Friday, June 03, 2011

Hari Lahir

Alhamdulillah tadi kat ofis ada kenduri kesyukuran sempena harilahir seorang pengurus yang ke 51 tahun. Maka dapatlah merasa jamuan pulut kuning dan kek coklat.

Saya pula diminta untuk membacakan doa. Maka saya pun doakan semoga Allah limpahkan rahmat-Nya, Berikan keampunan-Nya, dan bebaskan dari api Neraka-Nya.

Anak saya Iman juga menyambut ulang tahun hari lahirnya hari ini, 3 Jun. Sudah mejangkau 16 tahun anak bongsuku, yang suatu masa dulu ku kendong ke hulu dan ke hilir. Begitu cepat masa berlalu. Dulu aku pakar dalam menjaga bayi dan anak2 kecil. Seingat aku ketiga-tiga anak kami ini di jaga kami berdua tanpa mengharap bantuan yang lain. Tidak pernah ku hantar isteri beranak di kampung atau bertapa dalam pantang di rumah orang tua. Semuanya kami tanggung sendiri. Terasa keseronokannya. Kini ketiga-tiga anak ini sudah besar semua.

Semasa di ofis aku ternampak seekor kucing sedang lepak di atas lantai pejalan kaki. Di sisinya ada seekor lagi kucing yang aku agak anaknya. Saiznya sudah agak besar tapi sedang menyusu dari ibunya, dan ibunya begitu sabar dengan kerenah anaknya tadi. Setia memenuhi keperluan anaknya itu. Itulah kasih sayang yang kekadang sudah menjauhi kehidupan sesetengah manusia. Malulah pada kucing, bukan malu-malu kucing.

Tadi semasa di surau menunaikan solat isyak, ada seorang jemaah baru menegurku di muka surau. "Jemput ya malam ni datang rumah." Aku agak terpinga sekejap. "Kami baru pindah", sambungnya. "Ni menantu saya Ubaidullah", sambil memperkenalkan pemuda yang dari tadi tersengih di sebelahnya. "Dia buat aqiqah sambil naik rumah baru, jemputlah ye malam ni." Setelah berbual-bual sekejap kami pun menunaikan solat Isyak berjemaah di surau yang diimani Ustaz Abu Bakar yang mengajar kelas tajwid malam ni kepada para jemaah berbayar.

Saya tak bawa fon ke surau, jadi selepas solat sunat ba'diyah, saya pun terus bergegas pulang ke rumah untuk memberitahu isteri tercinta bahawa saya ada jemputan kenduri kesyukuran dan tidak makan malam di rumah. Bukan apa takut bersusah payah isteri memasak sedangkan kita dah makan kat luar, memang tak sesuai. Maka itu elok di beritahu keadaan sebenar.

Seramai 12 orang jemaah surau berkunjung ke rumah saudara kita di No.10 Jalan 2D itu. Pak Imam, Ustaz Abu Bakar dan Pak Bilal mengetuai majlis berjanzi dan seterusnya selawat dan majlis cukur jambul bayi anak tuan rumah. Selesai majlis kami semua dijamu hidangan secara buffet, nasi beryani gulai kambing dan ayam. Kueh koci & hirisan tembikai sebagai pembasuh mulut. Jika tinggal di taman2 perumahan, maka elok bebenarlah rajin2 berkunjung ke surau kerana di sana dapatlah berkenal-kenalan dengan penduduk setempat. Bukan apa kalau ada kenduri kendara senang untuk menjemput, tidaklah malu-malu kucing.

Isteriku mengeluh 'tak sasa' katanya. Kataku eloknya elakkan dari mengucapkan kata-kata itu kerana ia mendidik minda untuk menerima hakikat kita ini lesu tidak bermaya. Bukankah kata-kata itu doa? Sepatutnya kita ucapkan bahawa aku ini kuat, aku ini sasa, dan aku tidak sepenat yang di sangka. It's all in the mind.

Sedar tak sedar hari ini sudah 2 Rejab. Rejab sudah mari. Tiga serangkai sudah tiba. Rejab, Syaaban, dan Ramadhan. Tiga serangkai yang penuh barokah. Rejab medan latihan intensif menuju Ramadhan. Maka apa lagi yang di tunggu. Jangan biarkan Rejab berlalu tanpa pengisian. Ikutlah resam ubi, diam-diam berisi. Maka penuhilah Rejab ini dengan ibadah 24 jam sehari semalam supaya ia berisi dan penuh isi, bukan tinggal kulit tanpa isi.

Jam kini menunjukkan angka 12:26 malam. Terasa mengantuk mata dan lesu badan ini. Eloklah aku off kan notebook ini. Dan berlabuh di peraduan untuk mendapat kerehatan minda dan fisikal. InsyaAllah besok aku ke kuliah subuh di Masjid As-Salam. Ya betul, aku perlu bertindak sekarang. Hingga jumpa lagi di lain siaran.

@@@

Tuesday, May 31, 2011

Anak Kera & Anak Lembu

"Tengok anak kera tu, perangai sebijik macam Kera," kata saya kepada anak saya semasa dalam perjalanan ke Kuala Kubu tempoh hari. Kera dan anak kera bergayut-gayutan di talian elektrik di tepi jalan. Mereka gembira hidup bebas tanpa gangguan. Malah apabila bermain di talian letrik itupun, Allah tidak kenakan kejutan letrik kepada mereka. Itulah kelebihan kera berbanding manusia.


Anak lembu pun sama. Perangainya sebijik macam lembu. Anak bapak la katakan. Pandang dan Fikir. Lembu ni kalau kita tenung-tenungkan, kerja dia makan je 24 jam sehari semalam. Asyik menguyah kerjanya. Sambil tidur pun boleh menguyah. Itulah kelebihan lembu dan anak lembu. Apa yang dikunyahnya saya pun musykil?


Apabila kita melihat kera dan anaknya, apakah yang dapat kita ambil iktibar dan pengajaran? Pertama kera sayang kat anaknya. Dia sanggup bergadai nyawa untuk melindungi anaknya. Kedua kasih sayang yang diberikan oleh kera kepada anak kera memang tidak berbelah bagi. Ketiga kera mengajar anaknya the art of survival, ilmu kemahiran hidup supaya anak kera dapat menempuh segala kerenah kehidupan yang mendatang. Dan akhir sekali tidak dinafikan kera bersyukur di atas segala nikmat yang Allah berikan padanya tanpa pernah merungut walau sesaat. Dia bersyukur dengan apa yang ada dan hidup bahagia bebas mencari kebahagiaan di bumi Allah ini. Hebat sungguh kera dan anak kera yang tidak berakal itu. Begitulah jua dengan lembu dan anak lembu. Bagaimana dengan manusia yang berakal ini?


Manusia dikotori dengan penyakit hati. Dengki mendengki dan irihati. Riak, sombong dan takabbur. Hati manusia tidak sesuci hati lembu dan hati kera. Apabila hati manusia kotor dengan segala tompok hitam itu maka payah untuk menzahirkan kemanisan akhlak, budi bicara dan keikhlasan. Ada saja onar dan duri yang menyucuk supaya sakit. Manusia yang sakit akan menyakiti juga segala yang ada di sekelilingnya atau yang ada dalam capaiannya. Maka hina kera kah atau manusia yang hina? Hina lembu kah atau lembu yang terlebih mulia berbanding manusia yang punya akal berjela itu?


Fikir-fikirkan dan renung2kan. Selamat beramal.


@@@

Wednesday, May 25, 2011

Berpada Pada Yang Ada

Ada seorang pemuda berazam untuk menjadi seorang jutawan pada usianya 40 tahun. Dia berniat sekiranya berjaya mencapai cita-citanya itu maka dia akan bersara, dan menyimpan duit satu jutanya itu ke dalam Bank Rakyat yang memberi dividen 15% setahun. Dengan pulangan berjumlah RM150,000 setahun itu sudah cukup untuk dia sekeluarga menikmati hidup yang selesa. Begitulah perancangannya dan beliau akan mengisi masa dengan menuntut ilmu dan mengembara.

Direzkikan Allah maka pemuda itu berjaya mencapai cita-citanya hasil dari keuntungan dalam perniagaan dan pelaburan saham. Tetapi apabila sudah mencapai tahap itu, sifat tidak cukup dalam diri terus memberi kekuatan padanya untuk mengejar kejayaan yang lebih. Lalu dia pun menanam azam untuk mengumpulkan duit berjumlah RM5 juta dalam masa 5 tahun yang seterusnya ini. Maka selepas 5 tahun dia berjaya mengumpul sejumlah RM4.5 juta. Dia tersenyum puas. Namun dalam hatinya berkata aku kekurangan RM500,000 lagi untuk mencapai RM5 juta itu. Hatinya resah. Ditakdirkan pula dia jatuh sakit dan terlantar di Hospital Ampang.

Dia agak menyesal kerana tidak menjaga kesihatannya dengan baik. Harapnya dia bermuhasabah diri dan mensyukuri segala nikmat dan rezki yang Allah kurniakan, namun sifat tidak cukup dan tidak berpada pada yang ada terus memburu hidupnya. Di atas katil hospital itu pun dia masih merancang strategi dan mencari jalan bagaimana untuk mendapatkan RM500 ribu tadi. Maka benarlah sifat manusia yang tidak cukup dengan apa yang ada.

Bilakah kita akan cukup? Jawabannya ialah apabila setiap rongga badan kita mula dipenuhi tanah dan pasir yang menandakan sudah tiada lagi udara Allah untuk disedut. Bila mana jantung sudah gagal berdenyut menyedut masuk oksigen dan menghembus keluar karbon dioksida. Maknanya ketika itu manusia itu mati, barulah cukup. Selagi itu belum cukup gamaknya?

Rasulullah SAW bersabda: “Sekiranya anak cucu Adam memiliki dua lembah emas nescaya dia tetap masih menginginkan lembah emas yang ketiga, dan sekali-kali tidak akan penuh mulut anak cucu Adam kecuali tanah,dan Allah menerima taubat bagi orang yang bertaubat”. (Hadis Riwayat: .Bukhari-Muslim)

Pada ceramah perdana siang tadi, Ustaz Yusri ada mengisahkan bahawa nikmat yang Allah kurniakan begitu banyak dan tidak terhitung. Contohnya air dan udara, dua komponen yang begitu utama untuk manusia dapat hidup. Katanya kita membayar bil air kepada Syabas yang memproses air yang percuma dari Allah tadi hingga CEO Syabas menjadi antara orang yang paling banyak gajinya yang dikabarkan berjumlah RM400,000 sebulan. Kita bayar bil air kepada Syabas. Tapi kenapa kita tidak membayar bil air kepada Allah?

Begitu juga dengan perkhidmatan telekomunikasi dari Maxis atau Celcom hinggakan kita bisa ber e-mail, ber-sms, dan berkomunikasi itu sebenarnya menggunakan perantaraan gelombang udara. Udara yang dibekalkan secara percuma kepada seluruh makhluk Allah. Tapi menjadi pulangan bisnes berbillion ringgit untuk Maxis dan Celcom. Kita membayar bil kepada Maxis atau Celcom. Maka jadilah Ananda Krishnan manusia terkaya. Kenapa kita tidak membayar bil udara kepada Allah?

