CLICK n GO

Monday, July 30, 2012

Tanyalah Ustaz Kemusykilan Ramadan

Assalamualaikum Ustaz - semoga penuh kabahagiaan di bulan Ramadan kepada Ustaz. Saya ada beberapa kemusykilan yang terbuku di hati dan harapnya Ustaz sudi memberi pencerahannya:

Apakah nilaian ibadah di malam hari lebih tinggi ganjaran pahalanya berbanding dengan ibadah di siang hari di sepanjang Ramadan ini (kecuali Lailatul Qadr yg memang special case) ?

Contohnya (pada tahap ikhlas yang sama):
-Saya solat sunat dhuha dua rakaat di pagi hari berbanding dengan saya solat tahjjud dua rakaat di malam hari?
-Atau saya bersedekah di siang hari berbanding dengan bersedekah di malam hari?
-Atau saya membaca al-Qur'an di siang hari berbanding dengan saya membaca al-Qur'an di malam hari?

Jika sama saja nisbah nilaiannya sama saja kenapakah amat digalakkan kita beribadah di malam hari sepanjang Ramadan ini?

SAMA SAHAJA. SEKADAR NAK ENCOURAGE UMAT UTK TIDAK SEKADAR HIDUPKAN RAMADHAN DI SIANG HARI SAHAJA, TETAPI TETAP "PUASA" DI MALAM HARI.
SELAIN ITU UTK MENGGALAK UMMAT MENGEJAR DAN MENCARI LAILATUL QADAR.


Bulan Ramadan adalah hadiah Allah kepada umat Nabi SAW bagi memberi ruang untuk menyaingi ibadah umat2 terdahulu yang umurnya panjang. Saya mendapat dua ilmu yg kontradik, iaitu pertama ada Ustaz mengatakan umat2 terdahulu tidak di kurniakan bulan Ramadan at all, hanya umat NAbi SAW sahaja yang dikurniakan bulan mulia ini. Namun acap kali juga saya dengar riwayat umat terdahulu yang bersangkutan dengan Ramadan contohnya Kitab Taurat diturunkan pada 6 Ramadan, Zabur pada 18 Ramadan dan Injil pada 12 Ramadan, dsb yg menggambarkan bulan Ramadan memang sudah wujud.

BULAN RAMADHAN DAH MEMANG ADA SEJAK DULU, TETAPI "KEISTIMEWAAN" DAN "KELEBIHAN" RAMADHAN HANYA UTK UMAT MUHAMMAD S.A.W


Bulan Ramadan adalah bulan turunnya Qur'an. Apakah maksudnya bulan diturunkan ayat pertama al-Qur'an? Atau al-Qur'an secara keseluruhannya? Apakah ini juga bermaksud ayat pertama iaitu Iqra'diturunkan di bulan Ramadan semasa Rasulullah di Gua Hira' itu? Nuzul Qur'an yang kita raikan pada setiap 17 Ramadan, apakah ini tarikh sebenar turunnya ayat pertama itu? Dan Lailatul Qadr juga dikaitkan dengan penurunan al-Qur'an. Jadi al-Qur'an diturunkan pada hari Nuzul Qur'an atau pada Lailatu Qadr. Ada perbezaan di sini iaitu (1) Bila turun ayat pertama? (2) Bila turun al-Qur'an secara keseluruhan (di Luh Mahfudz?)? Mohon penjelasan Ustaz kerana al-Qur'an di sampaikan kepada Nabi SAW secara berperingkat selama 23 tahun.

BAB INI MEMANG ADA PERBAHASAN YANG PANJANG. RINGKASNYA:
1. Nuzul Al-Quran yang kita raikan 17 Ramadhan adalah berkaitan Ayat Pertama (IQRA') diturunkan.
2. Adapun turun secara keseluruhan mmg ada bbrp pendapat termasuk yg mengatakn pd mlm lailatul qadar.


Walaupun ini soalan remeh/tadika tapi tetap saya mahukan kepastian - Korek hidung atau korek telinga di siang hari, batal puasa atau tidak? Iaitu dua keadaan sengaja dan tidak sengaja iaitu mula2 tak sengaja iaitu sebab habit tapi di teruskan kerana merasakan tidak apa.Apakah ini masalah furuq sahaja?

TIDAK BATAL. MELAINKAN MASUK SESUATU SPT AIR DSBG KE DALAM RONGGA (YG BERTULANG)


Suntikan ubat di siang hari oleh doktor kepada pesakitnya, batal puasa atau tidak pesakit tadi?

TIDAK. MESTI IKUT RONGGA.


Apakah semua Syaitan di rantai/belenggu atau hanya ketua2 mereka sahaja?

SEMUA DIRANTAI. ANALOGI MUDAH: ANJING KENA IKAT (MASIH BOLEH MENGGONGGONG DAN MENGGANGGU)


Apakah nilaian solat teraweh seseorang yang tidak menjaga solat fardhunya atau tidak menutup auratnya? Apakah nilaian puasanya juga?

DITERIMA INSYA ALLAH. TETAPI IBARAT SEORANG YANG HANYA BUAT KERJA OVER-TIME KAT PEJABAT TAPI KERJA HAKIKI DIA TAK BUAT. LAMA2 TAKUT KENA BUANG KERJA JUGA AKHIRNYA SBB TAK FAHAM PRIORITI.


Alhamdulillah Ustaz, saya ucapkan jutaan terima kasih atas segala penjelasan yang ringkas tapi padat ini. Terjawab kemusykilan saya. Saya doakan Allah kurniakan kebahagiaan untuk Ustaz. Jazakallah.


@@@

Thursday, July 26, 2012

Bonus Hari Raya Setengah Bulan Gaji

Terpapar di dada-dada akhbar hari ini, PM mengumumkan kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam. Bayaran khas RM500 diberi kepada semua pesara kerajaan. Pembayaran itu akan dibuat pada 9 Ogos ini dan akan memanafaatkan 1.27 juta penjawat awam dan 657,000 pesara kerajaan. Bayaran itu akan membabitkan anggaran perbelanjaan RM2.2 bilion. Ini sebagai menghargai sumbangan dan dedikasi mereka melaksanakan program pembangunan negara.

Alhamdulillah untuk rezki ini yang akan diterima pada bulan Ramadan al-Mubarak. Begitu seronok kita mendapat berita gembira yang diumumkan oleh ketua kerajaan Malaysia. Maka sepatutnya berlipat ganda lagilah seronoknya dan terujanya kita mendengar segala tawaran dan bonus hebat sepanjang bulan Ramadan ini yang di gezetkan oleh Ketua Kerajaan Langit dan Bumi iaitu Allah SWT, yang kita sudah sedia maklum.

