CLICK n GO

Wednesday, January 02, 2013

Makanan Jiwa


Alhamdulillah kita kini sudah melangkah ke tahun 2013. Marilah kita jadikan masjid sebagai checkpoint kehidupan. Kita pandang segala nikmat Allah yang tidak terkira banyaknya ini sebagai ujian yang melorong kita kembali kepada jalan Allah iaitu makin mendekatkan diri kepada Allah bukan menjadi insan-insan yang sombong dan kufur nikmat.

Kekuatan sebenar umat Islam daripada zaman Nabi Adam sehingga era Nabi Muhammad ialah ilmu. Ianya adalah soal ilmu. Bukan soal fisikal atau harta kebendaan sebagaimana diwar-warkan masakini. Pabila kekuatan umat Islam mula layu akibat meninggalkan pemburuan ilmu, maka Barat mengambil alih peranan sebagai gedung ilmu dan mula meletakkan sasaran harta dan kebendaan sebagai kiblat tumpuan manusia.

Maka manusia menilai kekuatan itu pada segi pembangunan fisikal. Pada awal kejadian manusia, malaikat pernah bertanya kenapa manusia dicipta Allah untuk menjadi Khalifah di bumi Allah atas nada ingin tahu dan kehairanan, kerana para malaikat peka perihal makhluk jin yang terdahulu menguasai bumi tapi berakhir dengan kerusakan dan kebinasaan yang nyata. Maka tanggapan bahawa manusia akan merusakkan dan membinasakan bumi tercinta memang agak relevan.

Manusia jika tidak mahukan kemusnahan di muka bumi ini mestilah bertunjang kepada kekuatan ilmu. Ilmu pertama yang diajar Allah kepada Nabi Adam ialah ilmu nama2 benda dan makhluk di alam ini. Manhaj dan method penyampaian ilmu sama juga diberikan kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW iaitu pada wahyu pertama iaitu Iqra’ yakni bacalah atas dasar ilmu mengenal segala ciptaan Allah. Segala pencarian ilmu sepatutnya merapatkan lagi manusia untuk mengenal Allah SWT, pencipta segala makhluk ini.

Kesilapan ketara maskini ialah seolahnya bila belajar ilmu agama seakan tidak nampak lagi dunia, dan sebaliknya bila belajar ilmu dunia belajar sains seakan tidak nampak agama. Lebih parah pabila modus-operandi apa yang berlaku di dunia Kristian bila mengasingkan ilmu dunia daripada agama menular ke dunia Islam atas fahaman pelbagai “ism” seperti secularism, communism, capitalism, dan pelbagai idealism yang lain atas nama modenisasi.

Persidangan Zionis sedunia pada tahun 1897 telah memutuskan untuk menguasai dunia dengan serangan media, saikologi dan public opinion. British telah masuk dengan liciknya ke Tanah Melayu bersandarkan pengalaman penting menjajah India tanpa pertumpahan darah. British tidak perlu bersusah-susah menyekat umat Islam daripada mendirikan solat, meruntuh masjid atau membakar al-Qur’an. Cukup dengan fahaman memisahkan pentadbiran Negara daripada agama. Rakyat akan bangkit menentang bila helaian al-Qur’an di bakar atau masjid diruntuhkan namun rakyat seluruhnya hanya diam membisu bila isi-isi al-Qur’an dipijak dan dibakul sampahkah atau melihat masjid2 tersergam tapi lesu.

Kebangkitan para ulama di penghujung tahun 70an hasil tercetusnya Revolusi Iran sedikit sebanyak menjana pemikiran semula kepada mencari makna kebenaran. Prof Naquib al-Attas di satu persidangan Islam di Madinah pernah mengajak manusia memikirkan, “Apa makna ilmu?” Kembali ke asal dulu kita lihat institusi ulung Universiti Al-Azhar itu bermula sebagai sebuah masjid. Ruh ilmu yang diterapkan ialah bila belajar akhirnya yang dijumpa Allah.

Kita lihat institusi pengajian tinggi masakini telah jauh lari matlamatnya. Bila di tanya akan terpacul respon seperti untuk senang dapat kerja, senang dapat degree, atau trend yang lebih parah ialah untuk senang cari jodoh. Fokus untuk dapat kertas. Hidup jadi bergantung kepada segulung kertas. Lagi cepat dapat lagi bagus.

