Tuesday, June 25, 2013

Dah Jadi Ahli?

"Dah jadi ahli?" sms saya kepada Amir di UIA. "Ahli ape Pa?" balasnya. "Ahli Masjid," jawab saya. "Owh jadi Pa...he he," jawabnya.

Apa makna jadi Ahli Masjid? Hati terpaut kepada Masjid. Rindu dan cinta kepada Masjid. Sangat ingin berkunjung ke Masjid. Sentiasa peka dan sedia untuk ke Masjid. Rasa resah bila tidak ke Masjid. Rasa teruja dan sangat syukur dipilih Allah untuk ke Masjid. Itulah ciri utama Ahli Masjid.

"Ini rezki," kerana tidak semua dapat datang ke Masjid.  Islam mendorong kita jadi orang baik dengan berada di Rumah Allah. Islam mengajak kita bercakap dan mendengar benda baik. Islam mengajar kita untuk membuat amal soleh bagi mendapat petunjuk dan redha Allah. 

Kita datang ke Masjid juga malam ini kerana nak faham Agama supaya dapat beramal dengan perkara yang baik2. Cerdiklah siapa yang datang ke Masjid. Beruntunglah sesiapa yang terpilih untuk datang ke Masjid. 

Menghitung hari? Dalam meniti usia, entah berapa hari lagi yang tinggal?  Benarkah dapat lagi berjumpa Ramadan tahun ini? Belum tentu. 

Terbina Islam atas lima rukun dan terbina Iman atas enam rukun. Ada 13 Rukun semuanya. Adakah sudah faham semua? Adakah sudah beramal semua? Bila dikatakan dirikan solat lima waktu sehari semalam itu sebagai salah satu rukun Islam, maka untuk solat kena ambil wudhuk. Maka jadilah wudhuk itu sebahagian daripada rukun. Bila berkahwin mengikut syariat Islam yang dicetuskan oleh pegangan dua kalimah syahadah itu maka jadilah perkahwinan sebagai tuntutan rukun Islam itu sendiri. Begitu luas ilmu Allah yang hendak di ketahui yang hendak dituntut dan dipelajari.

Maka menjadi Ahli Masjid ini bisa sangat menjana seseorang untuk lebih ada ilmu. Usah segan lagi untuk mampir duduk di majlis2 ilmu di Masjid saban malam. Sangat malang bila Masjid sunyi sepi daripada majlis2 ilmu, sungguh sadis dan pecah amanah sinerio itu. Tambah malang dan petaka besar bila majlis ilmu saban malam diadakan tapi kita tidak kunjung tiba menghadirinya. Jangan leka, tinggal berapa hari lagi usia ini?

Kekadang banyak sangat aircond akan bekukan otak. Naik kereta pasang aircond, pergi ofis aircond, balik rumah aircond, tidur bilik aircond, makan kat restoran aircond. Tentulah otak beku. Bila beku otak walaupun duduk berdekatan dengan Masjid akan gagal hadir ke Masjid. Sayang meninggalkan ruang tamu atau bilek tidur yang ber aircond walaupun azan berkumandang di cuping telinga.

Duduk di Jalan Makruf tapi sekelilingnya mungkar belaka. Duduk di Bukit Beruntung tapi masih rugi tak kesudahan. Rumah di jalan Suaidamai tapi hati dok asyik gundah dan gulana sepanjang masa. Ahli seumur hidup khairat kehidupan tapi lupa nak daftar masuk sebagai ahli khairat kematian. Sepanjang hidup tak pernah jejak kaki ke Masjid tapi bila mati tetap cari orang Masjid untuk urus mayatnya yang mula membusuk.

Berapa ramai pula Ahli Masjid tapi hati masih jauh dari Agama? Berapa ramai yang dekat dengan Masjid tapi tak faham Agama? Berapa ramai pula yang hadir mendengar kuliah Maghrib tapi jiwanya melayang entah kemana. Ini juga masalah. Berapa ramai manusia yang sudah mengaku Ahli Masjid tapi masih menyokong pemimpin yang menolak Islam?

"Pakcik nak tanya, ada tak orang Islam masuk Neraka?" Ustaz menjawab, "Ramai." Kalau setakat dengan nama, orang Islam boleh masuk Syurga maka ramai lah orang Yahudi dapat masuk contohnya di zaman Nabi orang yang bernama Abdullah Bin Ubai seorang kafir yahudi. "Jika seseorang meremeh-remehkan rukun Islam yang lima itu, maka sesatlah orang itu." Hanya orang yang beriman dan bertaqwa yang mendapat redha Allah dapat masuk ke dalam Syurga Allah. Hidayah itu milik mutlak Allah. Semoga kita berada dalam hidayah Allah.

Pemimpin yang kapitalis akan mengkapitaliskan rakyatnya. Pemimpin yang komunis akan mengkomuniskan rakyatnya. Pemimpin yang sekular akan mensekularkan rakyatnya. Itulah lumrah pemimpin yang berkuasa dari dulu hingga kini. 

Di zaman Kerajaan Umaiyyah, Khalifah ke-6 Al-Walid Bin Abdul Malik  tidak minat kepada Agama tapi lebih menumpu kepada pembangunan, suka membina infra, bangunan dan landmark. Dia juga membina tempat perlindungan dan rawatan untuk orang sakit yang menjadi asas kepada hospital yang kita kenali kini. Dia bangga dengan bangunan dan pembangunan fisikal. Pengisian ruhani terabai. Aqidah pemimpin akan mencorak aqidah rakyat jelatanya. 

