Friday, October 22, 2010

Jangan Mengeluh

Seorang penyair ada menyatakan "Betapa sering engkau mengeluh dan mengatakan bahawa engkau tidak punya apa-apa padahal bumi, langit dan bintang-bintang disediakan untukmu."

Jangan mengeluh. Banyak nikmat yang Allah berikan pada kita. Dan banyak ujian yang hebat diberikan pada orang lain berbanding kita. Banyakkan bersyukur. Itu yang sebaiknya. Mari kita sama2 muhasabah diri.

Saya ada seorang teman. Anaknya ditimpa penyakit kulit yang kronik. Puas dia berubat ke sana ke mari. Habis duit tak payah nak kira. Isterinya pula ditimpa penyakit misteri dan selalu sakit2. Bila ‘haid’ perdarahannya banyak dan tidak berhenti. Dia mengsyaki masalah ‘saka’ yang ada dalam badan isterinya. Inilah ujian Allah kepadanya. Saya kata bersabarlah dengan ujian ini, insyaAllah ia akan berlalu jua.

Seorang kawan yang lain sudah mendirikan rumah tangga selama 17 tahun namun masih tidak dikurniakan anak walaupun pelbagai usaha dilakukan. Seorang rakan lagi hanya dikurniakan Allah anak tunggal yang kini berusia 12 tahun. Seorang lagi rakan juga dikurniakan anak tunggal yang sebaya dengan anak kedua saya berusia 18 tahun dan sama2 menuntut di UIA.

Penyanyi tersohor Negara yang punya harta berjuta masih juga tidak dikurniakan anak. Seorang rakan sekerja nampaknya hidup agak mewah dan memandu kereta BMW 5series namun setelah 7 tahun berkahwin masih tidak mempunyai zuriat. Sesungguhnya anak itu rezki Allah kepada hambanya. Bersyukurlah dengan nikmat anak ini.

Bertemu jodoh juga suatu nikmat Allah. Kawan saya seorang akauntan kini sudah berumur 38 tahun, namun masih belum berkahwin. Hidupnya masih sabagai anak muda, sibuk bermain futsal dan menghabiskan masa tanpa haluan. Mencari jodoh juga satu komitmen. Mungkin dia masih takut pada bayang sendiri dan gagal membuat komitmen. Jadilah dia bujang terlajak.

Ada pula yang diberi ujian oleh Allah dalam persoalan jodoh ini. Masa belum berkahwin mak datuk lawanya bakal isteri atau baiknya bakal suami. Bila dah berkahwin habis segala kecantekan lenyap segala kabaikan. Ada pula selepas berkahwin rumahtangga jadi purak puranda. Apabila gagal melalui ujian dari Allah banyak perkahwinan berakhir dengan penceraian pula.

Maka bila kita di beri ruang oleh Allah dengan sebuah keluarga yang bahagia, isteri dan anak2 yang baik maka itulah nikmat yang tidak terhingga. Bersyukurlah dan janganlah mengeluh lagi. Bandingkan dengan saudara kita yang kurang bernasib baik.

Seorang suami mengharapkan seorang isteri yang pandai memasak dan mengurus rumahtangga. Namun tidak semua isteri punyai skil memasak ini. Ramai juga yang bergantung kepada orang gaji untuk memasak di rumah atau terpaksa saban masa makan makanan yang dibeli. Ini semua ujian. Nikmat makan ni pun satu hal juga. Maka bersyukurlah jika diberi nikmat oleh Allah seorang isteri, suami atau anak yang pandai memasak.

Lihat pula kepada saudara OKU kita. Berat ujian yang Allah berikan kepada mereka berbanding dengan manusia yang sempurna pancaindera. Bersyukurkah kita? Atau apakah kita rasa biasa-biasa saja? Kalau Allah tarik balik sebelah kaki kita bagaimana? Kalau Allah hilangkan sebelah tangan kita bagaimana? Kalau Allah ambil balik mata kita macamana? Maka bersyukurlah kita kerana Allah dengan sifat rahmat-Nya pengasih-Nya telah memberi segala kemudahan kepada kita. Maka perlukan kita mengeluh lagi?

Kebahagiaan adalah kesenangan hati. Apabila saya membeli rumah di sini ia menyenangkan hati. Kawasannya luas, udaranya bersih dan suasananya nyaman. Ada pemandangan bukit, tasek dan kehijauan. Sebuah rumah untuk kembali selepas penat bekerja di ofis. Sebuah rumah untuk berehat dan bersama keluarga. Dengan harga yang termampu, Alhamdulillah. Bagi saya inilah nikmat dari Allah. Ramai juga yang memandang secara negatif dan penuh prejudis namun apa yang penting tanyalah hati kita. Bahagiakah kita?

