CLICK n GO

Friday, March 29, 2013

Hudud Hukum Allah


Malam tadi saya dan isteri bersama para jemaah sekelian mengikuti kuliah maghrib sampaian seorang Ustaz dari Temerloh. Ustaz agak dalam gundah kerana akan berangkat memimpin kumpulan umrah ke Tanah Suci tidak lama lagi. Gundahnya kerana mungkin akan terlepas PRU13 yang DS Najib masih belum istihar bubar parlimen itu. 

Katanya saya ni dah beberapa kali tunda, kali ini tak boleh tunda lagi. Jadi Ustaz ingin meninggalkan pesanan penting kepada para jemaah sekelian supaya faham, kebetulan pengajian Ustaz adalah kitab hukum jenayah dalam Islam. Ustaz nak bagi faham supaya tiada lagi yang salah faham terutamanya persoalan hukum hudud.

Ramai manusia yang mengaku Islam di Malaysia ini tolak hudud tanpa faham apa hudud itu pun. Bila mendengar kalimah hudud maka jadi fobia, terus tolak. Tolak tanpa faham sebenar kerana fahamnya sekadar imej negatif yang di war-warkan pelbagai media dan mulut2 perusak agama. Sayugia diingatkan bahawa sesiapa yang menolak hukum Allah maka terkeluarlah dia dari Islam. Ini bukan perkara kecil. 

Dalam permasalahan hudud tanggungjawab untuk melaksanakan hukum hudud ini terletak kepada bahu pemerintah. Pabila seseorang pemerintah dengan terang menolak hukum hudud ini, maka sesiapa yang menyokong untuk memilih pemerintah sebegini juga akan tergelincir akidahnya dan rusak imannya. Janganlah kita mati melainkan dalam keadaan beriman.

Hukum jenayah dalam Islam ini terbahagi kepada empat iaitu Hudud, Qisas, Takzir dan Diyat. Perbincangannya sangat luas yang dihurai pada kitab2 yang tebal isinya dan panjang syarahnya. Namun sebagai perkongsian awal kita bentangkan pelbagai perkara pokok. Secara asasnya mari kita renung bersama..



1. Hudud

Hukuman hudud ( حدود ) adalah hukuman yang telah ditentukan dan ditetapkan Allah SWT di dalam Al-Qur'an dan Hadis. Hukuman hudud ini adalah hak Allah S.W.T yang bukan sahaja tidak boleh ditukar ganti hukumannya atau diubahsuai atau dipinda malah tidak boleh dimaafkan oleh sesiapapun di dunia ini. Mereka yang melanggar ketetapan hukum Allah yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T dan RasulNya adalah termasuk dalam golongan orang yang zalim.

Dalil Al-Qur’an Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah  maka mereka itulah orang-orang yang zalim." (Surah Al-Baqarah, ayat 229)

Kesalahan yang wajib dikenakan hukum hudud ialah:
  1. Berzina - iaitu melakukan persetubuhan tanpa nikah yang sah mengikut hukum syara'.
  2. Menuduh orang berzina (qazaf), iaitu membuat tuduhan zina ke atas orang yang baik lagi suci atau menafikan keturunannya dan tuduhannya tidak dapat dibuktikan dengan empat orang saksi.
  3. Minum arak - minuman yang memabukkan sama ada sedikit atau banyak, mabuk ataupun tidak.
  4. Mencuri - iaitu memindahkan secara sembunyi harta alih dari jagaan atau milik tuannya tanpa persetujuan tuannya dengan niat untuk menghilangkan harta itu dari jagaan atau milik tuannya.
  5. Murtad - iaitu orang yang keluar dari agama Islam, sama ada dengan perbuatan atau dengan perkataan, atau dengan i`tiqad kepercayaan.
  6. Merompak (hirabah), iaitu keluar seorang atau sekumpulan yang bertujuan untuk mengambil harta atau membunuh atau menakutkan dengan cara kekerasan.
  7. Penderhaka (bughat), iaitu segolongan umat Islam yang melawan atau menderhaka kepada pemerintah (Daulah Islamiyah) yang menjalankan syariat Islam dan hukum-hukum Islam.

