CLICK n GO

Tuesday, January 22, 2013

Ikhlas Itu Rahsia

Syukur atas nikmat Iman dan Islam. Moga2 beroleh kejayaan untuk taat kepada Allah, dapat tekun beribadah, istiqamah melakukan amal soleh dan mencapai matlamat takwa hingga memberi kejayaan di dunia dan akhirat.

Kita tahu kita ini lemah bangat, maka atasi kelemahan ini. Kita sedar kita ini selalu lalai, maka tepuk dahi dan celik minda berubah supaya tidak lalai lagi. Kita tahu kita ini banyak dosa, maka apa tunggu lagi untuk taubat pada Allah, mohon keampunannya? Apa boleh buat saya ini bodoh. Buang sifat bodoh itu, kena mengaji kena belajar. Jangan lagi ikut lemah diri. Kena jadi kuat.

Kena ada ilmu. Ibadah tanpa ilmu ibarat tanam pokok buah tapi tak keluar buah.  Ibadah tanpa ilmu ditakuti ditolak. Ilmu itu ibarat baja yang memberi hasil kepada ibadah, menyubur pokok dan melebatkan buah. Sebab ibadah orang alim orang berilmu ini walaupun nampak sikit tapi besar di sisi Allah. Ibadah membuka jalan untuk ke Syurga.

Bila ada ilmu mestilah beramal lakukan ibadah dan janakan usaha dakwah hinggalah tahap tertinggi berjihad menegakkan agama Allah. Kita tahu dah mengaji itu wajib belajar itu wajib, tapi tak nak mengaji tak nak belajar tu apa hal? Maka marilah sama2 suloh diri supaya dapat memelihara, mendidik dan membimbing diri memandu secara berhemah di jalan yang lurus.

Kita doa dalam bacaan surah al-Fatihah tidak kurang 17 kali sehari dalam solat2 fardu supaya Allah “Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.”

Sebelum wajib ada wajib. Contohnya sebelum wajib solat maka kenalah wajib belajar solat. Kita belajar tauhid dah lama dah tapi yang sadisnya masih gagal mentauhidkan Allah. Kena ubah. Belajar itu jalan kita. Jangan membesarkan tidur sebab tidur hanya dapat taik mata. Ada orang yang tidur tapi hatinya celik. Sehingga boleh mebezakan antara dosa dan pahala, nafsu dan syaitan.

Ikhlas itu rahsia. Jika diberitahu orang maka ia bukan ikhlas lagi. Ikhlas di hati ialah kosongkan hati selain Allah. Penuhi hati dengan Allah semata. Nawaitu kerana Allah. Ikhlas ialah menunggalkan Allah iaiatu mengesakan Allah. Qur’an sahaja yang benar. Allah sahaja yang Esa. Tiada sesuatu perihal makhluk dapat disamakan dengan Allah. Melihat Allah tidak dengan perantaraan makhluk. Jika Allah itu digambarkan sekian-sekian, maka itu bukan Allah.

Pelajaran perihal tauhid mesti di ulang-ulang sampai dapat faham. Bila difikir hebatnya barang yang dijadi maka kena fikir apatah lagi hebatnya penjadi. Maka kena fikir hebat pencipta kepada penjadi. Contoh kita tengok penduduk Malaysia seramai 28 juta ini, cop jari dia unik satu pun tak ada yang sama. Barang jadi yang hebat. Apa lagi penjadinya,tentulah Maha Hebat.

Barang buatan makhluk ni ada tempoh masa, lama-lama jemu. Tapi ciptaan Allah tak jemu kita.  Untuk jadi hamba Allah ini kena di mana-mana. Bukan setakat di masjid atau di depan orang. Di masjid aku ini hamba Allah, di rumah pun aku ini hamba Allah. Bila orang tak nampak pun, aku tetap hamba Allah.

Bersihkan hati daripada segala sifat tercela yang dikeji sehingga suci. Pencuci hati ini pun kenalah ada bahan pencucinya. Antara lain bahan pencuci yang efektif ialah taubat, zikir dan selawat. Setiap yang bersih tak semestinya cuci dan setiap yang suci sudah semestinya bersih. Maka pilihlah yang suci.

Ibarat nak potong rambut, kenalah cari jari jemari yang suci pegang kepala kita yang mulia. Kalau pemotong rambut orang kafir, mungkin tangannya bersih sebab basuh dengan sabun tapi tidak semestinya suci sebab mungkin dia pegang daging babi atau sentuh anjing atau berak tak basuh. Maka afdal lagi pilih tukang gunting rambut yang Islam.

Suloh diri aku ini umat Nabi? Dah cukup 1,000 kali aku selawat kepada Nabi hari ini? Kalau belum layakkah nak mengaku aku ini umat Nabi? Di Akhirat besok katanya nak bersama di sisi Nabi. Maka kenalah usaha dan menzahirkan kecintaan kepada Nabi. InsyaAllah sempena Maulid Nabi ini marilah azam untuk istiqamah selawat 1,000 kali sehari.

