Thursday, December 19, 2019

ASB - Mitos Atau Realiti

Pengumuman Dividen ASB oleh PNB

Sehari dua ni orang ramai masih dok hangat bincang di kedai kopi dan di media sosial perihal ASB. Ada yang kutuk tahap gaban. Ada yang try untuk justifikasi. Ada yang rasa harapan tinggi hancur berkecai. Ada yang kesal ambik loan ASB. Macam2 ada. 

Dalam situasi ekonomi negara yg lembab dan merundum, dan situasi orang ramai atau rakyat marhain masih stress dan tertekan dgn kos hidup tinggi yang tak nampak harapan untuk menurun, maka pengumuman pulangan ASB yang terendah dalam sejarah ini tentulah mengundang pelbagai persepsi, pandangan, dan komen. It's understandable. 

Mari kita kaji beberapa komentar yang diterbitkan di media untuk memberi gambaran apa yang sedang berlaku sebenarnya.

*****

Nama saya termasuk didalam list yang diberi oleh PNB kpd reporter untuk memberi komen tentang pulangan ASB tahun 2019

Ini adalah diantara komen saya ;

1. Dividen sebanyak 5.5% adalah memang didalam jangkaan.

2. Antara fakta yang perlu diambil kira;

- Perbandingan simpanan pelabur berbanding instrument harga tetap lain spt kadar pulangan dibank.

- Perbandingan pulangan pelabur diASB berbanding dengan prestasi indeks FBM KLCI.

> maka kadar pulangan ASB adalah lebih baik.

3. Sentimen ekonomi dunia yang mencabar dan tidak menentu telah banyak mempengaruhi iklim pasaran saham tempatan.

4. Tadbir urus korporat dan pengurusan tertinggi PNB yang sangat profesional memainkan peranan penting didalam menentukan prestasi dana.

5. PNB perlu melihat kepada peluang melabur yang lebih luas dipasaran luar negara yang boleh membantu didalam memberi pulangan yang lebih tinggi dimasa hadapan.

6. Unjuran pasaran saham dan iklim ekonomi global dijangkakan akan lebih baik pada tahun 2020.

Nazarry Rosli,
Penasihat, Persatuan Penganalisa Teknikal Malaysia (MATA)

*****

ASB 5.5%

Nak komen sikit la sebagai ex-economist

1) perbincangan berkaitan perlunya turunkan dividend ASB dah lama berlaku

2) sebab realitinya 7% setahun bukanlah pulangan yang 'sustainable' untuk PNB

3) Kalau tengok secara long term, memang pulangan ASB semakin menurun dari tahun ke tahun

4) ini disebabkan oleh pulangan rate dalam MGS, serta dividend yield yang diberikan oleh syarikat memang umumnya mengalami penurunan

5) kadar yang 'sustainable' untuk ASB memang tidak boleh lari jauh daripada kadar unit trust fixed income yang berada di dalam market sekarang. Iaitu dalam lingkungan 4-6%

6) Jadi sebenarnya, ASB dan TH sedang kembali menuju balik kepada 'market return'

7) sekaligus bermaksud Bumiputra sudah tidak boleh lagi menjadi 'jahil financial' sehinggakan bila fikir berkaitan investment je, maka ASB dan TH je yang mereka tahu

8) di China, pelajar mereka diajar bagaimana cara melabur di dalam saham sejak tingkatan dua lagi (mengikut staff yang belajar di China)

9) kepada yang membuat ASB Financing, semoga dipermudahkan urusan

Sekian

Izzuddin Yussof

*****
Salah satu sebab agihan ASB rendah.

Macam kek 1 kg diagihkan kepada 10 orang. Setiap orang dapat 100 gram. Kalau kek berkurang jadi 900 gram diagihkan kepada 12 org, maka setiap orang akan mendapat 75 gram. Itulah analogi yg mudah.

Pengagihan pendapatan 2018: 9,837,446,035
Pengagihan pendapatan 2019: 9,000,000,000
Turun 8.5%

Pemegang unit ASB 2018: 9,664,241
Pemegang unit ASB 2019: 10,000,000
Naik 11%

Jumlah unit 2018: 155,791,878,113
Jumlah unit 2019: 167,200,000,000
Naik 7%
* unit juga bertambah reinvestment 

Kalau jumlah unit tidak bertambah (155 billion)dengan pendapatan 9 billion, rasanya masih mampu mengekalkan pada kadar 6 sen seunit - 6.3 sen seunit (including bonus); berbanding 2018 (7 sen - 6.5 sen + 0.5 sen bonus)

Apabila base bertambah, income tak bertambah; maka agihan akan menjadi rendah. macam kek 1 kg diagihkan kepada 10 orang. setiap orang dapat 100 gram. kalau kek berkurang jadi 900 gram diagihkan kepada 12 org, maka setiap orang akan mendapat 75 gram. itulah analogi yg mudah.

pendapatan rendah sebab pasaran ekuiti malaysia lembab berbanding pasaran global. 

