CLICK n GO

Thursday, May 31, 2012

Latih Hati Dengan Sifat Hamba

Sujud dalam solat berjamaah iaitu meletak kepala yang paling mulia ke tanah dekat tapak kaki orang di depan, iaitu pelakuan hina membuang segala ego yang ada demi kerana Allah. Dan hanya Allah yang akan memberi markahnya. Ikhlas kerana Allah. Mendidik hati sebagai sifat hamba yang semakin berilmu semakin tunduk kepada Allah.

Kedudukan dan pangkat bukannya satu kelebihan tetapi merupakan satu amanah dan tanggungjawab besar. Masing2 takutkan dosa lantas begitu berhati-hati dalam menjalankan amanah. Solat berjamaah melatih diri mematuhi arahan ketua. Ketua yang salah boleh di tegur dengan teguran yang berhemah dalam suasana yang harmoni. Bersatu teguh di dalam saf yang sama2 diluruskan tumit ke tumit bahu ke bahu.

Solat melatih kita fokus. Semoga kita turut fokus dalam pekerjaan dan tugasan yang lain. Anak di latih untuk solat semenjak usia 7 tahun lagi, melatih supaya fokus. Jika berjaya mendidik anak untuk fokus dan khusyuk dalam solat semenjak kecil lagi maka insyaAllah anak2 ini akan mudah di bawa masuk majlis dan akan mudah terkawal akhlak walaupun tanpa penyeliaan. Lahirlah anak yang ada integriti.

Solat dipenuhi dengan doa. Hinggakan solat di akhiri dengan memberi salam, pengucapan doa kepada orang lain untuk sejahtera dan bahagia. Alangkah indah kalau kita dapat mendoakan orang lain tanpa pengetahunannya. Dapat doakan orang yang paling jahat atau paling kita benci supaya mudah2an dia berubah menjadi baik. Jika dia berubah menjadi baik, kita pun dapat saham kebaikan sama.

Kalau ada masalah di ofis maka tadahlah tangan dan berdoa memohon pertolongan merayu belas ehsan Allah. Bukankah Allah sangat suka dan ternanti-nanti hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya pada setiap keadaan? Solat yang baik akan membuahkan rasa jijik untuk berbuat dosa. Maka benarlah solat bisa mencegah maksiat.

Semua yang Allah ciptakan ada objektifnya. Ibadah puasa objektifnya untuk melahirkan insan bertakwa. Manusia yang takut kepda Allah yang akan mematuhi perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Objektif puasa itu bukan untuk berdiet atau berjimat. Sesiapa yang puasa 30 hari di bulan Ramadan dan 6 hari di bulan Syawal, akan mendapat ganjaran seolah-olah berpuasa selama setahun 360 hari (mengikut pengiraan tahun Islam), iaitu 10 ganjaran pahala puasa bagi setiap hari puasa.

Maka lahirlah manusia yang berintegriti yang berpuasa dan mengawal segala pancaindera untuk peka kepada perintah Allah sepanjang tahun. Hebat pekej Islam ini. Konsep integriti dijelmakan dalam ibadah puasa. Pahala setahun untuk integriti setahun. Semoga hidup kita terus berintegriti pabila kita ada gambaran jelas tentang hidup melalui big picture pekej Islam yang syumul ini.

Sebagai kesimpulan marilah kita renung siapa kita? Asalnya dari setitik mani seorang ayah hasil percantuman dengan telur seorang ibu. Air mani yang hina, jijik dan sampah. Kemudian kita dimuliakan dengan Islam.

Atau asal Nabi Adam yang dibuat dari tanah yang ditiupkan ruh dan di hidupkan untuk kekal di dalam Syurga Allah, untuk kekal selamanya di sana. Itu asal kejadian kita. Kemudian bertaburan di bumi membawa hal masing2.

Mungkin sedikit yang kekal di jalan yang lurus. Mungkin ramai yang tersesat jalan. Namun hakikatnya asal kita dari Syurga Allah. Maka harapnya dapatlah kita akhirnya muhasabah diri dan balik ke kampung halaman azali kita ini. Untuk mencapai tujuan ini maka kenalah penuhi dan hiasi diri dengan sifat2 ahli Syurga. Bersatu dengan akidah yang satu untuk kembali bersatu di Syurga Allah.

@@@

Wednesday, May 30, 2012

Integriti Dalam Islam

Alhamdulillah pengisian ilmu di Ceramah Perdana oleh Ustaz Nushi Bin Mahfuz petang tadi rasanya padat dan mantap. Tajuk Integriti dalam Islam yang dibincangkan memang satu pilihan yang tepat.

Ustaz menyatakan bahwa pekej Islam yang dianuti oleh seorang muslim itulah yang dimaksudkan dengan integriti. Yang menjadi kayu ukurnya ialah pemahaman dan penghayatan pada pekej Islam itu. Islam itu sudah serba lengkap. Sebarang nilai tambah yang di adaptasi sebenarnya menjadikan pekej Islam tadi sudah tidak ori lagi.

Kita kena kenal diri. Siapa kita? Nabi Adam dijadikan bukan tanpa sebab. Dalam bidang kerja misalnya kita jadi keliru bila tiada skop kerja yang jelas. Justru kita kena kenal siapa kita? Kemana arah tuju kita? Yang jadi masalah ialah krisis keyakinan. Hingga kita gagal terjemahkan Islam dalam kehidupan. Percaya tapi tidak yakin.

Agama bukan untuk disimpan. Agama mesti ditegakkan. Manusia itu dicipta untuk menjadi khalifah dimuka bumi ini. Ketika Nabi Adam dicipta, malaikat bertanya mengapa makhluk yang akan bertelagah dan merusakkan dunia di ciptakan. Maka Allah telah memberikan ilmu pengetahuan perihal dunia kepada Nabi Adam sehinggakan malaikat mengakui ketinggian ilmu Nabi Adam yang mengundang hormat para malaikat. Pabila Allah perintahkan mereka sujud kepada Nabi Adam, semuanya patuh kecuali Iblis.

Solat adalah tiang agama. Allah memerintahkan manusia untuk mendirikan atau menegakkan solat supaya nampak zahirnya. Solat yang ditegakkan adalah lambang keutuhan Islam. Ibarat bangunan KLCC yang menjadi mercu tanda Kuala Lumpur, nampak gah dari jauh memberi persepsi keutuhan ekonomi, kestabilan kerajaan dan kekayaan negara. Isi dalam lain kira. Orang bukan Islam kadang tu lebih nampak ciri-ciri orang Islam. Selalu kita dengar ungkapan pujian pada sesuatu kebaikan oleh seorang Islam, "Ini olang semayang punye."

