Tuesday, May 25, 2010

Penyelesai Kegawatan

Saya baru saja selesai menghadiri majlis Ceramah Perdana bulanan syarikat yang disampaikan oleh Ust Shauki Othman bertajuk "Islam Penyelesai Kegawatan Sosial". Muqaddimah Ust, "Ada orang tidur mata celik." Maksud Ust walaupun berada dalam majlis ilmu tapi tak dapat apa2 ilmu, kerana tidur sepanjang majlis ilmu, walaupun kelihatan matanya celik. Dalam maknanya. Dan rugilah jika kita tergolong dalam kategori ini. Menyumbang kepada kegawatan juga agaknya.

Kalau kita perhati di dada2 akhbar dan di kaca2 TV atau melihat sendiri keadaan sosial semasa maka kita pasti akui bahawa kegawatan sosial sangat berleleluasa, malah meliputi banyak kegawatan yang lain juga termasuklah kegawatan akidah dan ibadah.

Umat Islam di dunia kini bukan sedikit malah sudah menjangkau 1.8 billion. Namun kualitinya hampas. Ramai yang rela Islam pada nama sahaja. Yakin pun tidak. Macamana nak mengharapkan Islam sebagai penyelesai masalah?

Orang yang baik di sisi Allah ialah orang yang memahami apa itu Islam. Tak dapat tidak kita kena kembali kepada Islam. Pengakuan kalimah syahadah itu sendiri merangkumi:
  1. Penafian (25%) - iaitu tiada tuhan (selain Allah)

  2. Penolakan (25%) - yakni menolak ideologi, sistem, ajaran yang selain dari Allah.

  3. Pengakuan (25%) - melainkan Allah yakni hanya Allah yang Maha Besar Maha Berkuasa dan segalanya.

  4. Penerimaan (25%) - segala sistem dan ajaran yang terkandung dalam Al-Qur'an yakni manual kehidupan dan ajaran Rasulullah SAW.
Apa yang berlaku ialah penerimaan dan penghayatan kita yang bukan 100% pada kalimah Toyyibah itu sendiri, perkara asas dan dasar pengakuan kita sebagai seorang muslim yang mengaku menjadi hamba Allah.

Maka tidak hairan kalau kehidupan kita ini penuh kegawatan dan kecelaruan. Apabila manusia cuba menunjuk bijak dengan berpandukan kepada akal hingga menafikan arahan dan tunjuk ajar dari Sang Pencipta manusia sendiri iatu Allah SWT. Pertimbangan yang diambil kira pada sesuatu keputusan atau tindakan ialah bersandarkan pertimbangan ekonomi, akal, dan nafsu semata. Maka sudah tentu ia tidak menjadi penyelesai masalah. Atau mungkin dilihat sebagai penyelesai masalah pada mata kasar tetapi mengajak seribu keburukan pada mata halus.

Contoh apabila kita mengaku Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Mana mungkin kita cuba menghalalkan judi yang memang jelas diharamkan oleh Allah SWT. Atas alasan membendung perjudian tanpa lesen yang membawa kerugian berjuta ringgit pada negara melalui pulangan cukai. Satu lagi pertimbangan ekonomi, duit, dan fulus. Pada mata kasar membawa keuntungan pada negara dan rakyat jelata. Namun apabila larangan Allah tidak dipertimbangkan dalam membuat sesuatu keputusan atau polisi maka nantilah kehancurannya. Kos untuk membaiki kegawatan manusia akibat judi ini jauh lebih tinggi dari pendapatan yang diraih melalui cukai judi itu sendiri, percayalah.

Apakah kita juga nanti akan mengeluarkan lesen untuk menjana pendapatan negara hasil dari kegiatan pelacuran dan pengedaran dadah pula yang nyata lebih lumayan berbanding dengan kegiatan judi?
Manusia tiada nilai (worthless) tanpa Agama. Yang membezakan haram dan halal adalah Agama.

