CLICK n GO

Thursday, June 23, 2011

Semua Hak Allah

Pada kesempatan menghadiri Ceramah Perdana semalam yang disampaikan oleh Dr Idris Hj Ibrahim dari UM pada tajuk Meningkatkan Kesempurnaan Iman Melalui Peristiwa Israk dan Mikraj, saya kongsikan di sini beberapa ilmu yang sempat saya catat.


Tiada kesusahan, tiada penyakit, tiada yang ada ini melainkan dengan kehendak Allah jua. Maka mintalah dari Allah atas segala hajat dan keperluan kita. Kita ini hamba-Nya, bukan hamba sesama manusia. Jika ada kesusahan, jika ada kesenangan maka berkongsilah dengan Allah. Waktu yang sangat afdal ialah pada pukul 3 pagi.


Ustaz bergurau katanya arwah P.Ramlee itu bangun pukul 3 pagi yang di rekodkan pada sebuah lagunya "Pukul 3 Pagi...", dan Allah telah mengkabulkan munajatnya dengan memberikan bakat luarbiasa dalam bidangnya.


Ada seorang kawan Ustaz kini sudah jadi menteri, dulu rajin bersama Ustaz sama2 di masjid beribadah. Tapi kini sudah jarang ke masjid lagi. Bila Ustaz tanya "Hang lama aku tak nampak kat masjid?" Maka jawab Pak Menteri itu "Dulu aku susah." Sambil tergelak Ustaz menyatakan rupanya dulu dia dok mintak dengan Allah nak jadi menteri. Dan Allah telah makbulkan permintaannya itu. Tapi manusia mudah lupa. Bila susah je orang ke masjid, bila senang orang lupa masjid...ish ish.


Dunia ini tempat usaha. Kemudian kita doa dan tawakkal, yakin sungguh2 bahawa Allah pemberi segala sesuatu. Semua hak Allah. Kita tiada daya dan upaya melainkan semuanya dengan kehendak dan iradat Allah semata. Selainnya hanya penyebab dan asbab tidak lebih tidak kurang. Namun sesuatu kejadian itu akan megikut sunatullah dan Allah lah penentunya. Ada orang sakit dan makan ubat, tapi ada yang sembuh dan ada pula orang tak sembuh walaupun makan ubat yang sama. Maka benarlah ubat itu asbab nya sahaja, tapi penyembuh penyakit itu Allah, tidak yang lain. Untuk mengatasi segala kesusahan kena rajin ke masjid, solat, zikrullah, mengaji Qur'an dan bersedekah.


Pada peristiwa Israk dan Mikraj itu dimulai dengan kesedihan Rasullullah atas kematian Abu Talib dan Khadijah (3 hari kemudian) dan Rasulullah dalam kesusahan dan kedukacitaan itu berkunjung ke Masjidil Haram. Di sana Jibrail dengan 600 kepaknya bersama binatang Buraq yang bergerak mengikut arus angin, memulakan perjalanan bersama Rasulullah dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa pada pukul 12 malam.


Israk ertinya perjalanan Nabi Muhammad SAW pada suatu malam dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin, dalam waktu yang sebentar.


Sepanjang perjalanan ini Rasulullah SAW diperlihatkan dengan pelbagai kejadian sebagai peringatan kepada umat ini supaya berhati-hati dalam kehidupan dunia. Antara kejadian itu ialah:




  1. Jin ifrit mengejarnya dengan obor api yang menyala, dan setelah Rasulullah membacakan doa yang diajar oleh Jibrail maka jin ifrit itu tersungkur dan api yang menyala itu terpadam.



  2. Segolongan manusia yang menanam padi namun seketika terus dapat dituai hasilnya. Ini diibaratkan orang yang suka meninfaqkan hartanya ke jalan Allah, akan mendapat ganjaran pahala berlipatganda dari Allah SWT.



  3. Bau harum Masyithah sekeluarga yang telah merelakan diri diceburkan ke dalam belanga berisi timah mendidih oleh Firaun. Ibarat orang soleh yang mengembangkan ajaran Islam sehingga diikuti oleh umatnya, maka setelah kematiannya nama harumnya masih disebut orang.



  4. Gambaran umat yang melambatkan solat iaitu segolongan manusia yang memukul-mukul kepalanya sendiri sehingga hancur luluh, akan tetapi sekejap kemudian kepala itu bercantum balik, lalu orang itu pun memukulnya sehingga hancur.



  5. Orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat digambarkan sebagai orang yang memakan kayu berduri serta batu panas yang membara dari neraka jahannam.



  6. Gambaran manusia yang memakan daging mentah walaupun di sebelahnya ada daging yang sudah dimasak iaitu umat ini yang senang berbuat zina walaupun mereka sebenarnya sudah mempunyai isteri yang sah.