Tahun 2020, antara cadangan yang boleh dibuat:
1. Tutup kuota ASB1 (mcm tutup kuota ASB2), stop taking new unit; ASB atau PNB berada dalam situasi big fish in a small pond. ASB terlalu besar untuk pasaran bursa yg terlalu kecil;

atau

2. Tambahkan portfolio global (sekarang concentration banyak kepada bursa). tapi adakah ini akan align dengan tujuan amanah saham bumiputra meningkatkan ekuiti bumiputra dalam pasaran. something to ponder

3. Improvement sentiment pasaran; nak kata sebab global, pasaran lain dah improve banyak. menteri jgn sibuk cari salah orang. sekarang it is time to show your capability that you are better than the previous. 

4. Perbanyakan lagi IPO, attract global player to list in bursa. jgn attract rubbish companies mcm china listed entity yang lepas, kalau boleh attract china listed company setaraf dgn alibaba tu kira ok lah. perbesarkan market capitalization sekarang dlm 1.6 trillion; jadikan 3 trillion. 

5. PNB kena divest saham2 yg tak berkualiti. increase equity dlm saham yg lebih berkualiti.

6. Pendapatan ASB bergantung kepada 3:
a. Realized Gain
b. Dividend income
c. FD instrument
Pendapatan dividend adalah yang terbesar. Tht would mean, earning corporate season for bursa secara purata tak memberansangkan. ekonomi lembab, maka pendapatan korporat pun lembab. 

7. Adakah ekuiti bumiputra perlu ditingkatkan melalui leverage? backdoor leverage utk PNB. ataupun dengan pengumuman rendah ini, maka ASBF akan menjadi kurang menarik, orng terminate, low new subscriber. base unit and unit holder akan menurun. income distribution will normalize? long term wise ASBF will affect ASB.

Zayed Zulfikli

*****

Sama-sama kita baca dan hadamkan. Buatlah konklusi sendiri. Adakah ini satu mitos atau realiti? Adakah ini satu fakta atau auta? Apakah ini satu program realiti atau sekadar fantasi?

Yang pasti, ekonomi tempatan di tahap yang rendah. Bersesuaian juga keadaan ekonomi global yang juga kurang memberangsangkan. Begitu juga kadar matawang kita yang juga pada tahap yang rendah, berbanding negara2 jiran seperti Thailand & Singapura misalnya.

ASB pada sejarahnya selalu menggembirakan pelaburnya dgn pulangan tahunan yang agak tinggi saban tahun 7-10%. Menjadi kejutan juga bila mendapat berita pulangan tahun ini sekadar 5.5%. 

Apa pun bersyukurlah. Ia masih bagus berbanding dgn banyak instrumen pelaburan yang lain termasuklah fixed deposit. 

#DiversifyYourInvestment

Thursday, December 05, 2019

AKU PUN MELAYU



Tanah Melayu ini dulunya dimiliki oleh orang melayu. Maka tidak pelik bila ia dikenali sebagai Tanah Melayu.

Melayu ini satu kelompok bangsa yang hebat. Pada kemuncaknya bangsa melayu menguasai jaluran kerajaan di nusantara ini. Kerajaan melayu melaka misalnya. Kerajaan melayu champa contohnya.

Melayu juga jaguh dalam meneroka dan mengembara ke serata dunia.

Sehinggalah kerajaan melayu ini dipecah2kan melalui sempadan2 pelbagai negara di jaluran melayu nusantara ini. Tanah Melayu tercinta ini juga kini dipanggil Malaysia.

Penduduknya sudah menjadi masyarakat majmuk. Melayu kini sekadar 60% drp keseluruhan penduduk Malaysia ini.

Aku pun orang melayu. Banyak yang diperkatakan. Ada yang kata melayu sudah menjadi penumpang di tanah ini, bila banyak sektor telah dikuasai kelompok daripada bangsa lain.

Apakah yg terjadi sebenarnya? Adakah ia tragedi bangsa yang dimusnah atau ideologi pemikiran yg punah? Atau sekadar propaganda murahan yg dipahat pada minda orang melayu?

Saya kongsikan sebuah artikel sejarah dan luahan pandangan perihal tragedi pemikiran melayu  oleh seorang tokoh melayu yg unggul iaitu prof ungku aziz.

*****

Tragedi pemikiran Melayu


Oleh PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ


KALAU ditanya tentang minda orang Melayu kepada saya, saya rasa Melayu tidak sanggup berubah. Perspektif mereka terhad, tidak suka menyiasat dan mereka tidak mahu berfikir dengan mendalam.

Kalau kita tengok orang Melayu dalam cerita hikayat, Hikayat Raja-Raja Pasai misalnya, ia cukup menarik. Kita dapat menggambarkan bagaimana ekonominya dan strategi orang Melayu memerintah untuk berdepan dengan Majapahit.

