Sunday, July 31, 2011

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadan


Ramadan datang lagi. Tetamu Allah yang mulia untuk umat ini. Apabila kita muliakan kunjungan Ramadan ini, maka harap-harap Allah muliakan kita pula. Sudah bersediakah kita menerima tetamu agung ini?

Bagaimana minda kita? Apakah Ramadan ini bulan berlapar, bulan gastrik, atau bulan bazar ramadan? Atau Ramadan ini bulan ibadah, bulan keuntungan, bulan terhebat? Bersediakah minda ini untuk memahami kemuliaan Ramadan? Pemikiran yang mesti bersedia meletakkan Ramadan pada perspektifnya. Maka langkah pertama, hari ini ialah set minda kita betul-betul bahawa aku ini akan bertemu sebuah bulan Agung. Tidak semua orang akan meraih keuntungan Ramadan ini. Aku antara orang yang Allah pilih untuk bertemu Ramadan tahun ini. Jika minda sudah di set betul2 maka mungkin kita boleh bergerak ke langkah seterusnya.

Hati kena siap siaga. Walau lapar dahaga dan penat namun hati tetap sabar. Hati yakin akan janji-janji Allah. Gagal melakukan kebaikan adalah suatu kerugian besar. Hati jangan lalai. Hati kena bersih dari sifat2 mazmumah seperti riak, ujub, shubahah, masyhur, hebat dan takabbur. Hati mesti bebas dari sangka jahat. Bersihkan hati untuk menghadapi Ramadan ini. Hati hanya mengharap redha Allah.

Seluruh pancaindera kena besedia untuk berpuasa. Otak, mata, telinga, lidah, kaki, tangan, perut, semua sudah bersedia berjuang? Apapun pekerjaan dan aktiviti mesti bertanya satu soalan cepu emas, boleh masuk syurga? Jika syurga idaman hati maka berharaplah untuk mendapat redha Allah dengan melakukan tindakan yang boleh mendekatkan kita di Ramadan ini dengan limpah rahmat Allah, semoga melayakkan kita mendapat anugerah keampunan dari Allah. Semoga perjalanan ini akan berakhir dengan 'happy ending' iaitu anugerah sebuah sijil akujanji dari yang Maha Esa bahawa si polan bin si polan Bebas Dari Azab Neraka Allah.

Aku berazam untuk ibadah sungguh-sungguh. Aku akan berterawih sepanjang ramadan ini. Aku akan baca al-Qur'an pada setiap kelapangan. Aku akan hafal surah Yaasin, insyaAllah. Aku akan berjemaah solat fardu lima kali sehari semalam. Aku akan bangun malam untuk solat tahajjud dan witir. Aku akan berbicara perkara baik2. Telingaku tidak akan mendengar benda2 maksiat. Mataku aku tutup dari melihat benda mungkar. Aku akan bangun bersahur walau sebiji tamar dan seteguk air kerana bersahur ini sunnah Rasulullah.

Aku akan tutup aurat bukan sekadar bila ke masjid atau ke surau, tetapi menutup aurat di luar masjid dan surau. Aku berharap mendapat keampunan daripada Allah sebelum Ramadan berakhir. Zikrullah akan sentiasa di bibirku. Ringan tanganku untuk bersedekah dan infak di jalan Allah. Majlis2 ilmu akan menjadi saksi kehadiranku.


Ramadan hanya sebulan. Sekejap saja ia akan berlalu. Jangan tangguh2, semarakkan ibadah. Pandai2lah menyusun masa yang Allah beri 24 jam sehari semalam itu. Marilah bersama-sama kita wujudkan suasana ibadah. Zahirkan kecintaan pada Allah dan Rasullullah. Mudah-mudahan Allah memberi nilaian kebajikan untuk ibadah yang diiringi keikhlasan itu.

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadan.

@@@

Saturday, July 23, 2011

Dosa Di Pandang Ringan?

Sudah banyak kejadian di depan mata perihal ujian kekayaan dan kesenangan yang Allah berikan telah menyebabkan seorang yang sopan menjadi kurang ajar, seorang kawan baik bertukar menjadi kawan yang menyakitkan hati, anak yang hormat orang tua menjadi sebaliknya, jiran yang ramah sudah jadi angkuh dan hidung tinggi, surirumah yang pendiam kini menjadi sombong dengan gelang dan rantai emas yang di jaja ke hulu ke hilir memberitahu setiap orang bahawa aku kaya, aku banyak harta.


Hidup Selesa Di Lubang Kubur?



Maka ujian kaya dan kesenangan dunia itu sebenarnya merupakan ujian yang amat berat bagi hamba Allah yang lemah akidah, kurang ilmu, atau cerdik sombong dan bodoh tak boleh ditegur. Ramai yang gagal dalam ujian ini. Aku sudah tidak perlu sesiapa lagi kerana aku ada harta.



Orang yang dulunya kita kenali sebagai seorang yang lemah lembut dan tidak pernah meninggi diri tapi kerana kini sudah diberi rezki oleh Allah dan nampak bergaya dengan kesenangan dunia mula lupa diri, tidak lagi bersyukur atau menjaga akhlak yang baik. Makin banyak kemungkaran yang dilakukan dan makin kurang kebajikan yang dicari. Majlis-majlis ilmu bukan tempat pilihan lagi. Pahala bukan lagi rebutan dan dosa pula dianggap enteng dan ringan saja. Seolah-olah dunia aku yang punya.



Bukankah kita pernah mendengar ungkapan bahawa "Dunia Dicipta Untuk Manusia, Manusia Dicipta Untuk Akhirat." Betulkah ungkapan ini? Atau sekadar mitos bukan realiti? Dunia yang dikejar maka dunialah yang didapat. Kita tidak harus pelik. Bukankah dunia dicipta untuk manusia? Tapi sekadar itu sajalah. Kerana apabila mati anak Adam, dunia ditinggalkan untuk manusia lain pula berfoya-foya. Harta bertimbun akan di enjoy oleh anak2 dan sekian waris yang ditinggalkan. Yap, think about it Bro.




Aku sudah rimas melihat manusia yang gagal menempuh ujian kekayaan harta kebendaan ini. Si papa kedana pun sama. Tadi kulihat di Kedai Toto, ramai juga orang melayu beli nombor ekor. Kerana apa? Mengejar dan mencari hingga ke lubang cacing harta dan kesenangan dunia. Keberkatan dan pahala sudah tiada dalam pertimbangan. Objektif utama ialah mendapat hadiah lumayan wang ringgit. Keputusan cabutan nombor ekor ini di tunggu untuk ditatap disetiap petang dengan penuh harapan untuk menjadi orang kaya. Dosa dipandang ringan. Dosa sudah tidak menjadi pertimbangan.