  7. Kayu yang melintang di tengah jalan sebagai perumpamaan segolongan umat yang suka duduk-duduk di tepi jalan, sehingga menganggu orang-orang yang melaui jalan itu.



  8. Orang2 yang berenang dalam sungai darah lalu mereka dilimpari batu, akan tetapi batu2 itu mereka makan. Itulah perumpamaan segolongan manusia yang suka memakan riba.



  9. Seorang lelaki yang memikul beban kayu tetapi tidak kuat berjalan, anehnya beban itu semakin bertambah dan begitulah seterusnya sehingga orang itu nampak kepayahan dan tersiksa. Itulah perumpamaan orang yang suka menerima amanat orang lain tetapi tidak mahu menunaikan kepada yang berhak.



  10. Orang2 yang potong lidah dan bibirnya dengan gunting besi, selepas terpotong seketika ia kembali seperti asal. Namun segera digunting lagi, begitulah seterusnya sehingga mereka meraskan penderitaan yang luarbiasa. Itulah perumpamaan orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.



  11. Orang yang mencakar-cakar wajah dan dadanya dengan kukunya yang telah berubah menjadi kuku tembaga sebagai perumpamaan orang yang suka mendedahkan aib dan rahsia orang lain dengan menceritakan kepada orang lain.



Mikraj ertinya perjalanan Nabi Muhammad SAW dari alam bawah (bumi) ke alam atas (langit) sampai ke tujuh langit dan selanjutnya sampai ke Sidratul Muntaha yakni dari Masjidil Aqsa di palestin (Syam) naik ke atas melalui beberapa lapisan bertingkat, terus menuju Baitul makmur dan ke Sidratul Muntaha, ke Arasy untuk menerima wahyu Allah yang mengandungi perintah solat lima waktu sehari semalam.


Peristiwa Israk dan Mikraj ini menguji keutuhan iman dan bisa meningkatkan kesempurnaan iman seseorang. Setiap kepayahan kita hendaklah bersegera ke Masjid, segera bersolat, zikrullah dan mengaji Al-Qur'an. Segala penyelesaian adalah di tangan Allah. Allah mendatangkan kesusahan dan Allah meletakkan penyelesaiannya.



Usaha dan doa seseorang boleh merubah takdir. Pada malam nisfu syaaban akan dibuka buku amalan baru dan di bacakan takdir untuk setiap orang. Namun jangan berputus harap dan berusaha sedaya upaya dan bertawakkal serta berdoalah pada Allah sebelum tibanya nisfu syaaban (25 Syaaban) itu maka insyaAllah takdir kita itu bisa berubah dengan izin Allah.


Keutamaan ibadah solat itu sehinggakan Rasulullah menerima syariaatnya secara langsung dari Allah SWT tidak sepertimana syariaat yang lain diterima melalui wahyu Allah dengan perantaraan malaikat Jibrail. Barangsiapa yang tidak menjaga solat maka Allah haramkan rahmat untuknya. Tiada kebaikan tanpa solat bagi umat Nabi Muhammad SAW.



“Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir. Apabila dia ditimpa kesusahan dia berkeluh kesah. Dan apabila dia mendapat kebaikan dia amat kikir. Kecuali orang-orang yang mengerjakan solat, yang mereka itu tetap mengerjakan solatnya, dan orang-orang yang dalam hartanya tersedia bahagian tertentu bagi orang (miskin) yang meminta dan orang yang tidak mempunyai apa-apa (yang tidak mahu meminta-minta), dan orang-orang yang mempercayai hari pembalasan, dan orang-orang yang memelihara kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba-hamba mereka, maka sesunggunya mereka dalam hal ini tidak tercela. Barangsiapa mencari disebalik itu, maka mereka itulah orang yang melampaui batas. Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya. Dan orang-orang yang memberikan kesaksiannya. Dan orang-orang yang memelihara solatnya. Mereka itu(kekal) di syurga lagi dimuliakan.” [surah Al-Makrij:19-35]

InsyaAllah marilah kita menghadiri majlis2 ilmu dan kita tingkatkan amal baik dan nahi mungkar di bulan Rejab yang hanya berbaki beberapa hari lagi ini. Semoga kita bersedia untuk mengembara di bulan Syaaban pula sebelum menempuh bulan penuh barokah Ramadhan al-Mubarak. "Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan."


@@@

Sunday, June 19, 2011

18 Rejab Dalam Sejarah

Hari ni 18 Rejab. Maknanya hanya tinggal 12 hari lagi untuk kita melangkah ke bulan Syaaban. Maknanya juga cuma tinggal 42 hari lagi untuk kita berjumpa dengan bulan Ramadhan al-Mubarak, sekiranya di panjangkan usia oleh pemilik usia kita, Allah SWT.