Objektif sebagai Khalifah Allah ialah dengan hidup agama dalam diri. Urus tadbir dunia dengan agama yang ada dalam dirinya. Pada pandangan malaikat manusia ini suka bergaduh dan mendatangkan kemusnahan, namun Allah buktikan manusia tidak begitu dengan Allah memberikan ilmu kepada Nabi Adam. Tapi hari ini sindrom the lost of Adam telah berleluasa. Sistem pelajaran yang hanya menjadi kilang mengeluarkan graduan robot yang ada paper qualification tetapi gagal pada nilai2 sebagai manusia. Graduan yang tiada kualiti untuk menjadi insan kamil.


Pabila Nabi Adam dapat menjawab soalan2 yang dikemukakan, sekaligus mengundang respek para malaikat. Malaikat sujud tanda hormat pada ilmu yang ada pada Nabi Adam. Tujuan utama pengajian ilmu pengetahuan ialah untuk membesarkan Allah.

Asas integriti ialah ilmu. Tahu apa yang nak dibuat dan tahu kemana arah tujunya. Nabi Adam dijadikan drp tanah dan ditiupkan ruh. Seterusnya manusia ini dijadikan dari setitik mani yang hina, lahir sebagai bayi yang lengkap namun tiada gigi. Bayi yang berhajat kepada susu ibu iaitu makanan paling berkhasiat. Bayi yang tiada gigi sebagai kemudahan untuk menghisap susu ibu hingga berumur dua tahun baru ditumbuhi gigi.


Elemen tanah berhajat kepada fizikal yang kuat. Proses penyusuan ibu ini sebenarnya sekaligus menjadi satu proses pemulihan rahim dan organ dalaman ibu yang mengandungkan bayi selama sembilan bulan itu. Anak mula berbakti kepada ibunya semenjak bayi. Begitu teliti dan sempurna ciptaan Allah. Islam itu pekej sempurna.

Peranan bapa meniupkan elemen spritual dengan tiupan ruh Islam pada seruan azan di telinga bayi. Proses yang simple tapi penuh makna. Kedapatan di akhir zaman bapa yang mendengarkan azan menggunakan iPod ke telinga bayi. Bila bapa nazak di akhir usia nanti jangan terkejut jika anak meletakkan headphone ke telinga bapa untuk tahlil dan talkin. What you give you get back.


Jangan terkejut dikala jenazah bapa diupah kepada pihak masjid untuk diuruskan, sedangkan anak2 terus menonton AF atau Raja Lawak di rumah. Azan ke telinga bayi mesti disampaikan dengan suara hati. Anak ingat bapanya sampai ke mati. Setiap langkah anak ke masjid di iringi doa untuk kesejahtaeraan bapa di alam barzakh. Ibubapa mestilah berintegriti untuk melahirkan anak2 yang berintegriti. Tiada kefahaman agama bakal mengundang kekosongan dalam kehidupan.

Integriti itu merangkumi honesty, trustworthy dan istiqmah, ada semuanya dalam ibadah kita. Solat kena tertegak, terjelma dan nampak pada zahir. Al-Qur'an acap kali dianggap sebagai just another book, atau sekadar hiasan dan penyeri rak buku, atau sebagai barang hantaran perkahwinan, atau di baca dan di khatam tanpa faham maksudnya. Sepatutnya Al-Qur'an dibaca, difahami, dan diamalkan iaitu terjelma dalam kehidupan.

Ibarat sesuatu produk yang dibekalkan dengan user manual bertujuan untuk memberikan panduan penggunaan, maka manusia sebagai satu produk ciptaan Allah dibekalkan dengan user manual iaitu Al-Qur'an. Bukan itu saja Allah utuskan Rasulullah sebagai pelakon yang melakonkan teks2 dalam Al-Qur'an supaya kita dapat faham dan ikut. Manusia nampak serabut bila tidak dapat gambaran big picture berkenaan Islam dan tidak tahu menghubungkait segala komponen yang ada.

Dengan ilmu dan Islam manusia sepatutnya dapat gambaran lengkap asas2 kehidupan dunia dan akhirat. Pabila ini berlaku maka barulah hati akan jadi puas dan pemandangan menjadai indah dan cantek. Barulah ada integriti.

Al-Qur'an dijelmakan melalui akhlak dan peribadi Rasulullah. Betapa ramai orang musyrik yang tertarik kepada Islam hanya dengan melihat akhlak dan peribadi Rasulullah. Akhlak dan peribadi seorang muslim memberi gambaran tentang Islam itu sendiri dan orang akan memerhatikan ini. You are the book and they read.

Para sahabat semua membaca Rasulullah. Dialah buku. Para sahabat membacanya. Begitulah kita sebagai muslim. Kita ini buku. Non-muslim membacanya. Buruk kita maka buruklah pada pandangan non-muslim atau seorang muslim yang lain. Sebaliknya jika kita berjaya menjadi muslim yang baik maka orang akan memandang Islam dengan penuh hormat. We are the book. They read.

Sebagai analogi kita lihat masjid sebagai simbol agama Islam. Kita ambil Islam sikit2 dan tidak menyeluruh. Sebelah kaki masuk masjid dan sebelah kaki di luar masjid. Ini kerana krisis tak yakin. Kalau muslim sendiri tidak yakin kepada Islam, macamana non-muslim nak yakin? Bila masuk masjid sebelah kaki maka yang penuh ialah di pintu2 masjid. Macamana orang lain nak masuk masjid? Akibatnya tak nampak apa kat dalam masjid. Yang nampak luar masjid sahaja. Bak kata ulamak terkenal Syeikh Mohd Abduh, Islam Itu Akhirnya Terhijab.

Semua masih ingat cerita Harry Porter? Berapa ramai yang baca buku Harry Porter berbanding dengan yang menonton filemnya? Atau cerita popular Ombak Rindu. Agaknya mana yang lebih ramai yang menonton filemnya atau yang membaca novelnya?

Berapa ramai yang membaca Al-Qur'an? Apatah lagi memahami isi kandungannya. Sedangkan akhlak Rasulullah itu Al-Qur'an. Sunnah Rasulullah itu untuk kita semua ikut dan contohi. Watak yang mudah nampak ialah Rasulullah. Maka marilah kita semua menghayati watak Rasulullah SAW sebagai model kehidupan yang sempurna. Usah menjadikan watak2 lain sebagai idola atau pelakon terbaik.