Ciri ikhlas ialah tidak mengharap pujian. Boleh puji tapi jangan lebih2. Kembalikan pujian kepada Allah. “Ish sedap bacaan Imam.” Alhamdulillah. Di hina sama di puji sama. Setiap kepandaian yang kita ada ini, semuanya daripada Allah belaka. Bila2 masa Allah boleh tarik balik.

Dunia ini ibarat syurga kecil. Semuanya bersifat sementara. Sedap yang dirasa itu bersifat sementara. Kalau tak ada sifat rasa maka tiada lagi nikmat makan itu. Rasa masam atau rasa manis, kedua-dunya nikmat. Maka syurga besar itu ialah di Akhirat. Nikmat yang kekal. Maka carilah bekal supaya dapat bawa ke Akhirat.

Kena faham bahawa setiap amal soleh yang dilakukan ini, yang terimanya Allah. Maka kenalah consisten dan istiqamah iaitu di depan orang pun sama di belakang orang pun sama. Di sini sempurna di rumah pun sempurna. Kena rasa kamu dilihat. Jangan jadi hamba Allah yang meragui aku ini hamba Allah.

Seseorang yang menuntut redha Allah maka dunia pun dia dapat akhirat pun dia dapat manfaatnya. Contoh bila saya khidmat kepada ayah saya dan niat saya untuk mendapat redha Allah. Maka saya akan dapat kedua-duanya iaitu redha ayah dan redha Allah.  Sekiranya kamu mengajar agama jangan mengharap upahnya. Tapi kalau orang bagi ambil. Rezki Allah sudah tentukan.

Kenapa berubah? Kerana Allah. Jika dulu kaki perempuan, sekarang tidak lagi kaki perempuan. Kerana apa? Kerana cacat sebab accident. Kenapa bukan lagi jadi kaki maksiat? Kerana uzur. Maka itulah yang kamu dapat. Tiada nilaian di sisi Allah. Jangan sampai ada tersirat niat lain selain kerana Allah. Nak hijrah kepada kebaikan mesti nawaitu kerana Allah.

Nak sampai kosongkan hati memang susah. Kena latih. Banyak sebut Allah. Ikhlas itu rahsia. Lupakan kebaikan kamu kepada orang dan lupakan kejahatan orang kepada kamu. Ingat hanya Allah dan kematian. Ulamak bedah hati kita dan kita rasa sakit sebab kita ini berpenyakit.  Apa jua yang Nabi kasih maka Syaitan akan benci. Sama2lah kita suloh diri masing2. Semoga jalan kita benar.

@@@

Monday, January 21, 2013

Liang Lahad

Jika nak bantu saudara kita contohnya abang kita atau adik kita dengan mengguna duit sendiri, tak ada masalah dan dibenarkan dalam Islam. Memang baik. Tapi bila bantu saudara kita menggunakan duit dari hak orang lain, maka itu masalah dan di laknat. Jangan salah guna hak orang. 

Pernah satu kisah di ceritakan, Khalifah Umar al-Khattab memohon untuk meminjam harta dari Baitulmal untuk satu keperluan anaknya. Pegawai yang menjaga Baitulmal bertanya kepada Khalifah Umar, "Untuk tujuan apa? Dan bila akan di bayar?" Maka Khalifah menjawab, "Untuk membeli keperluan anakku dan aku akan membayarnya pada hujung bulan nanti." 

Pegawai itu berkata, "Tuan Khalifah, sudikah Tuan mendengar cadangan daripadaku?" Khalifah mempersilakannya. "Harta dari Baitulmal ini adalah hak rakyat. Dan tiada siapa yang dapat menjamin Tuan Khalifah dapat hidup hingga ke hujung bulan nanti. Jika terjadi sesuatu maka waris Tuan Khalifah terpaksa berurusan dengan rakyat ramai untuk menyelesaikan masalah hutang ini. Maka saya suka mencadangkan Tuan meminjam sahaja daripada sahabat Tuan Abdul Rahman Bin Auf supaya jika berlaku sesuatu kepada Tuan maka waris Tuan hanya perlu berurusan dengan beliau sahaja." 

Khalifah Umar tersenyum mendengar cadangan pegawainya itu. "Baiklah aku membatalkan hasrat untuk meminjam daripada Baitumal tetapi akan berjumpa sahabatku Abdul Rahman Bin Auf untuk meminjam daripadanya."

Persoalan harta jangan diambil ringan. Dua soalan akan di soal di akhirat nanti berkenaan harta iaitu dari mana kamu dapatinya dan ke mana kamu gunakannya. Sekali kita termakan hak orang dalam persoalan harta maka penyelesaianya ialah kita kena berjumpa dengan orang berkenaan untuk mengaku perbuatan itu dan memulangkannya balik kepada ampunya diri atau memhon kehalalan daripadanya.