2. Qisas


Hukuman Qisas (Bahasa Arab: قصاص‎) adalah sama seperti hukuman hudud juga, iaitu hukuman yang telah ditentukan oleh Allah SWT  di dalam Al-Qur'an dan Hadis. Hukuman qisas ialah kesalahan yang dikenakan hukuman balas.
  1. Membunuh dibalas dengan bunuh (nyawa dibalas dengan nyawa).
  2. Melukakan dibalas dengan melukakan.
  3. Mencederakan dibalas dengan mencederakan.
Kesalahan yang wajib dikenakan hukuman qisas
  1. Membunuh orang lain dengan sengaja.
  2. Menghilangkan atau mencederakan salah satu anggota badan orang lain dengan sengaja.
  3. Melukakan orang lain dengan sengaja.
Dalil al-Quran

Hukuman qisas membunuh dengan sengaja
Hukuman membunuh orang lain dengan sengaja wajib dikenakan hukuman qisas ke atas si pembunuh dengan dibalas bunuh. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan kamu menjalankan hukuman qisas (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh." (Surah Al-Baqarah, 2:178)


Hukuman qisas mencederakan dengan sengaja
Hukuman menghilangkan atau mencederakan salah satu anggota badan orang lain atau melukakannya wajib dibalas dengan hukuman qisas mengikut kadar kecederaan atau luka seseorang itu juga mengikut jenis anggota yang dicederakan dan dilukakan tadi. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan Kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawasanya jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka juga hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya. Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah SWT, maka mereka itulah orang-orang yang zalim." (Surah Al-Ma'idah: 45)


3. Takzir


Hukuman Takzir 9Bahasa Arab:تعزير‎) ialah kesalahan-kesalahan yang hukumannya merupakan dera, iaitu penjenayah-penjenayah tidak dijatuhkan hukuman hudud atau qisas. Hukuman takzir adalah hukuman yang tidak ditentukan kadar atau bentuk hukuman itu di dalam Al-Qur'an dan Hadis.

Hukuman takzir adalah dera ke atas penjenayah-penjenayah yang telah sabit kesalahannya dalam mahkamah dan hukumannya tidak dikenakan hukuman hudud atau qisas kerana kesalahan yang dilakukan itu tidak termasuk di bawah kes yang membolehkannya dijatuhkan hukuman hudud atau qisas.

Jenis, kadar dan bentuk hukuman takzir itu adalah terserah kepada kearifan hakim untuk menentukan dan memilih hukuman yang patut dikenakan ke atas penjenayah-penjenayah itu kerana hukuman takzir itu adalah bertujuan untuk menghalang penjenayah-penjenayah mengulangi kembali kejahatan yang mereka lakukan tadi dan bukan untuk menyiksa mereka.



4. Diyat

Hukuman Diyat (Bahasa Arab: دية‎) ialah harta yang wajib dibayar dan diberikan oleh penjenayah kepada wali atau waris mangsanya sebagai gantirugi disebabkan jenayah yang dilakukan oleh penjenayah ke atas mangsanya. Hukuman diyat adalah hukuman kesalahan-kesalahan yang sehubungan dengan kesalahan qisas dan ia sebagai gantirugi di atas kesalahan-kesalahan yang melibatkan kecederaan anggota badan atau melukakannya.

