Friday, September 24, 2010

Abu Jandal


Siapa Abu Jandal? Majistret? Loyar? Ahli Muzik? Tidak. Dia penggali kubur, tukang plumbing, tukang wiring, general worker, ahli masjid, pencinta tabligh, dan seorang manusia unik yang hebat. Ringan memberi salam setiap kali bersua. "Apa khabar Ustaz?", memang ungkapan yang sudah sinonim keluar dari mulutnya sambil menghulur tangan untuk bersalaman. "Apa khabar Ustazah?", tegurnya sopan pada muslimah. Membuat kita rasa agak teruja dipanggil Ustaz atau Ustazah begitu. Itulah penghormatannya pada setiap muslim yang dijumpainya.

Workmanshipnya apabila membuat kerja-kerja plumbing dan wiring sangat baik dengan upah patut. Tidak hairanlah jadualnya begitu padat. Namun begitu setiap masuk waktu solat dia akan bergegas memacu moto kapcai lengkap dengan full-face helmet nya ke surau atau masjid untuk mendirikan solat berjemaah. Pada setiap malam kita dapat ketemunya di masjid BS mendirikan solat maghrib dan isyak serta mendengar majlis ilmu.

Rambutnya panjang mengurai pada jubah lusuhnya. Kulitnya hitam namun air mukanya jernih dengan dua kesan lebam di dahinya. Apabila di tanya berapa orang anaknya, dia menjawab ada 10 orang. Apabila di tanya perihal sekolah anak2nya, di tingkatan berapa dan sebagainya, dia menjawab, "saya jaga perihal solat mereka dan tidak risau sangat perihal lain, jika elok solatnya maka insyaAllah terjagalah yang lain." Sebuah kenyataan yang dalam maknanya dan menusuk hati saya datang dari seorang muslim bernama Abu Jandal ini.

Sudah dua kali saya meminta khidmatnya untuk memperbaiki masalah sinki yang tersumbat dan paip bocor. Alhamdulillah saya berpuas hati dengan khidmatnya. Kini saya book dia untuk memperbaiki plaster syiling yang retak dan masalah bumbung bocor. Nampaknya saya memerlukan dia lebih dari dia memerlukan saya. Lebih2 lagi apabila mengingatkan kemungkinan besar dialah yang akan bertugas sebagai penggali kubur pada hari kematian saya nanti.Saya dan isteri sempat bersedekah beberapa barangan di samping upah khidmatnya dan dia menerima dengan penuh gembira dan zuhud. Terpacul dari mulutnya kata2, " terimakasih ustaz, ustaz memang faham agama."

Pada Ramadhan lalu dia sibuk melakukan kerja2 pendawaian di Masjid As Salam untuk memasang kipas angin industri bagi keselesaan para jemaah.

Cuba kita lihat di sekeliling kita. Berapa ramai Abu Jandal yang ada di kalangan kita. Tanpa mereka rasanya payah juga kita. Ambil contoh petugas sebagai pemungut sampah yang tanpa jemu berkunjung ke depan rumah kita tiga kali seminggu untuk mengutip beg2 sampah buangan. Kalau mereka tidak ada maka berulatlah sampah2 ini dan bencana bau dan kekotoranlah rumah kita. Bersyukurlah ada yang sanggup mengambil tugas ini dalam masyarakat.

Pembantu rumah dari Indonesia yang menguasai pasaran, jika tiada mereka ini maka pasangan yang bekerja akan juga mengalami payah nanti. Sehingga banyak pula tugas mendidik anak2 diletakkan 100% peratus di bahu mereka. Tugas memasak dan mengemas rumah juga menjadi tanggung jawab mereka. Seolah-olahnya mereka pula mengambil alih tugas seorang yang bergelar isteri. Pentingnya mereka ini. Tapi ada yang tidak nampak ini dan menyalah gunakan pengorbanan mereka dengan menyiksa dan menganaia mereka, walaupun tidak banyak. Tidak dinafikan ada juga kelompok pembantu rumah ini yang juga mengabaikan dan menyusahkan majikan. Itulah lumrah kehidupan, ada penyakit ada ubat dan sebaliknya.

