CLICK n GO

Sunday, September 30, 2012

Dr Zakir Naik Tour of Malaysia 2012



Alhamdulillah malam tadi saya dan keluarga telah berpeluang menghadiri public talk oleh pendakwah tersohor dunia iaitu Dr Zakir Naik di Dewan Agong Tuanku Canselor UiTM. Ribuan hadirin memenuhi setiap ruang di dalam dewan. Skrin2 besar juga disediakan di sekeliling luar Dewan yang mana sistem video dan audionya sangat baik dan jelas. 

Pada 7 Okt 2012 ini, Dr Zakir akan mengadakan Public Talk di PWTC. Ramai2lah mendaftar dan jangan lepaskan peluang kekemasan ini. Untuk pengetahuan semua, kunjungan Dr Zakir kali ini adalah yang pertama selepas 11 tahun yang lalu. Maka tidak tahu bilakah Dr Zakir berpeluang menjejaki kakinya ke Negara ini lagi. 

Kemasukan adalah percuma dan berdasarkan siapa cepat dia dapat tetapi anda perlu mendaftar di sini –>> http://drzakirnaikmalaysiantour2012.eventbrite.com/ dahulu. 

Beliau berkelulusan Doktor Perubatan adalah seorang pendakwah bebas yang mendapat gelaran ‘walking Computer’ kerana ingatan beliau yang luar biasa, beliau juga digelar ‘Deedat Plus’ kerana kebolehan beliau berhujah mengenai Islam dan Kristian sebagaimana Ahmad Deedat, tetapi Dr. Zakir Naik memiliki lebih banyak kelebihan lagi. 

Di dalam perdebatan, beliau secara bersahaja memetik kandungan Al-Quran, Hadith, Bible, Kitab2 Hindu dan Budha serta buku dan kajian terkini sains dan teknologi. Semuanya beliau lakukan melalui ingatan luarbiasa beliau tanpa merujuk kepada sebarang teks. Tajuk Public Talk Dr Zakir malam tadi ialah Universal Brotherhood. 


Antara poin penting ialah Dr Zakir mengajak seluruh penganut agama supaya mematuhi ajaran dari sumber yang asal iaitu Kitab agama masing2 untuk mencari persamaan demi mencapai hidup yang harmoni antara kaum dan agama bagi memenuhi semangat persaudaraan sejagat (Universal Brotherhood). 

Usah fokus kepada perbezaan tetapi kepada persamaan. Contohnya pabila Bible menyatakan bahawa Nabi Isa tidak pernah mengajak manusia menyembahnya sebagai Tuhan maka hendaklah penganut agamnya mematuhi arahan yang tercatat dalam Kitab Bible itu. Pabila Bible melarang penganutnya memakan daging babi (pork) maka janganlah di makan babi. Itulah asasnya. Pabila Bible meminta wanitanya menutup aurat maka yang peliknya hanya paderi2 wanita mereka yang mematuhi. 

Semua agama sebenarnya mengajak manusia menyembah Tuhan yang satu. Yang nyata penganut agama telah banyak memesongkan fakta sehingga menjadikan agama itu penuh dengan tokok tambah untuk memenuhi kepentingan sendiri dan selera hawa nafsu. 

Pabila Bible menyatakan hubungan kelamin hanya melalui ikatan perkahwinan maka sewajarnya budaya seks di luar nikah yang diamalkan oleh majoriti penganut mereka itu tidak patut berlaku, yang dinyatakan oleh Dr Zakir mengikut statistik purata rakyat Amerika terlibat melakukan seks dengan 8 pasangan yang berbeza sebelum berkahwin. 

Pabila Bible menyatakan dengan jelas akan kedatangan Nabi akhir zaman maka hendaknya penganut mematuhi hakikat itu. Maka Dr Zakir berkata bahawa pada hakikatnya dia lebih Kristian daripada penganut Kristian itu sendiri kerana mematuhi ajaran daripada Kitab Bible itu.

Dr Zakir menyatakan penyataan tauhid iaitu pengakuan profil Tuhan itu hendaklah memenuhi empat ciri utama sebagaimana yang terkandung dalam Surah al-Ikhlas:
  1. Katakanlah  (wahai Muhammad) Tuhanku adalah Allah yang Maha Esa 
  2. Allah yang menjadi tumpuan sekelian makhluk untuk memohon sebarang hajat
  3. Ia tidak beranak dan tidak diperanakkan
  4. Dan tiada sesiapa pun yang serupa dengan-Nya.
Maka pabila dikatakan oleh penganut Kristian Tuhan itu punya anak, maka secara mutlak Tuhan yang dimaksudkan mereka itu bukan Allah. Pabila penganut agama Hindu menyembah pelbagai Dewa sebagai Tuhan, maka jelas Tuhan yang mereka sembah itu bukan Allah kerana ia tidak memenuhi empat ciri asas di atas. 

Justru kita tidak melarang penganut agama lain menggunakan kalimah Allah untuk menggantikan kalimah Tuhan kerana Allah itu ialah Tuhan untuk seluruh manusia, namun ia mestilah memenuhi 4 ciri di atas yang menjadikan Allah sebagai unik, dan tidak sama sebagaimana Tuhan yang disembah oleh penganut agama lain.
  1. Say: He is Allah, the One and Only;
  2. Allah, the Eternal; Absolute;
  3. He begetteth not, nor is He begotten;
  4. And there is none like unto Him.
Dan Public Talk malam tadi di akhiri dengan sessi Q&A yang memberi keutamaan kepada peserta non-muslim. Ada seorang wanita sikh menyatakan bahawa dia mengakui Tuhan itu satu, dan mengakui bahawa Muhammad itu pesuruh Allah, namun memohon panduan daripada Dr Zakir untuk meyakinkan ibubapanya. Dr Zakir berkata bahawa 'syurga di bawak tapak kaki ibu' dan sebagai anak wajar mematuhi ibunya walaupun ibunya masih belum beriman. 

Cara terbaik ialah menunjukkan kepatuhan dan tanggung-jawab kepada ibu selagi mana ianya tidak bercanggah dengan syariaat. Dr Zakir juga mencadangkan sebuah buku iaitu The Frequent Asked Questions About Islam karangan beliau, yang dapat memberi pencerahan kepada salah faham berkenaan Islam.

@@@

Monday, September 24, 2012

Senyum Hingga ke Syurga


Tempoh hari saya terserempak dengan seorang Pakcik tua. Dia tersenyum dan mengundang saya ke rumahnya. Beberapa orang pemuda Indon ada di laman rumahnya. Rupanya kerja2 renovation rumahnya sedang rancak berjalan. 

Orang tua itu mempelawa saya melihat sekeliling rumahnya. Bahagian belakang dan tepi rumah di sambung beskala besar. Bilek tidur dan bilek air di tambah. Dapur juga di besarkan. Saya anggarkan kos renovation ini mungkin melebihi kos Pakcik ini membeli rumahnya. Bila dicampur, kos rumah ini mungkin sudah mencapai angka setengah juta rasa saya.

“Wa besar rumah Pakcik ya”, sapa saya. “Alhamdulillah”, jawabnya. “Anak2 dok ngan Pakcik ke?” tanya saya. “Taklah, kami tinggal berdua je.” Hmmm…pelik pula rasanya, rumah bungalow sebegini besar hanya akan dihuni oleh mereka berdua cuma. 

Isterinya yang nampak sebaya umur dengannya kelihatan kepenatan menuruni tangga dari tingkat atas untuk bertemu kami. Terlintas pula di hati, sudah tentu sukar baginya untuk menyelenggara rumah besar ini. Tapi ada orang gaji agaknya. Rasa saya kalau Pakcik ini tidak renovate rumah asal pun sudah cukup besar untuk mereka berdua. Terfikir pula berapa lamakah agaknya pasangan warga emas ini bisa menikmati kehidupan di rumah mereka yang tersergam sebelum ajal menjemput?

Saya berpendapat adalah lebih afdal untuk membelanjakan harta yang ada pada usia sebegini untuk kekayaan kekal di akhirat nanti. Contohnya infaq harta untuk membina surau dan masjid. Namun senang bercakap daripada membuat. Jikalah Allah memilih untuk menguji diri ini dengan kekayaan harta dunia belum tentu sanggup berkorban harta itu untuk infaq ke jalan Allah dan beramal jariah untuk kebaikan ummah dan mencari redha Allah, belum tentu.

Justru saya terus bersangka baik. Mungkin niat pasangan warga emas ini untuk menginfaqkan bungalownya kepada pusat tahfiz pada suatu masa nanti. Amal Jariah Bekalan Akhirat.

Saya terbaca dalam beberapa petikan blog mengenai hakikat bekalan harta yang berkekalan untuk kita kongsi2kan bersama agar memahami mana itu senda gurau kehidupan dan  mengenali pula apa itu kebahagiaan yang kekal abadi...

Dari Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Seorang mukmin selepas kematiannya akan terus mendapat ganjaran daripada amal kebaikannya iaitu melalui ilmu yang dipelajari lalu diajarkan kepada orang lain dan terus disebarkannya. Anak-anak yang salih yang ditinggalkan, Al-Quran yang diwariskan atau masjid-masjid yang dibinanya atau rumah-rumah musafir di perjalanan yang didirikannya atau anak-anak sungai yang dialirinya atau sedekah yang dikeluarkan daripada hartanya ketika sihat dan hidupnya yang berterusan selepas kematiannya (ini berupa wakaf yang berkekalan untuknya)." -Hadith riwayat Ibnu Majah


Kematian adalah suatu yang pasti dihadapi oleh setiap insan bernyawa. Namun, kematian yang mendatangi manusia itu tidak diketahui detik, masa dan tempatnya. Semua itu termasuk antara rahsia Allah SWT. Firman Allah bermaksud: “Dan tidak ada satu diri pun yang akan mati melainkan dengan izin Allah pada suatu waktu yang akan ditentukan.” 
(Surah Ali Imran, ayat 145)

Luqman al-Hakim pernah berkata kepada anaknya: “Wahai anakku! Urusan yang tidak engkau ketahui bila ia akan menemuimu. Bersedialah sebelum ia datang kepadamu. Ia adalah kematian yang datangnya tidak pernah diundang.” 

Kematian ialah proses terputusnya hubungan di antara roh dan jasad. Kematian itu ialah proses terhentinya jasmani seperti nafas, perjalanan darah, gerak fikiran, perasaan, tenaga dan lain-lain daripada berfungsi seperti biasa. Kematian adalah batas sempurnanya roh dalam hidup makhluk.

Kematian bererti menghilangkan seluruh daya selama roh itu berada dalam genggaman Allah. Kerahsiaan detik kematian itu adalah rahsia Allah untuk memberi peringatan supaya manusia membuat persediaan setiap masa sebelum kematian datang menjelma kerana ia akan muncul secara tiba-tiba. Lantaran itulah setiap manusia digalakkan beramal sepanjang masa sebagai bekal pahala yang akan dibawa ke alam barzakh.

Persediaan pahala perlu dibekal sebanyak mungkin bagi menjamin keselamatan dan keselesaan hidup di alam sana. Pokok persoalan yang ingin diketengahkan adalah bekalan pahala berpanjangan bagi si mati walaupun telah menempuh alam kematian. 

Hanya tiga perkara yang akan mengikuti jenazah ke tanah perkuburan, iaitu amalannya ketika hidup, kaum-kerabat dan sanak-saudara serta harta peninggalannya. Namun, hanya satu yang akan tetap setia sanggup bersama dan bersemadi dengan si mati di dalam kubur, iaitu amalannya.

“Carilah rezeki dengan bersedekah.” Saidina Ali RA pernah menyatakan. Pesanan ini menerangkan kepada kita bahawa dengan bersedekah, rezeki seseorang itu dimurahkan.

Hadis berikut ini pula menyeru kita agar rajin bersedekah kerana Allah akan memberi kita rezeki dan kesenangan melalui bersedekah. “Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah, sebelum kamu mati. Bersegeralah melakukan amalan amalan salih sebelum kamu kesibukan dan hubungilah antara kamu dengan Tuhan kamu dengan membanyakkan sebutan (zikir) kamu kepadaNya dan banyak bersedekah dalam bersembunyi dan terang-terangan, nanti kamu akan diberi rezeki, ditolong dan diberi kesenangan.” -H.R Ibnu Majah.

Allah telah berfirman yang bermaksud: “Dan apa-apa suatu yang kamu belanjakan, maka Dia akan menggantikannya; dan Dia adalah sebaik-baik Pemberi rezeki.” (Saba’: 39)

Amalan bersedekah juga berkekalan hingga ke akhirat, seperti mana terdapat keterangan dalam hadis, “Apabila telah meninggal anak Adam, maka putuslah segala amal perbuatannya, kecuali tiga perkara: Pertama, sedekah jariah; kedua, Ilmu yang bermanfaat dan yang ketiga adalah anak yang solih yang mendoakan (kedua-dua orang tuanya yang telah meninggal).