Bagi kita orang yang mengaku beriman mestilah peka pada persoalan dosa dan pahala. Sekali terambil harta orang maka ia nantinya akan menjadi darah daging iaitu samada diguna untuk makanan sendiri, anak2, isteri dan keluarga. Bagaimana agaknya untuk mengasingkan daging haram itu yang sudah sebati, memang kerja mustahil. Justru jangan terlibat di peringkat awal lagi. Cegah itu lebih baik.

Hak orang ini datang dalam pelbagai bentuk. Contohnya seorang pemimpin di beri tawaran oleh pemaju perumahan untuk membeli banglo barharga RM5 juta, sedangkan harga pasaran ialah RM10juta. Tiada yang percuma di dunia ini. Tawaran itu sebenarnya ada udang di sebalik batu. Iaitu sebagai umpan untuk meminta keputusan2 yang berpihak kepada si pemaju itu nanti pada urusan bisnes atau lain-lain urusan. Maka di sana akan ada hak orang lain yang akan dipecah amanahkan.

Pesanan seorang tok guru wajar kita ulangi di sini iaitu kena ingat tiga perkara ini. Pertama kenal Allah. Kedua ingat apa yang dilakukan itu apakah mendatangkan dosa atau pahala, mudarat atau manfaat? Dan yang ketiga, ingatlah kematian bukan kesudahan kerana di sana ada hari kebangkitan di mana segala perlakuan amalan di dunia ini akan dipaparkan di skrin gergasi tanpa apa yang dapat diselindung lagi. Semuanya dalam pengetahaun Allah dan akan di beri balasan setimpal iaitu kekal bahagia di Syurga atau merana di bakar api neraka Allah.

Ramai manusia yang menipu diri sendiri dengan bergaya angkuh dan hebat dengan harta dunia sedangkan sebenarnya dia telah menyalahgunakan kuasa atau amanah yang diberikan untuk menidakkan hak orang lain  atau mengambil hak orang lain demi menyenangkan diri sendiri dengan mengejar dan mengumpul harta. 

Jika dia dapatkan harta itu dari punca yang sahih dan halal, maka tiada masalah. Jika di belanjakan harta dia itu kepada sesuatu kebaikan dan penuh manfaat, juga tiada masalah. Tapi dia akan penuh masalah di akhirat nanti bila dia mendapatkan hartanya itu daripada punca yang musykil dan haram. Dia akan ditimpa masalah besar bila membelanjakannya kepada sesuatu tujuan yang salah dan mudarat.

Semasa saya dan anak lelaki saya menyertai team penggali kubur professional pada kelapangan selepas zohor pada hujung minggu baru2 ini saya lihat lubang kubur yang digali sekadar ukuran 3'x6'x5' sahaja, tidak kira sehebat mana si mati itu. Dan mengikut Abu Jandal yang berpengalaman menggali ratusan lubang kubur dan menanam jenazah di tanah perkuburan itu, tiada ada satu pun lagi jenazah yang ditanam bersama harta benda mereka yang siang malam sibuk dikejar, dicari dan dikumpul itu. 

Rumah banglo tersergam indah ditinggalkan. Kereta mewah ditinggalkan, anak2 dan isteri ditinggalkan. Duit yang banyak di pelbagai akaun bank dan barang2 kemas intan berlian semua ditinggalkan. Yang di bawa cuma kain kapan puteh. Sekaya mana pun dia itulah saja yang dibawa ke lubang kubur itu. Penggali kubur itu berkata benar.

Maka berbaloikah? Berbuat dosa. Mengumpul harta yang bukan milik. Menggunakan harta yang haram. Atau menidakkan hak orang? Berbaloikah? Kerana azab Allah Maha pedih dan Maha dahsyat. Sendiri mau ingat.

@@@

Thursday, January 17, 2013

Kalimah Allah


Saya mendapat pencerahan daripada Ust Sabri Daud malam tadi perihal isu kalimah Allah yang hangat diperkatakan kebelakangan ini. Rupanya puak Yahudi dan Nasrani terlebih dulu menggunakan kalimah Allah ini dan cuba mengeklusifkan penggunaannya kepada puak mereka. Rintitan dakwaan ini berpunca pabila manusia beriman separuh-separuh bukan sepenuh.

Ayat al-Qur’an pada surah al-Baqarah ayat 139 jelas memberi gambaran ini.

Katakanlah (wahai Muhammad): "Patutkah kamu (hai kaum Yahudi dan Nasrani) membuat bantahan terhadap kami mengenai pilihan Allah dan pengurniaanNya?. Padahal Dialah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami (faedah) amal kami dan bagi kamu pula (faedah) amal kamu (kalau diikhlaskan), dan kami adalah (mengerjakan amal dengan) ikhlas kepadaNya.

Say: Will ye dispute with us about Allah, seeing that He is our Lord and your Lord that we are responsible for our doings and ye for yours and that We are sincere (in our faith) in Him?

