Namun ada ramai pula yang terlebih makan dan minum dan ditimpa pula pelbagai penyakit. Ada yang ditimpa penyakit kronik dan ada juga di timpa penyakit2 sampingan yang tidak kronik. Kalau usia sudah meningkat ke era 40an penyakit yang popular termasuklah kencing manis, darah tinggi, kolestral tinggi, lemak tinggi, urik asid tinggi, lenguh2 badan, longgar2 sendi dan yang sewaktu dengannya akan menjadi fenomena biasa. Rupanya makanan dan minuman itu juga boleh bertindak sebagai racun yang membinasakan. Nasihat doktor biasanya ialah jaga pemakanan anda dan bersenam secara konsisten. Bab bersenam secara regular ni, ramai yang malas malah tak buat langsung.
Itu kita cerita persoalan fizikal seseorang manusia. Kesihatan jasmani. Ketrampilan luaran kita. Kuruskah kita? Gemukkah kita? Menarik tak menarikkah kita? Cantek ke hensom ke?
Ramai suami yang merungut dalam senyap ketrampilan isteri yang agak gemuk atau orang puteh kata 'out of shape' kalau dibanding dengan ketrampilan pada zaman syok mengurat atau berkasih dulu. Kalau dulu bentuk badan macam gitar 34 24 36 kini bentuknya mungkin sudah jadi 36 40 42. Begitulah juga suami yang sudah tidak menjaga ketrampilan yang dulunya begitu segak dan bergaya ala-ala Tom Cruise kini sudah nampak macam Wak Segan dalam filem tarzan, berbaju singlet dan berkain pelikat ke hulu dan ke hilir.
Ustaz Zahidi dalam kuliah 'Penawar Bagi Hati' tempoh hari ada berpesan kepada para jamaah iaitu para suami dan juga isteri supaya sama-sama menjaga ketrampilan kita agar tampak menarik sentiasa bagi melayari bahtera rumahtangga tidak kira berapa usia kita. Biar isteri cantek dan berhias kepada suami tercinta, begitu juga suami biar nampak kemas dan segak buat mendampingi isteri tersayang, dan sentiasa berbau wangi. Dengan itu rumahtangga akan sentiasa indah dan bahagia. Itu persoalan fisikal dan luaran manusia.
Ketrampilan fisikal yang baik tidak pula menjamin jiwa yang tenang. Acap kali hati sentiasa resah dan gundah gulana. Kenapa? Ramai yang ada segala-galanya tapi masih hidup purak puranda, bercerai berai, atau sampai membunuh diri. Kenapa?
Bila resah segera zikrullah, itulah penawarnya. Sentiasa berdamping dengan Allah. Banyak zikrullah yang boleh kita amalkan. Pilihlah mana yang ingat dan selesa. Antara yang popular ialah, Astagh firullah hal azim....wal hayyum qayyum muwa atu bu ilaih. Ia membawa maksud "Aku mohon ampun kepada Allah yang Maha Agung. Yang tiada tuhan melainkan Dia. Yang hidup lagi sentiasa berkuasa. Aku taubat kepada-Nya."
Bila resah segera zikrullah, "Ya Fatah, Ya Alim, Ya Hakim." Semasa bersendirian tanpa arah tujuan segera zikrullah. Bila kesunyian tiada berteman segera zikrullah. Bila rasa kekosongan segeralah zikrullah. Banyak zikrullah yang boleh kita amalkan. Di kedai2 buku ada banyak dijual buku2 kecil dengan RM2 atau RM3 mengandungi zikrullah dan amalan harian buat panduan.
Rupa-rupanya diri kita ini bukan hanya bahagian fizikal semata-mata. Tetapi ada pasangannya iaitu mental, sebab itu selalu diungkap fizikal dan mental. Ada jasmani dan ruhani, ada jasad dan ruh.
Sedar tak sedar kita hanya tumpukan makan dan minum yang cukup buat jasad. Bangun pagi kita sarapan pagi nasi lemak atau roti canai dengan teh tarik kurang manis, lepas tu kita break pukul 10, pekena karipap dua bijik dengan nescafe tarik. Kemudian tengahari nanti makan nasi dengan pelbagai lauk. Petang dengan minum petangnya, dan malam dengan makan malamnya. Kadang tu di akhiri pula dengan supper nya. Cukup makan jasad kita. Malah berlebih pula. Tapi ruh kita bagaimana? Ruhani kita, mental kita, sudah di beri makan dan minum?
Acap kali kita lupa untuk memberi makanan dan minuman yang diperlukan untuk ruhani kita. Akibatnya ruhani kita kurus kering, tak sihat, malah ditimpa pelbagai penyakit kronik. Antara penyakitnya ialah resah dan gelisah. Antara penyakitnya ialah tak lena tidur atau hati yang sakit. Apa penawarnya? Penawarnya ialah sebagaimana jasad atau fizikal kita memerlukan makanan dan minuman yang cukup dan berkhasiat untuk cergas maka begitulah juga ruhani atau ruh kita itu memerlukan makanan, minuman, vitamin dan sebagainya yang cukup supaya sihat walafiat.
Antara makanan, minuman dan supplement yang sangat baik untuk mental dan ruhani ini ialah zikrullah, sentiasa mengingati Allah, sentiasa menzahirkan ucapan dan bait2 zikir di bibir yang memuji dan mengharap kepada Allah. Yang hati kita sentiasa mengingati Allah, Pencipta segala makhluk di dunia dan langit dan antara keduanya.
Azan yang berkumandang dari corong2 pembesar suara di surau dan masjid 5 kali sehari semalam itu juga adalah zikrullah yang menyeru manusia untuk ke rumah Allah, untuk menghadap Allah yang Esa, untuk mendirikan solat dan tunduk kepada segala perintah-Nya dan meninggalakan segala larangan-Nya, menuju kejayaan bukan sekadar di dunia malah yang penting sekali ialah kejayaan di akhirat.
Bila resah segera zikrullah. Bila memandu kereta ke tempat kerja, penuhi ruang dengan zikrullah. Bila memandu untuk pulang ke rumah dan terperangkap dalam kesesakan, jangan buang masa begitu sahaja atau sekadar sibuk untuk mendengar hiburan dunia di pelbagai siaran radio FM, tetapi sibukkanlah dengan zikrullah. InsyaAllah kesesakan di jalanan itu akan tetap menenangkan jiwa yang resah.
Tika menjadi penumpang di atas bas, komuter atau LRT, gantikanlah sebutan dibibir dengan zikrullah. Cukuplah sudah mendengar lagu2 yang tak berfaedah di MP4 itu. Bila resah segera zikrullah, bila lapang segera zikrullah dan setiap kali ada ruang segera zikrullah. Untuk telinga sendiri mendengarnya. Untuk hati sendiri menghayatinya, bukan untuk manusia lain. Justru bisikkan zikrullah ini dengan nada yang berbisik untuk didengari oleh hati2 dan telinga2 yang hidup. Rapatkan hati ini dengan Allah SWT.
Bak kata Eddy pengacara siri 'The Deen Show', "I'm not afraid to be alone if Allah on my side." InsyaAllah apabila kita sentiasa mengingati Allah dan zikrullah sentiasa melekat di bibir dan terpahat di hati, maka Allah SWT akan sentiasa bersama kita.
Bila resah segera Zikrullah !!
@@@
2 comments:
terima kasih untuk ingatan ini
TQ cikli sudi komen. Bila resah segeraT zikrullah.
Post a Comment