Hari ini sudah masuk hari ke-6 Ramadan. Harapnya kita masih peka pada segala tawaran dan ganjaran yang Allah pemilik alam ini janjikan kepada seluruh umat manusia yang taat kepada-Nya dan fokus pada dedikasi untuk melaksanakan segala gerak kerja dan plan bertindak bagi mencapai matlamat yang diharapkan. Tempoh sah tawaran ini ialah 1-29 Ramadan 1433H bersamaan dengan 21/7/12-18/8/12, selama 24 jam sehari semalam di lokasi seluruh dunia untuk setiap hamba Allah yang beriman.

Apa sumbangan dan dedikasi yang diperlukan itu? Antara yang utama ialah Zikrullah, Bersahur, Qiamullail, Zakat fitrah, Puasa wajib, Solat fardu, Menuntut ilmu, Berbuka puasa, Sedekah jariah, Iktikaf di Masjid, Solat terawih dan Tadarrus al-Qur'an.

Apakah tawaran menarik, hadiah dan bonusnya? Antara yang utamanya ialah jimat belanja, sihat tubuh badan, rezki mencurah, doa dimakbulkan, lailatul qadr, bonus 1000 bulan, tingkatan taqwa, keampunan Allah, keredhaan Allah, dan kemuncaknya ialah balasan Syurga Allah. Apa lagi yang kita inginkan melainkan kesudahan yang cemerlang gemilang dan terbilang iaitu hidup yang kekal abadi menikmati kenikmatan dan kesempurnaan hidup dalam Syurga Allah. Segala nikmat dan keseronokan yang sementara di dunia ini akan menjadi sangat tidak begitu penting lagi.

Maka benarlah bagi orang yang faham agama, Ramadan adalah peluang sekali seumur hidup untuk menjadi kaya raya bukan saja di dunia tetapi berbahagia terus hingga ke Akhirat yang kekal abadi. Maksud Hadis Nabi SAW: Sekiranya umatku tahu kelebihan yang ada dalam bulan Ramadan, nescaya mereka inginkan semua bulan menjadi Ramadan.

Namun manusia masih mengejar bonus dan hadiah yang di tawarkan oleh sesama makhluk yang bersifat sementara itu dan membiarkan hadiah dan tawaran daripada Pemerintah segala makhluk di langit dan bumi dan segala isinya, berlalu begitu sahaja. Masa di bulan Ramadan ini terus juga dihabiskan dengan lena tidur yang panjang, kerja yang tidak produktif, dan meneruskan juga perkara2 yang tidak baik yang boleh mendatang dosa dan mensia-siakan ibadah puasa yang dijalani.

Sudah enam hari berlalu dan tidak akan di perolehi lagi. Yang tinggal ialah 23 hari lagi yang berbaki untuk tawaran mega daripada Allah. Itu pun kalau umur panjang. Muhasabah diri, renung dan fikir. Apa matlamat hidup ini? Sekadar seronok hidup yang sebentar. Atau matlamatku Syurga Allah yang kekal itu?

@@@

Tuesday, July 24, 2012

Hadiah Pada Umat Nabi SAW

Syukur kerana doa kita dimakbulkan. Doa kita tahun lepas supaya Allah pertemukan kita dengan Ramadan tahun ini. Allah telah panjangkan usia kita untuk sekali lagi dapat rezki bertemu dengan bulan Ramadan. Ini adalah anugerah, bukan saja2 dapat. Sebab ramai kawan2 dan saudara mara kita tak berkesempatan bertemu Ramadan tahun ini kerana terlebih dulu berhijrah ke alam Barzakh.

Ramadan adalah hadiah unggul daripada Allah untuk umat Nabi SAW. Umat2 terdahulu memang tak ada Ramadan. Allah nak tunjukkan kasih sayang kepada umat Nabi SAW yang umurnya pendek purata 60-70 tahun berbanding dengan umat2 terdahulu. Umat Nabi Nuh umurnya mencapai 950 tahun, umat Nabi Adam umurnya 1000 tahun lebih, dan umat Nabi Ibrahim umur 120 tahun baru akil baligh. Hidup umat Nabi SAW memang sangat singkat, jadi macamana nak menandingi ibadah umat2 terdahulu? Allah Maha Adil maka itulah Allah kurniakan umat Nabi SAW bulan Ramadan yang penuh barokah dengan ganjaran pahala berlipat kali ganda ini.

Ambillah hadiah Allah yang penuh barokah ini dengan penuh kesyukuran. Janganlah melakukan maksiat di bulan mulia ini kerana ia bakal menghapuskan barokah itu, sedangkan umur kita semakin hari semakin pendek. Bagaimana nak ambil hadiah yang Allah bagi ini? Tidak cukup sekadar berpuasa menahan lapar dan dahaga semata, kerana budak2 pun boleh buat macam tu. Maka kenalah Ramadan ini di isi dengan amal ibadah 24 jam sehari semalam.

Kena dirikan solat berjamaah, solat2 sunat, zikrullah, selawat, tadabbur Qur’an, sedekah, taubat, doa, tadarrus, tahlil , iktikaf dan segala bentuk amal kebaikan atas niat kerana Allah dan mengharap redha Allah.

Ada empat hakikat utama kedatangan bulan mulia ini. Pertamanya, telah datang kepada kita bulan yang penuh keberkatan yang mana permulaannya rahmat Allah, pertengahannya keampunan daripada segala dosa, dan penghujungnya pembebasan daripada api Neraka Allah. Apa itu berkat? Berkat itu umpamanya dapat sikit tapi rasa banyak, ruang sempit tapi rasa luas. Itulah berkat. Kena rasa seronok dengan Ramadan. Amalan yang sedikit tetapi mendapat ganjaran pahala yang besar. Dan kemuncaknya ialah mendapat Syurga Allah.

Kena hayati seluruh hari-hari di bulan Ramadan ini dengan taat pada Allah. Jika buat maksiat maka hilanglah berkat itu. Kalau tak baca Qur’an tiap2 hari maka hilang berkat. Eh sibuk sangat ke kita ni hingga tak dapat nak baca Qur’an? Baca suratkhabar orang puteh boleh pulak. Suratkhabar Allah tak baca. Maka Allah cabut berkat.

Bagi perokok tegar elok sangatlah Ramadan ini berubah untuk berhenti merokok. Supaya berkat yang Allah bagi itu tidak hilang. Bagi yang puasa tapi tak tutup aurat. Bagi yang puasa tapi tak solat. Bagi yang puasa tapi masih mengumpat. Insaflah. Berubahlah. Jangan biarkan keberkatan Ramadan berlalu di angin lalu.

Puasa elok dah tapi berbuka dengan makan yang shubahah, makanan yang bertudung tapi tukang jual makanan tak bertudung. Allah nak bagi pahala kepada kita dengan asbab berkat. Agama lain tak ada istilah berkat ni. Rezki kita biarlah rezki yang berkat. Kita selalu mohon keberkatan dalam semua aspek kehidupan kita. Maka janganlah dicemari hari2 yang berbaki ini dengan benda shubahah, makruh, haram dan maksiat. Telah datang kepadamu bulan yang penuh keberkatan.

Kedua, Allah buka pintu Syurga. Matlamat hidup kita ialah untuk masuk Syurga Allah. Ya Allah aku pohon Syurga-Mu. Syurga jadi matlamat. Aku mengharap Syurga-Mu. Suami kena minta isterinya, “Yang, tolong bantu abang untuk masuk Syurga Allah.” Jadilah sedermawan manusia mungkin. Hubungkan siltulrahim. Pastikan anak2 menjaga aurat dan akhlak. Taubat sepanjang masa atas segala dosa dan kesilapan. Jadilah manusia yang baik, manusia yang Allah redha jadi hamba-Nya. Pintu Syurga terbuka seluas-luasnya di bulan Ramadan al-Mubarak ini. Usahakan sedaya mungkin untuk memasuki Syurga yang sudah terbuka luas itu.

Ketiganya, pintu2 Neraka tertutup rapat. Jangan biarkan diri kamu dihumban ke dalam api Neraka Allah yang maha pedih siksaannya itu. Tolong jauhkan aku dari api Neraka-Mu. Maka berdirilah mendirikan solat dengan lama di dunia ini supaya di Padang Mahsyar dapat berdiri dengan sekejap. Usahlah mengomel lagi jika Pak Imam baca surah2 panjang dalam solat.

Buatlah pilihan? Nak berdiri lama di Padang Mahsyar yang terik mentarinya sejengkal atas kepala atau nak berdiri lama di dunia ini mendirikan solat. Biar susah di dunia tapi senang di Akhirat. Rasulullah bersolat teraweh begitu lama hingga habisnya hampir waktu bersahur. Maka apatah lagi janganlah dok berkira sangat 8 ke 21 rakaat, dan macam2 benda remeh temeh itu. Yang penting jangan biarkan diri ini di humban ke dalam api Neraka Allah. Ambillah peluang di depan mata untuk meraih pahala kerana pintu Neraka ditutup rapat sepanjang bulan Ramadan ini.

Dan yang keempat, Allah telah gari, ikat dan belenggu syaitan. Tak ada lagi syaitan untuk mangacau kita. Untuk sekali seumur hidup manusia bebas dari gangguan Sayitan. Hanya di bulan Ramadan yang penuh kemuliaan. Yang tinggal ialah nafsu yang jika tidak dididik akan menjadi racun dalam badan yang akan membunuh secara perlahan-lahan, yang jika tidak terkawal boleh mengheret empunya badan ke lubang Neraka. Macamana nak bagi pendidikan kepada nafsu? Baca Qur’an. Sibuk sangat ke aku hingga tak sempat nak baca Qur’an ni? Setakat jadi JKK takde la sibuk mana.

Ada satu malam di bulan Ramadan yang lebih baik daripada 1000 bulan bersamaan dengan lebihkurang 83 tahun. Kasihnya Allah kepada umat Nabi SAW untuk memberi peluang umat ini menyaingi ibadah umat2 terdahulu yang diberikan umur yang panjang, maka Allah kurniakan berkat bulan Ramadan yang ada di dalamnya Lailatul Qadr. Jika kita dapat peroleh 10x Lailatul Qadr sepanjang hayat ini, maka ia sudah menyamai lebih kurang 800 tahun ibadah. Maka benarlah Allah itu Maha Pemurah. Ibadah yang sedikit cuma tapi ganjarannya masyaAllah. Umur yang singkat tapi pahala yang banyak. Alhamdulillah.

Jom muhasabah diri. Sudah empat hari Ramadan berlalu. Yang berlalu tidak akan kembali. Cakap banyak pun tak guna. Kalau asyik memenuhi masa dengan tidur yang panjang, maka apakah hasilnya? Justru berubahlah. Ada 26 hari lagi baki Ramadan ini. Ayuh bangkit dari tidur dan segala kemalasan atau kepenatan. Just Do It !!

Ringankan diri untuk dirikan solat dhuha, kita zikrullah, kita ngaji Qur’an, dirikan solat2 fardu berjamaah 5x sehari, dirikan solat sunat teraweh, bertahlil, berstighfar, bertahmid, bersedekah, berbuat segala kebaikan, tadarrus Qur’an, bangun Qiyamullail, bersolat tahajjud, solat witir, bermuhasabah diri, berdakwah, bertaubat, merintih dan menangis pada Allah. Mohon untuk keampunan daripada segala dosa, agar diberi pembebasan daripada api Neraka, dan agar aku dapat berada bersama kelompok manusia yang layak masuk ke Syurga Allah yang sedang terbuka luas. Mungkin ini Ramadan Terakhirku?

@@@

Monday, July 23, 2012

Taqwa Yang Di Cari

Ibadah puasa Ramadan ini ialah untuk capai matlamat taqwa. Manusia dinilai di sisi Allah dengan tahap taqwa masing2. Orang yang paling mulia ialah orang yang bertaqwa. Pabila bertaqwa setiap masalah dia Allah bagi jalan keluar, Allah bagi rezki yang tak disangka2. Seruan taqwa ini sentiasa di ulang2 termasuklah pada setiap kali khutbah jumaat, kerana darjat taqwa sangat tinggi di sisi Allah. Berjayalah orang2 yang bertaqwa.

Orang yang bertaqwa ialah orang yang punya keimanan yang sahih kepada Allah. Punya keyakinan yang mantap kepada Allah dan negeri Akhirat. Yakin kepada perkara2 nyata dan ghaib. Beriman dengan perkara2 ghaib. Alam kubur itu perkara ghaib, dosa pahala, syurga neraka, dan segala yang ghaib. Orang bertaqwa mendirikan solat, bukan sekadar melaksanakan solat. Dia jaga segala rukun solat, adat, sunnah, dan sunat. Dia solat dengan khusyuk dan memahami makna bacaan dalam solat. Jika remehkan solat maka Allah akan remehkan manusia.

Ibadah puasa mengajak kita mendidik nafsu supaya condong kepada perkara2 baik. Di zaman Nabi dan para sahabat masjid meriah dengan manusia yang beriktikaf di masjid. Satu hari beriktikaf di masjid, Allah akan jauhkan dari api Neraka sejauh tiga parit. Satu parit jaraknya seperti langit dan bumi. Pabila tunai hajat seseorang Muslim maka Allah bagi ganjaran pahala 10 tahun iktikaf. Sebab itulah penting untuk menuntut ilmu dan faham agama. Dahulukan panggilan Allah. Tiada panggilan sepenting panggilan Allah. Pabila seseorang dapat menunaikan solat berjamaah dengan mendapat takbir ratul ihram bersama Imam selama 40 waktu berturut-turut maka Allah akan jauhkan Neraka dan sifat2 munafik.

