Monday, September 21, 2015

Azam Solat Malam

Alhamdulillah saya panjatkan berbanyak syukur kepada Allah kerana telah memilih saya menjadi tetamu di Rumah Nya saban malam untuk mendirikan solat berjemaah dan amalan2 sunat serta menadah ruh dan jasad kepada ilmu agama di majlis2 ilmu. 

Sebagai pencinta ilmu saya mahu menjalankan peranan untuk menyebar luaskan ilmu yang di pelajari itu dengan azam perkongsian kepada umat seluruh dunia melalui tulisan di blog SOT yang setakat ini di kunjungi oleh 180,543 pelawat. Semoga bermanfaat samada secara langsung atau tidak dan ada nilaiannya di sisi Allah.

Gambaran usia sebagaimana dinyatakan oleh Ust Yaseer ibarat sedepa ranting kayu yang di patahkan hujungnya sedikit demi sedikit makin pendek hari demi hari detik demi detik hingga satu masa nanti hilang semuanya. Dengan erti matilah, habis sudah usia yang Allah pinjamkan sebentar itu. 

Apa persediaan saya menghadapi saat kematian itu? Jika dimatikan Allah malam ini bagaimana? Amalan saya ini tidak banyak mana. Itu hakikat. Sama2 muhasabah. Bila kali terakhir menghidupkan malam dengan ibadah? Ramadan yang lalu barangkali. Maknanya sudah dua bulan lebih yang lalu. 

Tanya lagi. Apa yang saya sembah sebenarnya? Kepada siapa saya ini beribadah sebenarnya? Kepada Allah? Maka kenapa berhenti beribadah malam itu sekadar untuk bulan Ramadan sahaja? Sendiri tanya sendiri jawab.

Antara sifat hamba Allah yang beriman ialah dia sujud dan berdiri di malam hari dengan solat malam. Gagahnya saya berdasar dapat bangun solat malam di kala orang nyenyak tidur.

Ramai yang hidupkan malam bukan dengan ibadah tapi dengan tengok bola EPL. Tengok bola itu hukumnya harus tapi boleh jadi haram bila mana asbab bangun malam tengok bola itu, terlajak untuk solat fardu subuh. Asbab tengok bola kat kedai mamak itu gagal untuk solat subuh berjemaah di masjid.

Tingkatkan azam supaya menjadi hamba yang berjaya. Rasulullah SAW ada berpesan untuk lakukan empat perkara iaitu sebarkan salam, beri makan, bersilaturahmi, dan yang keempat dirikan solat di malam hari tika manusia sedang nyenyak tidur. Natijah pada empat perlakuan ini ialah kamu akan masuk dalam syurga dengan penuh kesejahteraan.

Solat malam di tutup dengan solat witir (ganjil). Amalan yang paling disukai Allah ialah yang berterusan (konsisten) walaupun sedikit. Insya'Allah saya tanam azam untuk tingkatkan amalan.

Satu lagi amalan yang utama ialah mengeluarkan harta saya ke jalan kebaikan. Apa yang kamu keluarkan di jalan Allah pasti Allah akan gandakan. Maka ustaz menyatakan tidak salah untuk berdoa setiap kali mengeluarkan harta saya bersedekah atau berinfaq itu dengan doa ya Allah gandakan harta ini sebagaimana yang Engkau janjikan.

Senyum juga adalah sedekah. Setiap kali menguntum senyuman kepada orang lain insya'Allah di beri pahala. Menyambung hubungan silaturahim akan menambah panjang usia. Dalam sebuah lagi sabda Rasulullah SAW dinyatakan di sediakan bilek2 di Syurga bagi hamba Allah yang baik ungkapan bahasanya, selalu menyediakan makanan, sentiasa berpuasa sunat, dan yang keempat solat malam.

Sedekah yang macamana besar pahalanya? Iaitu kamu mengeluarkan sedekah itu dalam keadaan kamu sihat sejahtera, paling kedekut, tika sangat takut kepada kefakiran dan berangan-angan pada kekayaan.

Jangan berlengah-lengah melakukan kebaikan. Jangan tunggu nyawa sampai ke halkum baru nak buat kebaikan. Harta tidak akan berkurang dengan amalan sedekah. Juga beri kemaafan kepada orang yang melakukan kesalahan kepada saya. Merendah diri di hadapan manusia akan meninggikan darjat di hadapan Allah. Pahala jadi rebutan. Dosa jangan dipandang ringan.

Sebagai konklusi, semakin hari semakin dekat saya pada kematian. Ibarat ranting kayu di tangan yang sedang dipatah-patahkan itu. Usia bukan makin panjang tetapi semakin pendek. The end is near. Saya azam insya'Allah untuk tingkatkan amal kebaikan. Malam ini saya azam untuk mendirikan solat malam walaupun sekadar tiga rakaat. Ameen.

@@@

No comments:

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...