Masa terus berlalu. Dan masa yang berlalu mustahil akan kita miliki kembali. Ia telah berlalu menjadi sejarah. Di hadapan Allah SWT, masing2 kita akan terpaksa menyediakan jawabannya perihal apakah pelakuan kita pada masa2 yang berlalu itu. Apakah membawa kebaikan dan pahala atau bergelumang dengan kemungkaran dan dosa?


InsyaAllah teruskan amalan baik kita di bulan Rejab yang penuh barokah ini. Perbanyakkan solat2 sunat, bersedekah, menghadiri majlis2 ilmu dan puasa sunat. Semoga Rejab kita tahun ini lebih baik dari tahun2 yang lalu yang kini tinggal sejarah. Marilah kita cipta sejarah baru yang boleh dibanggakan di hadapan Allah SWT.


Isteri saya tadi ada menerima undangan melalui SMS "Jemput ke Surau XX malam ini ada Kuliah Ustaz YY. Jamuan nasi beryani disediakan."


Jemputan ke majlis ilmu. Alhamdulillah. Perlu kita war-warkan kepada kawan2 yang lain, semoga ada yang diberi kelapangan untuk menghadirinya. Cuma satu yang saya ingin sentuh di sini ialah nawaitu atau niat kita menghadiri majlis ilmu ini. Adakah kerana Allah? Harapnya begitulah. Tapi jika umpanan nasi beryani itu berjaya merusakkan nawaitu kita maka sayang sekali. Takut2 nilaian kehadiran kita itu sia2 di sisi Allah SWT.


Oh ya, hari ini rupanya Hari Bapa. Siapa yang mencipta Hari Bapa ini saya pun kurang pasti. Mungkin pemikir2 dari barat. Niatnya mungkin untuk mengingati peranan dan jasa bapa dalam sebuah keluarga atau masyarakat. Pelbagai hari peringatan yang diwujudkan termasuklah Hari Ibu, Hari Guru, Hari Pekerja, Hari Tentera, Hari Polis, Hari Kekasih, Hari Kanak2, dan Hari Bumi. Di samping itu rasanya ia juga ada nilaian komersil dan boleh melariskan biznes terutamanya biznes kad ucapan dan cenderahati.


Anak perempuan saya menghadiahkan sebuah buku kecil keluaran Jahabersa bertajuk "99 Nama-Nama Allah." Antara nama-nama Allah ialah Al-Musawir yang bermaksud Maha Pereka iaitu Dia yang mereka segala sesuatu. Dan Al-Khaliq iaitu Maha Pencipta ynag membawa makna Dia yang menjadikan (mencipta) segala-galanya daripada tiada dan mencipta segala perkara (benda) dan Dia juga Maha mengetahui apa yang akan berlaku ke atas semua ciptaan-Nya.


Malam tadi saya berkesempatan menghadiri kuliah maghrib oleh penceramah tersohor Ust Zahazan Mohemed di surau al-Firdaus bersama anak dan isteri. Antara yang Ust sentuh ialah perbezaan antara lelaki dan perempuan dalam konteks rumahtangga. Lelaki katanya lebih pendek umurnya berbanding perempuan, mungkin kerana stress yang lebih menyebabkan jantungnya agak lemah. Justru katanya apabila seorang suami pulang ke rumah janganlah terus di datangi dengan perkara2 yang bermasalah takut2 jantungnya gagal berdenyut. Biarkan suami relak dulu.


Ust Zahazan juga mempromosikan majalah Solusi yang sudah mejangkau keluaran ke 32. Ini merupakan usaha mendidik masyarakat dengan bahan-bahan bacaan bermanfaat. InsyaAllah 5 tahun lagi tidak mustahil kita ada Radio Solusi dan 10 tahun lagi akan wujud TV Solusi. Ustaz pernah diberitahui bahawa sebuah stesen radio kosnya RM14 juta dan stesen TV kosnya RM200 juta.

Kita kena risau dgn sistem pendidikan masakini yg sangat tidak menitik beratkan agama. Ambil contoh sistem sekolah menengah, mana ada sekolah kafa atau sekolah agama lagi untuk sesi petang/pagi sebagaimana sekolah rendah? Seolah-olah tidak penting pendidikan agama kepada pelajar sekolah menengah dan sudah cukup pendidikan agama yang didapati di sekolah rendah dulu. Yang ditekankan ialah soal akademik dunia semata.