Berdasarkan hikayat itu dan tradisi pantun Melayu, kita dapati orang Melayu ini mempunyai minda yang canggih. Tetapi yang jadi tragedi ialah orang Melayu tidak nampak ini semua kerana tiga pengaruh besar.

Pertama, dalam tahun 1920-an dan 1930-an, pihak penjajah British menolak apa yang datang daripada Melayu, termasuk pantun, sebagai folk art, menjadikan apa yang dihasilkan oleh Melayu sebagai second class.

Ketika itu, Melayu yang berharap untuk naik pangkat dan dapat kerja dengan kerajaan penjajah terpaksa ikut teori penjajah Inggeris. Ini semua membawa orang Melayu kepada perspektif jati diri yang salah.

Itu pengaruh penjajah.

Pada zaman ini, saya melihat sungguhpun banyak pemimpin Melayu bercakap tentang sains dan teknologi, orang Melayu pada umumnya tidak dapat menangkap pandangan itu.

Di Eropah, sejak zaman renaissance, mereka telah mempelajari kemajuan sains dengan pendekatan yang berbeza dengan Islam. Mereka sentiasa bertanya.

Malangnya, di Malaysia, dari bangku sekolah kita tidak galakkan budak-budak bertanya. Sampailah mereka di universiti, kita tidak galakkan mereka bertanya: Kenapa?

Di negara kita, pelajar tidak berani bertanya dan guru-guru pula tidak tahu menjawab. Budaya ini menunjukkan tidak wujudnya inquiry mind dalam masyarakat Melayu. Kita tidak ada sikap saintifik.

Sikap negatif inilah yang menyebabkan berleluasanya cerita orang kena tipu dengan bomoh. Yang saya hairan, graduan-graduan universiti pun kena tipu dengan bomoh.

Kalau pada kurun ke-18, terutama di England, orang selalu bertanya: Kalau betul ada hantu, mana hantu? Kita hendak pergi ke tempat hantu, kita nak pergi tengok hantu untuk lihat apa manifestasi hantu.

Pendekatan berani bertanya ini adalah sikap masyarakat dan tamadun yang berasaskan sains. Malangnya, kita tidak sedia dan berani bertanya, yang akhirnya menyebabkan kita tidak berani menghadapi cabaran.

Pemikiran Melayu ini sebahagiannya adalah sisa-sisa pengaruh penjajahan British. Ini bukan rahsia lagi.

Kita boleh membaca dokumen-dokumen itu di London. Menurut para pegawai Inggeris, orang Melayu ini kalau diberi terlalu banyak pendidikan dan kalau diajar ilmu sains, kelak mereka akan jadi seperti orang India di India. Mereka akan berdemonstrasi dan hendakkan kebebasan.

Jadi ajarlah dia cerita Pak Pandir sahaja, itu sikit, ini sikit. Orang Melayu tidak suka sains, dia suka agama, jadi ajarlah tentang agama. Dia suka dengan raja dia, ajar Melayu buat bakul.

Akibat dasar itu, tidak ada trouble makers. Trouble makers Melayu hanya timbul selepas Perang Dunia Kedua setelah kemasukan Jepun.

Telah ada banyak buku yang membincangkan tentang subjek bagaimana British berjaya mengamalkan dasar yang mengongkong minda Melayu.

Itu semasa penjajahan. Selepas kita merdeka, minda orang Melayu masih terkongkong kerana semua orang Melayu kemudiannya gila hendak kuasa dan hendak jadi kaya.

Ini adalah teori saya mengapa minda Melayu tidak berubah. Saya bertanggungjawab tentang pandangan ini.

Selepas merdeka, sesetengah orang Melayu yang ada kuasa, dia rasa dia boleh memerintah Malaysia sama bagus macam penjajah British.

Minda Melayu ini sentiasa ada sesuatu yang membendung dan mempengaruhi – daripada kesan-kesan kolonialisasi pada tahun-tahun 1930-an, pengaruh Indonesia yang tidak sesuai di sini pada tahun 1940-an dan 1950-an, kesan media massa, dan kemudiannya budaya wang dalam masyarakat Melayu pada dekad-dekad terakhir ini.

Sekarang ini semua orang Melayu hendak kaya.

Sebagai seorang pendidik universiti, saya percaya (tetapi saya tidak ada buktinya) kalau orang mendapat pendidikan, mereka akan lebih bebas dan berubah.

Contohnya pada akhir tahun 1970-an. Ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Malaysia ketika itu dapat menarik banyak modal asing untuk membuka kilang mikrocip.

Kita dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada beratus-ratus ribu orang terutamanya untuk wanita.

Wanita Melayu yang bekerja kilang ketika itu akhbar-akhbar gelar mereka ini sebagai minah karan. Orang Melayu hina wanita Melayu yang bekerja kilang.

