CLICK n GO

Wednesday, April 28, 2010

Hikmah Tersembunyi

Kita selalu mendengar orang mengatakan kerja itu suatu ibadah tidak kiralah untuk majikan, keluarga atau masyarakat. Namun ramai yang mengeluh, bukan kecewa, tetapi sekadar meluahkan rasa, betapa kebaikan dipersiakan. Isteri yang setia, dipersiakan suami. Suami yang baik, ditinggalkan isteri. Ibu-bapa yang dipinggirkan anak-anak. Pekerja yang dihampakan bos. Kawan yang menjadi lawan.

Inilah warna kehidupan yang kita perlu hadapi. Langit tidak selalu cerah. Hidup tidak sentiasa indah. Dipergilirkan antara senang dan susah, agar di hati kita ada sabar dan syukur. Umpama malam dan siang, barulah tercipta keharmonian, dan keseimbangan.

Sebagai iktibar bersama saya paparkan satu kisah lama, sekadar untuk mengingatkan diri dan pembaca. Satu tulisan untuk membujuk hati sendiri atas satu pertanyaan, orang ikhlas tertindas? Atau soalan yang lebih “dalam” dan sukar daripada itu, benar-benarkah kita orang yang ikhlas jika masih merasa tertindas ketika cuba mengikhlaskan hati kita ketika melakukan kebaikan kepada sesorang atau sesuatu pihak?

Ah, ikhlas itu memang rahsia, soal hati. Rahsia dalam rahsia Allah. Ya Allah, bantulah kami untuk ikhlas, Amin. Adakah benar orang ikhlas itu tertindas?

Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan dibalas walaupun yang membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan itu. Hakikat ini mengingatkan saya kepada satu perbualan yang berlaku sewaktu saya mengendalikan program latihan beberapa tahun lalu di sebuah organisasi.

“Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini,” kata seorang kakak berterus-terang.“Mengapa?” balas saya. “Organisasi ini dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak ada ganjaran yang wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka. Tak pandai saya nak ampu-ampu orang atas, Fokus saya kepada kerja sahaja.”

Kakak itu sebenarnya adalah peserta program yang paling senior. Telah berpuluh tahun bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali terakhir dia mengikuti program latihan. Enam bulan lagi dia akan bersara. Kesempatan yang diberikan kepadanya dalam sesi memperkenalkan diri itu telah digunakannya sepenuhnya untuk meluahkan rasa kecewa dan marahnya sepanjang berkhidmat di situ. Sungguh, dia kecewa sekali. Siapa tidak marah, jika bekerja secara ikhlas dan gigih tetapi tidak pernah dinaikkan pangkat atau mendapat kenaikan gaji?

Sewaktu rehat, sambil minum-minum dan berbual santai saya bertanya kepadanya, “kakak punya berapa orang anak?” Sengaja saya bertanya soal-soal “di luar kotak” agar ketegangan dalam sesi sebelumnya dapat diredakan.“Oh ramai encik.” “Bagaimana dengan anak-anak kakak?”

Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang anak-anaknya. Boleh dikatakan semua anak-anaknya berjaya dalam profesion masing-masing. Ada yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya. Malah seorang anaknya telah menjadi hafiz. “Kakak, boleh saya bertanya?” “Tanyalah encik,” ujar kakak itu sambil tersenyum. Mendung di wajahnya sudah berlalu. Dia begitu teruja bila bercerita tentang anak-anaknya. Memang, semua anak-anaknya menjadi.

“Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang “menjadi” dengan naik gaji, mana yang kakak pilih?”Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi, “antara kakak naik pangkat dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak pilih?”

Dengan cepat kakak itu menjawab, “hati ibu encik, tentulah saya pilih anak-anak saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat. Anak-anak adalah harta kita yang paling berharga!”
Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya.“Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam organisasi ini telah mendapat ganjaran,” kata saya perlahan. Hampir berbisik.“Maksud encik?” “Allah telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak sukai. Bila kakak ikhlas bekerja dalam organisasi ini, Allah berikan kepada kakak anak-anak yang menjadi.”

