CLICK n GO

Thursday, December 06, 2012

Timbulkan Kemanisan

Alhamdulillah pada kuliah maghrib di surau al-Faaizeen yang sempat saya hadiri malam tadi, Ustaz Fadli memulakan dengan peringatan supaya sebelum menerima nur ilmu agar semua yg hadir dapat melapangkan dada, membuka minda dan meluruskan niat kerana Allah. Sangat penting untuk melengkapkan diri dengan persediaan fizikal dan mental untuk menerima ilmu yang tidak memberi ganjaran secara zahir tetapi memberi cara yang benar untuk memandu diri supaya tidak tergelincir kiri atau kanan tika melalui titian sirat di akhirat nanti.

Sesiapa yang meringankan diri untuk berada di majlis2 ilmu maka Allah akan memudahkan jalannya ke syurga Allah.Kena belajar memahami al-Qur'an dan hadis bukan sekadar maknanya yang literal tetapi yang utama ialah memahaminya dalam konteks yang benar. Maka dengan menadah telinga dan hati di majlis2 ilmu insyaAllah segalanya mula terjawab dan menjadi jelas. Akan terpandu dalam dirinya untuk menyuluh ke jalan yang Allah kehendaki. Hadirkan dengan hati yang ikhlas agar terlepas dari godaan dan belitan syaitan yang tidak jemu mahu menyesatkan.

Terdapat dua pecahan iman. Pertama iman kerana fatwa iaitu melaksanakan perintah Allah iaitu suruhan dan larangan-Nya kerana hukum dan syariaat. Mendirikan solat hanya pada hukum kerana tidak bersolat itu berdosa. Kita melaksanakan kerana diwajibkan oleh syariaat Islam. Kedua ialah iman kerana takwa. Beribadah dengan perintah Allah kerana takut kepada Allah, terdidik kerana takut dan mengharap redha Allah.

Beriman kepada rukun iman yang enam punyai tiga elemen utama iaitu pertamanya yakin dalam hati dengan membenarkan 100% aku beriman dengan Allah, Malaikat, Rasul, Kitab, Hari Pembalasan,Qada dan Qadar. Kedua ialah melafazkan secara lisan dengan lidah dan akhirnya mesti ada praktikal atau amalannya secara fizikal. Maka iman itu ialah lahir dalam hati, berikrar dengan lisan dan melaksanakan segala perintah Allah. Pabila melakukan ibadah akan ada kemanisannya. Tidak mungkin ada kemanisannya jika hati masih berbelah bagi. Keimanan itu seakan sama dengan perasaan cinta. Cinta yang tidak berbelah bagi akan menguntum kemanisan pada setiap perlakuan.

Dinyatakan iman itu ibarat ruh kepada jasad dan akhlak pula ibarat udara untuk jasad. Maknanya iman dan akhlak saling melengkapi. Iman tanpa kehadiran akhlak akan menyebabkan kepincangan yang kronik pada jasad. Manakala akhlak tanpa iman pula sia-sia dan tiada nilaiannya di sisi Allah. Contohnya pergi mengerjakan ibadah haji dengan wang curi, sah atau tidak? Dari sudut fekah sah ibadah itu, namun pada hakikat sebenar  tiada nilaiannya. Ibarat botol kicap cap kipas udang yang tiada kicap di dalamnya, nampak wujud secara fizikalnya tapi kosong isinya tiada nilaian apa2, sekadar menjadi bahan buangan yang tidak berguna.

Manusia beribadah kerana takut, kerana malu atau kerana mengharap dan mentaati Allah. Maka beribadah kerana mengharap redha Allah itulah maqam yang tertinggi iaitu maqam muttaqin. Secantek dan sesempurna manusia ialah yang berakhlak mulia.

Terdapat beberapa proses dalam Islam yang kita perlu fahami. Pertama ialah untuk meraih title Muslim iaitu dengan meyakini rukun Islam yang lima. Kedua ialah meraih title Mukmin yakni dengan beriman kepada rukun Iman yang enam. Manakala kesempurnaan untuk mencapai mukarramin ialah orang yang mulia akhlaknya, maka maqam ini ialah Muttaqim.

