Monday, May 16, 2022

MESIN BASUH



Ada persoalan dan kemusykilan dlm masyarakat berkenaan penggunaan mesin basuh. Kesnya begini, dlm longgokan pakaian kotor yg hendak di basuh itu, maka ada sehelai dua yg tercalit dgn najis contohnya air kencing. Jadi apa hukum basuhan itu? Apakah semua pakaian yg lain itu pun dikira terpalit najis atau bagaimana? Kalau pakaian itu terpalit najis, maka nak pakai utk solat pun takut solat jadi tak sah la pulak. Saya ada  terbaca satu posting di FB mengenai satu kajian yg telah dibuat, dan saya kongsikan di sini sebagai rujukan. Harapnya ia memberi pencerahan yg jelas bagi membersihkan segala keraguan. TQ

-----

HASIL KAJIAN MESIN BASUH

Pagi tadi saya terbaca satu perkongsian oleh Saudari Nor Nur berkenaan perbahasan mesin basuh dan pakaian bernajis. Ia adalah rumusan dari satu pembentangan kertas kerja oleh Dr. Hapiz Kodiang berkenaan fatwa yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti P. Pinang.

Setelah selesai menonton keseluruhan pembentangan kertas kerja tersebut, bolehlah saya tambahkan beberapa point penting lain yang mungkin tidak dimasukkan ke dalam penulisan berkenaan untuk memberi lebih kefahaman kepada mereka yang tak sempat menontonnya.

1. Fatwa keharusan menggunakan mesin basuh untuk terus mencuci pakaian bernajis ini adalah hasil kajian oleh pakar dari bidang syariah, bidang kimia dan juga bidang sains gunaan.

2. Kaedah yang digunakan untuk mengenal pasti kewujudan najis selepas basuhan adalah menerusi kajian sains forensik DNA.

3. Sampel yang digunakan dalam kajian adalah darah manusia, najis budak dan air kencing. Kategori najis mutawassitah yang sering dihadapi oleh masyarakat.

4. Medium yang digunakan pula adalah fabrik dari jenis kapas biasa yang berpoket dan fabrik tebal jenis denim. Mewakili fabrik yang sering digunakan oleh kebiasaan masyarakat di kuar sana.

5. Mesin basuh yang digunakan pula adalah jenis domestik top load jenama Sharp 8kg Fully Auto Washing Machine Washer Es818x dan mesin basuh kedai layan diri front load Electrolux 5th-Generation W5130S. Manakala cecair pencuci yang digunakan adalah jenama Dynamo.

6. Mod basuhan yang digunakan pada mesin basuh adalah mod standard manakala mesin layan diri menggunakan modnya yang telah ditetapkan. Oh, pakaian bernajis tersebut juga dibasuh bersama pakaian lain.

7. Dikatakan sebanyak 5ml sukatan darah manusia telah digunakan bagi setiap sampel. Manakala najis budak yang digunakan juga jelas kelihatan ainnya.

8. Sampel diuji sebaik sahaja basuhan selesai tanpa ada apa-apa campur tangan pengeringan dari matahari yang mungkin boleh merosakkan hasil dapatan dari sampel.

9. Hasil dapatan menunjukkan pakaian yang bernajis ain telah menjadi suci setelah dibasuh menggunakan mesin basuh domestik dan mesin basuh layan diri. Dengan kata lain, tiada langsung kesan najis yang tinggal selepas dicuci dengan mesin tersebut.

10. Jika ada pihak yang ingin menyangkal kajian ini, diminta untuk mendatangkan kajian yang lebih ilmiah, terperinci dan saintifik yang menafikan hasil di atas.

11. Mesin basuh yang biasa digunakan oleh orang ramai sama ada di rumah atau di kedai dobi layan diri sudahpun bermazhab Syafie di mana air yang akan mendatangi pakaian bernajis dan bukan pakaian bernajis yang mendatangi air. Yakni, kita yang memasukkan pakaian bernajis terlebih dahulu, barulah air masuk untuk mencucinya.

12. Mesin basuh ini juga bermazhab Syafie kerana telah menepati kaedah taharah yang sepatutnya iaitu air basuhan disalin dengan beberapa kali bilasan.

13. Hasil kajian juga mendapati sampel darah pada pakaian memang sukar dihilangkan melalui basuhan biasa. Namun ujian mendapati pakaian tersebut telahpun suci dari segala DNA najis apabila dibandingkan dengan sampel kawalan. Ini bermakna jika kesan warna darah sahaja yang masih tinggal, sedangkan bau dan rasanya sudah pun hilang, maka ia sudah pun suci dan warna tersebut dimaafkan. Ianya selari dengan pendapat ulama silam.

14. Harus juga bagi orang Islam untuk menggunakan mesin basuh di kedai dobi layan diri walaupun turut digunakan oleh orang bukan Islam. Selagi mana kita tidak melihat sendiri dan mempunyai keyakinan bahawa ada najis mughallazah pada pakaian yang dibasuh oleh mereka. 

15. Tidak dinafikan bahawa basuhan secara tradisional adalah terlebih baik dan terlebih meyakinkan dalam menghilangkan najis. Namun kajian ini lahir dari perbahasan berdasarkan realiti semasa dan praktikaliti umum masyarakat di luar sana.

Semoga dengan ini terhilanglah dzan-dzan dan segala syak wasangka yang sentiasa menghantui kita selama ini.

Akhir kata, walaupun kita masih mengambil jalan berhati-hati dengan membuat basuhan yang sewajarnya, namun kajian ini merupakan satu rahmat buat mereka yang 'susah' di luar sana.

Mungkin ada yang anaknya ramai, ibu tunggal, hanya ada mesin basuh di kedai, kurang pendedahan dan lain-lain lagi yang tak senasib dengan kita. Dan sekurang-kurangnya masing-masing dah boleh berlapang dada.

Pembentangan Kertas Kerja 2
Tajuk : Hukum Kebersihan Pakaian Bernajis Menggunakan Mesin Basuh
Oleh : YBhg. Dr. Mohd Hapiz Bin Mahaiyadin
Pensyarah, UiTM Shah Alam, Selangor/AJK Fatwa Negeri Pulau Pinang
https://fb.watch/d0WDoJOn3Y/
Link video:
https://www.facebook.com/971387613008936/posts/1803590453121977

Wallahu'alam.

Kredit: Bijen Mohd

#CnPEnterprise
#KaedahTaharah

Selamat Hari Guru



.

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...