Friday, August 22, 2014

Maut Yang Misteri

Semua muka depan akhbar utama di cetak dalam warna hitam puteh sebagai tanda berkabung hari ini sempena menyambut kepulangan batch pertama jenazah mangsa nahas tragedi MH17. Juga pagi ini akan di adakan bertafakur sejenak selama seminit bagi memberi penghormatan kepada semua mangsa MH17.  

Sebagai seorang muslim, yang lebih utama ialah sedekahkan pahala bacaan surah-surah al-Qur'an kepada si mati. Juga jangan lupa untuk sedekahkan pahala bacaan surah-surah al-Qur'an kepada kedua ibubapa kita, waris dan kaum kerabat kita, sahabat handai, guru2 kita dan seluruh kaum muslimin dan muslimat yang kini berada di alam barzakh. Kita doakan semoga Allah mengampunkan segala dosa mereka, selesakan hidup mereka di alam Barzakh, mebebaskan mereka dari api Neraka dan redhakan mereka untuk dapat masuk ke dalam Syurga Allah.

Maut adalah satu misteri. Maut adalah sesuatu yang tidak diketahui bila, di mana dan bagaimana ia akan berlaku bagi seseorang. Ia menjadi rahsia Allah. Agar kita sentiasa bersedia setiap masa untuk menghadapi detik kematian dan bersedia hidup selepas mati dengan segala bekalan yang sewajarnya. Memadalah mati itu sebagai peringatan untuk kita semua. Ambillah pengajaran daripada setiap kematian yang berlaku itu.

Mati itu ialah satu huru-hara yang besar. Ia memerlukan satu persediaan yang rapi. Jika kita tidak tahu maka jangan buat-buat tahu. Jika tak tahu tapi buat-buat tahu maka itu mengundang padah dan kerugian besar. Hadirilah majlis2 ilmu agar mendapat ilmu dan peringatan bagi menghadapi kematian yang pasti.

Manusia sering alpa dan berlaku zalim pada diri sendiri. Segala perlakuan di dunia ini akan di ambil kira bagi keselesaan atau kesiksaan hidup selepas mati. Maka berhati-hatilah dalam setiap perlakuan kita semasa hayat masih ada ini. 

Manusia sering tertipu dengan helah dan keseronokan dunia hinggakan barang yang hendak dibawa kita sedikitkan, tapi barang yang pasti kita tinggalkan pula yang kita banyakkan dan ushakan siang malam. Nak kata bodoh marah pula dia. Nak kata jahil memang jahil. Sebab itulah hukum menuntut ilmu barmanfaat itu wajib dalam Islam, agar kita tidak kekal dalam kejahilan yang nyata atau tidak nyata.

Jangan terus lalai. Jangan berkawan dengan kelompok kawan-kawan yang lalai, takut kita juga jadi lalai. Ingat mati itu mestilah disertakan dengan tidak cinta dunia dan tidak kasih dunia. Maksudnya dunia bukan objektif. Objektifnya ialah Akhirat. Dunia sebagai jambatan atau jalan untuk ke Akhirat.

Sifat dunia ialah sementara. Semua isi dunia adalah sementara. Tiga teman akrab semasa di dunia akan setia menemani kita hingga ke tanah kubur kecuali satu sahaja. Harta adalah teman karib namun dia hanya mampu menemani sekadar ke lubang kubur sahaja. Dunia dan seluruh isinya juga begitu. Kasih macamana sekalipun kamu kepada mereka, namun mereka mampu ikut sampai ke kubur sahaja. Yang masih setia untuk menemani mu sebenarnya hanyalah amalmu. Itulah bekalan sejati. Amal ibadah.

Jadi adik kakak ingatlah kalau berniaga lemang, janganlah jadi lemang pulak. Maksud apa tu? Lemang tak solat dia pun tak solat. Nanti dibakar macam lemang di Akhirat. 

