Sunday, February 15, 2009

Muntakhab Ahadith


Alhamdulillah sebuah kitab idaman telah menjadi milik saya hari ini. Malam tadi saya mendapat panggilan dari seorang jiran. Katanya "ana ada di Masjid Sri Petaling ni, kitab yang tuan cari hari tu ada, nak saya tolong belikan ke?". Saya tanya berapa harganya? "harganya RM30 tapi ana boleh dapat dengan harga RM25", jawabnya. "Ok belilah". Dan hari ini beliau telah menghantarnya ke rumah saya.

Kitab Muntakhab Ahadith ini mengandungi himpunan hadith-hadith pilihan berkenaan dengan sifat dakwah & tabligh:
  • Kalimah Tayyibah
  • Sembahyang Khusyu' Khudu'
  • Ilmu Dan Zikir
  • Ikramul Muslimin
  • Ikhlas Niat Yakni Membetulkan Niat
  • Dakwah Dan Tabligh

Penyusun kitab ini ialah Hadzrat Maulana Muhammad Yusuff Al-Kandahlawi manakala terjemahan ke Bahasa Melayu telah di buat oleh Abu Abil Hassan Ibn Musa dan Muhammad Sanadi Bin Hj Abu Bakar terbitan Klang Book Centre dengan cetakan pertama pada tahun 2004 diikuti dengan cetakan kedua pada tahun 2008.

Di dalam kitab ini menerangkan keutamaan (fadhilat) dan kepentingan Kalimah Tayyibah, Sembahyang, Ilmu dan Zikir, Ikramul Muslimin, Tashihun-niat, Dakwah dan Tabligh dan Meninggalkan Percakapan Sia-sia melalui hadith-hadith Nabi SAW. Jika kita berusaha diatas perkara-perkara itu maka mudahlah bagi kita mengamalkan keseluruhan agama. Perkara-perkara ini dijelaskan begitu ringkas dan padat supaya senang difaham dan mudah diamal.

Kitab inilah yang dibaca setiap lepas solat berjemaah fardu Maghrib dan Subuh di surau kami, surau Al-Faiizeen. Kitab ini sangat penting dan sangat sesuai untuk dijadikan bahan bacaan utama dimajlis-majlis pengajian dan taklim di masjid-masjid, surau-surau, dan disetiap buah rumah bagi menyuburkan iman dan menimbulkan keghairahan dalam beramal. Kitab ini juga dapat membimbing manusia sebagai daie' keseluruh alam, fikir dan dan risau ummat, dan membentuk kehidupan seluruh manusia dan menjadikan negeri akhirat, masuk ke dalam syurga dan mendapat keredhaan Allah SWT sebagai matlamat hidupnya.

Saya petik sebuah hadith di m/s 27 - Dari Anas RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Tiga sifat, barangsiapa mempunyai sifat-sifat berikut akan merasai kemanisan iman:
  • Pertama, mereka yang mencintai Allah SWT dan Rasul SAW lebih dari segala sesuatu
  • Kedua, tidak mencintai seseorang kepada seseorang yang lain kecuali kerana Allah SWT
  • Ketiga, seorang yang membenci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana dia benci dicampakkan kedalam api. (H.R Bukhari)
InsyaAllah kerana gaya susunan yang simple dan keterangan hadith yang pendek dan padat memudahkan pemahaman dan mengundang untuk kita membacanya. Saya kira sangat sesuai untuk menjadi bahan tarbiah buat kita sekeluarga terutamanya selepas solat berjemaah kita minta anak2 untuk baca beberapa potong hadith untuk panduan bersama, secara bergilir2 termasuklah di baca oleh suami dan isteri juga.

Seorang sahabat saya memberitahu bahawa dia mengamalkan berkumpul dia, isteri dan empat anaknya setiap sebelum masuk tidur malam. Dan di beri giliran untuk membaca hadith dari kita Muntakhab Hadith ini. Katanya lagi kalau tidak dibuat begini maka mungkin ilmu hadith itu tidak berkembang. Maka dengan amalan itu dapatlah dia mentarbiah ilmu hadith ini pada ahli keluarganya.

Satu lagi saranan beliau ialah untuk menjadikan kitab ini sebagai hadiah bagi pengantin baru bagi menggantikan hadiah pinggan-mangkuk, wang ringgit, atau cenderahati lain selama ini. Semoga penerima hadiah ini akan memanafaatkannya suatu hari nanti dan secara tidak langsung kita yang menghadiahkan itu juga akan mendapat ganjaran pahala kerana mengembangkan ilmu yang bermanafaat. Ganjaran pahala itu akan berpanjangan walaupun kita sudah berada di alam kubur. Bukankah itu sesuatu yang baik?

@@@

2 comments:

Anonymous said...

Artikel yang amat baik untuk ummat Islam keseluruhannya.

School Of Tots said...

Sesungguhnya amalan yg baik itu bisa menjana hasil yg baik dan ganjaran pahala drp Allah. Teruskan beramal dgn istiqamah. Dan istiqamah itulah yg payah, sehingga tak ramai org mampu melakukannya. Namun jgn putus harap. Mohon kekuatan iman drp Allah utk kekal di jalan yg lurus & benar menuju redho Nya. Bergantung harap kpd Allah, bukan kpd makhluk. Wallahu'alam.

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...