***

Mungkin suasana sama yang sedang berlaku pada umat Islam kini yang jenis beriman secara berpilih, ambil yang disuka tinggal mana-mana yang tidak kena dengan selera. Hinggakan merasa begitu tercabar pabila ada puak lain mahu menggunakan kalimah Allah yang kita beranggapan eklusif milik puak kita. Kita takut ia akan di salah guna hingga boleh menggoncang aqidah lemah yang bertaburan di tanahair tercinta ini.

Sedangkan kelemahan asalnya ialah tanggung-jawab  dan amanah untuk mengukuhkan akidah umat oleh pihak berwajib dan kita sebagai orang yang mengaku Muslim, mungkin tidak terlaksana dengan sempurna atau sekadar melepas batuk di jalanan. 

Mesej dakwah yang mesti disampaikan yang merupakan amanah kesenambungan kerja-kerja Nabi juga acap terbengkalai oleh arus pembangunan materialistik yang sering menjadi matlamat hidup masakini. Hingga ramai manusia di luar sana yang mengaku beragama Islam tetapi bertahan sekadar pada nama atau iman yang senipis kulit bawang merah.

Memetik para 3 kenyataan pendirian rasmi IKRAM perihal isu ini yg ditandatangani Dr. Mohd Parid Sheikh Haji Ahmad selaku Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) bertarikh 15 Jan 2013:

“IKRAM maklum bahawa terdapat kebimbangan di kalangan sebahagian masyarakat Islam bahawa jika diizinkan penggunaan kalimah “Allah” oleh selain orang Islam, pintu fitnah akan terbuka untuk memudahkan pengembangan agama Kristian, sekali gus memudahkan
usaha mengajak orang Islam yang lemah akidah kepada agama Kristian. Untuk menangani masalah ini, IKRAM berpandangan bahawa penyelesaiannya bukan dengan menghalang penggunaan kalimah “Allah” tetapi dengan melipatgandakan usaha bagi menangani kelemahan aqidah dan kejahilan umat Islam sendiri.”

Manusia ini punyai Pencipta yang sama iaitu Allah. Kita akur bahawa Nabi Adam kekal sebagai manusia pertama di dunia ini. Berkembang menjadi generasi demi generasi yang kesemua kita ini ada pertalian bau-bau bacang persaudaraan samada Muslim atau non-Muslim. Jika manusia yang masih belum mendapat hidayah Islam berhajat menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan, rasanya tiada masalah. Kerana Allah itu Tuhan kepada semua makhluk termasuklah manusia.

Masalah definasi mereka yang berbeza, itu masalah lain. Jika kita takut umat Islam yg lemah imannya ini keliru, maka kita sebagai pewaris kerja2 Nabi ini kenalah giatkan lagi usaha dakwah bagi manusia faham Allah itu ESA dan Islam itu syumul.

Semua yang berlaku ini dlm pengetahuan Allah belaka. Tetapkan pergantungan kepada Allah, tidak pada makhluk. InsyaAllah mungkin asbab publisiti perihal kalimah Allah ini, manusia akan terus Google dan tercari-cari kebenaran yang hakiki hingga hendaknya mengundang hidayah Allah.

Jika Islam itu agama yang benar maka biarkanlah manusia yang masih belum kembali kepada Islam itu mendapat ilmu dan pencerahannya supaya dia tidaklah kekal dalam kegelapan hingga akhir hayatnya. Usah kita takut kerana Allah itu yang Maha Berkuasa bukan kita hambanya yang kecil ini.

Mungkin kita boleh ambil iktibar perihal peristiwa Sept-11 yang mana publisiti kisah berkenaan yang asalnya untuk menggambarkan keburukan Islam bertukar kepada iklan kepada Islam itu sendiri hingga mengundang manusia ingin mengenal Islam yang akhirnya menjadikan Islam sebagai agama yang paling ramai penganut barunya dari kalangan orang barat sendiri berbanding dengan agama lain.

Perancangan manusia itu hebat dah, tapi perancangan Allah yang Maha Hebat. Akurlah pada hakikat ini, Segala yang berlaku pasti ada hikmahnya.

@@@

Sunday, January 13, 2013

Biar Sikit Asal Berkat


Alhamdulillah saya berpeluang mengikut tazkirah ringkas oleh Tuan Guru Salleh Musa dari Sik Kedah yang singgah sebentar ke Masjid as-Salam on the way balik ke Kedah setelah menghadiri HKR-KL112 di Stadium Merdeka siang tadi.

Tuan Guru berpesan agar kita tidak lari dari landasan Islam dalam apa jua tindakan kita iaitu terima dan patuh. Apa yang Nabi sampaikan itu mesti kita terima dan patuh mengamalkannya. Jangan tolak atau bangkang.