Buruh2 kontrak Indonesia yang menjadi tenaga penting untuk mendirikan bangunan2 pencakar langit di ibukota atau taman2 perumahan di pinggiran kota, mungkin tanpa sumbangan mereka maka pembangunan infrastruktur negeri kita juga akan terbantut. Maka di samping mereka berhijrah ke negara kita untuk mencari rezki maka kita sebenarnya memerlukan mereka untuk kita juga mencari rezki. Termasuklah juga saudara kita dari Pakistan, Bangladesh, Afghanistan, Myanmar, Kemboja, Thailand, Nepal dan Vietnam. Kita saling memerlukan dalam susunan hidup bermasyarakat rupanya. Itulah kecantekan peraturan kehidupan ciptaan Allah, pencipta manusia.

Maka penunjuk perasaan kumpulan 'Bendera' (yang mungkin di taja oleh kelompok tertentu) di Jakarta itu yang cuba membangkitkan kebencian rakyat Indonesia kepada Malaysia atas beberapa kes terpencil seperti penangkapan penguasa mereka di perairan sempadan 'dispute water' dan beberapa kes penderaan pembantu rumah, sangatlah 'over react' atau keterlaluan. Memandang kepada situasi di Indonesia dan keterbukaan mereka untuk ber demonstarsi, maka jika lambat dibendung oleh pihak berkuasa di sana maka sentimen kebencian ini mungkin membesar dan membahayakan. Sedangkan pada realitinya kita saling memerlukan.

Eloknya segala ketidakpuasan hati dibawa ke meja rundingan untuk mencari penyelesaian. Kita cari titik persamaan dalam situasi 'win-win' dalam semangat mujahadah Islam dalam rumpun bangsa melayu nusantara, bukan sebaliknya memusnahkan nikmat yang Allah berikan ini.

Nota: nama Abu Jandal ini apabila di Google merupakan nama seorang bodyguard Osama Ben Laden rupanya.

@@@

Monday, September 06, 2010

Mukjizat Al Qur'an



Kecintaan warga Iran pada Al Qur'an menggerunkan musuh2 Islam
wajar dijadi ikutan umat Islam di Malaysia



Selagi mana umat Islam dekat dengan Al Qur'an maka musuh akan kekal gerun. Pernah seorang ahli parlimen British menegaskan di dalam Parlimen British sambil menjulang Al Qur'an berkata, "Inilah kekuatan umat Islam, selagi mana mereka berpegang padanya. Maka menjadi tugas kita untuk menjauhkan umat Islam dari berpegang kepada Kitab ini." Maka pelbagai strategi dan agenda di atur untuk menghalalkan cara dan melarakan umat ini termasuklah melalui '5S' iaitu Sex, Sports, Screen, Songs dan Smoke. Hakikat yang kita lihat hari ini, segala usaha mereka ini berjaya membuahkan hasil. Umat Islam walaupun banyak, hampir menguasai 1/3 populasi dunia tapi kualitinya hampas, ibarat buih di air, jika di cucuk pecah berderai dan jika dibiar pun pecah juga. Sadis bukan?

Al-Qur'an itu Kalam Allah, Wahyu Allah untuk umat manusia, manual lengkap untuk memandu kehidupan ini. Way of Life tersirat dalam 6,666 ayat (mengikut setengah riwayat), 30 juzuk dan 114 surah. Ibarat kita dalam perjalanan ke sebuah destinasi mestilah berpandukan papan tanda di sepanjang perjalanan supaya tidak sesat dan hilang arah. Begitulah kita sebagai hamba-Nya memerlukan panduan dan papan tanda yang digariskan di dalam Al-Qur'an ini untuk mengekalkan di jalan yang lurus menuju redha Allah, supaya kita tidak sesat atau terpesong.