Integriti bukan benda asing. Jelmaannya boleh dilihat pada ibadah solat. Kalau tiada ilmu, solat mungkin saja menjadi sekadar rutin senaman untuk kesihatan diri. Solat juga sudah terbukti kehebatannya melalui penemuan sains. Namun janganlah kita solat kerana sains. Islam tertegak melalui ilmu. Sebab itu ayat pertama yang diturunlan ialah Iqra' supaya manusia membaca, menuntut ilmu perihal alam ini, sains dan biologi. Dengan ilmu ini akan menjelaskan lagi kebesaran dan kehebatan ciptaan Allah.

@@@

Tuesday, May 29, 2012

Tayar Pancit

“Pa, cashier tu bagi kurang RM1,” jelas isteri kepada saya sambil memerhatikan resit bayaran yang berjumlah RM18.12 itu. “Takpa la, kita niat sedekah,” sampuk saya. “Ok niat sedekah je lah.”

Kemudian kami keluar dari pasaraya berkenaan dan singgah untuk ambil selipar yang di baiki oleh Pakcik tukang kasut di kaki lima depan pasar. “Berapa Pakcik?” tanya isteri saya. Pakcik tadi kata, “Sepatutnya RM8, tapi bagi RM7 sudah la.”

Teori sebalik sesuatu ada sesuatu menjadi nampaknya.

Semasa memandu pulang dari ofis semalam, sesampainya di Rawang ada mamat sebelah saya hon. Bila saya menoleh kepadanya, dia memberi isyarat bahawa tayar belakang sebelah kanan kereta saya pancit. Saya mengangguk, dan meneruskan memandu hingga ke stesen Petronas di depan sana. Tapi bila saya pam angin, tak berjaya masuk dan tayar itu kekal kempis (Rupanya ada butang khas untuk tayar pancit). Nak tak nak saya terpaksa memandu juga untuk sampai ke kedai tayar berhampiran. Perjalanan itu terasa jauh pula dan tayar bermasalah itu sudah mengeluarkan bunyi pancitnya bila terseret di jalan tar.

Sesampainya di kedai, saya lihat tayar itu sudah hancur berkecai…ish ish. Sudah sampai ajalnya. Nasib baik rim tidak rosak. Tayar ini sebenarnya memang sudah bocor tapi anginnya keluar secara slow motion. Setiap dua atau tiga hari saya terpaksa pam angin kat stesen petrol. Bacaannya 164 out of 220. Jadi kebetulan kejadian hari ini yang menyebabkannya terburai, maka saya pun terpaksalah ganti dengan tayar baru. “Dik, ada tayar second hand?” tanya saya. “Ada.” Maka saya pun ditunjukkan dengan beberapa biji tayar yang ada dalam stok untuk saya membuat pilihan. “Berapa satu?” “RM50”, jawabnya.

Pabila di renung dan di fikir, maka dapat dibuat kesimpulan bahawa Allah itu sangat prihatin kerana merencanakan kejadian ini semasa saya melalui jalan lama Rawang, kerana bagi saya ianya adalah satu keadaan yang terkawal. Sebaliknya jika kejadian ini berlaku semasa saya memecut 140km/j di lebuhraya PLUS sebagaimana yang saya lalui sepanjang minggu lepas sebagai laluan pilihan untuk cepat sampai ke rumah, maka adegan yang trajis mungkin berlaku. Tapi entah macam mana semalam iaitu hari pertama bekerja pada minggu ini, tergerak hati untuk balik melalui jalan lama, bukan melalui lebuhraya seperti biasa.

Ada perancangan Allah di si sebalik sesuatu kejadian.

Teringat saya tahun lepas, saya sekeluarga dalam perjalanan ke Cameron Highland pabila tayar depan pancit semasa di lebuhraya berdekatan Tapah. Nasib baik kereta lain tak banyak dan saya sempat memberhentikan kereta di lorong kecemasan dengan selamat. Saya yang dibantu oleh anak lelaki saya dengan cool dapat jack kereta dan menanggalkan rim bersama tayar yang meletup itu dan berjaya menggantikan dengan tayar spare.

Bila di fikir balik, Allah bisa saja memberi kejadian yang buruk tetapi Allah dengan sifat pengasih dan penyayang-Nya telah memberi peluang kepada saya dan keluarga untuk menghadapi musibah dan ujian itu dengan risiko yang paling minima, Alhamdulillah.

Ada hikmah atau sesuatu di sebalik sesuatu itu. Belajar bersyukur walaupun ditimpa kejadian yang buruk, kerana kejadian yang menimpa itu bisa saja lebih buruk atau trajis. Bersangka baik pada Allah. Bersyukur atas segala kejadian atau ujian yang berlaku.

@@@

Monday, May 28, 2012

Sebalik Sesuatu Ada Sesuatu

Saya mengikuti kuliah maghrib di Masjid as-Salam pada 26/5/12 yang disampaikan oleh Ustaz muda Johani Bin Ibrahim dari Gombak. Ini merupakan kali pertama ustaz berceramah di masjid as-Salam.

Ustaz memulakan dengan merafaqkan kesyukuran kerana dapat sama2 hadir ke majlis ilmu di masjid ini. Kalau Allah tak izin untuk kita hadir ke rumah Allah ini maka kita tak akan dapat datang. Dapat datang ini ialah kerana kudrat dan inayat Allah iaitu belas ehsan dan bantuan Allah.

Adakah kita mampu datang ke rumah Allah ini tanpa bantuan Allah? Tidak mampu. Buktinya betapa ramai manusia di luar sana yang rumahnya dekat dengan masjid, yang ada kereta dan kenderaan, yang ada kelapangan masa, yang memang berhajat nak datang, tetapi mereka tidak dapat hadir.

Segala kejayaan kita selama ini adalah kerana kudrat dan inayat Allah. Maka jangan bangga pabila memperoleh kejayaan tetapi banyakkanlah bersyukur.

Mengapa kita hulur bantuan? Kerana kita kenal orang itu, kerana ada rasa belas ehsan kerana orang itu datang dengan simpati, dan akhirnya mungkin kita hulur bantuan kerana kebaikan kita. Allah memilih segelintir sahaja untuk memuliakan rumah-Nya. Daripada kurang lebih 20,000 muslim ahli khariah masjid ini, Allah cuma pilih 70-80 orang sahaja.

Adakah Allah kenal kita? Sudah tentu. Bukankah Allah itu yang mencipta kita dan Allah Maha Mengetahui. Namun adakah kita benar2 memperkenalkan diri kita kepada Allah? Apa yang Allah nak kenal?

Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menghambakan diri pada-Ku. Maka kerja kita ini sebagai hamba kepada Allah. Adakah kita telah perkenalkan diri kita sebagai hamba? Ramai manusia yang sudah hilang identiti.