Di bulan Ramadan setiap kebaikan di beri 10 ganjaran pahala. Setiap huruf bacaan al-Qur’an, Allah bagi 10 ganjaran. Setiap amalan fardhu, Allah imbuhkan dengan 70 ganjaran pahala. Maka benarlah bak kata Pak Kiyai, Ramadan ini ibarat ‘cuci gudang’ penuh dengan offer yang begitu menarik. Justru kita kena jaga amal. Jangan kecundang oleh perkara keburukan seperti mengumpat dan fitnah. Siapakah orang yang muflis di hadapan Allah? Orang yng amalannya menggunung tapi kerana dia berbuat zalim, maka seluruh kebaikannya habis diberi kepada orang yang dizaliminya, malah setelah habis kebaikannya, maka dosa orang yang dizalimi itu pula yang terpaksa dia tanggung. Itulah muflis yang sebenar-benarnya.

Bercakap bohong dan mengumpat akan memusnahkan pahala. Nafsu yang tidak puas melahirkan akhlak yang buas. Justru lidah mesti dijaga. Marah mesti terkawal. Bersihkan hati supaya betul2 ikhlas. Qari yang dikagumi bacaannya dan merasa riak maka akan mendapat pujian di dunia tetapi mendapat bakaran api Neraka di Akhirat. Jihad di jalan Allah tetapi bukan kerana Allah, berjihad kerana kabilah atau puak maka tiada nialaiannya di sisi Allah, malah akan disiksa oleh azab Neraka. Nabi pesan cungkil daging dari gigi-gigi kamu. Sahabat kehairanan kerana tidak pun makan daging. Rupanya Nabi maksudkan dosa mengumpat yang umpama memakan daging saudara kamu. Dosa mengumpat itu melebihi dosa memakan riba.

Ramadan ialah bulan latihan. Puasa mata dari melihat benda2 yang tidak baik. Puasa lidah dari berkata yang mungkar. Supaya hati terdidik menjadi baik. Mata yang melihat perkara maksiat akan menyebabkan hati pun jadi tak baik. Basahi bibir dengan zikrullah, selawat, dan al-Qur’an. Ramadan ialah bulan al-Qur’an. Al-Qur’an merupakan tawassul (perantara) yang paling besar. Al-Qur’an menaikkan martabat di Syurga. Membaca al-Qur’an masa bangun solat malam sangat digalakkan dan Allah memberi ilmu yang tidak disangka-sangka. Ushakan nangis tika berdoa dan minta hajat yang besar2 seperti mohon hidayah, mohon kekalkan iman, dijauhi azab kubur, dan masuk syurga tanpa hisab. Sebelum di hisab di hadapan Allah, maka hisablah diri sendiri dulu. Setiap kita kena ada amalan.

Maka Ramadan yang mulia ini adalah wadah terbaik untuk bertindak menjadi baik dengan membanyakkan amal soleh supaya dipenghujung nanti akan mendapat darjat Taqwa, keampunan Allah dan pembebasan daripada api Neraka Allah.

@@@

Saturday, July 21, 2012

Satu Ramadan


Malam tadi Alhamdulillah saya sekeluarga beribadah di Masjid as-Salam. Tika sampai muazzin sedang mengalunkan azan Isyak. Tu dia parking penuh sesak, melimpah hingga ke seberang jalan. Melangkah kaki ke dalam masjid, teruja sungguh melihat jamaah penuh umpama jamaah solat jumaat. Memang hebat penangan malam pertama. Semangatnya luar biasa.

Solat teraweh 4 rakaat kemudian diselangi dengan tazkirah pendek. Seterusnya sambung 4 rakaat lagi, diikuti solat witir 3 rakaat. Kemudian disusuli tahlil ringkas. Seterusnya bacaan surah al-Mulk sebagai kesenambungan aktiviti rutin selepas isyak yang bermula sebelum Ramadan lagi di masjid ini. Akhirnya ibadah tadarus Qur'an. Sebanyak empat kumpulan tadarus berjaya dibentuk dengan 8 org ahli setiap satu kumpulan. Juzuk pertama berjaya di habiskan menjelang pukul 11:30mlm.

Antara poin yang dapat saya petik daripada tazkirah yang disampaikan oleh Ust Hazri Hashim ialah betapa Ramadan ini umpama festival ibadah dengan pelbagai tawaran menarik, cabutan bertuah, dan bonus hebat. Manusia patuh dan taat kepada Allah. Semua makhluk bergembira menyambut ketibaan Ramadan. Nasi gembira kerana dimakan oleh orang yang beribadah. Bumi gembira melihat ketaatan manusia kepada Allah.

Kesan utama ibadah puasa di bulan Ramadan ini ialah melahirkan Taqwa. Kenapa? Kerana ia mencerminkan kehambaan kita kepada Allah. Hanya Allah yang mengetahui nilai ibadah puasa seseorang. Apakah mata sudah berpuasa? Apakah telinga berpuasa? Apakah hati ini berpuasa? Allah sahajalah yang bisa menilainya, dan sesungguhnya nilaian Allah itu Maha Adil. Tarbiyah Ramadan selama 30 hari ini jika dilalui dengan penuh sungguh2 maka insyaAllah di penghujungnya nanti harapannya maqam Taqwa itu tercapai.

Allah sentiasa memerhati segala prilaku kita. Pada Ramadan ini ibadah solat teraweh, tahajjud, dhuha, dan solat2 sunat yang lain dapat dilakukan dengan mudah. Kenapa? Kerana syaitan telah dibelenggu. Mudah untuk kita infaq harta benda insyaAllah. Mudah untuk zikrullah, mengaji al-Qur'an dan iktikaf di masjid. Musuh dalam diri ialah nafsu. Nafsu yang gagal dijinakkan dengan pelbagai azab dan siksaan namun nafsu berjaya diluntur dan dipatahkan dengan ibadah puasa, insyaAllah. Maka sebab itulah kita rasa hebat dengan suasana Ramadan yang penuh berokah ini.

Infaq ke jalan Allah walaupun sedikit sebenarnya sangat besar nilainya. Contohnya kita derma untuk pembinaan masjid, walaupun dengan sumbangan kita ini hanya mampu membeli beberapa ketul bata sahaja, tetapi dengannya kita telah menyumbang untuk terdirinya sebuah masjid yang dapat diguna pakai oleh ahli ibadat untuk berkurun lamanya. Nampak tak? Jangan diperlekeh ibadah amal jariah ini, yang pahalanya berterusan walaupun kita sudah berada di alam barzakh.

Sesiapa yang menyediakan hidangan berbuka puasa untuk orang yang berpuasa maka dia akan mendapat pahala ibadah puasa orang berkenaan, tanpa menjejaskan pahala orang yang berpuasa itu. Puasa yang baik ialah berpada-pada dengan yang halal. Jangan puasa seperti ular sawa yang tak perlu makan untuk berminggu-minggu tapi sekali makan tak dapat bergerak berminggu-minggu kerana terlalu pelahapnya. Jangan juga puasa unta yang tidak minum berbulan lamanya, tapi sekali dia minum habis satu kolam.