Khalifah ke-7 ialah Sulaiman Bin Abdul Malik adalah seorang pencinta wanita, sukakan perempuan, makanan, kemewahan dan hiburan. Maka rakyatnya juga menjadikan perempuan, makanan, kemewahan dan hiburan sebagai topik perbincangan. 

Khalifah ke-8 ialah Umar Bin Abdul Aziz seorang pemimpin yang bertaqwa. Misinya jelas memimpin negara kepada redha Allah. Agenda utama ialah Agama. Rakyat bercerita fasal Agama. Di zamannyalah himpunan hadis-hadis dibukukan. Umar Bin Abdul Aziz terkenal dalam sejarah sebagai salah seorang Khalifah yang teragung dalam dunia Islam.

Statistik tahun 2010 yang dipaprkan dalam majalah al-Islam menunjukkan terdapat satu juta anak luar nikah di Malaysia. Maka sudah tentu emak dan bapa anak2 ini juga tidak bernikah. Maka di sini ada tiga juta manusia luar nikah. Satu gejala sosial yang sangat memudaratkan. Apakah solusinya? Kembali kepada Allah.

Larilah berjumpa Allah di rumah-Nya. Jadilah Ahli Masjid. Janganlah menyesal tidak membuat perubahan di dunia ini hinggakan tiada perubahan di Akhirat nanti. Kau terimalah amalanku ya Allah. Kenapa aku tidak jadikan Rasulullah sebagi role model aku? Di Akhirat nanti hanya Rasulullah yang bisa memberi syafaat. Umat terdahulu menyatakan, "Beruntunglah sesiapa yang dapat menjadi umat Nabi Muhammad." Tapi mengapa kita tidak merasa beruntung? Tidak merasa beruntung sehinggakan sanggup menentang Rasulullah.

Sebagai konklusi carilah suasana iman supaya dapat mencetus keimanan yang mantap. Lingkungkan diri bersama sahabat-sahabat yang alim dan bertaqwa. Carilah majlis2 ilmu untuk dihadiri supaya kita dapat jadi orang berilmu kerana sesungguhnya amal tanpa ilmu sangat kosong. Dan orang berilmu itu tinggi darjatnya di sisi Allah. Daftarlah dalam minda masing-masing aku ini Ahli Masjid. Masjid tempat peberet aku, insyaAllah.

@@@

Tuesday, June 18, 2013

Rollercoaster Iman Menuju Ramadan

Iman ini ibarat rollercoaster. Sekejap di atas sekejap di bawah, kekadang di puncak kekadang merundum, sekejap laju sekejap slow down. Apakah itu lumrah hamba yang hina? Ya Allah kekalkan hamba Mu ini dalam istiqamah melakukan ibadah dan amal soleh.

Pada pemanduan rutin sejauh 46km ke tempat kerja pagi ini, seorang hamba Allah memberi perkongsian bahawa dia penuhinya dengan zikrullah, slawat, istighfar dan sedekah hafazan ayat2 suci al-Qur'an kepada arwah orang2 tersayang. Diselit juga dengan muhasabah diri dan tangisan taubat dan memohon keampunan daripada Pencipta. Bukan niat riak katanya cuma sekadar pembakar semangat atau pencetus fikir.

Kalau selama ini kita menghitung pada neraca masa iaitu berapa minit berapa jam berapa hari? Atau jari sibuk dengan tasbih atau counter untuk mengira. Apa kata sepanjang memandu itu kita hitung guna jarak pula, berapa km? Usah peduli bilangan lagi. Mungkin mencapai ribu-ribu. Biar Allah saja yang tahu. Yang penting kita ikhlas nawaitu kerana Allah.

Cuba bayangkan: "Subhanallah" selama 9km, "Alhamdulillah" selama 9km. Kemudian break sekejap mendengar slot motivasi pagi pada pukul 7:30am di radio IKIM sekadar 10 minit. Kemudian sambung "Allahu Akbar" sejauh 9km, Selawat sepanjang 9km, muhasabah diri, penyesalan, taubat dan mohon keampunan Allah sejauh 1km dan Istghfar sejauh 9km lagi. Wow 46km pengisian yang padat dan mantap. Pulang dari ofis pun boleh membuat pengisian sebegini atau yang sewaktu dengannya. Maka tidak sia2lah waktu di jalanan itu. Lagi jem lagi bagus sebab lagi banyak zikirnya.

Cuba bayangkan dari Rumah ke simpang Sg Choh di penuhi dengan bacaan surah2 lazim dengan niat sedekah kepada waris dan kerabat di alam barzakh. Dari Sg Choh ke simpang Mydin Rawang zikir "Subhanallah". Dari Mydin ke Tesco Rawang bibir dibasahi "Alhamdulillah". Dari Tesco ke Selayang "Allahu Akbar". Dari Selayang ke Batu Caves sibuk berselawat. Dari Batu Caves ke Melawati muhasabah diri. Akhirnya Melawati hingga sampai ke ofis istighfar. Perjalanan 46km yng sangat tinggi nilai manfaatnya dalam konteks bekalan harta untuk Akhirat yang kekal abadi.

"Ya Allah aku bergantung harap kepada Mu, hanya pada Mu, tidak pada makhluk. Engkau permudahkan  segala urusanku, cukupkan rezkiku. Janganlah Engkau mufliskan aku di Akhirat yang kekal abadi dan janganlah Engkau mufliskan aku di dunia Mu yang fana ini. Jadikan segala aktivitiku hari ini sebagai ibadah kepada Mu."

