Monday, November 06, 2006

Syawal

Syawal tiba lagi maka kita disibukkan dengan majlis open house dan kenduri kahwin dsb, di sepanjang 30 hari Syawal ini. Justru sebolehnya penuhilah segala undangan agar silaturahim dapat dieratkan lagi. Setelah kita jalani kursus intensif di Ramadhan untuk membuang sifat mazmumah bagi di ganti dengan segala nilai mahmudah dan semoga tarbiah Ramadhan melahirkan insan kamil dalam diri kita. Allah mengurniakan hari raya kepada umat Islam untuk kita sambut dengan penuh kemeriahan.

Hari raya bukan sekadar untuk bersukaria. Ia adalah hari kemenangan. Oleh itu sama-samalah kita bertakbir memuji kebesaran Allah, bertahlil dan bertahmid. Kita bersyukur kerana Allah telah memberikan kekuatan kepada kita untuk melawan nafsu selama sebulan penuh. Berlapar, berdahaga dan berpenat dengan puasa, solat terawih dan qiam semata-mata kerana Allah. Lalu bila tiba 1 Syawal, kita bertakbir atas segala petunjuk dan pertolongan Allah.

Tetapi adakah semua orang berjaya di sepanjang bulan Ramadhan itu? Jawabnya tidak. Ramai yang kecundang dan kalah dengan nafsu sendiri. Bukan kerana godaan syaitan kerana syaitan telah diikat. Ramai yang tidak dapat diubah oleh puasa mereka. Puasa dan tak puasa sama saja, bahkan kadang-kadang lebih teruk. Ramai yang berpuasa tetapi gagal menuanaikan solat fardhu dengan baik. Bahkan ada yang langsung tidak mengendahkan dan menghormati Ramadhan. Adakah orang yang tewas layak merayakan hari kemenangan? Jika kita tergolong di kalangan mereka ini, maka pemergian Ramadhan dan kedatangan Syawal sewajarnya disambut dengan tangisan penyesalan, bukannya senyum tawa gembira.

Semoga Ramadhan yang berlalu menukarkan sikap dan tabiat lama kita yang tidak secocok dengan ajaran Islam. Semoga puasa kita kali ini akan menjadikan kita orang yang menjaga solat, memenuhi masjid, menghadiri majlis ilmu, rajin membaca Al-Quran, menunaikan tanggung-jawab bagi sama-sama memperjuangkan dan membela agama Allah. Jangan pula Ramadhan baru melangkahkan kakinya, budaya kurang sihat dan kefasikan mula melanda.

Ya Allah peliharalah puasa dan amalan kami dari gugur seperti gugurnya daun di musim luruh. Ya Allah kami gembira kerana dosa-dosa diampunkan. Kami gembira kerana dapat memberikan kegembiraan kepada saudara-saudara kami yang kurang bernasib baik dari kalangan fakir miskin. Kami gembira dengan kebesaran Allah dan rahmatNya ke atas kami yang melimpah ruah. Kami gembira dengan ramainya muslimin muslimat yang sama-sama berhimpun di pagi Syawal mengerjakan solat hari raya, tidak kira kaya atau miskin, kecil atau besar, tua atau muda, lelaki ataupun wanita. Semuanya mengucapkan takbir, tahlil dan juga tahmid.

Kita gembira dengan alunan takbir yang bergema memenuhi pelusuk angkasa diiringi dengan ungkapan tauhid dan puji-pujian. Kita gembira dengan budaya ziarah- menziarahi yang pastinya dapat mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan dan keharmonian. Kita gembira dengan hiburan yang murni, jauh dari sebarang unsur maksiat dan unsur yang melalaikan.

Kita mengucapkan tahniah dan selamat hari raya kepada semua dengan iringan doa semoga Allah menerima ibadah puasa, qiam, dan segala amal kebajikan yang sama-sama kita lakukan sepanjang Ramadhan yang lalu. Kita juga berdoa semoga digolongkan dalam golongan hambaNya yang mendapat pembebasan dari api neraka. Tidak lupa juga untuk sama-sama kita doakan agar Allah menganugerahkan kemenangan yang gemilang kepada Islam dan umatnya. Amin.

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin

No comments:

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...