Ibadah puasa ini antara hikmahnya ialah untuk kita merasa jerih payah orang susah, kena rasa macam mana pedih perut sebab lapar, rasa lapar yang hilang tenaga. Maka faham kita begini rasanya penderitaan saudara kita di tempat susah. Begini rasanya jerih payah Rasulullah menahan lapar hingga terpaksa mengikat batu di perut. Begini penderitaanmu ya Rasulullah menyampaikan dakwah hingga kita di sini mendapat cahaya iman yang dibawa.

Madrasah Ramadan mestilah kita berjuang bersungguh-sungguh supaya hati terpaut dengan Allah. Untuk tidak lupa walau sedetik pada Allah. Ibadah yang penuh ikhlas bukan takut neraka atau nak syurga tetapi semata-mata kerana mengharap redha Allah. Maka buatlah ibadah yang berat2 di bulan Ramadan ini seperti iktikaf, tadarus, dan qiyamullail. Perjuangan baru bermula.

@@@

Monday, July 16, 2012

Hati Gumbira Ramadan Tiba

Ustaz Wan pesan, kat masjid tu naikkan lah banner menyambut kedatangan Ramadan, biar nampak happening. Sepatutnya dua minggu nak Ramadan tu, banner dah naik baik punye. Ini tidak, tinggal 4 hari lagi di bulan Syaaban ni sebelum Ramadan menjelma, tapi sunyi sepi. Macam takde apa2, tak ada excitement in the air.

Kat sekolah agama Kafa tempat Ustaz Wan mengajar, bila Ustaz war-warkan hari Jumaat ni cuti. Yeeeee...para pelajar bersorak. Bila Ustaz tanya tahu tak cuti apa? Semua tak tahu, siap tanya cuti apa Ustaz? Ustaz pun bagitau cuti sempena menyambut awal Ramadan. Semua pelajar hmmmmm....tak semangat.

Sabda Nabi SAW, "Sekirannya umatku tahu kelebihan Ramadan tentu umatku nak sepanjang tahun itu Ramadan." Tapi sebab kita tak tahu atau buat2 tak tahu, maka kedatangan Ramadan yang hanya beberapa hari lagi ini, di pandang sepi. Sebab itulah kena mengaji, baru gheti. Maka yang wujud di merata tempat ialah poster2 menyambut raya, bukan banner2 menyambut Ramadan. Dunia akhir zaman yang terbalik.

Sesampai saya di ofis tadi, saya mendapat SMS dari kawan saya Zainal. Dia minta saya pimpin majlis bacaan Yaasin dan doa selamat di jabatannya sempena menyambut kedatangan Ramadan. Dia jemput saya sebab tuan pengerusi AJK surau tak dapat hadir. Saya tak layak sebenarnya, tapi memandangkan kawan dah mintak tolong maka saya pun kata ok lah. Tapi yang penting di sini saya nampak ialah inisetif Zainal dan warga ofis GCL ini meraikan kedatangan bulan yang mulia, yang gagal dilakukan oleh jabatan2 yang lain.

Alhamdulillah majlis berjalan lancar. Kami membaca surah Yaasin secara tartil setelah memulakan dengan bacaan surah al-Fatihah dan berselawat kepada Rasulullah sebanyak 11x. Lebih kurang 30 orang yang hadir meraikan majlis.

Saya paparkan di sini petikan doa yang saya baca:

Ya Allah , Ya Karim Ya Wadud ,
kami merafakkan rasa kesyukuran kepada-Mu kerana telah mengizinkan kami untuk berada dan menghadiri Majlis pada pagi ini yang kami adakan sempena menyambut kedatangan bulan Ramadan yang penuh kemuliaan. Berkat bacaan Yaasin, tenangkan jiwa kami dan lapangkanlah dada kami.

Ya Allah , Tuhan Yang Berkuasa Melaksanakan apa yang dikehendaki ,
hidupkanlah kami di bulan Syaaban yang berbaki beberapa hari ini, dan temukan lah kami dengan bulan Ramadan yang penuh barokah itu. Jadikan ibadah puasa Ramadan kami tahun ini layak ke tahap puasa khusus iaitu puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi juga puasa seluruh pancaindera kami. Sesungguhnya kepada Mu sahajalah kami bergantung harap.

Ya Allah Ya Rabbil Alamin, Engkaulah Tuhan Yang Maha Berkuasa sebagaimana maksud surah al-Baqarah ayat 22:

Allah tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang tetap hidup, Yang kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekelian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dialah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya).
Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim

Jadikanlah hari-hari yang kami lalui dimulai dengan rahmat-Mu , pertengahannya barakah , dan disudahidengan keampunan-Mu. Dan juga jadikanlah hari-hari yang kami lalui permulaannya hidayah , pertengahannya kemenangan dan diakhiri dengan kecemerlangan.


Ya Allah , Tuhan Yang Maha Esa lagi Perkasa,
kami memohon kehadrat-Mu semoga Engkau jadikan majlis ini sebagai satu wadah untuk kami bersatu-padu , bekerjasama dan bantu-membantu dan menjadi hamba-Mu yang Engkau redhai.

Amin Ya Rabbal’alamin Ya Allah ,
kurniakanlah kepada kami Iman yang teguh,mantap dan kukuh demi menghadapi cabaran-cabaran hidup semasa dan dalam mengharungi pancaroba hidup yang mendatang.

Ya Allah tunjukkanlah kami taufiq dan hidayah jalan yang benar dan cara-cara melaksanakan sertamenghayatinya. Jadikanlah kami insan yang suka mendengar kebaikan lantas melakukannya , begitu juga jadikanlah kami insan yang apabila mengetahui keburukan lantas bersegera meninggalkannya .

Ya Allah jadikanlah pertemuan kami ini sebagai pertemuan yang diberkati dan dirahmati. Dan jadikanlah perpisahan kami selepas ini sebagai perpisahan yang Engkau pelihara daripada mara bahaya dan keburukan.

***
Sebagai konklusi marilah kita peka dan siap siaga. Ramadan tercinta, aku rindu pada mu. Jadikanlah malam2ku subur dengan ibadah. Jelmakan hari2ku tawadduk tunduk berpuasa seluruh pancaindera. Jangan sia2kan lagi masa yang sangat berharga di bulan mulia ini. Yang sudah tu sudahlah. Jangan rugi lagi. Belajarlah meraih untung di dunia supaya kaya di Akhirat. Ramadan adalah medan juang meraih kemenangan dengan dosa yang berguguran ibarat daun kering di musim panas.

@@@

Tuesday, July 10, 2012

Ancaman Virus Hati

Hari ini saya berpeluang mengikuti ceramah Ust Pahrol Mohamad Juoi di majlisilmu.com. Maka saya ingin kongsi-kongsikan ilmu yang saya dapat itu di laman ini.

Bersyukur kita kepada Allah kerana masih bernafas, maknanya kita masih hidup. Bila masih bernafas maka peluang untuk hidup masih tersedia, dan peluang untuk taubat masih terbuka. Nikmat hidup perlu disyukuri. Jangan anggap nikmat hidup ini biasa-biasa saja. Ia satu kurniaan Allah yang hebat untuk kita.

Menyentuh tentang peristiwa israk wal mikraj yang berlaku pada tahun kesedihan iaitu Rasulullah baru kehilangan orang yang disayangi, untuk mengajar kita agar tidak bergantung kepada makhluk tetapi kena bergantung harap kepada Allah SWT. Rasulullah diangkat ke langit bertemu Allah SWT di tempat yng mulia, maka segala kesedihan itu dapat dirawat. Maka marilah kita ubati segala kesedihan dengan merapatkan diri dengan Allah. Bawak hati kepada Allah.

Siapa yang paling tawadduk dan merendah diri, makin diangkat mulia oleh Allah. Rasulullah makin merendah diri, Allah makin muliakan Rasulullah. Rasulullah walaupun tinggi tapi tidak meninggi diri, bersedia jadi orang kecil. Nak merebut ketinggian ialah dengan merendah diri kepada Allah dan kepada sesama manusia. Kemuncaknya pabila Rasulullah diberikan anugerah Kekasih Allah oleh Allah SWT secara langsung.

Virus hati ialah dosa. Kita kena memahami arah hidup, tujuan hidup, jalan hidup, pendorong hidup, dan bekalan hidup. Apakah penghalang dalam hidup? Penghalang hidup ialah dosa. Jutawan fakir ialah pabila hati dipenuhi dosa. Baik hati maka baik seluruh jasad. Hati yg jadi penawar yang mengawal seluruh pacaindera. Sofware manusia ialah hati. Hati juga boleh lapar dan boleh sakit. Hati itu raja. Kalau raja dah sakit maka kena turun takhta, maka orang lain naik jadi Raja. Kalau nafsu yang naik jadi raja, rusak kita. Kena berhati-hati jaga hati, kena beri makanan, beri ubat, supaya sihat. Hati tanpa makanan akan lemah dan sakit. Macamana nak kesan hati kita sakit?

Hati yg sakit bila satu ketaatan tak rasa manis tapi satu kemungkaran kita rasa seronok pula. Bila jasad sihat kita rasa satay tu sedap tapi bila kena selsema atau sakit satay tu dah rasa tak sedap. Amal kebaikan tu semua ada kemanisan, tapi kita tak terasa bila hati kita sakit.

Piramid makanan untuk hati kena dijaga. Pertama, hati kena di suluh dengan ilmu, maka kena selalu berada di majlis ilmu. Alangkah suburnya hati orang yang berada di majlis ilmu. Kedua, Zikrullah iaitu solat dengan mengingati Allah iaitu makanan hati yang sangat berkhasiat. Ketiga, pabila kita baca Al-Qur'an makanan bagi hati kita, penyembuh penyakit hati kita. Keempat, selawat akan menyuburkan hati kita. Dalam hidup kita 24 jam pastikan ingatan kepada Rasulullah tidak terlepas.

Kita jaga hati dari dijangkiti penyakit, kena jaga. Jika hanya makan ubat atau food supplement tapi tidak hindari makanan yang mudarat akan ditimpa penyakit juga. Ada kisah seorang wanita yang kuat beribadah tapi dia berlaku zalim terhadap jirannya, maka ia tetap dihumban ke neraka.

Ada virus yang menyebabkan hati mati secara mendadak. Tapi ada satu lagi virus yang menyebabkan hati mati secara perlahan-lahan dan berperingkat-peringkat.

Dekat dengan Allah itu mudah tapi kena mujahadah. Itulah jawaban yg tepat. Nak akrab dengan Allah maka kena cari cara nak mendekatkan diri dengan Allah. Kena ada penghayatan, kena amalkan, kena mujahadah. Kena baca Al-Qur'an dan amalkan. Kita boleh beli ubat tapi kena merasa kepahitan ubat itu untuk dapat khasiatnya. Ilmu itu bukan apa yang kita tahu tapi apa yang kita rasakan dengan kita amalkan. Akrab dengan Allah. Kena amalkan terus.

Marah itu berpunca daripada api, syaitan itu dicipta oleh api. Syaitan ini ego, maka punca marah ialah ego. Kadar marah berkadar terus dengan ego. Selalunya ibu marah anak, majikan marah pekerja. Selalunya kerana ego kerana merasa berada di atas dan lebih kuat. Dia rasa bersalah tapi tidak mengaku kerana ada ego dalam diri. Kena lunturkan ego kita. Pabila nak bercakap dengan anak yang rendah dari kita, maka kena rendahkan posisi kita iaitu rendahkan posisi badan dan hati. Juga bagi peluang untuk anak menjelaskan dan sudi mendengar. Kena lunturkan ego kita.

Jika kita menyedari sukarnya mendidik diri kita, maka kita kena sedar betapa sukarnya untuk mendidik orang lain. Maka kena lunturkan ego dalam diri. Api itu kalau terlalu besar akan hangus atau hangit masakan tapi jika tiada api atau api terlalu kecil maka mungkin makanan yang dimasak itu tidak masak-masak. Jangan terlalu marah sehingga hangus, dan jangan tidak marah langsung macam keldai. Marah itu kena berpada-pada. Itu juga perlukan pertolongan daripada Allah. Jangan lupa untuk berdoa kepada Allah supaya marah kita itu terpandu.

Macamana sabar untuk bersabar? Sampai bila nak sabar? Sampai bila-bila. Sabar itu tak ada penghujungnya. Namun perlu bersabar itu diiringi oleh kebijaksanaan, sabar yang terpuji, proaktif dan produktif. Ini ujian daripada Allah.

Bersangka baik kepada seseorang yang mula hijrah. Teman yg seiring dalam perjalanan hijrah, maka kena sabar dan beri semangat dan mencari alasan mungkin dia tidak tahu, dan aku tahu. Kita melihat kawan kita macamana? Kalau lihat kebaikan maka akan nampak kebaikan, tapi kita tengok keburukan maka akan nampak keburukan. Tapi kita tegas tapi bukan keras iaitu menegur keburukan dengan hikmah.

Macamana orang bawahan nak tegur orang atasan? Kena belajar ilmu fasal ego dan takbur, ini fardu ain. Ada orang buat dosa seumur hidup? Tak belajar soal fardu ain, iaitu akidah, fekah, dan akhlak. Kitab yang mudah ialah Kitab Penawar Bagi Hati. Bagaimana hendak meluntur dan buang sifat ego dan takbur.

Lunturkan ego secara praktikal. Satu ketika pergi cuci tandas masjid supaya luntur ego. Kena ada suasana di mana ada teman atau orang yang boleh tegur kesilapan kita. Nak sedekah dengan orang susah dan miskin senang tapi nak duduk bersama orang miskin itu bukan senang.