Manusia terus gagal dalam ujian yang Allah berikan. Kalau aku kini sudah memandu kereta mewah, mana setaraf aku bersamanya lagi. Kalau akaun bank aku sudah begitu isinya, mana standard aku bergaul dengan orang2 biasa ini lagi. Kalau dulu nampak juga mukaku di surau, mana mungkin aku berada di surau sekerap dulu lagi. Banyak urusan yang aku kena bereskan. Kalau aku ditimpa kesusahan mungkin aku akan kembali kerap ke masjid dan surau. Pahala bukan menjadi rebutan lagi. Dosa di pandang ringan?




Kadang tu menghadiri majlis ilmu di surau atau masjid tidak lagi ikhlas untuk mencari ilmu dan mendapat keberkatannya. Ia di jadikan medan untuk membuka kelab bual. Mungkin duduk berseorang di rumah agak bosan, jadi elok aku ke surau dapat juga bukak cerita dengan kawan2 seperjuangan. Mengumpat sana, mengata sini, tunjuk gelang emas baru beli, cerita hal dunia yang tiada penyudah. Sampaikan orang sebelah yang memang ikhlas cuba mencari sedikit ilmu dari penceramah itu pun sudah hilang konsentrasi. Manusia begini bukan saja hidup sia-sia tapi menyusahkan pula orang lain. Dosa yang baginya ringan.




Muhasabah diri, insyaAllah. Kembalilah ke pangkal jalan sebelum bertemu titik kematian di hadapan sana. Mati itu pasti. Ingat mati. Destinasi kita ialah Akhirat sana. Syurga seorang Muslim ialah di Akhirat, bukan di dunia ini. Jangan bangga diri. Sila sedar diri.




@@@

Jadi Ahli Ibadah


Wasiat Rasulullah SAW kepada Saidina Ali RA.


Wahai Ali, bagi orang 'ALIM itu ada 3 tanda-tandanya:
1) Jujur dalam berkata-kata.
2) Menjauhi segala yang haram.
3) Merendahkan diri.


Wahai Ali, bagi orang yg JUJUR itu ada 3 tanda-tandanya:
1) Merahsiakan ibadahnya.
2) Merahsiakan sedekahnya.
3) Merahsiakan ujian yang menimpanya.


Wahai Ali, bagi orang yang TAKWA itu ada 3 tanda-tandanya:
1) Takut berlaku dusta dan keji.
2) Menjauhi kejahatan.
3) Memohon yang halal kerana takut jatuh dalam keharaman.


Wahai Ali, bagi AHLI IBADAH itu ada 3 tanda-tandanya:
1) Mengawasi dirinya.
2) Menghisab dirinya.
3) Memperbanyakkan ibadah kepada Allah s.w.t.



***Sama-sama kita renungkan...

  • Wang RM50 kelihatan begitu besar bila dibawa ke kotak derma masjid, tetapi begitu kecil bila kita bawa ke supermarket.
  • 45 minit terasa terlalu lama untuk berzikir tapi betapa pendeknya waktu itu untuk pertandingan bola sepak.
  • Semua insan ingin memasuki syurga tetapi tidak ramai yang berfikir dan berbicara tentang bagaimana untuk memasukinya.


saya petik dari
blog Anak Hj Amir....TQ sir.

@@@

Thursday, July 21, 2011

Berebut Mencari Pahala?

Adakah kita berebut mencari pahala? Adakah kita memandang dosa itu ringan? Itulah soalan minda yang dilontarkan oleh Cikgu Kamarulzaman malam tadi pada kuliah maghrib dalam slot 'perbandingan agama' kepada para jemaah yang hadir. Tambahnya lagi, ada satu program di TV Hijrah pada pukul 9:00 pagi setiap Ahad yang memaparkan konsep 'practical joke' ala-ala program Bang Bang Boom. Cuma yang bezanya ialah program ini memasukkan eleman Islamik ke dalamnya.



Contohnya slot beberapa minggu lalu menguji sikap pengguna sebatang jalan untuk mengalihkan rantingan pokok yang melintang jalan, sesuai dengan hadis Rasulullah SAW - Daripada Abu Hurairah r.a mengatakan, bahawa nabi s.a.w bersabda: “Ketika seseorang berjalan ke suatu jalan, kemudian didapatinya sepotong duri di jalan itu, lalu dibuangnya, Allah berterima kasih kepadanya dan mengampuni dosanya.”

Ramai pemandu yang hanya mengelak dari melanggar halangan itu dan meneruskan perjalanan. Di penghujung jalan itu apabila ditanya ada yang menjawab, saya sibuk, saya nak cepat, saya ada urusan, dan sebagainya. Pemandu yang berhenti dan mengalihkan halangan itu telah diberikan trofi bagi meraikan usahanya yang selari dengan maksud hadis di atas. Beruntunglah orang yang berebut mencari pahala.



Program-program TV haruslah berteraskan mendidik ahli masyarakat kepada kebaikan mengikut syariat. Tapi sayangnya majoriti siaraya di TV dan Radio adalah berteraskan hiburan yang lara semata-mata. Namun kehadiran TV Hijrah dan Radio IKIM sedikit mengubat kedukaan.



Tadi saya baru menghadiri sebuah majlis ilmu dalam slot mingguan tazkirah zohor di surau syarikat tempat saya bekerja. Ustaz Abdul Hakam membacakan tafsir surah al-Baqarah ayat 266-268. Antara yang dibentangkan ialah kepentingan sedekah yang ikhlas termasuklah sebarkan salam, memberi jamuan makan, menjaga silaturahim, dan berdoa untuk kebaikan saudara kita.



Ustaz memberikan analogi betapa jika ada program Qiyamullail bermula jam 4:00 pagi di masjid maka iklan akan di war-warkan bagi mengajak ahli khariah datang ke masjid bagi menyertainya. Berbeza dengan perlawanan bola di TV dimana kedai2 mamak tidak perlu untuk mengajak orang ramai hadir tetapi mereka sendiri yang akan bangkit dan hadir pada pukul 4:00 pagi untuk beramai-ramai berjemaah menonton siaran langsung perlawanan bola itu. Berebut mencari pahalakah kita?



Ada kisah sahabat yang telah ber qiayamullail selama 40 tahun. Katanya 20 tahun pertama amatlah berat dan payah. Manakala 20 tahun kedua berubah menjadi senang, ringan dan penuh kemanisan. Naluri ibadah ialah kalau sudah biasa maka akan terlahirlah kemanisan. Maka teruskan usaha untuk mebiasakan diri, berebut mencari pahala.



