CLICK n GO

Tuesday, January 28, 2014

Kamu Rugi?

Rukun iman ada enam. Yang pertama ialah percaya kepada Allah. Percaya kepada Allah dengan menjunjung segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Siapa Allah? Dia Tuhan semesta alam. Allah hanya Allah, tidak boleh sama dengan yang lain. Allah bersifat Esa. Allah adalah nama khas untuk Allah. Kalau diterjemah kalimah Allah kepada kalimah lain seperti God atau Tuhan, maka ia tidak sama.

Kalimah Allah itu unik dalam bahasa arab dulu kini dan selamanya. Tidak boleh diterjemah ke bahasa lain. Kalimah Allah layak di guna oleh sesiapa pun. Yang pelik bin ajaib bila nama Allah dijaga, tapi hukum Allah tidak dijaga?

Junjung segala perintah Allah. Tinggal segala larangan-Nya. Politik adalah bahagian dalam agama. Bila bicara soal politik di masjid, orang bising, ada yang komplen. Sedangkan yang dibicara ialah hukum Allah, perintah Allah. Mana boleh pilih2 hukum Allah. Beriman macamana kita ini kalau tidak ada ilmu? Percaya tapi tidak tahu. Kena tahu. Maka kena belajar. Kena cari ilmu supaya tahu. Sebab itulah hukum menuntut ilmu agama ini wajib. Percaya dalam kedaaan tidak tahu ialah tidak waras. Atau bahasa kasarnya bengong. Mesti kena belajar, taa'lum, kena mengaji. 

Menuntut ilmu agama itu fardu ain iaitu wajib bagi setiap lelaki dan wanita Islam. Wajib ini pada pandangan feqah buat dapat pahala, tinggal dapat dosa. Pada pandangan aqidah pun sama. Fardu pula pada sudut feqah sama dengan wajib iaitu buat dapat pahala tinggal dapat dosa. Namun berlainan pada sudut aqidah, Fardu itu bila buat dapat pahala, bila tinggal boleh rusak aqidah. Berat tu.

Pernah terjadi satu kes dulu, seorang pesalah minum arak di hukum sebat 40 sebatan oleh mahkamah syariah. Setelah mendapat pelbagai rayuan dan tekanan maka hukuman itu dikurangkan kepada 6 sebatan. Kemudian kes itu telah di tutup pabila si pesalah mendapat keampunan daripada pemerintah. Kes tinggalkan hukum Allah kerana tiada ilmu. Mana mampu seorang manusia mengampunkan dosa orang dengan Allah? Undang2 sivil dapat mencabar undang2 syariah? Yang parah lagi bila mahkamah syariah yang ada tidak mengikut syariah pun. Rusak aqidah bila tinggalkan hukum kerana tiada ilmu. 

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian -Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (Al-'Asr: 1-3)

Surah yang pendek namun maknanya terlalu dalam. Allah bersumpah demi masa. Kenapa Allah bersumpah? Kerana ia sangat penting. Ia membicara perkara kehidupan hingga ke Akhirat. Manusia dalam kerugian. 

Digunakan kalimah insan. Dalam al-Qur'an biasa digunakan dua kalimah untuk membawa maksud manusia iaitu samada Insan atau An-Nas. Pada surah Al-'Asr ini Allah menggunakan kalimah Insan. Apa bezanya antara dua kalimah ini? Kalimah An-Nas ini digunakan sebanyak kurang lebih 100x dalam al-Qur'an manakala kalimah Insan pula digunakan kurang daripada 50x. An-Nas ialah mewakili semua manusia. Manakala Insan pula ialah mewakili orang2 yang beriman dan beramal dengan amalan soleh. 

Maka surah Al-'Asr ini menyatakan hai kamu orang2 beriman, semua kamu ini berada dalam kerugian. Apatah lagi seluruh manusia yang lain, lebih2 lagilah mereka itu dalam kerugian. Jelas? 

Rugi di sisi Allah bukan macam rugi yang selalu kita bicara iaitu macam rugi dalam berniaga keropok lekor dan sebagainya. Rugi di sisi Allah membawa begitu besar implikasinya yang tidak dapat di gostan iaitu kamu akan dihumban ke dalam bakaran api Neraka Allah. Itulah rugi di sisi Allah.

Jadi bila Allah bersumpah bahawa kamu semua orang2 beriman yang melakukan amalan soleh sekelian, kamu semua dalam kerugian. Tentunya bakal dihumban ke dalam api Neraka Allah. Ini perkara serius bukan perkara main2. Yang rugi ke Neraka. Yang untung ke Syurga. Sebab itulah kena ada ilmu supaya dapat memahami dan menjiwai al-Qur'an, baru boleh rasa terkesan dan sedar dari alpa yang lama.

Ada kisah seorang sufi, sedang dia membaca al-Qur'an tiba2 mati dia. Isterinya pergi mengadu hal kepada jirannya yang juga seorang sufi. Maka jirannya tadi bertanya surah apakah yang sedang dibacakan oleh suaminya tadi? Setelah diberitahu maka jirannya tadi pun turut membacakan, tiba2 dia juga turut gugur dan mati. Sufi mati baca al-Qur'an. Kita pula mati2 tak baca al-Qur'an. Itu beza orang yang bisa menjiwai al-Qur'an, gementar dan gerun dia akan segala ancaman dan larangan Allah.

Kamu semua dalam kerugian (kelompok manusia yang sudah ditapis tadi). Kecuali ada empat golongan yang tidak rugi. Empat golongan yang untung. Siapa mereka ini?

  1. Orang yang beriman dengan Allah dalam erti kata yang sebenar-benarnya iaitu dengan iktikad yang jazam (mati). Bukan sekadar mempertahan kalimah Allah tetapi mempertahankan segala hukum Allah dan perintah Allah.
  2. Orang yang beramal dengan segala amalan yang soleh iaitu semua amalan yang mengikut perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya.
  3. Orang yang berpesan-pesan dengan kebenaran iaitu menyampaikan yang haq walaupun pahit hatta boleh mengancam keselamatan diri, menyatakan yang haq itu haq dan yang bathil itu bathil kepada seluruh manusia tidak kira siapa pun dia.
  4. Orang yang berpesan-pesan dengan kesabaran, iaitu orang yang menyampaikan kalimah Allah,  menyeru kepada Islam dan iman untuk kembali taat pada Allah dengan penuh sabar tanpa putus asa atau rasa jemu walaupun di halangi oleh pelbagai dugaan dan halangan.


