CLICK n GO

Monday, December 17, 2012

Mengundang Sakinah



Saya berpeluang mengikuti kuliah maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Lotfi di surau al-Faaizeen malam tadi. Majlis taklim wa taklum di rumah Allah iaitu satu langkah bagi mendapat keredhaan Allah. Setiap perlakuan baik kita akan dipersaksikan di Akhirat besok. Tika itu mulut tak boleh cakap tapi anggota badan yg lain dapat cakap untuk menjadi saksi, kaki jadi saksi, tangan jadi saksi.  

Maka marilah muhasabah diri agar melakukan kebaikan dan menjauhi segala perbuatan maksiat yang mendatangkan dosa.

Mari kita tanya diri sendiri. Sering kita baca lembaian Qur’an. Apakah ia menambah yakin diri kepada Allah? Kalau dibaca apakah tambah imannya? Antara tanda orang beriman ialah pabila sebut nama Allah maka hati rasa gementar. Pabila di baca al-Qur’an maka makin rindu hati pada Allah.

Adakah hadis kita baca menambah rindu untuk mendapat sabda Rasulullah SAW? Para sahabat dahulu menjadi tidak keruan dan demam bila tidak jumpa walau sehari dengan Rasulullah SAW. Tahap rindu pada kekasih hati. Apa saja ada pada kehidupan Rasulullah SAW menjadi ikutan dan amalan para sahabat.

Apakah saya ini menjadi terkesan hati pada hadis2 yang dibaca? Hati yang diketuk apakah tiada kesan atau kenikmatan? Jika ada takzim dalam hatinya maka di sisi Allah sangat intimewa orang ini kerana  ada keagungan agama dalam hatinya. Barokah bacaan kita boleh mendekatkan diri kepada Allah.

Ulamak bersepakat zikir secara berjamaah itu adalah dibenarkan. Zikir secara berjamaah ibarat bersedekah di khalayak ramai agar menjadi peransang kepada yang lain untuk bersedekah sama. Manakala zikir secara sendirian ibarat bersedekah tanpa pengetahuan orang. Kedua2nya dibenarkan. Yang tidak benar ialah tidak berzikir. Sebagaimana fahaman setengah orang tidak elok berzikir secara kuat selepas solat, maka dia terus bangun pergi entah kemana selepas solat, bukan dia pergi berzikir pun.

Janganlah menyempitkan pandangan dalam beramal sehinggakan semua benda di anggap bidaah. Cumanya amalan2 zikir ini janganlah menjadi amalan musiman (bermusim) iaitu berkala, taksub bahwa wajib baca atau amal  pada malam2 tertentu misalnya wajib baca surah Yaasin pada malam Jumaat, wajib tahlil pada malam ke-3, ke-40 atau ke-100. Itu tidak dibolehkan kerana kebanyakannya berdasarkan adat bukannya syariaat.

Zikrullah bakal mengundangkan rahmat Allah iaitu ketenangan jiwa dan kasih sayang. Kasih sayang antara penduduk dunia bakal mengundang kasih sayang daripada penduduk langit. Kehadiran dan penyertaan pada majlis2 zikrullah dan majlis2 mengingati Allah ini akan membuahkan sakinah, mawardah dan rahmah Allah. Dan Allah membangga2kan nama kita dan ibubapa kita dihadapan majlis2 bersama malaikat.

Dikatakan majlis2 ilmu dan zikrullah ini dihadiri oleh para malaikat yang bersusun bersaf-saf hingga ke arash Allah. Kita pula dituntut untuk menunaikan hak2 berada di majlis seprti duduk rapat2, tidak berbual kosong dan menutup majlis dengan tasbih kifarah. Jangan banyak ketawa kerana ia boleh menghilangkan ilmu dan mengeraskan hati.

