CLICK n GO

Monday, January 21, 2013

Liang Lahad

Jika nak bantu saudara kita contohnya abang kita atau adik kita dengan mengguna duit sendiri, tak ada masalah dan dibenarkan dalam Islam. Memang baik. Tapi bila bantu saudara kita menggunakan duit dari hak orang lain, maka itu masalah dan di laknat. Jangan salah guna hak orang. 

Pernah satu kisah di ceritakan, Khalifah Umar al-Khattab memohon untuk meminjam harta dari Baitulmal untuk satu keperluan anaknya. Pegawai yang menjaga Baitulmal bertanya kepada Khalifah Umar, "Untuk tujuan apa? Dan bila akan di bayar?" Maka Khalifah menjawab, "Untuk membeli keperluan anakku dan aku akan membayarnya pada hujung bulan nanti." 

Pegawai itu berkata, "Tuan Khalifah, sudikah Tuan mendengar cadangan daripadaku?" Khalifah mempersilakannya. "Harta dari Baitulmal ini adalah hak rakyat. Dan tiada siapa yang dapat menjamin Tuan Khalifah dapat hidup hingga ke hujung bulan nanti. Jika terjadi sesuatu maka waris Tuan Khalifah terpaksa berurusan dengan rakyat ramai untuk menyelesaikan masalah hutang ini. Maka saya suka mencadangkan Tuan meminjam sahaja daripada sahabat Tuan Abdul Rahman Bin Auf supaya jika berlaku sesuatu kepada Tuan maka waris Tuan hanya perlu berurusan dengan beliau sahaja." 

Khalifah Umar tersenyum mendengar cadangan pegawainya itu. "Baiklah aku membatalkan hasrat untuk meminjam daripada Baitumal tetapi akan berjumpa sahabatku Abdul Rahman Bin Auf untuk meminjam daripadanya."

Persoalan harta jangan diambil ringan. Dua soalan akan di soal di akhirat nanti berkenaan harta iaitu dari mana kamu dapatinya dan ke mana kamu gunakannya. Sekali kita termakan hak orang dalam persoalan harta maka penyelesaianya ialah kita kena berjumpa dengan orang berkenaan untuk mengaku perbuatan itu dan memulangkannya balik kepada ampunya diri atau memhon kehalalan daripadanya.

Bagi kita orang yang mengaku beriman mestilah peka pada persoalan dosa dan pahala. Sekali terambil harta orang maka ia nantinya akan menjadi darah daging iaitu samada diguna untuk makanan sendiri, anak2, isteri dan keluarga. Bagaimana agaknya untuk mengasingkan daging haram itu yang sudah sebati, memang kerja mustahil. Justru jangan terlibat di peringkat awal lagi. Cegah itu lebih baik.

Hak orang ini datang dalam pelbagai bentuk. Contohnya seorang pemimpin di beri tawaran oleh pemaju perumahan untuk membeli banglo barharga RM5 juta, sedangkan harga pasaran ialah RM10juta. Tiada yang percuma di dunia ini. Tawaran itu sebenarnya ada udang di sebalik batu. Iaitu sebagai umpan untuk meminta keputusan2 yang berpihak kepada si pemaju itu nanti pada urusan bisnes atau lain-lain urusan. Maka di sana akan ada hak orang lain yang akan dipecah amanahkan.

Pesanan seorang tok guru wajar kita ulangi di sini iaitu kena ingat tiga perkara ini. Pertama kenal Allah. Kedua ingat apa yang dilakukan itu apakah mendatangkan dosa atau pahala, mudarat atau manfaat? Dan yang ketiga, ingatlah kematian bukan kesudahan kerana di sana ada hari kebangkitan di mana segala perlakuan amalan di dunia ini akan dipaparkan di skrin gergasi tanpa apa yang dapat diselindung lagi. Semuanya dalam pengetahaun Allah dan akan di beri balasan setimpal iaitu kekal bahagia di Syurga atau merana di bakar api neraka Allah.

Ramai manusia yang menipu diri sendiri dengan bergaya angkuh dan hebat dengan harta dunia sedangkan sebenarnya dia telah menyalahgunakan kuasa atau amanah yang diberikan untuk menidakkan hak orang lain  atau mengambil hak orang lain demi menyenangkan diri sendiri dengan mengejar dan mengumpul harta. 

Jika dia dapatkan harta itu dari punca yang sahih dan halal, maka tiada masalah. Jika di belanjakan harta dia itu kepada sesuatu kebaikan dan penuh manfaat, juga tiada masalah. Tapi dia akan penuh masalah di akhirat nanti bila dia mendapatkan hartanya itu daripada punca yang musykil dan haram. Dia akan ditimpa masalah besar bila membelanjakannya kepada sesuatu tujuan yang salah dan mudarat.

Semasa saya dan anak lelaki saya menyertai team penggali kubur professional pada kelapangan selepas zohor pada hujung minggu baru2 ini saya lihat lubang kubur yang digali sekadar ukuran 3'x6'x5' sahaja, tidak kira sehebat mana si mati itu. Dan mengikut Abu Jandal yang berpengalaman menggali ratusan lubang kubur dan menanam jenazah di tanah perkuburan itu, tiada ada satu pun lagi jenazah yang ditanam bersama harta benda mereka yang siang malam sibuk dikejar, dicari dan dikumpul itu. 

Rumah banglo tersergam indah ditinggalkan. Kereta mewah ditinggalkan, anak2 dan isteri ditinggalkan. Duit yang banyak di pelbagai akaun bank dan barang2 kemas intan berlian semua ditinggalkan. Yang di bawa cuma kain kapan puteh. Sekaya mana pun dia itulah saja yang dibawa ke lubang kubur itu. Penggali kubur itu berkata benar.

Maka berbaloikah? Berbuat dosa. Mengumpul harta yang bukan milik. Menggunakan harta yang haram. Atau menidakkan hak orang? Berbaloikah? Kerana azab Allah Maha pedih dan Maha dahsyat. Sendiri mau ingat.

@@@

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...