Pelajaran pendidikan Islam juga bukan matapelajaran wajib lulus periksa. Program TV juga di monopoli agenda hiburan yg melarakan. Sama juga dengan stesen2 radio yang membazirkan air-time dgn perkara2 yang tak mendidik langsung. Maka jangan pelik jika generasi anak2 muda kita terus melencong jauh dari ilmu dan amal yang mengikut syariaat. Level intelek juga semakin merundum. Tiada upaya untuk berhujah dengan kekuatan ilmu. Maka saya setuju benar jika kita berusaha menyediakan bahan2 yang bermanafaat sebagai hidangan pada masyarakat melalui majalah, buku, video, TV dan radio. Usaha ini memerlukan sokongan seluruh ahli masyarakat.


Malam ini saya dan isteri berpeluang pula ke Masjid as-Salam dalam kuliah maghrib bersama Ust Irwan Shah dari Kelang. Antara yang ustaz sentuh ialah perihal pertemuan ruh ibu bapa dan bakal anak2 mereka di alam ruh. Antara yang dituntut oleh bakal anak tadi ialah supaya ibubapa menjadi ibubapa yang soleh, memberi nama yang baik kepada anak tadi, dan mendidik anak menjadi manusia yang beriman. Tiada maknanya hidup di dunia ini jika tiada ketaatan pada Allah SWT.

Ust juga menyentuh perihal Qanun Jenayah yang mana segala hukum yang Allah tetapkan di dalam Al-Qur'an akan terus kekal valid hingga ke hari kiamat. Sesiapa yang memperlekehkan hukum Allah ini maka rusaklah akidah dan nerakalah tempatnya. Semua hukum Allah ini adalah yang terbaik untuk manusia dan perlaksanaannya adalah penuh hikmah untuk memberi kesederan dan pencegahan.


Ust juga menekankan supaya kita hindari dan tinggalkan terus amalan mengumpat. Amalan ini boleh menyebabkan segala pahala dipindahkan kepada orang yang di umpat. Segala susah payah kita beramal ibadah menjadi sia-sia, malah berupaya menyebabkan amalan baik kita menjadi ringan yang menjadi asbab kita tehumban ke dalam bakaran api neraka Allah SWT. Bukankah haru tu?

Tahniah kepada pihak AJK Masjid As-Salam kerana berjaya mendapatkan khidmat Ust secara tetap iaitu pada minggu ke-3 setiap bulan. Ust akan membawa topik Qanun Syariah termasuklah Qanun Jenayah buat mendidik masyarakat dan memberi penjelasan yang jelas bukan kabur atau berkubur dalam kekaburan.


Saya juga mendapat petikan dari majalah Solusi iaitu 'Dunia Di Cipta Untuk Dunia, Manusia Di Cipta Untuk Akhirat.' Maka usah hairan kalau ramai manusia terpedaya dengan tipu daya dunia dan menjadikan dunia sebagai objektif hidup mereka. Sebaliknya orang yang bijaksana akan menggunakan segala yang ada di dunia sebagai pelaburan menuju akhirat kerana akhirat tempat bermastautin manusia yang kekal abadi. Bila ada harta, dia tidak jadi hamba kepada harta tetapi sebaliknya menjadikan harta itu sebagai hambanya. MasyaAllah.

Sebagai konklusi pada posting kali ini, saya mengajak kita semua supaya menjadi orang alim yang faham agama. Kita cintakan ilmu dan teruja untuk ke majlis2 ilmu. Semoga segala usaha kita ini mendapat keberkatan dan di sana akan lahir kemanisan iman.

@@@

Thursday, June 16, 2011

Aku Masih Hidup Pada 15 Rejab

"Fear Allah, do you?" Itulah yang tertera pada sticker yang saya lekatkan kat pad notebook saya.

Maksudnya apakah kita takut Allah? Takut pada tahap patuh pada perintah-Nya dan membuang jauh segala yang dilarang-Nya. Tiada jalan dua padanya. Tiada was-was dan ragu-ragu lagi. Tiada sekejap buat sekejap tak buat. Tiada lagi sekejap tinggal sekejap tak tinggal.

Bila umur sudah menjangkau setengah abad tapi solatnya masih buat masih tak buat, maka payah lah. Solat subuhnya masih kena kejut, kalau tak dikejut maka solat subuh entah kemana, maka haru. Takut Allah kah kalau begitu?

Ada hukama berkata, jika perangai masih belum baik ketika usia sudah 40an maka besar kemungkinan payah dah nak baik. Kalau masih tak rasa nak berada di majlis ilmu untuk mendapatkan ilmu, maka liat dah. Kalau tak rasa nak mengaji sebab bodoh atau tak sedar dia bodoh, maka gelap masa depan dah. Maknanya tiada terasa olehnya akan kemanisan ilmu itu. Tidak tergerak hatinya atau tidak terlangkah kakinya untuk pergi ke surau atau masjid untuk mendapatkan sedikit ilmu. Kemanisan ilmu akan mendekatkan diri pada kemanisan iman, insyaAllah.