“Tidak pernah saya terfikir begitu encik.” Allah Maha Berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatan-Nya terlalu misteri dan rahsia untuk dijangkau oleh pemikiran kita. Tetapi yakinlah what you give, you get back. Itu hukum sunatullah dalam hubungan sesama manusia. Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada kita. Yakinlah.

“Walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu pihak yang kita berikan kebaikan itu?” “Maksud kakak?” “Macam ni, saya buat kebaikan kepada organisasi tempat saya bekerja, tapi Allah berikan kebaikan kepada keluarga. Pembalasan Allah bukan di tempat saya bekerja, sebaliknya diberikan dalam keluarga saya. Begitukah encik?” “Itulah yang saya katakan tadi, takdir Allah kekadang terlalu misteri. Tetapi ketetapannya mutlak dan muktamad, siapa yang memberi kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. Dalam istilah biasa itu dipanggil golden rule!”

Kakak itu termenung. Mungkin memikirkan pertalian dan kaitan antara apa yang berlaku dalam organisasi dengan familinya.“Metafora atau analoginya begini. Katalah kita sedang memandu di satu jalan yang mempunyai dua atau tiga lorong. Penuh sesak. Tiba-tiba sebuah kereta yang tersalah lorong di sebelah memberi isyarat untuk masuk ke lorong kita. Kerana simpati melihat dia terkial-kial memberi isyarat, kita pun beralah, lalu memberi laluan untuk kereta itu masuk di hadapan kita.”

Saya berhenti seketika mengambil nafas sambil mencari reaksi. Saya lihat kakak itu mendengar penuh minat. Dia meneliti metafora yang saya sampaikan dengan begitu teliti.“Kemudian kita terus memandu ke hadapan. Mungkin sejam kemudian atau setelah berpuluh-puluh kilometer, tiba-tiba kita pula yang tersalah lorong. Kita pula yang memberi lampu isyarat untuk masuk ke lorong sebelah. Soalnya logikkah kalau kita mengharapkan kereta yang kita bantu sebelumnya memberi laluan untuk kita?”

Kakak itu tersenyum dan berkata, “tak logik encik. Kereta yang kita bantu tadi entah ke mana perginya.” “Tapi ada tak kereta lain yang simpati dan memberi laluan untuk kita?’“Pasti ada! Insya-Allah.” “Ya, begitulah. Padahal kereta itu tidak pernah sekali pun kita tolong. Tetapi Allahlah yang menggerakkan hati pemandunya untuk memberi laluan kepada kita. Orang yang kita beri kebaikan, tidak ada di situ untuk membalas kebaikan kita. Tetapi Allah menggerakkan hati orang lain, yang tidak pernah merasa kebaikan kita untuk membalas kebaikan kita tadi.”

“Subhanallah!” “Begitu dalam litar di jalan raya dan begitu jualah litar dalam kehidupan manusia. Kita buat baik kepada A, tetapi kerap kali bukan A yang membalas kebaikan kita tetapi B atau C atau D atau lain-lainnya yang membalasnya. Inilah hakikat yang berlaku dalam kehidupan ini.” “Kita tidak boleh kecewa bila keikhlasan kita dipersiakan?” tanya kakak itu lagi. Lebih kepada satu respons minta diiyakan.

“Kakak, ikhlas sebenar tidak pinta dibalas. Tetapi Allah Maha Kaya dan Maha Pengasih, siapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun mereka tidak memintanya kerana setiap kebaikan itu akan dikembalikan kepada orang yang melakukannya. Ia umpama bola yang dibaling ke dinding, akan melantun semula kepada pembalingnya!” “Selalunya saya dengar, orang ikhlas akan dibalas di akhirat.” “Itulah balasan yang lebih baik dan kekal. Tetapi saya katakan tadi, Allah Maha kaya, Allah mahu dan mampu membalas keikhlasan hamba-Nya di dunia lagi.”

