FAKTOR UMUR
Dua minggu lepas saya terserempak dengan seorang hamba Allah di KL East. Dia menegur saya. Saya menjawab tapi agak terkedu, siapa gerangan orang di depan saya ini? Tak cam ke? dia bertanya. Saya masih tidak dapat mengagak siapa dia, Hj Khalil katanya. Masya-Allah sahabat saya di majikan lama dulu. Sudah 10 tahun tidak berjumpa menyebabkan saya jadi lupa paras wajahnya. Nampak agak kurus berbanding dulu. Kami sama2 aktif menjadi AJK surau semasa bekerja di ulu klang dulu. Mungkin faktor umur menjadikan sebahagian memori saya sudah luput. Dia masih cam saya. Alhamdulillah. Kami masing2 bertanya khabar, berbual mesra seketika sebelum berpisah.
Di usia begini saya cuba sedaya upaya untuk memenuhi undangan kenduri kendara, supaya berpeluang untuk bertemu mata dengan sahabat2 lama. Itu platform yang tersedia. Masing2 kita sudah punyai urusan peribadi dan memang payah untuk berjumpa atau bersantai tanpa perkara yang penting. Jadi peluang memenuhi undangan kenduri daripada sahabat handai atau waris warah sangat dihargai dan bernilai bagi saya.
Begitu juga jika ada majlis reunion yang dianjurkan secara berkala atau secara tahunan, juga menjadi platform yang sesuai untuk bertemu mata dengan insan2 yang lama terpisah. Saya dulu tidak berminat untuk menyertai perjumpaan reunion samada anjuran rakan seuniversiti atau sesekolah. Namun setelah di penghujung usia begini, saya mula menyedari bahawa inilah peluang yang ada untuk bertemu dan bertanya khabar kawan2 yang begitu lama tidak berjumpa. Justru saya suka menyeru tuan2 dan puan2 sekelian agar memandang perjumpaan di majlis2 reunion sebegini adalah sesuatu yang signifikan dan bermanafaat.
Pada majlis reunion universiti kami di penghujung tahun lepas, saya ditemukan dengan sahabat saya yang juga merupakan rakan serumah semasa di universiti dulu. Memang sudah lost contact. Saya hanya sekali berjumpanya selepas habis belajar di universiti. Pertemuan itu ditahun 1987 kalau tak silap. Ya benar 38 tahun yang lalu. Bayangkan betapa lama masa berlalu. Kawan2 yang lain pun tidak dapat mengesan kemana dia menghilang. Di era medsos ini pun, dia gagal dikesan. Alhamdulillah dengan izin Allah kawan saya mahadi joned telah berkunjung ke kampung beliau dan mengajaknya untuk hadir ke majlis reunion itu. Kali pertama melihatnya, saya tidak kenal beliau. Pada mata saya dia nampak lain dari dulu. Logik la kan sebab sudah hampir 40 tahun berlalu. Alhamdulillah pertemuan ini menggamit memori lama. Saya bersyukur kerana berpeluang bertemu sahabat2 yang susah dan senang bersama semasa menuntut di luar negara dulu.
Saya sebenarnya tidak pernah mengunjungi majlis2 reunion universiti yang dianjurkan saban tahun walaupun ada yang mengajak. Cumanya di dua tahun kebelakangan ini saya tidak melepaskan peluang untuk memenuhi undangan pihak urusetia. Kerana tadilah, saya sedar ini peluang untuk bertemu rakan2. Pada majlis yang sama, saya diperkenalkan kpd seseorang. Sampai kesudah saya tidak dapat recall siapa beliau? Rupanya sahabat saya samsudin. Dulu saya sering terserempak dengannya dalam urusan tender projek IT atau menghadiri seminar IT di KL. Betapa masa yang berlalu. Dia nampak agak gempal hingga saya terkeliru dan tidak mengenalinya. Beberapa minggu lepas dikhabarkan dia di serang sakit jantung dan dirawat di ICU hospital seremban. Smoga dipermudah segala urusannya untuk kembali pulih.
Pada tahun lepas, dua sahabat saya yang sama batch sekolah telah meninggal dunia. Seorang meninggal setelah beberapa minggu di rawat di hospital kerana komplikasi jantung. Satu lagi sahabat saya seorang peguam di KB meninggal dunia dalam tidurnya di bulan ramadan. Begitulah putaran kehidupan yang akan berakhir dengan kematian. Sesungguhnyya titik kematian itu tidak bisa lewat atau cepat walau sesaat. Kita semua yang masih hidup ini semuanya sedang menuju ke satu pengakhiran yang pasti. Justru marilah kita sama2 muhasabah diri untuk kembali taat kepada Pencipta kita. Sama2 kita sibukkan diri menyediakan bekal ke akhirat yang kekal.