Acap kali orang Islam menjadi fitnah kepada Islam itu sendiri. Kita selalu dengar pengakuan dari para saudara baru bahawa mereka memeluk Islam bukan dengan melihat orang Islam itu sendiri tetapi dengan mengkaji isi dan hakikat Islam itu. Kerana apa? kerana jika sekadar melihat orang Islam, ramai yang gagal hidup sebagai orang Islam sebenarnya seolah-olah tiada beza dia dari segi tutur kata, perlakaun, prinsip, hatta pakaiannya. Mencapai title Muslim dah tapi berlagak macam Firaun. Mukmin dah tapi perangai hudoh sungguh. Diri orang Islam yang menjadi fitnah kepada Agamanya dan boleh mendatangkan mudarat atau menjauhkan orang lain kepada Islam. Nau'zubillah.

Ramai para sahabat dulu yang masuk Islam kerana melihat akhlak Rasulullah, bukan kerana dakwah secara langsung. Akhlak diertikan sebagai adab. Saya pernah mendengar Syeikh Mahmoud al-Makkaki menyatakan bahawa adab lebih penting daripa ilmu. Akhlak ini merangkumi akhlak mata, akhlak telinga, akhlak lidah, akhlak kaki tangan dan akhlak dalam beribadah. Contohnya hidup biar beradab dengan biasakan memberi salam sebelum bercakap. Pabila makan gunakan tangan kanan, membaca Basmallah dan mengambil makanan atau lauk yang paling dekat. Perlakuan biar beradab.

Abadikan kepada Allah dengan takwa. Untuk menyempurnakan takwa maka kena ada akhlak. Ustaz Fadli ada bercerita perihal seorang kenalan kawannya di UIA yang telah revert kepada Islam hasil persahabatannya dengan kawan Ustaz tadi. Pabila Ustaz bertanyakannya bagaiamana dia tertarik untuk memeluk Islam, jawabnya ialah kerana dia memerhatikan kawannya yang suka menolong, cukup amanah, suka menenangkannya dengan memberi nasihat, menjaga akhlak dan menjaga pergaulan. Kesimpulannya dakwah yang terjelma daripada peribadi dan contoh yang baik.

Tahap seterusnya ialah Ehsan. Ehsan ini ialah pabila beribadah kepada Allah terasa seolah-olah kamu sedang melihat-Nya atau Allah sedang memerhati kamu. Inilah bicara tentang kekusyukan hati. Tika sujud dan membaca zikir maha suci Allah yang Maha Tinggi sambil membayangkan kamu di berada di hadapan Allah dan Allah sedang memerhati setiap gerak fizikal dan lintasan hati kamu. Allah sedang memerhatikan setiap perbuatan yang nyata atau tersembunyi, maka ini bisa mewujudkan amanah dan hati-hati pada setiap perlakuan dan kegiatan kita.  Tapi janganlah pula membayangkan Allah itu dalam bentuk2 tertentu yang boleh membawa kepada syirik pula. Hakikatnya kita ini sentiasa di bawah penguasaan Allah. 

Teruskan berada di majlis2 ilmu agar dapat memahami segala cabang ilmu yang ada dan mengerti agama Islam sebagai cara hidup yang menyeluruh merangkumi bukan sekadar soal ibadah tetapi juga soal munakahat, soal jinayat, mauamalat dan urusan seharian yang lain. Ushalah kita beramal bukan lagi sekadar ikut-ikutan semata tanpa ilmu. Tuntutan menuntut ilmu bermula dari zaman kita dilahirkan dulu hinggalah tiba detik kita di usung ke liang nanti.

Tinggalkan segala perkara syubahah kerana Allah memerhati kita, hendaklah timbul gementar di hati. Cuba pejam mata dan bayangkan bahwa Allah sedang memerhati dan segala perbuatan hatta lintasan hati akan direkod. Maka pabila kita dapat hadam hakikat ini nanti timbullah kemanisan dalam kehidupan dan setiap perlakuan kita, insyaAllah.

@@@

2 comments:

Cikli said...

akhlak baik dakwah tak langsung, tapi terkadang terbuat dan terjoin juga dgn perkara yg tak sepatutnya.

School Of Tots said...

TQ Cikli. Manusia memang layak melakukan kesilapan dan dosa. Yang penting kembali ke pangkal jalan, berazam untuk tidak mengulangi kesilapan yg sama. Tiada putus harap atau putus asa dlm kamus seorg muslim.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...