Syaaban sudah mencapai angka 9. Bagaimana pengisiannya setakat hari ini? Di simpang tiga Sg Choh tadi saya lihat ada sebuah banner mempromosi satu kuliah maghrib oleh Dr Basit di surau al-Ikhlas Sg Buaya. Terpapar dalam huruf besar kata2, "Rejab dan Syaaban dipinggirkan, Ramadan tidak terkesan, Kenapa?" Begitulah lebih kurang ayatnya. Membawa makna pentingnya perlakuan dan rutin harian kita di bulan Rejab dan Syaaban ini demi untuk memberi kesan hebat pabila Ramadan tiba.

Rejab itu kalau dalam pertanian ibarat buat earthwork, clear semak, ratakan tanah, gemburkan tanah, bakar semak samun, sediakan tapak untuk menanam, menyemai pokok, dan menabur anak benih. 

Syaaban pula dipenuhkan dengan menyiram tanaman, membaja, meracun serangga perosak dan membelai anak pokok dengan kasih sayang demi mencapai pokok dan tanaman yang tumbuh dan membesar dengan subur.

Maka tibanya Ramadan adalah bulan dimana aneka tanaman itu menampakkan hasilnya. Tanaman hijau dan segar. Elok benihnya eloklah hasilnya. Benarlah tidak rugi berbudi pada tanah. Tanam benih yang baik di bulan Rejab/Syaaban untuk dapat hasil yang baik di bulan Ramadan nanti.

Bunga yang berputik bakal menghasilkan buah yang enak dan baik. Kelopak2 daun segar dan pucuk2 baru terus petah bercambah silih berganti. Siraman air yang mencukupi, semak samun yang di cantas, dan pembajaan yang berkahasiat membuatkan pokok sayuran dan buahan yang di tanam membuahkan hasil yang diharapkan untuk manfaat hari2 mendatang. Bukan setakat itu kerana suasana dan cuaca yang elok akan menggandakan hasil tanaman pada kadar yang tak terfikir dek akal. Lumayan sungguh pendapatan si petani dan penguasaha tanah Allah ini. 

Maka Ramadan  akan dimanfaat sepenuhnya tidak lagi lesu atau tiada beza daripada bulan2 yang lain. Ramadan sebagai masa terbaik meraih keuntungan berlipat ganda. Maka sangat penting untuk tidak meminggirkan Rejab dan Syaaban sebagai bulan2 kerja keras untuk memenuhi syarat2 pre-requisite, bulan latihan intensif untuk menguasai segala teknik dan strategi kejayaan. 

Syaaban yang bebaki 20 hari ini jangan dipinggirkan lagi. Penuhi dengan berlatih, berusaha sedaya upaya dan plan bertindak yang di praktikkan iaitu segala aktiviti amal soleh.

Kalau Rejab dimulai dengan 2-3 hari ibadah puasa sunat, mengaji al-Qur'an yang sekali sekala, zikrullah atau slawat yang tidak konsisten, solat tahajjud atau witir yang jarang-jarang, solat dhuha yang kadang-kadang, sedekah yang masih liat, ke masjid yang masih payah, acap ponteng majlis2 ilmu atau solat jemaah yang masih tak lekat, maka Syaaban ini biarlah segalanya berubah. 

Pendakian slow motion sebuah rollercoaster yang akan diikuti dengan penuruan dengan pecutan laju pada landasan berpusing atau bengkang-bengkok yang di hujung landasan itu biar ada kepuasan dan rasa lega yang hebat.

Gandakan usaha amal soleh hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia. Bersihkan hati untuk mudah mensyukuri segala nikmat kurniaan Allah yang tidak terhitung banyaknya, sabar pada setiap ujian Allah dan redha menerima segala ketentuan Allah. 

Usah putus harap. Menaiki rollercoaster iman menuju Ramadan adalah pengalaman yang menyeronokkan pada hati yang hidup, pada jiwa yang dahaga, minda yang sering fikir dan risau. Kekalkan di jalan yang lurus menuju redha Allah. Bila terlintas untuk melakukan sesuatu amal soleh, jangan bertangguh lagi. Terus lakukan.

Di mana pengakhiran hidup ini, apakah di Syurga atau Neraka? Maka setiap langkah dan pengisian masa dalam perjalanan menuju kehidupan akhirat yang kekal itu akan sentiasa diambil secara peka dan berhati-hati. Langkah atau strategi yang silap bisa menjerumus diri ke lembah kehinaan dan penyesalan yang tiada gunanya.

@@@

Monday, June 17, 2013

Iman di UIA

Iman at the Center of
UIA Foundation Studies
Petaling Jaya
Anak kami Iman selamat register ke UIA Foundation Studies di PJ pada 10/6/13 yg lepas. Kini setelah seminggu di sana Iman sudah mula dapat menyesuaikan diri. Agak suprise juga kerana Iman sebenarnya tiada pengalaman tinggal di asrama. Berbeza dengan dua orang roommate dia yang begitu homesick tahap menangis-nangis di telefon kepada ibu masing-masing. Alhamdulillah Iman berjaya melepasi ujian itu. 

Semalam kami melawatnya dan membawanya keluar outing sekejap di Ikea. Saya perhatikan dia ada watak tersendiri yang ceria. Dalam dia bercerita kerimasan tentang kisah roomate yang homesick, kisah bunyi orang alih katil pukul dua pagi, dan kisah sakit perut kerana food poisoning makan kat cafe, berjaya meyakinkan saya untuk melihat dia melalui fasa pengajian para-U ini dangan jaya. Kisah tension giler bila screen TV Astro mengecil di bilek TV tingkat 4 dan remote control pula tidak ada hingga terpaksa tengok juga agak melucukan.