Jangan pandang remeh pada nama. Nama itu lambang identiti diri. Nama itu untuk memudahkan orang panggil, untuk doa, dan untuk diletakkan pengharapan. Kenallah diri sendiri supaya mudah nanti untuk mengenal Allah.

Pada hubungan sesama manusia kena sentiasa ada sangka baik dan memahami bahawa setiap ujian itu adalah untuk menguji keimanan kita. Kemungkinan apa yang kamu tak suka, itu yang terbaik bagi kamu. Kemungkinan apa yang kamu suka, itu yang tak baik bagi kamu. Sesungguhnya Allah yang lebih mengetahui.

Contohnya kita hilang duit sebanyak RM7,000. Maka yang terbaik ialah redha. Segala keluh kesah adalah sebenarnya kifarah iaitu pengampun dosa. Dapat kesusahan itu ialah pengampunan dosa, maka bersyukur dan ucapkan terimakasih pada Allah.

Ustaz menceritakan kisah benar, di zaman persekolahannya. Dia mendapat keputusan 8A1 dalam peperiksaan percubaan SPM dan menjadi harapan sekolahnya. Pabila keputusan SPM sebenar diumumkan dia kecewa dan terkedu kerana hanya mendapat keputusan 1A dan 7B. Dalam tangan terketar-ketar dan tidak keruan itu, seorang guru dari jauh mengukir senyum kepadanya. Guru ini memberi kata2 semangat, “Sabar. Di sebalik sesuatu ada sesuatu.”

Sabar menanti dan menuruti apa yang disebaliknya. Fikir sangka baik. Apa saja yang terjadi redhalah. Tanda kehebatan manusia ialah pabila dia senyum. Dia mampu senyum pabila senang dan dia mampu senyum pabila susah. Hanya orang yang beriman mampu senyum bila susah.

Dan benarlah, kata Ustaz, 10 tahun kemudian baru saya faham. Asbab saya mendapat keputusan SPM tadi maka saya berjaya menjadi seseorang yang dapat berada di depan tuan2 untuk mengajar dan berkongsi ilmu di kuliah maghrib ini di rumah Allah ini. Alhamdulillah.

Kalau dihujani dengan pelbagai dugaan, kenalah bersangka baik. Perbaiki sangkaan kita. Bukankah Allah lebih mengetahui sesuatu yang disebalik sesuatu itu? Maka bersangka baik pada Allah.

Cuba kita lihat, kenapa ketika banyak duit tak ada pula orang datang meminta sedekah atau bantuan? Tapi tika kita tak ada duit maka ada sahaja orang yang datang minta sedekah dan bantuan. Maka inilah ujian Allah. Untuk menguji iman seseorang.

Rasulullah SAW telah memberi contoh yang terbaik. Segala perlakuan Rasulullah SAW ini mampu kita ikuti. Rasulullah SAW akan memberi kepada orang yang mohon sedekah atau bantuan walau Rasulullah SAW sendiri terpaksa berhutang.

Sesungguhnya padamu ada segumpal darah yang pabila baik maka baiklah dirimu. Itulah hati. Hati yang masih kotor akan meyebabkan perasaan sangka buruk. Namun hati yang bersih akan terus menonjolkan sangka baik pada setiap keadaan. Bukankah segala kesusahan dan kesenangan itu ujian daripada Allah untuk hamba2-Nya?

Kita hayati bait2 lagu oleh penyanyi Indonesia Mas Opick ini:

“obat hati ada lima perkaranya
yang pertama, baca Qur’an dan maknanya
yang kedua, sholat malam dirikanlah
yang ketiga, berkumpullah dengan orang sholeh
yang keempat, perbanyaklah berpuasa
yang kelima, dzikir malam perpanjanglah
salah satunya siapa bisa menjalani
moga-moga Gusti Allah mencukupi”

Mamahami hakikat ini maka obatilah hati supaya sihat dan bersih. Antara obat yang mujarab ialah baca Qur’an dan memahami maknanya, dirikan solat malam, menggauli orang2 soleh, memperbanyakkan puasa2 sunat, dan perbanyakkan zikrullah.

Seterusnya cintailah ilmu. Kunjungi majlis2 ilmu. Jadilah orang yang sentiasa menuntut ilmu yang semakin banyak ilmunya makin terasa semakin bodoh kerana khazanah ilmu Allah yang begitu luas dan yang kita tahu itu hanya secubit sahaja.

Seterusnya ilmu yang didapati itu mestilah diamalkan. Apa yang didengar tapi tidak diamalkan dalam masa 12 jam akan kita lupa. Jadilah kelompok manusia yang suka pada ilmu, menjadi pendengar majlis2 ilmu, belajar ilmu, dan mengajarkannya. Namun janganlah menjadi manusia yang tidak suka, malah mengutuk dan bersangka buruk terhadap ilmu dan majlis2 ilmu.

Semoga bulan Rejab ini menjadi bulan perubahan kepada kita semua untuk transformasi menjadi manusia yang cinta ilmu. Manusia yang faham agama dan sentiasa mencari gerak kerja yang membantu diri manjadi insan yang lebih alim dan kamil.

@@@

Friday, May 25, 2012

Ada Tapi Tak Nampak

Tidak semua yang ada atau wujud itu dapat di lihat? Pabila di pasang kipas syiling, terasa deruan angin mengenai kulit tubuh. Nampak tak angin yang mengenai tubuh itu? Tidak. Angin itu ada tak? Ada. Dapat di lihat tak? Tidak.

Pak Abu berjumpa doktor pakar. Kata doktor itu, waris Pak Abu yang berada di wad ICU itu sudah nyawa-nyawa ikan. Pak Abu bertanya, "Di mana nyawanya?" Doktor itu tersenyum dalam kebingungan. "Dia masih bernyawakan?" tanya Pak Abu. Ya. "Di mana nyawanya?" ulang Pak Abu.

Ustaz Halim kata, macam karan letrik. Ianya ada tapi tak nampak. Kat mana dia? Kat dalam wayar letrik. Bila ON nyala lampu asbab aliran letrik tadi. Maknanya arus letrik itu ada. Kalau pegang wayar letrik yang togel, mungkin akan terasa kejutan letrik. Silap-silap haribulan boleh gol terus. Itu pun kalau sudah sampai ajalnya. Ajal itu di tangan Allah.