Dalam persoalan memberi salam, Ustaz menjelaskan ungkapan selamat pagi, natijahnya pagi yang selamat. Selamat malam, malam yang selamat. Good afternoon, maka afternoon yang good. Ungkapan salam yang memberi pahala ialah Assalamualaikum. Ia tidak boleh ditukar ganti dengan ungkapan Salam 1Malaysia misalnya. Tiada balasan pahala di sana untuk ungkapan2 salam ciptaan manusia ini.

Dalam bab bersedekah, Ustaz berkata kita kena bersedekah yang terbaik, benda yang berkualiti yang kita sayangi. Barulah ada nilaiannya di sisi Allah. Kalau nak sedekah juadah berbuka maka masaklah masakan yang terbaik. Belilah kueh-mueh yang berkualiti untuk disedekahkan pada jiran sebelah.

Sifat orang maha kaya ialah masih memerlukan wang, tidur dan makan. Namun sifat Allah Maha Kaya tidak memerlukan semua itu. Itulah sebenar-benar kaya. Sedekah itu adalah akaun untuk akhirat. Akaun ini boleh membantu pemiliknya mendapat kesenangan hidup di Akhirat yang kekal abadi itu. Maka rajin2lah kita bersedekah.



Akhirnya Ustaz menyatakan ada satu mazhab baru muncul di negara kita iaitu ahli sunat-wal-jumaat. Mengutamakan yang sunat dan melekakan yang fardu. Jumaat jaga betul, khutbah tidur. Solat raya jaga betul tak boleh miss melimpah ruah masjid dan surau. Solat fardu yang wajib satu saf penuh pun payah. Berjemaah terawih ramai betul, berjemaah solat2 subuh, zohor dan asar sikit bebenau...ish ish.



Ada satu kisah disebuah daerah. Kisah di malam raya. Tu dia time solat maghrib dan isyak, kosong masjid. Pak Imam dan bilal pun miss in action. Maklumlah besok nak raya, masing2 sibuk nak beraya. Yang hebatnya, time pukul 10malam bila dah di war-warkan kat TV esok raya, maka ramai lah orang berkumpul. Tujuannya nak pi takbir rumah ke rumah. Tu dia takbir sakan. Pukul 3:00 pagi baru habis. Penat bertakbir raya punya pasal langsung miss solat subuh. Tapi elok solat raya melimpah ruah la pulak masjid, siap buat khemah sambung. Mana lebih utama - solat sunat berjemaah ke, solat fardu berjemaah? Jawab jawab.


Kenapa takut harimau? Sebab kita kenal harimau. Kenapa tak takut Allah? Sebab tak kenal Allah. Kita kena kenal Allah baru lahir rasa takwa. Rasa takut pada Allah dengan meninggalkan segala larangannya dan membuat segala suruhannya. Bila kenal Allah, dan kita terlanjur buat dosa maka bersegera kita mohon ampun dan menyesali perbuatan dosa kita itu dan menanam azam untuk tidak mengulanginya. Kita taubat dan mengharap keampunan dari Allah SWT. Kita tidak mampu menghadap azab api neraka Allah. Memandang dosa itu beratkah kita? Berebut mencari pahalakah kita?



@@@

Wednesday, July 20, 2011

Mana Milik Kita?

Hari ini hujan turun di tengahari. Alhamdulillah. Kepanasan tengahari berganti dengan kedinginan yang mengiringi hujan. Itulah kuasa Allah.

Semasa duduk di bangku surau untuk membuka kasut, sempat bertegur sapa dengan seorang teman sekerja. Kata saya, "Kita ini tiada kepayahan, melainkan kepayahan itu Allah yang bagi. Kita ini tiada kesenangan, melainkan Allah yang bagi." Hj Hashim teman saya itu mengangguk-angguk. Hj Hashim ini seorang muslim Jepun yang berkahwin dengan warga Malaysia.

Kita ini tiada penyakit, melainkan Allah memberi penyakit itu. Maka bergantung haraplah pada Allah mohon disembuhkan penyakit kita itu. Dialah yang berkuasa menyembuhkan penyakit kita itu. Namun jangan lupa makan ubat dan berusaha berubat. Itu menjadi asbab untuk Allah memberi kesembuhan itu. Tapi bukan ubat itu yang menyembuh, tapi Allah yang menyembuh. Buktinya kata saya, "Jika Hj Hashim makan ubat dan saya makan ubat itu. Pening kepala Hj Hashim hilang, tapi pening kepala saya tidak pula hilang." Hj Hashim terus mengangguk-angguk tanpa bersuara. Saya pun bangkit untuk mengambil wudhuk.

Ustaz Zahidi tempoh hari menjelaskan apa yang berlaku tidak terlepas dari Allah. Kesemua dari Allah. Apabila ditimpa sesuatu penyakit atau sesuatu dugaan dan cabaran kecil atau besar, maka ucapkan Alhamdulillah. Kerana ia anugerah Allah.

Marilah kita sama-sama mencari kemuliaan di bulan Syaaban. Maka berjinak-jinaklah dengan Allah. Basahkan bibir dengan zikrullah. Bimbang Allah tarik balik nikmat ibadah. Harap Allah terima ibadah kita. Harap Allah memanjangkan usia kita untuk dapat bertemu bulan Ramadan.

Janganlah hendaknya ibadah puasa kita tahun ini menjadi puasa balas dendam lagi. Setelah penat berlapar dan kehausan di siang hari maka kita balun sakan semasa berbuka itu. Kita balas dendam atas kelaparan tadi. Ucapkan selamat tinggal untuk puasa balas dendam.

Ibadah puasa ini untuk melahirkan ketakwaan. Suloh dengan matahati takut taat tidak diterima Allah. Supaya Allah terima maka ikhlas dalam ibadah, maka harap Allah terima. Takut dosa tidak diampun Allah, maka banyakkan beristighfar.

Hal ibadah ini, kena ada orang selalu mengingatkan. Maka sentiasalah hadir ke majlis ilmu. Janganlah tidak hadir majlis ilmu melebihi 3 hari takut hati mati. Kita belajar, belajar, dan belajar untuk cari ilmu bagi suloh diri untuk kenal diri untuk kenal Allah. Kita takut tanggal iman tanggal Islam atau rusak iman. Maka sediakan ilmu. Bersihkan hati.