Sudah tentulah lebih afdal untuk kita membaca dan mengaji dengan ulama' beriman akan tafsir surah Al-'Asr ini bagi kemantapan ilmu yang hakiki. Agar apa yang kita iktikad tidak lagi samar atau masih belum jelas sejelas-jelasnya. 

Ya Allah, masukkan kami ke dalam kelompok yang sedikit itu, kelompok manusia beriman yang beruntung di sisi Mu, walaupun mungkin rugi di sisi makhluk di dunia yang fana ini. Jadikan kami ini termasuk dalm kelompok umat Nabi SAW yang untung di Akhirat nanti, bukan kelompok yang rugi.

@@@

Thursday, January 23, 2014

Tujuan Hidup

Apa tujuan hidup? Hidup ini adalah untuk beribadah kepada Allah. Hidup ini ialah medan ujian. Hidup di dunia ini bersifat sementara namun setiap perlakuan kita akan diambil kira sebagai pahala atau dosa. Hidup di Akhirat itu bersifat lebih baik, kekal abadi dan merupakan destinasi sebenar kita semua. 

Mari kita semak beberapa penyataan dalam Al-Qur'an dan Hadis mengenainya:

  1. "Dan Aku tidak ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku." (Adz-Dzaariyaat: 56)
  2. "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, 'Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.'" (Al-Baqarah: 30)
  3. "Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkan-Nya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia lah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu: "orang-orang Islam" sejak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dia-lah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifat-Nya) Dia-lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan. (Al-Hajj: 77-78)
  4. “(ALLAH) yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya, dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (Al Mulk: 2)
  5. “Apabila seorang manusia meninggal maka putuslah amalnya, kecuali tiga hal: Sedekah jariyah atau ilmu yang bermanfaat sesudahnya atau anak yang shalih yang mendo’akannya”.  (Hadis riwayat Muslim, Abu Dawud, At-Tirmidzi, Nasa’i dan Ahmad)
  6. “Hai kaumku, sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (sementara) dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal.“  (Al Mu’min: 39)

Matlamat kejadian manusia ialah menyembah Allah iaitu tunduk dan patuh melaksanakan ibadah kepada Allah SWT. Islam amat mementingkan pembangunan rohani demi membangunkan tamaddun manusia. Untuk melaksanakan peranan itu muslim hendaklah melengkapkan diri mereka dengan ilmu yang teras dalam ajaran Islam di samping ilmu pembangunan duniawi. 

Secara umumnya ibadah terbahagi kepada dua iaitu ibadah khusus dan ibadah am. Ibadah khusus ini kita sedia maklum ialah ibadah yang di wajibkan termasuklah solat fardu, puasa Ramadan, zakat, ibadah haji, menuntut ilmu dan berdakwah. Selain itu ibadah2 sunat seperti sedekah, solat2 sunat, zikrullah, selawat, dan menyebar salam. Setiap perlakuan duniawi ini boleh menjadi ibadah am sekiranya dilakukan oleh seorang Islam, yang berniat ikhlas kerana Allah, tidak menggangu ibadah khusus, dan tidak bertentangan dengan syariat Islam. Tepuk dada tanya iman.

Kenal diri maka kamu akan kenal Allah. Namun ramai yang tidak menggunakan akal yang di kurnia Allah untuk mengenal diri dan mengenal Allah. Ramai yang memilih untuk menjadi ahli Neraka. Nau'zubillah. Ramai yang memilih untuk lupa diri dan lupa Allah. Pahit tapi benar.

Tidak menggunakan mata yang Allah pinjamkan ini untuk membaca Al-Qur'an, melihat penciptaan langit dan bumi. Tidak menggunakan telinga untuk mendengar ayat2 Al-Qur'an, hadis2 Nabi yang diperincikan, nasihat2 agama, atau peringatan para ulama yang dibentangkan. 

Ramai yang memilih untuk lalai daripada mengingati Allah. Sedangkan kelalaian ini adalah penyakit yang sangat parah yang bisa menyumbang kepada 6 penyakit kelalaian hati yang utama iaitu bimbang/gundah-gulana, sedih, lemah, malas, takut menyatakan yang hak, dan kedekut. Terlalu mengejar dunia dan takut bicara soal mati.

Ramai yang kekal bergelumang dengan maksiat. Tidak rasa bersalah pun bila tidak solat atau tidak menutup aurat. Kelalaian ini sebenarnya akan menambah kekecewaan dan penyesalan sekurang-kurangnya tika sakratul-maut. 

Firaun di kurniakan kelebihan tidak pernah sakit berat, kekayaan yang melimpah dan kekuasaan mutlak namun Firaun yang jahat giler itu pun begitu menyesal tika sakratul maut beberapa detik sebelum di telan belahan Laut Merah hingga mengakui beriman dengan Tuhan Nabi Musa namun semuanya terlambat dan dia kekal di azab dalam api Neraka Allah.

Sesiapa yang lalai dan tidak bertaubat akan menyesal tika sakratul maut nanti. Jangan sampai dunia ini menyebabkan kamu lalai daripada mengingati Allah. Manusia kerap berbangga dengan harta dan pangkat sehingga tidak sedar itu semua anugerah Allah.

Kalau kesenangan dan hiburan dunia menjadi objektif maka bila mati hilang dunia. Tapi jika redha Allah yang kamu cari maka ia kekal. Nikmat Allah tidak terkira banyaknya. Nikmat iman, Islam, sihat, dan seluruh nikmat2 dunia. Maka syukuri. 

Allah ciptakan 100 nikmat dan apa yang Allah kurniakan di dunia ini baru 1 unit daripada 100 unit nikmat itu. Menanti lagi 99 unit nikmat di Akhirat nanti. Usah tertipu dengan pujuk rayu dunia yang sementara ini. Destinasi seorang muslim ialah Akhirat.

Akan tetapi manusia menzalimi diri sendiri dengan memilih untuk ingkar dan kufur nikmat. Terlalu sedikit yang bersyukur. Udara yang Allah bagi free, tiada bil bulanan yang dikenakan. Nikmat tidur dan makan yang Allah kurniakan. Allah menyeru kita syukur segala nikmat ini. Jika nikmat2 ini engkau syukuri, maka Aku akan gandakan lagi. Jika nikmat itu dilupa maka azab menanti. Kecelekaan besar bila bermegah-megah dengan dunia ini.