Cuba rasa denyutan jantung kita. Agaknya berapa kalikah jantung kita berdenyut dalam masa sejam. Tidak kurang dari 1,000 kali sejam. Maknanya dalam sehari 24,000 kali jantung kita berdenyut. Jantung berdenyut menyedut dan menghembus keluar udara yang Allah bagi percuma tadi. Jika tiada udara tadi tiada bagaimana agaknya. Sudah tentu jantung tidak dapat berdenyut dan sekaligus ampunya diri juga akan mati tidak bernyawa lagi kerana sudah hilang nafas. Betapa penting dan bernilainya udara itu rupanya. Tapi kenapa kita tidak membayar bil udara yang kita sedut itu kepada Allah?

Kalaulah kita bayar sekadar satu sen untuk setiap denyutan jantung itu maka bil udara itu berjumlah RM240 sehari, maka sebulan kita kena bayar RM7,200. Amacam? Nak letak RM2 dalam tabung masjid pun kedekut, macamana?

Hati-hati yang mati tidak akan menilai nikmat-nikmat Allah yang banyak ini. Sesiapa yang tidak membaca Al-Qur'an maka hatinya mati. Sesiapa yang menjauhkan diri dari ibadah dan majlis-majlis ilmu maka hatinya mati. Marilah muhasabah. Hati aku ini mati atau berpenyakit?

Apabila setiap hari memikirkan jadi orang kaya untuk memiliki duit yang berlipat-lipat, kereta volvo berkilat-kilat, rumah bungalow yang bertingkat-tingkat, dan hendak kawin sampai empat, maka bilakah agaknya segalanya akan cukup? Bila?

Malanglah orang mengotori hatinya dengan sifat-sifat mazmumah, sifat hasad dengki, takabbur dan riak. Sifat dengki yang tidak senang melihat orang senang. Bersorak riang apabila orang lain ditimpa musibah. Malah berusaha untuk memusnahkan kebahagiaan orang. Itulah penyakit iblis dan sifat orang-orang yang kufar pada Allah.

Ada empat kategori orang kaya:


  1. Kaya iman & kaya harta

  2. Kaya iman & miskin harta

  3. Miskin iman & kaya harta

  4. Miskin iman & miskin harta.

Muhasabah diri dan tanyalah di kategori manakah aku? Semoga kita miliki sifat qana'ah iaitu berpada pada yang ada, sifat yang cukup. Bersyukur aku ada rumah, sedangkan ada orang yang tidurnya di bawah jambatan. Syukur aku ada kereta wira sedangkan ada orang cuma ada kapcai. Sifat qana'ah.


Kaya yang sekaya-kayanya dan cemerlang yang secemerlangnya seseorang itu ialah yang berjaya bebas dari bakaran api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga Allah. Itulah kemuncak pencapaian. Mati itu sudah cukup sebagai pengajaran. Ambillah iktibar darinya.

@@@

Tuesday, May 24, 2011

Bila Resah Segera Zikrullah

Badan berisi, sesetengahnya sudah ala-ala obesiti, kerana apa? Kerana makan cukup. Malah berlebih. Alhamdulillah dengan rezki yang Allah kurniakan ini memberi kemampuan kepada diri kita untuk menyediakan makanan dan minuman yang diingini. Setengahnya menambah baik lagi dengan makanan tambahan (supplement) dan pelbagai vitamin dan mineral demi kesihatan diri. Dilengkapkan lagi dengan senaman 3 kali seminggu, 30 min setiap sessi. Erobik, jogging atau angkat besi. Alhamdulillah sihat walafiat badan kita.

Namun ada ramai pula yang terlebih makan dan minum dan ditimpa pula pelbagai penyakit. Ada yang ditimpa penyakit kronik dan ada juga di timpa penyakit2 sampingan yang tidak kronik. Kalau usia sudah meningkat ke era 40an penyakit yang popular termasuklah kencing manis, darah tinggi, kolestral tinggi, lemak tinggi, urik asid tinggi, lenguh2 badan, longgar2 sendi dan yang sewaktu dengannya akan menjadi fenomena biasa. Rupanya makanan dan minuman itu juga boleh bertindak sebagai racun yang membinasakan. Nasihat doktor biasanya ialah jaga pemakanan anda dan bersenam secara konsisten. Bab bersenam secara regular ni, ramai yang malas malah tak buat langsung.

Itu kita cerita persoalan fizikal seseorang manusia. Kesihatan jasmani. Ketrampilan luaran kita. Kuruskah kita? Gemukkah kita? Menarik tak menarikkah kita? Cantek ke hensom ke?

Ramai suami yang merungut dalam senyap ketrampilan isteri yang agak gemuk atau orang puteh kata 'out of shape' kalau dibanding dengan ketrampilan pada zaman syok mengurat atau berkasih dulu. Kalau dulu bentuk badan macam gitar 34 24 36 kini bentuknya mungkin sudah jadi 36 40 42. Begitulah juga suami yang sudah tidak menjaga ketrampilan yang dulunya begitu segak dan bergaya ala-ala Tom Cruise kini sudah nampak macam Wak Segan dalam filem tarzan, berbaju singlet dan berkain pelikat ke hulu dan ke hilir.

Ustaz Zahidi dalam kuliah 'Penawar Bagi Hati' tempoh hari ada berpesan kepada para jamaah iaitu para suami dan juga isteri supaya sama-sama menjaga ketrampilan kita agar tampak menarik sentiasa bagi melayari bahtera rumahtangga tidak kira berapa usia kita. Biar isteri cantek dan berhias kepada suami tercinta, begitu juga suami biar nampak kemas dan segak buat mendampingi isteri tersayang, dan sentiasa berbau wangi. Dengan itu rumahtangga akan sentiasa indah dan bahagia. Itu persoalan fisikal dan luaran manusia.

Ketrampilan fisikal yang baik tidak pula menjamin jiwa yang tenang. Acap kali hati sentiasa resah dan gundah gulana. Kenapa? Ramai yang ada segala-galanya tapi masih hidup purak puranda, bercerai berai, atau sampai membunuh diri. Kenapa?

Bila resah segera zikrullah, itulah penawarnya. Sentiasa berdamping dengan Allah. Banyak zikrullah yang boleh kita amalkan. Pilihlah mana yang ingat dan selesa. Antara yang popular ialah, Astagh firullah hal azim....wal hayyum qayyum muwa atu bu ilaih. Ia membawa maksud "Aku mohon ampun kepada Allah yang Maha Agung. Yang tiada tuhan melainkan Dia. Yang hidup lagi sentiasa berkuasa. Aku taubat kepada-Nya."


Bila resah segera zikrullah, "Ya Fatah, Ya Alim, Ya Hakim." Semasa bersendirian tanpa arah tujuan segera zikrullah. Bila kesunyian tiada berteman segera zikrullah. Bila rasa kekosongan segeralah zikrullah. Banyak zikrullah yang boleh kita amalkan. Di kedai2 buku ada banyak dijual buku2 kecil dengan RM2 atau RM3 mengandungi zikrullah dan amalan harian buat panduan.


Rupa-rupanya diri kita ini bukan hanya bahagian fizikal semata-mata. Tetapi ada pasangannya iaitu mental, sebab itu selalu diungkap fizikal dan mental. Ada jasmani dan ruhani, ada jasad dan ruh.

Sedar tak sedar kita hanya tumpukan makan dan minum yang cukup buat jasad. Bangun pagi kita sarapan pagi nasi lemak atau roti canai dengan teh tarik kurang manis, lepas tu kita break pukul 10, pekena karipap dua bijik dengan nescafe tarik. Kemudian tengahari nanti makan nasi dengan pelbagai lauk. Petang dengan minum petangnya, dan malam dengan makan malamnya. Kadang tu di akhiri pula dengan supper nya. Cukup makan jasad kita. Malah berlebih pula. Tapi ruh kita bagaimana? Ruhani kita, mental kita, sudah di beri makan dan minum?

Acap kali kita lupa untuk memberi makanan dan minuman yang diperlukan untuk ruhani kita. Akibatnya ruhani kita kurus kering, tak sihat, malah ditimpa pelbagai penyakit kronik. Antara penyakitnya ialah resah dan gelisah. Antara penyakitnya ialah tak lena tidur atau hati yang sakit. Apa penawarnya? Penawarnya ialah sebagaimana jasad atau fizikal kita memerlukan makanan dan minuman yang cukup dan berkhasiat untuk cergas maka begitulah juga ruhani atau ruh kita itu memerlukan makanan, minuman, vitamin dan sebagainya yang cukup supaya sihat walafiat.


Antara makanan, minuman dan supplement yang sangat baik untuk mental dan ruhani ini ialah zikrullah, sentiasa mengingati Allah, sentiasa menzahirkan ucapan dan bait2 zikir di bibir yang memuji dan mengharap kepada Allah. Yang hati kita sentiasa mengingati Allah, Pencipta segala makhluk di dunia dan langit dan antara keduanya.

Azan yang berkumandang dari corong2 pembesar suara di surau dan masjid 5 kali sehari semalam itu juga adalah zikrullah yang menyeru manusia untuk ke rumah Allah, untuk menghadap Allah yang Esa, untuk mendirikan solat dan tunduk kepada segala perintah-Nya dan meninggalakan segala larangan-Nya, menuju kejayaan bukan sekadar di dunia malah yang penting sekali ialah kejayaan di akhirat.

Bila resah segera zikrullah. Bila memandu kereta ke tempat kerja, penuhi ruang dengan zikrullah. Bila memandu untuk pulang ke rumah dan terperangkap dalam kesesakan, jangan buang masa begitu sahaja atau sekadar sibuk untuk mendengar hiburan dunia di pelbagai siaran radio FM, tetapi sibukkanlah dengan zikrullah. InsyaAllah kesesakan di jalanan itu akan tetap menenangkan jiwa yang resah.

Tika menjadi penumpang di atas bas, komuter atau LRT, gantikanlah sebutan dibibir dengan zikrullah. Cukuplah sudah mendengar lagu2 yang tak berfaedah di MP4 itu. Bila resah segera zikrullah, bila lapang segera zikrullah dan setiap kali ada ruang segera zikrullah. Untuk telinga sendiri mendengarnya. Untuk hati sendiri menghayatinya, bukan untuk manusia lain. Justru bisikkan zikrullah ini dengan nada yang berbisik untuk didengari oleh hati2 dan telinga2 yang hidup. Rapatkan hati ini dengan Allah SWT.

Bak kata Eddy pengacara siri 'The Deen Show', "I'm not afraid to be alone if Allah on my side." InsyaAllah apabila kita sentiasa mengingati Allah dan zikrullah sentiasa melekat di bibir dan terpahat di hati, maka Allah SWT akan sentiasa bersama kita.

Bila resah segera Zikrullah !!

