Wednesday, February 27, 2013

Pencetus Kebaikan


“Berhenti rokok kerana Allah. Boleh jadi asbab untuk badan sihat dan bau sedap. Hisab diri apa yang kita buat atas nikmat yang Allah bagi.” pesan ayah kepada anaknya. “InsyaAllah Pa,” jawab anaknya.

“Adakah kita ke majlis2 ilmu atau majlis2 hiburan?” Pada satu tazkirah Ustaz berpesan semua kita ini akan di pertanggungjawabkan di hadapan Allah bagaimana kita menggendali dan menggunapakai segala nikmat yang Allah kurniakan. Guna mata untuk lihat apa? Guna telinga untuk dengar benda lara atau benda berfaedah? Guna tangan bagaimana? Guna kaki untuk melangkah kemana? Sama2 suloh. Sama2 hisab diri. Berapa banyak amal soleh yang kita buat hari ini?

Semua akan dikira bicara akan kerja buat dan fahaman kita selama di dunia ini. Tidak satu pun akan terlepas melainkan tercatat belaka segala rekod dan biodata diri. Raqib dan Atib setia menjalankan tugas mencatit data dan fakta siang dan malam 24x7 hingga ke akhir hayat kita. Kalau kita dapat tengok mereka berdua, tak lalu makan kita dibuatnya. Dan di hari hisab besok mulut sudah dikunci untuk berkata malah anggota2 tubuhbadan kita yang lainlah yang akan menjadi saksi dan menjawab segala soalan yang ditanya. Tiada ruang untuk menipu atau cakap bohong lagi. 

Penghakiman yang paling adil bakal berlangsung. Itulah faktanya bukan auta atau kelentong penyedap kata atau lawak bodoh untuk digelak para penonton sekelian.

Maka sebelum terlambat selagi usia masih bersambung, marilah sama2 kita rajin2 untuk hisab apa yang kita guna atas nikmat yang Allah beri. Kita ini bukan sekadar jadi pemimpin untuk diri sendiri mengawal selia segala pancaindera dan kelakuan diri tetapi kita juga bertanggung-jawab memimpin kepada isteri dan anak-anak, ahli keluarga dan masyarakat, malah menjadi pemimpin daerah, negeri dan Negara.

Kena ambil tahu anak2 melangkah kemana hari ini? Dunia penuh cabaran hari ini, maka kena ambil tanggungjawab dengan serius. Didik anak2 dengan ilmu. Ubahlah program. Kalau dulu kita bawa seisi keluarga menonton rancangan Raja Lawak, Idola Kecil, atau pertandingan menari, maka ubahlah untuk melangkah ke majlis2 ilmu dan program2 bermanfaat. Setiap anak kecil dilahirkan dengan fitrah maka kita sebagai ibubapa bakal mencorak halatuju dan minat anak2. Kena belajar bagaimana menjadi pemimpin yang baik.

Bila azan berkumandang adakah kaki kita melangkah ke masjid? Solat dulu. Tinggalkan segala pekerjaan. Diwajibkan pada setiap lelaki mukalaf dirikan solat di tempat azan dilaungkan. Marilah mendirikan solat. Marilah menuju kejayaan. Ia bukan sekadar slogan tapi itulah syariaat. Itulah hakikat. Solat itu pencetus segala nilai kebaikan dalam kehidupan. Bukankah solat itu tiang agama?

Setiap kita bila tidak menghadiri sesuatu jemputan kenduri merasa bersalah. Tapi apa sikap kita bila tidak menghadiri jemputan bagi mendirikan solat? Jemputan untuk mengadap Allah pemilik langit dan bumi. Bila sudah tiada rasa bersalah, maka kata ulamak itu tanda hati yang mati.

Apa perasaan kita pabila seseorang melalui depan rumah kita dan kita sapa dia tapi dia buat tak tahu saja. Kita panggil dia harapkan menyahut panggilan kita rupanya menoleh pun tidak. Buat dak je macam kerang busuk. 

Kita cek balik dengan isteri kita, dengan anak kita. Berapa antara kita semak betul tidak bacaan Fatihah? Masing2 jawab. Pergilah belajar agama. Hidup tidak lama. Biarlah bermakna. Fikir masa depan bukan sekadar di dunia tetapi menjangkau kehidupan akhirat yang pasti itu. 