Kesalahan yang wajib dikenakan hukuman diyat:
  1. Pembunuhan yang serupa sengaja.
  2. Pembunuhan yang tersalah tidak sengaja.
  3. Pembunuhan yang sengaja yang dimaafkan oleh wali atau waris orang yang dibunuh.
Dalil al-Quran
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh) maka hendaklah (orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan si pembunuh pula hendaklah menunaikan (bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta satu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab siksa yang tidak terperi sakitnya." (Surah Al-Baqarah, 2:178)

***Rujukan: ms.wikipedia.org/wiki/Hudud




Kesimpulannya, segala permasalahan jenayah hari ini tidak dapat selesai malah semakin kronik dan berleluasa kerana manusia cuba jadi lebih bijak daripada Pencipta nya. Hanya hukum Allah SWT sahajalah yang dapat menjamin penyelesaian mutlak segala permasalahan manusia ini. Ia bukan bersifat menghukum tetapi bersifat mencegah dengan memasukkan rasa gerun kepada manusia untuk membuat perlakuan jenayah itu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan kekuatan dan kelemahan umat manusia ciptaan-Nya. Usah ada sekelumit ragu lagi. 

Pabila ditanya kepada pencuri, perasuah atau perompak untuk menyokong hukum hudud sudah tentu mereka tidak mahu. Kalau ditanya kepada peminum arak untuk menyokong hukum hudud bagi peminum arak, sudah tentu dia tidak mahu. Masalah umat ini dulu kini dan selamanya ialah bila dia tidak mahu kepada agama, tidak taat pada perintah Allah.

Maka di PRU13 ini pilihlah pemimpin yang menyokong hukum Allah, bukan pemimpin yang secara terangan tidak menyokong perlaksanaan hukum Allah SWT. Sebagai rakyat yang layak mengundi, tunaikan tanggung-jawab memilih pemimpin yang benar. Jika ditakdirkan pemimpin itu tidak melaksanakan juga maka itu adalah masalah untuk dia jawab di hadapan Allah nanti. Tanggung jawab kita memilihnya sudah terlaksana.

@@@

Sunday, March 24, 2013

Hiburan Dalam Islam


Berhibur itu adalah fitrah manusia.  Hati yang tidak dihiburkan akan menjadikan sesorang itu buta atau gila. Namun bukan semua hiburan itu hiburan tapi cuma tipuan.  

Nabi Adam di hiburkan dengan segala kemewahan di Syurga namun masih belum lengkap sehinggalah Allah jadikannya seorang pasangan iaitu isterinya Hawa. 

Bagi kaki pancing mungkin kepuasannya bila dapat memancing, dapat atau tak dapat hasil pancing perkara kedua, malah bila dapat ikan itu pun dilepaskan atau diberi kepada orang. Yang penting dia terhibur dengan hobi memancingnya itu. Maka hiburan bagaimanakah yang dibenarkan dalam Islam?

Apakah itu hiburan? Hiburan ialah sesuatu yang bisa gembirakan hati dan menghilangkan stress. Bagi seorang  datok hiburannya mungkin dengan melihat cucu2 nya bermain di laman. Bagi seorang suami, hiburannya mungkin belai manja dan senyuman isteri tercinta atau masakan kegemarannya. Bagi seorang anak kecil, mungkin terhibur dengan alunan dodoian dan zikrullah di dakapan bapanya. Lenggok bacaan imam membaca surah juga menjadi hiburan para makmum.  Hiburan itu sunatullah.

Hiburan bagaimana yang dibolehkan? 
Ingat H I B U R A N.