Orang yang tiada amal akan takut sungguh pada mati. Kalau beramal tapi masih ada makhluk dalam hati, nawaitu bukan hanya kerana Allah maka hati-hati, takut amal yang di sangka bertimbun banyak, rupanya tiada nilai seberapa sebab silap nawaitu.

Suloh diri. Maqam ikhlas ini pun ada beberapa tingkat. Pertama, maqam ikhlas dalam ibadah iaitu kosongkan hati pada yang lain supaya yang ada hanya Allah. Kedua, mengharap balasan Allah kerana yakin dengan segala janji Allah. Cuba tanya diri. Seandainya tiada Syurga dan Neraka, nak tak ibadah?

Bila ingat mati, sihat dan harta kita inshaa Allah berkat. Lawan nafsu supaya nafsu sakit. Kalau nafsu kata tak payah lah solat dhuha dua rakaat pagi ini, maka lawan nafsu. Pergi ke surau sekejap, ambil wudhuk dan solat sunat dhuha dua rakaat. Lawan nafsu. Bukan layan nafsu.

Kita singgah sekejap sahaja di dunia ini. Tapi sebab kasih dunia kita lupa kita ini dagang, kita sedang bermusafir. Jadikan dunia ini sebagai jalan untuk ke Akhirat. 

Ambil contoh sahabat kita dari Indon yang datang berdagang ke Malaysia. Meraka kerja sungguh2 siang malam, dapat gaji di hantar balik ke Indon. Beli tanah, buat banglo, beli kebun di sana. Mereka cari bekalan untuk senang hidup di Indon besok. Orang dagang yang tahu jalan pulang. Malaysia sekadar persinggahan sementara.

Kita pula tak kenal dagang tak ingat musafir. Tak ingat nak amal soleh. Nanti menangis menyesal sebab tak ada bekalan. Itu pentingnya menuntut ilmu. Jangan jadi bodoh tak boleh nak ajar. Ilmu membawa kita kepada ingat. Jangan menangguh-nangguh dalam menuntut ilmu dan beramal soleh. 

Jangan seronok belum sampai ajal seolah-olah menunggu ajal menjemput. Jangan tunggu-tunggu. Gunakan peluang dan ruang yang Allah berikan ini. 

Setiap hari malaikat maut yang tugas dia mencabut nyawa tiada tugas lain, akan mari menjenguk setiap manusia sebanyak 70 kali sehari iaitu sekali pada setiap 21 minit. Malaikat maut sangat efisyen dan amanah dalam tugasannya dan sejarah manusia membuktikan dia tidak pernah lewat atau cepat hatta sesaat pun dalam mencabut nyawa daripada setiap jasad manusia yang kini sudah menjadi arwah belaka dan hidup di alam barzakh.

Usah tangguh lagi untuk berbuat kebaikan yang ada nilaian di sisi Allah. Ibarat nak cabut pokok kecil, asyik tangguh. Pokok makin tua makin membesar akar makin kuat dan mencengkam. Nak cabut tidak mudah lagi. Usah tangguh. Jika ada kesilapan betulkan sekarang. Jika ada kemungkaran di depan mata, betulkan sekarang. 

Moga kita semua mendapat ilmu yang bermanfaat. Masing-masing kita suloh diri sendiri. Kita betulkan apa yang tidak betul. Pertimbangan kita mestilah berdasarkan ASA iaitu Aqidah, Syariaat dan Akhlak.

Banyakkan selawat kepada Nabi di hari Jumaat yang mulia ini. Tiada apa lagi yang bisa menolong kita di huru hara dan kelam kabut Alam Mahsyar melainkan syafaat dari junjungan besar Nabi SAW. 

Maut yang misteri. Kita boleh merungkainya dengan menumpu dan mencari bekalan yang hendak dibawa bukan asyik menyibuk diri dengan barangan yang bakal di tinggalkan. Bijaksana iaitu bijak di sana, bukan sekadar bijak di sini.

@@@

No comments:

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...