Semalam saya menonton sebuah video di laman web thedeenshow.com mengenai seorang penyanyi rap UK yang terkenal berasal dari Jamaica. Dia telah mendapat hidayah dan memeluk Islam. Katanya dia telah mendapat segala kemewahan dalam hidup, namun apabila ia mendapat semua itu dia masih merasa kekosongan. Apabila seorang kawannya bercerita perihal Islam, tentang 'Judgement Day' bagaimana setiap perlakuan kita di muka bumi ini akan di kira. Dan bagaimana seseorang itu bertanggungjawab atas segala perlakuannya. Maka pada detik itulah hidayah Allah menusuk ke jiwanya untuk menerima Islam, dan kini dia menjadi pendakwah untuk berkongsi pengalaman hidup dan mengajak anak-anak muda yang tiada arah tuju itu untuk di bimbing menuju jalan yang lurus. Perubahan dari seorang rapper tersohor menjadi pengajak kebenaran. Semuanya atas bidang kuasa dan pengetahuan Allah.

Ya Allah tempatkan kami ke tempat yang mulia. Takut dan harap. Tiada pada yang lain kecuali Allah. Harap Allah temukan kita dengan Ramadan. Ramadan bukan biasa-biasa tapi luarbiasa. Berilah sambutan yang luarbiasa. Sebelum itu buat persediaan rapi luarbiasa di ruang 12 hari bulan Syaaban yang berbaki ini.

Mari kita renung bait2 lirik lagu dendangan Rabbani ini:-

Mana milik kita
Tidak ada milik kita
Semua yang ada
Allah yang punya

Tidak ada kita punya
Kita hanya mengusahakan saja
Apa yang kita dapat
Allah sudah sediakannya

Kita Allah punya
Dunia ini ciptaan-Nya
Miliklah apa saja

Tidak terlepas dari ciptaan-Nya

Mana kita punya
Tidak ada kepunyaan kita
Kita hanya mengusahakan

Apa yang telah ada

Mengapa kita sombong
Memiliki Allah punya
Mengapa tidak malu
Kepada Allah yang empunya

Patut bersyukur kepada Allah
Yang memberi segalanya
Malulah kepada Allah

Kerana milik Ia punya

Janganlah berbangga
Apa yang ada pada kita
Kalau Allah tidak beri
Kita tidak punya apa-apa

Janganlah mengungkit
Mengungkit jasa kita
Jasa kita di sisi-Nya
Yang sebenarnya Allah punya

Marilah kita bersyukur
Bukan berbangga
Bersyukur kepada Allah

Bukan mengungkit jasa

Gunakanlah nikmat Allah itu
Untuk khidmat kepada-Nya
Selepas itu lupakan saja
Agar tidak mengungkit-ungkitnya

Lirik: Rabanni - Mana Milik Kita

@@@

Thursday, July 14, 2011

Buku RAMADAN TERAKHIR

Buku RAMADAN TERAKHIR karya SOT



Hidup ini ibarat sebuah perjalanan yang jauh menuju akhirat. Destinasi akhir kita ialah akhirat. Saya teringat sebuah ungkapan - Dunia ini dijadikan untuk manusia, dan manusia dijadikan untuk akhirat. Maka benarlah bahawa hidup didunia hanya sekadar jambatan untuk ke akhirat. Walau pun kehidupan dunia cuma sementara tetapi ianya sangat signifikan. Kerana apa? Kerana adanya 'judgment day'. Setiap perlakuan kita di dunia ini akan dinilai kesemuanya, tiada yang ketinggalan. Amal yang sebesar biji sawi pun akan tetap diambil kira.


Dalam perjalanan ini kita akan menempuh satu titik iaitu detik kematian. Mungkin 1km lagi, mungkin 2 km lagi. Mungkin 1 bulan lagi, mungkin 6 bulan lagi, mungkin 2 tahun lagi. Kita tidak tahu bila detik kematian kita. Namun ia sudah termaktub di Luh Mahfudz.


Hakikatnya setiap pagi kita bangkit dari tidur, ia akan mendekatkan kita sehari lagi kepada detik kematian itu. Semua yang lain itu hanya asbab semata. Ada orang mati kerana kemalangan jalanraya, ada yang mati kerana jatuh ditimpa tangga. Kita berjalan ke depan dan di depan sana ada menanti sebuah kematian untuk diri kita. Suspen bukan untuk difikirkan?


Ramai sudah teman2 seperjuangan kita atau kawan2 sekelas kita samada di sekolah rendah atau di sekolah menengah dulu yang sudah meninggal dunia. Tapi aku masih bernyawa. Untuk berapa lama lagi?


Semalam anak bekas CEO syarikat tempat saya bekerja meninggal dunia pada usia 21 tahun. Dia terjatuh dan kepalanya terhantuk ke lantai. Namun dia bangun dan masuk ke bilik untuk tidur. Namun rupanya tidurnya malam itu untuk selamanya. Siapa sangka? Tidak siapa menyangka termasuklah ibu dan bapanya. Mengikut logik akal, ibu dan bapanya sepatut mati dulu. Tapi ingat, kematian itu tidak mengenal usia.


Sesampainya manusia pada titik kematiannya maka matilah dia. Expired date yang tidak mungkin disambung hayat. Tidak seperti lesen memandu yang apabila tiba tarikh luput boleh disambung untuk jangkahayat satu tahun lagi dengan membayar RM30 kepada JPJ.


Saya mengahadiri pengkebumian arwah di tanah perkuburan di perkarangan Masjid al-Reduan Ulu Klang. Lubang kuburnya begitu sempit. Jenazah dibaring mengiring mengadap dinding tanah. Gumpalan tanah memenuhi ruang kubur, maka bersemadilah jasad yang tidak bernyawa itu di dalam lubang kubur yang dikambusi tanah itu. Asal manusia dari tanah maka kembalinya ke tanah juga. Tahlil di baca oleh imam muda. Hi Abdul Hadi, hari ini terputuslah hubunganmu dengan dunia. Bersemadilah kamu di kubur ini sehingga hari kiamat. Kamu akan didatangi oleh malaikat yang bertanya siapa tuhan kamu? Maka jawablah Allah tuhanku...


Hadirin yang mengiringi pengkebumian ini agak ramai. Setelah tahlil arwah dan doa diaminkan maka tibalah masanya para hadirin bergerak pulang. Benarlah orang yang mengiringi akan pulang, harta yang dimiliki akan ditinggalkan, cuma yang dibawa ke lubang kubur ialah kain kapan bewarna puteh yang akan reput dalam beberapa hari. Yang dibawa lagi ialah amal baik dan amal buruk yang akan di hisab suatu masa nanti.