“Maksud encik?” “Orang yang ikhlas akan diberi ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup. Anak-anak yang soleh dan solehah. Isteri yang taat atau suami yang setia. Dan paling penting, hati yang sejahtera. Inilah kekayaan dan kelebihan yang lebih utama daripada pangkat, gaji dan jawatan.” “Jadi orang ikhlas akan terus ditindas, tidak dapat kenaikan pangkat atau gaji? Bukan apa, saya terfikir kenapa nasib kaki ampu dan kaki bodek lebih baik dalam organisasi. Mereka dapat naik pangkat!”

Giliran saya pula tersenyum.“Tidak ada kebaikan yang akan kita dapat melalui jalan yang salah. Percayalah, kalau benar mereka kaki ampu dan bodek sahaja, pangkat yang mereka dapat akan menyebabkan mereka melarat. Gaji naik, tetapi ketenangan hati menurun. Ingat apa yang saya kata tadi, what you give you get back. Golden rule itu bukan untuk kebaikan sahaja, tetapi untuk kejahatan juga. Kalau kita berikan kejahatan, kejahatan itu akan kembali semula kepada kita. Kaki ampu, mungkin akan dapat anak yang pandai bermuka-muka. Kaki bodek mungkin dibalas dengan isteri yang berpura-pura!” terang saya panjang lebar.

“Jadi apa yang harus saya lakukan dengan baki masa perkhidmatan yang tinggal tidak beberapa bulan lagi ni?” “Bekerjalah dengan gigih. Walaupun mungkin bos tidak melihatnya, tetapi Allah Maha Melihat. Bekerja itu satu ibadah. God is our “CEO”, kata orang sekarang. Insya-Allah, satu hari nanti manusia juga akan diperlihatkan oleh Allah tentang keikhlasan manusia yang lain. Jangan berhenti memberi kebaikan hanya kerana tidak dapat penghargaan.” “Maksud encik?”

“Jangan mengharap terima kasih daripada manusia atas kebaikan yang kita buat kepadanya.” “Kenapa?” “Kita akan sakit jiwa!” “Kenapa?” “Kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Lihatlah, kalau kepada Allah yang Maha Memberi pun manusia tidak pandai bersyukur dan berterima kasih, apalagi kepada manusia yang pemberiannya terbatas dan berkala. Sedikit sekali daripada manusia yang bersyukur,” balas saya mengulangi apa yang maktub dalam Al Quran.

“Tetapi Allah tidak berhenti memberi,“ kata kakak itu perlahan. “Walaupun manusia tidak berterima kasih kepada-Nya. Sekalipun kepada yang derhaka dan kafir, tetapi Allah terus memberi. Justeru siapa kita yang tergamak berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat penghargaan dan ucapan terima kasih?” “Ah, kita terlalu ego.” Dan itulah kesimpulan perbualan yang saya kira sangat bermakna dan besar impaknya dalam hidup saya. Saya terasa “diperingatkan” semasa memberi peringatan kerana pada hakikatnya saya juga tidak terlepas daripada lintasan hati oleh satu pertanyaan, orang ikhlas tertindas?

@@@
Nota: Rujukan Artikel dari email yang saya terima suatu ketika dulu.

Sunday, April 25, 2010

Grand Finale


Stadium KKB malam tadi menyaksikan sokongan padu rakyat kepada Pakatan Rakyat dalam majlis penutup siri berkempen untuk PRK Hulu Selangor ini. Tidak kurang dari 30 ribu orang melimpahi majlis himpunan Grand Finale ini. Tiga Menteri Besar sah dari negeri Penang, Selangor dan Kelantan menjadi keutuhan lambang perjuangan PR hadir memberi semangat dan ucapan memohon rakyat amnya dan para pengundi HS khasnya untuk berfikir, menilai dan menentukan hala tuju bukan sekadar di Hulu Selangor ini semata-mata, tetapi masa depan negara.

