Wednesday, July 07, 2010

Perjalanan Manusia

Hidup kita ini ibarat sebuah perjalanan yang jauh yang destinasi akhirnya adalah samada Syurga atau Neraka. Maka sama-sama kita insaf akan liku-liku yang bakal kita tempuhi menuju destinasi akhir itu. Bermula dengan sebuah kematian yang memindahkan kita dari alam dunia ke alam kubur atau alam barzakh. Kita akan bersemadi lama di sana hinggalah malaikat Israfil meniup sangkakala, kali pertama mematikan seluruh makhluk di langit dan di bumi, kemudian tiupan kedua yang menghidupkan semula makhluk dan berkumpul di padang Mahsyar selama 50,000 tahun.

Di sini kita akan melalui Al-Hanshar iaitu manusia dikumpulkan, proses mendapat Syafaat, Penyerahan Kitab amalan, proses Hisab, Timbangan Al-Mizan, Telaga Al-Haudh, Ujian Keimanan Manusia, melalui Titian As-Sirat yang dibawahnya bakaran api Neraka, Al-Qanthorah, dan Syurga Allah.

Hidup di dunia sekadar persinggahan yang sangat sementara sedangkan kehidupan akhiratlah yang kekal abadi. Sehari (24jam) di akhirat itu bersamaan dengan 1,000 tahun kehidupan di dunia. Kalau di congakkan maka jika kita dipanjangkan usia dapat hidup hingga 100 tahun di dunia ini, sebenarnya bersamaan dengan hidup 15min sahaja di Akhirat itu. Kita telah ditipu oleh hiburan dan hiasan dunia sehingga kita lupa destinasi asal kita, iaitu Syurga Allah. Bukankah Datuk kita Nabi Adam dan Hawa asalnya dari Syurga?

Justru marilah kita perbetulkan nawaitu hidup kita untuk mencari redha Allah, supaya kita dapat balik ke tempat asal kita iaitu di Syurga. Marilah kita perbetulkan segala kesilapan dan kelekaan kita untuk melakukan yang terbaik iaitu menterjemahkan segala perlakuan kita ini menjadi sesuatu yang ada nilaiannya di sisi Allah.

Marilah kita 24 jam sehari semalam beribadah kepada Allah SWT. Kerana tidak dijadikan Jin dan Manusia itu melainkan untuk beribadah kepada-Nya. Jadikanlah kerja kita sebagai ibadah. Tuturkata kita sebagai ibadah. Makan minum kita sebagai ibadah. Tidur bangun sebagai ibadah.

InsyaAllah, semoga kita mendapat redha Allah SWT, yang melayakkan kita kembali ke tempat asal kita iaitu di Syurga Allah.

1. Alam Dunia


“Adakah kamu lebih redha dengan kehidupan dunia dari kehidupan akhirat? Tidaklah kehidupan dunia melainkan kesenangan yang sedikit jika dibandingkan dengan kehidupan akhirat”. (Surah At-Taubah:38)


2. Alam Kubur


Sabda Rasulullah SAW: “Apabila seorang mukmin diletakkan dalam kuburnya, datanglah (malaikat-malaikat) kepadanya lalu dia mengucap..” (Hadis diriwayatkan oleh Al-Bukhari)


3. Tiupan Sangkakala


“Dan ditiuplah sangkakala, maka matilah siapa yang di langit dan di bumi kecuali siapa yang dikehendaki Allah. Kemudian ditiup sangkakala itu sekali lagi maka tiba-tiba mereka berdiri menunggu (keputusan masing-masing).” (Surah Az-Zumar:68)


4. Dihidupkan Semula


Sabda Rasulullah SAW: “Dibangkitkan setiap hamba (manusia) mengikut sebab kematian masing-masing”. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)


5. Al-Hanshar (Manusia Dikumpulkan)


“Pada hari bumi diganti dengan bumi yang lain dan langit-langit begitu juga, dan mereka datang di hadapan Allah yang Maha Perkasa.” (Surah Ibrahim:48)


6. Syafa’at


“Dan tidak memberi syafaat itu melainkan daripada orang yang diredhai sahaja”. (Surah Al-Anbiya’:28)


7. Penyerahan Kitab


“Dan siapa yang diberikan kepadanya kitab di sebelah tangan kanannya maka dia akan dihisab dengan mudah dan dia akan kembali kepada kaum keluarganya dengan keadaan gembira.” (Surah Al-Insyiqaq:7-12)


8. Hisab


“Sesungguhnya kepada Kami mereka kembali. Kemudian itu urusan Kami memeriksa mereka”. (Surah Al-Ghasyiah:25-26)


9. Timbangan Al-Mizan


“Dan pada hari Kiamat kami letakkan timbangan yang betul sehinggakan satu diri pun tidak akan rugi walau sedikit sekali pun.” (Surah Al-Anbiya’:47)


10. Telaga (Al-Haudh)


Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya pada tiap-tiap nabi ada telaga dan mereka berharap siapa paling banyak pengikut yang meminumnya.” (Hadis diriwayatkan oleh At-Tarmizi)


11. Ujian Keimanan Manusia


“Dihari dibukakan betis dan diarahkan sujud tetapi mereka tidak mampu.” (Surah Al-Qalam:42)


“Pada hari ketika orang-orang munafik lelaki dan perempuan berkata kepada orang yang beriman, tunggulah kami supaya kami dapat mengambil sebahagian dari cahayamu…” (Surah AL-Hadiid:13)


12. Titian As-Sirat di Atas Neraka


“Sesungguhnya tiada seorang pun di antara kamu yang tidak melaluinya…” (Surah Maryam:71)


13. Al-Qanthorah (Tempat Memebalas Hukuman)


Dari Abi Sa’ed al-Khudri telah berkata Rasulullah SAW telah bersabda: “Apabila orang-orang mukmin terselamat dari neraka maka mereka ditahan di satu tempat namanya Al-Qanthorah di antara syurga dan neraka. Maka diqisas (dibalas sebagaimana diperlakukan di dunia seperti tumbuk balas tumbuk) diantara mereka beberapa kezaliman sewaktu di dunia. (Hadis diriwayatkan oleh Al-Bukhari)


14. Syurga


“Dan adapun orang-orang yang diselamatkan, tempatnya di dalam syurga, mereka tetap disitu selama ada langit dan bumi, melainkan menurut kehendak Tuhanmu. Pemberian yang tiada putus-putusnya.” (Surah Hud:108)


@@@

No comments:

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...