CLICK n GO

Monday, August 06, 2012

Ramai Yang Cerdik Tapi Gila?

Pada zaman Nabi ada seorang muslimat yang berpenyakit gila sawan (epilepsi) datang berjumpa Rasulullah, “Ya Rasulullah, aku ada penyakit gila, tolonglah doa supaya aku sembuh daripada penyakit gila ini.” Selalunya penyakit ini datang secara mendadak dan berkala.

Rasulullah pun memberi dua pilihan kepadanya, “Pertama, kalau engkau sabar menerima ujian Allah ini maka Allah janjikan Syurga untukmu. Kedua, aku boleh berdoa memohon supaya engkau sembuh daripada gila tapi aku tak jamin Syurga untuk mu.”

Maka setelah berfikir sejenak muslimat tadi pun berkata, “Gila pun gilalah, janji dapat Syurga.” Satu pilihan yang bijak. Bersabar pada segala ujian Allah pada hidup yang sementara ini, untuk hidup kekal abadi di Syurga Allah yang penuh kenikmatan itu.

Seterusnya muslimat tadi mengadu kepada Rasulullah, “Aku masa gila, tidak dapat mengawal diriku. Kainku terselak. Tudungku terselak. Maruahku tercalar.” Dia menyambung lagi, “Ya Rasulullah, doakan supaya kainku dan tudungku tidak terselak lagi, supaya maruahku terpelihara.” Tu dia permintaan ikhlas daripada seorang hamba kepada Kekasih Allah. Orang gila yang cerdik. Orang gila yang ada maruah diri. Rasulullah mendoakan dia dan kainnya tidak terselak lagi dan maruahnya tidak tercalar lagi.

Tapi berlainan dengan zaman kita ini. Ramai orang cerdik tapi gila? Ramai orang cerdik yang tiada maruah diri. Macamana tu bang? Cakap biar berlapik. Ramai orang sensitip. Aaahh peduli apa aku…

Orang cerdik tapi gila. Bila dia cerdik tapi masih derhaka kepada Allah SWT. Cerdik tapi tak guna akal fikiran kurniaan Allah untuk taat kepada Allah. Orang cerdik yang guna akal, hanya ada satu pilihan sahaja iaitu taat kepada Allah. Wahai manusia hendaklah kamu mengabdikan diri dengan taat kepada Allah. Allah yang cipta kita dan mak bapak kita. Apa kau ingat mak bapak yang cipta kita?

Kalau memandu di lebuhraya, jika ada sebuah kereta ini memandu menentang arus melanggar peraturan lebuhraya, maka bila polis tahan dia dan diperiksa, maka ternyata pemandunya orang gila maka polis tu patut saman dia ke tak? Tak makan saman, sebab dia gila. Tapi jika dia orang waras maka dia akan di hukum. Kerana orang berakal dan waras tiada pilihan melainkan mengikut peraturan. Begitulah sebagai hamba Allah, tiada pilihan melainkan kena mematuhi segala peraturan dan hukum Allah.

Lihat bumi yang terhampar luas ini. Siapa yang cipta? Kita belajar sains, bumi ini bulat. Tapi Allah jadikan bumi ini terhampar untuk kita, walaupun bumi ini bulat. Kalau tak naya kita asyik terjatuh je la kot. Lihatlah langit luas yang tergantung tanpa tiang itu? Turun pula air dari langit. Keluar jutaan tumbuhan sebagai rezki untuk kamu. Air untuk kamu minum. Apa kau ingat Syabas yang buat air?

Surah Al-Mulk ayat 30 - Katakanlah lagi: “Bagaimana fikiran kamu, sekiranya air kamu hilang lenyap (ditelan bumi), maka siapakah (selain Allah) yang dapat mendatangkan kepada kamu air yang berpancar mengalir?”

Seorang suami atau seorang pemimpin yang membiarkan isteri di sisinya tidak menutup aurat di khalayak ramai, jika dia awal2 dah istiharkan bahawa isterinya gila maka tidak mengapa. Tapi jika tidak, maka termasuklah dia pada kategori manusia yang cerdik tapi gila. Cerdik tapi tak guna akal fikiran. Bukankah tuntutan menutup aurat itu peraturan Allah yang wajib dipatuhi?

Janganlah engkau jadikan akal sebagai tanding2an pada perintah Allah. Judi yang haram bila diberi lesen menjadi halal. Manusia mencabar hukum Allah secara berdepan. Hukuman rejam atau 100 sebatan bagi kesalahan zina, tapi engkau buat undang2 lain denda RM5000 atau sebat atau penjara. Kamu tahu semuanya perihal perintah Allah tapi masih engkar, kekal menderhaka. Allah beri akal, beri otak untuk berfikir, untuk patuh dan taat pada segala perintah Allah. Jadi realitinya jika tidak patuh pada perintah Allah maka tak ada akal dan tak ada otaklah jawabnya.