Lim Guang Eng menutup ucapan beliau dengan sebuah pantun kalau tak silap katanya, "Undi PR Dapat Pahala, Undi Zaid Selamatkan
Malaysia". TS Khalid Ibrahim mengucapkan terima kasih kepada seluruh hadirin dan rakyat semua atas sokongan padu ini dan berjanji untuk menjalankan amanah mengekonomikan rakyat supaya nasib rakyat terbela.

Kehadiran TGNA pula memang dinanti. Aura TGNA payah disanggah lawan dan kawan. Pesan Tuan Guru, "Manusia ada sempadan-sempadannya, ada batas-batas tertentu. Setiap perkara ada halal haramnya, wang ada halal
haramnya, perempuan ada halal haramnya, lelaki ada halal haramnya, makanan ada halal haramnya. Begitulah juga politik, ada halal haramnya. Kita semua akan ke Padang Mahsyar, kita tidak membawa sebutir nasi atau seteguk air pun. Yang ada hanya syafaat Rasullah SAW dan belas ehsan Allah SWT semata-mata. Sedangkan Rasulullah tidak mengenali kita , maka setiap sesuatu yang kita lakukan di dunia ini mestilah bersesuaian dengan suruhan Allah SWT yang diajar oleh Rasulullah SAW." Kita tolak pemerintah yang rasuah, tidak amanah dan gagal membela rakyat. Pilihlah pemimpin yang adil dan beringeriti, InsyaAllah.

DSAI terpaksa membonceng motosikal selama 40 minit untuk sampai ke stadium kerana kesesakan lalulintas yang melampau. Ucapan penutup DSAI seperti biasa menaikkan bulu roma dengan semangat dan harapan bukan sekadar janji politik. Perjuangan DSAI yang penuh liku dan ujian mengajar nya menjadi pemimpin yang hebat dan penuh karisma. Mesejnya jelas, BN yang memerintah selama lebih 50 tahun sudah cukup diberi peluang dan mereka gagal untuk mengagihkan kekayaan negara kepada rakyat kerana banyak kebocoran ekonomi akibat rasuah dan pecah amanah yang hanya mengkayakan kelompok tertentu sahaja. Maka berilah peluang untuk PR pula menjadi kerajaan supaya rakyat betul-betul didahulukan dan kekayaan negara akan dapat dinikmati bersama.

Pagi ini sekitar pukul 10:30 tadi saya ber
sama isteri telah menunaikan tanggung jawab membuang undi di saluran 2, pusat mengundi skbb. Semoga Allah memakbulkan doa kita semua untuk mendapat pemimpin yang faham tugas pemimpin untuk menjalankan amanah Allah.

*** Keputusan PRK Hulu Selangor: BN 24,997 undi, PKR 23,272 undi. BN MENANG dengan majoriti 1,725 undi ***

@@@

Saturday, April 24, 2010

Elok dan Pandai

"Kalau nak pilih wakil ke Parlimen, pilihlah calon yang elok dan pandai", itulah antara mukaddimah yang saya dapat ingat dari ucapan Saifuddin Nasution malam tadi di Sg Buaya.

Himpunan ribuan rakyat di Sg Buaya malam tadi untuk mendengar amanat yang disampaikan oleh TGNA tidak kesampaian kerana TGNA terpaksa memenuhi acara yang padat sekitar Hulu Selangor sejak petang setibanya dari Kota Bharu dan terpaksa membatalkan kunjungan ke sini.

Namun penyampaian hebat dari tokoh2 lain termasuklah Azmin Ali, DSAI, Zaid, dan Lim Kit Siang berjaya membuka minda semua akan hakikat dan realiti politik negara tidak sekadar isu2 di PRK Hulu Selangor ini semata.

PRK Hulu Selangor ini sangat signifikan bagi memberi mesej jelas bahawa rakyat sudah mual dengan pimpinan yang mengagih kekayaan negara hanya pada kelompok tertentu sedangkan rakyat marhain masih di takuk lama malah terus tertekan.