  1. H - Hati jadi tenang. Kalau hati makin serabut maka itu bukan hiburan. Mungkin dendangan nasyid, alunan qasidah atau bacaan al-Qur'an atau bagi seorang datok tadi bila dapat bermain-main dengan cucunya.
  2. I - Ilmu bertambah. Hiburan yang baik ialah yang dapat memberikan kita ilmu. Contohnya lirik lagu yang ada mesej yang membina atau padat dengan pengajaran bermakna.
  3. B - Berpada-pada iaitu hiburan mestilah berpada-pada dan sederhana. Bernasyid kalau sampai 8 jam sehari maka itu sudah tidak kena.
  4. U - Usah melampau-lampau dalam berhibur. Ianya adalah penyeri dan pelengkap bagi mencapai hati yang tenang.
  5. R - Raikan hukum halal haramnya. Sekiranya ianya sesuatu yang haram maka tinggalkan dan jangan diteruskan, namun pabila ianya halal dan harus maka bolehlah diteruskan.
  6. A - Akhlak iaitu sopan-santun mestilah dijaga dalam berhibur termasuklah cara berpakaian dan bertutur kata.
  7. N - Niat kena betul. Niat berhibur kerana Allah demi mancapai ketenangan, mengurangkan pening atau meningkatkan produktiviti.
Islam adalah fitrah yang meraikan keinginan untuk berhibur dengan hiburan yang kena mengikut peraturannya dan tidak melanggar syariat. Antara penyebab sesuatu hiburan menjadi haram ialah kerana lokasi dan masa yang tidak sesuai hingga mengganggu orang ramai. Hiburan yang melekakan dan menggalakkan pergaulan bebas. Hiburan itu mestilah tidak mengandungi content yang boleh menimbulkan kemarahan orang lain atau mengandungi unsur2 syirik. 

Lirik lagu juga mesti di perhatikan kerana ia tidak sepatutnya mengandungi ungkapan zikir yang tidak habis iaitu di baca separuh saja. Lirik yang lucah atau boleh meransang nafsu syahwat. Unsur2 pemujaan jin/makhluk, memuja penggunaan arak/dadah, melanggar adat sopan atau menidakkan ketentuan qada qadar. Unsur2 yang menghina atau mengaibkan orang. Menjadikan ayat al-Qur'an sebagai lirik lagu juga adalah haram. Begitulah juga aspek berpakaian dan bertutur kata boleh menjadikan sesuatu hiburan itu haram.

Berhiburlah dengan hiburan yang dapat memberi kebaikan dan pahala, contohnya membaca al-Qur'an dan zikrullah hingga mencapai tahap sedap dan lazat. Carilah hiburan yang mententeramkan jiwa dan merapatkan diri untuk lebih taat kepada Allah. Kembalilah kepada Islam yang syumul, agama fitrah.

Kenapa ceramah Ust Azhar Idrus begitu mendapat sambutan hangat anak2 muda sekelian? Salah satunya ialah kerana UAI berjaya menyediakan hiburan bermanfaat kepada mereka, juga sarat dengan ilmu dan pengajaran.

Hadirkan diri ke majlis2 ilmu. Kalau di Selangor ini majlis ilmu ada di setiap masjid pada setiap hari. Sesuai dengan title Selangor sebagai negeri berkebajikan kerana majlis ilmu ada di mana2 maka jika diri masih jahii, memang salah diri sendiri kerana gagal meraikan ilmu yang disebarkan saban waktu. Kalau dulu tanggapan orang berjubah berserban sahaja yang dapat masuk syurga, apa tidaknya yang hadir ke masjid dan surau adalah orang tua2 bakal jenazah belaka. 

Maka hari ini kita tarik anak2 muda dengan menyediakan platform sesuai termasuklah hiburan yang dibenarkan dalam Islam. Seorang Islam itu identitinya bukan sekadar masjid, surau, sejadah, kupiah dan jubah tapi kehidupan di luar sana. Ia bukan kemuncak tapi permulaan. Menjalani hidup Islam as the way of life itulah sebenarnya Islam. Islam 24 jam sehari semalam. Persepsi yang salah mestilah diperbetulkan. 

Acap kali bila di hasilkan sebuah karya seperti drama TV misalnya digambarkan jalan cerita seorang yang sesat kembali ke pangkal jalan dengan penutupnya adegan menadah doa memohon keampunan di tikar sembahyang dengan linangan air mata, seolah-olah itu kemuncaknya. Sedangkan hakikat sebenar ialah itu hanya permulaan kepada perjalanan yang jauh menuju redha Illahi. 