Nabi di angkat menjadi Rasul ketika usianya 40 tahun. Nabi telah menyampaikan dakwah Islam ini secara susah payah, mujahadah dan berkorban  selama 23 tahun dan melalui 17 peperangan besar berakhir dengan Perang Tabuk. Sudah kurang lebih 1,384 tahun (1,434 – 50thn) Nabi meninggalkan kita semua. Para sahabat dan tabi’in telah menyambung kerja dakwah Nabi sehingga kita berjaya mendapat syiar Islam ini.

Kini Nabi sudah tiada, maka kesenambungan kerja2 Nabi menjadi tanggung-jawab kita pula. Kita bertanggung-jawab untuk hidupkan Islam. Nabi bersabda bahwa siapa yang kasihkan aku akan bersamaku di Syurga. Tuan Guru meninggalkan hadirin dengan tiga pesanan.

Pertama, kena mengenal Tuhan yang menjadikan kita ini. Bagaimana? Kena belajar. Cari ilmu. Cari tok guru. Baca buku dan menghadiri majlis2 ilmu. Nak kenal Allah kena belajar.

Kedua, kena faham apa yang kita cakap. Kena tahu apakah ia mendatangkan manfaat atau hanya membawa mudarat. Kena ada pendirian sendiri, jangan menjadi pak turut. Kena kaji dulu apakah apa yang di perkatakan itu bermanfaat atau tidak? Ingatlah bahwa ilmu yang bermanfaat yang kita tinggalkan akan terus menjana pahala buat kita hingga ke alam barzakh.

Ketiga, kena sedar bahwa kita akan dibangkitkan selepas mati dan akan di hisab. Kena sedar bahawa perlakuan kita tidak berakhir dengan kematian. Jangan terikut-ikut tanpa ada asas yang kukuh. Kematian hanyalah permulaan pada kehidupan yang panjang.

Pesanan yang pendek oleh Tuan Guru  Salleh Musa yang sudah berusia 80an tapi memberi kesan yang kukuh di hati para jemaah sekelian. InsyaAllah kita akan jadi penghuni syurga.

Seterusnya Ustaz Ibrahim Yamin meneruskan pengajian hadis ke-16 pada kitab Hadis 40 Akhir Zaman. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Akan datang suatu zaman, seseorang tidak memperdulikan dari mana ia mendapatkan harta, apakah dari sumber yang halal ataupun haram.”

Besok kita akan disoal harta dari mana kita mendapatkannya dan kemana kita belanjakannya? Nak cari duit dengan noreh getah susah nak dapat RM5, RM10 tapi di sana ada pula manusia yang dengan satu tandatangan saja boleh dapat RM4 juta, RM5 juta.  Maka hadis di atas menjelaskan akan ada zaman ketidakpedulian manusia pada halal atau haram harta yang diperoleh  berkenaan.

Kekayaan daripada hasil2 di perut bumi ini adalah milik manusia semuanya, namun akan tiba zaman di mana orang2 zalim yang mengendalikan segala hasil galian bumi ini. Yang kaya hanya taukeh2 dan kelompok tertentu sahaja manakalan rakyat yang sepatutnya menerima hak dari kekayaan hasil perut bumi itu terus terbiar melarat.

Orang yang alim terus menolak pada harta yang nampak tidak jelas halal haramnya.Kekayaan yang ada ini jangan diselewengkan kerana kesannya sangat besar. Persoalannya ialah dari mana dapat harta? Maka dia akan hati2 tidak boleh main2. Kalau takut pada fitnah jangan dekatkan diri pada fitnah. Kalau takut pada ujian hartabenda maka jangan dekati cabaran itu.

Perjuangan kita di dunia sangat pendek. Kekayaan di dunia sangat sekejap. Orang paling kaya di Malaysia punyai harta RM7 Bilion, tapi cuba tanya berapa lama dia dapat hidup? Apakah dia akan bawa hartanya ke lubang kuburnya? Naluri manusia memang mahukan harta. Namun naluri jadi molek jika di arah ke arah yang molek. Biar sikit asal berkat.

Orang yang boleh bertahan pada godaan harta ialah orang yang punyai ketulenan iman. Kontaraktor yang berpendirian biar tak dapat kontrak asal tak terlibat dengan rasuah misalnya. Dalam Islam matlamat tidak menghalalkan cara. Pabila makan hak orang samada kecil atau besar, maka kena pulangkan balik hak kepada orang itu. Setiap makanan yang disuap ke mulut mesti tanya halal atau haram?

@@@

Thursday, January 10, 2013

Kenapa Pelik?


Abu Jahal dan Abu Lahab dulu tak dapat terima seruan Rasulullah kerana terpaksa melindungi kepentingan diri termasuklah pangkat dan harta walaupun dia tahu Rasulullah itu benar. 

Iblis dulu pun tidak sujud hurmat kepada Nabi Adam kerana angkuh dengan bangsa dan keturunannya walaupun dia sedar perintah sujud itu adalah perintah Allah. Iblis ujub dengan semangat asobiyah bangga bangsa dia dibuat dari api dan merasa Nabi Adam yang di buat dari tanah sebagai hina. Dia tidak sedar api yang marak boleh padam bila diliputi tanah.