Semua urusan masyarakat adakah taat kepada perintah Allah? Semua urusan Negara adalah ikut perintah Allah? Allah larang minum arak, zina dan hisap rokok, adakah kita patuh? Adakah kita patuhi segala perintah Allah ini? Jika masih tidak patuh maka tidak mencapai tahap takwa.

Sebaik bekalan untuk bertemu Allah ialah bekalan takwa. Dalam keadaan kamu bawa setiap amalan pada ketaatan dan setiap dosa pada kederhakaan, maka sebaik-baik bekalan ialah takwa. Siapa yang ikut petunjuk maka tiadalah kebimbangan sebaliknya siapa yang mendustakan ayat2 Allah maka kekal dalam Neraka Jahannam.

Sempena berlalunya separuh pertama Ramadan dan kita sudah berada di separuh masa kedua maka afdal sangatlah untuk kita sama2 muhasabah. Memerhati dan menilai semula aktiviti kita untuk dua minggu Ramadan yang sudah berlalu. Berjaya atau tidak? Membentuk diri menjadi diri bertakwa atau masih kekal seperti dulu juga?

Kalau ibadah puasa di bulan Ramadan ini objektifnya untuk mendapat takwa, maka kat manakah bahagian puasa ini yang menyebabkan kita menjadi takwa? Sebab tak makan tak minum menjadikan kita takwa? Ramai orang pelarian yang tak makan sebab tak ada makanan. Ramai orang sakit tak makan. Ada orang mogok lapar tiga minggu. Apakah mereka dapat takwa?

Otomatik puasa sebab menyangka Ramadan bulan puasa maka puasanya tak dapat takwa? Puasa kerana nak buka puasa maka puasanya tak dapat takwa? Atau bersahur kerana takut lapar maka sahurnya tak dapat takwa. Ketakwaan hanya boleh datang bila puasa atas sebab mematuhi perintah Allah. Puasa kerana perintah Allah. Buka puasa kerana perintah Allah. Bersahur walaupun dengan sebiji kurma dan seteguk air kerana taat kepada perintah Allah akan melahirkan takwa.

Takwa pada definasi yang paling mudah ialah taat perintah Allah dan meninggalkan larangan Allah. Pada setiap khutbah Jumaat khatib mengajak manusia untuk bertakwa kepada Allah. Pada ibadah puasa nasi yang halal dimakan itu tidak boleh dimakan, apatah lagi tak tutup aurat yang haram itu lagilah tak boleh dibuat. Jangan jadi golongan yang tidak bersedia mematuhi perintah Allah. Maka jadilah manusia yang benar2 cerdik dan celik agama untuk sama2 menuju takwa.

“Kakak ni puasa ke?” tanya seorang pemuda kepada penjual kueh di bazar Ramadan. “Eh kenapa awak tanya macam tu?” Pemuda tadi menjawab, “Sebab Kakak tak pakai tudung.” Agak melenting kakak tadi dan terus berkata, “Saya tak pakai tudung tapi hati saya ikhlas.”

Tiada perkataan ikhlas dalam derhaka pada Allah. Yang sedihnya ialah kakak tadi merasa dirinya betul walaupun tidak memakai tudung. Amat malang jika tidak mengambil berat soal dosa pahala. Kalau derhaka pada Allah maka tiada ikhlas. Dalam kita berpuasa di bulan Ramadan, masih banyak kita derhaka pada Allah?

Hari ini sempena cuti Nuzul Qur’an, bagaimana aktiviti kita? Apakah menghabiskan separuh hari dengan tidur? Bersantai dan berehat atau menonton cerita korea?

Sangat afdal sebenarnya untuk kita tadabbur Qur’an. Semak berapa banyak ayat2 Allah yang aku taat. Berapa banyak ayat2 Allah yang aku derhaka? Muhasabah diri. Bersahabat dengan al-Qur’an. Jadikan al-Qur’an teman karib. Bakal menemani kita hingga ke alam kubur, memayungi kita di Padang Mahsyar, membimbing kita melalui titian sirat, memberi syafaat dan menemani kita di Syurga nanti.

@@@


2 comments:

Cikli said...

Semoga kita semua cerdik lagi tidak gila

School Of Tots said...

TQ Cikli. Pencarian Lailatul Qadr bermula di siang hari. Setiap detik Ramadan ini penuh ganjaran yg tidak ternilai. Tidak terlambat dlm berbuat kebaikan, walau hanya tinggat sesaat lagi Ramadan ini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...