Kenapa budak-budak perempuan Melayu ini mahu tinggalkan rumah di Kelantan, tinggalkan kampung di Johor untuk pergi bekerja kilang di Pulau Pinang, Selangor dan Melaka?

Mereka sanggup kerana mereka telah belajar sampai ke peringkat sekolah menengah. Jadi program kerajaan membuka sekolah-sekolah menengah pada tahun 1960-an dan 1970-an, walaupun tidak ada rancangan khusus, ia telah membebaskan pemikiran budak-budak perempuan Melayu.

Waktu itu terdapat beribu-ribu remaja wanita Melayu pergi bekerja di kilang-kilang. Dalam penyelidikan saya pada tahun 1970-an, dalam soal selidik saya bertanya mereka, bila hendak kahwin?

Di kampung, dulunya mereka ini berumah tangga pada usia muda. Umur 18 dan 19 tahun sudah kahwin atau dikahwinkan, tetapi akhirnya bercerai juga.

Oleh kerana pendidikan dan faktor pendedahan kepada karier baru, wanita Melayu itu sudah ada idea tidak mahu kahwin cepat-cepat. Mereka hendak bekerja terlebih dahulu dan menyimpan duit.

Kita tanya lagi, kalau sudah kahwin hendak anak cepat atau lambat? Mereka kata lambat. Mereka hendak tangguh dapat anak sebab mereka hendak enjoy hidup berkahwin dan mewujudkan rumah tangga yang lengkap terlebih dahulu. Kata mereka, kalau dapat anak susahlah.

Dalam sekelip mata, wanita Melayu berubah sikap. Ini semua tidak diprogramkan oleh kerajaan. Ia jadi begitu sahaja.

Tetapi masyarakat Melayu tidak faham keuntungan perubahan minda wanita ini terutama di kalangan kumpulan berfikiran konservatif.

Hari ini di Malaysia, trend semasa ialah wanita menguasai 65 peratus tempat belajar di universiti-universiti. Dalam sektor kerajaan, banyak wanita yang memegang jawatan tinggi.

Trend ini pasti mengubah masyarakat Melayu secara pesat, sebagaimana ia mengubah pemikiran wanita Melayu pada tahun 1970-an.

Ini semua adalah hasil daripada perubahan sikap yang tidak dirancang tapi terjadi.

Perubahan minda itu berlaku secara tidak sengaja. Kadang-kadang kalau nasib kita baik, hasil perubahan yang tidak dirancang itu juga progresif seperti dalam kes perubahan minda wanita Melayu.

Bagaimanapun, kadang-kadang perubahan yang dirancang tidak terjadi kerana orang yang hendak melaksanakannya pun tidak jujur selain terdapat pengaruh lain yang menghalang seperti pengaruh politik tempatan, politik antarabangsa, Indonesia, peranan orang agama yang menimbulkan nilai-nilai sama ada seseorang dapat pergi syurga atau tidak.

Minda Melayu tidak dapat memikul ini semua. Kerana ada sesuatu dalam budaya mereka yang masih tidak diubah, mereka sanggup duduk di kedai kopi main dam. Contohnya orang lelaki di Kelantan dan Terengganu. Kalau mereka tidak main dam, mereka akan bincang untuk gasak kerajaan. Semua salah, dia sahaja yang betul.

Titik perubahan kepada minda Melayu ialah tragedi 13 Mei 1969, tetapi peristiwa tersebut dan dasar-dasar ekonomi, pendidikan dan politik selepas itu tidak sepenuhnya menukar sikap orang Melayu.

Ada beberapa faktor lain yang menghalang iaitu pengaruh Barat, peranan media massa, politik serta agama.

Kita memang berubah sedikit dari segi lahiriah tetapi saya tidak fikir orang Melayu kini berada pada kedudukan yang lebih baik.

Kita sudah terjangkit apa yang bekas Perdana Menteri British, Margaret Thatcher hendak dulu, dan fahaman ini cukup besar sama ada di kalangan pemimpin Melayu dalam UMNO mahupun Pas, dan juga di kalangan para pegawai kerajaan.

Kita hendak menjadi apa yang Thatcher kata a nation of shopkeepers. Kita tidak mahu kata shopkeepers, kita gunakan istilah usahawan.

Orang berfikir kalau sebahagian besar orang Melayu jadi usahawan, maka ekonomi orang Melayu akan naik. Ini saya rasa salah. Pendekatan untuk membangunkan orang Melayu dengan wang ringgit dan kebendaan ini tidak betul. Tesisnya silap.

Tetapi itulah minda Melayu sekarang.

Akhirnya saya lihat orang Melayu kini sudah kurang komitmen terhadap bangsanya sendiri. Sudah tidak ada kesedaran bahawa aku orang Melayu, aku mesti berkhidmat kepada orang Melayu, untuk membangunkan orang Melayu.


Nota: PROFESOR Diraja Ungku Aziz adalah bekas Naib Canselor Universiti Malaya.