Hati seorang mukmin akan sentiasa bimbang takut2 Allah hilangkan nikmat atau palingkan hati. Pandanglah nikmat dengan matahati bahawa segala anugerah ini milik Allah semuanya, mencetus rasa syukur dan terima kasih kepada Allah. Hatta air kencing itu pun suatu nikmat yang hebat. Bayangkan kalau nikmat kencing Allah tarik balik?

@@@

Monday, February 18, 2013

Hanya Jauhari Mengenal Maknikam


Sambil mengemas rumah beberapa minggu lalu, saya ingin membuang kalender tahun 2012 yang masih tersangkut di belakang pintu dapur tapi tak jadi maka saya letakkan dulu di bucu dinding. Kerana tertarik melihat kata2 hikmah yang dipaparkan pada setiap helaian kalender itu. Rasanya mungkin ingin saya kongsikan, mana lah tau ada juga manfaatnya sebagai renungan, fikir dan risau bersama.

Benih yang baik kerana kemuliaan sifat rajinnya, jatuh ke laut menjadi pulaulah jua. Kata2 ini diinspirasikan daripada sebuah peribahasa melayu iaitu benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau yang bermaksud orang mulia, akan tetap dimuliakan di mana2 sahaja.

Kuat sungguh kayu akar, dilentur boleh dipatah tak dapat. Amanah bersulamkan dengan sabar, pasti berjaya setiap saat. Sangat benar kata2 ini. Yang penting di setiap detik kehidupan yang berbaki ini jangan leka dari mensyukuri atas segala nikmat yang Allah beri. 

Sentiasa sabar menghadapi segala ujian kerana sesungguhnya ujian itu ialah penghapus dosa dan pembaik diri. Dan akhirnya kekal redha atas segala ketentuan Allah. InsyaAllah hidup kita akan terus maju ke depan mencapai gemilang, cemerlang dan terbilang bukan sekadar di dunia yang fana tapi yang lebih utama ialah hidup berbahagia di Akhirat yang kekal abadi.

Biarlah kita menjadi dahan, menggalas tugas kompeten agar menjadi tempat bergantung. Kata2 ini diinspirasikan daripada peribahasa dahan tempat bergantung yang bermaksud orang yang dapat membantu. Marilah kita sama2 membudayakan kekompetenan dalam setiap aspek kehidupan dan kemahiran hidup.

Andai peranan dijunjung bagai berhampar lapik, berlicin daun dengan bertaut keyakinan diri, pasti yang sukar menjadi mudah. Ungkapan ini diinspirasikan daripada peribahasa berhampar lapik, berlicin daun yang bermaksud bermuafakat mencari penyelesaian yang baik dengan setulus-tulus hati, tidak ada menyembunyikan perasaan2 yang buruk. Justru membudayakan keyakinan tinggi adalah satu langkah ke depan yang sangat positif.

Pucuk manis pucuk lagundi, daun purut digetus rasa. Yang manis bernama budi, yang sinar itu akhlak mulia. Membudayakan akhlak mulia adalah salah satu tuntutan agama. Bukankah Rasulullah menghabiskan 13 tahun awal kerasulan Baginda di Mekah untuk mempebaiki akhlak manusia?

Dengan berpaksikan takwa, andai daun jatuh melayang, buah tetap jatuh ke pangkal. Betapa benar ungkapan ini yang dilandaskan daripada peribahasa daunnya jatuh melayang, buahnya jatuh ke pangkal juga yang bermaksud yang berguna diambil, yang tidak berguna dibuang.

Hanya Jauhari yang mengenal maknikam. Kalau kita rajin memerhati yang bukan sekadar memerhati tetapi juga fikir dan risau maka akan terjumpa maknikam yang tersembunyi pada setiap rencah kehidupan makhluk ciptaan Allah. Pabila tanggapan pada sesuatu yang bersifat negatif dari segi tanggapan umumnya, maka jika manusia tidak memandang di luar kotak, maka sudut negatiflah yang bakal terserlah. 

Pengalaman saya tinggal di sebuah daerah yang menjadi tanggapan umum sebagai sebuah daerah yang jauh dan terpencil tanpa penghuni dengan banyak rumah2 kosong adalah bukti betapa persepsi menguasai realiti. 

Setelah 10 tahun masa berlalu manusia umum masih memegang persepsi yang sama. Sedangkan Jauhari yang sudah sebati dengan kehidupan dan rutin harian daerah ini begitu selesa dan gembira dengan pilihan hati. "Beruntung sungguh saya membeli rumah di kawasan ini 15 tahun yang lalu." Sesungguhnya Allah telah menggerakkan hati ini. Dia yang sangat arif apa jua kebaikan untuk seorang hamba-Nya yang bertakwa.

Persepsi negatif ini bukan terpahat di mata orang awam tetapi merangkumi juga kawan2, para kenalan, ahli keluarga dan waris terdekat. Sedangkan hanya Jauhari yang mengenal maknikam. Jauhari keseorangan dalam dunianya yang penuh aman dan  bahagia. 

Antara putik2 kebahagiaannya kalau mesti digambarkan ialah daerah ini miliki sebuah masjid yang hidup dengan solat berjemaah, pengajian al-Qur'an, kuliah maghrib setiap hari, kuliah subuh setiap hujung minggu, dan pelbagai program keruhanian dan aktiviti masyarakat dari semasa ke semasa. Bukan mudah untuk seseorang terpilih dalam suasana itu melainkan dengan izin Allah jua. Banyak masjid yang tersergam indah tapi tidak banyak masjid yang hidup. Saya bersyukur sungguh terpilih menjadi ahli khariah masjid ini. Alhamdulillah.

Jarak yang di persepsi orang jauh itu sebenarnya tidaklah jauh mana pun. Bagi saya jaraknya setara dengan orang yang tinggal di daerah Bangi atau Shah Alam. Malah melalui akses lebuhraya saya bisa sampai ke KL dalam masa 30 minit sahaja. Tapi biasalah bila orang bertanya, "Awak tinggal di mana?" Bila saya menjawabnya maka reaksinya ialah, "OOO...jauhnya." Tapi kalau di jawab tinggal di Bangi atau Shah Alam, maka reaksi sebegitu tidak pula kedengaran. Dalam hati saya berkata, "Hanya Jauhari yang mengenal maknikam." Saya lah agaknya Jauhari itu.

Rumah ini sungguh selesa dengan laman untuk saya tanami dengan pelbagai tanaman. Udaranya segar dan tidak tercemar dengan gas beracun. Mata ini memandang bukit bukau dan kehijauan. Di sana ada tasek2 semulajadi, kicauan burung dan awan biru. Deruan angin sepoi2 bahasa menderu ke ruang makan kami yang menghadap pemandangan indah di saujana mata memandang. Tiada hiruk pikuk dan kelam kabut kota. Bila kawan2 saya membeli rumah yang harganya mencecah setengah juta RM pada daerah yang mereka anggap terbaik pada harga pasaran property yang memang menggila sekarang ini, maka kata saya kita semua punyai pilihan dan citarasa tersendiri.

Bila orang mengandaikan daerah ini sebagai daerah yang mundur tanpa kegiatan ekonomi, maka terbayang penjelasan di hati saya bahawa di sini sudah ada Tesco dan beberapa pasaraya dan mini market lain. Sekolah menengah ada tiga buah, sekolah rendah ada empat buah, sekolah tamil ada satu, sekolah cina ada satu, sekolah kafa ada tiga dan surau ada 23 buah...ya 23 buah. Kilang2 saya rasa tidak kurang daripada 25 buah. Pasar malam nya dengan keluasan dua padang bola di adakan dua kali seminggu. Pasar tani sekali seminggu. Populasi penduduk sudah melebihi 60k.

Restoran dan kedai makan saya kira tidak kurang daripada 30 buah. Klinik2 kesihatan tidakkurang dari lapan buah. Ada balai polis, ada pasar, ada beberapa restoran mamak, ada 7eleven, macam2 ada. Saya pun heran juga mundur bagaimana sebenarnya kalau soal ekonomi mahu di ambil kira?

