Saturday, February 09, 2019

Kerja Dakwah


Buku Apa Khabar Iman merungkai kerja dakwah amnya
 dan jemaah tabligh khasnya, dapatkan naskah anda hari ini.


Sesungguhnya kerja dakwah ini adalah kerja kita semua setiap individu yang mengaku beriman. Masyarakat dahagakan ilmu dan dakwah bagi merobek kepunahan dan kekosongan jiwa di pancaroba akhir zaman. Hidup yang sebentar ini wajar di isi dengan bekalan yang kekal menuju akhirat, bukan disibukkan dengan mengejar dunia yang pasti ditinggalkan.


@@@@@


“Kejayaan itu adalah melalui iman yang sahih dan amal yang soleh,” begitulah antara isi penting bayan Firdaus di Masjid malam tadi. “Tanpa iman, ilmu tidak yakin untuk diamal. Kenapa ilmu tidak dapat diamal kerana yakin kita kurang. Orang yang tidak ada iman dan yakin akan buat benda yang Allah larang.”

Rasulullah SAW dan para Sahabat bersusah hal agama. Kena ada pengorbanan dalam perkara agama. Sebab itu yang Allah mahukan. Kalau Allah berhajat memberi kemudahan kepada Rasulullah SAW dalam perjuangannya sudah tentu Allah boleh memberikannya, tetapi Allah mahukan Rasulullah SAW dan para Sahabat bersusah hal agama. Jadi, begitulah kita sebagai umat Rasulullah SAW kenalah sanggup bersusah perihal agama ini. Usaha dakwah ini menjadi tanggungjawab setiap Muslim hinggalah ke hari kiamat. 

@@@@@

Ibarat menendang bola ke dinding di mana bola itu akan setia melantun balik kepada penendangnya. Kita menyampaikan ilmu dan peringatan menyeru kepada kebaikan kepada saudara se-Islam yang lain, dan secara naturalnya segala isi penyampaian dan peringatan itu menusuk masuk ke jiwa penyampai itu sendiri. Maka lahirlah jiwa-jiwa besar semuda saudara Firdaus ini.

@@@@@

Bak kata Brother Husaini pada salah satu gasht, “Kami ini baru belajar-belajar nak ikut sunnah Rasulullah SAW, ziarah saudara seagama kami, ingat mengingatkan tentang hidup dunia yang sementara dan hidup akhirat yang kekal abadi. Kita kena usaha tingkatkan iman dan amal agar kehidupan dunia ini boleh membawa keuntungan kepada kita untuk dibawa ke alam barzakh dan alam akhirat nanti.

“Sesungguhnya kita bersaudara dengan kalimah toyyibah. Kita bersaudara, ibarat cubit paha kiri paha kanan pun terasa sakitnya. Marilah saudaraku kita sama-sama meningkatkan iman dan amal kita. Sesungguhnya semuanya Allah punya. Kita buang pergantungan kepada makhluk dan masukkan pergantungan hanya pada Allah. Kita beriman kepada Allah dan beramal mengikut cara Rasulullah SAW. Rasulullah SAW solat fardu berjemaah maka marilah kita solat fardu berjemaah di tempat azan diazankan, insya-Allah.”

@@@@@

“Seorang fakir yang tiada naungan dari terik mentari, tiada makanan untuk dijamah, atau pakaian untuk dipakai jika berada di landasan hidayah Allah, adalah lebih berjaya di sisi Allah berbanding dengan seorang yang mewah segala tapi terkeluar daripada landasan hidayah Allah,” itulah antara penerangan yang disampaikan oleh penceramah yang berbahasa Urdu dan di terjemah secara langsung oleh Ustaz Ab Halim (Imam Masjid Sri Petaling) ke bahasa Melayu. Orang yang punyai segala tapi tiada hidayah Allah maka dia tetap gagal.

@@@@@

Syaitan pula berfungsi sebagai penghias. Dia tiada upaya untuk menyesatkan manusia. Hanya Allah yang menyesatkan siapa yang Dia kehendaki. Sehina-hina amalan dan sejijik-jijik perbuatan menjadi kerja syaitan sebagai penghias bagi nampak cantik dan elok. Maka kita minta perlindungan yang sebenar-benarnya daripada Allah daripada tipu daya syaitan itu. Manusia yang ingin buat taat Allah akan sentiasa tanpa putus asa ditarik ke belakang oleh syaitan. Menghalangnya daripada terus maju ke depan pada jalan Allah. Syaitan adalah juruhias yang hebat.