Bila hati sakit dengan pelbagai penyakit termasuklah riak, sombong, takabbur, ujub ini maka binasalah diri. Manusia selalu sibuk mengubat penyakit fizikal seperti diabetis, darah tinggi, ghout, kolestrol tinggi dan jantung lemah tapi selalu lupa mengubat penyakit2 hati yang semakin hari semakin kronik.

Ramai manusia yang ikut perangai Iblis iaitu gagal mematuhi perintah Allah. Maka perangai2 Iblis ini bakal mengheret manusia ke lubang Neraka. Iblis kufur kepada Allah. Insaflah dan kembalilah kepada fitrah seorang hamba Allah iaitu mematuhi segala perintah Allah. Perintah Allah hanya dua iaitu suruhan dan larangan-Nya.

Manusia berlumba-lumba menguasai teknologi tapi akhirnya teknologi itu membunuh manusia. Manakah yang lebih penting teknologikah atau manusia yang menguruskan teknologi itukah?

Nilai sebenar manusia pada ilmunya namun kini mulia manusia ialah pada pembangunan fisikalnya, bangga dengan pangkat, harta dan bangunan. Sedangkan Islam tidak melihat kepada fizikal dan bangunan tapi pada manusia yang mengurus bangunan itu. 

Maka dalam sudut pembangunan insan kita kena rasa pelik bila perintah Allah tidak dipatuh. Yang kita tidak perlu rasa pelik ialah bila perintah Allah kita buat.

Namun kini perkara yang terbalik telah berlaku. Pabila kita lihat wanita tidak menutup aurat di jalanan, di ofis atau di kaca2 TV maka kita rasa biasa saja, tidak pelik lagi. Bila ramai manusia tidak peduli soal solat lagi, kita tidak rasa pelik? Bila zina berleluasa, tak ada rasa pelik?

Anak yang tidak patuh kata kita pun kita marah. Tapi kita ini duduk atas bumi Allah, tiba2 tidak patuh pada perintah Allah, bukankah pelik?

Kalimah syahadah pada ketuhanan dan kerasulan yang dilafaz di mulut dan di yakini pada hati telah memagar kita pada mematuhi syariaat agama. Manusia tidak dinilai pada bangsa dan keturunan tapi pada takwa dia. 

Kesilapan besar bila begitu mengutamakan soal bangsa. Melayu dulu iman kemudian. Bila cina nak rampas tanah melayu maka masing2 bangkit penuh semangat untuk bertindak, tapi bila Rasulullah di hina masing2 relax saja tak sanggup pun keluar rumah untuk menunjukkan kemarahan.

Perkara utama yang hendak dibina ialah takwa kepada Allah iaitu turut perintah Allah. Kenapa sering fikir benda lain yang suku-sakat. Fikir bila dilaksana hudud ramai melayu kudung tangan? 

Macam Iblis, bila aku sujud pada Adam maka dia fikir akan tercemar maruah aku. Kenapa tidak fikir itu perintah Allah. Aku kena patuh perintah Allah? Kenapa nak ikut Iblis? 

Macam Abu Jahal, kalau aku akui kenabian Muhammad maka hilang jawatan, pangkat dan darjatku?

Bumi ini bumi Allah. Marilah kita abadikan diri kepada Allah. Fokus kepada ketaatan kepada Allah. Pengakhiran kita nanti di akhirat sana. Segala perlakuan kita di dunia walaupun sebesar zarah tetap akan diambil kira untuk pembalasan. Mohon supaya Allah selamatkan kita di dunia dan di akhirat. Usah pelik lagi?

@@@

Wednesday, January 09, 2013

Lebah Jantan


Hakikat amal ibadah ini ialah pada feqah, tauhid dan tasauf. Kena lepas tiga peringkat ini baru cantek dan bernilai di sisi Allah. Feqah itu zahir atau fisikal. Macam basuh kereta nampak lawa dan bersih kereta itu. Tapi dalamannya kita tidak pasti lagi, enjinnya ok ke tidak?

Mengaji tasauf mengikut ulamak tasauf hukumnya fardu ain bagi setiap orang Islam. Ilmu tasauf ialah ilmu soal hati kerana hati ini tempat tilik Allah. Hakikat iman duduk di hati. Hati mesti zuhud kepada Allah sahaja.

Nasib baik Allah menutup aib manusia. Allah memberi ruang untuk kita mohon keampunan daripada-Nya pada setiap masa. Allah tidak keluarkan atau zahirkan bau busuk sesuatu maksiat yang manusia lakukan. Jikalah Allah zahirkan bau maksiat ini maka sudah tentu tiada Ustaz yang layak duduk di depan mengajar ilmu kerana sudah tentu  dia juga tercalit bau maksiat itu.