Terputuslah hubungan anak Adam apabila mati kecuali 3 perkara iaitu doa anak yang soleh, amal jariah, dan ilmu bermanafaat yang diamalkan. Menyedari hakikat ini saya yang telah berpeluang menyedut oksigen Allah selama hampir 48 tahun ini tidak mahu ilmu di dada hilang begitu saja bersemadi bersama jasad yang terkujur layu. Itu yang akan berlaku jika ilmu di dada tidak dikongsi dengan manusia lain. Tabiat ilmu ialah makin berkembang apabila di sebarkan dan menjadi hilang atau lupa apabila dipendamkan.



Sepanjang perjalanan kehidupan ini, sedikit sebanyak ada ilmu2, kisah2 tauladan, dan hikmah2 yang telah dikutip. Kebanyakannya dari kesempatan menghadiri majlis2 ilmu seperti ceramah perdana, kuliah2 maghrib, dan tazkirah2 ramadan di surau dan masjid. Juga melalui pengalaman hidup, pembacaan dan pemerhatian. Yang penting ialah pandang dan fikir tentang kehebatan alam dan kejadian ciptaan Allah SWT.


Tabiat rutin saya ialah mencatit nota pada majlis2 ilmu, membuat artikel, dan mengumpul maklumat. Merintasi masa, saya kumpul2kan sehingga menjadi sebuah manuskrip buku. Objektif saya untuk berkongsi ilmu di dada dengan insan yang lain agar ada manafaatnya dan supaya ilmu itu dapat berkembang bukan hilang begitu sahaja.


Sampai masanya saya pun menghantar manuskrip ini kepada beberapa syarikat penerbitan buku terkemuka tanahair. Alhamdulillah Galeri Ilmu memberi respon yang positif melalui perantaraan editor kanannya. Panduan dan nasihat profesional diutarakan untuk saya patuhi sehingga akhirnya buku hasil karya sulong saya ini dihantar untuk cetakan pada penghujung bulan Jun 2011. Tajuk buku ini ialah Ramadan Terakhir. Setebal 197 mukasurat dengan harga RM19.


Kenapa Ramadan Terakhir? Kerana Rasulullah SAW pernah berdoa, "Ya Allah! Berkatilah kami dalam bulan Rejab dan Syaaban serta panjangkan umur kami sehingga bertemu Ramadan." Maknanya apabila Allah menemukan seseorang itu dengan Ramadan, sebenarnya ia adalah perkara luarbiasa, bukan perkara biasa2. Ianya adalah 'privilage'. Ia adalah anugerah yang hebat. Satu keistimewaan dari Allah SWT kepada hamba-Nya. Maka sepatutnya kita menyambut anugerah ini dengan penuh kesyukuran dan kemuliaan. Apatah lagi ada satu malam di bulan Ramadan itu nilaian ibadahnya mendapat ganjaran seperti ibadah lebih baik dari 1000 bulan. Teristimewa.


Kenapa Ramadan Terakhir? Kerana kita mungkin tidak akan bertemu dengan Ramadan pada tahun hadapan kerana sudah mati. Kerana ingat, titik kematian setiap insan itu ada di depan mereka masing2. Jangan ingat lambat lagi nak mati. Ianya faktor yang diluar kawalan kita. Dan 12 bulan untuk bertemu Ramadan yang akan datang itu adalah jangkamasa yang panjang. Tidak mustahil 'expiry date' seseorang itu ada didalam ruang waktu 12 bulan itu. Think about it.


Kenapa Ramadan Terakhir? Kerana kita mestilah membuat yang terbaik. Cukuplah sudah kita mengamalkan ibadah puasa pada piawaian orang awam, iaitu sekadar menahan lapar, dahaga, dan tidak bersetubuh di siang hari. Berusahalah untuk mencapai puasa khusus iaitu puasa yang mengajak pancaindera lain juga untuk turut berpuasa. Puasa mata dari melihat yang haram, puasa mulut dari bercakap yang mungkar, puasa telinga dari mendengar perkara maksiat, puasa kaki, tangan, perut, lidah, dan semuanya. Buat yang terbaik seolah-olah inilah final exam yang menentukan untuk lulus cemerlang atau lulus sekadar cukup makan atau yang lebih teruk lagi mendapat keputusan gagal. Ini ialah Ramadan terakhir. Be the best you can be.


Buku sulong karya saya ini menyentuh persediaan ke medan juang. Ibarat bermain bola, latihan intensif yang wajar dimulakan pada bulan Rejab. Diikuti latihan khusus dan perlawanan2 persahabatan di bulan Syaaban untuk memantapkan diri secara fisikal dan mental bagi menempuh pertandingan sebenar di bulan Ramadan al-Mubarak. Tanpa sistem latihan yang mantap sudah tentu peluang untuk menang dan meraikan kejayaan turut pudar. Mana ada pasukan bola ke Piala Dunia yang berjaya tanpa latih tubi yang sistematik?


Apabila Allah SWT memberi keistimewaan untuk kita bertemu dengan Ramadan pada tahun ini maka sambutlah ia dengan penuh kesyukuran dan kesedaran. Ambil peluang yang diberikan ini untuk meraih segala keuntungan dan kemenangan. Di sini saya berkongsi ilmu yang saya dapati dari pengalaman ibadah dan majlis2 ilmu yang dibimbing oleh para2 daei', iman dan lebai. Pengalaman melalui bulan yang penuh magik ini memberikan kenikmatan yang luarbiasa hebat. Maka perkongsian dalam bentuk santai tapi saya mengharapkan ilmu sampai. Semoga ilmu yang bermanfaat terhasil dari coretan demi coretan pada setiap lembaran 49 bab yang dipaparkan.


Akhirnya hasil dari tarbiyah Ramadan itu sendiri. Apakah mampu membawa sesuatu perubahan positif kearah mendekatkan diri pada Illahi? Atau sekadar di pinggiran, balik ke takuk lama atau lebih membawa mudarat dari berkat? Apakah beraya sakan macam orang hilang ingatan? Dan masih malambat2kan solat tiang agama. Atau terus tidak solat dan tidak menutup aurat macam biasa? Sendiri mencari jawabannya.


Milikilah buku Ramadan Terakhir keluaran Galeri Ilmu ini yang masih hangat dari kilang. Sesuai juga di buat hadiah untuk rakan dan taulan. Semoga ada barokah dalam penghasilan buku ini dan mencapai objektif untuk mencari redha Illahi dengan berkongsi ilmu yang ada untuk manfaat semua.






@@@

Saturday, July 09, 2011

Hak Rakyat Bersuara



Rakyat Sudah Muak Dan Bangkit Menyuara Pendapat

Hak rakyat bersuara menjadi nyata siang tadi. Apabila KPN mengatakan hanya 5,000-6,000 orang sahaja yang berhimpun dan TV3 pula melapurkan kurang lebih 600 orang sahaja yang berkumpul maka sekali lagi datang rasa meluat macam nak muntah. Kerana sekali lagi rakyat hendak ditipu.