Peristiwa israk mikraj Rasululullah yang berlaku di bulan Rejab, telah di sangsikan dan didustakan oleh orang kafir yang tidak beriman yang diketuai oleh si pelahap Abu Lahab. Namun Abu Bakar RA terus meyakini apa yang diceritakan dan digambarkan oleh Rasulullah SAW, tanpa sekumit ragu. Itulah iman. Beriman pada perkara ghaib. Pada yang ada tapi tak nampak. Israk mikraj adalah isu akidah. Tiada golok gantinya. Sebarang keraguan bisa menggelincirkan iman daripada landasannya.

Para malaikat yang begitu banyak tidak terhitung oleh akal. Apatah lagi dari dulu hingga kini para malaikat ini tidak mati. Malaikat ini ada tak? Ada. Cuma Allah tidak zahirkan nampaknya ke mata kita. Takdir Allah nampakkan kepada kita, haru gamaknya akan sesaknya dunia dan seluruh alam dengan mereka.

Alam jin pun satu hal lagi. Ianya ada. Kita tidak ada upaya untuk nampak. Syaitan dan iblis pun begitu juga. Maka pabila kita faham hakikat iman ini, yakni meyakini adanya perkara ghaib. Dosa dan pahala adalah perkara yang tak nampak, perkara ghaib. Ada tapi tak nampak.

Syurga dan Neraka itu wujud sebagai benda ghaib. Hanya iman yang kukuh dapat mengakui hakikat ini. Siksa kubur itu ada. Alam barzakh itu ada. Alam akhirat itu ada. Padang Mahsyar itu tebentang luas. Titian sirat itu ada. Hari kiamat, hari hisab dan pembalasan itu ada. Maka percayalah. Sebagai orang beriman kita kena yakin dan percaya. Iman dan takwa menjadi penentu. Tepuk dada tanya iman.

Justru kerana tidak semua yang ada itu kita nampak maka kita kena percaya dan beriman. Setiap perlakuan di dunia bakal di ambil kira dan di beri pembalasan setimpal oleh Allah SWT. Maka usah angkuh dan bangga, jika diri masih menjadi hamba dunia dan tidak tunduk pada Allah SWT. Kerana tiada siapa yang rugi dan binasa nanti melainkan diri sendiri empunya badan. Jangan kata tiada siapa yang memberi amaran dan peringatan ini pada anda.

Bulan Rejab ialah bulan perubahan. Ayuh bangun dari tidur dan mula berubah menjadi insan2 yang takwa dan patuh pada Allah SWT dan Rasulullah SAW.

@@@

Monday, May 21, 2012

Ijtimak Sri Petaling 2012

Alhamdulillah hari ini berakhir Ijtimak Sri Petaling yg belangsung dengan jayanya selama 3 hari iaitu 19-21 Mei 2012 yg disertai kurang lebih 20 ribu peserta daripada pelbagai bangsa termasuklah melayu, cina, india, myanmar, pakistan dan bangladesh.

Saya perhatikan ahli jamaah yang pelbagai termasuklah professional, alim ulama, para ustaz, pelajar madrasah, pelajar ipta/ipts/sekolah, warga asing, dan oku. Semua istiqamah dan memberi tumpuan kepada segala program ijtimain yg diadakan termasuklah bayan subuh/zohor/asar/maghrib, majlis taklim, taskil demi taskil, halqah tajwid, muzakarah, dan halqah khususan.

Mujahadah dan pengorbanan yang ibarat suasana berada di khemah2 dan masjid di tanah suci semasa ibadah haji. Sunnah Rasulullah dihidupkan. Jamaah duduk rapat2 hingga berlaga bahu ke bahu, lutut ke lutut. Walaupun lenguh walaupun berpeluh, namun setiap mata tertumpu pada ulama (elders) yang datang khas dari luar negara dan penterjemah yang begitu mantap memberi ulasan terjemahan secara live tanpa erti penat.

Penekanan pada hakikat kalimah Toyyiba, berpegang teguh bahawa segalanya milik Allah tiada satu pun milik makhluk dan pergantungan kita hanya pada Allah dengan amalan mengikut cara Rasulullah SAW. Kita sebagai umat terbaik penyambung tugas Nabi dan para sahabat untuk membuat usha dakwah ke seluruh alam.

Kerja dakwah ini kerja Nabi dan ini adalah maksud hidup kita. Yang kita dok sibukkan selama ini adalah keperluan semata bukan maksud hidup. Maka kita mohon ampun pada Allah atas kelalain ini. Pabila kita faham kerja Nabi itu merupakan kerja kita maka orang itu akan berjaya, insyaAllah.

Tidak kira siapa kita pun. jika buat kerja agama insyaAllah Allah akan bagi berkat. Hubungan dengan Allah adalah hubungan yang sangat tinggi. Kita ikut sunnah Rasulullah dan tauladan para sahabat, bermati-matian dalam usha agama dan buat usha agama sampai mati.

Pelbagai makhluk yang Allah cipta, 1/4 di daratan dan 3/4 di lautan. Kita bukan haiwan yang menjadi pemilik keinginan mereka. Kita bukan pemilik keinginan kita. Kita hamba Allah dan bukan haiwan. Segala perlakuan kita akan di ambilkira dan mendpat balasannya. Manusia makhluk paling mulia. Tidak dihantar sia-sia di muka bumi ini. Kita bukan sekadar menghabis sisa usia. Kejayaan kita hanya dengan agama Allah, tidak pada kebendaan dunia.

Kehidupan dunia bukan matlamat kita. Kehidupan hakiki kita ialah akhirat. Siapa yang mati tanpa iman akan binasa. Agama itu 24 jam sehari semalam. Kalau amal sunnah Nabi maka kita akan dapat hidayah Allah dan berjaya dengan kejayaan yang agung. Usha dakwah adalah maksud hidup iaitu mengajak manusia kepada Agama yang sempurna. Usha dakwah kita supaya agama Allah dapat dicapai di seluruh alam. Supaya dalam seluruh kehidupan ada agama Allah.

Ijtimak Sri Petaling untuk zon KL & Selangor di adakan serentak di seluruh negara dengan 12 zon yang lain iaitu Perak, P.Pinang, Perlis & Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka & N9, Johor & Singapura, Sarawak(Kuching-Sibu), Sarawak(Bintulu-Miri) & Brunei, Sabah pantai barat, & Sabah pantai timur.

Ijtimak Sri Petaling kali ini telah berjaya membentuk 50 jamaah keluar 40 hari ke jalan Allah bertaburan ke serata alam. Sungguh teruja melihat barisan pejuang agama melintasi sof depan di majlis Mussofa di akhir bayan hidayah tadi. Semua para peserta yang lain pulang dengan azam yang kukuh untuk membela agama Allah dan meneruskan gerak kerja program usha dakwah ini, insyaAllah.