"Papa, macamana nak improve English?" tiba-tiba muncul soalan cepumas. "Papa rasa banyakkan membaca buku dan akhbar English. Bawa buku nota kecil untuk catit perkataan2 yang tak faham dan cari maknanya dalam kamus. Pastu kenalah rajin practise bercakap in English. Jangan segan sebab niat kita nak belajar."

Semalam Iman kami bekalkan dengan sekotak air SeaMaster yang mengandungi 12 botol 1 Liter. Happy dia. Salah satu tabiat baik Iman ialah suka minum air kosong. Mungkin asbab itu dia jarang ditimpa demam atau sakit. Mamanya pula memasak kari kepala ikan, sotong celup tepung, ayam goreng dan ikan bilis goreng berlada kepadanya untuk makan malam. Desertnya sira labu. Juga bekalan keropok goreng dan roti krim. Kakak pula buat muffin untuk Iman. Semasa kami memandu pulang, Iman sms memberitahu bahawa dinnernya di kongsi bersama dengan tiga roommate nya. Alhamdulillah.

Iman akan belajar di kampus PJ ini dan menginap di Marhalah Khadijah untuk tempoh dua tahun berbanding abangnya dulu yang menghabiskan setahun setengah dan kakaknya yang menamatkan dalam setahun sahaja. Saya melihatnya dari sudut positif iaitu demi memberi pengalaman dan mematangkan dia dalam pencarian ilmu dan berdikari dalam kehidupan. Tambahan pula jumlah subjek untuk setiap semesta yang akan diambil tidaklah membebankan sangat. Kami doakan semoga dia berjaya menempatkan diri masuk ke kursus architecture di kampus UIA Gombak nanti.

Iman menyatakan minggu depan nak balik rumah. Kata saya relax la dulu, get to know campus life. Agak kecewa dia. Mamanya memujuk dan menyatakan, "Kita tengok dulu macamana." Dalam kereta mama berbisik kepada saya, "Rasanya Papa drop by after ofis hari Jumaat tu ambik dia." Hmmm hati mama telah berjaya dicairkan nampaknya. 

Anyway sebagai konklusi saya memanjatkan rasa syukur tidak terhingga atas segala nikmat yang telah Allah berikan ini. Tiada lain ia sangat membahagiakan saya dan ibunya termasuk juga abang dan kakaknya. Iman telah terpilih daripada ribuan yang memohon untuk berada di sini bagi pengajian ke tahap IPTA selepas menghabiskan pengajian lima tahun di peringkat sekolah menengahnya. 


Semoga Allah permudahkan segala urusannya dan semoga Iman tabah menghadapi segala cubaan dan ujian. Yang penting supaya Iman menjadi insan berilmu yang bertakwa. Alhamdulillah.

@@@

Friday, June 07, 2013

Fikir Destinasi Akhir

Kemana Hala Tuju Aku Ini ?
Saya melayari blog seorang teman. Saya baca posting dia perihal kekonfiusan dalam kerjaya yang dia lakukan. Sebenarnya ramai yang konfius apakah ini kerjaya yang sesuai untuk aku? Apakah ini yang aku seronok untuk lakukan? Aku ada degree dalam bidang ini tapi aku sebenar rasa tak berupaya atau tak berminat sebenarnya dalam bidang ini. 

Saya juga sering bosan dengan kerja rutin yang saya lakukan. Malah dinyatakan ramai kelompok pekerja pertengahan umur hinggalah ke peringkat dah nak sampai umur pencen pun sering mengeluh atau tidak merasa kepuasan dalam kerjaya yang mereka lakukan atau terpaksa jalani sebagai sumbar rezki. Jika tidak dikawal emosi sebegini boleh menjana musibah terutamanya penyakit stress atau kemurungan. Yang penting walau apapun tugasan kita mestilah mebuatnya menjadi seronok. 

Bayangkan jika kita menghabiskan 8 jam di ofis setiap hari maka sangat afdal kita alehkan kemurungan atau kedukacitaan menjadi keceriaan dan kepuasan, iaitu bekerja kerana Allah. Usah mengeluh lagi. Lakukan kerja dengan amanah dan tambah nilai supaya tinggi hasil mutu kerja kita. Disamping itu selitkan dengan aktiviti yang kita suka dan memberi manfaat. Jadikan masa kerja itu penuh produktiviti dan niat kerana Allah agar ianya menjadi ibadah yang ada nilaian di sisi Allah.

Kemudian jika habiskan 3 jam setiap kali memandu pergi dan pulang dari tempat kerja, jangan sia-siakan masa itu. Penuhi dengan mendengar ceramah agama atau siri motivasi di radio atau selang-selikan dengan irama lagu yang melunak jiwa. Jangan lupa untuk menjadikan rutin zikrullah, selawat dan istighfar di kala perjalanan tika memandu keseorangan itu. 

Dan satu lagi yang saya selalu amalkan ialah bermuhasabah diri, mengadu domba kepada Allah akan segala sesuatu yang terlintas kerana sesungguhnya Allah amat dekat dan Maha Mendengar segala keluhan, rintihan dan luahan rasa itu. Itu rasa saya sangat lebih  elok kalau nak dibandingkan dengan hanya mengeluh akibat stres trafik yang jem atau sumpah seranah pada pemandu2 yang lain yang kita anggap menyakitkan hati atau sekadar merenung jalan tanpa apa-apa pengertian.