Teguran kepada orang atasan itu dalam bentuk pertanyaan. Cuit teguran dengan soalan. Bahasa kena lembut. Jangan sampai orang menolak kebenaran kerana kaedah kita yang salah. Tengok keadaan dan masa-masa yang sesuai.

Pabila kita diserang oleh virus dosa. Sentiasa rasa bersalah. Bekalan dari Allah supaya kita rasa menyesal dan taubat. Jangan ikut dengan rasa biasa dengan dosa. Jangan rasa ketagih dengan dosa. Barangsiapa ketawa masa berbuat dosa, maka dia akan dimasukkan ke neraka dengan keadaan menangis. Jangan jadi promoter dosa, iaitu memperjuangkan dosa dan mengajak manusia lain untuk bersama kita melakukan dosa.

Maka kesimpulannya isi hati dengan ilmu dan kukuhkan pertahanan diri untuk menangkis segala serangan virus hati iaitu dosa yang membinasakan diri. Bila berbuat dosa maka segera menyesalinya dan bertaubat memohon keampunan daripada Allah SWT yang Maha Pengampunn dan Maha Penyayang.

@@@

Istiqamah Dalam Amal Soleh

Alhamdulillah saya dan isteri berpeluang menghadiri kuliah maghrib di Masjid As-Salam bersama Ustaz Zahidi pada malam ini.

Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya al-'Ulumuddin telah membahagikan puasa itu kepada 3 tingkatan:





  • Puasanya orang awam (shaum al-'umum): menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan dan minum.


  • Puasanya orang khusus (shaum al-khusus): turut berpuasa dari panca indera dan seluruh badan dari segala bentuk dosa.


  • Puasanya orang istimewa, super khusus (shaum al-khawasi al-khawas): turut berpuasa 'hati nurani', iaitu tidak memikirkan sangat soal keduniaan


Pembahagian di atas memberikan umat Islam ruang untuk berfikir dan menelaah tingkat manakah mereka berada.

Puasa orang awam ini ialah menahan lapar dan dahaga di siang hari, tapi balun makan dan minum cukup2 di malam hari. Ibarat puasa seorang kanak2. Tiada ruhnya. Siang dia lapar. Malam dia kenyang. Puasa budak2. Puasa yang gagal mendidik nafsu. Puasa orang jahil. Puasa sekadakar ikut-ikutan. Orang puasa aku pun puasa.

Puasa peringkat kedua atau pertengahan ini pula ialah puasa yang menjaga bukan sekadar menahan makan dan minum tetapi juga menjaga tingkah laku tujuh anggota yang lain. Mata, hidung, mulut, telinga, kaki, tangan, dan kemaluan di kawal selia pada tahap maksima.



Harapnya tahun ini kita berjaya mencapai tahap kedua ini kerana kita kan sering ke majlis2 ilmu. Sepatutnya berbeza puasa orang mengaji dengan orang tak mengaji. Berbeza puasa orang berilmu/alim dengan orang jahil. Lagi puasa lagi kuat bukan lagi lemah. Orang masam kita senyum. Tengok kueh bukan tengok wanita yang jual kueh. Tidak mendengar orang mengumpat atau cakap benda sia2. Tidak terlibat dengan perkara maksiat. Tidak berlebih pada yang halal, tapi berlebih infaq dan bersedekah tak apa. Tidak harap puji dan balasan daripada makhluk. Harap puji Allah. Siang berpuasa, malam ibadah.

Maqam tertinggi sudah tentulah puasa para Nabi dan para Ambiya' yang mengharap tiada yang lain melainkan Allah. Berbuka dengan apa yang ada. Tidak banyak cakap. Puasanya bukan setakat lahiriah tetapi hatinya turut sama dipantau rapi. Ibadahnya sepanjang siang dan malam. Segala urusan harianya di nilai sebagai ibadah yang ada nilaian di sisi Allah. Syaitan dan nafsu berjaya ditewaskan dan dipenjarakan hingga iman dan amal tumbuh subur mennghasilkan buah2 yang lazat untuk dinikmati.

Harapan kepada syurga Allah tapi tak ikut jalan ke syurga Allah, bagaimana mahu capai matlamat? Maka kena jalan yang benar menuju syurga Allah. Ada orang dapat berjalan terus di jalan itu. Ada orang pula sekejap berjalan sekejap berhenti sekejap berehat. Ada orang pula silap jalan. Maka carilah jalan yang lurus menuju redha Allah ini, supaya destinasi akhir iaitu syurga Allah itu akan dapat kita temui.

Ustaz juga telah fotostat tiga zikrullah yang boleh di amalkan sebagai usaha untuk menuju syurga Allah. Berilmu itu mudah namun beramal dengan ilmu itu yang payah. Berilmu mungkin mudah tapi nak menjaga ilmu itu yang payah. Nak beramal mungkin mudah namun nak pelihara amalan itu yang sukar. Sekejap naik sekejap turun. Sekejap bersemangat sekejap hilang stamina. Maka kenalah amalkan zikrullah sebagai pembersih hati agar hati segar dan dipenuhi hikmah dan sifat2 mahmudah.



Hal akhirat ni kita kena ambil yang banyak. Kena bermasa dan berlapang untuk Allah. Cukuplah masa2 yang berlalu dengan perkara sia2. Masa yang di hadapan kita ini makin pendek. Isikan dengan ibadah dan zikrullah. Zikrullah ini adalah amalan yang paling ringan tapi sangat berat timbangannya di akhirat nanti.

Sesiapa yang bermasa dengan Allah maka Allah tak berlepas untuk dia. Umur kita ini makin dekat dengan mati. Mati makin hari makin hampir. Bibir dan hati yang sentiasa zikrullah mengingati Allah maka insyaAllah nak mati nanti boleh sebut Allah. Bukan senang nak sebut Allah bila nak mati nanti, maka kena biasakan.



Harta kita berapa lama nak simpan? Pangkat kita berapa lama nak bermegah? Amalan zikrullah boleh menjadi asbab kubur yang cantek. Apa maksud kubur cantek? Kubur yang lapang, terang dan wangi. Kubur itu gelap dan sempit, tapi bagi orang soleh Allah lapangkan kuburnya.

Akal seru kepada ibadah. Nafsu seru kepada maksiat. Seruan mana yang berjaya? Jika kuat imannya maka akal akan berjaya dan nafsu akan tewas. Begitulah sebaliknya. Akal seru kepada amal berlawan dengan nafsu. Maka kita kena lawan nafsu pada setiap hal. Akal hasil atas sabar. Sabar untuk taat beribadah. Contohnya malam ini dapat amal wirid. Nafsu akan cakap banyak masa lagi, dah banyak ibadah dah, atau esok ada lagi. Maka kita kena lawan nafsu ini. Kuatkan semangat dan iltizam untuk beramal.