@@@

Saturday, May 21, 2011

Tak Kenal Maka Tak Cinta

Kenapa kita takut harimau? Kerana kita kenal sifat2 harimau yang garang, pemangsa, dan ganas. Kalau kita tak kenal harimau maka kita rasanya tak takut. Dalam kepala kita sudah jelas gambaran harimau itu dengan kuku tajam, taring panjang dan kulit berbelang. Kalau kita berada di pinggir hutan dan ternampak bekas tapak kaki harimau sahaja pun maka akan terdetik rasa gerun di jiwa. Mungkin kita akan meninggalkan tempat itu dengan kadar segera. Apatah lagi bila mendengar harimau mengaum. Tak kenal maka tak takut, samalah juga tak kenal maka tak cinta.

Awal agama adalah mengenal Allah. Sifat-sifat Allah yang wajib diketahui oleh orang Islam yang terkandung di dalam al-Quran berjumlah 20 sifat. Termasuk juga sifat-sifat Mustahil yang wajib diketahui.


  1. Wujud ertinya : Ada , dan mustahil bagiNya bersifat tiada



  2. Qidam ertinya : dahulu atau sedia . Mustahil bagiNya bersifat ‘ baharu



  3. Baqa’ ertinya : kekal . Mustahil bagiNya bersifat “ Fana” atau “sementara”



  4. Muhkalafafuhi Li’l Hawaditsi , ertinya :Berlainan Ia dengan segala yang baharu. Dan mustahil bagiNya bersifat “sama dengan segala yang baharu”.



  5. Qiyamuhu Bi Nafsihi , ertinya :Berdiri Ia dengan sendirinya. Dan mustahil bagi Allah “ berdiri dengan lainNya”



  6. Wahdaniyah , ertinya :Maha Esa . Dan mustahil bagi Allah bersifat “ berbilang”.



  7. Qudrat , ertinya :Maha Kuasa . Dan mustahil baginya bersifat “ lemah”



  8. Iradat , ertinya : Maha menentukan . Dan mustahil bagiNya bersifat “ terpaksa “.



  9. Ilmu,ertinya :Maha mengetahui . Dan mustahil bagi Allah bersifat “ jahil” atau “ bodoh”.



  10. Hayat , ertinya :Maha Hidup. Dan mustahil bagi Allah bersifat “ mati”.



  11. Sama’ , ertinya : Maha mendengar . Dan mustahil bagiNya bersifat “ pekak”.



  12. Bashar , ertinya :Maha melihat . Dan mustahil bagiNya bersifat “ buta”.



  13. Kalam , ertinya :Maha Berkata-kata . Dan mustahil bagiNYa bersifat “ Bisu “.



  14. Kaunuhu Qadirun ertinya : Keadaan Allah yang Maha Berkuasa . Dan mustahil baginya berkeadaan “ lemah”



  15. Kaunuhu Muridun , ertinya : Keadaan Allah Yang Maha Menentukan . Dan mustahil bagiNya berkeadaan “ terpaksa “.



  16. Kaunuhu ‘alimun , ertinya : keadaan Allah Yang Maha Mengetahui . Dan mustahil bagi Allah berkeadaan “ bodoh”.



  17. Kaunuhu Hayyun , ertinya : Keadaan Allah yang Maha Hidup. Dan mustahil bagiNya berkeadaan “ Mati”.



  18. Kaunuhu sami’un , ertinya : Keadaan Allah Yang Maha Melihat . Dan mustahil bagiNya berkeadaan “buta”



  19. Kaunuhu Bashirun , ertinya : Keadaan Allah Yang Maha Melihat . Dan mustahil bagi Allah berkeadaan “ buta “.



  20. Kaunuhu Mutakalimun , ertinya: Keadaan Allah yang Maha Berkata-kata. Dan mustahil bagiNya berkeadaan “ Bisu”.

Semasa hendak menjemur kain basuhan di ampaian tadi saya bertanya anak saya, "Kenapa Papa suka jemur kain?" apabila anak saya itu liat untuk menjemur kain walupun sudah di suruh beberapa kali kerana masih sayang meninggalkan diri dari pembaringan atas sofa empuk di ruang tamu kerana khusyuk membaca novel Gelora Jiwa karya Aisya Sofea. Anak saya tersengih-sengih macam kambing orang asli dan tak gheti nak jawab apa. Saya pun menjawab soalan saya sendiri, "Sebab nak suruh kain tu kering." Saya pun bagi nasi tambah, "Sebab kalau kita tak jemur, maka kain basuhan yang kita keluarkan dari mesin basuh tak mau kering sendiri."

Kembali kepada tajuk posting ini iaitu Tak Kenal Maka Tak Cinta, dalam pengajian tauhid atau usuluddin, tok guru sentiasa mengingati agar kita punyai keyakinan yang kukuh, jawaban yang jitu pada setiap soalan berkaitan aqidah. Tidak mau jawaban yang goncang. Apatah lagi was-was dan ragu-ragu. Aqidah yang jitu menunjukkan keyakian yang padu pada Allah yang satu.

Sejauh mana kita mengenal Allah? Kalau kita mengenal Allah, maka tidak timbul lagi tabiat melengah-lengahkan solat, malas untuk menutup aurat, atau tak ambil kisah bila azan dilaungkan. Atau mempersendakan hukum-hakam Allah. Apabila disebut sahaja nama Allah, maka rasa gerun dan gementar dalam jiwa, rasa rindu dan cinta. Kita yakin berbuat sesuatu kerana perintah Allah. Kita nekad meninggalkan sesuatu kerana larangan Allah. Kita Taqwa. Barulah kita kata Aku Kenal Aku Cinta, kerana Tak Kenal Maka Tak Cinta.

@@@

Wednesday, May 18, 2011

Jasa Guru

Selamat Hari Guru buat seluruh warga guru yang menyemai bakti mendidik anak didik sehingga menjadi orang yang terdidik. Pendidikan itu berterusan sepanjang masa hinggalah ajal menjemput. Para pendidik penuh berjasa dalam kehidupan kita semua. Para pendidik yang mendidik anak didik mereka penuh ikhlas kerana Allah untuk melihat anak didik menjadi manusia alim yang faham ilmu dan baik akhlak, maka ganjaran pahala dari Allah pada setiap ilmu bermanafaat yang dicurahkan tanpa jemu itu.

Tidak dinafikan ramai juga guru yang mengajar sekadar untuk makan gaji. Namun profession guru ini adalah sesuatu yang amat mulia. Malah sekiranya ilmu yang diajar itu merupakan ilmu yang bermanafaat dan di amalkan oleh anak murid maka pahalanya akan berterusan walaupun guru itu sudah meninggal dunia dan berada di alam barzakh. Hebat bukan?

Hari Guru disambut pada 16 Mei setiap tahun sebagai penghargaan kita semua kepada para guru. Enam objektif Hari Guru yang digariskan dalam laman web rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia:





  1. Menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.


  2. Menarik perhatian ibubapa, murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru dalam masyarakat Malaysia.


  3. Memupuk perasaan perpaduan ikhtisas dan muhibah di antara guru.


  4. Meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat.


  5. Memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru melalui seminar-seminar, persidangan-persidangan, dan sebagainya yang diadakan pada Hari Guru.


  6. Menilai secara objektif peranan guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia dan mengambil langkah-langkah supaya peranan itu lebih berkesan.



Setiap kita punyai guru-guru yang pernah mendidik kita bermula di zaman sekolah tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, dan universiti. Kemudian di alam pekerjaan pula kita di dedahkan dengan pelbagai kursus dan latihan yang juga di kendalikan oleh para pendidik ataupun pakar dalam bidang mereka untuk menyampaikan ilmu. Di surau dan masjid pula para guru atau daei' menyampaikan ilmu dalam sessi kuliah maghrib, kuliah subuh, tazkirah jumaat, tazkirah ramadhan, kursus2 dan worksyop.




Ibu-bapa juga adalah guru terawal kita yang mengajar erti kehidupan semenjak kita bayi lagi. Bagi saya, ayah saya walaupun tidak kaya dari segi harta benda tapi kaya dari segi ilmu apabila menitik beratkan perihal ilmu semenjak saya kecil lagi. Dia sanggup memberikan perhatian khusus kepada saya dalam bidang akademik dan mendisiplnkan saya untuk berjaya terutamanya pada peringkat sekolah rendah hingga saya terpilih untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh. Namun jasanya yang paling hebat ialah mengajar saya mengaji Al-Qur'an. Berkat jasanya itu saya mampu membaca Al-Qur'an dengan baik, Alhamdulillah.




Kadang-kadang kita lupa jasa-jasa guru kita. Hinggakan kita juga sudah lama lupa nama guru-guru yang pernah mendidik kita. Mungkin ada nama beberapa orang guru sahaja yang masih melekat dalam memori kita pada hari ini. Jarang rasanya kita menyimpan senarai lengkap nama guru-guru yang pernah mendidik kita di zaman persekolahan dulu sehinggalah ke peringkat universiti atau kolej.




Antara yang masih melekat dalam kepala saya ialah Cikgu Abdullah (panggilan popular nya Cikgu Loh) yang mengajar ketika saya berada di darjah 4 atau 5 di sekolah rendah 37 tahun yang lalu. Dia mengajar subjek Bahasa Malaysia. Apa yang menarik ialah dia suka bercerita tentang pelbagai kisah termasuklah hikayat2 lama, cerita dongeng, dan kisah-kisah lucu. Gaya penyampaiannya memang hidup dan menggamit perhatian para pelajarnya. Apatah lagi di zaman itu sumber hiburan sangat terhad. Malah set-set TV pun masih jarang kewujudannya di kampung. Hari ni Cikgu Loh bercerita cerita orang minyak, esok dia bercerita pasal Singapura dilanggar todak, minggu depan dia bercerita pasal Hang Tuah, cerita pontianak, batu belah batu bertangkup, ish ish memang hebat. Pendek kata kami semua memang menanti slot Cikgu Loh. Kelas Cikgu Loh tidak boring. Di mana Cikgu Loh? Entahkan hidup entahkan mati. Terima kasih Cikgu Loh dari saya. Saya doakan Cikgu Loh berbahagia walau di mana berada.




Juga di sekolah rendah saya masih ingat kepada Cikgu Ainodin. Dia berasal dari Perak dan pandai bermain bola dan hoki. Tak silap saya dia mengajar matematik dan pendidikan jasmani. Masa tu dia masih bujang dan hidup pula di perantauan maka banyak masanya di curahkan kepada para pelajarnya. Antara yang mendapat perhatiannya ialah saya. Selepas saya tinggal di asrama di peringkat sekolah menengah, dia masih bertanyakan khabar saya dari emak dan ayah saya setiap kali berjumpa mereka. Bagi saya dia adalah contoh guru yang sangat dedikasi dengan tugasannya sebagai penddik dan sanggup keluar dari batasan tugas demi membantu pelajarnya terutamanya yang datang dari keluarga kurang berada termasuklah saya. Terima kasih Cikgu Ainodin atas segala jasamu yang tidak ternilai harganya bagiku.