Lahirkan syukur qauli iaitu dalam lisan termasuklah ucapan Alhmdulillah dan fikli iaitu dalam perbuatan termasuklah patuh segala perintah Allah seperti mendirikan solat. Gerakkan kaki kita melangkah ke tempat yang baik2. Banyakkan zikrullah. Bersegeralah mencari keampunan Allah, mengejar Syurga Allah yang seluas langit bagi orang yang bertakwa. Takwa mutaqqin iaitu bergetar jiwanya takutkan Allah, taat melakukan suruhan dan menjauhi larangan Allah, seterusnya membersihkan hatinya daripada kelalaian iaitu dengan sentiasa mengingati Allah setiap masa.

Jangan sebab harta dan anak-pinak menyebabkan kamu lalai daripada mengingati Allah. Yang sadisnya 80% daripada ahli masyarakat Islam di negara kita masih tidak menunaikan kewajiban solat fardu. Induk kepada sebuah kesyukuran itu iaitu solat masih diabaikan. Maka terhijablah dirinya daripada melakukan kebaikan. 

Allah kurniakan jiwa yang tenang kepada orang yang beriman. Masjid ialah tempat terbaik untuk mengingati Allah, hati akan tenteram dan tenang. 

"Ya Allah! Bantulah aku untuk mengingati Mu, bersyukur kepada Mu dan beribadat dengan baik kepada Mu" 
(Riwayat Abu Daud dan Al-Nasa’i)

Jadikan Islam sebagai cara hidup kita. Cari bekalan Akhirat sekarang. Usah tunggu esok, lusa, bila grad nanti atau bila sudah bersara nanti. Bertindak sekarang. Fahami tujuan hidup. Dunia di cipta untuk manusia namun manusia dicipta untuk Akhirat. Jangan jadi manusia majoriti yang rugi.

Terjemahkan setiap denyut nadi ini menjadi ibadah yang ada nilaiannya di sisi Allah. Semoga kita hidup dalam iman. Sakratul maut nanti pun dalam iman dan terhijab dari disesatkan syaitan. Bukan sekadar teori tetapi aksi melaksanakan plan bertindak komprehensif untuk sampai ke destinasi akhir yang terhebat iaitu hidup kekal abadi di Syurga Allah.

@@@

Tuesday, January 21, 2014

Kaki Melangkah

Kaki ini melangkah namun hakikatnya Allah yg menggerakkan kaki ini untuk melangkah. Kita lahir dulu bergelumang najis, hidup kini pun membawa najis ibarat lori tank Indah Water, mati besok pun jadi bangkai tak ada nilai (lembu lagi bernilai sebab matinya disembelih dan boleh di jual).


Hakikatnya begitulah kita ini. Tidak punya apa2. Hina, lemah dan tiada daya upaya. Semuanya milik Allah. Justru renung dan fikir akan kekayaan & kebesaran Allah, barulah kita sedar siapa kita ini. Allah yang angkat kita menjadi semulia-mulia kejadian. Harapnya aku ini layak bergelar Hamba Allah, yg patuh pada Allah.

Kenal diri maka baru dapat kenal Allah. 40 tahun dulu tika aku lahir, aku ini tak tahu apa2. Allah pinjamkan akal, Allah bagi ilmu, Allah bagi kekuatan, Allah bagi pancaindera, Allah bagi udara, bagi air, bagi makanan, maka membesar aku hingga dewasa kini. Kenal diri bahawa aku ini hina, lemah, tiada upaya melainkan semuanya milik Allah belaka.

Beramal itu wajib, namun bergantung kepada amal itu tidak boleh. Mesti bergantung kepada Allah. Yang menghasilkan amal itu Allah. Bergantung kepada usha, tak boleh. Kita beramal dan berusha tetapi yang sampaikan ialah Allah. Bergantung kepada Allah. Apa pun kita buat, pergantungan hati mestilah kepada Allah. 

Kena kenal siapa diri kita? Kamu itu fakir di sisi Allah. Allah yang bagi kita tidur. Ada orang yang tak boleh tidur. Boleh mari masjid tak tanpa hidayah Allah? Tidak. Semua Allah sudah susun elok. Sentiasa kita berhajat kepada Allah. Seorang Hamba Allah tidak akan nampak apa pun yang boleh menolongnya melainkan Allah. Kena rasa diri ini fakir dan dhoif. Fakir itu terlajak miskin. Dhoif itu terlampau lemah. 

Orang kaya jangan sombong kerana Allah boleh bagi kamu miskin dalam sekelip mata. Orang miskin jangan putus asa kerana Allah boleh mengubah nasib kamu dalam sedetik waktu. Allah itu kamalat iaitu penuh kesempurnaan. Kenal diri kita yang kita yang penuh kelecehan ini, baru boleh kenal Allah yang Maha Sempurna itu. Tak nampak kaya dia kerana tenggelam dek kaya Allah. Tak nampak hebat dia kerana tenggelam dek hebatnya Allah. 

Semua barang ada tarikh luputnya. Takkan kita tiada tarikh luput? Manusia pun ada tarikh luput iaitu kematian. Semua yang kita miliki ini ialah barang pinjam. Ibarat pakai kereta pinjam, maka sekejap ada sekejap tiada. Maka jangan ada sifat aku punya, usha aku, milik aku, kerana semua milik Allah. Bila mati semua terpaksa ditinggalkan. Buang semua sifat keakuan itu.

Apa yang kita boleh buat? Boleh buat sebijik beras? Boleh buat seekor nyamuk? Tawadduk ini ialah merendah diri. Belajarlah jadi orang yang tawadduk. Beras itu dari padi yang di mesin, buat tepung beras, campur air buat tempe.  Tapi boleh tak manusia buat sebijik beras? Jawabnya tak boleh. 

Tiada yang kuasa melainkan kuasa Allah. Allah yang menentukan takdir. Takdir ini ada dua jenis iaitu bersifat qadim (tetap sejak azali) atau baharu. Jika bersifat baharu yang tidak bertentangan dengan syarak maka bolehlah diteruskan.  Yang ada pada Allah itu bersifat qadim iaitu kekal. Yang berlaku itu bersifat baharu.

