Bapa yang ku panggil “Abah” itu memiliki kesedaran tinggi tentang kepentingan ilmu walau hidup penuh kekurangan. Mungkin sangat faham bahawa itulah saja yang dapat merobah zuriatnya kepada kehidupan yang lebih baik. Aku ke sekolah rendah dengan hanya berbekal 10 sen, kekadang membawa bekal nasi berlauk telur goreng. Kawan-kawan biasanya membawa 30 sen atau 50 sen. Di sekolah rendah aku terus menerus dipantau hingga setiap kali peperiksaan aku sentiasa menggungguli dengan nombor 1 atau 2, paling teruk no.3. Hinggalah aku dinobatkan sebagai pelajar terbaik dalam peperiksaan darjah 5 dengan keputusan 4A dan 1C. C untuk English. Seingat aku, akulah satu-satunya pelajar dari daerah itu yang berjaya.
Masa kecilku di No.56 Jalan Pasar Wakaf Bharu Kelantan, sebuah rumah kedai kayu tempat berteduh dan mencari rezki. Ibu dan Bapaku bekerja sebagai tukang jahit. Kalau tak silap rumah kedai itu disewa dengan kadar RM30 sebulan berlantai tanah beratap rumbia sebelum dinaik taraf menjadi RM60 sebulan bila sudah beratap zink dan berlantai simen. Aku masih dapat mengingati kehidupanku bermula dari tahun 1971 semasa aku darjah satu dan seterusnya. Dapat kurasai kepayahan hidup kami. Bekalan letrik dan air pun tiada.
Masa kecilku penuh kenangan, aku berpeluang bermain bola dengan kawan-kawan, melastik burung di kebun-kebun getah dan hutan-hutan dara dipinggir kampung, mandi sawah, memancing, menyabung ikan laga dan mandi air telaga. Mungkin kerana selalu terkena air longkang, maka aku selalu dijangkiti kudis malam. Betisku berparut di sana-sini. Menonton TV pula hanya sekali seminggu iaitu malam Sabtu, cerita melayu di rumah jiran. Masa di masjid untuk solat Jumaat, budak-budak cukup seronok berbincang tentang cerita melayu yang akan di keudarakan malam nanti. Cerita-cerita Pontianak dan Hulubalang cukup hebat dan dinantikan. Pada masa tu TV adalah “luxury”. Membidas cicak di masjid juga adalah satu kegiatan yang menarik.
Dengan berbekalkan 4A 1C aku berjaya ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke Sekolah Berasrama Penuh iaitu Sek Men Sains Kelantan di Pengkalan Chepa, kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Sains Faris Petra. Inilah kemudahan yang disediakan oleh kerajaan yang dapat membantu anak-anak luar bandar seperti aku. Aku cukup bersyukur. Aku terhutang budi kepada bapaku yang begitu tegas dalam soal pelajaran hingga aku berpeluang ke SBP ini. Tempat penginapan, pembelajaran, buku-buku, makanan, dobi, semuanya di tanggung kerajaan. Aku belajar hidup berdikari bermula tahun 1977 itu. Bapaku mengingati aku bahawa berada di SMS itu ibarat kaca ditengah intan, maksudnya “you are no longer somebody, academically speaking” kerana para pelajar semuanya terpilih dan bijak-bijak belaka. Pesannya agar aku berusaha kuat demi menuntut ilmu dan mencapai kejayaan dalam hidup. Betul bagai disangka, dalam peperiksaan penggal pertama aku mendapat nombor 10 terkebelakang di dalam tingkatan 1 Alpha itu. Alpha adalah kelas terbaik dari empat kelas, yang lain ialah Beta, Delta dan Gamma. Bapaku sudah banyak memberi kebebasan kepadaku untuk berfikir sendiri menentu arah tuju setelah memberi sebuah asas yang kukuh. Dan dia memberi "support" dan sepenuh kepercayaan kepadaku. Dan aku memahami keadaan itu bila aku sudah meningkat dewasa.