Di sekolah menengah saya masih mengingati Ms Chan yang mengajar Kimia, Cikgu Faridah dan Ahmad Ibrahim yang mengajar BM, Pak Widoyo yang mengajar Biologi, Cikgu Bahar mengajar PJ, Cikgu Hamdi mengajar Geografi, Cikgu Sabar mengajar Seni Perusahaan, Cikgu Mat Soyong mengajar Matematik, siapa lagi ya? Hanya itu yang masih kekal diingatan. Terima kasih semua.




Semasa di Universiti, ish ish ...seorang pun saya tak ingat nama mereka? Apa sudah jadi, apakah belajar sekadar untuk lulus periksa?




Kini para guru saya adalah Ustaz2 yang mengajar di slot kuliah2 maghrib di Masjid As-Salam, Surau Al-Faaizeen, dan syarikat tempat saya bekerja. Antaranya Ustaz Ayub, Ustaz Zahidi, Ustaz Wan Samsuddin, Ustaz Abu Bakar, Ustaz Halim, Ustaz Azhar, Ustaz Shahrom, Ustaz Hakam, dan Ustaz Nazri. Di Radio dan video yang menjadi guru kegemaran saya ialah Ustaz Samsuri, TGNA, Ustaz Kazim Elias, dan Ustaz Zahazan. Tokoh luar negara pula ialah Zakir Naik, Nouman Khan, Rahim Green dan Ahmad Deedat.


Guru-guru di sekolah kini mungkin melalui cabaran yang berbeza jika dibandingkan dengan zaman saya 20 atau 30 tahun yang lalu. Pelbagai masalah sosial dan penyakit masyarakat telah berleluasa. Malah kemudahan internet, hiburan elektronik, dan media sosial mempunyai pengaruh yang besar dalam kehidupan remaja dan para pelajar. Maka method penyampaian dan isi ilmu itu mestilah dapat di hubung kaitkan dengan suasana hari ini agar ia tetap menjadi relevan dan mudah di terima. Janganlah sekadar mengajar teori atau fakta sejarah semata. Cubalah ajar erti kehidupan, tujuan hidup, kemahiran hidup, skil 'street smart' dan pertahanan diri. Dan yang paling penting ilmu agama yang menekankan akidah yang jitu, akhlak yang terbaik, dan jatidiri yang mantap.

Galakkan budaya membaca dan mencintai ilmu. Ilmu Allah ini luas. Jangan limitkan pencarian ilmu. Galakkan projek2 kretif, banyakkan ekspresi diri, banyakkan latihan 'presentation skill' dalam kelas, bercerita dan 'public speaking'. Ingatlah seseorang yang bijak namun gagal menyampaikan ilmunya dengan baik kerana skil komunikasi yang lemah maka dikhuatiri menyebabkan dia dianggap lemah bila berdepan dengan orang. Bijak sekadar di kertas peperikasaan tetapi mempunyai hujah dan pegangan yang longgar apabila berdepan dengan masyarakat. Sekali lagi - Selamat Hari Guru !!

@@@

Saturday, May 14, 2011

Apa Impian Anda?


"Apa impian anda?", tanya saya. "Saya nak rumah bungalow", jawabnya. "Berapa harganya?", tanya saya. "Lingkungan RM4,000,000", jawabnya. "Jadi apa usaha dan perancangan anda?", tanya saya. "Saya akan berkerja keras dan berniaga mengumpul wang mulai dari sekarang", jawabnya.

Apa pula impian anda? Apa matlamat hidup ini sebenarnya? Tidak dijadikan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadah kepada-Ku. Rasanya kita pernah dengar ungkapan itu tapi dimana ya? Dipendekkan cerita memang benarlah segala apa yang kita lakukan di muka dunia yang fana ini sebenarnya beruntung kalau ia terkategori sebagai ibadah kepada Allah, 24 jam sehari semalam. Kerja kerana Allah, makan minum kerana Allah, bergaul kerana Allah, mendidik anak-anak kerana Allah, bersilaturahim kerana Allah, berdakwah kerana Allah.

Sifat hamba ialah patuh pada perintah tuannya. Kalau kita ini hamba Allah, maka kenalah kita patuh pada perintah Allah, supaya kita mendapat redha Allah. Agar dengan redhanya Allah itu maka melayakkan kita mendapat nikmat Syurga Allah di alam akhirat yang kekal abadi itu.

Yang peliknya kita ini ialah menjadi hamba kepada wang ringgit dan harta benda, hamba kepada boss dan kerja, sehingga lupa yang mana halal yang mana haram, yang mana wajib yang mana harus. Kita juga lupa bahawa hidup di dunia ini sementara sahaja dan segala yang kita miliki akan ditinggalkan. Kadang tu mesyuarat berlanjutan melepasi waktu solat maghrib, tapi masing2 diam membisu tak berani nak bersuara, "Boss, kita break untuk solat maghrib dulu." Prioriti kita dunia nampaknya. Kita buta kepada akhirat.

Berbalik kepada impian untuk memiliki sebuah bungalow idaman tadi. Bukan senang nak dapat benda istimewa itu. Ia perlukan usaha dan wang ringgit yang banyak. Jika tidak, setakat dok rumah teres atau apartment sahaja lah. Maka kita semua akui bahawa bukan senang nak jadi senang dan mewah begitu. Mungkin dari beribu-ribu orang, dua tiga orang sahaja yang mampu dan berjaya memilikinya bungalow RM4,000,000 tersebut.

Rasulullah pernah bersabda kepada para sahabatnya, kalau kamu meminta syurga maka mintalah Syurga Firdaus. Syurga Firdaus adalah syurga tertinggi yang ada di akhirat. Artinya untuk urusan akhirat kita jadikan cita-cita kita setinggi-tingginya.

Ada beberapa nama syurga yang disebutkan dalam Al-Qur'an, antara lain Firdaus, Aden, Na’iim, Ma’wa, dan Darussalaam. Masing-masing memiliki kriteria penghuninya.

Dalam doa selepas solat kita mohon, "Ya Allah, layakkanlah aku memasuki Syurga Firdaus." Maka kenalah ada master plan untuk mencapai impian terhebat ini. Sesuatu yang istimewa dan mewah begini sudah tentu mahal harganya. Bukan orang sembarangan yang boleh mendapatkannya.

Perjalanan yang jauh bermula dengan langkah pertama. Impian yang hebat bermula dengan usaha yang mantap. Nawaitu kerana Allah. Mulai hari ini apa kata kita patuhi lah segala perintah Allah dan tinggalkan segala larangan-Nya. Apabila kita bangun bersolat malam kita tanya, "Ini membawa dosa atau pahala?" Apabila hendak melakukan sesuatu kita tanya, ini mengundang redha Allah atau kemurkaan-Nya? Itulah masterplan kita....yes. Just Do It !!

@@@

Saturday, May 07, 2011

Tafaqquh Fiddin Sheikh Nuruddin


"Jom, beryani kambing", sapa saya kepada Rosli yang sedang menuju ke tempat wudhuk di surau syarikat. "Wow apahal?" respon darinya.

"Hari ni kan hari Jumaat, penghulu segala hari, hari yang istimewa," mencelah Nazri selamba. "Ya betul tu, hari yang istimewa, jadi kenalah kita meraikannya", nasi tambah dari saya pula. Rosli tersenyum kambing tanda setuju. Saya dan Nazri meneruskan langkah ke kereta Nazri untuk ke Masjid Muadz Bin Jabal bagi solat Jumaat merangkap makan tengahari nasi beryani kambing di gerai depan pagar masjid.

Sekembali dari solat itu, saya singgah untuk minum di kantin. Sekali lagi terserempak dengan Rosli. Beliau ialah pegawai di bahagian legal syarikat. Dulunya bekerja di syarikat guaman. Orangnya mudah tersenyum dan cepat mesra walaupun dengan orang yang baru dikenalinya. Perwatakannya zuhud dan sangat sederhana. Ahli surau syarikat yang setia setiap solat zohor dan asar berjemaah. "Jom minum", sapa saya sambil mengambil beberapa biji kueh. Rosli yang telan memesan teh ais dari makcik kantin pula membalas, "Eh makan lagi?"

"Makan je selagi mana Allah memberi kita nikmat makan ni", kata saya. Rosli tersenyum kambing hingga menyerlahkan janggutnya yang memang ala-ala janggut kambing tu. Teh ais yang dipesannya sudah berada di tangan dan dia bertanya saya, "Nak duduk kat luar ke dalam?" Saya menjawab, "Kat dalam la, selagi Allah bagi nikmat aircond ni, kita nikmati je lah." Rosli senyum kambing lagi. Suasana dalam kantin yang dipanggil Kak Midah Cafe itu memang dilengkapi dengan kemudahan hawa dingin, berbanding dengan tempat yg di sebelah luar sana yang di lengkapi kipas syiling yg sentiasa menjadi pot untuk para perokok tegar.

Kami memilih meja yang terletak di bahagian tengah. Saya mengeluarkan sekeping risalah kecil yang di ambil dari Masjid Muadz Bin Jabal tadi dan bertanya kepada Rosli, "Hang kenal tak Ustaz ni?" Poster kecil yang difotostat itu ialah perihal sebuah wacana ilmu bersama ulamak masyhur nusantara Al Fadhil Sheikh Nuruddin Marbu Al Banjarin Al Makiki 6 Mei 2011 Jumaat lepas solat maghrib di Masjid Muadz Bin Jabal. Air muka Rosli terus berubah. Ada nur kasih bercahaya di matanya. Dia menjadi bersemangat. Katanya, "Ya aku mengenali tokoh ulamak hebat ini."

"Dia selalu mengajar kitab di Masjid USJ Taipan", katanya. "Aku adalah salah seorang anak muridnya." Rosli memberitahu bahawa Syeikh Nuruddin adalah ahli ilmu dan pakar hadis yang tersohor. Berasal dari Banjar Masin Indonesia dari keluarga Ulamak besar. Menuntut ilmu di Mekah selama 8 tahun dan di Mesir selama 7 tahun dengan memperoleh BA Kuliah Syariah dan Diploma am "Dirasyat Ulya". Semasa di Mesir beliau telah mengadakan halaqah pengajian ilmu yang diberi nama "Tafaqquh Fi al-Din" untuk pelajar Nusantara. Pengajian ini telah berjalan mencecah 20 tahun sehingga beliau digelar sebagai "Al-Azhar al-Thani". Pada tahun 2004 beliau menubuhkan pondok yang diberi nama Ma'ahad Az-Zain Al-Makki Al-A'li Littafaqquh Fiddein, Bogor Jawa Barat. Dan kini dalam rangka menubuhkan sebuah lagi pondok di Bukit Pinang, Kedah yang diberi nama Ma'ahad Nuruddin Li Tarbiah Wa I'dad al-Ulama' Wa al-Du'ah. Syeikh Nuruddin juga telah mengarang dan mentahqiq lebih dari 50 buah kitab. Hebat tokoh ini.

Saya agak terkedu sekaligus bersyukur kerana Syeikh Nuruddin akan berkunjung ke Masjid di khariah saya pada hari minggu ini dalam majlis Qiamullail Perdana dan Majlis Tafaqquh Fiddin.