Contohnya berlaku seorang pemuda yang pergi ke masjid. Maka kita redha kerana ia satu perbuatan baik. Satu lagi contoh orang buat tok kong hindu. Adakah ikut syarak? Tidak. Maka adakah kita kena redha? Sudah tentu tidak. Sesuatu yang berlaku yang bersifat baharu ini, jika tidak menepati syarak dan berbentuk maksiat maka wajib kita tidak terimanya. Jangan cebderung kepada orang zalim kerana nantinya kamu akan disambar api neraka.

Imam Nawawi menentang hasrat kutipan cukai oleh raja di zamannya. Katanya jual dulu harta raja dan sekiranya masih tidak cukup maka barulah boleh dikenakan cukai itu pada rakyat. Apa yang berlaku hari ini ialah cukai dikenakan kepada rakyat sedangkan para pemerintah masih menjalani kehidupan mewah mereka seperti biasa. Maka janganlah disokong pemerintah yang zalim sebegini.

Redha dengan Allah dengan cara beriman dan mentaati Allah. Jangan redha kepada zalim, maksiat dan kufur. Mohonlah makrifat Allah iaitu anugerah Allah. Nak tuang apa-apa ke dalam gelas mestilah dipastikan gelas itu bersih dahulu. Allah sudah tuang dalam hati ini pelbagai anugerahnya. Dia pilih hati yang bersih. Sentiasa bersihkan hati kita. Allah kasih orang yang bertaubat. Allah campakkan taat buat nya, syukur. Dapat buat taat, syukur. 

Bila dapat bala dan ujian, sabar. Kekadang apa yang kamu benci itu baik untuk kamu. Dan apa yang kamu suka itu, kekadang mudarat buat mu. Orang yang buat maksiat tapi menyesal dan bertaubat itu lebih baik sebenarnya daripada orang yang taat tapi sombong. 

Bersihkan hati dan sentiasa berharap kepada Allah. Amalkan doa muaz mohon kekuatan untuk taat, syukur dan meningkatkan ibadah kita. 

Doa Muaz:                  

اللهُمَّ أَعِنِي عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Ya Allah! Bantulah aku untuk mengingati Mu, bersyukur kepada Mu dan beribadat dengan baik kepada Mu
(Riwayat Abu Daud dan Al-Nasa’i)


@@@ 

Saturday, January 11, 2014

Allah Pilih Aku

"Jemput ke Masjid malam ni ada Qiamullail pimpinan Ust Hazri," begitulah sms yang di terima isteri saya daripada seorang kawan. Mesej itu isteri saya terbaca tika bangun solat subuh. Mesej berkenaan dihantar oleh kawan tadi pada pukul 3:20 pagi. 

Sebelumnya iaitu pada pukul 8:20 malam isteri saya telah mendapat sms, "Datanglah ke masjid, malam ni Ust Uda Kassim, best." Sms itu juga dihantar oleh kawan yang sama. Mungkin kawan isteri saya ini kehairanan kerana beberapa hari ini tidak melihat kelibat saya dan isteri di Masjid. 

Pagi ini setelah habis bersarapan saya berbual-bual santai dengan isteri. Kata saya, "Allah sebenarnya nak uji kita. Perasan tak beberapa hari ini walaupun niat di hati nak berkunjung ke Masjid saban malam seperti biasa tapi Allah telah memberikan beberapa halangan dan ujian kecil. Allah tidak memilih kita untuk ke rumah-Nya, menjadi tetamu-Nya." 

Hasilnya ialah kita telah gagal berkunjung ke Masjid. Allah tidak memilih kita untuk menjadi tetamu-Nya untuk beberapa malam ini. Mungkin untuk sedarkan balik bahawa mu pergi ke Masjid bukan sesuka hati mu saja tetapi mu telah di pilih. Maka setiap kali terpilih untuk ke Rumah Allah angkatlah tangan berdoa penuh kesyukuran, "Ya Allah, aku syukur Engkau telah memilih aku untuk ke Masjid pada kali ini, Amiiin."

Allah nak uji supaya perbetulkan niat. Aku ke Masjid ini bukan sebab aku balik awal dari ofis atau sebab aku suka Ustaz ini atau Ustaz itu. Aku bukan ke Masjid ini kerana aku ini kaki Masjid atau aku ini cinta ilmu. Bukan. Aku ke Masjid ini nawaitu kerana Allah.

Allah yang memilih aku untuk ke Masjid malam ini. Allah memilih aku. Aku yang terpilih berbanding dengan 30,520 umat Islam yang lain yang ada di khariah Masjid ini. Allah yang pilih aku. Bukan saja-saja aku mari ini. Allah yang gerakkan hati aku untuk mari. Allah yang bagi kelapangan, kesihatan, kemudahan untuk aku mari malam ini. Aku menjadi salah seorang daripada 82 orang yang berada dalam kuliah maghrib malam ini, Alhamdulillah.

Saya merenung kembali dialog dengan isteri malam tadi. "Pa, pergi masjid tak malam ni?" Saya sebenarnya sampai ke rumah sebelum maghrib dari ofis. Mengikut kebiasaannya ia memberi suasana yang kondusif dan ruang yang lapang untuk saya dan isteri sempat ke Masjid sebelum maghrib atau paling tidak pun berkunjung selepas menunaikan solat maghrib berjemaah di rumah dahulu.

Setelah berdiam diri seketika saya bersuara, "Tak kot Ma sebab kaki papa ni sakit lagi la." Tu dia alasan yang agak munasabah. "Ok," sampuk isteri saya mudah. Allah nak uji apakah aku ini sudah mantap iman dan kukuh akidah. Rupanya goyang dan mudah sangat goyahnya, bak pokok pisang di kocok angin, terhoyong-hayang menunggu rebah. Iman yang turun naik.

Kalau pada kebiasaan, isteri yang agak mantap pendiriannya untuk ke Masjid setiap malam kerana begitu teruja dengan majlis2 ilmu yang berlangsung dan pautan hatinya yang katanya begitu tenang dan damai tika berada di Rumah Allah, akan menafikan alasan yang saya beri untuk tidak ke Masjid malam ini. "Boleh tak mama pergi sendiri ke Masjid malam ni?" Respon sebegitu yang saya biasa dengar. Tapi malam ini rupanya Allah mahu uji. 