Kalau melangkah ke surau atau masjid terasa sesuatu yang asing bukan sesuatu yang rutin maka hijab yang melindunginya sudah tebal dan gelap. Maka disibukkanlah masa yang berbaki dengan remeh-temeh keduniaan, tidak kira siang atau malam. Tiada yang dunia melainkan dunia sokmo.

Kalau ketika mana terdengar laungan azan dari surau berdekatan, tidak ada rasa untuk bergegas ke situ. Atau tidak ada rasa untuk bersegera menghadap Allah dengan mendirikan solat. Atau tiada rasa akan kepentingan solat berjemaah, maka takut Allah kah itu? Atau seronok melekat di kaca TV ketika azan Maghrib berkumandang dan cuma bergerak setelah siri TV itu tamat.

Di usia setengah abad masih disibukkan dengan pelbagai gadget. Sibuk dengan 'tablet' baru, blackberry, modem wifi, atau tawaran pakej terkini dari syarikat telekomunikasi. Atau sibuk berfacebook dan bertwitter hingga tiada zikrullah dan lupa bersedekah. Takut Allah kah itu?

Anak bertutup aurat tapi mak yang dah berkedut tu masih melepaskan rambut terurai. Atau mak berjubah cantek tapi berjalan seiring dengan anaknya yang seksi mendedah aurat. Masih tiada kesedaran dan tiada ilmu pada kepentingan menutup aurat, yang mana akibat dari perihal aurat ini boleh menjadi asbab kepada diri di bakar oleh api neraka? Umur sudah semakin mendekat pada titik kematian. Insaflah.

Kelab sukan kat tempat saya bekerja tahun ni agak aktif pula. Namun yang diaktifkan ialah aktiviti Karoke. Yang diwujudkan pertandingan memancing. Yang diadakan buat pertama kalinya program 'treasure hunt'. Dan pelbagai acara lagi seperti pertandingan futsal dan netball. Kesemuanya mendekat kepada maksiat bukan kepada takut kepada Allah. Tiada acara mencungkil bakat menyampai tazkirah, mengaji al-Qur'an, kursus Imam dan bilal atau bercerita kisah2 sahabat. Semua menjurus kepada hiburan dunia semata. Manusia lupa setiap detik yang berlalu akan mendekatkan kepada tarikh luput hidup dunia.

Pada hari Jumaat lepas, saya bersolat Jumaat di Masjid As-Salam. Hj Anas, AJK masjid membuat pengumumam solat jenazah pada seorang ahli khariah yang meninggal pagi tadi. Arwah baru berumur 16 tahun meninggal apabila motornya berlanggar dengan lori. Saya dan anak mengiringi jenazah hingga ke tanah perkuburan dan melihat gumpalan2 tanah menimbusi sekujur tubuh yang kaku tidak bernyawa pada lubang kubur seluas 6x4x3' itu.

Bait-bait talkin yang dibaca Imam Halim begitu menyentuh dan menginsafkan kepada orang2 yang ingin insaf. Talkin itu bukan untuk si mati kerana terputus sudah perhubungan kecuali doa anak yang soleh, amal jariah, dan ilmu yang bermanafaat. Tapi bagi kelompok yang tak takut Allah atau tidak sedar bahawa dia itu tidak takut Allah, maka bacaan talkin Imam Halim bagai desiran angin yang masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri sahaja. Tiada terusik tahi telinganya walau secubit.

Kawan saya kat ofis ni selalu bergurau, "Kita buat-buat bodoh je, tapi jangan sampai jadi betul2 bodoh."

Masalahnya akibat kita buat-buat bodoh atau buat tak tahu atau tidak menghirau segala perlakuan, maka kita dapati lambat laun kita akan tergolong pada kelompok manusia yang rugi. Umur sudah tua tapi ilmu macam budak tadika. Budak tadika Islam (bukan tadika Kemas atau Permata) pun lagi terer, setakat hafal dan baca 13 doa itu kacang je. Malu tak kita orang tua yang sepatutnya banyak ilmu itu?

Ilmu seseorang itu boleh meninggikan dia beberepa darjat dalam hiraki masyarakat. Tua umur seseorang tidak menjamin kebijaksaannya kecualilah dengan ilmu di dada. Maka tidak peliklah seorang imam surau masih leka berbual-bual sedangkan di corong surau muazzin sedang mengalunkan seruan azan yang mulia. Kerana ilmu di dada tidak ada.