Belajar bukan lagi untuk mencari ilmu. Kerana jika ingin  mencari ilmu sepatutnya lagi lama belajar lagi seronok. Bila dapat ilmu akan dapat agama, dapat pelbagai soft-skill, dan kemahiran hidup. Matlamat pembelajaran sepatutnya untuk melahirkan manusia yang baik di sisi Allah. Maka UIA pada asalnya ditubuhkan bermula tahun 1981 itu atas semangat untuk Islamisasikan institut pengajian tinggi sekaligus “dewesternized” sistem pengajian yang ada. Sejauh mana kejayaannya? Wallahu’alam.

Tamadun sesuatu bangsa bukan dilihat pada pembangunan bangunan tetapi indicatornya ialah pada manusia, membangunkan sumber manusia dengan ilmu. Apa guna membangun bangunan-bangunan  pencakar langit jika manusia terus merempat di celah-celahnya. Penanda aras yang mudah ialah dengan melihat payslip masing-masing, berapa banyak potongan gaji untuk bangunan dan kebendaan? Kita sudah jadi hamba bangunan.

Banyak kebangkitan telah terhasil termasuklah Ust Fathi Yakan yang terkenal dengan buku Apa Makna Saya Menganut Islam, aktif mencari makna-makna yang hilang dalam manusia. ITM Shah Alam di awal 80an tidak ketinggalan dalam gerakan untuk kembali memaknakan Islam. Di awal tahun 80an, kita lihat impak sejagat iaitu ramai yang yang cuba menerapkan nilai2 Islam.Kitab Ihya Ulumuddin karya Imam Ghazali telah dimesra pembacakan oleh Said Hawa untuk cuba memaknakan manusia supaya terus relevan sepanjang masa. 

Setiap ibadah itu tumpuannya ialah pada hati. Jangan sekadar memandang pada sah atau batalnya sesuatu ritual ibadah, tetapi yang lebih utama ialah faham apa makna atau ruh di sebalik ibadah itu. Contohnya air yang diguna untuk berwudhuk itu bukan sekadar membasuh anggota luaran tetapi lebih dalam ialah simbolik untuk membersih anggota dalaman dan meratakan air itu sebagai membetulkan guna pancaindera itu pada jalan yang Allah redha.

Solat dikatakan tiang agama bukan sekadar ungkapan biasa. Tujuan solat ialah untuk ingat Allah. Khusyuk dalam solat mengajar manusia untuk fokus termasuklah dalm soal kerja dan belajar. Solat itu menjamin kejayaan iaitu kejayaan al-Falah merangkumi dunia dan akhirat.

Kegemilangan kerajaan Melaka suatu masa dulu antara asbabnya ialah kerana punyai Tun Perak, seorang Bendahara yang faham agama menjaga Sultan untuk mengenal Tuhan. Makruf akan mati bila bercampur dengan mungkar. Amal makruf dan nahi munkar ini mesti datang dengan package, tidak secara asing-asing.

Dulu penjajah mengatur strategi “Divide and Rule” tapi tidak lagi kerana pada masakini penjajah menggunakan ejen-ejen mereka untuk implement taktik “Confuse and Control” bagi menyesatkan masyarakat supaya patuh kepada telunjuk dan kehendak mereka.

Sebagai konklusi, marilah kita tanam azam untuk cintai majlis2 ilmu dan dahagakan ilmu supaya kekuatan ilmu kembali bertakhta sebagai teras kekuatan umat. Maha itu hanya milik Allah. Allah Maha segalanya. Jangan lagi sekadar telan saja apa yang disogokkan tetapi janakan “Critical Thinking” supaya tahu makna sesuatu tindakan dan idealism itu. 

Kena start ambil peduli dan faham makna. Ubati segala penyakit hati. Antara tanda hati yang sakit ialah seronok dalam melakukan maksiat. Tanda hati yang sihat ialah mahukan ilmu. Ilmu itu alat penting sebagai penapis untuk membezakan antara baik dan buruk, dosa dan pahala. Selamat maju jaya menuntut apa yang hak iaitu ILMU. 

Ikut rasmi padi makin berisi makin tunduk iaitu memaknakan maksud asal pepatah orang2 tua kita iaitu makin berilmu makin tunduk sujud sembah Allah.

@@@

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...