Semoga para karyawan seni sekelian dapat menghasilkan slot hiburan yang menjana persepsi dan hasil yang benar. Hidup ini sementara. Buat yang terbaik dan usah hidup dalam kerugian atau kesesatan lagi. Marilah kita beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. Setiap kita punyai peranan untuk menyeru manusia kepada Allah.

@@@

Thursday, March 21, 2013

Tahniah SPM Cemerlang

Tahniah Kejayaan Cemerlang SPM 2012

Alhamdulillah dan tahniah untuk anak2 sekelian yang telah berjaya dengan cemerlang dalam SPM kali ini. Semoga istiqamah membuat segala amalan baik dan moving forward bersedia pula melangkah kedepan untuk berjaya melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi atau institusi kemahiran. Ingatlah kejayaan hari ini adalah berkat usaha gigih, bantuan semua pihak termasuk guru2 dan ibubapa dan yang paling penting rezki dan ketentuan Illahi. 

Apa jua keputusannya yang penting pandang ke depan dan usah toleh ke belakang lagi. Mantapkan usaha dan kuatkan iltizam dan jatidiri untuk berjaya.  

Hari ini saya selepas solat subuh berjemaah bersama isteri dan anak saya Iman, terdetik untuk mengambil cuti demi meraikan anak saya Iman yang akan mengambil keputusan peperiksaan SPM di SKMBS. Setelah sarapan dan berehat, saya mendirikan solat dhuha dan memohon kepada Illahi agar memberi yang terbaik untuk anak bongsu kami ini. Harapan saya semoga dia dapat melanjutkan pelajaran di UIA sama seperti abang dan kakaknya.

Dalam kereta saya bertanya Iman,"Rasa dapat berapa A?" Iman menjawab, "7A". Hmmm sebenarnya saya bangga dengan kekonfidenannya. Maklumlah berbanding abang dan kakaknya, dia agak relax dan santai dalam pelajarannya. Prestasi pelajarannya setakat ini sangat sederhana. Dalam hati saya berkata jika Iman mencapai 5A pun saya sangat bersyukur.

Di sekolah saya lihat para pelajar tingkatan 4 dan 5 sudah berkumpul di laman dataran budi, sedang mendengar taklimat dari Pengetua. SKMBS mendapat tempat ke-3 sekolah terbaik di daerah Hulu Selangor dengan 16 orang pelajarnya mendapat straight A dan 3 orang mendapat antara 9 pelajar di Hulu Selangor yang mendapat straight A+.

Pabila para pelajar mula mengambil keputusan masing2 mula tergambar tangis dan tawa, senyum dan duka pelbagai gambaran dan suasana. Pabila kawan rapat anak saya mendapat keputusan 9A di sambut tangis gembira, maka saya tidak lepas mengucap syukur dan berharap Iman juga akan mencapai keputusan yang baik. 

Alhmdulillah ketentuan Allah itu yang terbaik. Dalam kereta tadi saya sempat berpesan kepada anak saya supaya mengingati SSR. "Apa itu SSR?" tanya anak saya. Syukur, Sabar dan Redha. Pesan saya jika bertemu kawan2 nanti, walau apa pun result yang diperolehi, berilah nasihat supaya SSR. 

Syukur atas segala nikmat yang tidak terhitung banyaknya ini. Semuanya milik Allah belaka dan di pinjamkan sementara kepada kita. Sabar menempuh segala rintangan dan ujian. Sesungguhnya sabar itu separuh daripada iman. Dan yang penting kena Redha, iaitu menerima hakikat ketentuan Allah kepada kita. Redha bahawa kurniaan Allah kepada kita itu ialah yang terbaik kepada kita. Redha sesungguhnya setiap yang berlaku itu tersembunyi hikmah di belakangnya, yang acap kali kita gagal mengetahuinnya, sehingga suatu masa di depan nanti. Ingatlah anakku dan seluruh pelajar yang mengambil keputusan SPM tadi, ingat SSR.