@@@

Wednesday, May 16, 2012

Hari Guru 2012

"Pa rasa elok tak saya tak pi sekolah esok?", sapa anak saya secara selamba mencuba nasib.

"Why?" "Sebab tak belajar, ada sambutan Hari Guru," jelasnya.

"Hmmm....pi je, pada dok tidur kat umah," jawab saya. "At least ada manfaat dan pengajaran yang dapat diambil. Tambahan lagi ini adalah penghormatan untuk guru yang saban hari mengajar kita," tambah saya lagi. Anak saya akur.

Semasa memandu ke ofis pagi ni sambil dengar Sinar FM, DJ membicarakan tema Hari Guru dan mengajak pendengar berkongsi kenangan dan kisah nostalgia bersama guru masing-masing suatu masa dulu. Ramailah yang buat panggilan. Antara yang sempat saya dengar ialah kisah Cikgu Masri yg mengajar di sekolah kampung yang sanggup meronda dengan moto RX nya setiap pagi dan memboncengkan budak2 ke sekolah, demi membantu supaya anak2 kampung ini tidak lewat sampai ke sekolah.

Kemudian saya teruja mendengar bait2 lagu Biar Ku Menjadi Lilin nyanyian kumpulan Pelangi yang disiarkan..

Biarku menjadi lilin

Memberikan cahaya
Terangi sekeliling dengan diri terbakar
Tak siapa yang sedar

Disaat kegelapan rela aku berkorban
Demi satu harapan
Biar masa berlari
Dan kau terus mendaki

Aku tenang disini dengan sabar menanti
Tanpa dendam dan benci
Andainya kau terjatuh terluka dan tersungkur
Kurawat biar sembuh

Aku tak kan bertanya
Apakah nanti balasannya
Setiap pengorbanan setiap pemberian

Demi satu ikatan
Keikhlasan dihati

Walaupun kau ragui

Pada suatu masa dan suatu ketika
Akan ketara jua
Biarku menjadi lilin

Memberikan cahaya

Saat kau kesepian saat kau kegelapan
Kurela menerangkan
Aku senang begini dapat terus berbakti

Dengan cara sendiri.


Beberapa hari lalu, kalau tak silap ada sambutan Hari Ibu. Saya terbaca dalam sebuah blog yang bertajuk Emak Saya Tidak Suka Hari Ibu...

Kata Emak, "Jangan diungkit kebaikan kita (ibu) menjaga anak-anak. Jangan ungkit susah payah membela dan membesarkan anak. Sebab itu sudah menjadi tanggungjawab, amanah yang wajib dipikul. Tidak mengapa kalau anak tidak menghargainya. Tanggungjawab ibu tidak berkesudahan selagi ada hayat. Adalah menjadi tugas ibu untuk mendoakan, memaafkan dan mengampunkan anak-anak walaupun anak tidak datang meminta maaf. Kalau ada anak yang tidak menjadi seperti yang diharapkan, maafkan sahaja. Jangan ditambah lagi dosa anak kepada kita hanya kerana mereka tidak menghargai kita. Halalkan semua."

Rasanya ini satu lagi kisah klasik biarku menjadi lilin yang patut menjadi inspirasi kita sebagai ibu, bapa, atau guru. Ikhlas dalam tugas dan amanah tanpa mengharapkan apa2 balasan dari sesama makhluk hatta anak sendiri atau anak murid sendiri.

Maka begitu juga bagi seorang anak yang berbakti menjaga ibu atau bapa semasa hari tua mereka. Mengapa mahu di ungkit segala kebaikan dan pengorbanan itu? Allah Maha Mengetahui dan Maha Adil. Biarlah Allah yang memberi ganjaran setimpal atas segala kebaikan itu. Mengapa mengharap simpati dan pujian dari sesama makhluk? Ikhlas itu adalah membuat sesuatu tanpa mengharapkan balasan walau sekadar ucapan terima kasih sekali pun. Dan Ikhlas ini hanya Allah saja yang dapat menilainya.

Teruskan berbuat kebaikan, nawaitu kerana Allah. Sesungguhnya penilaian Allah itulah yang kita dambakan. Sesungguhnya itulah yang paling berharga dan paling bermanfaat. Agak sayang, setelah berpenat lelah berbakti, di akhirnya tiada nilai di sisi Allah kerana niat yang menyeleweng atau mengharap perhatian dan ganjaran daripada sesama makhluk. Renung2kan dan selamat beramal.

@@@

Wednesday, May 09, 2012

Buku Noorah

Saya sempat khatam buku Noorah malam tadi setelah 3 hari membacanya. Tahniah buat penulis Ummu Hani Abu Hassan kerana berjaya memberi persembahan berkualiti tinggi.

Islam yg syumul bukan terikat pada bangsa dan budaya. Muslim yg baik adalah yg taqwa pada Allah. Noorah rakyat British yang telah melalui ujian demi ujian yg bukan sedikit, hingga membentuknya menjadi Muslimah yg faham agama dan peka pada isu dan suasana. Semoga buku kisah benar ini menjadi inpirasi berguna untuk kita semua.

Buku ini antara enam buku saya perolehi pada PBAKL minggu lepas. Buku ini merupakan buku kedua yang saya sempat habiskan bacaannya setakat ini. Teringat saya beberapa manusia yang revert kepada Islam terutamanya dari negara kita yang mendapat hidayah bukan daripada asbab kalangan muslim di negara ini malah mendapat hidayah asbab pabila melihat Islam di luar negara.

Ada yang komen jika mengambil contoh muslim di negara Islam mungkin dia masih belum revert. Apatah lagi di negara kita yang banyak mengaitkan Islam dengan identiti bangsa tertentu sahaja. Tambahan lagi usaha dakwah yang masih tertutup atau di anggap sensitif untuk mendekati non-muslim.

Di kala Islam gagal di hadirkan di negara Islam, acap kali pula Islam hadir tanpa Islam di negara2 bukan Islam seperti UK, terutamanya dalam menjaga kebajikan rakyat dan menjaga kebersihan tempat2 awam. Islam yang gagal ditonjolkan oleh seorang muslim seperti berkasih-sayang sesama manusia, berjaya pula dihayati oleh non-muslim.

Ramai muslim yang lahir sebagai muslim gagal dalam memberi contoh terbaik peribadi yang sepatutnya mengikut syariat Islam. Hingga timbul pula semacam salah faham dan salah tanggapan pada agama itu sendiri. Ditambah lagi dengan propoganda media yang melihat aspek negatif dan disebarluas untuk nilaian umum.