Pada kebiasaanya tiada manusia yang pakai baju yang sama setiap hari kerana kekotoran dan bau yang busuk atau tengik. Untuk ke ofis setiap pagi kita selalu mamakai baju lain atau baju yang sudah dibasuh. Maka begitu juga ibarat kita ini, sepatutnya tidak ada manusia yang sanggup kekal dengan bau busuk maksiat. Maka hati mestilah sentiasa di cuci supaya bersih dari kekotoran jiwa. Bahan pencuci yang paling afdal ialah taubat dan zikrullah.

Ilmu tasauf membersih batin daripada kekotoran dan penyakit dengan manhaj atau methodologi amal yang sempurna. Hati yang baik akan mengambil berat soal agama sebagaimana mengambil berat soal anak sendiri. Menjadi manusia yang benar2 mengenali Allah secara makrifat dan begitu mengambil peduli soal agama.

Ustaz saya ada berpesan janganlah jadi seperti lebah jantan yang sangat ligat di waktu siang tapi lesu habis pada malamnya. Ligatnya kita beribadah di waktu siang harapnya ligat juga di waktu malam. Supaya kita ini takut tidak pada makhluk tetapi takut hanya kepada Allah, mengharap rahmat Allah dan supaya mendapat kasih sayang Allah.

@@@

Wednesday, January 02, 2013

Makanan Jiwa


Alhamdulillah kita kini sudah melangkah ke tahun 2013. Marilah kita jadikan masjid sebagai checkpoint kehidupan. Kita pandang segala nikmat Allah yang tidak terkira banyaknya ini sebagai ujian yang melorong kita kembali kepada jalan Allah iaitu makin mendekatkan diri kepada Allah bukan menjadi insan-insan yang sombong dan kufur nikmat.

Kekuatan sebenar umat Islam daripada zaman Nabi Adam sehingga era Nabi Muhammad ialah ilmu. Ianya adalah soal ilmu. Bukan soal fisikal atau harta kebendaan sebagaimana diwar-warkan masakini. Pabila kekuatan umat Islam mula layu akibat meninggalkan pemburuan ilmu, maka Barat mengambil alih peranan sebagai gedung ilmu dan mula meletakkan sasaran harta dan kebendaan sebagai kiblat tumpuan manusia.

Maka manusia menilai kekuatan itu pada segi pembangunan fisikal. Pada awal kejadian manusia, malaikat pernah bertanya kenapa manusia dicipta Allah untuk menjadi Khalifah di bumi Allah atas nada ingin tahu dan kehairanan, kerana para malaikat peka perihal makhluk jin yang terdahulu menguasai bumi tapi berakhir dengan kerusakan dan kebinasaan yang nyata. Maka tanggapan bahawa manusia akan merusakkan dan membinasakan bumi tercinta memang agak relevan.

Manusia jika tidak mahukan kemusnahan di muka bumi ini mestilah bertunjang kepada kekuatan ilmu. Ilmu pertama yang diajar Allah kepada Nabi Adam ialah ilmu nama2 benda dan makhluk di alam ini. Manhaj dan method penyampaian ilmu sama juga diberikan kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW iaitu pada wahyu pertama iaitu Iqra’ yakni bacalah atas dasar ilmu mengenal segala ciptaan Allah. Segala pencarian ilmu sepatutnya merapatkan lagi manusia untuk mengenal Allah SWT, pencipta segala makhluk ini.

Kesilapan ketara maskini ialah seolahnya bila belajar ilmu agama seakan tidak nampak lagi dunia, dan sebaliknya bila belajar ilmu dunia belajar sains seakan tidak nampak agama. Lebih parah pabila modus-operandi apa yang berlaku di dunia Kristian bila mengasingkan ilmu dunia daripada agama menular ke dunia Islam atas fahaman pelbagai “ism” seperti secularism, communism, capitalism, dan pelbagai idealism yang lain atas nama modenisasi.

Persidangan Zionis sedunia pada tahun 1897 telah memutuskan untuk menguasai dunia dengan serangan media, saikologi dan public opinion. British telah masuk dengan liciknya ke Tanah Melayu bersandarkan pengalaman penting menjajah India tanpa pertumpahan darah. British tidak perlu bersusah-susah menyekat umat Islam daripada mendirikan solat, meruntuh masjid atau membakar al-Qur’an. Cukup dengan fahaman memisahkan pentadbiran Negara daripada agama. Rakyat akan bangkit menentang bila helaian al-Qur’an di bakar atau masjid diruntuhkan namun rakyat seluruhnya hanya diam membisu bila isi-isi al-Qur’an dipijak dan dibakul sampahkah atau melihat masjid2 tersergam tapi lesu.

Kebangkitan para ulama di penghujung tahun 70an hasil tercetusnya Revolusi Iran sedikit sebanyak menjana pemikiran semula kepada mencari makna kebenaran. Prof Naquib al-Attas di satu persidangan Islam di Madinah pernah mengajak manusia memikirkan, “Apa makna ilmu?” Kembali ke asal dulu kita lihat institusi ulung Universiti Al-Azhar itu bermula sebagai sebuah masjid. Ruh ilmu yang diterapkan ialah bila belajar akhirnya yang dijumpa Allah.