Hanya Jauhari yang mengenal maknikam. Kebelakangan ini saya lihat ramai penghuni2 kota datang ziarah ke daerah ini untuk meninjau dan membeli banglo2, rumah teres dan apartment yang ada. Kata mereka daerah ini, "The best kept secret in town." Harga rumah pula sudah mulai melambung naik. Kalau dua tahun lepas banglo setingkat boleh dapat harga bawah RM200k, kini lebih RM300k pun belum tentu dapat. Bulan lepas bank CIMB lelong dengan harga bukak RM180k, di menangi oleh seorang pembida dengan harga RM320K. 

Berbeza dengan sebuah townhouse secondhand di AU2 seluas sekangkang kera dengan harga RM460K...ish ish. Kalaulah dia dapat fikir di luar kotak dan memilih kejiranan di daerah ini, alangkan beruntungnya anak cucu dia. Rumahku syurgaku. Hanya Jauhari yang mengenal maknikam. 

@@@

Friday, February 15, 2013

Berdiam Diri


Bersyukur kerana mendapat nikmat Iman dan Islam. Nikmat Iman dan Islam adalah dua nikmat yang paling besar yg pernah dianugerah oleh Allah kpd Rasulullah SAW. Antara sifat Rasulullah ialah banyak berdiam diri. Maksudnya bukan tidak bercakap dengan manuisa tetapi bercakap perkara yg dibenar Allah. 

Empat sifat Rasulullah iaitu Siddiq, Amanah, Tabligh dan Fatonah. Siddiq berkata benar dengan perkara yg benar. Amanah jujur kepada yang benar dan hak. Tabligh menyampaikan ilmu walaupun pahit. Fatonah bijaksana iaitu kecerdikan luarbiasa dalam setiap hal untuk mudah berbicara dengan manusia agar senang difahami dan diterima.

Bercakap perkara yg baik atau berdiam diri sahaja iaitu bercakap samada memberi nasihat, melarang perlakuan dosa, perkara kebajikan, pesanan dan teguran. Teguran hendaklah disampaikan dlm bentuk yang baik. Cara yang kasar tidak membawa  manusia kepada kebaikan.

Orang yg diam itu selamat. Pertama, selamat drp kemarahan manusia lain kalau2 menyentuh peribadi orang, kalau2 menjaga tepi kain orang, kalau2 bicara perkara mengarut atau tak relevan dan tidak diterima oleh pandangan manusia pada ketika itu. Maka hendaklah mengelak dari bercakap perkara2 itu dan hanya bercakap perkara yg baik2. Kedua, sekiranya dia seorang pekerja  terselamat dari dimarahi oleh majikan, jika seorang majikan akan terselamat daripada dimarahi oleh orang bawahannya atau jika dia seorang hamba dia selamat daripada dimurkai oleh Allah, bahkan di akhirat dia akan terselamat dari bakaran api neraka.

Rasulullah sangat menjaga tutur katanya. Namun jika dia melihat sesuatu kemungkaran atau sesuatu yang tidak benar di depannya maka dia akan menegurnya. Pabila orang bertanya kepada kita sesuatu yang kita tidak tahu dan kita menjawab, “Saya tidak tahu” maka itu adalah pembuka ilmu dan separuh daripada ilmu kerana ia membuka jalan kepada orang itu untuk bertanya kepada orang yg kedua kerana pabila kita menjawab walaupun tidak tepat menyebabkan si penanya  memakai jawaban itu sedangkan dia tidak tahu samada jawaban itu benar atau salah dan dia tidak bertanya lagi kepada orang lain dan ini menyesatkan orang lain kerana ilmu yang salah tersebar.

Orang yang bercakap tetapi tidak mengamalkan apa yang dia cakap maka akan dimurkai Allah. Orang yg banyak bercakap akan mendedahkannya kepada dosa. Kadang2 dia sudah tidak relevan kepada masyarakat tetapi masih banyak bercakap menyebabkan dia tidak lagi dihormati.

Kita doa kepada Allah sekiranya ada kebaikan maka datangkanlah dari hati dan tumpahkan juga ke hati para pendengar pabila berbicara untuk seterusnya diterjemahkan menjadi amalan kebaikan. Rasulullah banyak memerhati daripada bercakap.  Sifat berdiam diri itu merupakan salah satu pakaian Rasulullah.

@@@

Thursday, February 14, 2013

Membesar Dosa Diri

Bersyukur kita kerana Allah masih pinjamkan nyawa kepada kita pada pagi ini. Kita bernafas dgn udara-Nya moga2 kita jadi manusia beriman kepada-Nya. Antara sifat orang berakal ialah membesarkan dosa diri. 