Sebaliknya pula bagi orang yang tidak mahu bersedekah atau kedekut, Allah telah menyediakan balasan berupa kesukaran dan azab. “Dan adapun orang-orang yang kedekut dan merasa dirinya cukup (bebas), dan mendustakan pahala yang terbaik, maka untuknya Kami akan menyiapkan  (jalan) yang sukar. Sedang hartanya tidak berguna baginya apabila dia binasa.” (Al-Lail: 8 – 11)

Walau bagaimanapun hendaklah kita bersedekah dengan ikhlas kerana berdasarkan firman Allah yang bemaksud: “Dan janganlah engkau memberi (dengan maksud) memperoleh (balasan) yang lebih banyak.” (Al-Mudathir: 6.)

Marilah kita mengambil iktibar dari ayat-ayat al-Quran dan hadis Nabi Muhamad SAW tentang kebaikan bersedekah dan lazimkanlah diri kita untuk bersedekah. Sebagai maklumat dan pengetahuan kepada kita, orang Melayu yang terkaya di Malaysia pada waktu ini menurut maklumat yang diperolehi, telah mendirikan 12 buah masjid sebagai sedekah dan amal jariah. Alhamdulillah.

@@@


Sunday, September 23, 2012

Kitab Percuma Dari Rusia




Alhamdulillah, isteri saya telah mendapat hadiah 'suprise' ini pada 20 Sept 2012 courtesy of Pena Maya from Russia yang menganjurkan giveaway 6 biji Kitab pilihan. Saya telah menyatakan hajat untuk menghadiahkan Kitab Ringkasan Riyadhus Solihin ini kepada isteri.

Komen saya pada 16 Sept 2012 di blog Pena Maya yang menjadi asbab capaian rezki yang tidak disangka ini adalah seperti berikut..

"Assalamualaikum Sdra Umar. Semoga usha murni Sdra ada nilaiannya di sisi Allah.

Jika ada rezki, saya berhajat menghadiahkan buku Ringkasan Riyadus Solihin (no.2) buat isteri tercinta yg istiqamah mentelaah Kitab Riyadus Solihin Jilid 1 & 2. Semoga kitab ringkasan ini memudahkan lagi pemahaman secara total.

Kecintaan kepada Rasulullah ialah dgn taat kepada segala ajarannya. Maka usah bertangguh untuk taat walaupun perkara yang sekecil-kecilnya seperti minum sambil duduk atau pakai selipar dengan mendahulukan kaki kanan.

Saya boleh dihubungi di xxx@gmail.com.

Jazakallah. Saya doakan Sdra berjaya dalm hidup dunia dan akhirat."


Terima kasih kerana hadiah hebat ini. Usha murni Sdra Umar (Pena Maya) patut dicontohi oleh kita semua, khasnya mahasiswa/i di  universiti2 tempatan. Saya doakan semoga Pena Maya dan kawan2nya sekelian penuntut Malaysia di Russia agar dipermudahkan Allah dalam segala urusan mereka. Semoga kekal berjuang anak muda dalam mengajak manusia taat kepada Allah. 

@@@

Friday, September 21, 2012

Protes Aman Kebiadaban "Innocence of Muslims" Depan Kedutaaan Amerika di Jln Tun Razak

Saya baru balik dari menyertai perhimpunan aman ini di depan kedutaan Amerika. Saya anggarkan tidak kurang daripada 5,000 orang daripada pelbagai kaum dan agama menyertai bantahan awam ini. Tiada kejadian buruk yag berlaku. Pihak polis juga memberi kerjasama yang baik. Jalan Tun Razak di laluan depan Bangunan Kedutaan di tutup kepada trafik. 

Perarakan bermula sebaik selesai Solat Jumaat di Masjid Tabung Haji. Kelihatan YB Nurul Izzah, YB Salahuddin Ayub, YB Tin Chua, YB Dr Dzulkifly Ahmad, Ridhuan Md Nor, Nik Abduh, YB Surendran, dan beberapa orang VIP lagi di atas lori berucap di depan Bangunan Kedutaan. Para peserta perhimpunan tekun mendengar amanat yang disampaikan dan sesekali bertakbir dan berselawat dengan penuh semangat. Rombongan VIP seterusnya menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil Kedutaan.









"Innocence of Muslims" --> Jangan Buat DONNO




Kenyataan Media Mursyidul Am

PROTES AMAN MEMBANTAH

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Saya menggesa agar semua umat Islam agar dapat turun beramai-ramai menyertai protes aman membantah penerbitan filem “Innocence of Muslims” yang menghina Rasulullah SAW. Protes tersebut akan diadakan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat selepas solat Jumaat esok, 21 September 2012.

Dengan komitmen semua pihak tanpa mengira parti politik ini, saya mengira ia sebagai isyarat yang cukup jelas bahawa umat Islam tidak pernah meredhai sebarang aktiviti yang menghina Rasulullah SAW dalam apa jua bentuk sekalipun. Di dalam masa yang sama, ia sewajarnya juga menjadi pengajaran berguna kepada sesetengah pihak di kalangan umat Islam sendiri yang tergamak menolak syariat Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Harapan saya agar protes berkenaan dapat berlangsung dalam suasana aman tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Salam hormat,

YAB TUAN GURU DATUK BENTARA SETIA HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,

Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS).

Bertarikh : 4 Zulkaedah 1433H bersamaan 20 September 2012M 

@@@

Thursday, September 20, 2012

Bangkitkan Semangat Korban


Majlis ilmu akan dinaungi para malaikat sekeliannya dan para makhluk di darat dan di laut yang akan mendokan segala kebaikan dan keampunan. Maka beruntunglah mereka yang dipilih Allah untuk berada di dalam majlis2 ilmu.  

Sekarang dah masuk musim haji, satu ibadah yang memerlukan banyak pengorbanan dari segi hati, harta dan perlaksanaan bagi yang berkemampuan. 

Pada Ramadan yang lalu kita menjalani latihan untuk amal soleh, maka apakah status kita hari ini? Apakah masih meneruskan segala amal soleh itu? Kita tekun beribadah di bulan Ramadan mungkin kerana suasana yang memang ideal untuk beramal soleh, tapi kini kembali longlai dan lemah. Maka sebenarnya kita gagal dalam latihan intensif selama sebulan itu. Maka syaitan akan terus membelit bagi merusakkan aqidah dan amal soleh umat Islam.

Kita meraikan Idul Fitri tempoh hari sebagai meraikan kemenangan dan kembali kepada fitrah sebagai manusia yang suci daripada dosa dan noda. Semoga Allah kurniakan pengampunan dan pembebasan dari api neraka-Nya menjelang Syawal yang lalu. 

Kini kita di bulan Zulhijjah yang membangkitkan semangat pengorbanan untuk bermujahaddah di jalan Allah, terutamanya bagi menunaikan ibadah haji bagi yang mampu dan ibadah korban. Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail sebagai lambang tertinggi sebuah pengorbanan demi menunaikan perintah Allah. Sehingga keikhlasan pengorbanan mereka berdua telah Allah ganti dengan sembelihan seekor kibas. Itulah ketaatan seorang ayah dan seorang anak kepada Allah SWT.

Hari Raya Idul Adha adalah menifistasi pengorbanan kepada Allah SWT dan sinonim dengan ibadah korban. Apakah ketaatan yang kita ajar kepada anak kita pada hari ini? Cukupkah pengorbanan kita untuk memenuhi tuntutan keruhanian anak kita?  Tidak cukup sekadar keperluan jasad dan material sahaja yang dititik beratkan.

Wajibkah ibadah korban? Mengikut mazhab Shafie hukumnya sunat muakad iaiatu sunat yang sangat dituntut. Rasulullah SAW dalam menyembelih haiwan korbannya telah menyatakan bahawa inilah ibadah korbanku dan bagi umatku yang tidak mampu. Begitu prihatin dan risau Rasulullah pada umatnya. 

Begitulah hendaknya kita sebagai umat Rasulullah peka dan ambil peduli untuk bangkit membela Rasulullah SAW dan Agama Islam pada setiap keadaan. Pada saat Rasulullah dihina oleh orang kafir laknatullah maka berkorbanlah untuk menyatakan penentangan kita pada kebiadaban itu, dan bukan memilih untuk sekadar senyap dan buat donno sahaja.

Maka bagi golongan umat Nabi SAW yang tidak berkemampuan untuk melakukan ibadah korban maka ia telah ditampung oleh ibadah korban Nabi SAW. Namun bagi Imam Abu Hanifah mentakwilkan sebagai wajib bagi sesiapa yang mampu dan tidak wajib bagi sesiapa yang tidak mampu.

Ramai kita hari ini yang beramal secara maqasid iaitu melaksanakan ibadah secara mebuta tuli atau ikut-ikutan. Maka itulah sangat penting untuk kita mengaji dan menuntut ilmu supaya dapat menghayati segala amalan yang kita lakukan.

Ibadah korban ini punyai beberapa objektif yang penting iaitu pertamanya untuk memberi peluang kepada orang yang tidak berkemampuan melakukan ibadah haji untuk melakukan ibadah korban yang mana daging korban itu boleh diagih2kan untuk kegunaan sendiri, hadiah kepada kenalan, jiran atau sdra-mara dan juga sedekah kepada fakir miskin. 

Kedua, ia boleh mengeratkan silaturahim antara ahli masyarakat. Dan yang penting sekali ialah Allah tidak mengharapkan darah, daging atau tulang haiwan korban ini tetapi Allah menilai pada keikhlasan dan takwa seorang hamba itu kepada-Nya.

@@@

Wednesday, September 19, 2012

Ulamak Pejuang Kemerdekaan

Kita selalu mengambil remeh soal sejarah sedangkan 1/8 kandungan al-Qur’an itu bercerita tentang sejarah untuk diambil iktibar dan pengajarannya. Kita jarang mendengar ceramah2 agama di masjid2 mengajar sejarah. Yang biasa kita dengar ialah kuliah feqah, tauhid, tasauf dan tajwid.


Buku sejarah yang diajar di sekolah2 dikarang untuk bercerita sejarah mengikut perspektif tertentu atau membawa kepentingan tersendiri hingga gagal memaparkan fakta yang menyeluruh . Kita punyai tanggungjawab mempertahankan Negara kita yang merdeka. Janganlah kamu cenderong dengan orang2 yang zalim, nanti kamu akan dibakar oleh api neraka. Kita perlu peka sejarah agar tidak mudah tertipu dengan fakta daripada sebelah pihak sahaja.


Dalam musim menyambut hari kemerdekaan Negara ini, saya teruja mendengar satu khutbah Jumaat yang menyentuh peranan ulamak kearah kemerdekaan. Rasulullah diutus untuk menyebarkan Islam kepada seluruh umat akhir zaman ini selama 23 tahun. Seterusnya amanah dan tanggungjawab itu dipikul oleh para sahabat, para ulamak dan pejuang Islam sekelian, sehinggakan pada kemuncaknya hampir 2/3 dunia di perintah oleh Islam. Kekuasaan Islam sangat dicemburui dan didendami oleh bangsa barat yang mengalami kekalahan demi kekalahan sepanjang 700 tahun dimedan perang salib.


Tebaran dakwah Islam juga telah masuk ke kawasan Asia Tenggara ini. Islam masuk ke Melaka sekitar 200 tahun selepas kewafatan Rasulullah, di bawa oleh saudagar2 Islam dari Goa India dan China yang terlebih dahulu menerima Islam. Melaka menjadi pelabuhan terpenting di dunia ketika itu. Pabila masuk waktu solat, mereka mendirikan solat di pantai negeri Melaka. Penduduk setempat mermerhati dan sebahagiannya mula memeluk Islam. Dakwah yang dibuat tersebar ke istana hinggakan Raja Parameswara yang beragama hindu memeluk Islam dan menukar nama kepada Megat Iskandar Shah.


Ditegakkan Islam dan pemerintahan yg mengikut syariat Islam sehingga membawa kpd pembinaan surau2 dan masjid2 di Negeri Melaka dan membentuk masyarakat dan negeri yg aman terhindar dari maksiat. Melaka menjadi negeri yang maju dan menjadi penyumbang dana kewangan penting kepada Kerajaan Othmaniah yang berpusat di Turki. Sultan Mansor Syah dan Sultan Alauddin Ri’ayat Syah antara pemimpin Islam kerajaan Melaka yang hebat.


Peperangan salib berlanjutan selama 700 tahun yg tak pernah sekali pun dimenangi oleh kerajaan Kristian. Islam bangun menguasai dunia berpusat di Islambul (Bandar Islam) yang dikenali sebagai Istanbul hari ini. Pihak barat menyimpan dendan kesumat untuk keluar dari bumi Eropah dan menerjah ke bumi2 Islam. Melaka menjadi pusat ekspedisi pusat timur dan barat itu. Penjajah menubuhkan Syarikat Hindia Timur dan Syarikat Hindia Timur Belanda kononnya untuk berdagang mencari rempah di Asia Tenggara. Ini adalah penipuan fakta untuk menjajah umat Islam sebenarnya. Jika benar mahu mencari rempah, cukup mendapatkannya di benua India yang kaya dengan rempah-ratus itu.