Ada orang bijak cakap dalam kerja kita ni hanya 20% skil teknikal yang kita perlu tapi 80% lagi ialah sikap atau emotional competencies yang sangat diperlukan.  Don't worry ramai yang konpius. Namun semarakkan sikap positif dalam diri agar dapat padamkan segala api kegusaran itu.

Acap kita rasa problem aku ini sangat berat hingga mungkin saja aku putus asa namun percayalah ia problem kecil sahaja kalau nak dibandingkan dengan problem yang lebih besar di luar sana. Bergantung harap bukan pada makhluk tapi bergantung haraplah pada Pencipta makhluk iaitu Allah SWT pada setiap masa. Setiap sesuatu yang berlaku ini pasti ada hikmahnya yang kekadang memang tidak tercapai oleh akal. 

Berpeganglah pada SSP iaitu banyakkan Syukur pada segala nikmat yang Allah kurniakan ini. Banyakkan Sabar pada setiap ujian dan dugaan. Dan banyakkan Redha pada setiap ketentuan Allah.

Saya mendengar Ustaz bercerita malam tadi di Surau, "Saya bercuti selama 12 hari balik kampung atas urusan tiga kematian dalam keluarga yang berlaku dalam tempoh itu. Pertama anak saudara saya seorang wanita berusia 31 tahun, mahasiswa PHD di UiTM. Mengikut ibunya, arwah seorang wanita baik pekerti yang sangat menjaga aurat dan istiqamah menjaga solat tahajjud dan solat dhuha. Di suatu pagi usai solat subuh dan sempat beristighfar sebanyak 3x, mengadu kepada kawan2 serumah dia rasa sejuk walaupun berpeluh, lalu diselimutkan. 

Dalam siatuasi ini dia berpesan bahawa duit kiriman bapanya beberapa hari lalu untuk tujuan bayaran muka kereta telah dia gunakan untuk melangsaikan baki bayaran PTPTN dan tiada lagi hutang lain melainkan dia berpesan agar kawannya dapat memberitahu ibunya bahawa dia tidak sempat lagi qada puasa sebanyak dua hari. Kemudian dia telah menghembuskan nafas terakhir. Ustazah yang menguruskan jenazahnya untuk pengkebumian menyatakan bahawa jenazahnya masih panas seolah orang yang tidur dan masih hidup."

Kedua ialah bapa mertua Ustaz yang mati kemalangan di langgar lari oleh pemandu sebuah kereta Waja yang hingga kini gagal dikesan. Dia meninggal di HUSM asbab limpa yang rusak teruk walaupun tulang rusuknya tidak patah. Ustaz bercerita bapa mertuanya ini sering berulang-alik dengan motornya ke hospital Tanah Merah untuk menjaga bapa mertuanya yang sakit asma yang kronik. 

Takdir Allah menentukan bahawa dia meninggal dulu semasa pulang dari menghadiri jamuan kenduri kerabatnya di Kota Bharu. Beberapa hari selepas itu kematian ketiga ialah bapa mertuanya yang terlantar sakit di Hospital Tanah Merah berkenaan. Maka lengkaplah tiga kematian dalam masa 12 hari, kata Ustaz.

Kawan saya di ofis tadi sambil membaca berita seorang staf PPJ berusia 25 tahun yang maut akibat simpton akut gunung (AMS) pada ekspedisi mendaki Gunung Kala Pathar dan Everest Base Camp di akhbar, telah memberi pendapatnya bahawa ini mengkin berlaku kerana tidak cukup latihan intensif yang sewajarnya bagi misi yang lasak dan mencabar itu. 

Saya memberi respon bahawa sebenarnya Malikul Maut sangat amanah dan efisyen dalam menjalankan tugasnya. Maka walaupun sehebat mana latihan yang diberikan atau persiapan yang dibuat pada misi pendakian mencabar itu, jika sudah tiba detik kematian yang termaktub di Luhz Mahfudz itu maka tiada apa sebenarnya dapat mengelakkannya. Itulah hakikat sebenar sebuah kematian.

Sebagai konklusi saya mengajak kita memandang kehidupan dalam prospektif yang luas hingga menjangkau kehidupan Akhirat. Anggaplah kehidupan kita di dunia ini sebagai persinggahan seorang musafir yang destinasi akhirnya ialah kampung halaman tinggalan Datok dan Nenek iaitu Arwah Nabi Adam dan isterinya Hawa iaitu di sebuah lokasi bernama Syurga Allah. Untuk itu sangat utama untuk mencari bekalan sebanyak mungkin demi perjalanan yang jauh dan kehidupan yang kekal abadi di sana nanti.

@@@

Thursday, June 06, 2013

Sedikit Ketawa Banyak Menangis

Pada satu pencerahan majlis ilmu beberapa minggu lalu Ustaz ada menyebut pasal SMS. SMS pertama ialah "Susah Masuk Syurga". Kenapa? Kerana maksiat. Manakala SMS kedua pula ialah "Senang Masuk Syurga." Macamana? Senang buat ketaatan pada Allah.


Doa Iftitah
Hari-hari kita baca doa iftitah sebagai doa pembuka dalam solat. Cuba kita renung terjemahannya:


  • Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya.
  • Maha suci Allah sepanjang pagi dan petang.
  • Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit dan bumi,
  • dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang musyrik. 
  • Sesungguhnya solatku,ibadatku,hidupku,matiku adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam.
  • Tidak ada sekutu bagiNya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagiNya dan aku dari golongan orang Islam. 