Sambutan hangat terhadap ceramah2 politik anjuran Pakatan Rakyat membuktikan bahawa rakyat mahukan maklumat tepat dan bukan sekadar sogokan propaganda yang di ketengahkan oleh media arus perdana. Harapan kepada perubahan untuk politik baru yang bermula pada tsunami politik Mac 2008 akan memberi momentum hebat di Hulu Selangor ini. Maknanya para pengundi P94 Hulu Selangor punyai peranan besar agenda perubahan negara ini.

Maka pilihlah wakil yang berani, berprinsip, dan ada integriti bukan sekadar pak angguk semata. Selamat mengundi besok !!


@@@

Saturday, April 17, 2010

Hangat di KKB


Saya bertolak dengan anak sulong sekitar pukul 9 pagi ke KKB. Member anak dah datang jam 4 pagi lagi dengan bapak dia dari Sabak Bernam, memberitahu orang dah sesak kat KKB. Saya pun ikut jalan Ampang Pecah. Terpaksa parking kereta 1 km dari pekan KKB. Oklah seronok jugak beramai-ramai berjalan ke pusat penamaan calon. Penyokong PR berpusat di kawasan pekan dan lereng bukit jalan utama. Penyokong BN pula tertumpu di kawasan Bangunan Umno dan jalan berdekatan masjid KKB. Anggota2 FRU dan Polis pula mengawal keadaan. Aura hari penamaan calon memang terasa. Suasana penuh warna-warni.Sorak-menyorak berselang-seli antara kedua-dua pihak BN dan PR. Hangat di KKB sudah mula meresap ke Kerling, Hulu Bernam, Batang Kali, Serendah, Bukit Sentosa, dan kawasan2 yang sewaktu dengannya. Pengundi Hulu Selangor akan didedahkan dengan pelbagai isu dan senerio. Namun yang hak itu tetap hak dan yang bathil itu tetap bathil. Sama2 lah kita fikir. Semoga rakyat sama2 berpakat membuat pilihan yang tepat. Pakatan rakyat yang kuat akan menjana perubahan bukan saja di Selangor malah memberi isyarat arah tuju dan hasrat rakyat seluruh negara menjelang pilihanraya umum yang bakal berlangsung dalam 2-3 tahun nanti.







































Monday, April 12, 2010

PRK Hulu Selangor

Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor merupakan PRK pertama di negeri Selangor, negeri yang diperintah Pakatan Rakyat pimpinan PKR. Ia bakal menguji kewibawaan DS Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang dengan krebiliti dan kebolehan PM DS Najib Razak sebagai Perdana Menteri dan ketua BN.

Utusan Malaysia hari ini meramalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijangka meletakkan Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon mereka pada Pilihan Raya Kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor hanya jika Barisan Nasional (BN) menamakan Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel sebagai calonnya.

Bagaimanapun Zaid tetap dilihat sebagai calon terbaik bagi PKR untuk mempertahankan kerusi itu sekalipun BN tidak meletakkan Palanivel sebagai calon. TPM dalam kenyataannya hari ini pula menyatakan calon BN yang akan bertanding pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor 25 April ini adalah anak tempatan. Kemungkinan Ketua Pemuda MIC Hulu Selangor V Mugilan atau Ketua Penerangan MIC P Kamalanathan. Kedua mereka adalah penduduk tempatan dan ikut ceritanya dalam senarai panas calon yang sedang dipertimbangkan oleh BN.

Kebetulan saya baru semalam habis membaca buku "Saya Pun Melayu" oleh Zaid Ibrahim terbitan Mac 2009, yang saya pinjam dari perpustakaan awam Kuala Kubu Bharu. Melalui buku
Saya Pun Melayu, pembaca berpeluang untuk memahami dengan lebih jelas siapa Zaid Ibrahim. Kenapa beliau meletak jawatan sebagai menteri dan seterusnya dipecat daripada UMNO yang disertainya sejak 23 tahun, dan juga mengapa sesetengah pemimpin UMNO begitu membencinya sehingga ada yang mendesaknya keluar daripada rumpun Melayu.