Penjajah mula menyerang dan menguasai kepulauan Maluku, menyerang Acheh, Kepulauan Sulu di Filipina, dan Kerajaan Acheh di Indonesia. Kerajaan Melaka mesti ditumbangkan dengan melemahkan kerajaan Islam di sekitar kepulauan melayu, ini perancangan mereka. Pada tahun 1447 maka terjadilah serangan oleh Siam ke atas Melaka, kemudian Portugis menyerang pada tahun 1511, diikuti oleh penjajahan Belanda, Inggeris dan Jepun.


Portugis menghantar Tom Pairus sebagai perisik dan dia mendapati Sultan Melaka berdiri di atas kepimpinan Islam bukan dasar melayu semata. Sultan Melaka berdiri atas kepimpinan dan undang2 Islam. Undang2 darat dan laut tika itu mengikut al-Qur’an. Kepimpinan mendapat bantuan nasihat oleh para ulamak yg dtg dari seluruh dunia dan penguatkuasaan undang2 dilaksanakan oleh para laksmana dan hulubalang. Ekspedisi dakwah Islam dihantar keluar Melaka ke seluruh negara. Singgah di Kelantan di lokasi pulau singgahan yang kini dikenali sebagai Pulau Melaka, maka tidak hairanlah kini muncul kepimpinan ulamak di Pulau Melaka yang bangkit untuk menegakkan kerajaan Islam di Negara ini dan berasal dari wilayah Pulau Melaka. Islamlah yg menjadi tunjang kekuatan Melaka. Maka Portugis merancang ketumbukan tentera pimpinan Alfonso D’Albuquarque bagi menyerang Kerajaan Islam Melaka.


Inilah fakta sejarah yang telah berlaku. Maka Pada 1511 Portugis telah berjaya menakluki Melaka dan memerintah selama 130 tahun. Portugis tidak mengizinkan walau satu masjid dibina selama pemerintahannya. Belanda menyerang dan menjajah Melaka selama 129 tahun. Dasar Portugis diteruskan. Hanya 209 tahun selepas itu laksmana China yg menganut Islam membina masjid di Kg Hulu Melaka yang masih kekal hingga kini. Penjajahan Negara ini diteruskan oleh Kerajaan Inggeris dan Jepun. Maka Negara kita telah dijajah selama 446 tahun yang berjaya menanam faham mereka dalam budaya dan pemerintahan Negara ini terutamanya oleh kerajaan Inggeris.


Pada tahun 1874 Perjanjian Pangkor (Trity of Bangkok) telah dimeterai dimana hal ehwal Islam dan Adat Istidat Melayu diserah kepada Sultan dan Raja2 Melayu manakala hal pentadbiran di serah kepada Residen Inggeris. Maka sejak itu bermulalah fahaman sekular yg memisahkan politik dgn Islam yg tidak pernah di ajar oleh Rasulullah tetapi berjaya dilaksanakan oleh penjajah Inggeris. Walaupun Residen Inggeris JWW Bich dibunuh di Pasir Salak dan penjajah Inggeris sudah 55 tahun meninggalkan kita, namun fahaman sekular masih berjalan dan diteruskan hingga ke hari ini.


Rakyat bangkit berjuang untuk membebaskan Negara daripada penjajah dengan kebangkitan umat yg dipimpin oleh para ulamak. Pada tahun 1915 bangkit seorang ulamak yang bernama Hj Hasan Munaz (Tok Janggut) bangkit menentang penjajah Inggeris telah Syahid di K.Krai, mayatnya diarak dengan kereta lembu selama dua hari dan di gantung di tanah lapang di Bandar Kota Bharu untuk tontotan umum. Pada tahun 1922-1928, Hj Abdullah Malimbong seorang ulama dari Terengganu telah menubuh syarikat Islam untuk menentang Syarikat Inggeris, dibuang daerah ke Mekah. Orang kampong ingat bagus Inggeris hantar Tok guru mereka ke Mekah, sebenarnya dia dibuang daerah.


Pada tahun 1948 bangun pula Hj Abu Bakir al-Bakri di Gunung Semanggol menuntut kemerdekaan daripada penjajah meneruskan perjuangan sebelum ini. Inggeris tahu cepat atau lambat mereka akan di halau keluar dari Negara ini. Sir Henry Gurney yang tika itu berjaya dgn tugasnya di bumi Palestin membawa masuk yahudi, dipinjamkan ke Negara ini untuk mengeksplotasikan keadaan. Mereka mengisytihar darurat atas dasar penentangan komunis tetapi bukan banyak pun membunuh komunis tetapi lebih banyak menangkap para ulamak. Seterusnya Inggeris memilih beberapa pemimpin tertentu untuk rundingan kemerdekaan, yang diberikan di London. Apa lagi undang2 Islam pun diketepi begitu saja.


Setiap Hari Kemerdekaan, di mana nama2 ulamak ini? Jasa para ulamak tidak boleh disampingkan begitu sahaja, tanpa menafikan sumbangan tokoh2 yang lain. Maka kita punyai tanggungjawab untuk menegakkan kerajaan Islam yang adil untuk semua.


***


Pada blog halaqah.net ada diceritakan perihal pejuang kemerdekaan daripada kalangan ulamak ini..


Para alim ulama juga memikul beban amanah yang ditinggalkan oleh Rasulullah saw, untuk meninggikan Islam di atas semua kepercayaan dalam menggalas perjuangan menentang penjajah samada Barat atau Timur. Penjajahan Barat yang penuh dengan palitan noda hitam yang bernuansakan penyebaran agama Kristian tidak dibiarkan percuma oleh para alim ulama di setiap inci bumi umat Islam, mereka telah bangkit dengan gagah meniupkan api perjuangan kepada ummat yang sedang lena diulit mimpi. Ulama ini dengan anugerah ilmu telah mencetuskan kesedaran untuk membebaskan diri daripada penjajah jauh lebih awal daripada kelompok nasionalis sekular yang telah menculik buah kemenangan, malah hari ini mandabik dada dengan seluruh kepungan media bahawa merekalah pembebas tanahair daripada belenggu penjajah.


Sebahagian ulama ini telah menjadi korban penjajah samada syahid ditali gantung seperti Umar Mukhtar atau dipaksa mendekam dipenjara tanpa pembicaraan seperti Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, juga dibuang negeri seperti Imam Diponegoro, Uthman Den Fodio, Haji Abdul Rahman Limbong. Selain itu, ulama lainnya pula yang turut berjuang menentang penjajah dan yang ada kaitannya dengan kemerdekaan negara ialah Tokku Paloh, Sheikh Abdullah Fahim, Haji Sulong al-Fatani, Imam Bonjol dan lainnya lagi. Hari ini paparan sejarah di skrin televisyen telah memadamkan kebaktian mereka dan generasi muda dipaksa menerima versi sejarah baru bahawa kemerdekaan telah diperjuangkan oleh golongan elit sekular yang sememangnya menjadi anak suruhan penjajah.


