CLICK n GO

Wednesday, October 24, 2012

Hakikat Pengorbanan


Selamat menyambut Hari Raya Idul Adha kepada seluruh umat Islam di serata alam amnya dan para pengunjung blog SOT yang dihormati sekelian khasnya.

Hari Raya ini juga dikenali sebagai Hari Raya Korban yang sinonim dengan ibadah korban. Pada ibadah korban yang utamanya  ialah keikhlasan atas dasar takwa kepada Allah, kerana bukanlah daging binatang korban itu yang akan sampai untuk penilaian di sisi  Allah tetapi nilaian korban itu di nilai melalui niat dan ikhlasnya  seseorang kepada pengorbanan itu. Maka jika seseorang itu melakukan ibadah korban dengan niat lain selain daripada Allah maka sia-sialah ibadahnya itu.

Nabi Ibrahim AS di uji Allah supaya meninggalkan isteri dan anak kecilnya di tanah kering kontang tanpa hidupan, telah melaksanakan perintah Allah itu tanpa berdolak-dalik lagi walaupun kalau nak di fikir pada logik akal mungkin tindakan gila dan yang tidak berperikemanusiaan. Pabila kembali menjenguk mereka 10 tahun kemudian, Nabi Ibrahim AS di uji lagi dengan perintah Allah untuk menyembelih anaknya Ismail. Sekali lagi Nabi Ibrahim AS tanpa ragu melaksanakan perintah itu. Atas dasar takwa dan ikhlasnya  pengorbanan Nabi Ibrahim ini, Allah SWT telah menggantikannya dengan seekor kibas sebagai binatang korban yang disembelihnya.

Ada lima pengajaran yang dapat saya petik pada ibadah korban ini. Yang pertama, sebagai hamba Allah saya wajib patuhi perintah Allah. Perintah Allah ada dua iaitu suruhan dan larangan. Selama mana saya dapat tunduk dan patuh perintah Allah maka saya ini Islam. Kerana Islam itu ialah total submission to Allah secara mutlak. Walaupun sesuatu itu menguntungkan saya tetapi kerana ianya merupakan  larangan Allah maka wajib saya tinggalkan. Begitulah juga sesuatu yang merumitkan atau menyulitkan saya tetapi kerana ia itu suruhan Allah maka wajiblah saya patuhi dan laksanakan.

Bila ajal tiba, ianya tidak dapat diawalkan atau dilewatkan walaupun sesaat. Yang penting kita meninggal dunia dengan ada bekalan untuk ke Akhirat. Maka marilah kita fikir dan risau untuk bertungkus lumus mengumpul bekalan Akhirat ini. Golongan yang menyesal di Akhirat nanti berkata, “Kalaulah kami dulu mahu mendengar dan mahu berfikir, alangkan untungnya kami sekarang ini.”

Kedua, ibadah korban ini mengajar saya tentang pentingnya keikhlasan dan kesungguhan dalam mencari kejayaan. Saya kena bersungguh dan ikhlas melaksanakan perintah Allah. Nak kejayaan kena ada kesungguhan dan keikhlasan. Ketiga, sanggup berkorban untuk mencapai kejayaan. Orang yang membenci Rasulullah akan terputus daripada rahmat Allah. Apa yang perlu dikorbankan demi Islam ialah nyawa, harta, masa, tenaga, buah fikiran dan terakhirnya apa saja yang termampu.

Keempat, pergantungan saya hanya kepada Allah. Sesiapa yang bergantung selain daripada Allah iaitu pergantungan kepada makhluk maka boleh mendatangkan syirik. Kuasa mutlak ialah kuasa Allah. Sesiapa yang bertawakkal kepada Allah maka Allah akan cukupkan segala keperluannya. Yang kelima dan terakhir ialah cinta saya kepada Allah hendaklah mengatasi segala-galanya. Tanda cinta kepada Allah ialah dengan mengikut ajaran Nabi.

Bila Allah menguji hamba-Nya, ia sebenarnya untuk meningkat tahap iman. Ramai yang kecundang pada ujian Allah. Bila terpaksa berkorban harta dan wang ringgit misalnya kepada sesuatu musibah yang menimpa keluarga maka iman sudah mula goyah. Hati mula mempersoalkan mengapa aku? Sedangkan aku ini patuh kepada perintah Allah, solatnya, puasanya, bersedekahnya, mengaji Qur’annya, ke majlis ilmunya. Kenapa aku yang ditimpa ujian berat ini? Akal mula dikuasai oleh nafsu dan bisikan licik syaitan.

Berhati-hatilah. Kembali kepada hakikat pengorbanan. Kenapa payah untuk berkorban sedangkan apa yang saya miliki ini semuanya milik Allah belaka? Didik, pupuk dan ubati hati yang mengalami sindrom jauh hati, sakit hati, patah hati atau mati hati pada sesuatu permasalahan yang menimpa diri. Sesuatu kejayaan atau kemanisan iman pasti memerlukan kepayahan dan pengorbanan. Keimanan yang kukuh dan utuh mesti melalui segala tahap ujian ini. Yakinlah bahawa segala ujian Allah menunjukkan perhatian dan kecintaan Allah kepada hamba-Nya. Sebesar mana sangatlah ujian saya ini jika nak dibandingkan dengan ujian yang menimpa Nabi Ibrahim AS? Atau  kalau nak dibandingkan dengan ujian yang menimpa saudara saya di Palestin, Myanmar, atau Afghanistan?

@@@

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...