Monday, December 06, 2010

Apa Azam Tahun Baru?


Selepas bercuti hari Maal Hijrah semalam, saya bekerja macam biasa hari ini. Banyak tugasan yang menanti. Hari yang agak pack. Hanya berjaya sampai ke rumah sekitar pukul 9:00 malam.


Selepas makan malam, bersantai seketika di depan PC ini membaca beberapa posting terbaru termasuklah posting isteri tercinta di blog Pandangan Kasih. Saranan untuk menghafal surah2 dari Juz Amaa iaitu juzuk ke-30 Al-Qur'an adalah sebuah tawaran yang sangat menarik dan tidak elok ditolak bak kata orang bangla, "an offer that you should not resist".

Apa tidaknya kalau seorang remaja boleh khatam hafazan keseluruhan 30 juzuk surah2 dalam Al-Qur'an hingga bisa bergelar al-Hafiz, kenapa tidak kita yang sudah hidup lebih 40 tahun ini berusaha pula sekurang-kurangnya untuk menghafal kalau tidak 30 juzuk pun, kita berjaya menghafal juzuk 30. Bukankah itu tawaran yang sangat menarik?

Mungkin boleh bergelar 'al-Hafiz Juz Amma'. Gelaran tidak penting. Yang penting kita sama2 tanam niat di hati untuk berusaha sungguh2 di tahun baru ini, tahun 1432H ini untuk menghafal surah2 pada Juz Amma secara latih tubi. Nak seribu daya, insyaAllah.

Sebagai pemberi semangat, pada hari pertama tahun baru Hijriah ini Alhamdulillah saya telah berjaya menghafal Surah at-Tin. If you really focus, you can do it. Nothing is impossible. Just do it.

Bergerak selangkah lagi, kita tengok2 dan faham2 kan terjemahannya pula. Sungguh hebat. Makna yang penuh hikmah. Itu kalam Allah untuk kita, hamba-Nya. Sebagai pemandu, penunjuk arah supaya kita tidak sesat menempuh hidup di dunia menuju destinasi akhirat. Manual lengkap dari Allah Pencipta kita.

Saya perhatikan makna bait2 dari surah at-Tin ini, 8 ayat yang penuh misteri, penuh erti untuk di fikir.

  1. Demi buah Tiin dan Zaitun,
  2. Dan Gunung Tursina,
  3. Serta negeri (Makkah) yang aman ini,
  4. Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).
  5. Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah,
  6. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus.
  7. (Jika demikian kekuasaanKu), maka apa pula yang menjadikan engkau seorang pendusta, (berkata tidak benar) mengenai hari pembalasan, sesudah (ternyata dalil-dalil yang membuktikan kekuasaanKu mengadakan hari pembalasan) itu?
  8. Bukankah Allah (yang demikian kekuasaanNya) seadil-adil Hakim?

Di ofis tadi kawan saya Syed Shah ada bertanya, apa azam tahun baru? Saya pun menjawab, banyakkan manafaat kurangkan mudharat. Ya, itulah azam tahun baru saya. Dan antaranya ialah untuk menghafal dan memahami surah2 dari Juz Amaa, insyaAllah.


Melangkaui sempadan global untuk manafaat bersama dalam semangat Maal Hijrah ini saya selitkan petikan perutusan Maal Hijrah TGNA:

***


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

  1. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah sesudah mereka dianiaya, pasti kami akan memberikan tempat yang bagus kepada mereka di dunia. dan sesungguhnya pahala di akhirat adalah lebih besar, kalau mereka mengetahui, (yaitu) orang-orang yang sabar dan Hanya kepada Tuhan saja mereka bertawakkal..” – Surah an-Nahl, ayat 41-42
  2. Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus hidup di bumiNya ini dan berada di ambang tahun baru 1432 H pada hari ini. Sesungguhnya nikmat kehidupan yang terus menerus dikurniakan Allah SWT kepada kita ini wajarlah digunakan untuk meningkatkan amalan dan ketaqwaan kita sebagai bekalan untuk mengadap Allah SWT suatu masa kelak.
  3. Memperingati peristiwa hijrah bukanlah satu kegiatan yang diada-adakan tanpa asas. Sambutan ini yang dibuat untuk memperingati peristiwa hijrah yang dilalui oleh Rasulullah SAW sebenarnya telah diperintahkan oleh al-Quran sendiri. Allah SWT berulang kali di dalam al-Quran memerintahkan supaya manusia mengambil pengajaran daripada peristiwa-peristiwa yang dilalui oleh umat-umat yang terdahulu sebagai iktibar dan peringatan untuk semua. Justeru, memperingati peristiwa hijrah ertinya membelek semula lembaran sejarah untuk melihat dan mempelajari bagaimanakah pengorbanan yang telah dilalui oleh baginda Rasulullah SAW dan para sahabat demi menegakkan ketuanan Allah SWT di muka bumi ini.
  4. Hari ini, setelah 1432 tahun ia berlalu, kisah hijrah Rasulullah SAW masih kekal segar dan terpahat kukuh dalam ingatan kita. Persoalannya, adakah cukup sekadar ia diingati dan disebut tanpa dihayati semangatnya? Tentulah tidak. Justeru, saya mengajak diri saya dan semua pihak agar sama-sama melakukan gerak kerja berhijrah untuk menjadi manusia yang lebih baik pegangan dan perilakunya selepas ini.
  5. Lakukanlah hijrah ke arah kebaikan dalam semua aspek. Di bidang ekonomi, berhijrahlah dari ekonomi riba kepada ekonomi yang diredhai oleh Allah SWT. Di dalam bidang pendidikan, berhijrahlah dari sistem pendidikan yang hanya mengutamakan merit dan sijil semata-mata kepada sistem pendidikan yang benar-benar berteraskan wahyu dan berorientasikan pembentukan minda dan akhlak yang baik. Di dalam bidang politik, tinggalkanlah politik sekular dan berhijrah kepada politik Islam yang sebenar, politik yang turut mengambil kira soal dosa dan pahala di dalam gerak kerja. Seterusnya di dalam semua bidang di dalam kehidupan, selaraskanlah semuanya agar selari dengan tuntutan mencari keredhaan Allah SWT.
  6. Insya-allah, kita yakin jika semangat ini dapat dihayati dengan sebaik mungkin, kita tidak akan berdepan dengan pelbagai masalah untuk mengurus tadbir kehidupan masyarakat.


Sekian.

MEMBANGUN BERSAMA ISLAM – KELANTAN MENERAJUI PERUBAHAN

Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Pejabat Menteri Besar Kelantan.
Bertarikh : 28 Zulhijjah 1431H / 5 Disember 2010M


***

Alhamdulillah kerana nikmat iman dan amal. Nikmat kehidupan ini. Nikmat sedutan dan hembusan udara, tegukan air dan kunyahan makanan. Banyak nikmat Allah untuk kita. Sihat tubuh badan, sempurna pancaindera. Nikmat Ilmu dan akal. Nikmat keluarga dan alam sekitar.

Biasakanlah dengan ungkapan Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah, pemilik segala nikmat itu. Semoga tahun baru Hijriah ini membawa beribu sinar untuk menyuloh cahaya kebenaran.
Marilah jadi manusia baik. Suka kepada kebajikan dan benci pada maksiat.

I'm not afraid to be alone, if Allah on my side.


@@@

No comments:

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...