***

Alhamdulillah saya dan isteri telah menyertai Qiamullail pada pagi tadi bermula 4 pagi dengan ibadah solat sunat tahajjud berjamaah 8 rakaat dan solat sunat taubah berjamaah 2 rakaat, disudahi dengan solat sunat witir. Solat ini bimbingan imam jemputan dari rombongan Sheikh Nuruddin. Ruang solat masjid dipenuhi oleh para jemaah dari jauh dan dekat yang pada congakan saya sekitar 600 orang. Sungguh shahdu melihat saf yang memenuhi ruang masjid umpama solat Jumaat pula, tapi pada kesamaran cahaya lampu yang dipasang terhad. Bertahajjud bersujud di hadapan Allah, berzikir, dan berdoa memohon keredhaan dan keampunan-Nya.

Azan subuh dilaungkan oleh Muazzin tepat jam 5:43 pagi. Selesai solat subuh berjamaah, Nazir masjid Ustaz Abu Bakar Yan pun memulakan majlis dengan mengalu-alukan kehadiran para jamaah sekelian dan mengingatkan agar semua menghormati adab2 dalam majlis ilmu bersama Syeikh Nuruddin yang memang terkenal sebagai seorang guru yang begitu mengambil kira tentang adab tertib dalam setiap majlis ilmunya.

Syeikh Nuruddin menyentuh persoalan kepentingan bermazhab dengan umpama seorang yang ingin menuju satu destinasi contohnya untuk ke Kelantan dari KL tetapi tidak begitu tahu selok belok jalannya atau tiada kereta sendiri, maka elok benar ia menaiki bas ekspres kerana di sana dia tidak perlu risau pasal selok belok jalannya atau masalah tiada keretanya, malah dia boleh duduk dengan selesa di seat yang tersedia malah dapat tidur dengan lena. Dia sebenarnya bertaklik kepada pemandu bas itu untuk membawanya ke destinasi yang dituju. Maka begitulah kita ini bertaklik dengan Imam Shafie sebagai pemandu yang akan membawa kita ke destinasi yang dituju.

Satu analogi lagi ialah kita teringin untuk makan nasi kerabu. Maka kita bertaklik dengan Makcik pembuat nasi kerabu kerana kepakaranya yang memang terbukti. Maka hasilnya kita dapat menikmati nasi kerabu yang kita idamkan tadi. Tapi kita tidak boleh campur adukkan kepakaran tukang2 pembuat nasi dagang, nasi lemak, atau nasi padang jika tujuan kita untuk menikmati nasi kerabu, kerana ia akan jadi caca merba pula. Maknanya dalam bermazhab pula tidak boleh untuk kita mencampur adukkan sesuatu fatwa itu mengikut mazhab yang berbeza-beza. Kita pengikut mazhab Shafie bertaklik dengan Imam Shafie mengikut segala kefahamannya yang berpandukan Al-Qur'an, Hadith dan ijmak ulamak.

Ibarat orang yang menolak fahaman bermazhab pula ialah umpama seseorang yang hendak makan nasi beryani kambing contohnya. Di depannya tersedia beras, tomato, bawang, daging kambing, santan, rempah-ratus, maka silakan untuk memasaknya menjadi nasi beryani kambing. Payah bukan atau mungkin agak mustahil pada si jahil. Alangkan mudahnya jika kita beli saja kat gerai depan pagar masjid Muadz Bin Jabal pada setiap tengahari Jumaat untuk satu hidangan nasi beryani yang kita idamkan itu? Tidak dinafikan segala persoalan dan panduan sudah terangkum dalam Al-Qur'an, namun di sana kita masih memerlukan hadith dan ijmak ulamak untuk menfsirkan secara yang jelas untuk mudah di ikuti. Justru dituntut sangat2 untuk kita menuntut ilmu, mencintai majlis2 ilmu, menadah kitab dan ajaran ulamak2 muktabar.

Pada persoalan perpaduan ummah pula, Syeikh Nuruddin menyeru para tok2 guru dan alim ulamak supaya memainkan peranan untuk menyatukan umat Islam di negara ini dengan mencari titik2 persamaan dan bukannya menumpukan kepada perkara2 perbezaan yang sebenarnya tidak banyak pun. Kita ini umat Islam yang mengucap dua kalimah syahadah yang sama, bersolat mengadap kiblat yang sama, berpuasa, berzakat dan berkunjung ke tanah haram untuk ibadah haji. Ideologi dan aqidah yang sama. Perbezaan adalah lebih kepada perkara cabang, maka di sana formula untuk bersatu padu mengukuhkan saf Islam mestilah diutamakan untuk menghadapai musuh2 Islam.

Majlis Tafaqquh Fiddin bersama Sheikh Nuruddin Marbu Al Banjari Al Makki berakhir pada sekitar pukul 8:30 pagi. Pihak masjid menyediakan hidangan nasi dan gulai kawah untuk semua jamaah yang hadir. Alhamdulillah.

@@@

Wednesday, April 27, 2011

Kenapa Barat Beralih Kepada Islam?

"Why The West Is Turning To Islam?" Itulah tajuk ceramah perdana di syarikat tempat saya bekerja petang tadi. Penceramah jemputan ialah Hj Muhammad Abdullah @ Nicholas Sylvester, Pengerusi Hidayah Center, sebuah NGO yang aktif berdakwah mengajak umat manusia kembali kepada fitrah iaitu Islam.

Islam adalah agama yang berkembang pesat di Barat. Antara sebab utama ialah mereka ingin mencari kebenaran (the truth) dan pencarian intelek ini menjurus kepada logik dan kebenaran ajaran Islam.

Perkembangan secara 'exponential growth' ini juga kerana kadar kelahiran (birthrate) orang barat sangat menurun hinggakan suatu hari pada beberapa generasi mendatang tidak mustahil mereka ini bakal pupus. Inilah yang memeningkan mereka di Barat. Secara purata setiap keluarga hanya memiliki 1 atau 2 orang anak sahaja. Sedangkan masyarakat Islam mempunyai kadar kelahiran yang tinggi iaitu 5-8 org anak. Pengaruh Islam sangat terserlah dan jumlah masjid di USA kini melebihi 4,000 buah dan banyak antaranya adalah bekas gereja yang di jual atau dilelong kerana gagal menarik jemaah dan sokongan kewangan.

Selepas peristiwa Sept 11, jumlah non-muslim yg revert kepada Islam ialah 250,000 orang untuk tempoh dua tahun. Berbanding dengan sebelum peristiwa Sept 11, di mana puratanya ialah 20,000 - 25,000 setahun sahaja. Tragedi Sept 11 menjadi publisiti percuma kepada Islam yang menjadikan masyarakat barat ingin lebih tahu mengenai Islam dan ramai daripada mereka yang berjumpa dengan kebenaran Islam dan mendapat hidayah untuk memeluk Islam.

Berbeda pula di Malaysia, dimana purata pada setiap 1 orang yg memeluk Islam ada 12 orang yang memeluk Kristian. Menunjukkan pendakwah2 Kristian melakukan kerja mereka dengan jayanya. Di barat bagi setiap 1 orang yang convert kepada agama Kristian, maka ada 10 orang yang revert kepada Islam. Pelik tapi benar. Menunjukkan kita yang mengaku beragama Islam di Malaysia ini gagal berdakwah mengajak orang bukan Islam mengenali Islam. Di mana silapnya?

Pendatang cina suatu masa dulu datang ke Malaysia membawa kepercayaan adat BTC iaitu Budism, Taoism, dan Confuciusm. Sedikit benar yang beragama Islam iaitu yang datang dari daerah Yunan dan bermastautin di Terengganu. Begitu juga sedikit benar dari mereka yang beragama Kristian dan berkampung di Sandakan. Kini apakah senerionya pada masyarakat cina di Malaysia?

Hanya 1% dari populasi masyarakat cina di Malaysia yg revert kepada Islam. Berbanding dengan 10% yang convert kepada Kristian. Begitu juga dengan masyarakat India yang beragama hindu. Hanya 1% dari mereka yang revert kepada Islam manakala 10% convert kepada Kristian. Dan majoriti yang revert kepada Islam itu adalah kerana faktor perkahwinan. Nampaknya kita gagal berdakwah dan mengajak non-muslim di Malaysia revert kepada agama Islam.

Mengikut statistik populasi muslim di dunia pada tahun 1990 ialah sekitar 935 juta orang. Pada tahun 2000 populasi muslim bertambah kepada 1.2 billion orang. Dan kini pada tahun 2011 jumlah umat Islam di dunia sekitar 1.6 billion. Maka benarlah Islam merupakan agama yang paling cepat berkembang di dunia pada masa ini. Sekiranya kadar pertumbuhan ini berterusan maka tidak mustahil Islam akan menjadi agama terbesar di dunia menjelang tahun 2030 nanti.

Dalam satu penyelidikan didapati antara tahun 1934-1984, Islam berkembang pada kadar 235% berbanding Kristian yang hanya berada pada kadar 70%.

Kenapakah Barat beralih kepada Islam?

Antara sebab2 yang dikenal pasti ialah:-

  1. Purity of Islam
  2. Miracle of Qur'an
  3. Not satisfied with previously held faith
  4. Wanting to know the true God
  5. Opportunities & facilities
  6. Conducive environment
  7. Loose adheres to previously held faith
  8. Looking for solace
  9. Reclining the false attack on Islam
  10. Facts about history & culture
Panganut Kristian hanya berkunjung sekali seminggu sahaja di gereja untuk beribadah walau sealim mana pun mereka. Dan mereka membaca doa makan. Masa-masa lain dihabiskan dengan perkara keduniaan. Konsep triniti 3 dalam 1 itu pula amat mengelirukan. Namun menjadi resam dalam Kristian untuk tidak bertanya persoalan ini tetapi hanya perlu mempercayai dan meyakininya. Persoalan yang menjadi suatu misteri. Maka timbul keinginan to seek the truth. Ramai yang menjumpainya dalam Islam.

Islam merupakan ketamadunan yang terunggul. Islam sebagai agama yang penuh toleransi dan kasih sayang. Ketika Jerusalem ditakluki oleh Kristian, seramai 70,000 umat Islam di sana di bunuh termasuklah perempuan dan kanak-kanak. Berbeza sekali apabila Salahuddin Al-Ayubi menakluki Jerusalem tiada umat Kristian yang dibunuh kejam, bahkan mereka diberi kebebasan untuk terus kekal dalam agama mereka dan membayar jizyah atau cukai kepada pemerintah Islam.

Kenapa Barat memilih Islam?

  1. Perfect coherent structure of moral teachings
  2. Comprehensive understandable way to practice
  3. True freedom, liberates from servitude to any human beings
  4. Perfection of the Qur'an
  5. Jesus in the Qur'an
  6. Inner peace reciting the Qur'an
  7. Direct line - no mediator to God
  8. Harmony with the overall reality
Islam adalah penyelesai masalah manusia. Dalam penggunaan kalimah Allah oleh non-muslim, ianya berlaku sejak dulu lagi di zaman para sahabat pun ramai orang arab non-muslim yang menggunakan nama Abdullah. Orang Kristian di Indonesia misalnya banyak menggunakan kalimah Allah. Hatta dalam kitab injil sendiri pun kalimah Allah ini diguna pakai. Maka siapakah kita untuk mengharamkan perkara yang dihalalkan oleh Allah?

Namun orang Kristian sebenarnya punyai muslihat dan strategi untuk menarik orang kepada Kristian dalam isu kalimah Allah ini. Itulah yang ditakuti kita semua. Namun penyelesaian sebenar ialah kita sebagai umat Islam hendaklah memainkan peranan untuk berdakwah dan mencari ilmu. Pendekatan ilmu ini boleh menyelamatkan umat Islam. Kita sering gagal apabila tidak ada ilmu dan beramal sekadar ikutan bukan berdasarkan ilmu.

Kembali kepada fitrah ialah revert to Islam. Kenapa kadar revert kepada Islam di Malaysia begitu rendah? Salah satunya ialah kerana tanggapan bahawa masuk Islam itu ialah masuk melayu. Dan mereka melihat dari sudut yang tidak begitu positif contohnya terputus hubungan kekeluargaan, hilang identiti bangsa, dan masalah bangsa melayu itu sendiri seperti gejala sosial dan kemiskinan. Sedangkan Islam itu sebenarnya tidak bersifat perkauman atau kebangsaan. Islam malangkaui semua itu. Islam menyeru kepada taqwa, tiada kelebihan antara satu sama lain melainkan tahap ketaqwaan masing2 di sisi Allah.

Sayugia diingatkam bahawa penghayatan Islam di negara China itu sendiri begitu hebat. Pernah diceritakan oleh pelancong ke sana bahawa jemaah yang solat subuh berjemaah di masjid ramainya seumpama jemaah solat jumaat di Malaysia. Dan perlu dinyatakan juga jumlah umat Islam di China melebihi 130 juta. Sedangkan umat Islam di Malaysia tidak sampai pun 15 juta orang. Dilaporkan juga jumlah masjid di seluruh China ialah 46,000 buah berbanding Malaysia yang memiliki masjid berjumlah 6,000 buah. Fenomena masuk Islam jadi melayu ini harus diperbetulkan agar ia tidak menyekat seruan kepada cahaya Islam itu terutamanya pada bangsa cina di Malaysia.

Khidmat sokongan kepada mualaf atau saudara baru juga masih di tahap yang rendah dan tidak menyeluruh. Akibatnya ramai antara saudara baru ini kembali murtad. Apatah lagi apabila di asak oleh pelbagai tekanan mental dan fisikal apabila disisihkan dari keluarga, kawan2 dan majikan. Statistik menunjukkan majoriti mereka yang murtad ini adalah dari kelompok saudara baru. Justru kita sebagai muslim mestilah prihatin dan membantu sedaya yang mungkin. Usahlah hanya mengharapkan Perkim atau NGO seperti Hidayah Center dan JIM semata untuk menangani isu ini.

Saya tertarik dengan sebuah NGO di USA iaitu Gain Peace kerana mereka berusaha berdakwah menyeru orang kepada Islam dan berkongsi maklumat perihal agama suci ini. Iklan2 di badan bas awam menyatakan bahawa, "Islam ini adalah agama yang dianuti nabi2 terdahulu seperti Adam, Moses, Noah, Abraham, Jesus dan Muhammad. Sekiranya anda ingin mengetahui mengenai Islam call 1-800-ISLAM." Mereka menyediakan call center untuk melayan segala pertanyaan dari pemanggil berterusan 24jam setiap hari. Apabila seseorang itu memeluk Islam, Gain Peace akan membekalkan mereka dengan 'Starter Kit' ala2 kita masuk sesuatu perniagaan jualan terus. Starter kit ini mengandungi antara lain naskah Al Qur'an, dan terjemahannya, buku sirah Rasullah, CD cara2 solat, dsb. Saudara2 baru ini juga dihubungkan dengan muslim yang berpengetahuan untuk membimbing mereka pada sebarang permasalahan. Saya tabik dengan tahap usaha dan kesungguhan mereka dalam dakwah dan menyeru manusia kepada nur Islam. Semoga ia wujud di Malaysia pula.

Ada seorang mualaf berbangsa Inggeris yang menjadi pensyarah di sebuah kolej telah memeluk Islam selama 25 tahun tetapi telah menjadi murtad. Apabila di ajak ke sesi kaunseling beliau mengatakan bahawa 15 tahun dulu dia bertanya kepada seorang Ustaz perihal satu kemusykilan yang bermain di benaknya, tetap Ustaz itu gagal menjawab persoalan itu malah terus menuduhnya, "adakah awak ingin murtad?" dengan soalan yang dianggapnya agak sensitif itu. Persoalan yang tidak berjawab malah dituduh ingin murtad itu lama-kelamaan membuku menjadi luka yang bernanah, sehingga gagal disembuhkan dan dia benar2 menjadi murtad.

Kita sebagai muslim harus melengkapkan diri dengan ilmu supaya pegangan kita mantap. Tiada keraguan dalam aqidah. Bersedia dengan hujah pada permasalhan terutamanya bersangkutan tauhid dan keimanan. Jika tidak tahu rajin2lah bertanya kepada tokoh2 agama dalam masyarakat. Jangan jadi seperti Ustaz di atas yang samada tidak gheti menjawab atau memang bersikap buruk sangka dan menyembunyikan fakta atau pengetahuan. Islam adalah sebuah agama yang jelas lengkap dengan hujah. Tiada misteri atau perkara rahsia. Islam itu secerah dan seterang matahari dan bulan. Kalau anda seorang Islam maka jangan diselubungi diri anda dengan misteri. Serlahkan Islam itu sebagai yang terbaik bukan sekadar teori atau retorik. Kekeliruan timbul apabila orang melihat kelompok2 yang bergelar Islam tetapi hidup dalam kerusakan dan tidak mencerminkan contoh yang baik, umpamanya budaya merempit, penderaan, dan buang bayi.

Soalan saudara kita tadi ialah, "Saya boleh menyaksikan Allah dalam ucapan syahadah kerana Allah itu di alam ghaib, namun saya tidak boleh menyaksikan Nabi Muhammad kerana dia sudah mati." Jawabannya mudah sahaja mengikut Hj Nicholas Sylvester iaitu kita ambil contoh di mahkamah di mana seseorang boleh bersaksikan seseorang yang tiada hadir di mahkamah dengan kaedah afidafit. Maka tidak wujud masalah di sini sebenarnya dan jawaban sebegitulah yang diharapkan oleh saudara kita tadi untuk memantapkan keyakinan dan keimanannya.

Kesimpulan dari posting ini yang dapat saya rumuskan ialah, tugas dakwah iaitu mengajak manusia kepada cahaya Islam ini adalah menjadi tanggung-jawab kita semua, awak, saya, dan kamu, selagi mana kita ini seorang muslim yang masih menyedut oksigen Allah. Carilah ilmu. Cintailah majlis2 ilmu. Dirikan ibadah berdasarkan ilmu bukan sekadar ikut-ikutan. Berilah contoh tauladan yang baik dengan akhlak yang mulia. Bukalah mulut dan ringan2kan untuk bertegur sapa dengan kawan2 cina, india, melayu dengan mencetuskan dialog2 yang menjana minda dan berkongsi info mengenai asas2 Islam, Allah, dan Rasulullah SAW. Usaha yang sedikit ini bakal memberi hasil yang hebat. Hidayah itu dari Allah.

@@@

Monday, April 18, 2011

Jauhi Api


Alhamdulillah malam ini berpeluang ke Rumah Allah menjadi tetamu Allah dalam sebuah majlis ilmu yang dipimpin oleh Ustaz Zahidi dengan kitab tasauf 'Penawar Bagi Hati'. Ustaz mengharap kita semua mendapat ilmu yang bermanafaat. "Apa itu ilmu bermanafaat? Ilmu yang dengannya membawa perubahan pada diri. Ilmu yang padanya boleh diguna untuk suloh diri. Tuan2 suloh diri tuan2, saya suloh diri saya," jelas Ustaz lagi.

Ustaz telah fotostat 3 zikir untuk amalan para hadirin. Salah satunya membawa maksud: Hai yang Empunya api, jauhkan aku daripadanya. "Ya Rabbi Nnna Ri, Ajirni Min Hu". Amalkan zikrullah ini 100x sebelum tidur atau pada kepekatan malam di kala bangun Qiyamullail.

Merintih dan menangis di hadapan Allah, akan segala dosa yang banyak tidak terhitung yang mengundang bakaran api neraka Allah. Mohonlah dengan sepenuh hati dan keinsafan keampunan dari Allah yang Maha Pengampun, agar dijauhkan diri dari bakaran api neraka. Dialah pemilik api itu. Jauhkan aku daripadanya. Amiin.

Hadiri majlis ilmu sekurang-kurangnya setiap 3 hari sekali. Jika tidak, dikhuatiri hati akan mati kelaparan tanpa makanan. Hati yang mati akan keras dan tidak nampak kebaikan. Yang dinampak hanya keburukan dan kecacatan. Jika rumahnya di tepi masjid, yang dihujahkan ialah bising ceramah pada setiap malam, atau bising azan pada setiap subuh mengganggu tidurnya.

Jika sanggup berpanas dan berpenat lelah untuk urusan dunia yang sementara ini, maka lebih2 lagilah untuk urusan akhirat yang kekal abadi itu. Jika sanggup bangun malam untuk melayan EPL di Astro, maka lebih2lah lagi untuk bangun malam bertahajjud dan bermunajat di hadapan Allah pada kepekatan malam yang penuh sunyi dan syahdu itu. Sama-samalah kita suloh diri.

Syurga itu mahal harganya. Tidak mungkin kita akan mendapatnya tanpa usaha keras untuk tawadduk pada Allah. Jika sanggup berusaha tanpa limit untuk habuan dan kemewahan sementara di dunia fana ini, maka lebih2 lagilah usaha untuk sebuah nikmat di Syurga Allah itu. Tiada jalan pintas untuk sebuah kejayaan. Apatah lagi kejayaan hakiki yang dicari. Renung2kan dan selamat beramal.

@@@


Sunday, April 17, 2011

Who Am I ?

Di sisi Allah SWT hanya ada 3 kelompok manusia:-
1. Taqwa
2. Munafik
3. Kafir

Jika kita mengaku beragama Islam, marilah kita muhasabah diri. Adakah aku miliki ciri2 manusia betaqwa? Jika tidak, maknanya aku ini manusia munafik. Nau'zubillah. Penyudah itu - Syurga atau Neraka?

Ramai sungguh manusia tidak solat sekarang ini. Ada statistik menyatakan cuma 20% dari umat Islam yang bersolat. Tidak lagi mengambil kira kualiti solat.Jika benarlah kajian ini, maknanya kalau kita gah mengatakan ada sejumlah 1.5 Billion umat Islam di muka dunia kini, maka 20% atau 1/5 yg bersolat itu cuma 0.3 Billion. Sedangkan solat itu Tiang Agama, de number uno.

Benarlah apa yang dikatakan Rasulullah SAW bahawa umat Islam di akhir zaman bukan sedikit jumlahnya namun ia ibarat buih, tiada kualiti. Buih ni bila dibiarkan berlalu pun pecah, bila di cucuk lagilah mudah pecah. Banyak pun tak ada nilai.

