Thursday, January 23, 2014

Tujuan Hidup

Apa tujuan hidup? Hidup ini adalah untuk beribadah kepada Allah. Hidup ini ialah medan ujian. Hidup di dunia ini bersifat sementara namun setiap perlakuan kita akan diambil kira sebagai pahala atau dosa. Hidup di Akhirat itu bersifat lebih baik, kekal abadi dan merupakan destinasi sebenar kita semua. 

Mari kita semak beberapa penyataan dalam Al-Qur'an dan Hadis mengenainya:

  1. "Dan Aku tidak ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku." (Adz-Dzaariyaat: 56)
  2. "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, 'Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.'" (Al-Baqarah: 30)
  3. "Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkan-Nya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia lah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu: "orang-orang Islam" sejak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dia-lah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifat-Nya) Dia-lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan. (Al-Hajj: 77-78)
  4. “(ALLAH) yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya, dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (Al Mulk: 2)
  5. “Apabila seorang manusia meninggal maka putuslah amalnya, kecuali tiga hal: Sedekah jariyah atau ilmu yang bermanfaat sesudahnya atau anak yang shalih yang mendo’akannya”.  (Hadis riwayat Muslim, Abu Dawud, At-Tirmidzi, Nasa’i dan Ahmad)
  6. “Hai kaumku, sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (sementara) dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal.“  (Al Mu’min: 39)

Matlamat kejadian manusia ialah menyembah Allah iaitu tunduk dan patuh melaksanakan ibadah kepada Allah SWT. Islam amat mementingkan pembangunan rohani demi membangunkan tamaddun manusia. Untuk melaksanakan peranan itu muslim hendaklah melengkapkan diri mereka dengan ilmu yang teras dalam ajaran Islam di samping ilmu pembangunan duniawi. 

Secara umumnya ibadah terbahagi kepada dua iaitu ibadah khusus dan ibadah am. Ibadah khusus ini kita sedia maklum ialah ibadah yang di wajibkan termasuklah solat fardu, puasa Ramadan, zakat, ibadah haji, menuntut ilmu dan berdakwah. Selain itu ibadah2 sunat seperti sedekah, solat2 sunat, zikrullah, selawat, dan menyebar salam. Setiap perlakuan duniawi ini boleh menjadi ibadah am sekiranya dilakukan oleh seorang Islam, yang berniat ikhlas kerana Allah, tidak menggangu ibadah khusus, dan tidak bertentangan dengan syariat Islam. Tepuk dada tanya iman.

Kenal diri maka kamu akan kenal Allah. Namun ramai yang tidak menggunakan akal yang di kurnia Allah untuk mengenal diri dan mengenal Allah. Ramai yang memilih untuk menjadi ahli Neraka. Nau'zubillah. Ramai yang memilih untuk lupa diri dan lupa Allah. Pahit tapi benar.

Tidak menggunakan mata yang Allah pinjamkan ini untuk membaca Al-Qur'an, melihat penciptaan langit dan bumi. Tidak menggunakan telinga untuk mendengar ayat2 Al-Qur'an, hadis2 Nabi yang diperincikan, nasihat2 agama, atau peringatan para ulama yang dibentangkan. 

Ramai yang memilih untuk lalai daripada mengingati Allah. Sedangkan kelalaian ini adalah penyakit yang sangat parah yang bisa menyumbang kepada 6 penyakit kelalaian hati yang utama iaitu bimbang/gundah-gulana, sedih, lemah, malas, takut menyatakan yang hak, dan kedekut. Terlalu mengejar dunia dan takut bicara soal mati.

Ramai yang kekal bergelumang dengan maksiat. Tidak rasa bersalah pun bila tidak solat atau tidak menutup aurat. Kelalaian ini sebenarnya akan menambah kekecewaan dan penyesalan sekurang-kurangnya tika sakratul-maut. 