Justru itu tahniah kepada muslim yang mempraktikkan tauladan kehidupan dan akhlak seorang muslim yang boleh menjadi asbab tertarik manusia kepada Islam.

Katryn yang memakai nama Noorah dalam kisah benar buku ini berjaya graduate sebagai muslimah yang faham agama setelah melalui segala pahit manis kehidupan termasuklah period pergolakan kehidupan masa kecil dan remajanya, kegagalan dua kali di alam rumahtangga, pertama bersuami seorang arab dan kedua bersuami seorang melayu. Bagaimana dia menangani persoalan anak-anak, kerjaya dan menangani permasalahan sosial dan masyarakat, dan isu-isu global masakini.

Betapa pengalamannya di UK melihat masalah pengasingan agama di gereja dengan praktikal hidup, betapa ibubapa cuba mengimplimen nilai-nilai agama kepada anak-anak sedangkan pada realitinya ibubapa sendiri memberi gambaran cakap yang tak serupa bikin seperti ketagihan arak dan mengabaikan keluarga. Konsep agama yang mengelirukan juga menambah kekusutan pada jiwa yang memberontak mencari kebenaran. Hinggalah Katryn menjadi Noorah yang mendapat hidayah Allah.

Buku setebal 304 mukasurat berharga RM20 keluaran Galeri Ilmu ini sangat elok dimiliki sarat inpirasi dan tarbiyah ruhani.

@@@

Tuesday, May 08, 2012

Buku Hamparan Shamrock

Buku ini telah berjaya menarik perhatianku untuk membelinya bermula dengan cover nya yang begitu menarik berlatarkan warna puteh bersih. Tajuknya yang mengundang misteri dan tandatanya juga menjadi daya penarik yang unggul. Ditambah lagi dengan karya seorang penulis hebat yang sudah punyai track record bestseller pada setiap karya beliau. Penulis itu ialah Ustaz Hasrizal Abdul Jamil yang juga pemilik blog saifulislam.com yang sudah tertegak di laman sesawang sejak sekian lama.

Dalam kesibukan rutin harian dan keletihan kerana kehabisan stamina yang kerap mengundang mata jadi kuyu hingga terlelap setiap kali cuba meneruskan bacaan konten buku ini, masih gagal menghalang saya untuk berjaya mengkhatamkan buku Di Hamparan Shamrock Ku Seru Nama Mu ini pada kadar jangkamasa kurang lebih seminggu semenjak saya membelinya di PBAKL pada hari pertama pembukaannya pada 28/4/12 yang lalu di PWTC. Oh ya bersamaan dengan hari Bersih 3.0 dan pengalaman menarikku bersama anak2 dan isteriku bersama tidak kurang daripada 300,000 rakyat marhain peduli dari seluruh pelusuk negara, sebuah isu nasional rupanya yang mendapat coverage global dan menjadi isu debat dan bincang hingga ke saat ini.

Berbalik kepada buku ini, Ust Hasrizal bagiku sudah berjaya merungkai secara agak terperinci satu period kehidupan beliau di bumi UK khasnya di Belfast Ireland. Di selang seli dengan pelbagai flashback detik2 menarik dan significan di sana sini termasuklah semasa beliau menuntut di Jordan atau kembara ke London. Terserlah rontaan jiwa dan rintihan hati pada rentetan ujian yang besar dan kecil yang kesemuanya berjaya di coretkan secara tulus dan santai untuk menarik saya membacanya atau mengorek kesudahannya.

Apabila seorang kawan bertanya, "Hang tau tak apa itu Shamrock?" Saya dengan konfiden menjawab, "Nama tempat." Beliau berkata sambil menuding jari ke arah cover buku yang ada di atas meja saya menunjukkan helaian daun atau bunga hijau, "Sejenis tumbuhan yang menjadi simbol kepada negara Ireland." Begitu rupanya, barulah saya dapat relate yang di maksudkan dengan Di Hamparan Shamrock...pada tajuk buku ini.

Sebuah travelog amal dan tarbiyah ruhani yang saya sangat rekomen di miliki oleh pembaca budiman yang rindukan bacaan yang tidak begitu berat hingga mengundang penat yang akhirnya gagal di khatam. Dengan buku ini cukuplah koleksi karya Ust Hasrizal yang ada di rak mini library di residensi saya kecuali satu iaitu buku Transformasi Ramadan. Baiklah akhir kalam untuk Ust Hasrizal terus daya juangmu menegak Agama Allah di muka dunia walau apa jua onak nya dan teruskan berkarya kerana Ustaz antara manusia terpilih yang Allah kurniakan bakat ekperisi yang baik di kertas puteh.


@@@

Wednesday, May 02, 2012

The Red Warriors ke Final Piala FA 2012



Alhamdulillah pasukan TRW Kelantan berjaya melangkah ke Final Piala FA 2012. Semoga TRW dapat meningkatkatkan prestasi di Final nanti bertemu pasukan Sime Darby, sebuah pasukan club yang berbisa. Sime Darby bukan calang2 club kerana berjaya menyingkirkan pasukan pilihan T-Team. TRW mesti berwaspada selalu dan merangka strategi game yang bijak.

Petikan yang saya ambil dari
Kosmo Online menceritakan perihal game semifinal kedua malam tadi...


Kelantan melangkah bergaya selepas mencatat keputusan 2-2 dengan Kedah pada aksi di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam tadi sekali gus mara dengan kelebihan jaringan di tempat lawan.

Pada aksi pertama minggu lalu, kedua-dua pasukan turut mencatat keputusan seri 1-1.

Meskipun terikat dengan agregat 3-3 tetapi Kelantan mara dengan kelebihan jaringan di tempat lawan.
Kedah pernah beraksi di final Piala FA pada tahun 1996, 2007 dan 2008 dengan meraih gelaran sebagai juara, namun pada tahun 2010 mereka dihampakan Negeri Sembilan yang pada masa itu dibimbing Wan Jamak Wan Hassan.

Nasib ternyata tidak menyebelahi anak-anak buah pengendali yang berasal dari Johor itu berdasarkan perkiraan gol ditempat lawan menerusi agregat 3-3.


Kelebihan dua jaringan pada babak pertama menerusi jaringan penyerang licik, Mohd. Khyril Muhymeen Mohd. Zambri yang mampu memberi kelebihan kepada Kedah gagal dipertahankan sehingga wisel penamat.

Sebaliknya Kelantan bangkit menyamakan kedudukan menerusi pemain pertahanan, Obinna Nwaneri dan penyerang, Mahmoud Ghadar.