Nikmat ibadah yang Allah tarik balik untuk beberapa hari ini. "Ya Allah, menyesalnya mama dah beberapa hari tak dapat ke Masjid," keluh isteri saya menuju ke dapur tadi. Allah uji dengan kesibukan isteri saya masak dinner untuk anak2 kami yang balik dari UIA. Allah sibukkan dengan kerja2 rumah yang tak berkesudahan. Allah uji dengan suami yang tak berapa sihat.

Allah uji pula saya dengan beberapa ujian juga. Malam pertama hari tu tak sempat ke Masjid kerana balik lambat kerana urusan anak di UIA dan beli netbook anak. Malam kedua, balik lambat sebab ada urusan kerja. Malam kedua di timpa masalah demam dan terpaksa menelan ubat dan berselimut di katil. Malam ketiga pula di uji dengan sakit kaki. Malam keempat, walaupun balik awal tapi di uji lagi dengan kepenatan dan rasa tidak sihat. Semuanya Allah nak uji.

Maka benarlah aku ini terpilih untuk ke Masjid. Ia bukan berlaku secara gitu2 saja. Siapa yang pilih? Allah. Ibarat kita tidak akan sembarangan menerima orang asing untuk menjadi tetamu di rumah kita. Allah akan memilih siapa yang Dia ingini untuk menjadi tetamu di rumah-Nya.

Saya dan isteri bukan tiada niat untuk ke Masjid. Memang dah niat. Memang dah rancang. Tapi asbab sedikit ujian yang Allah berikan, segala hajat itu gagal terlaksana. Betapa mudah goyahnya. Ingatkan sudah utuh dipasak hingga tertegak sebagai binaan yang kukuh. Rupanya tanggapan yang meleset sama sekali. Allah hanya uji sedikit sahaja, berkecai runtuhnya.

"Ya Allah, pilihlah aku untuk menjadi tetamu-Mu. Ya Allah, kurniakan kami taufiq dan hidayah-Mu." Apakah itu taufiq? taufiq itu ialah kekuatan untuk melaksanakan hidayah Allah. Allah dah bagi hidayah untuk pergi ke Rumah Allah, mengerjakan solat2 sunat, mengerjakan solat fardhu berjemaah, dan duduk di majlis ilmu tetapi kekuatan dan iltizam untuk melakukannya tiada atau diberi sedikit ujian, maka gagal juga. Justru itulah taufiq sangat utama. Mesti di pohon berpasangan dengan memohon hidayah Allah.

Sebagai konklusi usahlah dibangga aku ini kaki masjid atau pencinta majlis ilmu. Semua milik Allah. Allah bisa membolak-balik hati seseorang dalam split second. Usah bangga diri apatah lagi riak. Usah fikir aku ke Masjid ini sebab aku kaki masjid. Atau aku ke masjid ini sebab aku cinta ilmu.

Aku ke Masjid ini kerana Allah. Aku taat pada Allah. Aku mencari redha Allah. Aku ke Masjid kerana tiada sebab lain. Aku ke Masjid bukan kerana makhluk. Bersihkan hati ini. Kosongkan hati ini. Isikan dengan Allah semata. "Ya Allah, kembalikan nikmat ke Masjid ini. Janganlah engkau tarik balik nikmat ini."

@@@

Friday, January 10, 2014

Jadi Orang

Allah nilai keikhlasan amal seseorang. Allah tak terima amal orang yang tak ikhlas. Maka berikan yang terbaik. Habil anak Nabi Adam telah mempersembahkan seekor binatang peliharaannya yang paling sihat dan gemuk sebagai korbannya dan Allah telah menerima korbannya itu. Berbanding dengan persembahan korban Qabil yang bermutu picisan.

Jika kita ingin bersedekah atau menderma maka berilah yang terbaik dengan ikhlas, bukan menggunakannya sebagai peluang untuk clear stor. Kita beri barang yang kita tak nak? Seolahnya tidak ikhlas dengan Allah. Bantu orang susah dengan barang baru bukan barang 2nd hand. Bantu duit tiada masalah kalau nak bagi duit 2nd hand keran nilainya masih tetap sama. 

Kita derma kepada anak yatim itu pada hakikatnya kita beri kepada Allah. Maka pastikan ikhlas dan beri yang terbaik. Tujuan amal ialah untuk mendekatkan diri kepada Allah, untuk mendapatkan redha Allah. Allah terima doa daripada orang2 yg bertakwa. Abu Darda RA berkata kalau aku solat dan aku rasa Allah terima, itulah yang paling baik daripada seisi dunia.

Orang bertakwa ialah orang yang memberati amal dia Allah terima. Rajin2lah berdoa, "Ya Allah, tolong terima amal aku ini." Bukan semua amal Allah terima. Justru kenalah beringat dengan amal yang kita buat dan gantung harap agar Allah terima. Persoalan amalnya diterima atau tidak diterima menjadi perhatian yang amat diambil kira bagi orang yang beriman.

Cuba perhatikan segala nikmat yang Allah kurniakan. Nescaya tidak terhitung banyaknya. Nikmat makan nikmat buang air nikmat tidur. Macam2 nikamt ada. Semua ini adalah asbab untuk kita mengenal Allah. Kerana Allah pemilik segalanya ini. Kita tidak miliki apa2. Semuanya Allah punya. Kekayaan yang ada hanya wasilah bukan matlamat. Akal juga wasilah untuk mengenal Allah. 

Allah hiasi manusia dengan akal free of charge. Allah mengeluarkan kamu daripada perut ibumu dalam keadaan kamu tidak mengenal sesuatu pun. Sebijak mana pun manusia melalui akal yang hebat tidak boleh mengatasi Allah.  Setiap produk atau teknologi ciptaan manusia akan pasti ada kelemahan dan kekurangannya. Bijak mana pun sekadar kurniaan Allah. Membuktikan adanya Allah dan hebatnya Allah.

Islam mengalakkan umatnya jadi orang kaya. Orang kaya dapat keluarkan zakat. Jangan seperti Qorun iaitu seorang pengikut Nabi Musa yang mintak nak kaya tapi bila kaya lupa Allah, angkuh mengatakan kekayaan aku ini milik usaha kuat aku. Akhirnya Qorun dimusnahkan bersama hartanya ditelan bumi. Manusia berlumba nak kesenanagan, berangan-angan nak dapat apa yang Allah beri pada Qorun.