Bak kata pengerusi Bersih, kita menuntut supaya di bersihkan sistem pilihanraya yang ada, berhentilah dari menang dengan cara menipu. Satu permintaan yang murni dan gentleman. Tapi nampaknya ia ditentang bagai nak rak, seolah-olah hidup mati parti memerintah bergantung di situ, di tipu daya yang masih berbaki.

Setuju benar dengan pengorbanan Pak Samad yang berkata saya luangkan sibuk tua saya di sini untuk megindahkan sistem pilihanraya yang ada bukan untuk mengotorkannya. Sepatutnya semua pihak memberi sokongan itu.

Tahniah warga tercinta kerana perjuangan ini. Sesungguhnya sesuatu perubahan itu tidak datang bergolek. Ianya satu perjuangan yang panjang. Kesemua 1667 yang ditahan khabarnya akan dibebaskan semuanya malam ini. TG Hj Hadi & Dato Ambiga juga sudah dibebaskan pukul 6:30ptg tadi.

Akhirnya mari kita hayati kata2 TGNA - Yakinlah, perjuangan menuntut keadilan ini pasti akan berjaya. UMNO pasti akan jatuh tersemban juga akhirnya. Tentangan dan penindasan ini hanyalah tanda perjuangan keadilan akan berjaya. Umpama layang-layang yang tidak akan terbang melainkan dengan melawan angin, begitu juga dengan perjuangan, tidak akan berjaya melainkan dengan menghadapi tentangan!


Video credit to this blog.

@@@

Monday, July 04, 2011

Kita Kini Di Bulan Syaaban

Alhamdulillah Allah SWT ketemukan kita dengan bulan Syaaban. Semoga kita tidak sia-siakan bulan yang mulia ini. Bulan ini penuh dengan kebaikan dan sangat penting sebagai medan perjuangan dan ujian sebelum kita melangkah ke bulan Ramadhan. Amalan puasa sunat merupakan antara ibadah yang afdal di bulan Syaaban ini.

*****

Berikut saya paparkan petikan yang saya peroleh dari blog Ceritera berkenaan antara kelebihan bulan Syaaban untuk manafaat kita bersama:

Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud:“Tahukah kamu sekelian, mengapa dinamakan bulan Syaaban? Maka umatnya menjawab: Hanya Allah dan RasulNya yang lebih mengetahui.”Baginda meneruskan sabdanya: “Kerana di dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.” (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama).

KEUTAMAAN SYAABAN:

Allah swt mengangkat darjat orang yang menghidupkan bulan ini dengan amalan ibadat. Allah juga banyak mengurniakan rahmat kepada hambaNya. Rasullah bersabda yang bermaksud: “Allah mengangkat amalan-amalan semua hambaNya pada bulan ini.”Orang yang membesarkan bulan ini dengan beribadat, akan terpelihara dari maksiat. Taubatnya diterima juga terselamat dari mara bencana pada tahun berkenaan.

Sabda Rasulullah saw lagi yang bermaksud: “Barang siapa yang membesarkan Syaaban dan bertakwa kepada Allah swt serta taat dan juga menahan diri daripada maksiat, Allah akan mengampuni dosa-dosanya dan menyelamatkannya daripada segala bencana yang berlaku pada tahun itu, juga daripada sakit-sakit.”Kasih dan ketaatan orang yang beribadat pada tahun itu terhadap Allah akan kekal.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Barangsiapa yang menghidupkan malam dua hariraya dan malam pertengahan bulan Syaaban, maka hatinya tidak mati biarpun semua hati mati ketika itu.”Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada Saidatina Aisyah Radhiallahuanha, dia telah berkata yang bermaksud: “Adalah Rasulullah saw sering berpuasa hingga kami menyangka bahawa Baginda berpuasa berterusan dan Baginda sering berbuka sehingga kami menyangka bahawa Rasulullah akan berbuka seterusnya. Aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadan dan aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak dari puasanya di bulan Syaaban.”

Nabi saw pernah bersabda yang bermaksud: “ Keutamaan bulan Syaaban ke atas bulan-bulan yang lain adalah seperti keutamaan aku di atas semua nabi-nabi yang lain, sedangkan keutamaan bulan Ramadan ke atas semua bulan yang lain adalah seperti keutamaan Allah Taala ke atas makhlukNya.”Apakah amalan yang wajar dilakukan di bulan Syaaban? Memperbanyakkan puasa sunat:



  1. Dalam Kitab Durratun Nasihin dinyatakan bahawa Rasulullah saw bersabda bermaksud:
    “ Sesiapa yang berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban, tiga hari pertengahannya dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah swt mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti beribadat tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka matinya seperti orang mati syahid.”

  2. Jika berpuasa sehari dalam bulan Syaaban akan diharamkan tubuhnya dari api neraka. Dia akan menjadi taulan nabi Yusof di dalam syurga. Diberi pahala seperti pahala nabi Ayub dan Nabi Daud.

  3. Jika berpuasa sebulan pada bulan Syaaban, dipermudahkan Allah kepadanya Sakaratulmaut dan ditolaknya (terlepas) daripada kegelapan dalam kubur, dilepaskan daripada huru-hara Mungkar dan Nangkir, ditutup keaibannya di akhirat nanti dan diwajibkan syurga baginya.

  4. Sesiapa yang berpuasa pada awal Khamis di bulan Syaaban dan akhir Khamis (juga dalam Syaaban) dimasukkannya dalam syurga .(Hadis Rasulullah yang dipetik dari kitab al-Barokah.)

  5. Rasulullah saw turut bersabda yang bermaksud: “ Dinamakan Syaaban kerana padanya terdapat kebajikan yang amat banyak dan puasa yang lebih afdal sesudah Ramadan ialah puasa bulan Syaaban.”Perbanyakkan doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah saw:


Sabda Nabi saw yang bermaksud: “Barang siapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertakwa kepada Allah, taat kepadaNya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah swt akan mengampuni segala dosanya dan menyelamatkannya pada tahun tersebut dari segala macam bencana dan penyakit.” (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa’izhin)

Bulan Syaaban merupakan bulan untuk kita memperbanyakkan taubat kepada Allah swt. Malam 15 Syaaban lebih dikenali sebagai malam Nisfu Syaaban. Pada malam ini umat Islam sangat-sangat disarankan untuk memanfaatkannya kerana malam ini penuh dengan rahmat dan doa sangat mustajab.Justeru umat Islam disaran untuk menghidupkan malam ini dengan membaca surah Yassin sebanyak tiga kali selepas solat maghrib.