Rindu syurga tapi sikap masih tidak taat pada Allah & Rasul. Ungkap pelbagai ikrar tapi bohong belaka. Seolah-olah merasakan Allah tidak nampak atau tidak tahu akan pembohongan dan segala pengkhianatan itu. Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam. Benar? Atau bohong? Sendiri tanya sendiri jawab.

Bila engkar perjanjian dengan Allah maka akibatnya ialah dibakar oleh api neraka. Asbab kelalaian maka dihumban ke dalam neraka. Di bibir mengajak untuk taat kepada Allah. Bohong.

Salah satu asbab kamu dicampak ke dalam neraka Allah ialah gelak ketawa. Simple tapi kesannya cukup dahsyat. Orang yang ingat Akhirat tiada ruang untuk ketawa. 


Imam Hasan Al-Basri berkata: "Sungguh ajaib seseorang dapat tertawa pada hal dibelakangnya ada api neraka dan orang yang bersuka-suka sedang dibelakangnya maut."

Hasan Al-Basri bertemu dengan pemuda yang sedang tertawa, lalu ditanya: "Hai anak, apakah engkau sudah menyeberang titian sirat?" Jawabnya: "Belum." "Apakah engkau pasti engkau akan masuk syurga atau neraka?" Jawabnya: "Belum." "Lalu kerana apa engkau tertawa sedemikian itu?" Maka sejak itu pemuda itu tidak tertawa lagi. Nasihat Hasan Al-Basri meresap benar dalam hatiya sehingga ia bertaubat daripada tertawaan. 

Demikianlah nasihat dari ulama yang mengamalkan benar ilmunya, sangat berguna ilmunya dan berkesan nasihat-nasihatnya, adapun ulama-ulama sekarang kerana mereka sendiri tidak menjalankan ilmunya maka ajarannya kurang berkesan.

Orang yang banyak gelak ketawa dan sedikit menangis akan jauh dari Penciptanya. Maka jauhkan gelak ketawa. Kalau ada gelak ketawa masih ada maksiat yang dilakukan. Makin banyak ilmu kena makin banyak rasa ada maksiat. Bermunajat kepda Allah, suloh diri dan taubat. Kita dambakan akhir kehidupan sebagai insan beriman yang mendapat redha Allah untuk merasai syurga Allah.

Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Ibn Umar RA berkata: "Pada suatu hari Nabi Muhammad SAW keluar ke masjid, tiba-tiba ada orang berbicara-bicara sambil tertawa, maka Nabi Muhammad SAW berhenti di depan mereka dan memberi salam lalu bersabda: "Perbanyaklah mengingati yang merosak kelazatan." Sahabat bertanya: "Apakah yang merosakkan kelazatan itu?" Jawab Nabi Muhammad SAW: "Mati." 

Kemudian Nabi Muhammad SAW keluar melihat orang-orang sedang tertawa gelak-gembira, maka Nabi Muhammad SAW bersabda kepada mereka: "Ingatlah demi Allah yang jiwaku ditangan-Nya andaikan kamu mengetahui sebagaimana yang aku ketahui nescaya kamu sedikit tertawa dan banyak menangis." 

Kemudian dilain hari keluar pula dan melihat orang-orang sedang gelak ketawa sambil berbicara-bicara, maka Nabi Muhammad SAW  memberi salam dan berkata: "Sesungguhnya Islam ini pada mulanya asing dan akan kembali asing, maka untung bagi orang-orang yang asing pada hari kiamat." Ditanya: "Siapakah orang-orang asing itu pada hari kiamat?" Jawab Nabi Muhammad SAW: "Ialah mereka yang memperbaiki dimasa kerosakan manusia." (Yakni jika manusia telah rosak moralnya (akhlak) maka mereka tetap memperbaiki akhlak mereka.)

Imam Abu Hanifah berkata, "Saya pernah tertawa satu kali dan saya sangat menyesal atas kejadian itu iaitu ketika saya berdebat dengan Amr bin Ubaid Alqadari (Orang bermazhab Qodariyah yang tidak percaya pada takdir Allah SWT), ketika saya merasa menang lalu tertawa." Maka dia berkata, "Engkau bicara tentang ilmu dan tertawa, maka saya tidak akan berkata-kata kepadamu untuk selamanya." Maka saya sangat menyesal, sebab andaikan saya tidak tertawa nescaya akan dapat menundukkannya dengan kefahaman saya sehingga menjadi kebaikan bagi ilmu."

Ibn Abbas r.a. berkata: "Siapa yang tertawa ketika berbuat dosa maka ia akan menangis ketika akan masuk neraka." Orang yang lebih banyak ketawa didunia merekalah yang lebih banyak menangis diakhirat, dan orang yang banyak menangis didunia merekalah yang banyak tertawa diakhirat.

Justru itu pahatkan diminda dan zahirkan pada amalan SMS(Senang Masuk Syurga) iaitu tidak berbohong lagi dalam menunaikan akujanji doa iftitah yang dilafazkan setiap hari itu, "Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam." Dan hayati pesanan Rasulullah agar sedikit tertawa dan banyak menangis.

@@@

Tuesday, June 04, 2013

Manusia Mudah Lupa

Abu Nawas masuk ke masjid meninggalkan keldainya di luar masjid. Selepas selesai urusannya di masjid beliau pun keluar dari masjid untuk pulang. “Aik mana keldai aku?”  tanya Abu Nawas kepada orang sekeliling. “Sudah di bawa lari agaknya, sebab Pak Abu tak tambat keldai itu,” sampuk seorang pemuda. “Alhamdulillah,” jawab Abu Nawas. “Kenapa Pak Abu ucap begitu?” pemuda tadi ingin tahu. “Ya lah aku bersyukur kepada Allah. Nasib baik aku tak ada atas keldai itu. Kalau tidak aku akan turut menjadi mangsa hilang entah ke mana.”

