Wednesday, August 09, 2006

Forum Utusan Malaysia - 9 Aug 2006

Alhamdulillah, saya rasa teruja apabila dua komen saya telah disiarkan secara serentak dalm Ruangan Forum di akhbar Utusan Malaysia hari ini Rabu, 9 Ogos 2006. Berikut saya paparkan di sini buat tatapan anda semua...TQ.


Sokong OIC bekal senjata bantu Hizbullah

SAYA amat bersetuju dengan saranan mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir yang mencadangkan bahawa Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) perlu membekalkan senjata untuk membantu Hizbullah di Lebanon untuk mempertahankan diri mereka daripada serangan tentera Israel.

Setakat ini pejuang Hizbullah terpaksa berjuang bersendirian tanpa bantuan dari mana-mana pihak, sedangkan Israel mendapat pelbagai bantuan daripada Amerika Syarikat (AS) termasuklah bantuan senjata, kewangan, latihan dan sebagainya.

Justeru, untuk mengimbangi keadaan di Lebanon di mana pejuang-pejuang Hizbullah terpaksa mempertahankan diri daripada serangan rejim Yahudi dengan senjata yang minimum, maka amatlah patut jika OIC mengambil langkah membantu Hizbullah dengan cara AS membantu Israel.

OIC yang diwakili lebih 50 negara Islam perlu bersatu dan berani memihak kepada Lebanon.

Kalaulah setiap negara anggota OIC dapat menghantar seribu tentera untuk memerangi Israel dari setiap penjuru maka akan ada lebih kurang 50,000 tentera bantuan untuk membantu Hizbullah memerangi Israel.

Dan sekiranya setiap negara OIC dapat menghantar sebuah kereta kebal dan sebuah jet pejuang maka ada 50 kereta dan 50 jet pejuang untuk menentang pencerobohan rejim Yahudi itu.

Amatlah malang untuk melihat orang Yahudi yang berjumlah 30 juta di dunia ini dapat bermaharajalela berbanding umat Islam yang berjumlah 1.5 bilion.

Lebih malang lagi apabila negara-negara Islam terus berurusan dan menyimpan wang dalam dollar AS dan terus membeli barangan AS walhal duit inilah yang digunakan oleh AS untuk membina peluru berpandu, pesawat pejuang dan pelbagai senjata canggih untuk dibekalkan kepada Israel bagi memusnahkan Lebanon, Palestin dan Iraq.

Hari ini setelah tiga minggu serangan tanpa perikemanusiaan Israel, Setiausaha OIC, Ekmeleddin Ihsanoglu baru mengirim surat kepada Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan dan menteri-menteri luar lima anggota tetap Majlis Keselamatan dengan memperinci keputusan mesyuarat tergempar OIC di Putrajaya minggu lalu.

Deklasari Putrajaya antara lain mendesak konflik Asia Barat dihentikan segera sambil memberi amaran kemarahan yang meluap-luap boleh mencetuskan gelombang serangan baru pengganas.

Tapi yang nyata pengganas yang paling ganas ialah rejim Yahudi Israel. Setakat ini lebih 1,000 rakyat Lebanon terbunuh, 3,369 cedera dan 915,762 hilang tempat tinggal.

Agenda tersembunyi AS ialah untuk memastikan Asia Barat dalam keadaan lemah dan politik yang berbalah untuk menjadikan Israel sentiasa kuat.

Kita tidak mahu komen yang dibuat oleh seorang Ahli Parlimen British yang mengatakan “Muslims are lions but their leaders are donkeys’’ (Umat Islam itu umpama singa namun pemimpin mereka ibarat keldai) menjadi kebenaran yang pahit untuk ditelan.

– PENYUMBANG TABUNG PALESTIN,
Bukit Beruntung, Selangor.



Bila hospital baru Sungai Buloh beroperasi?

DALAM Utusan Malaysia 8 Ogos 2006 terpapar sebuah berita di bawah tajuk ‘Hospital RM500 juta 6 tahun tidak siap’.

Menteri Kesihatan Datuk Dr. Chua So Lek kecewa dengan kelewatan pembinaan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Star yang masih gagal disiapkan walaupun dibina sejak enam tahun lalu.

Namun lain pula halnya dengan Hospital Sungai Buloh yang tersergam indah di tepi Lebuh Raya Utara Selatan.

Rasanya sudah siap setahun lebih. Mengikut Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed, Hospital Sungai Buloh adalah antara 10 buah projek utama yang disenarai bermasalah, tetapi dapat disiapkan lebih awal daripada jadual.

Persoalannya mengapa sampai ke hari ini hospital berkenaan masih belum diguna pakai? Adakah kerana kekurangan doktor dan kakitangan atau kerana perancangan Kementerian Kesihatan yang bercelaru?

– HISHAMUDDIN AR,
Rawang, Selangor.

No comments:

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...