Apabila kita ke pasar, antara ayam 'katok' yang dijual RM6 seekor dengan ayam sembelih yang berharga RM10 seekor, apakah yang kita pilih? Tanpa syariat agama mungkin kita akan memilih ayam 'katok' yang bersih , segar dan murah itu. Namun syariat Islam mengajar kita bahawa ayam sembelih itu halal dan ayam 'katok' itu haram.

Berkat itu tidak boleh dibeli. Seorang guru yang bergaji RM3k pernah bercerita katanya kawannya yang bergaji RM18k sebulan sentiasa tidak kecukupan dan meminjam pula duit darinya. Kenapa seorang yang bergaji RM18k sebulan tidak cukup tapi yang bergaji RM3k pula cukup? Jawabannya ialah keberkatan rezki itu. Berkat membawa ketenangan dan kesenangan. Ia anugerah Allah SWT kepada manusia terpilih yang menjadikan Islam sebagai penyelesai masalah. Bukan mengharap pada yang lain.

Tips untuk mendapat rezki yang berkat:
  1. Buat pekerjaan yang halal, elakkan kerja2 yang haram atau shubahat.

  2. Pasang niat yang baik, nawaitu kerana Allah.

  3. Jangan lalai dengan kewajiban terhadap Allah seperti solat fardhu.

  4. Tidak melakukan perkara2 haram seperti rasuah, mencuri, dan menipu.

  5. Dan akhirnya pekerjaan itu mestilah dibuat dengan penuh kesungguhan dan terbaik.

Seorang yang hebat dalam pekerjaannya. Namun jika dia tidak solat, maka tiada nilaiannya di sisi Allah. Kerana solat itu tiang Agama. Tidak solat itu maknanya meruntuhkah Agama. Rezkinya tidak berkat biarpun hidup gah dan kaya raya. Walau ada wang berjuta tapi sebenarnya tiada maknanya. Hidup di dunia hanya seketika. Semuanya akan ditinggalkan. Manusia tanpa agama adalah sehina-hina manusia. Bakaran api neraka bakal menantinya pada kehidupan yang kekal abadi.

Masalah ragut tidak berkesudahan, pening pihak berkuasa memikirkannya. Banyak kes ragut yang membawa maut kepada simangsa. Islam dalam syariatnya telah menetapakan bahawa hukum curi (termasuklah ragut ini) ialah potong tangan. Namun manusia menganggapnya zalim dan menolak perlaksanaannya.

Akibatnya kes ragut, curi, samun, rompak akan berterusan hingga ke akhir zaman, percayalah. Sedangkan Allah SWT sudah memberi penyelesaiannya pada permasalahan ini. Kita gagal mempertimbangkannya mengikut neraca Allah SWT. Kita mahu menimbangkan mengikut neraca akal kita yang dirasakan lebih bijaksana. Segala peraturan Allah SWT ada hikmah belaka dan banyak menjurus kepada pencegahan. Itulah penyelasaian mutlak.

Bila kita tinggalkan Islam dalam penghidupan, ia mendekatkan kita pada kegawatan. Kenapa diadakan kempen prihatin 'buang bayi'? Supaya masyarakat membendung gejala buang bayi yang semakin berleluasa itu? Punca masalah sebenarnya ialah zina. Hukuman yang ada ialah "356". Tidak lebih RM3k denda. Tidak lebih 5 tahun penjara dan tidak lebih 6 sebatan. Berjayakah hukuman yang dicipta manusia ini membendung jenayah buang bayi? Tidak.

Dadah adalah musuh nombor satu negara. Berpuluh pusat serenti dengan belanja puluhan juta ringgit terpaksa di wujudkan demi menyelesaikan masalah ini. Apa punca nya? Antara punca utamanya ialah pusat2 hiburan yang tumbuh melata menyuburkan budaya penyalahgunaan dadah untuk menjana keenakan dan keseronokan dunia. Maka selagi mana pusat2 hiburan ini digalakkan pertumbuhannya maka selagi itulah masalah dadah ini akan maju jaya.

