Saya dan isteri bersantai semalam dengan berkunjung ke
sebuah pusat membeli belah di Rawang. Kami mengambil peluang menonton filem
terbaru Jackie Chan berjodol The Foreigner. Saya gemar menonton filem lakonan Jackie
Chan kerana ia bermutu dengan jalan cerita yang baik dan sudah tentu padat aksi
penuh seni bela diri dan stun. Beberapa tahun kebelakangan ini filem-fiem
beliau memang dituju untuk pasaran antarabangsa dengan team produksi yang besar
dan kos penerbitan yang tinggi (US$35 juta).
Apa yang menarik dalam filem ini ialah penonjolan aspek
keganasan teroris yang telah mengorbankan banyak nyawa orang awam di bumi
London. Jenayah ini telah dilakukan oleh grup pengganas dari Ireland yang
sangat bermusuhan dengan British. Untuk pertama kalinya isu teroris tidak
dikaitkan dengan orang Islam. Jackie Chan sebagai orang Asia mungkin tidak mahu
menyentuh sensitiviti orang Asia yang
sebahagian besarnya beragama Islam. Malah Jackie Chan mahu menyedarkan dunia
bahawa elemen teroris dan keganasan adalah milik semua, bukan tertumpu kepada
sesuatu etnik atau agama.
Filem ini mengisahkan Quan lakonan Jackie Chan seorang
businessman low profile di kota London yang cuba melupakan masa lampaunya
sebagai tentera elit yang berhijrah ke luar negara asbab kekejaman perang di
negaranya, tapi terpaksa kembali ke medan aksi pabila satu-satu warisnya yang masih
hidup iaitu anak perempuannya terbunuh dalam satu tragedi pengeboman bermotif
politik di tempat awam oleh kumpulan pengganas Irish (IRA). Dia berusaha gigih
mencari pengganas yang bertanggungjawab itu dan bertembung dengan konflik
seorang ahli politik British lakonan berkesan Pierce Brosnan yang
latarbelakangnya dahulu dalam IRA mungkin mengetahui siapa yang melakukan
keganasan itu.
Kembali kepada realiti (bukan filem), dunia dikejutkan
dengan peristiwa tembakan rambang ke atas kelompok penonton Festival Music
Country di Las Vegas, USA pada 1 Oktober 2017. Pada ucapan lintas langsung di
kaca TV, Preiden Donald Trump menyifatkan jenayah ini dilakukan oleh orang gila
maniac (bukan teroris).
Andaian sinonim teroris mestilah (selalunya) orang Islam.
Walaupun pengganas ini dilapurkan menggunakan beberapa laras rifle otomatik
yang berjaya membunuh 59 orang dan mencederakan lebih 500 orang yang lain.
Berikut saya paparkan beberapa petikan berita yang saya dapati di internet
sebagai memberi sedikit gambaran apa yang sebenarnya berlaku.
Seorang lelaki bersenjata membunuh sekurang-kurangnya 50
orang dan mencederakan lebih 200 yang lain pada satu festival muzik di Las
Vegas Strip dengan menembak dari tingkat 32 sebuah hotel selama beberapa minit
sebelum ditembak mati oleh polis. Angka kematian yang disifatkan polis sebagai pengiraan
awal itu akan menjadikan serangan terbabit sebagai insiden pembunuhan
beramai-ramai paling buruk dalam sejarah Amerika Syarikat, mengatasi insiden
pembunuhan 49 orang di kelab malam Orlando tahun lalu. Ribuan pengunjung yang
panik melarikan diri dari tempat kejadian sehingga ada yang dipijak ketika
anggota keselamatan cuba mengesan dan membunuh lelaki bersenjata itu. Ramai
pengunjung konsert yang dalam keadaan terkejut dengan pakaian dibasahi darah
kelihatan merayau-rayau di jalanan selepas serangan itu. Sherif Clark County,
Joseph Lombardo, memberitahu pemberita suspek adalah seorang lelaki tempatan
Las Vegas yang bertindak sendirian dan dipercayai tiada kaitan dengan sebarang
kumpulan militan. "Kami tidak tahu apa kepercayaannya," kata
Lombardo. "Pada masa ini kami percaya dia satu-satunya pelaku."[1]
Penyerang Las Vegas, Stephen Craig Paddock, yang menyeludup
masuk senjata ke dalam hotel dan melepaskan tembakan rambang kepada pengunjung
konsert dari tingkap bilik hotel di tingkat 32, dikatakan seorang kaki judi
tegar. Bapanya pula pernah merompak bank dan disenaraikan antara individu
paling dikehendaki Biro Siasatan Persekutuan (FBI). Akauntan bersara berusia 64
tahun itu mempunyai rumah dengan teman wanitanya di lapangan golf di Mesquite,
Nevada, 130 kilometer ke timur laut pusat perjudian Amerika Syarikat. Dia
dikatakan kerap menghantar biskut kepada ibunya yang berusia 90 tahun di
Florida.