Rasulullah sentiasa membesarkan dosa diri walaupun Rasulullah tidak berdosa. Dosa Rasulullah telah diampun semuanya. Rasulullah sentiasa menganggap dirinya berdosa walaupun dia tidak berdosa, sedangkan kita yang banyak dosa ini tidak rasa kita banyak dosa. Kita lambatkan solat, kita sedekah yang sedikit, dan kita buat amal soleh yang ciput sahaja. Kita buat2 lupa betapa banyaknya dosa kita.

Bila kita tak rasa diri berdosa, maka kita jadi jauh dari Allah. Bila mengalami kesakitan kita merungut, sedangkan Allah nak ampunkan dosa. Kita selalu ingat kebaikan kpd org lain dan melupakan kejahataan kpd orang lain. 

Rasulullah sentiasa membesarkan dosa dan menghinakan dirinya. Hati kena bersih supaya dapat melihat perkara2 batin. Hadis riwayat Aisyah RA iaitu Rasulullah SAW sentiasa membesarkan dosa dan menghinakan dirinya walaupun Rasulullah tidak punya dosa apa2, “Bukankah telah diampunkan dosa kamu yang telah lepas dan akan datang?” Banyak pengajaran daripada hadis ini jika ingin diambil pengajaran.

Apakah kamu menyangka kamu akan masuk syurga semudah itu? Sedangkan kamu belum mengalami ujian seperti telah datang kepada para Rasulullah terdahulu. Bilakah sampainya pertolongan Allah? Sesungguhnya pertolongan Allah sangat hampir dengan kita. Hakikatnya dosa kita banyak sungguh sedangkan kebajikan sikit benar. Kita kena fikir dan resahkan sentiasa. Allah suka fikir dan resah kita itu. Supaya kita memohon ampun kepada-Nya. Allah suka kita menyedari bahawa dosa kita banyak. Allah suka kita merenget meminta-minta kepada-Nya setiap masa. Allah suka kita memohon ampun kepada-Nya.

Tidak wajib bagi Allah memasukkan seseorang ke dalam neraka walau dosanya banyak. Tidak wajib bagi Allah memasukkan seseorang ke dalam Syurga kerana amalan yg banyak.  Bila kita buat ibadah kenalah ikhlas. Kerana keikhlasan itu akan ada nilaian di sisi Allah. Jangan fikir kita mudah untuk masuk syurga sedangkan dosa kita banyak.

Rasulullah berdiri di dekat timbangan untuk memberi syafaat kepada umatnya. Ada satu kisah Mamat ni yang banyak dosa cuma ada satu saja amal baik, itupun kerana menolong seekor kucing yang tersepit. Dia memang tiada harapan untuk masuk ke Syurga kerana timbangan dosanya yang banyak. Malah tiada harapan pun untuk Rasulullah memberi syafaat kepadanya. 

Si Mamat bakal ahli neraka  yang sudah putus harap ini pun berkata, “Wahai Allah kerana amalan baik ini satu sahaja maka Engkau bagilah yang satu ini kepada seseorang yg berhajat dan lebih memerlukannya.” Dia yang akan diheret ke Neraka oleh malaikat Zabaniah, telah ditangguh sekejap oleh Allah dan berkata kepada malaikat, “Biar dia tunggu di tepi timbangan.” 

Maka di timbang amalan si folan, dia ini banyak melakukan ibadat dan dia juga kaki maksiat. Amalannya banyak, dosanya pun banyak. Setelah ditimbang amalannya kurang satu daripada dosa. “Kalau kamu dapat satu lagi amalan maka engkau layak masuk syurga,” kata Allah.  Maka si Mamat tadi pun berkata, “Ya Allah inilah orang yang memerlukan satu amalan kebaikan aku tadi, maka ambil dan berikanlah kepadanya.” Maka di ambil daripada si Mamat yang menunggu di tepi timbangan akan amalannya yang satu dan diberi kepada si folan tadi. Maka dapatlah masuk ke dalam syurga akan si folan itu.

