Wednesday, June 11, 2014

Sindrom CDTM

Saya menerima satu posting di Whatsapp yang pada analisa saya sekali lalu sangat menarik untuk sama-sama kita renung dan fikir. Tika detik usia berlalu terus tanpa henti ini, mungkin afdal untuk memberi perhatian apa sebenarnya yang telah dan akan berlaku dalam kehidupan yang fana ini supaya cetus sedikit sedar pada minda.

Nasihat dari Prof Dr Harlina Shiraj:
  • 10 nasihat untuk yang dah umur 50 tahun ke atas. 
  • Yang dah 50 tahun tu mula-mulalah berlatih.
  • Yang dah hampir 50 tahun boleh bersedia.
  • Yang lambat lagi nak ke umur 50 tahun boleh kongsi dan bantu mak ayah jika masih ada.
*****
  1. Fokus pada nak menggembirakan orang lain. Sekarang bukan masa untuk cari harta saja
  2. Rancang macamana nak belanjakan duit simpanan. Anda patut gembirakan hidup anda dan ganti apa yang tak dapat buat sebelum ini, kalau mampu pergilah melancong. Jangan tinggalkan apa-apa kepada anak-anak yang boleh buatkan anak-anak bergaduh. Dengan meninggalkan sesuatu akan bawa masalah bila anda sudah tiada nanti.
  3. Lakukan pada saat ini dan sekarang, bukan semalam dan esok. Hanya hari ini sahaja yang anda boleh kawal. Semalam telah pergi dan esok mungkin takkan berlaku.
  4. Bergembira dengan cucu-cucu (jika ada) tapi jangan jadi "full time baby sitter". Itu bukan tanggungjawab anda untuk jaga mereka. Jangan rasa bersalah tak jaga anak sesiapa pun termasuk  cucu sendiri. Tanggungjawab anda adalah terhadap anak-anak anda. Selepas mereka dewasa dan menjadi ibubapa tugas awak telah tamat. Biarkan anak-anak anda sendiri yang jaga anak-anak mereka.
  5. Terima kelemahan fizikal, sakit, dan lain-lain kesakitan fizikal. Ia adalah sebahagian daripada proses meningkatnya umur. Bersyukur dengan keupayaan kesihatan yang anda ada. 
  6. Kenali siapa diri anda dan apa yang anda ada sekarang. Berhenti melakukan bersungguh apa yang tiada pada anda. Jika anda tak dapat apa yang anda nak, ketahuilah itu semua dah terlambat.
  7. Berbahagialah dengan pasangan anda, anak-anak, cucu-cucu dan rakan-rakan anda. Mereka yang betul-betul sayangkan anda, sayang anda seadanya. Bukan apa yang anda ada. Mereka yang sayangkan anda kerana apa yang anda ada, mereka itu tak ikhlas, hanya berpura-pura dan anda pasti tahu siapa mereka sekarang.
  8. Memaafkan dan terima kemaafan. Maafkan diri sendiri dan orang lain. Lapangkan minda dan hati.
  9. Berkawanlah dengan kematian. Ia kitaran semulajadi dalam kehidupan. Jangan takut akan ia. Kematian adalah permulaan hidup yg lebih baik. Jadi bersedialah, bukan untuk mati tetapi hidup untuk bertemu Yang Maha Esa (ALLAH SWT) 
  10. Hiduplah dengan aman bersama Yang Maha Esa. Untuk Dia lah yang anda ada setelah anda meninggalkan dunia ini. 
~ PROF. DR. HARLINA SHIRAJ ~

Nota: Dr Harlina Halizah Hj Siraj atau lebih mesra sebagai Dr Har dilahirkan di Sungai Besar, Selangor. Beliau bertugas sebagai pakar perunding Obstetriks & Ginekologi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). Beliau juga menjawat jawatan Pengerusi Pembangunan Sosial IKRAM & Naib Ketua Wanita IKRAM, Mantan Naib Presiden JIM (2009-2012}, Presiden Persatuan Kesihatan Ibu dan Bayi Malaysia, MAMANEH(2009 – 2011). Merupakan isteri kepada Ustaz Zulkifli Ahmad serta ibu kepada empat orang cahaya mata, seorang telah meninggal dunia. Beliau gemar melakukan khidmat masyarakat dan kerja-kerja sukarelawan selain menumpahkan khidmat sebagai pakar di hospital.

*****

Kekadang ramai kita lupa bahawa sudah begitu banyak usia kita yang telah dibazirkan begitu saja. Apa yang telah berlalu itu sudah tentu tidak dapat dikembalikan atau diulangkan lagi. Simply gone. Tidak boleh ditebus atau dibeli hatta dengan emas atau intan berlian yang bertimbun.

Apa yang kita lalui hari ini adalah sesuatu yang mungkin dapat kita corakkan atau masih masih dalam kawalan. Begitu pun apa yang bakal berlaku esok dan hari-hari seterusnya pada sisa usia yang masih Allah pinjamkan ini pula adalah diluar kawalan kita sebenarnya. Bak kata Dr Har di atas, hanya hari ini sahaja yang anda boleh kawal. Semalam telah pergi dan esok mungkin takkan berlaku.

Usah panjang angan-angan, fikirkan itu dan ini. Jangan terperangkap dengan sindrom CDTM iaitu Cinta Dunia Takut Mati. Begitu mengejar dunia hingga lupa akhirat yang menanti. Jangan sampai di istidraj di hijab Allah daripada sedar akan hakikat kehidupan yang sementara kerana begitu teruja dan di sibukkan dengan kemewahan dunia. Tidak salah mengejar kebahagiaan dunia jika objektifnya untuk mencapai kebahagiaan Akhirat. 

Sayang sekali jika kita begitu runsing dan takut gagal di dunia tetapi tidak pula takut gagal di Akhirat. Rugi benar jika kita ini sekadar mengejar kejayaan di dunia tapi lupa pula untuk berusaha gigih demi mencapai kejayaan di Akhirat. Apakah kejayaan yang hakiki? Bila Allah redha untuk kita dapat masuk Syurga Dia. Apakah kegagalan dan kerugian yang sebenar? Bila kamu di humban ke dalam Neraka Allah. Ada faham?

Tidak salah kaya harta benda di dunia kerana ada para sahabat yang terdiri dari kalangan manusia yang kaya raya contohnya Abu Bakar As-Sidiq dan Abdul Rahman Bin Auf, namun objektif mereka jelas iaitu mengejar Akhirat. Mereka tidak kedekut membelanjakan harta mereka untuk fisabilillah dan pelaburan akhirat seperti zakat, sedekah, waqaf dan sumbangan infaq. Harta bukan objektif tetapi sekadar alat mencapai objektif. Apa objektif yang hakiki? Untuk mencapai redha Allah.

@@@

No comments:

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...