Monday, August 04, 2014

Alhamdulullah Syukur

Alhamdulillah. Segala Puji Bagi Allah. Saya teringat ungkapan Ust Nik Abduh bila orang bertanya khabar ayahanda beliau, "Ayahanda tak sihat sikit, sihatnya banyak." Mulanya agak keliru namun bila di teliti amat benar. Allah beri sedikit ujian dengan masalah kesihatan. Namun Allah bagi nikmat yang banyak dengan tahap kesihatan yang memuaskan selama ini.

Seorang kenalan di zaman sekolah kini terlantar sakit di hospital kerana masalah hati yang gagal berfungsi sehingga menukar matanya menjadi kekuningan dan badan yang lesu tiada bermaya. Kini doktor mengesahkan dia mengidap cancer hati tahap 4. Para sahabat sekelian mendoakan agar beliau kembali pulih dan diringankan ujian oleh Allah. Sempena cuti raya ada yang berkesempatan menziarahi beliau. Semoga diringankan bebanan yang beliau tanggung ini.

Pabila di renung dan difikir betapa selama ini Allah sudah kurniakan 50 tahun kehidupan yang sihat walafiat. Tiba-tiba kini bila ditimpa sedikit ujian penyakit, kita tidak tertahan dan mengeluh sakan. Tidak nampak lagi cahaya. Yang nampak hanya kegelapan. Tidak nampak lagi akan nikmat sihat yang Allah kurnia selama 50 tahun tadi. Minda di fokus kepada penyakit yang menimpa. 

Seorang pakcik yang taqwa pernah berkata bila di ziarahi oleh seorang warisnya di katil hospital, "Alhamdulillah, Allah bagi ujian sedikit sahaja sedangkan nikmat yang Allah bagi kepada saya selama ini sungguh banyak tidak dapat saya hitung. Saya redha dan semoga Allah redha kepada saya."

Setiap penyakit yang menimpa, tentulah ada penawarnya kecuali penyakit mati. Tugasan kita ialah berusaha sedaya umpaya mencari penawar itu. Selebihnya berdoalah dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya tiada yang dapat mengatasi ketentuan Allah.

Juga yakinlah, setiap ujian yang Allah bagi itu sebenarnya untuk meningkatkan mertabat iman kita. Tidak akan sunyi seorang yang beriman daripada ujian demi ujian daripada Allah SWT. Ujian itu sebenarnya mampu di tanggung. Sebab itulah selalu berdoa, "Ya Allah janganlah Engkau berikan ujian yang tidak mampu aku menanggungnya."

Saya kongsi sedikit pengalaman. Dalam perjalanan ke desa sempena cuti raya hari ahad lepas, saya berjaya mengharungi hampir 400km perjalanan dengan lancar. Bila tiba berdekatan simpang tiga Kuala Krai, trafik jem telah berlaku. Kereta bersusun dan bergerak secara perlahan dan berkala. 

Asbab mata yang mungkin sesaat terlelap atau kereta depan yang brek mengejut, maka saya telah terlanggar kereta depan walaupun kala tersedar itu saya menekan rapat emergency break. Maka kereta depan itu mengalami minor scratch di bumper belakang. Memandangkan saya yang melanggar maka tanpa mahu memanjang cerita saya pun offer bayar RM100 kepadanya. Jadi kes settle.

Ujian untuk saya ialah kereta saya kemik agak teruk di bahagian bonet depan, lampu pecah, bumper rusak, frame depan bengkok dan plate pecah. Bumper pula bergeser dengan tayar depan kiri. Saya pun menyusur ke tepi dan berhenti di surau tepi simpang kat depan. Selepas selesai solat jamak zohor dan asar, saya pun mencari-cari tali atau dawai untuk mengikat bumber yang senget itu. Mungkin Allah mahu sedarkan saya semula supaya jangan cuba bangga diri pulang ke desa beraya sambil bergaya dengan kereta sampai terdetik rasa riak atau bangga diri. Allah nak bersihkan balik hati saya. Alhamdulillah.

Saya sekadar bercadang untuk repair kereta saya ini bila pulang semula ke KL nanti. Nasib baik radiator tidak terkesan oleh pelanggaran itu. Enjin pun tiada masalah. Cuma bodi bahagian depan sahaja yang terkesan. Ujian yang mampu di tanggung. Maka saya sekelurga beraya macam biasa dan sempat menziarahi sanak saudara yang terpilih.

Pagi tadi saya mendengar satu slot motivasi pagi di radio IKIM. Ustaz mengingatkan kita supaya bersyukur atas nikmat yang Allah berikan. Kerana nikmat yang Allah bagi pinjam itu, Allah boleh tarik anytime. Sihat boleh bertukar sakit. Muda bertukar tua, sihat menjadi sakit, lapang menjadi sibuk. Kulit tegang bertukar kendur. Kaya menjadi papa, bahagia bertukar derita, hidup bertemu mati.

Ustaz berpesan lagi jika kita naik kereta maka bersyukurlah kerana ramai lagi yang tidak ada kereta, kalau hujan tidaklah basah. Ramai lagi yang sekadar ada motosikal.  Jangan asyik bandingkan dengan orang yang ada kereta model terkini atau kereta model mewah dan seumpamanya. Lahirkan rasa syukur dengan melihat orang yang kurang daripada kita.