Kedua-dua pasukan yang mahu mencari jaringan awal sebagai gol semangat saling mengasak sebaik wisel dibunyikan pengadil perlawanan, M. Yusof Mat Karim.


Pasukan tuan rumah berpeluang mendahului menerusi Gerc pada minit ke-29, namun diselamatkan penjaga gol pelawat, Khairul Fahmi Che Mat.

Usaha skuad Kenari akhirnya berhasil menerusi sepakan percuma Ketua Pasukan, Baddrol Bakhtir yang dikuis cantik Mohd. Khyril Muhymeen pada minit ke-31.


Mohd. Khyril Muhymeen sekali lagi menceriakan lebih 30,000 penyokong skuad Hijau Kuning apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-42.

Pemain berjersi 18 itu menolak masuk hantaran Mohd. Fazliata Taib yang menerima hantaran Mohd. Khairul Helmi Johari daripada kawasan tengah padang untuk meletakkan pasukan tuan rumah selesa mendahului dua jaringan.

Skuad Kijang memulakan babak kedua dengan langkah kanan apabila berjaya merapatkan kedudukan menerusi pemain import, Obinna Nwaneri yang menanduk masuk bola hantaran sepakan sudut Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-47.

Mohd. Khyril Muhymeen yang berjaya melepasi pertahanan pasukan pelawat sekali lagi berpeluang melebarkan jaringan dua minit kemudian, namun sepakannya diselamatkan Khairul Fahmi.

Pasukan pelawat selepas itu menggandakan asakan dan akhirnya berjaya memperoleh gol penyamaan menerusi Mahmoud Ghadar pada minit-61.

******

Persoalan Hari Ini?

Bilakah pasukan TRW akan memakai seluar yang menutup aurat? Seluar yang dapat cover kepala lutut. Seluar sebegini memang banyak di pasaran masakini dan memang menjadi kegemaran anak muda.

Menutup aurat merupakan suatu kewajipan kita sebagaimana yang difardhukan yang sudah pun diketahui umum oleh semua umat Islam sama ada LELAKI mahu pun WANITA. Tuntutan menutup aurat itu sabit berdasarkan nas dan dalil-dalil daripada Al-Qur'an, Hadits dan kesepakatan para ulama (Ijma'). Aurat bagi lelaki ialah antara pusat hingga ke lutut, manakala aurat wanita ialah seluruh tubuh badan kecuali kedua-dua tapak tangan dan muka.

Aurat seorang lelaki Muslim ialah antara pusat dan lututnya. Saya yakin seluar sukan yang panjangnya melebihi paras bawah lutut itu sangat trendy dan bergaya, dan sedikit pun tidak akan menjejas prestasi tinggi pemain, insyaAllah.

Saya berdoa agar TRW mendapat hidayah daripada Allah SWT dan bakal menjadi penggerak kepada perubahan dan menjadi contoh terbaik untuk membawa evolusi baru dalam dunia sukan terutamanya sukan bolasepak di negara kita khasnya dan diserata dunia amnya. Amiiiin.

Setiap perjalanan yang jauh bermula dengan langkah tapak yang pertama. Kalau gagal menapak pada langkah pertama itu, jangan harap sebuah impian di hujung perjalanan jauh itu akan tercapai. Think about it !!

Jadilah the change agent to get Redha Allah in whatever little things you do in life.

@@@

Tuesday, May 01, 2012

PBAKL 2012 di PWTC

Saya sekeluarga ke Pesta Buku di PWTC pada pagi 28/4/12 bersamaan dengan BERSIH 3.0 pada tengaharinya. Jadi suasana agak tenang dengan pengunjung yang tidaklah sesak sangat. Saya di jadualkan berada di booth Galeri Ilmu mulai 10:00 pagi hingga 1:00 tgh itu. Namun saya sampai agak lewat dan hanya mula berada di booth Galeri Ilmu mulai pukul 11:30tgh. 

Tujuan saya di situ ialah memenuhi undangan pihak Galeri Ilmu yang meminta saya mempromosi buku RAMADAN TERAKHIR yang masih termasuk dalam kategori buku baru. Ini merupakan kali pertama saya berada di booth penerbit buku sebagai seorang penulis. Agak teruja juga. Beberapa pengunjung meminta tandatangan di buku yang dibelinya.

Saya di temubual oleh MC bertugas secara live-on-air perihal buku karya sulung saya itu. Saya juga di layan dengan baik oleh Tuan Hj Abu Hassan Morad iaitu Pengarah Urusan Galeri Ilmu Sdn Bhd. Di akhir sessi Tuan Hj Abu Hassan telah menghadiahkan saya satu bag berisi cenderahati mengandungi senaskah majalah Asuh Bil:163, majalah Anis Bil:161, sebuah buku karya Hilal Asyraf berjodol Kembara Hamba Mencari Cahaya, dan sebuah buku bertajuk Senyumlah Apa Pun Masalahmu Ia Pasti Akan Berlalu karya Syed Alwi Alatas. Alhamdulillah rezki yang tidak diduga. Terima kasih Tuan Hj kerana cenderahati ini.

Saya meninggalkan tugasan di booth Galeri Ilmu itu sekitar pukul 1:00tgh. Sebelum itu saya memilih dua buah buku keluaran Galeri Ilmu untuk dibeli. Sebagai salah seorang penulis buku Galeri Ilmu saya berhak mendapat diskaun 35%. Saya memilih buku terbaru karya Ust Hasrizal berjodol Di Hamparan Shamrock Ku Seru Nama Mu. Satu tajuk yang begitu catchy. Di tambah pula dengan cover yang begitu cantek dan terserlah keistimewaannya. Saya merupakan peminat setia karya2 Ust Hasrizal. Kesemua bukunya memang menjadi koleksi di mini library saya di rumah.

Saya juga membeli sebuah buku kisah benar karya penulis tersohor Galeri Ilmu iaitu Ummu Hani Abu Hassan. Buku ini menjadi bestseller untuk sekian lama. Jodol bukunya ialah Noorah, sebuah buku dalam kategori Travelog Tarbiah cetakan kedua 2011.

Selepas makan tengahari di KFC The Mall dan solat zohor, kami pun menyusuri jalan Raja Laut ke lokasi BERSIH 3.0 untuk duduk bantah. Pengalaman yang sungguh berharga. Menjadi sebahagian dari lakaran sejarah menuntut perubahan dalam penentuan barisan kepimpinan negara yang akan membentuk kerajaan berdaulat melalui PRU13 nanti. Ya benar, saya sekeluarga menjadi sebahagian dari sejarah itu bersama tidak kurang dari 300,000 rakyat marhain yang peduli.

@@@
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...