Ahli jemaah yang sudah berusia masih memilih untuk meneruskan kerancakan aktiviti kelab bual topik ke topik di ruang surau atau masjid dari berhenti untuk mendirikan solat sunat ba'diyah. Takut Allah kah kita atau hampaskah kita?

Hari ini sudah 15 Rejab. Malam tadi gerhana bulan penuh. Ustaz Nizam tempoh hari sudah mengingatkan bahawa segala amal kebaikan di bulan Rejab ini akan memberikan pulangan pahala yang lumayan. Begitulah sebaliknya dosa juga akan digandakan untuk kemungkaran. Maka setakat manakah kita sudah menyahut kehadiran Rejab ini?

Apakah tiada bezanya dari bulan2 yang lain? Bukankah kita sudah faham Rejab adalah bulan pertama dalam bulan tiga serangkai yang tinggi martabatnya. Bulan Rejab untuk latihan intensif menuju Ramadhan. Dirikanlah solat2 sunat, banyakkan zikrullah, mengaji al-Qur'an, dan yang pentingnya melakukan ibadah puasa sunat sebagai persediaan untuk berpuasa sebulan di bulan Ramadhan. Jangan sia2kan Rejab yang masih berbaki 15 hari ini sebelum datangnya Sya'aban.

@@@

Sunday, June 12, 2011

2011 FA Cup Champion

Terengganu - 2011 FA Cup Champion

Hi guys. Hows the game last night? with record attendance of more than 85,000 fans at National Stadium Bukit Jalil and millions glued to TV sets nationwide. Is it keeping up with the hype? The first final between two east coast giants in history. So what history in the making? Penyu crawling and keep crawling, never give up...and the Kijang jumping up and down to celebrate the history in the making.

15 Lessons learned from yesterday's FA Cup Final between Kelantan and Terengganu:-
  1. Success is sweet and failure is sour. Sweet and Sour is nature of the game.
  2. We can choose to learn from both the failure and the success.
  3. Never give up in life, even in your dying seconds.
  4. Never so confident to get what you want, even it is so very close, even the food is already in the mouth, even only 5 seconds left on the clock.
  5. Focus is important, so stay focus. In fact, you should never lose your focus. It might cause you a game.
  6. What happened when you lose focus? You lose the game.
  7. What happened when you are put under pressure? You might score your own goal and get defeated.
  8. Keep pressuring and attacking your opponent when you are loosing. Never loose hope.
  9. Put your strategy right. Sometime defense is the best strategy when you are winning.
  10. The coach that run up and down to motivate you better when you are loosing in the dying second get the reward at the end. Congratulation Irfan Bakti...you should get a Datuk soon.
  11. Laser beam and firecrackers can stop a game for a few minutes, especially in the final game when tension running high. Looks like laser beam and firecrackers are part of the game nowadays.
  12. The looser will still get a day off. By the way, the bigger number of supporters doesn't mean you will win the game.
  13. The best looser should move forward and get motivated to win the next offering - League Cup and Malaysia Cup by not repeating the same bloody 'over confident' mistakes.
  14. The biggest culprit is the guy who just kick the ball forward but ended in the enemies foot when the clocks shows 1 minute left. He should kept the ball and control the game as it is extremely important in those dying seconds. Common Datuk M Karathu...this is basic. Adopt short passes like Barcelona is too much to ask.
  15. The game is never end until the final whistle and the ref has the final blow.
Even the best sport announcer in town Dato Hasbullah Awang keep repeating the same mistakes on air about 'masa kecederaan' when instead he should says 'masa tambahan' during that 30 minutes extra time. What a joke. But at the end, I still think it is a good game, still far away from EPL standard, but we are okay and moving towards right direction. All three goals are beautiful including the 'own goal'. Players play football instead of going for each others leg. No ugly incidents even though more than 12 yellow cards flashing around by the ref. Congratulation Terengganu. You deserve to win !! Congratulation Kelantan. You deserve to win as well. Better luck next time.

@@@

Thursday, June 09, 2011

Mai Penang

Menyeberang ke Penang Menaiki Feri

Pantai Batu Feringgi

Bersantai Di Pantai

Nasi Kandar Line Clear

Pesembur kat Padang Kota - Lazat Beb !!

Ronda-ronda di Jalan Penang

1Malaysia - Game of Dam

Laksa Penang Batu Feringgi - Memang Kauww !!