Majoriti dari umat hari ini memilih untuk menggunakan logik dan akal semata dan yang lebih teruknya dipandu oleh ajaran sesat dari nafsu dan godaan syaitan dan iblis yang memang mahu menyesatkan kita dalam perjalanan ini. Rasulullah SAW diutus untuk menyampaikan dan menjelaskan wahyu Allah ini untuk kita fahami dan amalkan. Selagi mana manusia jauh dari Al-Qur'an dan menidakkan segala yang terkandung dalam Al-Qur'an atau membenarkan sebahagian dan menidakkan sebahagian yang lain, maka walaupun perjalanan ini nampak benar dan betul dari firasat akal fikiran kita, tapi hakaikatnya laluan yang diambil itu salah dan menyesatkan. Akibatnya destinasi untuk menuju redha Allah itu tidak kesampaian. Maka diri sendirilah yang rugi. Kesesatan ini mengundang bakaran api neraka yang maha dahsyat.

Kerasulan Rasulullah bermula di usia baginda 40 tahun dengan penurunan Al-Qur'an iaitu bermula pada 17 Ramadhan 13 tahun sebelum Hijrah. Ayat pertama yang disampaikan melalui perantaraan malaikat Jibrail sebagaimana yang kita sedia maklum ialah "Iqra.." iaitu bacalah. Al Qur'an diturunkan untuk kita baca, fahami dan amalkan dalam kehidupan. Itulah asas kukuh yang mesti dibina. Ibadah solat di fardukan pada peristiwa "Israk Mikraj" hanya 10 tahun kemudian manakala ibadah puasa pula difardukan 13 tahun selepas ayat pertama Al-Qur'an itu diturunkan. Menunjukkan betapa penting dan signifikannya Al-Qur'an, tapak untuk penghayatan ibadah2 besar yang lain. Al Qur'an kekal sebagai mukjizat teragung hingga ke hari ini.

Justru marilah kita kembali menjadikan Al-Qur'an sebagai rakan karib dan teman hidup yang akan menemani kita walau di mana kita, 24x7, bukan handset, atau facebook atau MP3, atau gelak ketawa dan kehidupan yang lara tidak kenal hakikat mati dan kehidupan akhirat. Kegawatan yang berlaku hari ini adalah kerana jauhnya kita dari Al Qur'an.

Al Qur'an menyeru manusia untuk menjauhkan zina, namun manusia menafikan larangan yang merupakan pencegahan ini, dengan menaja pergaulan bebas semenjak di zaman persekolahan lagi, di tonjolkan di kaca2 TV sehingga pergaulan bebas ini atau ber'couple' sudah dapat diterima pakai sebagai sebahagian dari budaya. Al-Qur'an menegah keluar berdua-duan dengan pasangan bukan muhrim dan memberi amaran tentang makhluk ketiga yang sentiasa berada di sisi yang mengajak gejolak nafsu untuk membuat khianat.

Akibatnya janganlah pelik kalau kini negara dilambakkan dengan masalah anak luar nikah 17 orang setiap minit, dan penyakit kronik membuang bayi setiap hari. Akibat kita menafikan apa yang gariskan dan termaktub dalam Al-Qur'an, manual lengkap kehidupan ini. Islam agama fitrah. Al-Qur'an mengajak manusia kembali kepada fitrah, bukan melawan arus atau menafikan fitrah kejadian dan naluri munusia. Allah pencipta manusia. Dia mengetahui segala kelamahan dan kekuatan manusia. Usahlah kita memandai atau berlagak pandai. Kembalilah kepada Al-Qur'an.


@@@

Friday, September 03, 2010

Salam Taqwa


Bertemu dan berpisah dengan kawan2 atau saudara-mara, biasanya apakah ucapan yang kita ungkapkan? Biasanya, "kirim salam kat si-polan si-polan", atau "jumpa lagi", atau "assalamualaikum", atau kalau di musim raya ucapan peberet ialah "selamat hari raya, maaf zahir batin". Maka malam tadi Ustaz yg memberi tazkirah Ramadhan di Masjid As Salam memberi ingatan akan perintah dari Allah untuk kita berpesan-pesan kepada kebaikan. Untuk mengajak manusia mendekati Allah dan bertaqwa kepada-Nya. Jarang kita ungkapkan, "bertaqwalah pada Allah", atau "takutlah kepada Allah", semasa bertemu dan berpisah itu. Sedangkan itulah sebaik-baik ungkapan dan peringatan, kata Ustaz tadi.

Dalam pencarian saya terjumpa sebuah posting yang saya ingin kongsikan di sini perihal kalimah taqwa ini. Kalimah Taqwa selalu didengari oleh setiap orang Islam. Antara rukun khutbah ialah berpesan supaya bertaqwa. Kaum lelaki yang datang ke masjid pada hari Jumaat akan mendengar Khatib berkhutbah. Pesan Khatib "Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa". Para jemaah yang tak tidur masa khutbah mesti dengar pesanan ini. Persoalannya sejauh mana kita menghayati dan mengikuti saranan dan pesanan tadi? Apabila disebut perkataan taqwa apakah yang kita faham? Apa itu taqwa?

Al- Asfahani mendefinasikan taqwa sebagai menjaga diri daripada melakukan sesuatu yang mendatangkan dosa iaitu dengan meninggalkan sesuatu yang dilarang. Sahabat nabi, Ibnu Abbas mengatakan bahawa taqwa ialah berjaga-jaga terhadap Allah dan balasan-Nya, manakala Ibnu Mas'ud ketika mentafsirkan firman Allah yang mafhumnya"Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa", beliau mengatakan bahawa taqwa kepada Allah ialah Allah mesti ditaati bukan diderhakai, diingati bukan dilupai, disyukuri bukan dikufuri.

Satu ketika Amirul Mu'minin Umar bin Al-Khattab bertanya kepada Ubay bin Kaab tentang taqwa. Ubay membalas "Wahai Amiral Mu'minin, pernahkan tuan melalui jalan yang penuh dengan duri? Jawab Umar "Pernah". Ubay bertanya "Bagaimana tuan melaluinya? Jawab Umar "Saya akan menyinsingkan betis saya dan saya akan berhati-hati ketika melangkah supaya tidak terpijak duri". Maka jawab Ubay "Itulah taqwa".

Khalifah Islam ke empat, Ali bin Abi Talib RA apabila ditanya apa itu taqwa lantas beliau menjawab bahawa taqwa itu ialah takut kepada Allah yang maha agung, beramal dengan Quran yang diturun, redha dengan sedikit, bersiap sedia untuk pergi ke tempat manusia dibangkit.

Ramadhan al Mubarak kini sudah masuk hari ke 25. Sejauh manakah pencapaian kita untuk mencapai tahap ketaqwaan ini? “Hai orang2 yang beriman, diwajibkan bagimu berpuasa, sebagaimana telah diwajibkan pada orang2 sebelum kamu. Mudah2an kamu bertaqwa” (Al Baqarah:183)

Obkjektif ibadah puasa di bulan Ramdhan ini ialah untuk mencapai level taqwa bukan untuk berhari raya, walaupun tidak salah meraikan kemenangan kemuncak amal ibadah kita melawan segala godaan nafsu. Kesilapan masyarakat kini ialah menjadikan Hari Raya itu sebagai objektif. Lagu2 Raya berkumandang di gedong2 perniagaan seawal 1 Ramadhan lagi. Objektif kita ialah untuk takut pada Allah iaitu dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Berhati-hati dalam segala prilaku kita untuk tidak mengundang kemurkaan Allah. Sejauh mana kejayaan kita mencapai objektif ini? Sama2lah kita muhasabah diri.

Di lima hari yang berbaki ini marilah kita perbetulkan nawaitu dan berusaha keras bagi mencapai tahap keimanan yang kemuncak ini. Mohon doa pada Allah merayu limpahan rahmat-Nya, mohon sungguh2 ehsan keampunan-Nya pada setiap zarah dosa yang kita lakukan. Puasa seluruh pancaindera dan sucikan hati. Menadah tangan mengharap tahap merintih merayu berlinangan airmata agar di beri peluang untuk kita dapat berjumpa dengan detik Lailatul Qadr yang kebaikannya bersamaan dengan 1000 bulan itu. Semoga dengan limpah rahmat-Nya di penghujung Ramadhan ini, kita akan dibebas dari ancaman maha dahsyat azab api neraka.

Mudah-mudahan kita ber TAQWA.

@@@

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...