Hari ini kita dikejutkan dengan berita kematian mengejut Ust Asri (42) vokalis kumpulan Rabbani akibat serangan jantung. Al-Fatihah.
Untuk lebih mengenali arwah silalah ke blog beliau.
Semalam kita membaca di akhbar berita kematian sasterawan Dharmala NS (62).Beberapa minggu lepas kematian political aide Teoh Beng Hock (30), pengarah kreatif Yasmin Ahmad (51), Raja Pop MJ (50), dan pelakon Shukri Hashim (55).
Sebuah kematian di usia yang masih mantap dan tanpa sejarah penyakit yang panjang. Sebuah kematian yang menemukan titik noktah kehidupan di dunia yang fana. Tarikh luput kehidupan dunia bersandarkan kepada pelbagai penyebab seperti lemah jantung, strok, koma, drug overdose, banjir, accident, atau jatuh dari bangunan.
Kematian mempunyai peranan besar dalam memantapkan akidah serta menambahkan semangat pengabdian kepada Allah. Tanpa kematian, manusia tidak akan berfikir apa yang akan terjadi sesudah mati dan tidak akan mempersiapkan diri untuk menghadapinya. Dalam mengingati kematian, Imam Al Ghazali membahagikan manusia kepada tiga tingkatan iaitu:
i. Al Munhamik, iaitu orang yang tenggelam dalam tipu daya dan hawa nafsu dunia. Ia tidak ingat kematian dan enggan untuk diingatkan mengenai kematian. Jika diingatkan pula, akan menjauhkannya daripada Tuhan. Orang seperti ini kurang mempersiapkan bekal untuk menghadapi kematian bahkan hidup mereka terus bergelumang dosa dan maksiat.
ii. At Taib, iaitu orang yang selalu bertaubat memohon keampunan daripada Allah. Ia banyak mengingati kematian yang mendorongnya beramal dan mempersiapkan bekalan di akhirat. Kalaulah tidak menyukai kematian tidak lain kerana mereka khuatir bekalan yang dipersiapkan belum cukup hingga dalam keadaan demikian takut menghadap Allah.
iii. Al ‘Arif, iaitu orang yang mengetahui kedudukan dirinya di hadapan Allah. Ia sentiasa mengingati kematian bahkan selalu menanti saat kematian kerana baginya kematian adalah detik pertemuan dengan Allah, Zat yang selama ini dicintai selain memiliki persiapan untuk menghadapi kematian.
Menurut pandangan ulama, mengingati kematian di samping dapat meringankan beban duniawi, mampu melembutkan hati manusia. Kesombongan, pergaduhan, pertumpahan darah, ketidakadilan serta perilaku negatif wujud akibat kehilangan kelembutan hati.
Mengingati kematian turut mendorong tindakan positif. Manusia akan mengisi hidup yang singkat dengan perkara kebaikan sama ada pada peringkat peribadi, masyarakat, bangsa dan agama.
Sesungguhnya, apabila kematian menjenguk seseorang, tanah dan pasir akan menjadi tempat tidurnya. Munkar dan Nankir menjadi temannya. Kubur menjadi tempat tinggalnya. Hari kiamat menantinya dan syurga atau neraka tempat kembali.
Firman Allah bermaksud: “Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila datang waktu kematiannya. Dan Allah Maha Mengenal apa yang kamu kerjakan.”
(Surah Al Munafiqun: Ayat 11)
Marilah kita petik kata-kata arwah Ust Asri sebagai renungan hikmah :
- Aku adalah pengejar syurga akhirat
- Bagiku dunia ini adalah tempat mempersiapkan segala sesuatu untuk meraih syurga akhirat
- Aku yakin bahawa syurga akhirat tidak akan pernah dapat ku raih kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu
- Maka rumah dan keluargaku adalah syurga dunia paling indah buatku
- Tempat kerja syurga dunia harianku
- Tetangga, masyarakat, dan bangsa adalah syurga duniaku yang lebih luas
- Kemanapun dan sampai bila-bila pun syurgaku bersamaku...
No comments:
Post a Comment