Ab Rahim Hj Abdullah, itulah bapaku dan idola yang sangat berjasa padaku. Dia rela hidup susah, walaupun ada harta pusaka yang berupa 3 bidang tanah yang boleh dijual untuk menyara hidup atau sedikit bermewah. Namun dia berpegang kepada prinsip bahawa harta pusaka ayah bonda bukan untuk di jual beli tetapi untuk warisan anak-anak. Walaupun pernah melalui 3 detik perpisahan dengan isteri-isterinya mengikut turutan waktu sepanjang hidup berumahtangganya iaitu dua penceraian hidup kerana tidak panjang jodoh, satu penceraian mati (ibuku) kerana kematian bapaku itu. Betapa dia begitu prihatin kepada aku dan 3 lagi adik beradikku sebagai penyambung zuriatnya iaitu dua orang anak pada dua perkahwinan awalnya dan dua anak termasuk aku pada perkahwinan ketiganya. Bapaku juga berpegang kepada maruah dan harga diri. Salah satu prinsipnya ialah tidak akan memenuhi undangan atau sesuatu jemputan kalau sekadar mendengar dari orang ketiga atau wakil sahaja. Jika tidak tuan rumah itu sendiri yang menjemput maka jarang benar dia memenuhinya. Bukan niatnya menyombong diri atau tidak mahu bersiratulrahim, tetapi lebih kepada menjaga harga diri. Itulah bapaku walaupun hidup miskin tapi kaya dengan harga diri. Dalam ingatanku dia sangat di ‘respect’ oleh kawan dan lawan terutamanya saudara mara dan ahli kariah masjid di kampung asalnya. Aku sering mendapat tempiasnya kerana setiap kali bapaku berjumpa atau menziarahi mereka maka aku jarang pulang tangan kosong. Sehingga kini setelah 8 tahun dia meninggal dunia aku masih mendapat kesan 'respect' orang kepada bapaku itu di berikan mereka kepadaku pula. Jazakallah.
Aku terkilan kerana tidak sungguh-sungguh berusaha mengumpul dana bagi menghantarnya mengerjakan ibadah haji semasa hayatnya, selepas aku sudah di alam pekerjaaan. Kerana tiada kesedaran sebenarnya dan asyik lara dengan kehidupan yang sudah agak senang hingga lupa zaman kita pernah susah. Akhirnya dia berjaya pergi juga ke Tanah Suci dengan hanya ‘upah haji’ selepas kematiannya. Itupun dengan dana dari harta peninggalannya sendiri. Aku terkilan kerana tidak menghargai sangat segala pengorbanannya kepadaku semasa hayatnya.
Selamat Hari Bapa untuk arwah bapaku. InsyaAllah kini aku tidak lupa setiap hari untuk menyedekahkan pahala segala bacaan surah-surah Al-Qur’an ku kepadanya sebagai sebahagian dari doa anak soleh yang dapat memberi manafaat pada insan yang sudah meninggalkan Alam Dunia ini. Semoga sampailah hendaknya sumbangan kecilku itu kepadanya. Aku doakan agar Allah mengampuni segala dosa bapaku. Ya Allah selesakan kehidupan bapaku di Alam Barzakh itu dan beratkan timbangan amal baiknya di hari hisab nanti. Ditempatkan dia ke dalam golongan orang yang beriman yang mendapat syafaat dan keampunan-Mu untuk melayakkan dia mendapat nikmat Syurga-Mu. Ketemukan aku dengannya di Syurga-Mu nanti. Aku merinduinya ya Allah. Amiin.
Selamat Hari Bapa untuk arwah bapaku. InsyaAllah kini aku tidak lupa setiap hari untuk menyedekahkan pahala segala bacaan surah-surah Al-Qur’an ku kepadanya sebagai sebahagian dari doa anak soleh yang dapat memberi manafaat pada insan yang sudah meninggalkan Alam Dunia ini. Semoga sampailah hendaknya sumbangan kecilku itu kepadanya. Aku doakan agar Allah mengampuni segala dosa bapaku. Ya Allah selesakan kehidupan bapaku di Alam Barzakh itu dan beratkan timbangan amal baiknya di hari hisab nanti. Ditempatkan dia ke dalam golongan orang yang beriman yang mendapat syafaat dan keampunan-Mu untuk melayakkan dia mendapat nikmat Syurga-Mu. Ketemukan aku dengannya di Syurga-Mu nanti. Aku merinduinya ya Allah. Amiin.
1 comment:
Abah...the best FIL..al-fatihah..
Post a Comment