Tuesday, May 31, 2011

Anak Kera & Anak Lembu

"Tengok anak kera tu, perangai sebijik macam Kera," kata saya kepada anak saya semasa dalam perjalanan ke Kuala Kubu tempoh hari. Kera dan anak kera bergayut-gayutan di talian elektrik di tepi jalan. Mereka gembira hidup bebas tanpa gangguan. Malah apabila bermain di talian letrik itupun, Allah tidak kenakan kejutan letrik kepada mereka. Itulah kelebihan kera berbanding manusia.


Anak lembu pun sama. Perangainya sebijik macam lembu. Anak bapak la katakan. Pandang dan Fikir. Lembu ni kalau kita tenung-tenungkan, kerja dia makan je 24 jam sehari semalam. Asyik menguyah kerjanya. Sambil tidur pun boleh menguyah. Itulah kelebihan lembu dan anak lembu. Apa yang dikunyahnya saya pun musykil?


Apabila kita melihat kera dan anaknya, apakah yang dapat kita ambil iktibar dan pengajaran? Pertama kera sayang kat anaknya. Dia sanggup bergadai nyawa untuk melindungi anaknya. Kedua kasih sayang yang diberikan oleh kera kepada anak kera memang tidak berbelah bagi. Ketiga kera mengajar anaknya the art of survival, ilmu kemahiran hidup supaya anak kera dapat menempuh segala kerenah kehidupan yang mendatang. Dan akhir sekali tidak dinafikan kera bersyukur di atas segala nikmat yang Allah berikan padanya tanpa pernah merungut walau sesaat. Dia bersyukur dengan apa yang ada dan hidup bahagia bebas mencari kebahagiaan di bumi Allah ini. Hebat sungguh kera dan anak kera yang tidak berakal itu. Begitulah jua dengan lembu dan anak lembu. Bagaimana dengan manusia yang berakal ini?


Manusia dikotori dengan penyakit hati. Dengki mendengki dan irihati. Riak, sombong dan takabbur. Hati manusia tidak sesuci hati lembu dan hati kera. Apabila hati manusia kotor dengan segala tompok hitam itu maka payah untuk menzahirkan kemanisan akhlak, budi bicara dan keikhlasan. Ada saja onar dan duri yang menyucuk supaya sakit. Manusia yang sakit akan menyakiti juga segala yang ada di sekelilingnya atau yang ada dalam capaiannya. Maka hina kera kah atau manusia yang hina? Hina lembu kah atau lembu yang terlebih mulia berbanding manusia yang punya akal berjela itu?


Fikir-fikirkan dan renung2kan. Selamat beramal.


@@@

Wednesday, May 25, 2011

Berpada Pada Yang Ada

Ada seorang pemuda berazam untuk menjadi seorang jutawan pada usianya 40 tahun. Dia berniat sekiranya berjaya mencapai cita-citanya itu maka dia akan bersara, dan menyimpan duit satu jutanya itu ke dalam Bank Rakyat yang memberi dividen 15% setahun. Dengan pulangan berjumlah RM150,000 setahun itu sudah cukup untuk dia sekeluarga menikmati hidup yang selesa. Begitulah perancangannya dan beliau akan mengisi masa dengan menuntut ilmu dan mengembara.

Direzkikan Allah maka pemuda itu berjaya mencapai cita-citanya hasil dari keuntungan dalam perniagaan dan pelaburan saham. Tetapi apabila sudah mencapai tahap itu, sifat tidak cukup dalam diri terus memberi kekuatan padanya untuk mengejar kejayaan yang lebih. Lalu dia pun menanam azam untuk mengumpulkan duit berjumlah RM5 juta dalam masa 5 tahun yang seterusnya ini. Maka selepas 5 tahun dia berjaya mengumpul sejumlah RM4.5 juta. Dia tersenyum puas. Namun dalam hatinya berkata aku kekurangan RM500,000 lagi untuk mencapai RM5 juta itu. Hatinya resah. Ditakdirkan pula dia jatuh sakit dan terlantar di Hospital Ampang.

Dia agak menyesal kerana tidak menjaga kesihatannya dengan baik. Harapnya dia bermuhasabah diri dan mensyukuri segala nikmat dan rezki yang Allah kurniakan, namun sifat tidak cukup dan tidak berpada pada yang ada terus memburu hidupnya. Di atas katil hospital itu pun dia masih merancang strategi dan mencari jalan bagaimana untuk mendapatkan RM500 ribu tadi. Maka benarlah sifat manusia yang tidak cukup dengan apa yang ada.

