Thursday, June 16, 2011

Aku Masih Hidup Pada 15 Rejab

"Fear Allah, do you?" Itulah yang tertera pada sticker yang saya lekatkan kat pad notebook saya.

Maksudnya apakah kita takut Allah? Takut pada tahap patuh pada perintah-Nya dan membuang jauh segala yang dilarang-Nya. Tiada jalan dua padanya. Tiada was-was dan ragu-ragu lagi. Tiada sekejap buat sekejap tak buat. Tiada lagi sekejap tinggal sekejap tak tinggal.

Bila umur sudah menjangkau setengah abad tapi solatnya masih buat masih tak buat, maka payah lah. Solat subuhnya masih kena kejut, kalau tak dikejut maka solat subuh entah kemana, maka haru. Takut Allah kah kalau begitu?

Ada hukama berkata, jika perangai masih belum baik ketika usia sudah 40an maka besar kemungkinan payah dah nak baik. Kalau masih tak rasa nak berada di majlis ilmu untuk mendapatkan ilmu, maka liat dah. Kalau tak rasa nak mengaji sebab bodoh atau tak sedar dia bodoh, maka gelap masa depan dah. Maknanya tiada terasa olehnya akan kemanisan ilmu itu. Tidak tergerak hatinya atau tidak terlangkah kakinya untuk pergi ke surau atau masjid untuk mendapatkan sedikit ilmu. Kemanisan ilmu akan mendekatkan diri pada kemanisan iman, insyaAllah.

Kalau melangkah ke surau atau masjid terasa sesuatu yang asing bukan sesuatu yang rutin maka hijab yang melindunginya sudah tebal dan gelap. Maka disibukkanlah masa yang berbaki dengan remeh-temeh keduniaan, tidak kira siang atau malam. Tiada yang dunia melainkan dunia sokmo.

Kalau ketika mana terdengar laungan azan dari surau berdekatan, tidak ada rasa untuk bergegas ke situ. Atau tidak ada rasa untuk bersegera menghadap Allah dengan mendirikan solat. Atau tiada rasa akan kepentingan solat berjemaah, maka takut Allah kah itu? Atau seronok melekat di kaca TV ketika azan Maghrib berkumandang dan cuma bergerak setelah siri TV itu tamat.

Di usia setengah abad masih disibukkan dengan pelbagai gadget. Sibuk dengan 'tablet' baru, blackberry, modem wifi, atau tawaran pakej terkini dari syarikat telekomunikasi. Atau sibuk berfacebook dan bertwitter hingga tiada zikrullah dan lupa bersedekah. Takut Allah kah itu?

Anak bertutup aurat tapi mak yang dah berkedut tu masih melepaskan rambut terurai. Atau mak berjubah cantek tapi berjalan seiring dengan anaknya yang seksi mendedah aurat. Masih tiada kesedaran dan tiada ilmu pada kepentingan menutup aurat, yang mana akibat dari perihal aurat ini boleh menjadi asbab kepada diri di bakar oleh api neraka? Umur sudah semakin mendekat pada titik kematian. Insaflah.

Kelab sukan kat tempat saya bekerja tahun ni agak aktif pula. Namun yang diaktifkan ialah aktiviti Karoke. Yang diwujudkan pertandingan memancing. Yang diadakan buat pertama kalinya program 'treasure hunt'. Dan pelbagai acara lagi seperti pertandingan futsal dan netball. Kesemuanya mendekat kepada maksiat bukan kepada takut kepada Allah. Tiada acara mencungkil bakat menyampai tazkirah, mengaji al-Qur'an, kursus Imam dan bilal atau bercerita kisah2 sahabat. Semua menjurus kepada hiburan dunia semata. Manusia lupa setiap detik yang berlalu akan mendekatkan kepada tarikh luput hidup dunia.

Pada hari Jumaat lepas, saya bersolat Jumaat di Masjid As-Salam. Hj Anas, AJK masjid membuat pengumumam solat jenazah pada seorang ahli khariah yang meninggal pagi tadi. Arwah baru berumur 16 tahun meninggal apabila motornya berlanggar dengan lori. Saya dan anak mengiringi jenazah hingga ke tanah perkuburan dan melihat gumpalan2 tanah menimbusi sekujur tubuh yang kaku tidak bernyawa pada lubang kubur seluas 6x4x3' itu.

Bait-bait talkin yang dibaca Imam Halim begitu menyentuh dan menginsafkan kepada orang2 yang ingin insaf. Talkin itu bukan untuk si mati kerana terputus sudah perhubungan kecuali doa anak yang soleh, amal jariah, dan ilmu yang bermanafaat. Tapi bagi kelompok yang tak takut Allah atau tidak sedar bahawa dia itu tidak takut Allah, maka bacaan talkin Imam Halim bagai desiran angin yang masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri sahaja. Tiada terusik tahi telinganya walau secubit.

Kawan saya kat ofis ni selalu bergurau, "Kita buat-buat bodoh je, tapi jangan sampai jadi betul2 bodoh."

Masalahnya akibat kita buat-buat bodoh atau buat tak tahu atau tidak menghirau segala perlakuan, maka kita dapati lambat laun kita akan tergolong pada kelompok manusia yang rugi. Umur sudah tua tapi ilmu macam budak tadika. Budak tadika Islam (bukan tadika Kemas atau Permata) pun lagi terer, setakat hafal dan baca 13 doa itu kacang je. Malu tak kita orang tua yang sepatutnya banyak ilmu itu?

Ilmu seseorang itu boleh meninggikan dia beberepa darjat dalam hiraki masyarakat. Tua umur seseorang tidak menjamin kebijaksaannya kecualilah dengan ilmu di dada. Maka tidak peliklah seorang imam surau masih leka berbual-bual sedangkan di corong surau muazzin sedang mengalunkan seruan azan yang mulia. Kerana ilmu di dada tidak ada.

Ahli jemaah yang sudah berusia masih memilih untuk meneruskan kerancakan aktiviti kelab bual topik ke topik di ruang surau atau masjid dari berhenti untuk mendirikan solat sunat ba'diyah. Takut Allah kah kita atau hampaskah kita?

Hari ini sudah 15 Rejab. Malam tadi gerhana bulan penuh. Ustaz Nizam tempoh hari sudah mengingatkan bahawa segala amal kebaikan di bulan Rejab ini akan memberikan pulangan pahala yang lumayan. Begitulah sebaliknya dosa juga akan digandakan untuk kemungkaran. Maka setakat manakah kita sudah menyahut kehadiran Rejab ini?

Apakah tiada bezanya dari bulan2 yang lain? Bukankah kita sudah faham Rejab adalah bulan pertama dalam bulan tiga serangkai yang tinggi martabatnya. Bulan Rejab untuk latihan intensif menuju Ramadhan. Dirikanlah solat2 sunat, banyakkan zikrullah, mengaji al-Qur'an, dan yang pentingnya melakukan ibadah puasa sunat sebagai persediaan untuk berpuasa sebulan di bulan Ramadhan. Jangan sia2kan Rejab yang masih berbaki 15 hari ini sebelum datangnya Sya'aban.

@@@

2 comments:

yushida03 said...

Tq. Beautiful reminder for all of us.

(kadang2 pun dah terasa tua)

School Of Tots said...

TQ bro yushida03. Sama2 kita muhasabah diri.

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...