begitu utama untuk manusia dapat hidup. Katanya kita membayar bil air kepada Syabas yang memproses air yang percuma dari Allah tadi hingga CEO Syabas menjadi antara orang yang paling banyak gajinya yang dikabarkan berjumlah RM400,000 sebulan. Kita bayar bil air kepada Syabas. Tapi kenapa kita tidak membayar bil air kepada Allah?

Begitu juga dengan perkhidmatan telekomunikasi dari Maxis atau Celcom hinggakan kita bisa ber e-mail, ber-sms, dan berkomunikasi itu sebenarnya menggunakan perantaraan gelombang udara. Udara yang dibekalkan secara percuma kepada seluruh makhluk Allah. Tapi menjadi pulangan bisnes berbillion ringgit untuk Maxis dan Celcom. Kita membayar bil kepada Maxis atau Celcom. Maka jadilah Ananda Krishnan manusia terkaya. Kenapa kita tidak membayar bil udara kepada Allah?

Cuba rasa denyutan jantung kita. Agaknya berapa kalikah jantung kita berdenyut dalam masa sejam. Tidak kurang dari 1,000 kali sejam. Maknanya dalam sehari 24,000 kali jantung kita berdenyut. Jantung berdenyut menyedut dan menghembus keluar udara yang Allah bagi percuma tadi. Jika tiada udara tadi tiada bagaimana agaknya. Sudah tentu jantung tidak dapat berdenyut dan sekaligus ampunya diri juga akan mati tidak bernyawa lagi kerana sudah hilang nafas. Betapa penting dan bernilainya udara itu rupanya. Tapi kenapa kita tidak membayar bil udara yang kita sedut itu kepada Allah?

Kalaulah kita bayar sekadar satu sen untuk setiap denyutan jantung itu maka bil udara itu berjumlah RM240 sehari, maka sebulan kita kena bayar RM7,200. Amacam? Nak letak RM2 dalam tabung masjid pun kedekut, macamana?

Hati-hati yang mati tidak akan menilai nikmat-nikmat Allah yang banyak ini. Sesiapa yang tidak membaca Al-Qur'an maka hatinya mati. Sesiapa yang menjauhkan diri dari ibadah dan majlis-majlis ilmu maka hatinya mati. Marilah muhasabah. Hati aku ini mati atau berpenyakit?

Apabila setiap hari memikirkan jadi orang kaya untuk memiliki duit yang berlipat-lipat, kereta volvo berkilat-kilat, rumah bungalow yang bertingkat-tingkat, dan hendak kawin sampai empat, maka bilakah agaknya segalanya akan cukup? Bila?

Malanglah orang mengotori hatinya dengan sifat-sifat mazmumah, sifat hasad dengki, takabbur dan riak. Sifat dengki yang tidak senang melihat orang senang. Bersorak riang apabila orang lain ditimpa musibah. Malah berusaha untuk memusnahkan kebahagiaan orang. Itulah penyakit iblis dan sifat orang-orang yang kufar pada Allah.

Ada empat kategori orang kaya:


  1. Kaya iman & kaya harta

  2. Kaya iman & miskin harta

  3. Miskin iman & kaya harta

  4. Miskin iman & miskin harta.

Muhasabah diri dan tanyalah di kategori manakah aku? Semoga kita miliki sifat qana'ah iaitu berpada pada yang ada, sifat yang cukup. Bersyukur aku ada rumah, sedangkan ada orang yang tidurnya di bawah jambatan. Syukur aku ada kereta wira sedangkan ada orang cuma ada kapcai. Sifat qana'ah.


Kaya yang sekaya-kayanya dan cemerlang yang secemerlangnya seseorang itu ialah yang berjaya bebas dari bakaran api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga Allah. Itulah kemuncak pencapaian. Mati itu sudah cukup sebagai pengajaran. Ambillah iktibar darinya.

@@@

4 comments:

baincardin said...

Salam. thank you for sharing :)

Wan Sharif said...

Khabarya.. orang yang kaya ialah orang yang tak perlu apa apa dari manusia..

School Of Tots said...

TQ baincardin for your comment. Sharing is believing.

School Of Tots said...

TQ Wan Sharif. Org kaya sebenar ialah yg punyai cukup bekalan untuk Akhirat. Maka elok benarlah kalau kita berebut mengumpul kekayaan untuk Akhirat.

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...