Gembira dan bersyukur sungguh si folan ini dan tika sampai di pintu syurga dia pun bersujud kepada Allah  dengan tangisan dan linangan air mata memohon kasihan belas supaya Allah mengampunkan segala dosanya dan dosa si Mamat yang berkenan memberikan satu pahala amalan kepadanya tadi yang tanpanya maka dia tidak dapat syurga dan memohon supaya Allah memasukkan si Mamat tadi ke dalam syurga dan menyatakan dia tidak mahu masuk syurga selagi mana si Mamat itu juga tidak dapat masuk ke dalam syurga bersamanya. Maka Allah dengan penuh rahmat-Nya telah mengampunkan dosa kedua-dua hamba-Nya ini dan memasukkan kedua-duanya ke dalam syurga dan menjadikan mereka hidup berjiran di dalam Syurga. Alhamdulillah.

Maka sebagai konklusi dengan amalan jangan kita merasa megah kerana dapat masuknya kita ke syurga hanya atas belas ehsan Allah. Kita dijadikan sebagai hamba. Allah suka sifat2 hamba yg sentiasa memohon kepada-Nya. Hanya yang dapat memasukkan kita ke dalam syurga ialah kasihan belas Allah bukan amalan kita. 

Bukanlah bermakna amal tidak penting kerana amal itulah antara faktor yang dapat memasukkan kita ke dalam syurga tetapi dengan beramal yang kita rasa banyak itu jangan kita merasa megah dan selamat. Segala-gala terletak kepada kasihan belas Allah. Marilah kita sentiasa merasa takut kepada Allah, merasa hina di hadapan Allah, dengan membesarkan dosa diri dan memohon dan merayu-rayu akan keampunan-Nya. 

@@@

Friday, February 01, 2013

Rahmat Allah

Selagi ikhtiar tidak bersatu dengan izin Allah maka ia akan gagal. Kenapa kita boleh bangun satu ketika untuk bertaubat? Allah yang gerakkan. Pabila Allah memberikan kepada kamu maka Allah nak tunjukkan Dia yang berkuasa memberi. Maka kita wajar tamak untuk mendapat rahmat dan maghfirah Allah. Apa-apa ikhtiar dan usaha yang kita buat tidak memberi bekas apa-apa kalau Allah tidak izin.

Yang paling dekat ialah Allah. Maka mohon pertolongan daripada Allah, bukan sesama makhluk. Selain daripada Allah adalah makhluk belaka, ciptaan Allah belaka.Yang paling dekat dengan kita pada hakikatnya ialah Allah. Pabila tenggelam dengan ujian di dunia, maka ini juga adalah rahmat Allah.

Bumi yang terhampar ini dan kejadian malam dan siang yang silih berganti ini adalah antara bukti nyata untuk kita mengenal Allah. Apakah kamu kenal Tuhan kamu? Manusia di maqam maqrifat sudah tidak berhajat kepada bukti dan dalil. Bilal Bin Rabah pabila menerima Islam terus beriman dengan yakin hatta di kala dia di siksa hebat namun iman dia tidak sekali tergugat. 

Sebut saja ajaran daripada Rasulullah maka terus yakin. Rasulullah adalah asbab mengenal Allah. Orang yang berada di maqam syariaat perlukan bukti dan dalil melalui perantaraan Rasulullah. Di saat Allah tidak memberi, Allah tunjukkan Dia Maha Berkuasa. Hati hendaklah takut tidak diberi peluang untuk duduk dalam keadaan begitu hingga akhir hayat. Ada manusia yang perlu pada bukti lagi dan ada manusia yang tidak perlu kepada bukti lagi. 

Allah mengajar Nabi Nuh membuat kapal dan mengajak umatnya naik kapal itu untuk selamat daripada segala ujian dan bala Allah. Sebagaimana umat Nabi Nuh maka umat Nabi Muhammad SAW yang nak selamat kenalah naik dan berada dalam kapal Nabi Muhammmad. Seluruh kehidupan berada dalam lautan bergelora maka bila berpegang teguh atas ajaran Nabi Muhammad SAW maka dapat selamat. 

Dengan rahmat Allah memberi hidayah kepada hamba-Nya. Semoga kita ini terlindung dari kemusnahan dengan perlindungan rahmat Allah. Maka dihujungnya dapat masuklah syurga dengan rahmat Allah. 

@@@

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...