Masjid Terapung Tanjung Bunga P.Pinang

Bangunan Komtar Tersergam Gagah

Queensbay - Panorama Indah

Feri - Klasik & Evergreen


Cuti sekolah kali ni kami sekeluarga bercuti ke Penang. Bertolak pukul 9:30pagi, sampai Penang pukul 1:30tgh dan bayar tol RM40 (total: RM80). Naik feri dari Butterworth, tambang RM7.70. Duit minyak to & fro sekitar RM100. Hotel RM184.


Selepas check-in hotel kami pi pekena nasi kandar 'line clear', total 5 org makan RM54. Seterusnya pi ronda2 kat Queensbay Mall dan lepak di tepi laut di situ. Pemandangannya cantek dan sesuai untuk santai2 ambil angin.

Warga Penang memang terkenal dengan keramahan mereka. Contoh yang nyata ialah setiap kali saya bertanya arah maka mereka dengan rela meluangkan masa untuk memberi penerangan yang jelas dan memuaskan hati. Begitu juga apabila kita lalu lalang maka tidak sunyi dari disapa dan mendapat cerita2 ringkas dari mereka tidak kira melayu, cina, india dan lain2. Teori dari isteri saya, katanya 'mereka semua ramah kerana hidup berkongsi sebuah pulau yang bukan tanah besar seperti rakyat lain'. Mungkin ada betulnya di situ dan masing2 lebih peka dengan toleransi dan akrab dalam perhubungan kaum.Satu lagi yang perhatikan, masjid dan surau mereka sangat bersih, mungkin terbersih di Malaysia. Syabas orang Penang !!

Malamnya singgah di Padang Kota. Ramai warga Penang dan para pelancong berkunjung sambil menikmati udara tepi laut. Terdapat ramai yang berniaga cenderahati dan ada beberapa pengusaha urut kaki dengan harga RM30 untuk 45 minit. Kami mencuba makanan di foodcourt di situ. Apabila duduk saja di meja, maka kami di serbu oleh para peniaga yang offer makanan dan minuman masing2. Agak rimas dan pressure kami dibuatnya. Kami order charkuehteow udang (RM8), kerang bakar (RM10), pesembur (RM19), abc (RM3), dan leecheekang (RM3). Makanannya memang sedap, cuma kami rasa charkuehteow tu agak mahal dgn harga RM8 sepinggan.

Kami tidur lena di bilek Hotel Continental kerana kepenatan. Esoknya setelah breakfast di Hotel, kami berjalan kaki ke Perangin Mall berdekatan bangunan Komtar dan shopping cenderahati. Kemudian dalam perjalan balik ke hotel penginapan kami mendapatkan bekalan aneka jeruk di kedai 'Nasir Jeruk' di Jalan Penang. Harganya RM8 se kg. Sebanyak RM55 jeruk telah di beli.

Selepas checkout hotel, kami memandu ke pantai Batu Feringgi. Pantainya puteh bersih dengan desiran angin pantai dan deburan ombak begitu menyamankan. Tidak lupa untuk kami nikmati laksa penang special yang sungguh sedap, harganya RM2.50 semangkuk. Adegan snap gambar dari tiga handset berleluasa tanpa had. Kemudian singgah sekejap di Masjid Terapung Tanjung Bunga yang tersergam memukau di kaki laut itu.

Hajat untuk ke Penang Hill terpaksa dibatalkan kerana terbaca di dada akhbar perkhidmatan 'train' ada masalah lagi semalam (hari selasa 7/6/11). Jadi takut terkandas kat atas bukit maka eloklah berkunjung ke destinansi lain sebagai ganti.

Sekitar pukul 5 petang kami memandu semula ke pusat bandar dan singgah sekali lagi di 'line clear' untuk hidangan nasi kandar Penang yang terakhir. Bil kali ini RM45 dengan diskaun 70 sen. Bagi saya hidangan nasi kandar Ibrahimsha di Jln TAR KL lebih sedap dan hygenic dan mempunyai lebih banyak pilihan lauk.

Kami bertolak pulang menaiki feri sekitar pukul 7 ptg. Sepanjang perjalanan di lebuhraya PLUS singgah untuk tidur sekejap hilang mengantuk di R&R Bukit Semanggol dan Tapah. Alhamdulillah selamat sampai di rumah lebih kurang pukul 3 pagi. Penang satu destinasi percutian yang menarik, orangnya baik, makanannya sedap dan bandar dan pantainya bersih. Dan yang penting percutian yang menyeronokkan untuk kami sekeluarga dengan pelbagai kenangan manis terpahat di memori.

TQ Penang for your hospitality
Ada peluang kami datang lagi..

@@@

Friday, June 03, 2011

Hari Lahir

Alhamdulillah tadi kat ofis ada kenduri kesyukuran sempena harilahir seorang pengurus yang ke 51 tahun. Maka dapatlah merasa jamuan pulut kuning dan kek coklat.