Orang kaya bantu orang miskin. Orang miskin kena kerja dengan orang kaya. Usah bergantung kepada kerajaan, bantu-membantu. Kekayaan yang ada mesti diagih untuk kepentingan bersama. Nak sambung kerja sampai umur 60 tahun sebab nak bayar hutang yang belum habis-habis. Itu tak kena. Kamu tolong Allah nescaya Allah tolong kamu. Hiduplah berpada. Usah berhutang lagi.

Cuba lihat sistem sekolah anak2 kita. Masuk kelas pukul 1:00 tgh. Tak sempat solat zohor lagi sebab zohor masuk pukul 1:23 tgh. Ada cikgu mintak budak2 pergi solat zohor? Ada kawan saya membekalkan sejadah dalam beg anaknya supaya dapat solat dalam kelas. Bila dia tanya cikgu kenapa tak suruh budak2 ni solat, cikgu tu menjawab, "Kita wajibkan untuk pelajar2 darjah empat ke atas." 

Balik sekolah pukul 6:00 ptg. Kalau balik naik bas sekolah, dah maghrib baru sampai rumah. Ada solat asar? Itulah hakikatnya betapa anak2 kita majoritinya tidak solat pun. Sepatutnya sistem sekolah ni kena atur awal2 lagi soal solat ini. Sebagai bapa kena perhatikan, kalau anak aku ni tak jadi orang maka berhentikan daripada sekolah itu dan hantarlah belajar di sekolah2 tahfiz. 

Apa maksud anak aku tak jadi orang? Maksudnya anak aku tak solat. Itu tanda anak dah tak jadi orang. Kenapa teruskan dalam satu sistem yang tidak menjadikan anak kita seorang orang. Seorang hamba Allah yang taat pada Penciptanya. Kena betulkan awal, kalau terlambat payah untuk melentur anak2 kita ini.

Allah bagi ilmu. Ilmu yang paling besar ialah taat pada Allah. Ingat kita ini sakit pun mati, tak sakit pun mati, sihat pun mati, tak sihat pun mati. Kena nilai balik. Bukan tunduk kepada makhluk tetapi tunduklah kepada Pencipta makhluk. Makhluk dapat kurniaan Allah, maka tunduk kepada pemberi kurniaan. 

Pastikan sebelum mati, dapat masuk syurga dulu. Iaitu pastikan taat kepada Allah. Bagi orang yang beriman, dia tidak pelik dengan kekayaan Qorun. Orang beriman lebih tenang tengok isterinya, lebih tenang tengok anak2nya yang taat kepada Allah. Makin tua makin nak beribadah makin rasa tenang. 

Berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabarann. Jadi orang yang beriman dan beramal soleh. Kekal di jalan yang lurus menuju redha Allah. Jadi orang.

@@@

Tuesday, January 07, 2014

Fahami Solat

Tika Nabi Ibrahim membina Kaabah bersama anaknya Nabi Ismail, mujahadah penuh susah payah mengangkat batu bata dengan kudrat tulang empat kerat, tidak mengguna khidmat bangla atau hamba abdi. Nawaitu menurut perintah Allah yang memerintahkan baginda untuk membina Baitullah. 

Binaan yang begitu utuh dan berkualiti tinggi. Sejarah menyaksikan Baitullah kukuh tahan dan tegak berdiri menongkah langit dan mampu menahan ujian masa dan serangan cuaca extreme padang pasir hingga mencapai jangka usia 3,000 tahun. Baitullah menjadi tumpuan orang ramai dari seluruh semenanjung arab mengunjunginya saban masa untuk ibadah haji dan umrah. Kaabah hanya dibina semula tika zaman Nabi SAW berusia 35 tahun.

Namun setelah selesai kerja mulia itu, Nabi Ibrahim terus menadah tangan berdoa agar hasil  usahanya itu diterima Allah. Kerja yang begitu ikhlas dan bermutu tinggi penuh khusyuk, pesona dan emosi demi memenuhi perintah Allah, tapi Nabi Ibrahim masih takut ianya tidak di terima Allah. Kita bagaimana? 

Sering beribadah yang sangat berlebih kurang yang penuh kelemahan dan kepincangan tapi angkuh dan rasa cukup seolahnya segala amal kita itu sudah di terima Allah tanpa secubit risau di dada. Aku sudah solat, aku sudah puasa, aku sudah bersedekah, aku sudah ke majlis ilmu. Aku cukup alim dan tawadduk. Tiada rasa kerisauan Nabi Ibrahim walau sekumit pun. Dengan amal aku ini aku yakin dapat layak masuk ke Syurga Allah, seolah-olahnya begitu.

Usah pergi jauh, apa makna ayat2 dalam surah an-Nas itu? Hampir semua kita tak tahu. Sewajarnyalah Ustaz menyarankan setiap kali selepas mendirikan solat itu tadahlah tangan berdoa penuh ikhlas, "Ya Allah, terimalah solat ku ini walau pun satu rakaat." Takut2 walaupun sudah 40 tahun bersolat tapi tidak mendapat apa-apa nilaian di sisi Allah. 

Suka membuat andaian solat yang di buat itu di terima Allah. Sedangkan ia penuh kepincangan yang jarang benar mencapai tahap khusyuk. Tidak pernah bergantung harap kepada Allah supaya di beri belas ehsan-Nya untuk menerima persembahan solat kita itu. Atau ibadah2 kita yang lain.

Marilah kita kembali kepada asas. Ingat dan fahami makna bacaan dalam solat kita. Semoga dengannya akan dapat membantu kita mencapai khusyuk dalam solat bagi menghasilkan solat yang ada kualiti. Semoga asbab itu mengundang belas ehsan dan kasih sayang Allah untuk menerima solat kita itu.

Doa Iftitah
  1. Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya.
  2. Maha suci Allah sepanjang pagi dan petang.
  3. Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit dan bumi, dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang musyrik.
  4. Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah untuk Allah Tuhan sekalian alam.
  5. Tidak ada sekutu bagiNya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagiNya dan aku dari golongan orang Islam.

Al-Fatihah
  1. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
  2. Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam.
  3. Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
  4. Yang menguasai hari pembalasan.
  5. Hanya Engkau yang kami sembah dan hanya Engkau kami mohon pertolongan.
  6. Tunjukilah kami jalan yang lurus.
  7. Iaitu jalan orang-orang yang engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan jalan mereka yang sesat.

Bacaan ketika rukuk
  • Maha suci Tuhanku yang maha mulia dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika bangun dari rukuk
  • Allah mendengar pujian orang yang memujinya.

Bacaan ketika iktidal
  • Wahai Tuhan kami, bagi Engkaulah segala pujian.

Bacaan ketika sujud
  • Maha suci Tuhanku yang Maha Tinggi dan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika duduk di antara dua sujud
  • Ya Allah, ampunilah aku, rahmatilah aku, kayakan aku, angkatlah darjatku, rezekikan aku, berilah aku hidayah, sihatkanlah aku dan maafkanlah aku.

Bacaan ketika tahiyat awal 
  1. Segala ucapan penghormatan,segala kurnia, segala ucapan pengagungan dan pujian hanyalah milik Allah.
  2. Semua perlindungan dan pemeliharaan untukmu, wahai Nabi, begitu pula rahmat Allah dan segenap kurniaNya.
  3. Semua perlindungan dan pemeliharaan semoga diberikan kepada kami dan hamba-hamba Allah yang soleh.
  4. Aku naik saksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Muhammad itu adalah pesuruh Allah.
  5. Ya Allah, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad.

Bacaan Selawat pada tahiyat akhir 
  1. Ya Allah, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan keluarganya.
  2. Sebagaimana Engkau selawatkan ke atas Nabi Ibrahim dan keluarganya.
  3. Berkatilah ke atas Nabi Muhammad dan keluarganya.
  4. Sebagaimana Engkau berkati ke atas Nabi Ibrahim dan keluarganya di dalam alam ini.
  5. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung.

Doa Qunut
  1. Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjuki.
  2. Sejahteralah aku sebagaimana orang-orang yang Engkau sejahterakan.
  3. Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang Engkau pimpin.
  4. Berkatilah untukku apa-apa yang telah Engkau berikan padaku.
  5. Jauhkanlah aku dari segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan.
  6. Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan dan tidak sesiapa pun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau.
  7. Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanMu.
  8. Dan tidak mulia orang-orang yang Engkau musuhi.
  9. Telah memberi berkat Engkau, ya Tuhan kami dan maha tinggi Engkau.
  10. Hanya untuk Engkau sahajalah segala macam puji terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan.
  11. Dan aku minta ampun dan taubat pada Engkau.
  12. Dan Allah rahmatilah Muhammad, Nabi yang ummi dan sejahtera ke atas keluarganya dan sahabat-sahabatnya.


Contohi golongan sufi yang fakirkan hati untuk dapat redha Allah, sentiasa berhajat kepada Allah. Harap Allah. Mendambakan Allah pada setiap tika dan detik. Allah nak tengok hasil daripada kita beriman itu keluar amal soleh sebagaimana suami isteri yang berkahwin untuk mendapatkan hasil iaitu zuriatnya.

Bukan semua 100% dapat masuk syurga dengan amal melainkan dengan rahmat Allah. Allah tidak memandang pada zahir. Cantek zahir tapi hati tidak elok. Maka itu penting tasauf. Tidak akan masuk syurga seseorang itu dengan amal solehnya kecuali dengan rahmat Allah. Supaya tidak bergantung kepda amal bahkan bergantung harap pada rahmat Allah.

Allah bermualat dengan kita dengan kasih sayang. Kalau nak dikirakan untuk membayar harga sebutir mata yang Allah kurniakan dengan ketaatan kepada Allah sepanjang hayat pun tidak padan. Allah terima amal daripada orang yang bertakwa. 

Allah tidak halau kita keluar daripada dunia ini walaupun pelbagai kemungkaran saban hari yang kita lakukan. Allah tidak halang orang makan nasi lemak walaupun orang itu tidak solat subuh. Itulah kaedah akhlak Allah. Penuh kasih sayang dan tolak ansur. Dambakan rahmat Allah, kasih sayang Allah. "Ya Allah terimalah solatku ini walaupun satu rakaat." Bawa hati kepada Allah. Hati bersih nak kepada Allah.

@@@

Friday, January 03, 2014

Era Generasi Gemilang


Nabi SAW adalah penerus usha dakwah Nabi2 terdahulu yang berjumlah 124,000 itu dan Rasul2 yang seramai 313 orang. Islam itu ialah cara hidup yang sebenar yang diredhai Allah. Dakwah untuk menanam akidah, mematuhi syariat, melaksanakan ibadah, tunduk ikhlas mengabdi kepda Allah semata-mata iaitu membina akhlak pengabdian kepada Allah.

Era  generasi gemilang ialah era pemerintahan Islam di zaman Rasulullah. Islam bukan bahan budaya atau aliran fikiran. Islam ialah ad-Deen. Di sisi Allah hanya Islam sahaja yang laku. Generasi para sahabat meneruskan era kegemilangan atas asas didikan yang mantap di madrasah Rasulullah.

Wahyu pertama diturunkan ialah surah al-'Alaq ayat 1-5. Tika Nabi menerima wahyu pertama seluruh tubuhnya gementar dan gerun mendengar kalam Allah. Pulang ke rumahnya dan berselimut menahan gentar dan gemuruh yang menimpa. Maka turunlah wahyu kedua iaitu surah al-Muddathir (ayat 1:5) memerintahkan orang berselimut untuk bangkit bertindak dan beramal dengan kalam Allah serta menjauhi toghut. 


  1. Wahai orang yang berselimut!
  2. Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia).
  3. Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya!
  4. Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.
  5. Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi.


Al-Qur'an bukan setakat untuk dibaca atau difahami secara teori tetapi hendaklah menyampaikan wahyu secara praktikal. Menyeru manusia mengabdikan kepada Allah dan menentang toghut iaitu syaitan. Tidak membiarkan diri dalam berselimut. Salah satu sifat toghut aialah suka berselimut dan bersenang-senang. Ramai kita hari ini suka berselimut dan payah nak bangun keluar daripada selimut atau zon selesa.