Berbanding pula dengan saudara yang lain yang terpaksa mengeluarkan belanja yang lebih pada sebuah rumah yang lebih kecil pada sebuah lokasi yang lebih sesak. Seorang kawan membeli sebuah rumah yang berharga melebihi RM350k dengan keluasan yang tidak seberapa. Mungkin dikelabui dengan lokasi yang berdekatan dengan pusat bandar atau kemudahan awam yang lain. Namun hakikatnya kesenangan yang tidak berbaloi dengan pelaburan yang dikeluarkan. Mungkin dia bahagia namun ramai pula yang dihijab sehinggakan duka itu menjadi bahagia dan sebaliknya. Itu juga ujian Allah. Allah akan memilih dikalangan hamba-Nya untuk dikurniakan nikmat kebahagiaan itu.

Ada pula seorang kawan ini yang diberi peluang oleh Allah untuk menyelesaikan segala masalah hutang den bebanan kewangannya dengan dikurniakan Allah durian runtuh dari beberapa sumber. Namun nikmat yang Allah kurniakan itu tidak dihargai dengan sebaiknya. Hutangnya hanya dilangsaikan sekadar 70% tetapi yang menyedihkan ia kembali membuat hutang yang baru. Membeli rumah baru dan barangan yang tidak termampu. Mengerjakan ibadah haji jauh sekali. Maka kembalilah dia kepada kedudukan asalnya sebelum mendapat durian runtuh itu malah menuju kepada keadaan yang lebih teruk pada pandangan saya.

Segeralah muhasabah diri. Terlalu banyak nikmat dan peluang yang Allah berikan namun kita tetap mengulangi kesilapan yang sama. Namun Allah tidak jemu memberi peluang dan nikmatnya yang banyak. Semoga kita insaf.

Di dada2 akhbar kita membaca kisah2 tragis yang berlaku. Kes2 kemalangan contohnya yang terbaru di lebuhraya melibatkan bas express yang meragut 12 nyawa itu di mana anggota badan terputus dan berkecai sehingga menyukarkan pengecaman mayat. Kes pembunuhan warga Mongolia yang diletupkan sehingga berkecai tulang gemulannya di Shah Alam beberapa tahun lalu. Dan yang terbaru kes pembunuhan di Banting yang lagi dahsyat sehingga tulang2nya juga hilang menjadi debu sahaja.

Marilah kita berdoa setiap selepas solat agar hidup kita dalam iman dan mati kita juga dalam iman. Kita mohon hidup dalam kesenangan dan diperelokkan kematian kita. Hidup ini sementara saja ibarat seorang musafir di padang pasir yang panas terik berhenti berteduh di bawah sepohon pokok yang rendang. Berhentinya itu sekadar menghilang penat dan berehat seketika. Perjalanan masih jauh menuju alam akhirat yang kekal abadi itu.

Secara fizikal mati kita nanti akan diiringi kain kapan putih bersih. Namun sebagaimana beberapa kisah di atas ada antara kita yang tidak dapat diiringi walaupun oleh kain kapan sedangkan harta peninggalannya berjuta-juta ringgit. Semoga kita dikurniakan kematian yang elok.

Manusia yang beruntung ialah mereka yang sentiasa bersedia menghadapi kematian. Kerana kematian itu bukan titik penamat kehidupan tetapi adalah permulaan kepada sebuah kehidupan yang baru. Tiada lagi yang dapat membantu melainkan amal jariah, doa anak yang soleh dan ilmu bermanafaat yang kita tinggalkan.

Kita acapkali memikirkan sesuatu yang telah hilang, sehingga kita lupa mensyukuri apa yang ada di hadapan kita. Kita merasa sedih kerana kekurangan material, padahal kita masih memiliki kunci kebahagiaan, memiliki pelbagai kebaikan dan kenikmatan. Oleh itu renungkanlah dan bersyukurlah.

  1. "...sekiranya kalian menghitung-hitung nikmat Allah, nescaya kalian tidak akan dapat menghitungnya..."(Surah Ibrahim: Ayat 34)
  2. "Pada diri kalian juga terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah. Apakah kalian tidak memperhatikannya?" (Surah Adz-Dzariyat: Ayat 21)
  3. "Mereka mengetahui bahawa semua nikmat yang ada berasal dari Allah, tetapi mereka mengingkarinya..." (Surah An-Nahl: Ayat 83)
  4. "Maka nikmat Tuhan kalian yang manakah yang layak anda dustakan?" (Surah Ar-Rahman: Ayat 13)

@@@

2 comments:

ooooooooo said...

salam.betul2.
sntiasalah kita bersyukur.
peringatan yang baik.

School Of Tots said...

TQ Umar for your comment. Kadang kita lupa untuk bergantung harap pada-Nya. Usah mengeluh. Banyakkan bersyukur. Allah Maha Pengasih dan Penyayang. Segala sesuatu ada hikmahnya.

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...