Orang yang ada moto pula, lihatlah saudara kita yang hanya ada basikal. Kalau hujan sekurang-kurangnya dapat pecut cepat sampai ke rumah atau mencari tempat berteduh. Yang ada basikal pula, bersyukur kerana tak kena saman polis sebab speeding atau sebab tidak ada lesen, atau sebab road tax mati. Bersyukur kerana ramai lagi yang hanya berjalan kaki ke sana kemari.

Yang berjalan kaki pula syukur banyak2 sebab Allah kurniakan kaki untuk dapat berjalan sebab ramai lagi manusia yang tidak ada kaki atau cacat kakinya hingga tidak dapat berjalan dengan sempurna. Jadi begitulah kita ini kena menjaga hati supaya jangan timbul secubit rasa riak, ujub dan sombong. Semua milik Allah. Kita sekadar di beri pinjam segala nikmat ini oleh Allah SWT pemilik segalanya.

Maka pada raya ini perbetulkanlah niat untuk ziarah menziarah mengerat siratul rahim dengan ikhlas kerana Allah. Bukan dengan niat nak menunjuk kereta baru, MPV besar, rumah besar atau kemewahan yang lain. Kerana semua itu nikmat yang Allah pinjamkan seketika cuma. Jaga akhlak dan tutur kata. Tiada kebaikan dalam maksiat, kesombongan, keangkuhan atau niat nak menunjuk-nunjuk.

Bagi yang kurang berada usah rendah diri. Yang penting ikhlas meraikan kemenangan sebulan kita menjalani ibadah di bulan Ramadan. Apa guna berbangga diri atau menjuk-nunjuk jika segala ibadah kita di bulan Ramadan sekadar sia2 tanpa ada nilaian di sisi Allah. Teruskan amal baik sepanjang bulan Syawal ini.

Dalam perjalanan pulang ke KL, setibanya berdekatan bandar Machang sekali lagi Allah timpakan ujian yang mampu saya menanggungnya. Tidak terlintas di fikiran saya ia boleh berlaku tapi ia telah berlaku. Bonet depan kereta saya yang kemek itu telah terbuka dan terlipat membantai cermin kereta. Pada masa itu keadaan trafik jem dan pergerakan tidak laju, mungkin sekitar 40km sejam. Cermin saya crack habis tapi Alhamdulillah tidak berkecai. Mungkin asbab teknologi double layer.

Cuba bayangkan kalau tika itu saya sedang memandu pada kelajuan tinggi 110 km sejam, mungkin sesuatu yang lebih buruk bisa terjadi seperti terbabas ke dalam parit. Jadi Alhamdulillah saya menyusur keluar dan parking kereta saya di sebelah sebuah pondok rehat. Apa yang bermain di fikiran saya ialah bagaimana untuk menempuhi perjalanan yang melebihi 400km lagi ini.

Setelah solat jamak di masjid Machang, saya pun mencari bengkel kereta. Ada satu yang buka namun pemiliknya memberi reaksi yang agak negetif dan hanya boleh menyiapkan pada hari berikutnya. Ada seorang posmen yang kebetulan berada di bengkel itu untuk membaiki keretanya memberi pendapat bahawa cermin yang crack itu tidak akan berkecai kerana di sokong oleh lapisan 'double layer'. Dia agak konfiden saya boleh meneruskan perjalanan hingga ke KL.

Ia telah memberi semangat baru kepada saya. Saya masih menyusur jalan Machang-P.Puteh untuk mencari bengkel lain namun keseluruhannya masih tutup cuti raya. Akhirnya saya mencari tali dan mengikat bonet depan supaya tidak terbukak dan terpelanting memecahkan cermin depan tika dalam perjalan yang jauh nanti. Satu lagi cabaran ialah mungkin wiper tidak dapat digunakan kerana di khuatiri boleh memburaikan cermin yang sudah retak seribu itu. Kalau hari hujan saya kena cepat2 cari tempat berhenti.

Alhamdulillah satu ujian yang hebat. Mujahadah sepanjang perjalananan. Namun akhirnya saya sekeluarga selamat sampai ke destinasi. Cermin depan sudah saya tukar di sebuah kedai cermin di Batu 16, Rawang dengan harga patut. Kerusakan bonet itu saya akan survey cari bengkel yang sesuai berdekatan ofis saya di Keramat nanti.

Ya Allah, aku mohon engkau terimalah segala amal ibadahku di bulan Ramadan yang lalu. Ampunkan segala dosaku. Kurniakan rahmat-Mu. Bebaskan aku dari azab api Neraka-Mu dan redhakan aku untuk mendapat nikmat Syurga-Mu. 

Ya Allah, istiqamahkan aku melakukan amal soleh di sepanjang bulan Syawal ini. Pilihlah aku untuk menjadi tetamu di Rumah-Mu, duduk di majlis ilmu-Mu. Berikan aku kekuatan untuk mengamalkan ilmu yang aku dapat itu, dan berikan akau kemampuan untuk menyebarluaskan ilmu yang aku dapat itu untuk kebaikan dan manfaat umat seluruhnya.

@@@

No comments:

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...