Kita lihat lah di sekeliling kita. Ramai di kalangan kita yang dikurniakan Allah dengan pelbagai nikmat yang tidak terhitung banyaknya gagal untuk menzahirkan kesyukuran atas segala nikmat ini dengan tidak mendirikan solat. Ramai muslimah yg elok bertudung menutup aurat di tempat kerja tapi tak solat.

Ramai pengunjung dan peniaga di pasar2 malam tak solat maghrib. Ramai muslim di ofis2 tak solat. Ramai anak2 muda tak solat. Ada satu kajian satu masa dulu di kalangan pelajar sekolah, hanya 1 dari 10 pelajar yang istiqamah mendirikan solat fardhu 5x sehari semalam.

Dan pada kalangan yang mendirikan solat pun sedikit benar yang khusyuk dalam solat. Ramai muslim kita yang fobia untuk bersolat berjemaah di masjid atau surau. Apa sangat diharapkan pada muslimah yang gagal menutup aurat atau masih berpakaian seksi. Tapi ramai juga di kalangan mereka ini yang menjaga solat.

Maka berbalik kepada persoalan kategori manakah kita ini di sisi Allah - manusia bertaqwa atau manusia munafik? Kalau persoalan solat pun kita belum lepas maka apalah harapan kita untuk menjadi manusia yang bertaqwa kepada Allah? Kadang kita ni syok sendiri dan mendabik dada mendakwa bahawa aku ini tergolong ke dalam kelompok manusia bertaqwa. Sedangkan hakikat sebenar kita masih jauh.

Khatib di mimbar Jumaat saban minggu tanpa gagal mengajak manusia supaya bertaqwa malah ia adalah rukun khutbah. Menunjukkan betapa pentingnya taqwa itu. Jika kita tidak solat maka adakah kita orang yang bertaqwa? Jauh panggang dari api bro.

Ibnu Qoyyim dalam kitabnya menceritakan tentang seorang wali Allah bernama Attaubah bin Tufail yang bermuhasabah. Attaubah menghitung umurnya yang telah mencapai 60 tahun, beliau berfikir 1 tahun adalah sama dengan 365 hari, maka kalau dirinya hidup mencapai 60 tahun berarti ia hidup sebanyak 21,900 hari.

”Andai aku berbuat dosa 1 hari satu dosa, maka aku akan menghadap Allah dengan membawa dosa sebanyak 21,900 dosa, Ya Allah betapa celakanya aku menghadapMu dengan dosa sebanyak itu,” keluh Attaubah dengan menitis airmata karena takutnya kepada Allah.

Attaubah kembali menghitung-hitung, itu kalau satu dosa aku buat, bagaimana kalau dosa yang aku buat, baik dengan disengaja maupun tidak disengaja sehari lebih dari seribu dosa. Berfikir seperti itu Attaubah terus pengsan.

Bagaimana dengan kita?

Kita Umat Islam benar-benar dikehendaki membuktikan ketaqwaan kita, taqwa yang bukan hanya sekadar ungkapan di mulut, melainkan nilai taqwa yang dapat diterapkan di mata, telinga, lidah, hati dan perut dalam bentuk amaliah kita sehari-hari. Kerana mati tak pernah kenal usia.

Mengikut para ulamak - Taqwa itu ialah:-

  1. Ketundukan dan ketaatan terhadap perintah Allah

  2. dan menjauhi segala apa yang ditegah-Nya

  3. mensucikan hati daripada dosa

  4. sehingga menguatkan azam untuk meninggalkan dosa

  5. dan seterusnya memelihara diri dari segala maksiat.

@@@

Monday, April 11, 2011

Sampaikan Walau Satu Ayat

Seorang jemaah bertanya Ustaz semasa sesi Q&A selepas kuliah maghrib, "Ustaz, kita telah berusaha mengajak orang ke Masjid dengan kaedah pintu ke pintu, tapi ramai yang tak suka, malah ada yang mengeluarkan kata2 kesat, macamana tu Ustaz?"

Ustaz pun menjawab, "Minta maaf saya nak kata, kadang tu cara kita salah, bukan nak menyentuh mana2 pihak, tapi dakwah ni kena menyeluruh bukan ikut pada satu cara kita saja iaitu mengajak kepada kebaikan, tapi tidak mencegah kemungkaran, kerana beranggapan bila orang buat baik maka mereka akan tinggalkan kejahatan. Kalau itu caranya maka ia bertentangan dengan seruan dalam Al-Qur'an iaitu amal makruf nahi mungkar."

Ustaz menambah lagi, "Ada kelompok ini yang duduk rapat2 dalam sesi bayan kumpulan mereka, tetapi bila saya bagi ceramah, maka mereka duduk jauh2 malah lepak di luar masjid. Ini tidak betul."

Saya dapat membaca bahawa Ustaz ini cuba mensasarkan kepada kelompok jemaah tabligh yang menjadikan masjid sebagai tapak untuk bergerak pada model usaha dakwah keluar 3 hari/ 40 hari/ 90 hari yang sekufu dalam jemaah tapi agak asing dalam berintegrasi dengan rutin aktiviti masjid setempat terutamanya pada majlis ilmu.

Samada cara Ustaz menjawab itu menyinggung perasaan jemaah tadi atau jemaah tabligh tidak dapat saya pastikan. Namun bagi saya ada kebenarannya di situ.

Tetapi dalam pada itu janganlah pula kita memperkecilkan method dakwah jemaah tabligh ini yang sanggup keluar dari kepompongan kesenangan untuk mengharung cabaran usaha dakwah secara bertentangan secara langsung dengan ahli masyarakat. Kita kena tabik pada usaha ini. Samada ia berkesan atau tidak, bukan kerja kita untuk menilainya, kerana hidayah itu milik Allah jua, dan kita hanya mampu berusaha seupaya mungkin.

Pada satu soalan dari jemaah yang lain, "Apakah dakwah yang kita lakukan hari ini tidak berkesan memandangkan semakin banyak gejala sosial yang berlaku?"

Maka Ustaz menjawab, "Diakui usaha dakwah ini mestilah berterusan, namun sebahagian besarnya tidak mencapai sasaran, kerana golongan yang bermasalah ini tidak ke masjid untuk mendengar majlis ilmu. Jadi menjadi tugas kita semua para jemaah yang hadir ke majlis ilmu ini untuk menyebarluaskan ilmu yang didapati saban hari itu, bukan sekadar masuk telinga kiri keluar telinga kanan atau tidak pernah berkongsi ilmu dengan anak atau isteri. Maka ilmu itu terbantut saja di situ.

Tapi jika 100 orang ahli jemaah yang hadir ini masing2 menyampaikan pula walau satu ilmu kepada 5 orang ahli keluarga atau kawan2 masing2, maka 100 x 5 = 500 orang telah mendapat ilmu itu. Bayangkan kalau kita sampaikan lebih dari satu ilmu yang kita dapat dari sesuatu kuliah maghrib ini? Maka semua kita ini mempunyai peranan masing2 dalam usaha dakwah untuk memperbaiki ummah ini." Sampaikan walau satu ayat.

Ustaz berperanan memberi ceramahnya. Kita berperanan mendengarnya dan menyampaikan kepada saudara kita yang lain. Tidak perlu kita tunggu ilmu penuh di dada untuk berperanan menyampaikan mesej dakwah ini. Sampaikan walau satu ayat.

Sampaikan walau satu ayat ini dapat dilakukan dengan pelbagai cara. Ada orang dengan cara facebook. Ada orang dengan ber twitter. Blogger dengan posting dalam blog masing2. Mesej yang baik juga boleh dikongsikan dalam rangkaian e-mail.

Video2 dakwah mestilah kita promosikan menggunakan media popular YouTube misalnya. Kemudahan handset dan smart fon juga boleh di gunapakai untuk berdakwah. Malah kita sebenarnya sudah tidak boleh memberi alasan lagi apabila di tanya di hadapan Allah SWT di hari perhitungan nanti.

Kalaulah kelompok sasaran dakwah tidak sampai, maka cara dakwah juga kenalah diubahsuai. Jika kelompok muda mudi hanyut dalam lagu dan hiburan, maka dakwah juga mestilah kreatif untuk diserap ke dalam medium baru ini.

Ciptalah lirik2 lagu yang mengajak kepada kebaikan yang mendekatkan jiwa2 kepada Penciptanya. Contohnya lagu InsyaAllah nyanyian Maher Zain itu berjaya menyentuh hati2 yang rusak dan jiwa2 yang kacau untuk kembali sedar kedudukan sebenar. Muat naik dan muat turunkan segala video yang hebat pada media YouTube itu dan hebahkan kepada golongan muda mudi ini supaya ilmu yang ada itu sampai.


Sabda Rasulullah SAW : "Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat."


@@@

Saturday, April 09, 2011

Mau Jadi Muflis?

Alhamdulillah diberi ruang dan kelapangan oleh Allah SWT untuk ke majlis ilmu hari ini. Ustaz ada mengupas sebuah hadis Rasulullah SWT perihal orang yang muflis.

Baginda bersabda yang bermaksud, "Orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah seseorang yang dibangkitkan di akhirat kelak bersama-sama dengan pahala solat, puasa dan zakat yang pernah dilakukan semasa di dunia. Namun pada masa yang sama, dia juga membawa dosa memaki hamun, memfitnah, memakan harta orang, menumpahkan darah dan memukul orang. Waktu perbicaraan, diambil pahalanya (simuflis) dan dibayar kepada mangsa-mangsa tersebut. sekiranya telah habis pahalanya, diambil pula dosa-dosa mangsanya, lalu dibebankan kepada si muflis. Lalu dihumbankan ke dalam neraka."
(Riwayat Abu Hurairah, no 2581)

Amatlah malang bagi seorang yang tekun beribadah tetapi bila tiba hari perhitungan di Padang Mahsyar tiba2 diisytihar muflis. Kerana dosa sesama manusia iaitu dosa2 yang tersebut dalam hadis di atas. Orang yang menjadi mangsa akan menuntut hak mereka di hadapan Allah. Orang yang menzalimi tadi terpaksa membayar tuntutan orang yang dizaliminya dengan pahala, ibarat orang membayar hutang bank. Sekiranya kehabisan pahala, maka dosa orang dizalimi akan di pindahkan kepada pelaku dosa itu. Akibatnya orang itu di istihar muflis. Tempat orang muflis ialah di Neraka.

Sejak mutakhir ini fitnah menular menjadi barah dalam masyarakat. Kerana agenda tertentu atau kerana kepentingan peribadi. Fitnah adalah dosa besar. Jadi janganlah kita terlibat dengan fitnah. Yang lebih parah apabila kita tanpa sedar telah menjadi ejen penyebar fitnah.

Mau jadi muflis?