Pada satu hari, raja memanggil seluruh bijak pandai dalam Negara. “Siapa yang dapat mengira berapa jumlah bintang di langit akan Beta bagi hadiah yang lumayan.” Semua bijak pandai yang hadir mengeleng-ngelengkan kepala kecuali Abu Nawas. Raja pun memanggil Abu Nawas mengadap. “Hai Abu Nawas, adakah kamu dapat mengira bintang-bintang di langit?” Abu Nawas dengan relax terus menjawab, “InsyaAllah.” Maka Raja pun memberi ruang masa untuk Abu Nawas mengiranya. “Saya minta seekor biri-biri jantan di bawa kemari,” pinta Abu Nawas. Maka seekor biri-biri jantan di bawa oleh khadam istana ke hadapan Abu Nawas. “Mengikut perkiraan patek, jumlah bintang yang ada di langit sama banyaknya dengan jumlah helaian bulu yang ada pada kambing jantan ini.”

Pak Pandir membeli tiket kelas ekonomi Air Asia semasa musim cuti sekolah kerana berhajat untuk pulang bercuti ke Kota Bharu. Selepas check-in dia pun naik kapalterbang dan duduk di kerusi paling depan. Pramugari meminta Pak Pandir untuk pindah ke kerusi belakang kerana kerusi depan ini adalah untuk kelas bisnes, namun Pak Pandir tidak mahu berganjak. “Saya selesa di sini, terima kasih,” katanya dengan sopan. 

Beberapa lagi pramugari yang bertugas meminta Pak Pandir untuk pergi ke ruang penumpang kelas ekonomi tetapi semuanya gagal. Akhirnya pramugari berjumpa dengan pilot untuk menyelesaikan masalah ini. Pilot itu pun datang berbisik sesuatu ke telinga Pak Pandir. Beberapa minit kemudian Pak Pandir terus pindah ke kerusi di kelas ekonomi. Pramugari tadi terus bertemu dengan pilot bertanyakan rahsia dan helah pilot bila berdepan dengan Pak Pandir tadi. “Saya tanya dia hendak ke mana? Katanya hendak ke Kota Bharu. Jadi saya kata Kota Bharu kena naik kerusi belakang. Sebab kerusi depan ni untuk ke Penang.”

Pada satu malam yang kelam usai pulang dari masjid, semasa berjalan di tepi jalan Pak Pandir kehilangan beberapa keping duit syiling dari poketnya. Malam yang gelap menyukarkan dia untuk mengesan duit yang jatuh ke tanah itu. Lalu dia pun terus melangkah beberapa meter ke depan ke kawasan yang agak cerah oleh limpahan lampu jalan. “Cari apa tu Pak Pandir?” tanya seorang pemuda. “Cari duit aku yang terjatuh, tak jumpa-jumpa lagi.” Pemuda tadi pun menyertai Pak Pandir dalam proses pencarian itu. “Duit Pak Pandir jatuh kat mana?” tanya pemuda tadi untuk kepastian. “Kat sana tu?” jawab Pak Pandir  sambil menuding jari hantunya ke arah tepi yang jalan yang gelap. “Habis tu kenapa Pak Pandir cari kat sini?” tanya pemuda itu dengan bengang. “Kat sini kan cerah sikit,” jawab Pak Pandir penuh ikhlas.

Ustaz tempoh hari ada bercerita kisah dia dengan mata rabunnya. Ustaz masbuk solat maghrib berjemaah di sebuah masjid. Dia meletakkan kaca matanya di atas sejadah tempat solat. Bila Imam memberi salam Ustaz terus bangkit untuk sambung rakaatnya. Ada pula budak ni terpijak kaca mata Ustaz maka pecahlah kacanya. Ustaz pun redha cuma risau juga sebab Ustaz rabun. Tapi Ustaz teruskan juga kuliah maghribnya mengajar sirah dalam keadaan rabun itu. “Ustaz nampak ke nak drive untuk balik ni?” tanya Tok Siak yang prihatin usai kuliah maghrib itu. “InsyaAllah ok,” jawab Ustaz walaupun di hatinya agak kerisauan. Kita sering alpa dan tidak bersyukur atas nikmat yang Allah kurnia kepada kita hinggalah nikmat itu di tarik balik oleh Allah. Betul tak? “Malam itu saya teraba-raba nak pandu kereta kerana mata yang rabun. Akhirnya saya singgah di sebuah surau dan bermalam di situ menunggu subuh. Bila hari siang baru saya pandu kereta balik ke rumah.”

Ada kelompok manusia yang jadi sombong dan lupa bahawa segala yang ada padanya hari ini adalah kurniaan Allah belaka dan milik Allah belaka. Manusia lupa oksigen yang disedut itu milik Allah. Karbon dioksid yang dihembus keluar itu milik Allah. Daun-daun pokok menyedut karbon dioksid itu dan mengeluarkan oksigen kembali ke ruang udara untuk disedut oleh manusia dan haiwan. Betapa cantek dan sempurnanya sistem ciptaan Allah.

Ada seorang tua pengidap kusta di Sungai Buloh. Jari jemarinya tidak dapat di bengkokkan. Susahnya dia untuk menjalankan urusan hidup secara normal. Untuk makan dia kena guna sudu. Nak basuh berak pun payah. Maka syukurilah nikmat jari jemari yang dapat di gerak-gerakan pada setiap sendi itu. 