Anda akan mengetahui rahsia di sebalik kritikan beliau terhadap konsep Ketuanan Melayu serta pandangannya berhubung kedudukan Raja-Raja Melayu dari segi undang-undang dan politik. Beliau juga berkongsi pengalaman sebagai anggota kabinet Abdullah Ahmad Badawi serta mengupas sejauh mana kemampuan Najib Tun Razak untuk memulihkan keyakinan rakyat kepada kerajaan.

Antara ungkapan menarik Zaid Ibrahim yang dapat saya petik dalam bukunya ini ialah:

  1. Hanya kepimpinan yang kuat berpegang dan berpandukan kepada nilai agama dan kemanusian yang tinggi sahaja dapat mengubah nasib bangsa dan negara.
  2. Rakyat amat berharap UMNO dan BN akan berubah selepas kejutan tsunami politik 8 Mac 2008. Malah saya sendiripun menyangka akan ada perubahan sehingga sanggup menerima jawatan Menteri dengan harapan saya boleh membantu kerajaan melakukan reformasi yang dikehendaki rakyat. Namun rakyat kecewa kerana tiada apa-apa perubahan berlaku. Sebaliknya, politik perkauman dan penyalahgunaan kuasa semakin berleluasa.
  3. Alangkah indahnya jika perpaduan nasional yang tulen dapat dijalin sebagaimana bersatunya hati kita daripada semua kaum dan agama apabila duduk bersama sewaktu menyokong pasukan badminton, skuasy dan boling negara, bersorak dan merayakan kemenangan negara yang kita kongsi bersama.
  4. Sebenarnya orang Melayu boleh menjadi Tuan kepada diri sendiri dengan syarat sanggup bekerja kuat, mendapat pelajaran baik, dan mempunyai sifat-sifat orang berjaya melalui etika kerja yang sihat, bertanggungjawab dan mempunyai maruah dan harga diri serta tidak mudah dimakan rasuah atau menyalahgunakan kuasa. Memang usaha ke arah ini akan memakan masa dan sukar tetapi inilah jalan yang bersih, selamat dan sebaik-baiknya.
  5. ISA adalah undang-undang kejam dan boleh serta talahpun disalahgunakan. Sudah sampai masanya kita memansuhkan undang-undang ini. Percayalah, undang-undang ISA tidak ada kena mengena dengan simbol kekuasaan orang Melayu. Ia hanya satu jalan mudah untuk menahan orang awam tanpa perlu disiasat dan didakwa di mahkamah. Maka itu kerajaan perlu memansuhkan undang-undang ini.
  6. Kejayaan yang kita cari juga mestilah kejayaan yang tidak memerlukan kita menggadai nilai kita sebagai orang Melayu yang beragama Islam.
Bagi saya buku 320 mukasurat ini sangat menarik dan menggunakan gaya bahasa yang mudah difahami dan memaparkan analisa dan pemerhatian yang padat dan kritikal.

Suruhan Jaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) sudah menetapkan 17 April ini sebagai tarikh penamaan calon sementara 25hb akan menjadi tarikh membuang undi. Pilihan raya kecil terpaksa diadakan di kawasan parlimen Hulu Selangor berikutan kematian Datuk Zainal Abdidin Ahmad dari PKR yang mempunyai penduduk berdaftar sekitar 63,000 orang. Jumlah pengundi Melayu berjumlah 53.9 peratus, 26.7 peratus India, 19 peratus kaum Cina dan 0.4 pertuas lain-lain bangsa. Dengan kedudukan peratusan yang hampir sama antara orang Melayu dan bukan Melayu, sokongan semua kaum perlu bagi memastikan kemenangan calon yang bertanding.

Saya pun Melayu, dan harapnya calon Melayu menjadi pilihan rakyat di Hulu Selangor pada 25 April ini, InsyaAllah.