Diharapkan supaya generasi muda menekuni kembali sejarah getir perjuangan kemerdekaan yang telah banyak diselewengkan, bahkan juga kita tidak mampu memadamkan pahatan sejarah kelompok aliran kiri yang turut berjuang menentang imperialisme di seluruh dunia. Ikuti kisah kemerdekaan yang dirintis oleh alim ulama melalui kisah hidup mereka satu persatu di blog taman ulama bagi memahami sejarah.


@@@

Friday, September 14, 2012

Nikmat Yang Sementara

Rasanya tidak kurang daripada 13 Open House telah saya hadiri sepanjang Syawal ini. Weekend ini merupakan hari-hari terakhir Syawal. Jangan terkejut kalau pada hari Isnin nanti iaitu cuti umum ganti untuk Hari Malaysia juga ada orang yang masih mengadakan majlis Open House raya walaupun sudah masuk 1 Zulkaedah, meninggalkan bulan Syawal.

Maka budaya Open House sepanjang bulan Syawal nampaknya sudah diterima menjadi sebahagian daripada tradisi terutamanya masyarakat warga kota dan pinggir kota. Bukan apa kata mereka, kalau tak dibuat open house agak seganlah pulak untuk berkunjung atau kunjungan yang mungkin tidak dialukan.

Berbeza dengan kita di kampung dulu, pakai main redah sahaja dan tidak menjadi masalah. Satu lagi ialah bila kawan2, jiran tetangga atau saudara mara beritahu niat mereka nak beraya ke rumah maka jumlah tuan rumah menerima kunjungan tetamu datang beraya akan berbilang kali, mungkin pada setiap hujung minggu. Ini boleh mengganggu program tuan rumah yang juga ingin berkunjung atau beraya ke tempat lain. Maka afdal sangat kalau di set satu hari yang tetap untuk kunjungan para tetamu secara sekali harung. Dan ini lebih teratur dan efisyen, sekali penat sahaja.

Nikmat makan ialah antara salah satu nikmat yang Allah kurniakan kepada manusia. Rasa lazat dan sedapnya makanan dan minuman itu terletak pada deria rasa yang ada di lidah. Mungkin sebelum itu rasa terliur atau berselera bila melihat juadah yang terhidang diransang oleh deria mata. Maka ransangan itu mengajak tangan dan mulut untuk mengambil dan menikmati juadah yang terpilih. Kesedapan juadah yang disuap ke mulut di nilai oleh lidah, kemudiannya dikunyah dan di telan. Maka hancur leburlah makanan tadi dan masuk ke perut. Sebahagiannya di tukar menjadi tenaga atau darah daging manakala sebahagian besar lagi menjadi bahan buangan. Setakat mana sebenarnya dapat kita nikmati juadah ini? Ada limit dan hadnya.

Jika ada beberapa Open House yang dikunjungi pada sesuatu hari, satu Open House mungkin kita dapat makan lahap punya. Open house kedua mungkin makan juadah2 terpilih sahaja. Masuk Open House ketiga setakat minum teh O suam dengan rojak buah sahaja nampaknya. Kenapa? Sebab perut dah penuh dan tak boleh terima stok lagi. Lidah pun dah bagi isyarat bahawa semua yang terhidang itu sudah tidak membuka selera lagi walaupun sedap2 belaka. Jadi nikmat makan itu sementara sahaja. Nikmat dunia ini sementara belaka.

Kita perhatikan nikmat2 dunia yang lain. Begitulah semua hakikatnya. Orang kaya walaupun punya harta yang banyak, tidurnya atas satu katil sahaja, pakainya sehelai baju sahaja, makannya sepinggan nasi sahaja, pandunya sebuah kereta sahaja pada sesuatu masa. Macam orang lain juga. Juadah buffet di Hotel 6 bintang agaknya berapa banyak yang mampu di makan? Semuanya ada had. Jika terlebih telan boleh muntah dibuatnya.

Berbeza dengan nikmat yang Allah janjikan di Akhirat, bersifat kekal. Makanlah sebanyak mana pun. Minumkah sebanyak mana pun. Bersetubuhlah selama mana pun. Bersukanlah sepanjang hari atau menonton sepanjang malam, tidak menjadi hal. Tiada limit lagi. Itulah nikmat yang kekal. Tidak perlu buang air, tak perlu bayar bil, atau risau pasal harta. Semuanya dapat di perolehi dengan lintasan keinginan sahaja. Hebat bukan?

Maka orang yang faham hakikat hidup dunia yang sementara dan yakin kepada hidup akhirat yang kekal abadi sebagaimana janji Allah, akan cerdik menilai mana yang hak dan mana yang batil, mana yang dosa mana yang pahala. Setiap perbuatan akan ada perhitungannya. Dunia tidak lebih melainkan medan ujian dan gelanggang hiburan semata. Orang yang tewas dengan godaan dunia akan gagal dan merana di Akhirat nanti. Hidup yang hakiki ialah penghidupan akhirat. Itulah tempat kita. Dunia di cipta untuk manusia. Manusia di cipta untuk Akhirat.

@@@

Friday, September 07, 2012

Pesanan Takwa Di Pagi Jumaat

Kita tidak tahu bila kita akan mati? Mati itu ibarat jerat tikus yg menunggu tikus. Acap kali tikus terlupa jerat tikus itu. Tapi jerat tikus itu setia nganga menunggu tikus tanpa jemu tanpa lupa.

Minggu lepas seorang kawan saya kematian anaknya yang masih muda iaitu umur sekitar 24 tahun yang sakitnya juga sebentar sahaja. Maka itulah hakikat kematian. Tidak mengenal jantan betina, tua muda, miskin atau kaya. Semua disapunya belaka.

Mati manusia belum habis cerita. Malah ceritanya baru bermula sebenarnya. Ustaz sering berpesan berpeganglah kamu dengan takwa. Sebaik-baik bekalan itu ialah takwa. Khatib pada hari jumaat tidak akan lupa berpesan supaya kita bertakwa, malah ianya adalah rukun khutbah jumaat. Menunjukkan pentingnya takwa ini di sisi Allah. Allah tidak memandang pada kecantekan seseorang, pangkat atau harta. Allah hanya pandang takwa seseorang. Tinggi takwanya kepada Allah maka tinggilah nilaiannya di sisi Allah.

Manjelang Raya tempoh hari Ustaz Nik Radzi ada berpesan katanya, “Allah bagimu ribuan ringgit tapi kenapa kamu bogelkan anak dan isteri kamu?” Iaitu membeli baju raya yang tidak menutup aurat dengan sempurna. Pernah Ustaz membuat survey di salah satau R&R lebuhraya PLUS, dan Ustaz memberitahu daripada pemerhatiannya hanya 20% yang menutup aurat dengan sempurna manakala 80% lagi berbogel di sisi Allah kerana gagal menutup aurat dengan sempurna. Pakaian terbaik ialah takwa. Maka jagalah aurat dengan sempurna.

