Monday, August 23, 2010

Ilmu Untuk Suloh Diri


Sedar atau tidak kita sudah berada di 13 Ramadhan. Bagaimana ibadah di bulan Ramadhan kita pada setakat ini? Semoga kita istiqamah dalam ibadah di dalam bulan istimewa ini yang menjanjikan pelbagai ganjaran pahala dari Allah SWT. Beruntunglah orang2 yang menghayati Ramadhan ini.

Kejadian alam ini adalah tanda kebesaran Allah. Justru pandanglah sekeliling dengan mata hati, gunakan akal pemberian Allah ini untuk fikir. InsyaAllah di sana ada ilmu bermanafaat yang boleh menjadi penerang untuk menyuluh ke dalam diri.


Alhamdulillah di Masjid As Salam tazkirah Ramadhan di adakan setiap malam dari ustaz2 undangan yang punyai tahap ilmu dan penyampaian yang tersendiri. Memandangkan kepada keaadaan umat hari ini, seorang Ustaz menafsirkan ada satu kelompok umat yang puasa mereka lebih teruk dari tahap orang awam kerana puasa mereka bukan sekadar hanya mendapat lapar dan dahaga malah mewarisi dosa kerana dalam berpuasa pun mereka tidak bersolat, tidak menutup aurat, atau berterawih tapi meninggalkan solat fardu.

Teringat saya satu peristiwa semasa saya melintasi deretan rumah kedai untuk ke stesen LRT Jelatek pada awal Ramadhan minggu lepas, seorang peniaga di situ sedang duduk di kaki lima dengan handset di telinga, antara kata-katanya "334 88" beberapa kali mungkin supaya kawannya di hujung talian mendengar dengan jelas. Tambahnya lagi, "tiga small dua big". Aduhai sedang menikam nombor ekor atau bermain sport toto rupanya. Apakah nilaian ibadah puasa orang ini agaknya?

Dalam hal menitik beratkan yang sunat tapi meninggalkan yang wajib, Ustaz memberi analogi umpama kita memakai serban tapi tak memakai kain atau memakai tudung tapi tak pakai baju. Cuba renungkan diri kita di depan cermin. Bukankah tak kena pemandangannya?

Bulan Ramadhan dikaitkan dengan Al Qur'an kerana di sana Kalam Allah ini di turunkan secara sekaligus 30 juzuk dari Lauhil Mahfuz ke langit dunia Baitul Izzah pada malam Al Qadr dan di sampaikan secara berperingkat oleh malaikat Jibril kepada Rasulullah SAW selama 23 tahun bermula pada 17 Ramadhan (Nuzul Qur'an). Maka membaca dan memahami makna Al Qur'an adalah agenda utama di bulan Ramadhan ini. Seharusnya budaya tadarrus Al Qur'an itu di tambah baik dengan membaca juga terjemahannya bagi memahami apa yang kita baca itu.

Alhamdulillah semoga Allah istiqamahkan kita dalam membuat kebajikan di bulan yang mulia ini. Semoga Allah SWT menerima segala amal ibadah kita. Pada 10 pertama ini kita mengharapkan rahmat Allah. Ustaz dalam salah satu tazkirah menghuraikan bahawa ibadah kita yang ikhlas semata-mata kerana Allah dengan pengharapan semoga ada nilaiannya di sisi Allah. Kita mengharapkan pandangan Allah. Betapa beruntungnya kita jika termasuk dalam lingkungan pandangan ini. Mungkin rahmat Allah yang dijanjikan pada 10 pertama Ramadhan itu akan berjaya kita raih.

Kini kita sudah di 10 kedua Ramadhan yang Allah janjikan keampunan-Nya. Kita manusia berdosa, namun Ustaz ada berpesan jangan sekali kita putus asa memohon dan mengharap keampuanan dari Allah SWT. Usah jadi manusia sesat yang bunuh diri untuk menyelesai kekusutan atau penyesalan hidup. Allah Maha Pengasih dan Penyayang walau sebesar gunung dosa kita. Allah Maha Pengampun. Dan Ramadhan ini menjanjikan keampunan Allah.

Surah Al 'Aadiyaat (ayat 1:5) menceritakan perihal kuda perang yang berlari kencang:
  1. Demi kuda perang yang berlari kencang dengan terengah-engah,

  2. dan kuda yang mencetuskan api dengan pukulan (kuku kakinya),

  3. dan kuda yang menyerang dengan tiba-tiba di waktu pagi,

  4. maka ia menerbangkan debu,

  5. dan menyerbu ke tengah-tengah kumpulan musuh,

Apakah surah ini ditujukan Allah pada kuda?


Tidak tuan2, surah ini mengingatkan manusia tentang kesetiaan kuda kepada tuannya. Patuh segala perintahnya hatta di suruh berlari pada keheningan malam atau awal pagi, merentasi gunung ganang atau merempuh musuh di medan perang menggadai nyawa. Kuda tetap setia dan patuh mengikut segala arahan tuannya. Allah menyuruh kita renung dan fikir akan ciptaan-Nya dan mengambil pengajaran dan ilmu buat menyuluh diri kita. Muhasabah diri.


Ayat seterusnya pada surah ini memberi pengertian berikut:

  1. Sesungguhnya manusia itu sangat ingkar tidak berterima kasih kepada Tuhan-Nya,

  2. dan sesungguhnya manusia itu menyaksikan (sendiri) keingkarannya,

  3. dan sesungguhnya dia sangat bakhil kerana cintanya kepada harta.

  4. Maka apakah dia tidak mengetahui apabila dibangkitkan apa yang ada di dalam kubur,

  5. dan dilahirkan apa yang ada di dalam dada,

  6. sesungguhnya Tuhan mereka pada hari itu Maha Mengetahui keadaan mereka.

Ayat ini menjelaskan betapa kuda begitu setia mematuhi segala perintah tuannya sebaliknya sebahagian manusia kekal ingkar dan tidak bersyukur kepada Tuannya, Allah SWT. Ancaman Allah SWT kepada manusia yang ingkar dan sangat mencintai harta benda bahawa mereka akan mendapat balasan yang setimpal di kala mereka dibangkitkan dari kubur dan di kala isi dada mereka ditampakkan. Supaya kita berfikir dan mengkoreksi diri insyaAllah.


Surah An Naml (ayat 18): "Hingga apabila mereka sampai di lembah semut berkatalah seekor semut: Hai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarangmu, agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedari."


Banyak ayat2 Al Qur'an yang di kiaskan menggunakan contoh haiwan, seperti mana makhluk semut apabila ketuanya memerintahkan semua semut untuk bersembunyi dalam lubang masing2 kerana Nabi Sulaiman dan bala tenteranya akan melalui kawasan mereka. Setelah selesai menyelamatkan diri barulah keluar dari lubang masing2 untuk mendapatkan rezki yang ada sepeninggalan angkatan Nabi Sulaiman itu.


Ustaz menjelaskan sekali lagi Allah mengajak kita merenung dan berfikir akan kejadian ciptaan-Nya iaitu semut2 tadi bebas bertaburan mencari rezkinya dengan penuh disiplin dan mengambil langkah2 keselamatan berlindung dari kemusnahan. Sedangkan manusia yang dikurniakan akal fikiran ini dalam sibuk jalan2 cari makan dan pelbagai urusan dimuka dunia ini gagal melindungi diri dari azab api neraka Allah.


Sibuk berniaga di bazar Ramadhan hingga lupa untuk solat asar dan terlepas solat maghrib demi melayan pelanggan yang ramai. Cukuplah dengan kejadian ribut yang memusnahkan bazar Ramadhan di Melaka minggu lepas yang mengorbankan tiga nyawa dan puluhan kecederaan itu sebagai amaran dari Allah supaya Ramadhan ini di hayati sebagai ibadah bukan riadah.


Sesungguhnya Al Qur'an adalah mukjizat terhebat untuk umat ini. Di sana penuh khazanah ilmu dan panduan hidup bagi mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan yang lebih utama kebahagiaan hidup yang kekal abadi di akhirat.


Marilah kita sama2 mengaji Al Qur'an dan mengorek segala ilmu yang terkandung di dalamnya. Semoga kita tergolong dikalangan umat yang memperoleh keuntungan dan terpilih untuk diberi keampunan oleh Allah SWT. Jadikan 10 kedua Ramadhan ini penuh dengan muhasabah, penyesalan dan memohon sepenuh jiwa raga belas ehsan Sang Pencipta agar dilimpahkan keampuan atas segala dosa dan kesilapan selama ini. Supaya kita di landasan yang benar untuk menempuh 10 terakhir Ramadhan yang meletakkan hadiah utama pembebasan dari api neraka Allah. Jazakallah.

@@@

No comments:

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...