******

Malaysia Baru hari ini pula di lihat meminggirkan bangsa melayu. Mengapa? Mungkin banyak isu2, kenyataan2 atau kes2 yg mengundang controversi atau persepsi sebegitu di mata umum. Wallahu'alam.

Namun harapan masih ada. Minda yg dijajah mungkin payah untuk dipulih. Namun harapan masih ada. Mungkin bukan dlm bentuk pakatan harapan. Mungkin berbentuk semangat tanjung harapan, yg memberi sinar ke seluruh benua yg gelap.

Aku pun melayu. Aku ingin lihat melayu yg hebat. Aku mahu tonjol di media utama biodata susuk tubuh karektor melayu yg unggul. Banyak org melayu di serata dunia, terkenal sebagai profesyenal, personaliti, atau usahawan berjaya. Wajar kita tonjolkan agar menjadi inspirasi dan motivasi anak bangsa. Melayu bisa gah semula. Kerana aku pun melayu.

Jalur pemikiran yg tersesat mestilah diperbetulkan. Destinasi yg salah mesti diubah. Sikap untuk maju di dunia, lebih2 lagi di akhirat mesti di bentuk, dipahat dan dipasak. Biar kukuh.


#AkuPunMelayu

Friday, November 29, 2019

PANDUAN SOLAT JENAZAH


Cara Ringkas Solat Jenazah :



1. Angkat Takbir "Allahu Akbar"  & Niat dalam hati :


  • Sahaja aku solat jenazah terhadap mayat ini, 4 takbir, fardhu kifayah kerana Allah Ta’ala.
  • Jadi makmum? tambah "sebagai makmum kerana Allah Taala"
  • Baca Alfatihah hingga akhir



2. Angkat Takbir Kedua "Allahu Akbar"


  • Baca : Allahumma solli a'la Muhammad wa a'la ali Muhammad
  • Pendek pun takpa, paling elok selawat ibrahimiah macam dalam tahiyyat akhir



3. Angkat Takbir Ketiga "Allahu Akbar"


  • Baca doa (pendek pun takpa, panjang lagi bagus) contoh dibawah ni :
  • Allahummargh firlahu warhamhu (untuk mayat lelaki)
  • Allahummargh firlaha warhamha (untuk mayat perempuan)
  • Untuk mayat kanak-kanak yang belum baligh, tidak dibacakan doa ini kerana mereka masih tidak dikira dosa pahala oleh malaikat. ada doa lain di link bawa (al azkar)



4. Angkat Takbir Ke Empat "Allahu Akbar"


  • "Assalamualaikum warahmatullah " Beri Salam kanan n kiri
  • Selesai



Jika jadi makmum, ikutlah di belakang imam, berdiri rapat rapat. dan ikutlah jugalah rukun di atas. Cukup rukun makalah sah lah solat tersebut. Semoga ia jadi penghormatan terbaik buat jenazah..




Kredit : zamri



#CnPEnterprise

#ShareIlmuBermanfaat






@@@

Sunday, November 24, 2019

UJIAN HARTA & PANGKAT



UJIAN

Orang yg di beri Allah sedikit kemewahan harta, kekadang tu bisa merobah karektor asal. Kalau dulu humble, mudah senyum dan bertegur sapa. 

Kini agak sombong, agak liat senyumnya, agak payah memberi salam atau bertegur sapa memula bicara. Itu lah ujian sebenarnya. Ramai yg kecundang.

Bila berjaya beli kereta baru yg agak mewah contohnya, terus batang hidung menegak ke langit. MPV second hand je kot. Terasa diri sungguh tinggi dlm kasta masyarakat. 

Perasaan terlajak laris, bangga dan teruja. Aku sudah hijrah ke kelompok elit. Yahooo. No more g40. No more ppr. Kesian dia sebenarnya. Hanyut dia dlm banjir kilat.

Begitu juga bila Allah kurnia sedikit pangkat atau jawatan. Tak kira lah sebagai nazir atau ajk masjid. Sebagai ketua cawangan atau exco pemuda. Sebagai wakil rakyat atau baluci parti.

Lagaknya mula berubah. Nada suara bila bercakap pun jadi tinggi. Bergaul pun dgn geng2 dia sahaja. Bertegur sapa dan bergelak ketawa sesama dia sahaja. 

Orang lain kira pandang sebelah spek, atau pandang enteng. Itu ujian, sebenarnya. Dan ramai yg gagal, fail, langgar tembok, masuk gaung.

Kalau dulu berkawan agak baik, time takde harta takde pangkat. Kira teman rapat la jugak, boleh bertepuk bertampar, biasa berbalas2 WA hingga senja.

Kini renggang, retak menunggu belah, telur di hujung tanduk, malah jadi seolah org asing, pendatang tanpa izin. Begitulah tipu daya dunia. Ramai yg terperangkap oleh pribahasa dan perumpamaan. Ada sotong di sebalik pesembor. Whatever. Mintak pujian. Carik habuan.