******

Janganlah berputus harap. Segala sesuatu adalah dari Allah SWT jua. Maka mohonlah kepada-Nya untuk segala hajat dan harapan. Mengadu hal kepada Allah SWT, tidak pada yang lain. Hanya Allah SWT yang mampu memberi segala impian kita. Yang lain hanya asbab sahaja. Yakinlah bukan sekadar percaya. Cukuplah kita mensia-siakan usia kita ini. Sesungguhnya masa yang berlalu tidak akan kita dapati lagi. Sebagai contoh hari ini dalam sejarah 3 Syaaban 1432 H, hanya sekali seumur hidup. Ia tidak akan berulang lagi.

Jika kita terlepas dari melakukan segala kebaikan dan amal ibadah hanya kepada Allah, maka rugilah dan terlepaslah. Jika panjang umur mungkin kita akan berjumpa 3 Syaaban 1433 H, tapi bukan 3 Syaaban 1432 H lagi. Setiap ruang dan detik kehidupan yang Allah pinjamkan ini merupakan sebuah peluang yang Allah SWT berikan untuk kita isi. Jika pengisiannya dengan amal ibadah kepada Allah maka beruntunglah kita. Jika ianya di isi dengan perkara sia-sia dan lara maka rugilah. Allah SWT memberi kita peluang untuk membuat pilihan ini.

@@@

Friday, July 01, 2011

Unggun Bersih

Unggun Bersih

Semakin lara kita didera bara—
kita laungkan juga pesan merdeka:
Demokrasi sebenderang mentari

sehasrat hajat semurni harga diri.



Lama resah kita—demokrasi luka;
lama duka kita—demokrasi lara.

Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;

suara bebas yang utuh, kita idami!



Dua abad lalu Sam Adams berseru:
(di Boston dijirus teh ke laut biru):

Tak diperlu gempita sorak yang gebu,

diperlu hanya unggun api yang syahdu.



Kini menyalalah unggun sakti itu;
kini merebaklah nyala unggun itu.


24—25, 6.11. A. SAMAD SAID





***


Semenjak dua menjak ini warna kuning sudah menjadi agak taboo. Ia warna Bersih, simbol kebangkitan sebuah tuntutan untuk pilihanraya yang lebih elok dan adil untuk semua pihak.

"Baju hang tak basuh ke?" sapa seorang sahabat. Saya memandangnya dengan ragu. "Hang tak tau ke?" Saya merenungnya kembali. "Sekarang tak boleh pakai baju Bersih".



Teringat saya tiga hari lalu semasa menonton pasukan Malaysia menentang Taiwan pada perlawanan bolasepak kelayakan piala dunia di TV1. Selalunya jersey pasukan Malaysia ialah jersey kuning selaku tuanrumah, tapi malam tu jersey biru kalau tak silap.

Semasa memandu ke ofis tadi, sempat mendengar bacaan berita di radio klasik nasional, menteri dalam negeri memberitahu sesiapa yang memakai baju kuning boleh ditangkap kerana ia bersangkut paut dengan sebuah perhimpunan haram. Segala sesuatu yang boleh dikaitkan dengan perhimpunan haram maka ia juga adalah haram.



"Hang tak boleh naik moto", sapa seorang sahabat. "Apasal?" sampuk mamat tu. "Segala yang bersangkutan dengan perlumbaan haram adalah haram."

Malam ni ada jamuan makan malam syarikat di tempat saya bekerja. "Yang, toksahlah pakai baju jacob kuning tu ye", pesan saya kepada isteri tercinta.



Apa yang kecoh sangat pasal Bersih dan kuning ni? Apakah ia lebih dari sebuah tuntutan murni untuk meningkatkan keelokan perjalanan pilihanraya bagi semua pihak dan rakyat semua? Nampak gayanya begitulah.

Dari segi bahasa bersih ni adalah satu nilai murni. Lawan bersih ialah kotor, comot atau bergelumang dengan najis. Dari segi lain pula lawan bersih mungkin juga penipuan, taktik kotor, atau main jahat.



Pihak berkuasa mahu menghalang perhimpunan haram kerana ia boleh menimbulkan kekecohan dan menyusahkan orang ramai terutamanya para peniaga di bandaraya. Lautan manusia berbaju kuning berkumpul dan berarak adalah satu mimpi ngeri sebagaimana perhimpunan Bersih yang pertama dulu. Gambaran sokongan padu rakyat kepada sesuatu yang menjadi tentangan kerajaan memerintah adalah sesuatu yang mesti dielakkan 'by hook or by crook'.

Mungkin boleh disamakan dengan gerakan demonstrasi 'baju kuning' di Thailand yang menuntut perubahan. Atau gerakan kebangkitan rakyat yang menumbangkan kerajaan Mesir. Kebangkitan rakyat yang berjangkit ke Libya, Yaman, dan Syria.



Apakah tuntutan Bersih itu sebenarnya?

*****


Tuntutan Segera Perhimpunan BERSIH 2.0 :-



1. Bersihkan senarai undi
- Senarai undi harus dibersihkan dengan segera untuk menyingkirkan ‘pengundi hantu’ seperti orang yang telah meninggal.
- Pendaftaran pengundi automatik yang diselarikan dengan senarai Jabatan Pendaftaran Negara boleh menyelesaikan masalah pengundi hantu dalam jangka masa panjang.



2. Mereformasikan undi pos
- SEMUA pengundi seharusnya dibenarkan untuk mengundi melalui undi pos atau mengundi lebih awal sekiranya seseorang individu itu tidak dapat berada di kawasan pengundian semasa hari mengundi.
- Anggota polis dan tentera yang tidak bertugas harus mengundi seperti biasa pada hari mengundi.
- Undi pos mesti dijalankan dengan telus! Agen parti politik harus dibenarkan untuk memantau proses undi pos.



3. Gunakan dakwat kekal
- Penggunaan dakwat kekal boleh mengelakkan seseorang (atau pengundi hantu) daripada mengundi beberapa kali.



4. Masa kempen minima 21 hari
- Masa yang lebih panjang diperlukan untuk calon menyebarkan maklumat, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman. Contohnya, pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini diberi masa kempen 10 hari sahaja.
- Pada 1955, ketika era pemerintahan penjajah, pilihanraya mempunyai masa kempen sepanjang 42 hari. Manakala semasa Pilihanraya Umum ke-12 pada 2008, masa kempen 8 hari sahaja.