Nabi SAW tidak banyak ketawa tetapi sekadar senyum. Sabda Nabi SAW jika kamu tahu apa yang aku tahu nescaya kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis. Nabi SAW ada juga bergurau senda contohnya bila seorang perempuan tua datang bertanya apakah dia boleh masuk syurga maka Nabi menjawab tiada orang tua di dalam syurga maka menangislah perempuan tua itu kerana kesedihan. Maka Nabi SAW pun menyambung bahawa setiap wanita kalau taat kepada Allah akan masuk Syurga sebagai wanita yang muda dan cantek.

Daya ingatan boleh menjadi kuat dengan amalan bersugi, berpuasa dan tidak menipu. Amalan menipu boleh membebankan otak sebenarnya kerana satu penipuan boleh mengakibatkan penipuan demi penipuan yang seterusnya. Perbuatan melihat kemaluan dan najis juga boleh membebalkan otak. Di riwayatkan Sayidina Ali RA sangat kuat ingatannya kerana dia sepanjang hayatnya tidak pernah melihat kemaluannya.

Suasana yang tenang dan wangi mengajak ketenangan jiwa. Heningkan diri dengan menyepi diri bermunajat kepada Allah tika kira2 pukul 2-4 pagi. Solat malam dan ditambah pula dengan membaca al-Qur’an sebelum subuh. Amalan ibadah malam ini akan mengelak diri dari mudah nyanyok dan menghasilkan awek muda dan cergas minda yang ori. Ianya produk Allah.

Orang dulu2 merasa sedih dan termenung panjang bila terlepas ibadah malam. Orang2 kini sedih kerana terlepas bangun tengok bola atau bila pasukan pilihan kalah perlawanan. 

Salahuddin al-Ayyubi memilih tentera yang solat malam untuk ke medan perang kerana kekuatan seorang tentera ini menyamai 100 orang yang boleh mengalahkan 1000 orang orang hasil rapatnya mereka dengan Allah. Ia mengundang bantuan Allah. Allah menghantar para malaikat untuk membantu sebagaimana pada perang Badar dimana ribuan malaikat telah menyertainya. Sedangkan pekikan seorang malaikat sahaja pun sudah boleh mematikan seluruh musuh.

Jagalah hubungan dengan Allah dengan amalan zikir pagi dan petang kerana tika itu malaikat bertukar shift kerja dan membawa rekod amalan manusia ke langit. Bangunlah di tengah malam kerana tika itu pintu langit dibuka dan rahmat dan keampunan Allah bercucuran untuk hamba2-Nya.

Para penghuni syurga juga menyesali kenapalah aku dulu kurang berzikir kerana amalan zikrullah ini akan membuahkan darjat syurga yang lebih tinggi kedudukannya.  Rupa2nya dividen untuk saham zikir tidak ternilai harganya. Dinyatakan bahawa penghuni Syurga di tahap bawah tidak boleh melawat penghuni syurga di tahap yang lebih atas tapi penghuni yang di atas bebas melawat tahap di bawah mereka. Itulah antara kelebihan zikrullah.

Tiga amalan yang mengundang rahmat Allah dan memudahkan seseorang untuk masuk syurga ialah solat malam, beri orang makan dan berpuasa. Solat malam boleh memberikan kesihatan fizikal dan kesihatan ruhani. Memberi orang makan adalah amalan yang sangat baik dan mendapat pahala sedekah, siratul rahim dan kasih sayang. Berpuasa pula memantau diri untuk kebaikan dan menghindar diri pada kejahatan dan memberi kesihatan ruhani dan jasmani.

Kesimpulannya janganlah kita ini berpuashati dengan segala kekurangan kita. Untuk itu kita kena belajar belajar dan terus belajar. Islam sangat mengutamakan ilmu. Hadirkan diri ke majlis2 ilmu dan zikrullah. Nescaya hati akan bertambah tenang, masalah akan menghilang dan diri akan lebih sihat, ceria, dan mengundang sakinah pada kehidupan ini, insyaAllah.

@@@

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...