Menurut adik lelakinya, Eric Paddock, abangnya tidak
menunjukkan sebarang petanda mahu melakukan antara jenayah pembunuhan
beramai-ramai paling buruk dalam sejarah AS. Daesh mendakwa Paddock adalah
antara 'tenteranya' yang memeluk Islam sejak beberapa bulan lalu dan
melancarkan serangan atas nama Islam. Ia memberikan nama Abu Abdel Bar
al-Amriki kepada Paddock, bermakna 'Si Amerika'. Namun FBI berkata, mereka
tidak nampak sebarang kaitan antara Paddock dengan pergerakan pengganas itu
menyebabkan negara itu dalam kebingungan memahami motif kejadian malam
kelmarin, yang meragut 59 nyawa dan lebih 500 lagi cedera. Paddock ditemui
mati, dipercayai membunuh diri, apabila pasukan SWAT menyerbu biliknya di Hotel
Mandalay Bay, antara hotel terkemuka di Las Vegas.[2]
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump hari ini
berkata, lelaki bersenjata dalam tembakan besar-besaran di Las Vegas kelmarin
adalah 'seorang individu sakit,' namun enggan menggelarnya keganasan domestik.
Pemimpin itu juga berkata, undang-undang pemilikan senjata api akan
dibincangkan kemudian. "Kami akan berbincang mengenai undang-undang senjata
sejajar dengan masa," kata Trump kepada media di Rumah Putih. Ditanya jika
insiden tembakan itu adalah tindakan keganasan domestik, Trump menambah:
"Penyerang adalah lelaki yang sakit, lelaki gila. Saya fikir, dia mungkin
menghadapi banyak masalah dan kami sedang menyiasat latar belakangnya dengan
teliti."
Dalam pada itu di Las Vegas, penyiasat kini berusaha mencari
maklumat mengapa seorang pesara akauntan menembak mati sekurang-kurangnya 59
orang dan mencederakan lebih 500 lain dalam satu konsert terbuka, dari bilik
hotel tingkat 32 yang dipenuhi senjata. Ketika AS berdepan insiden tembakan
besar-besaran paling dahsyat dalam sejarah, pihak berkuasa memberi reaksi
berhati-hati terhadap dakwaan Daesh bahawa Stephen Craig Paddock, 64, melakukan
serangan bagi pihak kumpulan militan itu. Polis berkata, Paddock, yang tidak memiliki rekod jenayah,
memecahkan tingkap bilik hotelnya sejurus selepas 10 malam Ahad dan menembak
tanpa henti senjata automatik ke arah ribuan pengunjung konsert di bawah. Dalam
rakaman pembunuhan disiarkan CNN, bunyi tembakan tanpa henti kedengaran ketika
pengunjung menjerit dan mencari tempat berlindung tanpa tahu dari mana tembakan
dilepaskan. Daesh menerusi kenyataan dalam talian mendakwa, Paddock adalah
seorang daripada 'askarnya' namun Biro Siasatan Persekutuan (FBI) berkata, ia
tidak menemui sebarang kaitan dengan sherif tempatan menggambarkan penyerang
sebagai seorang 'lelaki sakit jiwa' yang gemar bersendirian. [3]
Sebagai konklusi umum atas tajuk ancaman teroris ini, saya cenderung
untuk menyatakan bahawa kumpulan pelampau atau tindakan keganasan ini boleh
berlaku di dalam mana-mana masyarakat atau tamadun manusia, hatta di
Negara-negara maju seperi USA dan Britain sekali pun. Selalunya atas
ketidakpuasan hati akan sesuatu perkara. Maka sangatlah tidak adil untuk
melabel ungkapan teroris itu kepada individu atau kumpulan orang Islam semata
sebagaimana yang berlaku sekarang. Tanggapan prejudis begitu sungguh tidak
benar.
@@@
[1] https://www.bharian.com.my/dunia/amerika/2017/10/332821/angka-korban-tembakan-las-vegas-cecah-lebih-50-orang
[2] https://www.bharian.com.my/dunia/amerika/2017/10/332935/penyerang-las-vegas-kaki-judi-tegar
[3] https://www.bharian.com.my/dunia/amerika/2017/10/333211/penembak-vegas-seorang-individu-sakit-trump
No comments:
Post a Comment