5. Akses media yang bebas dan adil
- RTM dan Bernama adalah agensi media yang dibiayai oleh kerajaan. Mereka sepatutnya memberi liputan yang seimbang dan adil untuk semua parti yang bertanding.
- Parti politik harus dibenarkan untuk membuat pengiklanan tanpa sebarang diskriminasi dan penapisan.
- Ini adalah mengenai keadilan! Semua media perlu memberikan hak untuk semua parti membalas kepada tuduhan-tuduhan negatif terhadap mereka.



6. Kukuhkan institusi awam
Institusi awam dan kakitangan kerajaan harus tidak berat sebelah dan menegakkan undang-undang dan demokrasi. Institusi awam harus direformasikan supaya bertindak secara bebas, menegakkan undang-undang dan melindungi hak asasi manusia.Contohnya :
- Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) hendaklah memastikan pilihanraya yang bebas dan adil.
- Badan Kehakiman harus memelihara kebebasannya dan menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa gentar atau memihak.
- Peguam Negara perlu bertindak secara tidak berat sebelah dan mengutamakan kepentingan rakyat.
- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia harus bertindak dengan adil dan menghentikan pendakwaan selektif dan penyalahgunaan kuasa.
- Polis Di Raja Malaysia perlu bertindak secara profesional dalam melaksanakan tugas dan menegakkan kedaulatan undang-undang.



7. Hentikan rasuah
- Rasuah adalah kegiatan mencuri dari rakyat untuk kepentingan peribadi. Rasuah menyebabkan orang kaya bertambah kaya dan golongan miskin semakin miskin.
- Pembelian undi harus dihentikan!
Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 mesti dikuatkuasakan.



8. Hentikan politik kotor
BERSIH 2.0 menuntut SEMUA parti politik untuk menghentikan politik kotor.



*****


Kalau diteliti, tuntutan NGO Bersih ini agak munasabah dalam membaikmutu sistem pilihanraya yang ada. Keadilan untuk seluruh rakyat jelata pendokong demokrasi.Logiknya ia harus mendapat sokongan semua pihak.

Saya ada mendengar dalam temuramah di radio 24, pengerusi SPR ada menyatakan bahawa beberapa tuntutan ini adalah diluar bidang kuasa SPR dan memerlukan perubahan perlembagaan. Namun rasanya SPR sepatutnya menjadi penggerak untuk perubahan perlembagaan itu sekiranya benar ia membaikmutu sistem yang ada.



Dinyatakan juga tidak wujud pengundi hantu, kerana pengundi yg mengundi itu memiliki myKad dan nama tersenarai dalam daftar pemilih. Atau kerana pengundi itu bermestautin di bandar dan hanya pulang ke kampung time mengundi.

Pada permasalahan banyak nama pengundi didaftar pada alamat yang sama, SPR mengharapkan lapuran dibuat supaya ia boleh dikoreksikan. Masalah undi pos ialah seolah-olah pengundi 'dipaksa' untuk mengundi pihak tertentu dan kehadiran nombor siri pada kertas undi juga menguatkan anggapan undi itu boleh di kesan mengambarkan undi pos ini sebagai 'fixed deposit' pihak tertentu.

Memang benar jika ada myKad dan cukup umur 21 tahun maka boleh didaftar mengundi. Namun ketidakpuasannya ialah myKad yg diisu kepada rakyat pendatang misalnya. Penipuan dalam mendaftar pemilih misalnya. Orang yang balik mengundi itu bukan orang situ sebenarnya tapi kelompok pengundi 'pendatang' di atas misalnya.


Masalah orang sama yang mengundi beberapa kali misalnya yg mana penggunaan 'permanent ink' itu dapat mengelak perkara ini berlaku. Jadi tackle the root of the problem supaya ketidakpuas hatian dan ketidakadilan ini dapat selesai.

Apabila ketidakpuas hatian ini tidak di beri penyelesaian sewajarnya atau tidak nampak ada inisiatif secara serius bagi menyelesaikannya maka apakah tindakan selanjutnya? Ke meja rundingan? Kalau ikhlas mencari penyelesaian insyaAllah itu adalah alternatif terbaik.



Tapi apabila tuntutan hanya dibakulsampahkan atau tidak dilayan, maka jangan pening jika kelompok rakyat ini berkumpul secara aman bagi menyuarakan isi hati supaya mendapat simpati dan mencetus penyelesaian atau perubahan. Ini elemen penting dalam negara demokrasi dunia.

Elemen provokasi atau kawalan pihak polis dan pencegahan rusuhan yang tidak mahu memberi ruang untuk hak berkumpul secara aman kepada kelompok rakyat bagi menyuarakan sesuatu pandangan suara di anggap penyebab sebenar huru hara dan publisiti buruk pada perhimpunan lalu. Berkumpul secara aman ini adalah hak rakyat yang dijamin dalam perlembagaan negara. Mungkin benar bahawa jika diberi ruang maka ia akan merebak dan mempengaruhi kelompok rakyat ramai, maka ia mesti dihalang pada akal umbi kewujudannya. Jangan bagi peluang walau sedikit. Nampaknya itulah polisi yang diamalkan.

Persoalannya, mengapa sesuatu yang baik begini menjadi satu isu besar dalam negara? Apakah ada agenda yang tersembunyi yang mahu dikelirukan pada tanggapan ramai?

Kita harus kembali kepada realiti bahawa sokongan 50-50 undi popular yang wujud sekarang antara BN dan PR adalah situasi genting dalam menentukan kerajaan yang akan berkuasa. Kuasa adalah segalanya dalam politik.




Ada komen dari pemerhati luarnegara yang berkata, "Di Malaysia ini pihak pembangkang menang besar. Tidak ada negara lain yang sebegini. Mana mungkin sistem pilihanraya tidak adil berlaku. Jika ya, sudah tentu pihak pembangkang tidak akan menang pilihanraya."

Sahabat saya meberi komen, "Jika sistem pilihanraya yang lebih telus, sudah tentu pembangkang sudah menguasai Putrajaya." Kerana katanya akibat penipuan yang masih ada mungkin berbaki tidak sebesar dulu, tapi telah berjaya menyelamatkan kerajaan yang memerintah dari dijatuhkan. Itu teori dia. Dan mungkin itulah kegusaran sebenar, setelah melihat 5 negeri tumbang dan wilayah persekutuan dikuasai PR pada PRU-12 April 2008 yang lalu. Sesuatu yang tak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia.

Kemustahilan pada suatu zaman dahulu sudah tidak mustahil lagi kini. Itulah ketakutan hakiki - kehilangan kuasa memerintah parti yang memerintah. Lautan kuning di tengah kotaraya tidak membantu dan menjadi igauan berat agaknya.

Unggun Bersih bakal padam atau membara terus?




@@@

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...