Jangan kamu mati melainkan dalam iman. Di penghujung hidup ialah takwa. Tidak ada guna seorang hartawan yang punyai harta jutaan ringgit jika matinya masuk neraka. Semua perlakuan kita di dunia ini setiap detik di catit dan di rekod, tidak pernah berhenti. Bertuah kita hidup dalam Islam dan menghayatinya, bukan Islam hanya pada nama tapi gagal mengamalkannya. Iman itu Allah tidak bagi untuk semua orang.

Hanya insan2 terpilih sahaja yang ada iman dan takwa. Marilah kita sama2 muhasabah diri. Berbeza dengan kecantekan, kekayaan atau kesenangan, mungkin boleh dimiliki oleh semua orang. Maka itulah mahalnya iman. Malah iman itu tidak boleh diwarisi. Seorang ayah yang beriman mungkin saja memiliki anak dan isteri yang tidak beriman, contohnya Nabi Nuh. Begitu juga seorang isteri yang beriman punyai suami yang tidak beriman, contohnya Asiah isteri Firaun.

Maka tetapkanlah iman. Jagalah dengan aman. Orang Islam yang mati pada jasadnya, tapi ruhnya tetap hidup dan amalannya tidak mati. Amalannya akan di hisab dan dihitung. Orang yang paling beruntung ialah yang dapat masuk Syurga Allah.

Sebaik-baik bekalan ialah takwa. Maka berusaha kuatlah untuk mencari bekalan takwa. Membuat apa yang Allah suruh kita buat dan meninggalkan apa yang Allah suruh kita tinggalkan. Nak lakukan sesuatu maka kena tanya Allah benarkan atau Allah larang? Jaga iman dalam dada dengan takwa setiap masa. InsyaAllah selamat.

@@@

Tuesday, September 04, 2012

Kembali Kepada Fitrah

Ustaz Hazri pada tazkirahnya malam tadi memberitahu bahawa idil fitri ini adalah kembali kepada fitrah, suci bersih tidak ternoda oleh dosa, persis bayi yang baru lahir. Mata yang buta daripada melihat maksiat, telinga yang pekak daripada mendengar dosa , mulut yang bisu daripada perkara jahat, dan hati yang bersih tanpa setitik noda. Jika ditakdirkan meninggal tika itu maka insyaAllah syurga balasannya. Masuk ke syurga itu adalah fitrah. Bukankah datok kita Adam & Hawa asalnya dari Syurga Allah jua?


Ibadah solat merupakan penghulu segala ibadah yang mana akan pertama sekali di nilai di Akhirat nanti. Penerimaan ibadah solat ini bakal membuka laluan kepda ibadah2 lain untuk diambil kira termasuklah ibadah puasa, zakat, haji, sedekah, dan yang lain2nya. Maka mari kita lihat apakah ciri2 yang diperlukan agar ibadah solat ini diterima Allah. Ia juga sebagai muhasabah untuk menilai apakah amalan dan ibadah kita yang lain juga diterima Allah.


Puasa 30 hari di bulan Ramadan itu apakah sudah menepati ciri2 penerimaan solat? Kita bukan penyembah bulan Ramadan. Seburuk-buruk manusia ialah orang yang mengenali Allah hanya dalam bulan Ramadan tapi gagal mengenali Allah pada bulan-bulan lain. Orang arab raya sehari sahaja, tapi orang di Malaysia tu dia, raya sampai 30 hari hingga tak sempat nak puasa sunat Syawal kerana banyaknya rumah terbuka. Cuba tanya diri, malam raya siapa yang bangun qiyamullail? Sesiapa yang menghidupkan malam2 raya dengan qiyamullail dan takbir maka pandangan matahatinya akan direstui. Baiklah kita tengok lapan ciri solat diterima..


Pertama ialah solat dengan penuh tawadduk. Apa itu tawadduk? Tawadduk ialah merendah diri dan mengenali kebesaran Allah. Pabila dirikan solat maka dirikanlah dengan rasa hamba penuh rendah diri pada Allah, Pemilik yang hakiki yang Maha Besar dan Maha Kuasa. Semua milik Allah. Tiada milik kita. Kita hamba yang tidak ada apa-apa.


Kedua ialah tidak menyakiti atau menyusahkan orang lain. Diceritakan kisah seorang wanita yang istiqamah qiyamullail tetapi amalannya rusak akibat berterusan menyakiti hati jirannya. Pada Ramadan yang lalu atau bulan Syawal yang kini, apakah dentuman mercun kita itu mengejutkan bayi dan orang2 tua jiran2 kita daripada tidur mereka, atau meransang degupan jantung yang kencang pada jiran yang ada penyakit lemah jantung itu? Maka apakah ibadah puasa kita diterima Allah agaknya?


Ketiga ialah tidak tidur dalam keadaan berdosa kepada Allah. Mohon ampun dan istghfar kepada Allah bergantung harap merayu dan merintih semoga Allah memberikan rahmat, keampunan, dan membebaskan diri daripada api neraka-Nya. Seterusnya sebelum tidur itu, maafkan segala kesalahan orang lain kepada diri ini.


Kita baru menyambut hari kemerdekaan Negara pada 31 Ogos. Cuba tanya apa yang kita ingat bila sebut Hari Merdeka? Adakah terbayang di kepala kita Dataran Merdeka, hiburan dan nyanyian? Rasanya majoritinya begitulah kot. Apakah Hari Merdeka yang sebenarnya? Betapa susah payah orang dulu2 menentang penjajah, hingga kadang2 tiada masa untuk bersolat, tiada ruang untuk berzakat atau bersedekah, yang beralas perut dengan ubi kayu. Bangun menentang penjajah dan menuntut kemerdekaan. Siapa yang istihar kemerdekaan itu tidak penting. Apakah Tok Janggut yang digantung kepala ke bawah berhari-hari itu redha melihat gelagat anak muda kini menyambut Hari Merdeka dengan sekadar menari dan bernyanyi gembira? Pastinya mereka mengharap Ya Allah ampuni dosa kami dan orang2 yang terdahulu daripada kami. Merdeka bukan sekadar dipenuhi dengan hiburan, nyanyian dan tarian. Pastikan setiap hari sebelum tidur kita beristigfar dan mohon ampun untuk diri dan maafkan orang lain.