Bangunlah beri peringatan kepada seluruh umat manusia secara bertindak dan melaksanakan. Islam itu satu rahmat Allah. Tidak dijadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada Allah. Tunduk kepada Allah mengikut syariat Islam. Tugas dan tanggung jawab sampaikan walau satu ayat ini mesti dipikul oleh setiap individu muslim walupun berdepan dengan musuh. Nabi bukan perdengarkan ayat2 al-Qur'an di sisi Kaabah semata tetapi Nabi sampaikan kepada seluruh umat manusia.

Keseluruhan isi al-Qur'an sebanyak 6,236 ayat itu merangkumi semua bidang kehidupan termasuklah ekonomi, politik, hubungan antarabangsa, hidup, mati, hukum-hakam, sejarah dan sains. Tidak boleh biarkan manusia hidup mengikut akal dan nafsu semata. Kena ada panduan dan manual kehidupan, itulah al-Qur'an. Era generasi gemilang terbentuk dengan penghayatan al-Qur'an dan mempraktikkannya dalam segenap aspek kehidupan.

Nabi tidak suruh tinggalkan setiap patah kalam Allah kekal dalam al-Qur'an sahaja. Ikut Islam bila berada dalam masjid. Keluar masjid tiada lagi Islam. Bukan itu yang di tarbiyah Nabi kepada umat ini. Nabi sebagai contoh tauladan untuk jadi ikutan. Masuklah kamu ke dalam agama Islam dengan mamasuki seluruh syariat Islam itu. 

Bukan Islam kapal selam, sekejap timbul sekejap tenggelam. Hari solat jumaat timbul, time solat2 lain tenggelam. Bukan Islam sempena. Sempena maulidurrasul, sempena bulan Ramadan atau sempena awal muharram. Sempena maulud Nabi berarak sakan. Lepas tu sepanduk entah kemana sunnah entah kemana. 

Bukan juga Islam Cap Nat Win Ti? Islam time mengucap, time bersunat, time kawin dan time mati. Barangsiapa tidak mengambil Islam secara syumul maka dia pengikut syaitan. Ada ke kita ambik wudhuk separuh-separuh? Dirikan solat separu-separuh? Mesti kena sempurna baru sah dan betul caranya. Amalkan Islam secara menyeluruh, komprehensif. 

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. (Al-Baqarah:208)

Tanam keimanan yang sebenar-benar. Sampaikan mesej dakwah Islam secara praktikal kepada sejagat. Islam bukan sekadar dapat maklumat, pengisian ilmu atau lahiriah semata. Umat Islam di uji Allah. Islam yang dibawa Nabi mesti menempuh ujian-ujian Allah. Tanpa ujian kita tidak tahu mana satu golongan yang benar2 beriman. Apakah kamu sangka akan dapat masuk syurga sedangkan kamu masih belum diuji? 

Emas tulen mestilah dibakar terlebih dahulu. Orang beriman mestilah di uji terlebih dahulu. Hidup tanpa ujian ibarat sudah mati. Nabi Noh berdakwah selama 950 tahun Hidupnya penuh ujian. Pengikut hanya sekitar 20 orang sahaja. 

Nabi SAW di uji dengan tentangan melampau golongan kafir. Nabi di uji dengan 3-Ta, iaitu harta, takhta dan wanita. Namun kepentingan Islam lebih tinggi daripada segala-galanya.

Nabi berhijrah ke Madinah dan terbentuklah negara Islam Madinah. Kekuatan Islam telah terbina pada era generasi gemilang ini hinggkan 10 tahun kemudian Mekah berjaya ditakluki. Kemudian pada tahun 16 Hijrah di zaman Umar al-Khattab, Empayar Rom dan Parsi pula berjaya ditakluki. Islam tersebar luas hingga ke negeri China dan Sepanyol. Islam menguasai sekitar 2/3 dunia. Era Generasi Gemilang.

Pemerintahan empayar Islam diteruskan oleh kerajaan Muawiyah dan Abbasiyah. Pada tahun 1452H kegemilangan diteruskan oleh Kerajaan Utmaniah di Turki. Zaman kegemilangan Islam merundum bila Kerajaan Uthmaniah berkubur bila para pemimpin dan rakyatnya tunduk oleh godaan 3-Ta. 

Kamal Antartuk telah menjatuhkan Kerajaan Uthmaniah di Turki pada tahun 1925 dan memperkenalkan sistem pemerintahan fahaman sekular yang terus menular. Lahirlah kerajaan2 sekular di seluruh dunia. Negara2 Islam di jajah oleh negara Barat. Bermulalah zaman kejatuhan Islam kerana masing2 berebut 3-Ta. Hidup untuk mengejar harta, takhta dan wanita. Nama sahaja Islam tetapi ruh dan gaya hidup tidak mengikut Islam.

Pada tahun 1990 Kerajaan Islam Kelantan telah meluluskan undang2 qanun jenayah Islam yang diluluskan oleh dewan undangan negeri. Namun perlaksanaannya terbantut kerana tertakluk kepada bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. 

Pada tahun 1996, Kerajaan Brunei telah mengistiharkan perancangan untuk melaksanakan undang2 jenayah Islam. Iltizam Sultan Brunei sebagai pemimpin tertinggi Kerajaan Islam Brunei untuk melaksanakan perintah Allah telah membuahkan hasilnya pabila undang2 Islam berkuatkuasa di Negara Brunei bermula pada 1/1/2014 ini. Walau pun mendapat ugutan boikot dari 40 Negara di seluruh dunia, namun Brunei tetap utuh dengan pendiriannya. Memadai dengan berlindung dengan lindungan Allah. Usah tunduk pada ancaman makhluk tapi takutlah hanya pada ancaman azab neraka Allah.

In shaa Allah Brunei akan terus dikurniakan rezki yang melimpah ruah dan dinaungi rahmat Allah. Kalau sebelum ini Brunei kaya minyak dari laut, kini di beritakan lapan telaga minyak di darat telah di temui di Brunei. Khazanah simpanan minyak Brunei katanya boleh bertahan 300 tahun lagi. Apakah era generasi gemilang bakal muncul sekali lagi? 

Khabarnya Ust Harun Din dan TGNA telah dijemput untuk memberi ceramah di TV Brunei perihal undang2 jenayah Islam ini. Semoga barokah ini akan turut dirasai oleh kita yang berjiran dengan negara Brunei. 

@@@
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...