Monday, April 12, 2010

PRK Hulu Selangor

Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor merupakan PRK pertama di negeri Selangor, negeri yang diperintah Pakatan Rakyat pimpinan PKR. Ia bakal menguji kewibawaan DS Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang dengan krebiliti dan kebolehan PM DS Najib Razak sebagai Perdana Menteri dan ketua BN.

Utusan Malaysia hari ini meramalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijangka meletakkan Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon mereka pada Pilihan Raya Kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor hanya jika Barisan Nasional (BN) menamakan Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel sebagai calonnya.

Bagaimanapun Zaid tetap dilihat sebagai calon terbaik bagi PKR untuk mempertahankan kerusi itu sekalipun BN tidak meletakkan Palanivel sebagai calon. TPM dalam kenyataannya hari ini pula menyatakan calon BN yang akan bertanding pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor 25 April ini adalah anak tempatan. Kemungkinan Ketua Pemuda MIC Hulu Selangor V Mugilan atau Ketua Penerangan MIC P Kamalanathan. Kedua mereka adalah penduduk tempatan dan ikut ceritanya dalam senarai panas calon yang sedang dipertimbangkan oleh BN.

Kebetulan saya baru semalam habis membaca buku "Saya Pun Melayu" oleh Zaid Ibrahim terbitan Mac 2009, yang saya pinjam dari perpustakaan awam Kuala Kubu Bharu. Melalui buku
Saya Pun Melayu, pembaca berpeluang untuk memahami dengan lebih jelas siapa Zaid Ibrahim. Kenapa beliau meletak jawatan sebagai menteri dan seterusnya dipecat daripada UMNO yang disertainya sejak 23 tahun, dan juga mengapa sesetengah pemimpin UMNO begitu membencinya sehingga ada yang mendesaknya keluar daripada rumpun Melayu.

Anda akan mengetahui rahsia di sebalik kritikan beliau terhadap konsep Ketuanan Melayu serta pandangannya berhubung kedudukan Raja-Raja Melayu dari segi undang-undang dan politik. Beliau juga berkongsi pengalaman sebagai anggota kabinet Abdullah Ahmad Badawi serta mengupas sejauh mana kemampuan Najib Tun Razak untuk memulihkan keyakinan rakyat kepada kerajaan.

Antara ungkapan menarik Zaid Ibrahim yang dapat saya petik dalam bukunya ini ialah:

  1. Hanya kepimpinan yang kuat berpegang dan berpandukan kepada nilai agama dan kemanusian yang tinggi sahaja dapat mengubah nasib bangsa dan negara.
  2. Rakyat amat berharap UMNO dan BN akan berubah selepas kejutan tsunami politik 8 Mac 2008. Malah saya sendiripun menyangka akan ada perubahan sehingga sanggup menerima jawatan Menteri dengan harapan saya boleh membantu kerajaan melakukan reformasi yang dikehendaki rakyat. Namun rakyat kecewa kerana tiada apa-apa perubahan berlaku. Sebaliknya, politik perkauman dan penyalahgunaan kuasa semakin berleluasa.
  3. Alangkah indahnya jika perpaduan nasional yang tulen dapat dijalin sebagaimana bersatunya hati kita daripada semua kaum dan agama apabila duduk bersama sewaktu menyokong pasukan badminton, skuasy dan boling negara, bersorak dan merayakan kemenangan negara yang kita kongsi bersama.
  4. Sebenarnya orang Melayu boleh menjadi Tuan kepada diri sendiri dengan syarat sanggup bekerja kuat, mendapat pelajaran baik, dan mempunyai sifat-sifat orang berjaya melalui etika kerja yang sihat, bertanggungjawab dan mempunyai maruah dan harga diri serta tidak mudah dimakan rasuah atau menyalahgunakan kuasa. Memang usaha ke arah ini akan memakan masa dan sukar tetapi inilah jalan yang bersih, selamat dan sebaik-baiknya.
  5. ISA adalah undang-undang kejam dan boleh serta talahpun disalahgunakan. Sudah sampai masanya kita memansuhkan undang-undang ini. Percayalah, undang-undang ISA tidak ada kena mengena dengan simbol kekuasaan orang Melayu. Ia hanya satu jalan mudah untuk menahan orang awam tanpa perlu disiasat dan didakwa di mahkamah. Maka itu kerajaan perlu memansuhkan undang-undang ini.
  6. Kejayaan yang kita cari juga mestilah kejayaan yang tidak memerlukan kita menggadai nilai kita sebagai orang Melayu yang beragama Islam.
Bagi saya buku 320 mukasurat ini sangat menarik dan menggunakan gaya bahasa yang mudah difahami dan memaparkan analisa dan pemerhatian yang padat dan kritikal.

Suruhan Jaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) sudah menetapkan 17 April ini sebagai tarikh penamaan calon sementara 25hb akan menjadi tarikh membuang undi. Pilihan raya kecil terpaksa diadakan di kawasan parlimen Hulu Selangor berikutan kematian Datuk Zainal Abdidin Ahmad dari PKR yang mempunyai penduduk berdaftar sekitar 63,000 orang. Jumlah pengundi Melayu berjumlah 53.9 peratus, 26.7 peratus India, 19 peratus kaum Cina dan 0.4 pertuas lain-lain bangsa. Dengan kedudukan peratusan yang hampir sama antara orang Melayu dan bukan Melayu, sokongan semua kaum perlu bagi memastikan kemenangan calon yang bertanding.

Saya pun Melayu, dan harapnya calon Melayu menjadi pilihan rakyat di Hulu Selangor pada 25 April ini, InsyaAllah.


@@@

SERENDAH 13 Apr - Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini mengumumkan Datuk Zaid Ibrahim secara rasmi sebagai calon Pakatan Rakyat akan mewakili gagasan itu dalam pilihan raya kecil P094 Parlimen Hulu Selangor 25 April depan sambil menyifatkan beliau telah 'diuji'.

"Saya bersyukur diberi kepercayaan menjadi calon bagi Pakatan Rakyat dan saya terharu kerana saya tahu saya ahli parti yang baru tetapi inilah pengorbanan kawan-kawan di Hulu Selangor, kepimpinan Pakatan Rakyat Selangor dan pucuk pimpinan KEADILAN yang beri peluang kepada saya. Saya rakamkan penghargaaan kepada mereka dan saya terima amanah ini dengan penuh kesedaran dan keinsafan. Beban yang dipikul oleh pimpinan adalah berat dan saya mahu sama-sama pikul beban itu supaya kerajaan yang zalim ini kita atasi. Saya bukan orang luar, saya sudah bermastautin lama di Selangor dan saya tahu masalah orang Selangor dan Hulu Selangor, orang miskin, nasib peneroka Felda. Negara kita kaya tapi kerana tamak tidak cukup untuk rakyat. Dengan sokongan rakyat saya boleh jadi suara di Hulu Selangor," kata Zaid dalam ucapan ringkas beliau.

Zaid Ibrahim
Serendah, Hulu Selangor
13 Apr 2010.

@@@

No comments:

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...