Hanya segelintir yg kukuh aqidah, waja jiwa, tinggi akhlaq dan ada ilmu bermanfaat dlm dada yg berjaya mengharungi segala ujian dunia ini. 

Kepada kelompok ini aku salute. Anda hebat. Aku respect. Aku tabik spring. 

Takyah mintak org respek kau bro. Kerana respect must be earned. My ten cent for tonite.

#RespectToBeEarned

Wednesday, October 30, 2019

RUKUN SOLAT


ULANGKAJI ~ SEMPURNAKAH SOLAT KITA?

Dalam 13 rukun solat itu terdapat 3 rukun khusus..

😎Ramai yang SOLAT tetapi ramai juga yang solat ikut-ikutan dan tidak berapa faham cara solat yang sebenar yang boleh menjejaskan sah solat kita

😎Rukun solat ada 13

1.   Niat
2.   Berdiri dengan betul
3.   Takbiratul ihram
4.   Membaca Al Fatihah
5.   Rukuk
6.   I’tidal
7.   Sujud
8.   Duduk antara 2 sujud
9.   Bacaan tahiyat akhir
10. Duduk tahiyat akhir
11. Selawat dalam tahiyat akhir
12. Salam
13. Tertib

😎Dalam 13 rukun itu dipecahkan kepada 3 bahagian

I. Rukun Qalbi ~iaitu rukun ke atas pekerjaan hati
2. Rukun Fi’il ~iaitu rukun ke atas perbuatan atau gerak kerja
3. Rukun Qauli ~iaitu rukun ke atas ucapan atau kata-kata di mulut.

😎Majoritinya ramai dari kita faham dan lulus 2 rukun pertama iaitu Rukun Qalbi dan Rukun Fi’il dan ramai yang melanggar Rukun Qauli terutamanya ke atas mereka yang menjadi makmum dalam solat.

Kesalahan Rukun Qauli Yang Selalu Di Langgar Dalam Solat?

😎Ramai dari kita tidak kira samada ketika bersolat sendirian mahupun ketika berjemaah kita selalu membaca bacaan-bacaan solat di dalam hati. 
Kita ingat dengan bersolat begitu kita rasa kita sah tapi kita khuatir ianya tidak sah.

😎Ada juga yang seperti membaca di bibir tetapi rupa-rupanya hanya bunyi angin yang keluar dari mulut yang tidak mengeluarkan bunyi bacaan (Hanya bunyi angin sahaja).

5 Rukun Qauli yang selalu kita langgar di dalam solat..

1. Tidak takbir ‘Allahu Akbar’ dengan menyebut atau melafaz jelas di bibir

2. Tidak membaca Al Fatihah secara lafaz

3. Tidak membaca Tahiyat Akhir secara lafaz

4. Tidak membaca selawat secara lafaz di rakaat terakhir

5. Tidak memberikan salam ‘Assalamualaikum Warahmatullah’ dengan secara lafaz

Apa Maksud “Menyebut Dan Melafaz” ?

😎Dalam Rukun Qauli kita perlu menyebut atau melafaz bacaan yang perlu kita sebut dan lafazkan sehingga terdengar pada telinga kita sendiri. 
Cukup sekadar untuk telinga kita sendiri dan tidak wajib ke atas semua bacaan solat tetapi pada 5 tempat

1. Semasa Takbiratul Ihram

2. Semasa membaca Al Fatihah

3. Semasa Tahiyat Akhir

4. Semasa membaca selawat pada rakaat terakhir

5. Semasa lafaz salam

😎Oleh itu, perbaiki segera 5 Rukun Qauli ini untuk menjadikan solat kita sah dan sempurna 

😎Jika solat yang selama ini kita lakukan tidak sempurna atau tidak sah,  perlulah kita segera:

1) Taubat mohon keampunan dari Allah dan jangan di ulagi lagi kesalahan yang sama

2) Tuntut ilmu, belajar, ulangkaji, jangan melenting apabila di tegur, perbaiki diri dan kesilapan lalu..

Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Pengampun

Carilah ilmu yang sebenar dan beramal dengannya agar tidak rugi di dunia apatah lagi di  akhirat nanti.

😎Sebarkan kebaikan
Kongsikan kebahagiaan bersama dari Dunia hingga Akhirat.

#CnPEnterprise
#SebarIlmuBermanfaat

Monday, October 14, 2019

TALBIYAH DAN MAKSUDNYA



Pabila Di Hayati Kalimah Tarbiyah Yang Mulia
Maka Terdetik Faham Yang Mengundang Cinta
Pada Tuhan Yang Maha Mencipta Segala
Terserlah Pilu Di Jiwa Yang Mengalirkan Airmata
Kembali Hamba Yang Kaya Manjadi Hamba
Kembali Hamba yang Miskin Menjadi Hamba
Menghambakan Diri Serta Jiwa Raga Pada Yang Esa.