Bilakah kita akan cukup? Jawabannya ialah apabila setiap rongga badan kita mula dipenuhi tanah dan pasir yang menandakan sudah tiada lagi udara Allah untuk disedut. Bila mana jantung sudah gagal berdenyut menyedut masuk oksigen dan menghembus keluar karbon dioksida. Maknanya ketika itu manusia itu mati, barulah cukup. Selagi itu belum cukup gamaknya?

Rasulullah SAW bersabda: “Sekiranya anak cucu Adam memiliki dua lembah emas nescaya dia tetap masih menginginkan lembah emas yang ketiga, dan sekali-kali tidak akan penuh mulut anak cucu Adam kecuali tanah,dan Allah menerima taubat bagi orang yang bertaubat”. (Hadis Riwayat: .Bukhari-Muslim)

Pada ceramah perdana siang tadi, Ustaz Yusri ada mengisahkan bahawa nikmat yang Allah kurniakan begitu banyak dan tidak terhitung. Contohnya air dan udara, dua komponen yang begitu utama untuk manusia dapat hidup. Katanya kita membayar bil air kepada Syabas yang memproses air yang percuma dari Allah tadi hingga CEO Syabas menjadi antara orang yang paling banyak gajinya yang dikabarkan berjumlah RM400,000 sebulan. Kita bayar bil air kepada Syabas. Tapi kenapa kita tidak membayar bil air kepada Allah?

Begitu juga dengan perkhidmatan telekomunikasi dari Maxis atau Celcom hinggakan kita bisa ber e-mail, ber-sms, dan berkomunikasi itu sebenarnya menggunakan perantaraan gelombang udara. Udara yang dibekalkan secara percuma kepada seluruh makhluk Allah. Tapi menjadi pulangan bisnes berbillion ringgit untuk Maxis dan Celcom. Kita membayar bil kepada Maxis atau Celcom. Maka jadilah Ananda Krishnan manusia terkaya. Kenapa kita tidak membayar bil udara kepada Allah?

Cuba rasa denyutan jantung kita. Agaknya berapa kalikah jantung kita berdenyut dalam masa sejam. Tidak kurang dari 1,000 kali sejam. Maknanya dalam sehari 24,000 kali jantung kita berdenyut. Jantung berdenyut menyedut dan menghembus keluar udara yang Allah bagi percuma tadi. Jika tiada udara tadi tiada bagaimana agaknya. Sudah tentu jantung tidak dapat berdenyut dan sekaligus ampunya diri juga akan mati tidak bernyawa lagi kerana sudah hilang nafas. Betapa penting dan bernilainya udara itu rupanya. Tapi kenapa kita tidak membayar bil udara yang kita sedut itu kepada Allah?

Kalaulah kita bayar sekadar satu sen untuk setiap denyutan jantung itu maka bil udara itu berjumlah RM240 sehari, maka sebulan kita kena bayar RM7,200. Amacam? Nak letak RM2 dalam tabung masjid pun kedekut, macamana?

Hati-hati yang mati tidak akan menilai nikmat-nikmat Allah yang banyak ini. Sesiapa yang tidak membaca Al-Qur'an maka hatinya mati. Sesiapa yang menjauhkan diri dari ibadah dan majlis-majlis ilmu maka hatinya mati. Marilah muhasabah. Hati aku ini mati atau berpenyakit?

Apabila setiap hari memikirkan jadi orang kaya untuk memiliki duit yang berlipat-lipat, kereta volvo berkilat-kilat, rumah bungalow yang bertingkat-tingkat, dan hendak kawin sampai empat, maka bilakah agaknya segalanya akan cukup? Bila?

Malanglah orang mengotori hatinya dengan sifat-sifat mazmumah, sifat hasad dengki, takabbur dan riak. Sifat dengki yang tidak senang melihat orang senang. Bersorak riang apabila orang lain ditimpa musibah. Malah berusaha untuk memusnahkan kebahagiaan orang. Itulah penyakit iblis dan sifat orang-orang yang kufar pada Allah.

Ada empat kategori orang kaya:


  1. Kaya iman & kaya harta

  2. Kaya iman & miskin harta

  3. Miskin iman & kaya harta

  4. Miskin iman & miskin harta.

Muhasabah diri dan tanyalah di kategori manakah aku? Semoga kita miliki sifat qana'ah iaitu berpada pada yang ada, sifat yang cukup. Bersyukur aku ada rumah, sedangkan ada orang yang tidurnya di bawah jambatan. Syukur aku ada kereta wira sedangkan ada orang cuma ada kapcai. