CLICK n GO

Tuesday, December 11, 2012

The Mastermind

Yakinlah pada perancangan Allah. Bergantung haraplah pada Allah. Manusia merancang namun perancangan Allah lagi hebat dan yang menjadi nyata. Kita lihat soal jodoh, saya teringat satu sub-header pada cover sebuah majalah, "Mengapa sibuk bercinta dengan orang yang bukan jodoh mu?"

Bercinta bagai nak rak, hingga acap kali tidak dapat fokus kepada perkara lain. Hidup jadi tak keruan kerananya. Namun janji Allah yang menyatakan jodoh pertemuan di tangan Allah jelas mengatasi segalanya. Walaupun sudah terikat dengan pertunangan sekali pun akan tetap putus jua jika ia bukan jodohmu. Hatta jika di ijab kabul pada sebuah perkahwinan pun akan berkecai jua jika ia bukan jodoh mu. 

Namun jika si dia itu jodohmu, maka walau dihalang oleh pelbagai rintangan dan dugaan atau dipisahkan oleh lautan yang luas atau benua yang jauh, maka tetap dia juga yang muncul sebagai jodoh mu. Pabila di congak dan di kaji2 kala muhasabah diri akan tergambar bahawa sesungguhnya memang dia inilah yang paling sesuai untuk saya yang telah ditentukan Allah. Percintaan yang gagal sebelum ini memang perancangan Allah supaya diketemukan dengan jodoh yang lebih tepat dan sekufu, insyaAllah. Yakinlah pada percaturan Allah perihal soal jodoh. Justru mengadu hal kepada Allah. 

Usah bersedih yang melampau pada setiap kekecewaan. Sesungguhnya Allah menyayangi mu. Tersurat hikmah pada setiap peristiwa dan kejadian. Berlapang dada pada ketentuan Allah dan terus merapatkan hubunganmu dengan Allah pada setiap detik. Itulah yang utama untuk kebahagiaan hidup bukan sekadar di dunia tetapi berpanjangan kepada destinasi akhir iaitu kebahagiaan di akhirat pada kehidupan yang kekal abadi di sana nanti.

Pabila mendapat jodoh yang ditetapkan Allah maka di sana akan wujud keadaan bahawa pasangan saya itu adalah yang terbaik untuk saya. Mungkin tidak terbaik untuk orang lain tapi dia ialah yang terbaik untuk saya. Belajarlah menerima hakikat ini. Suami saya adalah suami yang terbaik untuk saya. Banyakkan syukur kepada Allah atas segala nikmat yang Dia kurniakan. Dan saya adalah isteri yang terbaik untuk suami saya.

Pabila sudah bersyukur maka sesuatu akan menjadi cukup atau padan atau sesuai. Selagi mana tidak memahami hakikat syukur atau berterima kasih kepada Allah pemilik segala yang dipinjam dan diamanahkan kepada kita, maka selagi itu manusia akan terus mengejar dan tidak merasa cukup2 sampai bila2.

Di kuliah maghrib di Masjid as-Salam malam tadi, Ustaz Zahidi mengingatkan para jamaah supaya sentiasa bersyukur yakni berterima kasih kepada Allah. Kita bersyukur bila terpilih untuk menunaikan solat maghrib secara berjamaah. Kerana ramai lagi di luar sana hingga saat ini masih lagi belum mendirikan solat maghrib mereka apatah lagi untuk datang ke masjid atau surau bagi tujuan solat berjamaah?

Ramai yang gagal faham hakikat syukur ini. Ramai yang banyak ilmu di dada tapi tidak menghayati persoalan syukur. Ramai yang sikit saja syukur pada Allah tapi yang banyak ialah lupa pada Allah. Syukur itu sebenarnya ialah pengikat nikmat. Pada syukur akan memberi rasa puas dan cukup atas setiap nikmat Allah. Bila gagal untuk bersyukur pada kurniaan Allah maka akan hadir rasa tidak cukup2 dulu kini dan selamanya. Maka sibuklah manusia mengejar apa yang ingin dikejar hingga terus jauh daripada Allah, bukan makin dekat dan makin taat kepada Allah. Inilah bencana besar. Bencana yang boleh membawa kepada bakaran api neraka Allah.

Di sana si bodoh tidak mendirikan solat kerana kebodohannya. Sedangkan di sini saya yang punya ilmu tidak mendirikan solat, maka siapakan lebih hina antara saya dan si bodoh itu? Dia membuat dosa kerana jahilnya. Saya ini tahu itu dosa tetapi melakukannya, maka siapa yang terlebih hina dia atau saya?  Namun kelebihan orang yang tahu ialah pada setiap perlakuan dosa, dia akan tahu jalan kembali ke pangkal jalan. Berbanding dengan si jahil yang berkekalan membuat dosa.

Pabila saya selesai beribadah, selesai tugasan dengan Allah maka akan membuahkan rasa lega dan lapang. Kita cari tapi tidak cukup2 kenapa? Syukur akanmu maka akan bertambah nikmat. Jangan meminta panjang umur tapi mintalah dipanjangkan umur dalam keberkatan. Azamlah untuk menunaikan sunnah Rasulullah walaupun sekecil-kecilnya. Syukur akan menegah siksa Allah. Sepatutnya makin banyak harta maka makin dekat dengan Allah. Tapi bila makin kaya makin liat nak keluarkan zakat, makin dekat pula dengan siksa Allah. Nau'zubillah.

Jika diuji Allah dengan kepayahan ramai orang boleh terima. Yang risaunya ialah pabila di uji Allah dengan kesenangan, ramai yang lupa Allah. Tuan punya kambing yang bersyukur akan berpegang kepada kambing itu tetap kambing sedangkan dia ini hamba Allah, maka dia akan tinggal kambingnya sekejap untuk pergi mendirikan solat. Sebaliknya kambing pun agak pening juga melihat tuannya, "Aku tak solat dia pun tak solat. Aku tak puasa dia pun tak puasa. Dia kambing atau aku yang kambing?"

Dia bagi nikmat senang tapi takut kita lupa. Takut kita lupa Allah. Takut kasih kepada nikmat tapi lupa kepada empunya nikmat. Mintalah doa supaya kita kekal takut kepada Allah. Mulianya orang yang beriman kepada Allah. Jadilah gembala kambing yang bertakwa, yang mulia di dunia dan mulia di akhirat. Ini tidak, bila sudah ada 40 ekor kambing sudah mula lupa Allah. Segala sesuatu ini datang daripada Allah belaka, maka terima kasih kepada Allah. Kita ini tiada apa2. Semua dalam pengetahuan Allah. Allah is the Mastermind.

@@@

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...