--

Saturday, February 09, 2019

Kerja Dakwah


Buku Apa Khabar Iman merungkai kerja dakwah amnya
 dan jemaah tabligh khasnya, dapatkan naskah anda hari ini.


Sesungguhnya kerja dakwah ini adalah kerja kita semua setiap individu yang mengaku beriman. Masyarakat dahagakan ilmu dan dakwah bagi merobek kepunahan dan kekosongan jiwa di pancaroba akhir zaman. Hidup yang sebentar ini wajar di isi dengan bekalan yang kekal menuju akhirat, bukan disibukkan dengan mengejar dunia yang pasti ditinggalkan.


@@@@@


“Kejayaan itu adalah melalui iman yang sahih dan amal yang soleh,” begitulah antara isi penting bayan Firdaus di Masjid malam tadi. “Tanpa iman, ilmu tidak yakin untuk diamal. Kenapa ilmu tidak dapat diamal kerana yakin kita kurang. Orang yang tidak ada iman dan yakin akan buat benda yang Allah larang.”

Rasulullah SAW dan para Sahabat bersusah hal agama. Kena ada pengorbanan dalam perkara agama. Sebab itu yang Allah mahukan. Kalau Allah berhajat memberi kemudahan kepada Rasulullah SAW dalam perjuangannya sudah tentu Allah boleh memberikannya, tetapi Allah mahukan Rasulullah SAW dan para Sahabat bersusah hal agama. Jadi, begitulah kita sebagai umat Rasulullah SAW kenalah sanggup bersusah perihal agama ini. Usaha dakwah ini menjadi tanggungjawab setiap Muslim hinggalah ke hari kiamat. 

@@@@@

Ibarat menendang bola ke dinding di mana bola itu akan setia melantun balik kepada penendangnya. Kita menyampaikan ilmu dan peringatan menyeru kepada kebaikan kepada saudara se-Islam yang lain, dan secara naturalnya segala isi penyampaian dan peringatan itu menusuk masuk ke jiwa penyampai itu sendiri. Maka lahirlah jiwa-jiwa besar semuda saudara Firdaus ini.

@@@@@

Bak kata Brother Husaini pada salah satu gasht, “Kami ini baru belajar-belajar nak ikut sunnah Rasulullah SAW, ziarah saudara seagama kami, ingat mengingatkan tentang hidup dunia yang sementara dan hidup akhirat yang kekal abadi. Kita kena usaha tingkatkan iman dan amal agar kehidupan dunia ini boleh membawa keuntungan kepada kita untuk dibawa ke alam barzakh dan alam akhirat nanti.

“Sesungguhnya kita bersaudara dengan kalimah toyyibah. Kita bersaudara, ibarat cubit paha kiri paha kanan pun terasa sakitnya. Marilah saudaraku kita sama-sama meningkatkan iman dan amal kita. Sesungguhnya semuanya Allah punya. Kita buang pergantungan kepada makhluk dan masukkan pergantungan hanya pada Allah. Kita beriman kepada Allah dan beramal mengikut cara Rasulullah SAW. Rasulullah SAW solat fardu berjemaah maka marilah kita solat fardu berjemaah di tempat azan diazankan, insya-Allah.”

@@@@@

“Seorang fakir yang tiada naungan dari terik mentari, tiada makanan untuk dijamah, atau pakaian untuk dipakai jika berada di landasan hidayah Allah, adalah lebih berjaya di sisi Allah berbanding dengan seorang yang mewah segala tapi terkeluar daripada landasan hidayah Allah,” itulah antara penerangan yang disampaikan oleh penceramah yang berbahasa Urdu dan di terjemah secara langsung oleh Ustaz Ab Halim (Imam Masjid Sri Petaling) ke bahasa Melayu. Orang yang punyai segala tapi tiada hidayah Allah maka dia tetap gagal.

@@@@@

Syaitan pula berfungsi sebagai penghias. Dia tiada upaya untuk menyesatkan manusia. Hanya Allah yang menyesatkan siapa yang Dia kehendaki. Sehina-hina amalan dan sejijik-jijik perbuatan menjadi kerja syaitan sebagai penghias bagi nampak cantik dan elok. Maka kita minta perlindungan yang sebenar-benarnya daripada Allah daripada tipu daya syaitan itu. Manusia yang ingin buat taat Allah akan sentiasa tanpa putus asa ditarik ke belakang oleh syaitan. Menghalangnya daripada terus maju ke depan pada jalan Allah. Syaitan adalah juruhias yang hebat.