Saya pula diminta untuk membacakan doa. Maka saya pun doakan semoga Allah limpahkan rahmat-Nya, Berikan keampunan-Nya, dan bebaskan dari api Neraka-Nya.

Anak saya Iman juga menyambut ulang tahun hari lahirnya hari ini, 3 Jun. Sudah mejangkau 16 tahun anak bongsuku, yang suatu masa dulu ku kendong ke hulu dan ke hilir. Begitu cepat masa berlalu. Dulu aku pakar dalam menjaga bayi dan anak2 kecil. Seingat aku ketiga-tiga anak kami ini di jaga kami berdua tanpa mengharap bantuan yang lain. Tidak pernah ku hantar isteri beranak di kampung atau bertapa dalam pantang di rumah orang tua. Semuanya kami tanggung sendiri. Terasa keseronokannya. Kini ketiga-tiga anak ini sudah besar semua.

Semasa di ofis aku ternampak seekor kucing sedang lepak di atas lantai pejalan kaki. Di sisinya ada seekor lagi kucing yang aku agak anaknya. Saiznya sudah agak besar tapi sedang menyusu dari ibunya, dan ibunya begitu sabar dengan kerenah anaknya tadi. Setia memenuhi keperluan anaknya itu. Itulah kasih sayang yang kekadang sudah menjauhi kehidupan sesetengah manusia. Malulah pada kucing, bukan malu-malu kucing.

Tadi semasa di surau menunaikan solat isyak, ada seorang jemaah baru menegurku di muka surau. "Jemput ya malam ni datang rumah." Aku agak terpinga sekejap. "Kami baru pindah", sambungnya. "Ni menantu saya Ubaidullah", sambil memperkenalkan pemuda yang dari tadi tersengih di sebelahnya. "Dia buat aqiqah sambil naik rumah baru, jemputlah ye malam ni." Setelah berbual-bual sekejap kami pun menunaikan solat Isyak berjemaah di surau yang diimani Ustaz Abu Bakar yang mengajar kelas tajwid malam ni kepada para jemaah berbayar.

Saya tak bawa fon ke surau, jadi selepas solat sunat ba'diyah, saya pun terus bergegas pulang ke rumah untuk memberitahu isteri tercinta bahawa saya ada jemputan kenduri kesyukuran dan tidak makan malam di rumah. Bukan apa takut bersusah payah isteri memasak sedangkan kita dah makan kat luar, memang tak sesuai. Maka itu elok di beritahu keadaan sebenar.

Seramai 12 orang jemaah surau berkunjung ke rumah saudara kita di No.10 Jalan 2D itu. Pak Imam, Ustaz Abu Bakar dan Pak Bilal mengetuai majlis berjanzi dan seterusnya selawat dan majlis cukur jambul bayi anak tuan rumah. Selesai majlis kami semua dijamu hidangan secara buffet, nasi beryani gulai kambing dan ayam. Kueh koci & hirisan tembikai sebagai pembasuh mulut. Jika tinggal di taman2 perumahan, maka elok bebenarlah rajin2 berkunjung ke surau kerana di sana dapatlah berkenal-kenalan dengan penduduk setempat. Bukan apa kalau ada kenduri kendara senang untuk menjemput, tidaklah malu-malu kucing.

Isteriku mengeluh 'tak sasa' katanya. Kataku eloknya elakkan dari mengucapkan kata-kata itu kerana ia mendidik minda untuk menerima hakikat kita ini lesu tidak bermaya. Bukankah kata-kata itu doa? Sepatutnya kita ucapkan bahawa aku ini kuat, aku ini sasa, dan aku tidak sepenat yang di sangka. It's all in the mind.

Sedar tak sedar hari ini sudah 2 Rejab. Rejab sudah mari. Tiga serangkai sudah tiba. Rejab, Syaaban, dan Ramadhan. Tiga serangkai yang penuh barokah. Rejab medan latihan intensif menuju Ramadhan. Maka apa lagi yang di tunggu. Jangan biarkan Rejab berlalu tanpa pengisian. Ikutlah resam ubi, diam-diam berisi. Maka penuhilah Rejab ini dengan ibadah 24 jam sehari semalam supaya ia berisi dan penuh isi, bukan tinggal kulit tanpa isi.

Jam kini menunjukkan angka 12:26 malam. Terasa mengantuk mata dan lesu badan ini. Eloklah aku off kan notebook ini. Dan berlabuh di peraduan untuk mendapat kerehatan minda dan fisikal. InsyaAllah besok aku ke kuliah subuh di Masjid As-Salam. Ya betul, aku perlu bertindak sekarang. Hingga jumpa lagi di lain siaran.

@@@
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...