@@@

Saturday, April 02, 2011

Petrol 500ml

Mengambil iktibar dari kisah beras 5kg yang kita dapat baca dari posting di blog Mata Hati perihal seorang insan bernama Ahmad yang baik hati sentiasa sedia untuk berbakti dan punyai habit bersedekah umpama rutin harian. Walau bukan tergolong dalam kelompok manusia yang punya harta banyak dan hidup pun ibarat kais pagi makan petang, namun tidak membantutkan sifat baik budinya itu. Itulah contoh 'personaliti tersembunyi' yang membawa manafaat pada masyarakat yang boleh kita jadikan sumber inspirasi dan motivasi. Bukan personaliti tersohor yang sentiasa mendapat liputan media massa atau menjadi ikutan ribuan peminat.

Walau hidup Ahmad sekeluarga serba kekurangan namun dia masih mampu membantu dan berjariah pada setiap kesempatan. Itulah rezki yang berkat, walaupun sedikit tapi berlebih. Alhamdulillah. Bukannya rezki yang banyak tapi sering kesempitan yang sering menimpa ramai orang. Hutang keliling pinggang.

Kisah seterusnya ialah perihal Sameon yang bekerja di kilang buat glove kat Batu Caves. Gajinya kini sebagai supervisor sudah menjangkau RM2,500 sebulan. Tidaklah mewah mana tapi cukuplah untuk menampung tanggungan seramai 4 orang. Dia tinggal disebuah rumah teres setingkat di Bukit Sentosa yang dibeli 10 tahun dulu dengan harga RM45,000.

Dia berulang alik ke tempat kerjanya sejauh 50km itu dengan motor kapchai EX5 selama hampir 8 tahun. Ukhwah penunggang kapchai boleh tahan juga. Mereka saling bantu membantu kalau ditimpa musibah seperti kemalangan, tayar bocor, kerusakan, atau kehabisan minyak. Kita selalu melihat penunggang motor akan berhenti menolong penunggang motor yang lain yang di timpa kesusahan walaupun mereka bukan saling kenal mengenali antara satu sama lain. Tidak kurang juga yang sanggup bergaduh atau membela penunggang motor yang terlibat dalam kemalangan terutamanya kemalangan dengan kereta.

Jadi Sameon ini memang mempunyai pelbagai pengalaman pahit manis sepanjang menjadi penunggang tegar motor kapchainya berulang alik ke tempat kerja untuk mencari rezki yang halal.


Maka terpahatlah sifat kebiasaan untuk tolong-menolong dalam jiwanya. Kini setelah memiliki kereta proton saga, dia tetap tidak melupakan ketika dia masih tidak memiliki kereta dulu dengan membelah kesibukan lebuhraya NKVE atau jalan lama Rawang bersama kapchai miliknya, yang kini diguna pakai buat ke surau saban malam.

Apa yang ingin dikongsikan di sini ialah pada salah satu usaha baiknya. Sameon memenuhkan dua tiga botol bekas air mineral dengan petrol ron95 dan di susun elok dalam sebuah kotak kecil di bonet keretanya. Niatnya ialah sekiranya berselisih dengan penunggang motor yang kehabisan minyak di tepi jalan maka dia akan bertanya khabar dan bersedia memberi bantuan.

Maklumlah meter motor ni kadang tu tidak menunjukkan bacaan yang betul. Sukar untuk mengagak samada minyak mencukupi atau tidak untuk sesuatu perjalanan. Jadi penunggang motor akan selalu terdedah dengan risiko kehabisan minyak. Sameon faham situasi ini kerana dia pernah mengalaminya berpuluh-puluh kali dulu. Pernah satu hari dia terpaksa menyonsong motornya di tengah panas terik sepnajang hampir 2km sebelum bertemu dengan stesen minyak terdekat.


Sameon walaupun di kurniakan Allah dengan rezki yang lebih kini, masih menyimpan hasrat murni untuk bersedekah dan berbakti pada insan yang memerlukan. Itulah yang patut kita semua contohi. Setiap kita punyai peranan. Setiap perlakuan baik kita ikhlas kerana Allah, insyaAllah akan mendapt nilaianya di sisi Allah.

@@@

Friday, April 01, 2011

F I T N A H

Fitnah sudah jadi biasa di akhir zaman ini. Kemudahan penyebaran dalam internet, sms, email, pelbagai media-massa dan media-cetak yang memberi ruang luas kepada penyebaran fitnah. Fitnah ini terkelompok dalam perkara kezaliman kerana ia menceroboh hak orang lain, ia menjatuhkan bukan saja air muka, malah harta benda, keluarga, maruah, pangkat, jawatan, kedudukan dan harga diri seseorang yang difitnah itu. Kesannya umpama ulat dalam durian D24 yang terus merosakkan durian yang berharga RM15 se kg itu hingga menjadikan nya busuk dan tidak bernilai walau sekupang.


Dari Abu Dzar Al-Ghafiri r.a, dari Nabi SAW yang meriwayatkan dari Tuhannya Allah SWT, bahawasanya Tuhannya telah berkata : " Wahai hamba-hambaKu ! Sesungguhnya aku telah mengharamkan penganiayaan atas diriKu, dan Aku jadikan haram di antara sesama kamu, maka janganlah kamu aniaya-menganiayai."


Saya petik hujah dari sebuah blog yang menyatakan - Allah telah mengharamkan zalim pada diri-Nya. Maka sudah tentulah lebih2 lagi pada hamba-Nya. Dosa kezaliman sangat dahsyat, kelam dan gelap. Zalim itu adalah menceroboh hak orang. Pencerobohan memusnahkan maruah, airmuka, harta, keturunan malah nyawa. Pencerobohan adalah zalim dan kezaliman adalah haram. Ia terlarang bagi Allah, apatah lagi hamba Allah sesama sendiri.


Namun manusia selalu zalim pada diri sendiri apabila meninggalkan suruhan Allah atau mengingkari larangan Allah. Kita ingin tasaruf (kendalikan) iaitu buat sesuatu kepada yang bukan milik kita, maka itu zalim namanya. Benda bukan milik kita maka perlakuan itu tidak patut. Allah istiharkan semua isi alam semesta ini milik Allah, maka janganlah kita membuat kezaliman ke atas segala milik Allah itu. Keadilan itu ialah meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. Contohnya ketayap letak di kepala bukan di kaki, sebaliknya stokin letak di kaki bukan di kepala. Kalau stokin kita letak kat kepala, maka itu zalim namanya kerana meletakkan sesuatu tidak pada tempatnya.


Justru janganlah kita pula berlaku zalim dengan sukarela menjadi ejen fitnah. Janganlah pula kita tumpang sekaki berbuat dosa menyebarkan berita yang tidak tahu salah atau benarnya itu. Janganlah mudah kita gatal tangan untuk mem 'fowardkan' bahan2 yang kita terima. Usahlah menanggung beban ini dan gagal dalam perhitungan di Padang Mahsyar nanti semata-mata kerana tertuduh menjadi talibarut dalam kebusukan dan kehinaan putaran fitnah.


Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)



Islam mempunyai kaedah lebih ketat bagi memastikan kebenaran sesuatu berita supaya tidak terperangkap dengan berita berunsur fitnah. Wajib bagi Muslim menghalusi setiap berita diterima supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah. Sebarang berita diterima perlu dipastikan kesahihannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting digunakan dan Islam mempunyai kaedah lebih ketat bagi memastikan kebenaran sesuatu berita supaya tidak terperangkap dengan berita berunsur fitnah. Wajib bagi Muslim menghalusi setiap berita diterima supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah. Sebarang berita diterima perlupastikan kesahihannya.



Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting digunakan bagi memastikan tidak terpedaya dengan berita berunsur fitnah. Kasihan kepada pembaca berita yang menjadi burung belatok membacakan saja sesuatu berita walaupun berunsur fitnah. Atau seorang wartawan yang mencari rezki dengan menulis berita dari sudut yang menimbulkan fitnah. Atau seorang blogger yang mensensasikan sebuah cerita berbau fitnah. Kerana di sana segala perlakuan dosa ini bakal menjadi liabiliti yang memberatkan timbangan amal jahat yang boleh mengheret ampunya diri ke lubang neraka yang panas membakar.



@@@

Friday, March 11, 2011

Pelaku Dosa

Pada hari Jumaat yang mulia ini, marilah kita sama-sama muhasabah diri. Siapa kita di depan Allah? Pencipta kita yang tidak terlepas pandangan pada segala prilaku hatta gerak hati kita. Jadi pada siapa sebenarnya kita hendak bersembunyi atau menipu? Kerana kita tidak dapat sembunyi dari pengetahuan Allah.

Who are we trying to fool? Not Allah.


Sebuah petikan menarik dari blog Muzakkarah buat manafaat kita semua, si pembuat dosa.

@@@

Wahai Pelaku Dosa,jangan kamu merasa selamat daripada akibat dosa kamu. Ketahuilah,akibat yang mengiringi dosa itu lebih dahsyat daripada dosa itu sendiri.

Sesungguhnya sikap tidak malu kamu kepada pencatat yang berada di kanan dan kiri kamu,padahal kamu melakukan dosa,ia tidak kurang daripada dosa itu sendiri.

Sesungguhnya ketawa-hilai kamu sewaktu melakukan dosa sedangkan kamu tidak tahu apa yang Allah lakukan kepada kamu adalah lebih besar daripada dosa itu sendiri.

Sesungguhnya kegembiraan kamu apabila berjaya melakukan dosa adalah lebih besar daripada dosa itu sendiri.

Sesungguhnya kesedihan kamu apabila tidak dapat melakukan dosa adalah lebih besar daripada dosa itu sendiri.

Sesungguhnya ketakutan kamu kepada angin apabila ia menggerakkan kain yang menghalang kamu dlihat orang ketika melakukan maksiat,tetapi hati kamu tidak gementar terhadap pandangan Allah kepada kamu,adalah lebih besar daripada dosa itu sendiri.

Wahai orang yang melakukan dosa, adakah kamu tahu,apakah dosa Ayub AS ketika Allah SWT menimpakan ujian bala ke atas tubuh dan hartanya?Dosanya hanyalah Baginda AS tidak menolong seorang miskin yang meminta pertolongannya untuk menolak kezaliman yang menimpa dirinya (Si Miskin).

[Nasihat `Abdullah Ibn `Abbas Kepada Pelaku-Pelaku Dosa yang dipetik dari Buku 65 Gambaran Kehidupan Sahabat]

@@@

Maka insaflah sebelum nyawa sampai ke halkum, nazak menanti maut. Setiap hari kita bangkit dari tidur mendekatkan kita pada detik kematian itu. Gunakan peluang yang ada untuk menjadi manusia baik manusia yang takutkan Allah, bukan hanya tahu menipu sesama manusia. Sesungguhnya segala prilaku kita ini tidak akan terlepas dari direkoding oleh malaikat yang mengiringi kita di kiri dan kanan pada setiap detik dan saat. Usah jadi manusia bodoh sombong lagi. Allah tetap akan membalas dengan balasan yang seadil-adilnya. Bukankah Allah itu seadil-adil Hakim?

ZAMAN TELAH BERUBAH

Setelah renung dan fikir untuk sekelian lama, melihat dan mendengar, maka saya cuba coretkan di sini apa yang saya analisa dan hadamkan. Mun...