Ramadan ialah bulan untuk kita semua mentarbiyah nafsu. Tundukkan nafsu. Jangan jadi hamba nafsu lagi. Selagi boleh usha maka kena usha asalkan tak melanggar syariaat. Ramadan adalah madrasah untuk mendidik diri manjadi insan yang beriman dan beramal soleh. Ramadan adalah bulan yang ada suasana untuk kita jadi baik. Ya Allah temukanlah aku dengan bulan Ramadan yang mulia dan penuh barokah ini.

@@@

Wednesday, July 04, 2012

Ramadan Menggamit Kemenangan

Semua makhluk bertasbih kepada Allah. Seruan azan bersambung-sambung 24jam sehari semalam mengelilingi dunia dari sebuah daerah ke sebuah daerah, sebuah negeri ke sebuah negeri silih berganti. Seruan menegak syiar Islam.

Allah telah memilih kita lahir sebagai seorang Islam, ruh kita yang diambil dari Luh Mahfuz itu ruh orang Islam. Allah pilih siap2 dah. Islam ini fitrah kepada manusia. Martabat Islam duduk di makam paling tinggi. Marilah kita ambil kesempatan ini untuk muhasabah diri. Ramai di kalangan manusia tak tahu tujuan hidup. Kemana arah tuju kita?

Allah mengarah malaikat untuk mengambil tanah. Allah nak cipta manusia daripada tanah. Itulah Nabi Adam. Kemudian daripada itu manusia dibina daripada air yang hina. Tika berumur 4 bulan dalam rahim ibu, Allah tiup ruh masuk ke jasad. Ramai tak nak fikir daripada mana datang kita ini? Keluar dari lubang yang kotor. Nanti akan kembali ke dalam lubang juga, lubang kubur. Rasa martabat tinggi benar, hebat sungguh, tak sedar akan masuk lubang kubur jugak.

Orang yang mulia di sisi Allah hanyalah orang yang bertakwa. Islam agama fitrah. Satu ketika nanti orang akan nak pada agama. Akhirnya mereka akan cari Islam, agama yang benar. Allah sudah bagi amaran supaya manusia bertakwa. Sebab Allah nak sangat kita ini untuk bertakwa? Allah jadikan jin dan manusia ini untuk beribadah kepada-Nya. Itu tujuan hidup.

Di Mesir 82 tahun Ikhwanul Muslimin berjuang akhirnya kini Allah bagi kemenangan. Hari ini tokoh pejuang Ikhwanul Muslimin, Dr. Muhammad Mursi telah dinobatkan sebagai Presiden Mesir yang baru menggantikan Hosni Mubarak yang telah digulingkan atas suara-suara akar umbi Dataran Tahrir yang telah menyalakan api perjuangan demi sebuah pembaharuan yang dikehendaki oleh rakyat Mesir sendiri. Kini di pundak Dr Mursi tergalas segala keringat dan air mata malah percikan darah juga menjadi saksi revolusi yang dicetuskan oleh rakyat untuk mengangkat dirinya sebagai pemimpin yang diharapkan untuk melakukan perubahan seterusnya mengangkat martabat Islamiah.

Dr Muhammad Mursi seorang engineer pernah ada 1,000 pekerja di bawahnya yang hafiz Qur'an. Dalam ucapannya, jika saya berbuat silap tegurlah saya. Saya akan tentukan rakyat Mesir tidak dizalimi. Dia tidak mahu duduk di Istana Presiden, dia sewa rumah duduk dengan lima anak yg semuanya hafiz dan hafizah. Isterinya juga hafizah. Dia tak nak fleet kereta presiden, dia nak pakai satu kereta saja takut jem jalan hingga menyusahkan rakyat. Isteri dia berucap, saya tak mahu digelar first lady atau sebagainya, saya nak dikenali sebagai orang biasa2 saja. Anak dia tulis surat, jika ayah berlaku zalim kepada rakyat maka sayalah orang pertama yang akan memimpin rakyat menjatuhkan ayah. Hebat tuan2. Inilah yang sepatutnya dijadikan pemimpin idola.

Ucapan Presiden Dr. Muhammad Mursi, "Aku sangat yakin dengan kelebihan (kurniaan) Allah, kemudian aku yakin dengan kamu samua. Aku tidak takut melainkan kepada Allah, setelah itu aku bekerja untuk kamu dengan bersungguh-sungguh. Oleh itu, aku datang pada hari ini untuk bertemu rakyat Mesir setelah aku mendapat kepercayaan dan dipertanggungjawabkan dengan amanah. Aku datang untuk memperbaharui janji dengan kamu semua. Aku ingatkan kamu semua, bahawa kamulah tujuan yang menjadi tempat untuk aku mulakan segalanya, setelah pertolongan Allah yang menyokongnya. Adakah kamu sudah bersedia? Adakah kamu bersama aku sehingga akhir bagi mendapatkan kembali hak-hak kita dan hak-hak kamu? Ini segalanya adalah kehendak kamu , setelah ia juga merupakan kehendak Allah."

Allah is watching all the time. Bila kita tidur Allah pastikan malaikat kawal supaya tak ada semut yang merayap masuk ke dalam telinga kita. Allah kirim malaikat untuk jaga kita masa jaga, tidur dan mati. Besok akal mengadu kepada Allah dan kita gagap nak menjawab di hadapan Allah. Jadi agar tidak gagap maka kena berada di majlis ilmu. Belajar ilmu Allah. Kena berkehendak kepada ilmu. Jika kita beramal tanpa ilmu, taklik buta saja maka sia2.

Allah tak bagi sifat malu pada haiwan, pada lembu. Nak tengok punggung lembu tengoklah. Kita manusia ada aib. Kalau Allah tak hijab aib kita, maka malu besar. Janganlah kita membuka aib orang lain. Kita pandang dengan mata hati. Kehidupan terbahagi kepada tiga - pertama keperluan, kedua berkehendak, dan ketiga hidup nak seronok. Maka berpada-padalah dalam menjalani hidup, jangan sampai berlebih-lebihan.

Kita tak lama lagi Ramadan. Antara Ramadan dengan Ramadan gugur dosa2 kecil. Allah nak bagi bersih orang2 Islam ini. Allah nak menguji amanah dan ikhlas seseorang. Allah sendiri akan bagi poin puasa seseorang. Ini ujian kata Allah. Ramadan adalah satu madrasah yang mendidik nafsu. Kalau dia buat betul2, maka akhir sekali dapat takwa. Dia terus ikhlas dan amanah. Kena bina. Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh ini yang hampir dengan Allah. Rukun Islam yang ketiga ialah puasa, mendidik kita untuk sabar, amanah, dan ikhlas. Takut kepada manusia kita makin jauh dengannya, tapi takut kepada Allah, kita makin rapat makin hampir dengan Allah.

@@@
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...