Iman sekejap nampak cemas, sekejap nampak panik, sekejap nampak gelabah, sekejap tersenyum,sekejap tersengih, tapi most of the time cool dan tenang saja. Bila melihat seorang demi seorang kawan2nya mendapatkan result masing2 dan tumpang meraikannya.

Tiba masa anakku Iman beratur mengambil keputusannya setelah menyelesaikan segala bayaran outstanding yuran sekolah dan menerima fail peribadi dari cukgu kelas, dan majalah sekolah...jeng je jeng. Anakku tiba2 datang berlari mendapat saya dan isteri. Tangannya terketar-ketar memegang slip keputusan SPM. Pa, pa...tengok pa. Saya pun mengambil slip itu dan mengira. Mengira A. Banyak A. Alhamdulillah. Anakku berjaya memperolehi keputusan 8A. Alhamdulillah.

Saya terus menadah tangan dan mengucap syukur. Alhamdulillah ya Allah. Segala puji bagi Mu. Terima kasih atas segala kurniaan Mu ini. Isteri saya mengalirkan air mata syukur. TQ Allah.

Melihat kembali keputusan SPM yang diberikan Allah untuk anak saya ini, saya bertanya Iman, "Apakah amalan yang istiqamah yang Iman lakukan, sehingga menjemput kurnia Allah ini?" Kerana di sudut hati ini masih musykil memandangkan dia sebenarnya agak relax dalam persediaannya menghadapi SPM tempoh hari jika nak dibandingkan dengan abang dan kakaknya dulu. Sehingga mengundang resah kami anak beranak. Prestasinya di kelas juga sangat sederhana, jarang benar dapat top 10.

Iman menjawab dia selalu amalkan membaca surah al-Mulk sebelum tidur. Semasa persiapan menghadapi SPM dia jarang meninggalkan solat hajat pada waktu malam selepas isyak. Dalam sujudnya dia berdoa semoga Allah permudahkan dia menghadapai SPM nanti dan memudahkan dia menjawab segala soalan. Semasa menunggu result SPM dia sentiasa berdoa dalam sujudnya supaya Allah memberikan keputusan yang cemerlang kepadanya. Alhamdulillah permintaannya telah dimakbulkan Allah.

Saya juga perhatikan anak saya sangat tertib menjaga auratnya, hatta kalau nak keluar ke laman rumah pun dia akan menutup aurat. Satu lagi rutinnya ialah gemar minum air kosong. Dan komen salah seorang gurunya semasa kami mengambil result SPM ialah Iman ini seorang yang baik. Mungkin kerana dia jarang membuat kerenah atau masalah disiplin dan juga tidak gemar berpoya-poya atau terlibat dengan isu bercouple di sekolah. Dan dia juga agak beruntung kerana mempunyai kawan rapat yang juga baik dan ikhlas terutamanya dalam soal pelajaran.

Akhirnya saya dan isteri menutup tirai pengajian menengah anak2 kami dengan berakhirnya episod pengajian Iman Asilah, anak bongsu kami ini dengan mengucapkan syukur tidak terhingga ke hadrat Allah SWT dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua guru2 yang pernah menyumbang deretan ilmu buatnya. Juga tidak lupa kepada En Man dan isteri yang menyumbang khidmat sebagai pemandu van sekolah untuk kemudahan pengangkutan Iman. Begitu juga kepada kawan2 dan saudara mara yg ikhlas mendoakan kami dan tumpang gembira mendengar keputusan cemerlang SPM anak kami. TQ all.

@@@

Saturday, March 09, 2013

Papan Kenyataan

On the way balik KL tempoh hari saya singgah di masjid Mukim Keruh berdekatan dengan Kuala Krai, Kelantan. Sebenarnya masjid ini menjadi masjid persinggahan peberet kami pabila bermusafir ke Kelantan. Selepas mengambil wudhuk saya terpandang Papan Kenyataan masjid. Apa yang tertulis menarik perhatian saya..