Kita lihat institusi pengajian tinggi masakini telah jauh lari matlamatnya. Bila di tanya akan terpacul respon seperti untuk senang dapat kerja, senang dapat degree, atau trend yang lebih parah ialah untuk senang cari jodoh. Fokus untuk dapat kertas. Hidup jadi bergantung kepada segulung kertas. Lagi cepat dapat lagi bagus.

Belajar bukan lagi untuk mencari ilmu. Kerana jika ingin  mencari ilmu sepatutnya lagi lama belajar lagi seronok. Bila dapat ilmu akan dapat agama, dapat pelbagai soft-skill, dan kemahiran hidup. Matlamat pembelajaran sepatutnya untuk melahirkan manusia yang baik di sisi Allah. Maka UIA pada asalnya ditubuhkan bermula tahun 1981 itu atas semangat untuk Islamisasikan institut pengajian tinggi sekaligus “dewesternized” sistem pengajian yang ada. Sejauh mana kejayaannya? Wallahu’alam.

Tamadun sesuatu bangsa bukan dilihat pada pembangunan bangunan tetapi indicatornya ialah pada manusia, membangunkan sumber manusia dengan ilmu. Apa guna membangun bangunan-bangunan  pencakar langit jika manusia terus merempat di celah-celahnya. Penanda aras yang mudah ialah dengan melihat payslip masing-masing, berapa banyak potongan gaji untuk bangunan dan kebendaan? Kita sudah jadi hamba bangunan.

Banyak kebangkitan telah terhasil termasuklah Ust Fathi Yakan yang terkenal dengan buku Apa Makna Saya Menganut Islam, aktif mencari makna-makna yang hilang dalam manusia. ITM Shah Alam di awal 80an tidak ketinggalan dalam gerakan untuk kembali memaknakan Islam. Di awal tahun 80an, kita lihat impak sejagat iaitu ramai yang yang cuba menerapkan nilai2 Islam.Kitab Ihya Ulumuddin karya Imam Ghazali telah dimesra pembacakan oleh Said Hawa untuk cuba memaknakan manusia supaya terus relevan sepanjang masa. 

Setiap ibadah itu tumpuannya ialah pada hati. Jangan sekadar memandang pada sah atau batalnya sesuatu ritual ibadah, tetapi yang lebih utama ialah faham apa makna atau ruh di sebalik ibadah itu. Contohnya air yang diguna untuk berwudhuk itu bukan sekadar membasuh anggota luaran tetapi lebih dalam ialah simbolik untuk membersih anggota dalaman dan meratakan air itu sebagai membetulkan guna pancaindera itu pada jalan yang Allah redha.

Solat dikatakan tiang agama bukan sekadar ungkapan biasa. Tujuan solat ialah untuk ingat Allah. Khusyuk dalam solat mengajar manusia untuk fokus termasuklah dalm soal kerja dan belajar. Solat itu menjamin kejayaan iaitu kejayaan al-Falah merangkumi dunia dan akhirat.

Kegemilangan kerajaan Melaka suatu masa dulu antara asbabnya ialah kerana punyai Tun Perak, seorang Bendahara yang faham agama menjaga Sultan untuk mengenal Tuhan. Makruf akan mati bila bercampur dengan mungkar. Amal makruf dan nahi munkar ini mesti datang dengan package, tidak secara asing-asing.

Dulu penjajah mengatur strategi “Divide and Rule” tapi tidak lagi kerana pada masakini penjajah menggunakan ejen-ejen mereka untuk implement taktik “Confuse and Control” bagi menyesatkan masyarakat supaya patuh kepada telunjuk dan kehendak mereka.

Sebagai konklusi, marilah kita tanam azam untuk cintai majlis2 ilmu dan dahagakan ilmu supaya kekuatan ilmu kembali bertakhta sebagai teras kekuatan umat. Maha itu hanya milik Allah. Allah Maha segalanya. Jangan lagi sekadar telan saja apa yang disogokkan tetapi janakan “Critical Thinking” supaya tahu makna sesuatu tindakan dan idealism itu. 

Kena start ambil peduli dan faham makna. Ubati segala penyakit hati. Antara tanda hati yang sakit ialah seronok dalam melakukan maksiat. Tanda hati yang sihat ialah mahukan ilmu. Ilmu itu alat penting sebagai penapis untuk membezakan antara baik dan buruk, dosa dan pahala. Selamat maju jaya menuntut apa yang hak iaitu ILMU. 

Ikut rasmi padi makin berisi makin tunduk iaitu memaknakan maksud asal pepatah orang2 tua kita iaitu makin berilmu makin tunduk sujud sembah Allah.

@@@
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...