@@@@@

Saudara Kahar ahli jemaah halaqah Bukit Sentosa, pada hari terakhir Ijtimak itu nampak sangat risau kerana anaknya Muzamil yang berusia 12 tahun itu masih tidak muncul setelah berjalan-jalan di kawasan gerai yang berderetan di luar sana selepas bayan Subuh tadi. Sudah beberapa jam anaknya itu tidak dapat dikesan. Saya cuba menenangkannya dengan berkata mungkin dia keluar dengan pak cik di sebelah, namun Kahar berkata bahawa pak cik itu sudah pulang pagi tadi. Setelah beberapa lama mata kami semua melilau kalau-kalau ternampak si Muzamil yang berbaju biru itu sekitar khitta 1, 2 dan 3 itu, namun masih tiada bayangannya. Kerisauan mula meningkat. 

Haji Munir menasihati Kahar untuk kembali kepada Pencipta dalam menyelesaikan musibah atau kesulitan. Solat dua rakaat dan menadah tangan memohon pada Ilahi dengan penuh pengharapan. Semasa Kahar mengangkat takbirratul ihram untuk solatnya itu, sekonyong-konyong saya dan Haji Munir melihat dari kejauhan Muzamil yang berbaju biru itu. Tanpa disedari ayahnya, yang penuh khusyuk dalam solat dan kemudian menadah tangan berdoa agar dikembalikan anaknya. Allah terus menunaikan permintaan hamba-Nya itu secara tunai. Allahhu Akbar.

@@@@@

Saya pula mengalami dua kali kejadian apabila bangkit dari "nap" seolah-olah mendengar deraian hujan, seperti mana suasana pada pagi hari kedua Ijtimak yang diturunkan rahmat hujan yang agak lebat. Haji Munir menafsirkan bahawa bunyi deruan hujan yang saya dengar itulah adalah bunyi malaikat-malaikat yang turun dari langit ke Ijtimak yang penuh barakah itu.

Teringat saya kata-kata saudara Sabri pelajar pondok dari Yala dalam bualan singkat dengannya tempoh hari, “Mungkin tidak banyak ilmu saya dapat di sini tapi saya ke mari kerana hendakkan keberkatan majlis bersama para ulama, kerana nur keberkatan itu tegak ke langit dari tapak ijtimak bersama malaikat-malaikat berbaris dari langit yang berzikir dan mendoakan rahmat untuk kita semua.”

@@@@@

Dakwah adalah satu kerja. Kerja siapa? Kerja kita semua umat Islam akhir zaman. Kita buat usaha ini kerana Allah SWT memerintahkan pada baginda Rasulullah SAW supaya beritahu dan sampaikan agama kepada semua orang. Usaha yang kita buat ini bukan untuk islahkan orang lain tapi untuk islahkan diri sendiri untuk membetulkan iman dan yakin kita. Orang yang dapat hidayah melalui kita, itu natijah daripada usaha yang kita buat tetapi itu bukan maksud kita. Maksud kita yang sebenarnya ialah diri kita dapat diperbaiki.

@@@@@

Bermula ibadah itu dengan niat. Tanpa niat yang ikhlas kerana Allah, sesuatu ibadah bisa jadi sia-sia tanpa ada nilai di sisi Allah. Pabila kita keluar di jalan Allah dengan niat untuk islah diri dan menyampaikan mesej dakwah kepada umat di serata alam, maka ia boleh menjadi sesuatu yang sangat berharga.

@@@@@

Asbab pengobanan generasi para sahabat dan ulama terdahulu membuat kerja dakwah bertebaran diserata alam maka kita beruntung kerana telah mendapat hidayah Allah dan nikmat iman dan Islam di blok nusantara ini. Kita lahir dalam keluarga Islam. Jika tidak, mungkin kita ini masih kekal mewarisi agama nenek moyang kita yang menyembah pokok-pokok atau batu-batu besar atau masih menjadi pengamal agama hindu yang menyembah berhala. Mereka sungguh yakin dengan sebenar yakin akan janji Allah akan balasan syurga menanti untuk setiap usaha dakwah ke serata alam yang ikhlas kerana Allah. 

Maka kini menjadi tanggung jawab setiap kita pula untuk buat kerja dakwah agar generasi akan datang akan terus mendapat syiar Agama Islam yang agung ini. Ikhlas niat Insyaa-Allah.

@@@@@

Itulah antara petikan yang saya ambil dari buku APA KHABAR IMAN karya Hisham AR. Saya syorkan sangat-sangat agar para pengunjung blog ini untuk mendapatkan naskah anda hari ini di kedai-kedai buku tersohor yang berdekatan sebelum kehabisan stok. Semoga manfaat tersebar luas dan menjadi asbab Allah campakkan hidayah di hati anda untuk keluar di jalan Allah untuk islah diri dan membuat kerja-kerja dakwah yang mulia ini.

Atau boleh juga WA penulis di 019-3832132 untuk tempahan secara Pos Laju direct ke muka pintu rumah/ofis anda. Setiap buku akan hadir dengan otograf exlusive penulis. Jazakallah.


#KerjaDakwah
#MaksudHidupKita
#MencariRedhoAllah
#BukuApaKhabarIman


No comments:

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...