Gigi juga nikmat. Namun sayang ramai yang lupa hinggalah satu hari sakit gigi atau gigi sudah rosak atau goyang atau terpaksa dicabut. “Alangkah bestnya kalau saya ada gigi untuk kunyah kacang kuda ini.” Ramai yang baru fikir soal nikmat ini pabila nikmat itu sudah hilang. Sesal tiada guna lagi.

Sifat orang mukmin ialah memberi penghargaan dan terima kasih kepada pemberi nikmat itu. Penghargaan itu bukan sekadar ungkapan Alhamdulillah semata tetapi ialah dengan menzahirkan kelakuan dan amalan dengan menggunakan segala nikmat kurniaan Allah ini untuk taat kepada Islam taat kepada Allah. Janganlah terlibat dengan perbuatan yang boleh meragukan orang kepada Islam.

Yang paling parah ialah orang yang munafik dan kufur dengan Allah dalam keadaan Allah bagi pelbagai nikmat kepadanya. Dia lupa dan lalai. Dia dapat sepasang mata yang begitu canggih daripada Allah tetapi depan mata itu pun dia terus kufur dan gagal mentaati segala perintah Allah  malah terus menerus bangga dengan adegan maksiat dan dosa.

“Ish ish anak sapa tu dok berdua-duaan dalam semak tu Pak Imam?” tanya Tok Siak kepada Pak Imam usai solat asar di beranda Masjid. “Eh, nampak susuk tubuh tu macam anak hang Tok Siak.” Terkedu Tok Siak menggaru kepalanya yang penuh uban. Haru kita bila anak muda yang kita sedang kutuk itu rupanya darah daging kita sendiri. Maka benarlah iman tidak boleh diwarisi dari seorang ayah yang bertakwa. Iman juga tidak boleh dijual beli.

Allah bukan sekadar cipta kamu tapi ayah kamu dan datok nenek kamu malah seluruh infarstruktur alam maya ini. Dalam pada bumi ini bergerak berputar di atas paksinya, kita tak terasa pula pergerakan bumi itu malah terus rasa tegak berdiri di dataran yang terhampar. Bulan, bintang, seluruh planet dan matahari setia pada landasan masing2 bergerak penuh harmoni dalam sebuah sistem hebat reka cipta daripada Yang Maha Pencipta iaitu Allah SWT.
Nikmat air yang turun dari langit, di kumpulkan di awan dan turun secara berdikit-dikit sebagai taburan hujan adalah tanda kehebatan ciptaan Allah SWT. 

Cuba bayangkan jika Allah memilih untuk menurunkan air dari langit secara direct. Sudah tentu hancur berkecai segala yang ada di bumi. Masih ingatkah kita beberapa tahun dulu satu kejadian di mana tangki air yang pecah di atas bumbung rumah pangsa menyebabkan air jatuh ke bumi secara direct ibarat hempakan batu besar yang telah menyebakan beberapa kematian kerana kesan hempap di kawasan parking rumah pangsa 20 tingkat itu. Sesungguhnya nikmat air hujan yang Allah turunkan itu adalah terlalu hebat dan agung sifatnya untuk orang2 yang mahu renung dan fikirkan.

Orang yahudi dan nasrani sebenarnya mengaku akan kewujudan Allah tapi mereka tidak mahu mengaku akan kenabian Rasulullah SAW pabila lahir Rasulullah bukan dalam kalangan kaum mereka. Begitu juga dengan orang arab Quraish yang menolak kenabian Rasulullah kerana merasakan diri mereka yang hebat dan tinggi darjatnya berbanding dengan Nabi yang yatim paitu, miskin dan buta huruf itu.

Islam tidak mengajar manusia untuk mengagungkan kaum, bangsa, keturunan dan warna kulit. Tidak salah untuk sayang kepada bangsa sendiri namun jangan pula sampai merendah-rendahkan atau sampai mengutuk dan mencaci kaum atau bangsa lain. Itu sombong namanya. Kamu bukan mulia kerana keturunan, pangkat  dan warna kulit kamu tetapi mulianya kamu kerana takwa.

Allah cipta manusia ini berpuak-puak, berkabilah-kabilah dan berbangsa-bangsa. Untuk apa? Supaya kamu saling berkenal-kenalan. Bayangkan kalau rupa kita ini sama dan sepesen sahaja, bukankah payah untuk membezakan antara satu sama lain dan susah kenal-mengenali. Fitrah manusia hendak berbeza. Hakikat manusia, kita berbeza. Yang utama kena tolong menolong dalam usha kebaikan bukan kepada keburukan dan perkara-perkara maksiat.

Manusia bila rasa dah lebih sangat dah besar sangat maka dia tindas orang lain. Dan sifat manusia pula ialah takut kepada pihak berkuasa melebihi daripada takut kepada Yang Maha Berkuasa. Seolah-olahnya segala kezaliman dan maksiat yang dilakukan itu terlepas daripada pengetahuan Allah Yang Maha Berkuasa. Maka dia kekal membuat maksiat dan dosa.

Akhirnya kita kena kembali ke pangkal jalan pada hakikat yang sebenar. Tolong hargai segala nikmat pemberian dan pinjaman Allah ini. Bagaimana? Iaitu dengan mengabdikan diri kepada Allah. Iaitu dengan bersyukur atas segala nikmat pemberian Allah yang tidak terhingga banyaknya ini. Takut kepada Allah dan takut kepada bakaran api neraka Allah.

Ya Allah ajarkan kami apa yang kami jahil. Ya Allah ingatkan kami apa yang kami lupa.

@@@

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...