Firaun di kurniakan kelebihan tidak pernah sakit berat, kekayaan yang melimpah dan kekuasaan mutlak namun Firaun yang jahat giler itu pun begitu menyesal tika sakratul maut beberapa detik sebelum di telan belahan Laut Merah hingga mengakui beriman dengan Tuhan Nabi Musa namun semuanya terlambat dan dia kekal di azab dalam api Neraka Allah.

Sesiapa yang lalai dan tidak bertaubat akan menyesal tika sakratul maut nanti. Jangan sampai dunia ini menyebabkan kamu lalai daripada mengingati Allah. Manusia kerap berbangga dengan harta dan pangkat sehingga tidak sedar itu semua anugerah Allah.

Kalau kesenangan dan hiburan dunia menjadi objektif maka bila mati hilang dunia. Tapi jika redha Allah yang kamu cari maka ia kekal. Nikmat Allah tidak terkira banyaknya. Nikmat iman, Islam, sihat, dan seluruh nikmat2 dunia. Maka syukuri. 

Allah ciptakan 100 nikmat dan apa yang Allah kurniakan di dunia ini baru 1 unit daripada 100 unit nikmat itu. Menanti lagi 99 unit nikmat di Akhirat nanti. Usah tertipu dengan pujuk rayu dunia yang sementara ini. Destinasi seorang muslim ialah Akhirat.

Akan tetapi manusia menzalimi diri sendiri dengan memilih untuk ingkar dan kufur nikmat. Terlalu sedikit yang bersyukur. Udara yang Allah bagi free, tiada bil bulanan yang dikenakan. Nikmat tidur dan makan yang Allah kurniakan. Allah menyeru kita syukur segala nikmat ini. Jika nikmat2 ini engkau syukuri, maka Aku akan gandakan lagi. Jika nikmat itu dilupa maka azab menanti. Kecelekaan besar bila bermegah-megah dengan dunia ini.

Lahirkan syukur qauli iaitu dalam lisan termasuklah ucapan Alhmdulillah dan fikli iaitu dalam perbuatan termasuklah patuh segala perintah Allah seperti mendirikan solat. Gerakkan kaki kita melangkah ke tempat yang baik2. Banyakkan zikrullah. Bersegeralah mencari keampunan Allah, mengejar Syurga Allah yang seluas langit bagi orang yang bertakwa. Takwa mutaqqin iaitu bergetar jiwanya takutkan Allah, taat melakukan suruhan dan menjauhi larangan Allah, seterusnya membersihkan hatinya daripada kelalaian iaitu dengan sentiasa mengingati Allah setiap masa.

Jangan sebab harta dan anak-pinak menyebabkan kamu lalai daripada mengingati Allah. Yang sadisnya 80% daripada ahli masyarakat Islam di negara kita masih tidak menunaikan kewajiban solat fardu. Induk kepada sebuah kesyukuran itu iaitu solat masih diabaikan. Maka terhijablah dirinya daripada melakukan kebaikan. 

Allah kurniakan jiwa yang tenang kepada orang yang beriman. Masjid ialah tempat terbaik untuk mengingati Allah, hati akan tenteram dan tenang. 

"Ya Allah! Bantulah aku untuk mengingati Mu, bersyukur kepada Mu dan beribadat dengan baik kepada Mu" 
(Riwayat Abu Daud dan Al-Nasa’i)

Jadikan Islam sebagai cara hidup kita. Cari bekalan Akhirat sekarang. Usah tunggu esok, lusa, bila grad nanti atau bila sudah bersara nanti. Bertindak sekarang. Fahami tujuan hidup. Dunia di cipta untuk manusia namun manusia dicipta untuk Akhirat. Jangan jadi manusia majoriti yang rugi.

Terjemahkan setiap denyut nadi ini menjadi ibadah yang ada nilaiannya di sisi Allah. Semoga kita hidup dalam iman. Sakratul maut nanti pun dalam iman dan terhijab dari disesatkan syaitan. Bukan sekadar teori tetapi aksi melaksanakan plan bertindak komprehensif untuk sampai ke destinasi akhir yang terhebat iaitu hidup kekal abadi di Syurga Allah.

@@@

No comments:

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...