Pada akhir tahun lepas ibu saya meninggal dunia. Umurnya 84 tahun. Dia dapat hidup berdikari selepas kematian bapa saya kurang lebih 24 tahun dahulu. Alhamdulillah Allah membantunya mencapai impian dapat membina rumah idaman di kampung setelah rumah lama yang di bina di atas tanah adik iparnya di robohkan kerana projek pembinaan jalan bypass. Cumanya di pertengahan tahun lalu kesihatannya mula terjejas. Setelah warded selama 10 hari dia meninggal dunia. Saya merasa kehilangannya namun saya sangat bersyukur arwah diberi ruang yang baik untuk dapat hidup dengan selesa. Sesungguhnya mati itu pasti.
Semakin tua diri kita semakin lemah. Itu hakikat. Sakit lutut, lenguh badan, penyakit itu dan bermacam2 penyakit lagi. Allah akan tarik sedikit demi sedikit fungsi anggota badan kita ini selari dengan umur yang semakin meningkat. Tenaga dan upaya sudah tidak seperti 10 tahun dahulu. Lebih cepat kita menyedari perkara ini maka lebih afdal. Setiap hari jana pahala hendaknya, bukan lagi kumpul dosa.
Mati itu sekejap sahaja. Ia titik perpindahan daripada kehidupan di alam dunia kepada kehidupan baru di alam barzakh. Kehidupan dunia ini sementara sahaja. Kehidupan di alam barzakh juga sementara, namun jauh lebih lama. Contohnya Rasulullah yang meninggal di usia 63 tahun, kini berada di alam barzakh sudah melebihi 1,400 tahun. Begitulah kehidupan kita di alam barzakh sehinggalah malaikat meniup sangkakala menandakan hari kiamat dimana manusia akan semuanya berpindah ke alam lain pula. Roda kehidupan terus berputar ke hadapan menuju destinasi akhir samada bahagia kekal di Syurga atau azab yg perit selamanya di neraka.
Selagi Allah memberi kesempatan kita untuk hidup, maka manafaatkan masa untuk ummat. Berbuat kebaikan tanpa had. Berbuat jahat jangan sekali. Mohon taubat sungguh2 atas segala dosa yang pernah dilakukan. Mohon agar Allah memberi redho Nya untuk kita dapat masuk ke syurga Nya.
Sesungguhnya segalanya milik Allah. Tiada satu pun milik kita. Nikmat Allah terlalu banyak tidak terhitung oleh kita. Syukuri segala nikmat ini. Syukuri atas segala aib kita yang Allah sembunyikan daripada pengetahuan umum. Bangkitlah untuk solat malam, merayu dan merintih kepada Nya. Ramadan yang bakal tiba beberapa hari lagi ini, berazamlah untuk memenuhi ramadan kali ini dengan kebaikan dan ibadah dengan maksima dan optima. Jadikan ramadan tahun ini yang terbaik.
Tiada yang dapat dibawa ke alam kubur selain daripada amal ibadah kita. Dunia ini tempat beramal. Jaga solatmu, jaga tutur katamu, dan teruskan kerja dakwah mengajak manusia taat kepada Allah. Bila sudah berpindah ke alam kubur, tiada ruang lagi untuk baramal.
Namun Allah dengan kasih sayang Nya masih memberi talian hayat untuk kita menjana saham akhirat. Pertama, sedekah jariah. Justru mulai hari ini jangan lupa bersedeqah setiap hari. Kedua, ilmu bermanfaat yang ditinggalkan. Guna semua platform dan medium yang ada untuk menyebar luas ilmu yang bermanafaat untuk kebaikan ummat. Curah ilmu di dada dan kongsikan. Setiap ilmu yang kita kongsikan jika digunapakai oleh orang lain maka kita akan juga menerima pahalanya walaupun kita sudah bergelar arwah. Ketiga, ialah doa daripada anak yang soleh kepada ibubapa mereka. Bentuk dan didiklah sedaya upaya agar anak kita ini menjadi anak yang soleh, yang faham agama, cinta ilmu, dan mendoakan kedua ibubapa mereka.
Begitulah sedikit sebanyak curahan hati saya pada posting kali ini. Doakan saya untuk terus berkarya dengan menyelit mesej2 dakwah dan ilmu2 yang bermanfaat.
@@@
No comments:
Post a Comment