Friday, April 04, 2014

Pintu Taubat Masih Terbuka

Rasa terkedu membaca sebuah posting yang bertajuk Usah Putus Asa Memohon Keampunan Allah. Betapa Allah itu Maha Pengampun kepada setiap hamba pelaku dosa ini. Pabila taubat dulu di langgari lagi oleh perlakuan dosa, malah mungkin sudah berulang kali kejadian demi kejadian, namun Allah tidak pernah menutup pintu taubat ini. Malah Allah sentiasa memberi peluang untuk hamba-Nya mendamba kasih sayang-Nya, mengharap lagi dan lagi keampunan atas dosa yang dilakukan. 

Sesungguhnya manusia tidak pernah sunyi daripada perlakuan dosa dan maksiat, atau setidaknya terpedaya dengan gejolak hawa nafsu dalam diri atau serangan tipudaya setan dan iblis. Itu sifat hamba. Kita ini layak membuat dosa kerana kita ini bukan malaikat yang bersifat maksum itu. Namun usah putus asa memohon keampunan Allah. Sesungguhnya Allah penerima taubat hamba-Nya.

Daripada Anas bin Malik, dia mendengar Rasulullah SAW bersabda bahawa Allah SWT berfirman:

“Wahai anak Adam, selagi engkau meminta dan berharap kepada-Ku maka Aku mengampuni segala dosamu yang sudah lalu, dan Aku tidak akan mempedulikannya. Wahai anak Adam, jika dosamu sampai setinggi langit lalu engkau minta ampun kepada-Ku nescaya Aku mengampuninya. Wahai anak Adam, jika engkau datang kepada-Ku dengan kesalahan seluas permukaan bumi lalu engkau menemui-Ku tanpa menyekutukan sesuatu pun dengan-Ku, nescaya Aku akan datang padamu dengan pengampunan seluas bumi pula.” 
(Riwayat al-Tirmizi dan al-Bhagawi)

Walau sebanyak mana kebaikan dan kebajikan yang di buat atau tidak terhitung majlis ilmu yang telah dihadiri, namun perlakuan dosa tetap berlaku. Kenapa? Apakah nilaian ibadah itu sangat rendah atau kosong di sisi Allah? Hampir benar menyesatkan jiwa untuk terus putus asa daripada rahmat Allah. Gagal memacu diri untuk kekal dalam amal soleh malah tersesat pula membuat mungkar lagi dan lagi. Sesungguhnya lemah benar diri ini di hadapan Allah. Namun usah putus asa memohon keampunan Allah.

Mungkin kualiti ibadah yang tidak seberapa atau keikhlasan ungkapan taubat yang tidak mantap masih penuh ragu, makanya maksiat dan dosa terus berlaku. Ini juga sebahagian daripada ujian bagi orang yang beriman. Usah putus harap. Bergantung haraplah pada Allah, bukan pada makhluk. Ujian Allah itu dalam pelbagai bentuk dan cara. Selama jasad masih bernyawa pintu taubat masih terbuka.

Yang penting kembali ke pangkal jalan. Menyesali perlakuan dosa itu dengan ikhlas dan berazam sepenuh jiwa raga untuk tidak lagi mengulanginya. Mohon taubat pada setiap kesalahan dan keterlanjuran yang telah dilakukan dan mohon perlindungan dan kekuatan untuk melakukan segala suruhan-Nya dan menjauhkan segala larangan-Nya.

Sempena hari jumaat yang mulia ini penghulu segala hari marilah kita luangkan masa untuk banyakkan istighfar, membaca surah al-Kahfi dan banyakkan berselewat kepada junjungan besar Rasulullah SAW. Yang penting sekali never give up in life dan usah putus asa memohon keampunan Allah. Pintu taubat masih terbuka luas menunggu ku pada setiap tika dan saat.

@@@

No comments:

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...