@@@

SERENDAH 13 Apr - Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini mengumumkan Datuk Zaid Ibrahim secara rasmi sebagai calon Pakatan Rakyat akan mewakili gagasan itu dalam pilihan raya kecil P094 Parlimen Hulu Selangor 25 April depan sambil menyifatkan beliau telah 'diuji'.

"Saya bersyukur diberi kepercayaan menjadi calon bagi Pakatan Rakyat dan saya terharu kerana saya tahu saya ahli parti yang baru tetapi inilah pengorbanan kawan-kawan di Hulu Selangor, kepimpinan Pakatan Rakyat Selangor dan pucuk pimpinan KEADILAN yang beri peluang kepada saya. Saya rakamkan penghargaaan kepada mereka dan saya terima amanah ini dengan penuh kesedaran dan keinsafan. Beban yang dipikul oleh pimpinan adalah berat dan saya mahu sama-sama pikul beban itu supaya kerajaan yang zalim ini kita atasi. Saya bukan orang luar, saya sudah bermastautin lama di Selangor dan saya tahu masalah orang Selangor dan Hulu Selangor, orang miskin, nasib peneroka Felda. Negara kita kaya tapi kerana tamak tidak cukup untuk rakyat. Dengan sokongan rakyat saya boleh jadi suara di Hulu Selangor," kata Zaid dalam ucapan ringkas beliau.

Zaid Ibrahim
Serendah, Hulu Selangor
13 Apr 2010.

@@@

Wednesday, April 07, 2010

Special Month

Tolak April fool, bulan April ni agak istimewa. Pertamanya 1 April minggu lepas genaplah saya berkhidmat 12 tahun di Syarikat tempat saya bekerja sekarang ini. Tak sangka dah 12 tahun saya di situ rupanya. Di empat Syarikat sebelum itu, paling lama pun saya berkhidmat ialah 3 tahun. Zaman muda saya prioriti nya lain dan bila dah berumur ni keutamaannya juga berbeza. Dah malas nak cari kerja baru. Kalau rezki saya di Syarikat ini, maka rasanya ingin bersara di sini saja bila tiba tempoh umur persaraan nanti. Semoga Allah SWT permudahkan segala urusan dan mengurniakan rezki yang berkat buat saya sekeluarga.

Kemudian tiba pula 5 April, iaitu hari ulangtahun kelahiran saya. Alhamdulillah Allah SWT masih memberi nikmat hidup dan disambungkan nyawa saya hingga ke saat ini. Nikmat yang tidak ternilai yang wajib disyukuri sepenuh jiwa raga. Dalam ribuan malah jutaan hamba-Nya yang sebaya dengan saya yang sudah diluputkan nyawa mereka, maka saya di beri lagi ruang untuk menerus kehidupan yang sementara ini. Untuk apa? Untuk menjalani segala urusan dengan mengikut landasan yang lurus selaras dengan suruhan Allah dan mencegah diri dari kelakuan sumbang yang menagih murka Allah SWT. Ya Allah hidupkanlah saya dalam iman dan matikan saya nanti pun dalam iman. Penuhilah sisa-sisa hidup saya dengan segala sesuatu yang mendatangkan manafaat pada umat.

18 April pula merupakan hari ulangtahun kelahiran anak sulong saya Amir yang kini sedang melalui pengajian di semesta ketiga di peringkat asasi UIA untuk persiapan memasuki bidang kejuruteraan. Berilah kecintaan ilmu untuknya, fahamkan dia akan muslihat dan realiti dunia ini, dan kukuhkan akidahnya untuk memahami siapa dirinya dan kemana penghujungnya nanti. Perbaikilah akhlaknya, tutur bicaranya, dan pertimbangannya untuk memilih kebaikan mengatasi kemudharatan.


