Semasa santai di meja studi di ruang tengah, saya bertanya anak saya Iman, "Apakah matlamat hidup Iman?" Jawabnya, "Untuk berjaya dunia dan akhirat." Alhamdulillah. Saya menambah, "Siapakah idola Iman?" Jawabnya, "Rasulullah SAW." Alhamdulillah.
Saya sebenarnya baru usai membaca sebuah buku hard cover bertajuk "Sepuluh Sahabat Rasulullah Yang Di Jamin Syurga." Pada perbualan saya dengan anak saya ini, saya berkongsi dengannya bahawa antara tokoh-tokoh hebat yang patut kita kenali mereka ini ialah sepuluh sahabat tadi. Salah seorang daripada mereka ini sepatutnya dijadikan idola oleh para remaja dan orang dewasa sekelian, selain daripada Rasulullah SAW. Kerana apa? Kerana mereka sudah dijamin Syurga. Apa lagi kemuncak sebuah pengharapan pada kehidupan kekal abadi melainkan dapat menempatkan diri sebagai kelompok manusia yang layak dapat masuk Syurga Allah.
Tokoh pertama ialah Abu Bakar As-Sidik, sahabat yang paling setia. Teringat saya pada kisah kepulangan Rasulullah SAW dari peristiwa Israk Mikraj, di mana orang kafir Quraish yang diketuai Abu Jahal mentertawakan Baginda dengan menuduh cerita Rasulullah yang tidak masuk akal, maka Abu Bakar tampil dengan penuh yakin membenarkan segala kata-kata Baginda. Abu Bakar adalah lelaki pertama yang masuk Islam, pengorbanan dan keberanian beliau tercatat dalam sejarah.“Jika ditimbang keimanan Abu Bakar dengan keimanan seluruh ummat niscaya akan lebih berat keimanan Abu Bakar. ”(HR. Al Baihaqi)
Tokoh kedua ialah Umar Al-Khattab, pemimpin tegas berjiwa rakyat. Wataknya sebengis singa tapi hatinya selembut sutera. Beliau merupakan Khalifah yang kedua selepas Abu Bakar dan semasa pemerintahannya Islam berkembang seluas-luasnya dari Timur hingga ke Barat. Kerajaan Persia dan Romawi Timur dapat ditakluknya dalam waktu hanya satu tahun.
Tokoh ketiga ialah Uthman Bin Affan, suami kepada dua puteri Nabi. Khalifah ketiga setelah wafatnya Umar.Pada masa kepimpinannya Uthman merintis penulisan Al Qur’an dalam bentuk mushaf, dari lembaran-lembaran yang mulai ditulis pada masa pemerintahan Khalifah Abu Bakar. Sebuah Hadis yang menggambarkan peribadi Uthman: “Orang yang paling kasih sayang diantara ummatku adalah Abu Bakar, dan paling teguh dalam menjaga ajaran Allah adalah Umar, dan yang paling bersifat pemalu adalah Uthman. (HR Ahmad, Ibnu Majah, Al Hakim, At Tirmidzi)
Tokoh ke-4 ialah Ali Bin Abi Talib, remaja pertama memeluk Islam. Beliau hidup bersama Rasulullah semenjak kecil lagi. Mempunyai skil perang dan ilmu pengetahuan yang tinggi. Merupakan Khalifah yang ke-4 dan suami kepada puteri Rasulullah iaitu Fatimah az-Zahraa. Rasulullah telah berpesan kepada anaknya, "Aku telah memberikan kamu sebagai amanah kepada orang yang kuat imannya, kaya ilmunya, baik akhlaknya dan seorang yang berani."
Tokoh ke-5 ialah Talhah Bin Ubaidillah, seorang syahid yang masih hidup. Seorang panglima perang yang hebat. Didalam perang Uhud, ketika Rasulullah dikepung dan dicederakan, Talhah dengan pantas melindungi Baginda di belakangnya dengan melibas musuh dengan pedang. Dikatakan terdapat lebih enam puluh kesan tikaman dan luka akibat peperangan tersebut. Rasulullah pernah berkata kepada para sahabatnya, ”Barangsiapa yang ingin melihat seorang syahid yang berjalan di muka bumi ini, lihatlah Talhah Bin Ubaidillah."
Tokoh ke-6 ialah Zubair Bin Awwam, pembela utama Rasulullah. Rasulullah sangat mencintai Zubair Bin Awwam beliau pernah bersabda, ”Sesungguhnya setiap nabi mempunyai seoarang hawari (teman yang rela berkorban untuk temannya) dan hawariku adalah Zubair.” Badannya penuh dengan kesan tikaman dan libasan pedang disebabkan banyaknya peperangan yang disertainya. Kehebatan Zubair mirip sekali dengan Talhah Bin Ubaidillah yang juga kaya-raya serta bersifat dermawan.
Tokoh ke-7 ialah Abdul Rahman Bin Auf, peniaga hebat yang pemurah. Hartawan yang tidak cinta harta dan sentisa menginfaqkan hartanya ke jalan Allah. Dia berjaya di dalam semua bidang samada dalam bidang ilmu, jihad dan juga perniagaan.
Tokoh ke-8 ialah Saad Bin Abil Waqqas, pemanah Islam yang hebat. Keislamannya sangat dikecam oleh ibunya, namun dia tetap dengan akidahnya. Orang pertama melepaskan panah ke jalan Allah. Doa Rasulullah, "Ya Allah, tepatkanlah sasarannya dan kabulkanlah doanya." Allah telah mengabulkan doa Baginda sehingga Saad menjadi seorang pemanah yang hebat dan tepat. Doanya juga selalu dikabulkan Allah.
Tokoh ke-9 ialah Said Bin Zaid, pejuang yang dijanjikan Syurga. Said yang berkahwin dengan adik Umar al-Khattab iaitu Fatimah. Pada suatu ketika Umar telah bertindak memukul Said hingga berdarah apabila mengetahui keislaman mereka, namun kesabaran Said dan isterinya berjaya melembutkan hati Umar yang keras itu hingga memeluk Islam.
Tokoh ke-10 ialah Ubaidah Bin Jarrah, manusia yang paling dipercayai. Rasulullah amat sayangkan Abu Ubaidah. Pernah Baginda bersabda, "Sesungguhnya setiap umat mempunyai orang kepercayaan, dan orang kepercayaan umat ini adalah Abu Ubaidah Al-Jarrah."
Dari sahabat Abu Dzar RA, bahawa Rasulullah masuk ke rumah Aisyah RA dan bersabda: “Wahai Aisyah, inginkah engkau mendengar khabar gembira?” Aisyah menjawab : “Tentu, ya Rasulullah.” Lalu Nabi SAW bersabda, ”Ada sepuluh orang yang mendapat khabar gembira masuk syurga, iaitu : Ayahmu masuk syurga dan kawannya adalah Ibrahim; Umar masuk syurga dan kawannya Nuh; Usman masuk syurga dan kawannya adalah aku; Ali masuk syurga dan kawannya adalah Yahya bin Zakariya; Thalhah masuk syurga dan kawannya adalah Daud; Az-Zubair masuk syurga dan kawannya adalah Ismail; Sa’ad masuk syurga dan kawannya adalah Sulaiman; Said bin Zaid masuk syurga dan kawannya adalah Musa bin Imran; Abdurrahman bin Auf masuk syurga dan kawannya adalah Isa bin Maryam; Abu Ubaidah ibnul Jarrah masuk syurga dan kawannya adalah Idris Alaihissalam.”
@@@
No comments:
Post a Comment