Masalah dadah tidak akan pupus jika masih gagal mengikut ajaran Islam yang mengharamkan pergaulan bebas, minuman keras, dan menghampiri zina. Begitulah juga segala kegawatan sosial yang lainnya. Usaha yang lain akan sia2 kerana ia bukan penyelesaian sebenar, hanya sekadar melepas batuk di tangga atau syok sendiri sahaja. Akibat kita tidak yakin kepada Islam maka kita gagal mengambil Islam sebagai penyelesaian kepada kegawatan yang berlaku.

Masalah rumahtangga selalunya berlaku apabila tidak mengambil Islam sebagai panduan. Isteri mestilah mematuhi dan menghormati suami selagi mana arahannya tidak bercanggah dengan syariat Islam. Suami kena faham akan tanggung-jawab dan amanahnya. Apabila masing2 cuba berlagak hero atau menegak ego dan membelakangkan Agama, maka kemusnahan setia menanti.

Kegawatan ekonomi sangat berkait rapat dengan amalan riba. Rupanya Riba ini dalam Islam dosanya 36x ganda lebih besar dari dosa zina. Yahudi menguasai ekonomi dunia dengan amalan riba. Atas dasar kita tidak mengikut peraturan Allah, maka Allah tidak menurunkan keberkatan. Tanpa keberkatan ini jauhlah kita dari mendapat redha Allah. Maka rugilah kita serugi-ruginya, bukan setakat mencapai kegawatan ekonomi namun yang utama akhirnya menjadi bahan bakaran api neraka Allah. Nau'zubillah.

Ada orang mengatakan sama saja perbankan Islam dengan konvensyional. Bezanya cuma akad kata mereka. Itulah antara kegawatan yang wujud. Soal 'aqad' dalam Islam itu sangat penting. Ibarat seorang anak dara yang cantek. Dengan akad nikah mengikut syariat Islam menjadikannya halal untuk digauli oleh suaminya. Namun tanpa akad nikah itu ianya HARAM digauli hatta di 'sentuh' si jejaka (bakal suaminya) tadi. Itulah penting 'aqad' itu. Tanpa syariat Agama kita umpama haiwan, yang halal dan haram sama saja (gadis yang sama, jejaka yang sama).

Manusia tidak akan sesat selama-lamanya selagi mana mereka berpegang kepada ajaran Al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah SAW. Bagaimana nak berpegang dan beramal kepada kedua-dua sumber muktabar ini? Kenalah mengaji, belajar, berguru lagi dan lagi. Jangan jemu ke majlis ilmu. Kena faham dan jelas. Jangan kedekut berkongsi ilmu dan amalkan dalam kehidupan.

Moving forward, marilah kita sama2 meningkatkan kualiti Islam kita dengan pulun habis segala amalan yang wajib. Make sure tak ada yang ketinggalan lagi. Sisa hidup kita tidak lama lagi. Umat Rasulullah SAW di beri peluang untuk hidup sekitar 60-70 tahun sahaja. Penghidupan yang kekal ialah di Akhirat. Maka berjuanglah dan berusahalah untuk hidup yang kekal abadi itu, bukannya untuk hidup yang hanya tinggal beberapa detik sahaja ini.

Amalan sunat adalah perhiasan. Amalan wajib itulah perkara asas. Ibarat pen, talileher, dan jam itu perhiasan. Manakala baju dan seluar itu pakaian wajib. Amat janggal bila kita pakai talileher, pen dan jam tanpa memakai baju dan seluar, betul tak? Jika lengkap asas dan perhiasan, lagi baik. Ada orang melebihkan perkara sunat tetapi melalaikan perkara wajib. Celaru.

Mulai hari ini, sesuatu keputusan atau tindakan yang kita buat hendaklah berlandaskan pertimbangan Allah SWT, bukan pertimbangan yang lain. InsyaAllah.

@@@

No comments:

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...