Seterusnya 29 April adalah hari ulangtahun perkahwinan saya dan isteri tercinta. Tarikh keramat permulaan sebuah perjalanan alam rumahtangga. Tidak lengkap cabaran dan ujian hidup seorang jejaka itu selagi belum melalui tanggung-jawab sebagai seorang suami dan amanah sabagai seorang ayah. Perjalanan itu mengajar saya menjadi lebih matang, sabar dan memahami erti hidup dan pancarobanya termasuklah soal sosial, muamalat dan kewangan. Alhamdulillah kami dikurniakan tiga orang cahaya mata yang kini sudah remaja sebagai penyambung zuriat.


Sejarah boleh dijadikan pengajaran untuk lebih waspada mengatur langkah. Masakini adalah nikmat yang Allah kurniakan untuk disyukuri banyak-banyak kerana segalanya ini amanah belaka. Maka untuk masa depan hendaklah merancang dengan bijak. Fahami dan kenali diri dan kemana penghujungnya nanti. Semoga Allah SWT dengan sifat Maha Pengasih dan Penyayang-Nya akan terus melimpahkan rahmat-Nya dan tidak mengenakan sesuatu ujian yang tidak termampu ditanggung oleh saya. Maju ke depan insyaAllah, mencari tidak yang lain selain dari Redha Allah SWT semata dalam setiap urusan dan aktiviti hidup. Bergantung harap tidak pada yang lain, hanya pada Allah SWT. Amiin.

@@@

Saturday, April 03, 2010

Secangkir Teh

Pada kunjungan kedua ke PBAKL2010 pada minggu lepas, empat lagi buku bermutu menjadi koleksi perpustakaan mini di rumah kami.

Dua buku hebat karya pengarang dari Indonesia, Muhammad Alexender Wisnu Sasongko iaitu Yakjuj Makjuj dan Alexender Adalah Zulkarnain terbitan PTS menjadi pilihan anak saya.

Saya pula peminat karya Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dan buku terbarunya Murabbi Cinta kesenambungan dari siri Aku Terima Nikahnya dan Secangkir Teh Pengubat Letih dalam siri Travelodge Tarbiah melengkapkan koleksi 5 buku karya beliau.

Hari ini saya khatam buku Secangkir Teh Pengubat Letih iaitu pengalaman Ustaz Hasrizal yang menjalani kembara tarbiah dan ilmu menyusuri Negara Turki, tanah peninggalan era kegimalangan Khilafah Islam Othmaniah beberapa abad lampau yang dicemari pula oleh Mustapha Kamal Antartuk sekitar 70 tahun yang lalu. Kemenangan parti Refah pada pilihanraya 1995 pula memberi sinar baru kebangkitan Islam di Turki.

Ucapan Erbakan Presiden Turki dari parti Refah sungguh bermakna. "Ambillah iktibar dari sejarah. Kita adalah kaum yang Allah muliakan dengan Islam, jika kita mencari kemuliaan daripada selain-Nya, kita akan dihina Allah." Erbakan mengungkapkan kata-kata Umar al-Kattab RA dalam ucapannya.

Buku ini sarat dengan kisah persaudaraan sesama Islam yang subur mekar di bumi Turki. Tulisan Ustaz Hasrizal banyak mengajak pembaca untuk memahami Turki dari dalam. Melihat kebusukan jiwa golongan sekularis. Meneliti perkembangan idea Islamism secara dinamik biarpun perlahan. Olahan santai yang mengusik minda dan mengasah intelek dalam mencari erti damai dalam sejarah peradaban dan realiti semasa. Travelodge Tarbiah mengelingi Turki yang penuh pengajaran.

  1. Mencari Damai Diri
  2. Memahami Turki Dari Dalam
  3. Sedekad Kita Bersaudara
  4. Nilai Sebuah Kembara Ilmu
  5. Canakkale Ajaibnya Turki
  6. Antakya Senasib Kashmir Dan Patani
  7. Putus Bangsa Kerana Bahasa
  8. Perginya Mendung Hitam
  9. Adab Sopan Budaya Iman
  10. Hos Geldin Ramazan
  11. Secangkir Teh Pengubat Letih
  12. dan banyak lagi..
Next book, Murabbi Cinta. Til then bye bye.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...