Friday, December 03, 2010

Hakikat Syahadah

Semalam saya berpeluang mengikuti kuliah zohor di surau pejabat yang disampaikan oleh Ustaz Hj Shaharom dengan kupasan pada tajuk “Syarat-Syarat Penerimaan Syahadah”. Sempena hari ini hari Jumaat penghulu segala hari maka elok juga saya kongsikan di sini agar ilmu itu berkembang.

Apabila seseorang itu telah melafazkan kalimah syahadah, maka ia sebenarnya tidak terhenti dengan pengucapan itu semata-mata atau dengan kata lain ia tidak semestinya diterima Allah buat selama-lamanya. Sebelum pengucapan, persaksian dan pengakuan diterima, ia memerlukan syarat-syarat agar ikrar syahadah itu di terima di sisi Allah SWT.

As-Syeikh al-Ustaz Muhammad Said al-Qahtainy telah menyebutkan bahawa mesti ada 7 syarat untuk melayakkan syahadah kita diterima di sisi Allah:

  1. Mengetahui (al-Ilmu) – Iaitu mengetahui makna dan maksud yang terkandung di dalam kalimah syahadah tersebut. Melalui ilmu yang kita miliki akan membangkitkan keimanan dan ketundukan kepada segala perintah Allah dan memungkinkan kita untuk terhindar dari kekeliruan, kesilapan dan keraguan. Ilmu juga akan memimpin seseorang untuk terus beramal di atas jalan yang benar.
  2. Keyakinan (al-Yakin) – Seseorang yang telah berikrar mestilah meyakini akan kandungan syahadahnya dengan keyakinan yang kuat dan padu. Melalui keyakinan itu maka terhindarlah sebarang bentuk keraguan dan akan membawanya melangkah dengan penuh kepastian. Imam al-Qurtubiy menyatakan dalam kitabnya Al-Mufhim ‘ala Shahihil Muslim, “Tidak memadai seseorang itu melafazkan syahaadatain, akan tetapi mestilah dengan keyakinan hati…”
  3. Penerimaan (al-Qabul) – Syahadah bukan merupakan tutur kata biasa, akan tetapi ia merupakan pernyataan sumpah atau ikrar sekaligus sebagai satu janji. Oleh yang demikian, jika kalimah syahadah ini tidak diiringi dengan penerimaan secara total atas semua kandungan yang terkandung dalam lafaz syahadah tersebut, maka sudah tentu syahadah tersebut tidak boleh dikira sebagai syahadah yang benar. Seseorang itu mesti menerima kandungan syahadah itu dengan lidah dan hatinya. Kalau tidak, kita dianggap sebagai golongan munafiq yang hanya menerima pada pengucapan lidah, tetapi hati masih tidak bersedia menerimanya.
  4. Ketundukan (al-Inqiyad) – Ikrar syahadah seterusnya mestilah diiringi dengan sikap tunduk menerima terhadap kandungan maknanya dan tidak mengabaikan perlaksanaan kalimah tersebut. Sikap membantah dan tidak mahu tunduk terhadap ketentuan Allah dan Rasul-Nya, menjadikan ikrar tersebut tidak bermakna. Sesungguhnya Islam itu sendiri memberi erti ketundukan dan kepasrahan. Seseorang yang memeluk Islam dimestikan untuk memiliki sifat tunduk dan patuh secara total kepada segala peraturan, undang-undang dan hukum hakam yang telah diputuskan oleh Allah SWT.
  5. Kejujuran (as-Sidqu) – Setiap orang yang bersyahadah mestilah melakukannya dengan penuh kejujuran, tidak berpura-pura, kepalsuan atau berdusta. Semestinya ucapan lisan sejajar dengan hati dan pemikiran dan dibuktikan dengan amal perbauatan atau tindakan. Allah amat mengetahui setiap hamba-Nya yang benar dan jujur dalam keimanan mahupun yang berdusta.
  6. Ikhlas (al-Ikhlas) – Syahadah yang diucapkan mestilah dilakukan dengan penuh keikhlasan. Amal yang diperakui ikhlas adalah apabila amal yang dikerjakan hanya dalam rangka untuk mendapatkan redha Allah SWT. Tidak untuk mendapatkan redha sesiapa pun di antara makhluk-makhluk-Nya. Kata lawan kepada ikhlas ialah riyak iaitu beramal dengan tujuan mendapatkan sanjungan, pujian, penerimaan selain Allah. Penyakit riyak adalah ibarat virus yang merbahaya. Jika ia tidak segera dibenteras, maka ia akan mendatangkan penyakit syirik iaitu menjadikan sesuatu selain Allah sama kedudukannya dengan Allah SWT.
  7. Cinta (al-Hub) – Syahadah menuntut pertanggungjawaban dan sanggup menanggung risiko. Umumnya, pertanggungjawaban dan risiko syahadah sememangnya berat dan tidak ada yang sanggup menanggungnya kecuali mereka yang telah memilik hati yang dipenuhi perasaan cinta. Cinta hanya lahir daripada kerelaan dan keredhaan yang menjadikan syahadah diucapkan dengan kesungguhan dan dengan hati yang sedar. Setiap orang yang bersyahadah mesti mencintai akan kalimah-kalimahnya menyintai segala yang menjadi tanggungjawab yang mesti dilaksanakannya, sekaligus menyintai orang-orang yang sama-sama berusaha menyempurnakan syarat-syaratnya. Orang yang telah bersyahadah mestilah menyintai Allah mengatasi segala-galanya dan menyintai segala sesuatu dalam rangka menyintai Allah SWT.

Demikianlah 7 syarat untuk melayakkan syahadah kita diterima di sisi Allah setelah kita berusaha memenuhi tuntutan-tuntutannya. Syahadah yang benar bukan sahaja mendapat penerimaan daripada Allah SWT, malah akan menimbulkan perasaan redha pada apa jua yang ditetapkannya seperti panduan, hukum, peraturan dan syariat. Keredhaan ini menjadi titik mula untuk kita menerima semua ajaran Islam dan menerusinya juga kita bersedia menanggung apa jua bebanan syariat dengan penuh ketulusan dan bersedia untuk memperjuangkan agama Islam yang kita anuti.

Cukuplah kita ini menjadi muslim kerana keturunan. Menganut Islam kerana ibubapa kita Islam. Sudah tiba masanya kita faham apa hakikat sebenar pengucapan kalimah Syahadah yang merupakan Rukun Islam nombor wahid. Bangunlah dari tidur kita yang panjang. Sedarlah siapa kita dan apa tujuan hidup kita ini. Jangan pandang belakang. Ayuh perjalanan masih panjang menuju destinasi mencapai redha Illahi. Terus mara !!

@@@

4 comments:

Wan Sharif said...

Al hamdulillah..
ni kena refer selalu nie..
di sepanjang perjalanan

zul permatang badak said...

tahun baru tekadkan azam baru...

School Of Tots said...

TQ Wan Sharif. Salam Hijrah, nawaitu segala sesuatu kerana Allah.

School Of Tots said...

TQ zul permatang badak. Semoga tahun baru ini kita semua rajin solat malam, insyaAllah.

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...