Saturday, May 01, 2010

Tazkirah Subuh

"Bagaimana kita habiskan sisa-sisa hidup yang ada ini?" pertanyaan dari Hj Munir pada sesi tazkirah subuh di Surau Al-Faaizeen pagi ini.

Hari ini kurang sehari lagi sisa hidup kita. Hari ini sehari lagi merapatkan kita ke pintu kubur. Hakikat hidup dunia sangat sementara, 60, 70, 80 tahun. Kita pasti menemui mati samada suka ke tak suka ke. Masa yang berlalu tak akan kembali lagi.


Ada sebuah cerita tentang dua hamba Allah, seorang alim dan seorang kufur pada masa kehidupan mereka. Ketika sedang nazak hendak menemui ajal, si alim ini meminta seteguk air kerana kehausan. Semasa anaknya hendak menyuapkan air itu malaikat telah menempis cawan dan tumpahlah air itu sebelum sempat di teguk oleh si alim yang kehausan itu, dan menemui ajalnya dalam keadaan hajatnya tidak kesampaian.


Si kufur pula dalam keadaan nazak menantikan saat kematiannya, telah mengidam untuk makan sejenis ikan yang memang tidak ada di daerah itu. Namun supaya tidak menghampakan harapan ayahnya yang dikasihi, si anak telah mengambil joran dan mencuba nasib mengail di tasek berdekatan rumahnya walaupun dia tahu itu pekerjaan yang sia-sia. Allah telah mengenakan umpanan si anak tadi dengan ikan yang dihajati bapanya, si kufur itu. Beliau seungguh terkejut dengan kejadian yang ajaib itu dan tercapailah hajat ayahnya untuk memakan ikan ini yang di masak enak. Selang beberapa ketika si kufur itu pun menemui ajalnya.


Dari kisah ini, dua malaikat yang di perintah Allah untuk menjalankan tugasan di atas merasa sangat hairan dan tidak dapat mencari logiknya. Seorang alim yang begitu zuhud dalam amal ibadah semasa hayatnya gagal mencapai hajat terakhirnya untuk meneguk air penghilang dahaga di penghujung umurnya. Sebaliknya si kufur yang yang mengamalkan kemungkaran sepanjang masa telah di beri layanan yang sungguh istimewa dan hajatnya di penghujung usia telah juga di tunaikan Allah.


Maka dari kejauhan datanglah suara menyatakan hakikat kedudukan yang sebenarnya. Katanya si alim tadi bakal menempuh alam akhirat yang penuh kenikmatan. Namun ada sesuatu kejadian semasa hayatnya yang telah mendatangkan kemurkaan Allah, dan justru itu balasan telah dikenakan kepadanya semasa di dunia lagi iaitu ketika dia di penghujung nyawanya tadi. Kerana kasihnya Allah kepadanya. Ini memandangkan azab di dunia ini jauh lebih ringan berkali-kali ganda dengan balasan Allah di akhirat. Maka setitik dosa yang pernah dilakukan oleh si alim tadi semasa hayatnya telah dibalas Allah semasa hidupnya di dunia, agar hidupnya di akhirat bersih 100% tanpa dosa yang bakal menerima ganjaran nikmat syurga yang kekal abadi.

Berbalik kepada si kufur tadi, yang hidupnya bergelumang dosa. Ada sedetik perlakuannya yang mendatangkan kasih Allah kepadanya. Maka atas sedetik kebaikannya itu Allah SWT telah memberikan balasan nikmat kepadanya, yang berupa hidangan istimewa masakan ikan yang diidamkannya pada penghujung usianya di dunia tadi. Allah Maha Adil. Tempat si alim ialah di akhirat. Dan mahligai kenikmatan si kufur ialah dunia yang sementara ini.


Janganlah kita tertipu oleh dunia yang sekadar tempat gurauan dan hiburan ini. Kerana hakikat muslim sejati ialah pencapaian terbaik di akhirat nanti, maka segala perlakuan dan amalan kita di dunia ini biarlah mengikut syariat dan ajaran yang di bawa oleh Rasulullah SAW. Semoga kita beroleh keuntungan di dunia dan kebahagiaan abadi di akhirat. Marilah kita sama-sama zikir dan fikir halatuju sisa-sisa hidup kita ini dan meletakkan KPI sewajarnya untuk mencapainya. Biarlah hari ini lebih baik dari semalam dan di penghujung ada Redha Allah menanti, insyaAllah.


@@@

No comments:

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...