"Sesiapa dari mukim Telekong yang hendak berkahwin di masjid Mukim Keruh mestilah mendapat surat kebenaran daripada imam masjid Mukim Bendol sebab imam masjid Mukim Telekong dan imam masjid Mukim Keruh uzur."

Selain daripada nama-nama Mukim yang agak unik, mesej yang hendak disampaikan juga agak unik walaupun straight forward. Saya belajar sesuatu di situ. Bahawa sesuatu tugasan yang dipegang itu adalah amanah Allah yang mesti ikhlas dilaksanakan dengan penuh rasa tanggung-jawab.

Maka benarlah setiap detik kehidupan ini adalah proses belajar. Seorang ulamak yang keluar 40 hari di jalan Allah bersama gerakan Tabligh pernah memberi komen iaitu, "Saya banyak belajar dari tuan-tuan sekelian." Maknanya walaupun dia ini sudah bertaraf ulamak dengan maqam yang tinggi namun tetap menganggap dirinya sebagai pelajar.

Sebagai pendakwah atau Daei, janganlah menganggap diri begitu hebat hingga tidak punya masa lagi untuk hadir ke majlis2 ilmu atau membaca kitab. Usah teruja dengan ramainya jumlah anak murid yang sentiasa mengikut sesi pengajian. Ingatlah makin tinggi maqam ilmu sesorang atau makin tinggi darjat seseorang di mata masyarakat maka makin besarlah ujian dan godaan nafsu dan syaitan.

Maka jangan hairan bila kita dengar cerita ada ulamak sentiasa menghinakan dirinya di sisi Allah dengan melakukan khidmat seperti membasuh bilik air masjid tika orang semua tidur. Tujuannya supaya perasaan ujub, takabbur dan riak dapat ditundukkan. Supaya segala usha adalah semata-mata kerana Allah.

Tanya diri dan jawab dalam hati, "Daripada pagi tadi hingga ke malam ini, berapa banyak kita ingat Allah?"

Orang kafir telah menggunakan harta-benda untuk mengalahkan umat Islam. Sistem kapitalis ciptaan mereka telah dijadikan model ikutan seantero dunia. Sistem kapitalis berkiblatkan kebendaan. Maka manusia sibuk mengejar kebendaan. Penyakit suka harta hingga lupa Allah.

Segala perkara yang benar adalah amanah kepada Allah manakala segala perkara yang menipu adalah khianat kepada Allah. Musuh Islam akan melaga-lagakan orang Islam demi untuk menutup kejahatan mereka. Hari ini orang yang menentang Islam ialah orang Islam sendiri. Justru kita hendaklah berhati-hati dan jangan termakan umpan. Umpan yang berupa wang ringgit dan kebendaan akan disogokkan demi meraih sokongan. Takut nanti orang tengah yang selamat manakala Islam yang rosak.

Kalau kita berjaya mati dalam Islam maka insyaAllah syurga menanti. Tapi sekiranya mati dalam keadaan kufur maka neraka Jahannam lah tempatnya. Semua amalan dicatit belaka. Pesan Abu Bakar RA, "Taatlah kepada aku sekiranya aku taat kepada Allah dan Rasul. Sekiranya aku engkar kepada Allah dan Rasul maka jangan taat kepadaku dan tegurlah aku."

Wajiblah taat kepada pemimpin yang taat kepada Allah dan Rasul. Tetapi jika rakyat tetap taat kepada pemimpin yang tidak taat kepada Allah dan Rasul maka impaknya akan datang Islam akan menjadi lemah. 

Sesuatu tugasan yang dipegang itu adalah amanah Allah yang mesti ikhlas dilaksanakan dengan penuh rasa tanggung-jawab. Papan kenyataan di masjid Mukim Keruh menjadi saksi. Aku senyum sendiri.

@@@ 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...