@@@@@

Saudara Kahar ahli jemaah halaqah Bukit Sentosa, pada hari terakhir Ijtimak itu nampak sangat risau kerana anaknya Muzamil yang berusia 12 tahun itu masih tidak muncul setelah berjalan-jalan di kawasan gerai yang berderetan di luar sana selepas bayan Subuh tadi. Sudah beberapa jam anaknya itu tidak dapat dikesan. Saya cuba menenangkannya dengan berkata mungkin dia keluar dengan pak cik di sebelah, namun Kahar berkata bahawa pak cik itu sudah pulang pagi tadi. Setelah beberapa lama mata kami semua melilau kalau-kalau ternampak si Muzamil yang berbaju biru itu sekitar khitta 1, 2 dan 3 itu, namun masih tiada bayangannya. Kerisauan mula meningkat. 

Haji Munir menasihati Kahar untuk kembali kepada Pencipta dalam menyelesaikan musibah atau kesulitan. Solat dua rakaat dan menadah tangan memohon pada Ilahi dengan penuh pengharapan. Semasa Kahar mengangkat takbirratul ihram untuk solatnya itu, sekonyong-konyong saya dan Haji Munir melihat dari kejauhan Muzamil yang berbaju biru itu. Tanpa disedari ayahnya, yang penuh khusyuk dalam solat dan kemudian menadah tangan berdoa agar dikembalikan anaknya. Allah terus menunaikan permintaan hamba-Nya itu secara tunai. Allahhu Akbar.

@@@@@

Saya pula mengalami dua kali kejadian apabila bangkit dari "nap" seolah-olah mendengar deraian hujan, seperti mana suasana pada pagi hari kedua Ijtimak yang diturunkan rahmat hujan yang agak lebat. Haji Munir menafsirkan bahawa bunyi deruan hujan yang saya dengar itulah adalah bunyi malaikat-malaikat yang turun dari langit ke Ijtimak yang penuh barakah itu.

Teringat saya kata-kata saudara Sabri pelajar pondok dari Yala dalam bualan singkat dengannya tempoh hari, “Mungkin tidak banyak ilmu saya dapat di sini tapi saya ke mari kerana hendakkan keberkatan majlis bersama para ulama, kerana nur keberkatan itu tegak ke langit dari tapak ijtimak bersama malaikat-malaikat berbaris dari langit yang berzikir dan mendoakan rahmat untuk kita semua.”

@@@@@

Dakwah adalah satu kerja. Kerja siapa? Kerja kita semua umat Islam akhir zaman. Kita buat usaha ini kerana Allah SWT memerintahkan pada baginda Rasulullah SAW supaya beritahu dan sampaikan agama kepada semua orang. Usaha yang kita buat ini bukan untuk islahkan orang lain tapi untuk islahkan diri sendiri untuk membetulkan iman dan yakin kita. Orang yang dapat hidayah melalui kita, itu natijah daripada usaha yang kita buat tetapi itu bukan maksud kita. Maksud kita yang sebenarnya ialah diri kita dapat diperbaiki.

@@@@@

Bermula ibadah itu dengan niat. Tanpa niat yang ikhlas kerana Allah, sesuatu ibadah bisa jadi sia-sia tanpa ada nilai di sisi Allah. Pabila kita keluar di jalan Allah dengan niat untuk islah diri dan menyampaikan mesej dakwah kepada umat di serata alam, maka ia boleh menjadi sesuatu yang sangat berharga.

@@@@@

Asbab pengobanan generasi para sahabat dan ulama terdahulu membuat kerja dakwah bertebaran diserata alam maka kita beruntung kerana telah mendapat hidayah Allah dan nikmat iman dan Islam di blok nusantara ini. Kita lahir dalam keluarga Islam. Jika tidak, mungkin kita ini masih kekal mewarisi agama nenek moyang kita yang menyembah pokok-pokok atau batu-batu besar atau masih menjadi pengamal agama hindu yang menyembah berhala. Mereka sungguh yakin dengan sebenar yakin akan janji Allah akan balasan syurga menanti untuk setiap usaha dakwah ke serata alam yang ikhlas kerana Allah. 

Maka kini menjadi tanggung jawab setiap kita pula untuk buat kerja dakwah agar generasi akan datang akan terus mendapat syiar Agama Islam yang agung ini. Ikhlas niat Insyaa-Allah.

@@@@@

Itulah antara petikan yang saya ambil dari buku APA KHABAR IMAN karya Hisham AR. Saya syorkan sangat-sangat agar para pengunjung blog ini untuk mendapatkan naskah anda hari ini di kedai-kedai buku tersohor yang berdekatan sebelum kehabisan stok. Semoga manfaat tersebar luas dan menjadi asbab Allah campakkan hidayah di hati anda untuk keluar di jalan Allah untuk islah diri dan membuat kerja-kerja dakwah yang mulia ini.

Atau boleh juga WA penulis di 019-3832132 untuk tempahan secara Pos Laju direct ke muka pintu rumah/ofis anda. Setiap buku akan hadir dengan otograf exlusive penulis. Jazakallah.


#KerjaDakwah
#MaksudHidupKita
#MencariRedhoAllah
#BukuApaKhabarIman


ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...