Keempat orang yang diterima solatnya ialah orang sentiasa memenuhi harinya dengan zikrullah mengingati Allah, bukan pada masa2 tertentu sahaja. Lidah dan bibirnya basah dengan zikrullah. Kelima ialah orang merahmati orang miskin. Orang miskin itu punyai ketinggian darjat di sisi Allah. Bukankah penghulu segala orang miskin dan anak2 yatim ialah Rasulullah?


Keenam ialah kasihan belas kepada orang musafir yang terputus bekalan iaitu dengan membantu mereka dari segi kewangan, tempat penginapan atau sebagainya. Ketujuh ialah orang yang merahmati janda2 yang kematian suami. Tika suami meraka hidup kita sering bertanya khabar dan menjalin hubungan, maka teruskan bertanya khabar dan menghulur bantuan tika meraka sudah kehilangan suami tempat pergantungan itu.


Akhirnya ialah orang yang merahmati orang yang ditimpa musibah iaitu dengan melakukan ziarah dan mengekalkan sifat2 kebaikan terhadap mereka. Maka orang yang memiliki lapan ciri2 diatas maka cahayanya ibarat cahaya matahari yang bersinar di Akhirat kelak. Seluruh alam akan cerah dan memberi manfaat kepada orang sekeliling.


Segala amalan dan ibadah kita juga akan diambilkira mengikut keikhlasan hati iaitu mukhlisin. Ada tiga ciri2 utama hati yang ikhlas. Pertamanya, rasa yang sama saja samada dipuji atau dikeji. Kedua, lupakan amal yang sudah dibuat. Jangan ingat amal yang lepas tapi kena ingat amal yang hendak dibuat. Dan akhir sekali, ikhlas itu ialah orang yang mengharap ganjaran daripada Allah, tidak mengharap balasan daripada makhluk. Minta kepada yang Maha Memberi. Tak payah minta kepada yang bukan pemberi.


Akhirat itu yang paling utama. Alhamdulillah kuliah maghrib di 16 syawal ini berjaya menggamit 64 ahli jamaah lelaki dan 12 orang muslimat. Agaknya kemana 604 yang lain daripada purata 680 orang ahli jamaah pada 10 Ramadan terakhir dua minggu lepas? Kita doakan mereka agar tidak sekadar menjadi penyembah bulan Ramadan, tetapi sembahlah pemilik bulan Ramadan itu, insyaAllah dengan kembali memenuhi rumah2 Allah, mendirikan solat berjamaah, mengaji al-Qur’an dan menghadiri majlis2 ilmu yang saban malam berlangsung ini.


Sesungguhnya hidayah itu milik Allah. Saya hanya menyampaikan mesej dakwah di blog saya ini untuk capaian umat di serata alam. Raikan kemenangan pada bulan Syawal dengan meneruskan segala amal soleh. Hingga jumpa lagi dilain siaran.


@@@

Monday, September 03, 2012

15 Syawal Dalam Memori

Rasa teruja tidak terkira bila kenangkan semalam yg indah dan penuh memori. Seperti biasa open house hari raya mendapat sambutan, hingga tidak menang tangan kami anak beranak. Apa yang dirancang sebagai program yang hanya low profile bertukar menjadi sesuatu yang meriah dan indah. Trademark dan tradisi juadah homemade di open house kami diteruskan.


Mesej SMS isteri saya terpapar jam 10:24am, “Sayang, kenangan manis open house rumah kita kelmarinkan. Seronok”


Maka saya pun membalasnya, “Ya sayang. Papa bangga & syukur mama prepare segalanya. U r the best. Ramai yg sudi raikan kita. Disudahi pula dengan akujanji ikatan untuk kakak. Dan akhirnya beradu dgn nyenyak malam tadi. Alhamdulillah.”


Isteri membalas, “He he TQ sayang.”


Saya sekeluarga ingin merakamkan setinggi ucapan terima kasih buat para tetamu kami yang dihormati sekelian. Terima kasih kerana sudi terima jemputan dan meraikan majlis kami yang tidak seberapa itu.


Zarif menjadi tetamu pertama kami. Diikuti dengan Rahimi sekeluarga. Hj Khairi ditemani Hj Hashim yang baru kamatian anaknya dua hari lepas. Pak Nor yg masih uzur bersama Kak Mah. Ustaz Roslan dari Baitul Islah sekeluarga. Kawan baik saya Bakar sekeluarga yang siap hadiahkan lemang. Pengerusi Persatuan Penduduk, Hj Azman sekeluarga. Kak Dah dan Cik Rahim datang jauh dari Tmn Bolton. En Haslan sekeluarga juga datang jauh dari Tmn Batu. Kawan2 kakak dari UIA dan USIM. Kawan2 Iman dan keluarga mereka.


Usahawan terkemuka Makcik Kay, Fatihah, Ustazah dan suami. Dato’ Bahrom. Hj Shuib sekeluarga. Bilal Mat sekeluarga. En Mohamad sekeluarga. Jiran kami Nizam pula menghantar dua anaknya sebagai wakil. Teman lama saya Yazim sekeluarga dari Shah Alam. Kak Yam sekeluarga. Kak Maya. Kak Raja bersama kakak2nya. Ir Hj Azmi sekeluarga. Pegawai sekuriti Tmn kami. En Zul sekeluarga dari Mawar. Zati dan keluarga dari Sg Buaya. Dan penutupnya Hj Mazli dan keluarga. Alhamdulillah, TQ all.


Kalau pada tahun2 lepas main course kami ialah nasi dagang maka pada tahun ini ditukar kepada nasi kerabu berlaukkan solok lada, ikan goreng celup tepung, ayam goreng kunyit dan keropok. Side dishes yg lain ialah rojak buah, kueh lopez, agar2 merah, sira pisang, kek carrot, kek black forest, kek coklat, biskut nestum crispy, chip sporty, almond London, dan beberapa jajan yang lain. Minumannya pula ialah air sirap merah sejuk yang terpaksa di refill tiga empat kali.


Cuaca juga nyaman dengan deruan angin sepoi-sepoi bahasa. Yang miracle lagi juadah kami mencukupi ngam-ngam untuk tetamu berjumlah 89 orang itu, hingga ke hirisan ulam nasi kerabu yang terakhir tanpa ada pembaziran yang berlaku. Alhamdulillah.


Jumpa lagi di open house kami raya tahun depan. Sehingga itu marilah raikan Syawal yang masih berbaki ini untuk ziarah menziarahi dan mantapkan silatul rahim. Yang penting lagi jangan lupa juga untuk berkunjung ke rumah2 Allah sebagaimana amalan kita di sepanjang bulan Ramadan yang lalu dan teruskan menghadirkan diri ke majlis2 ilmu dan penerusan amal soleh kita, insyaAllah.


@@@

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...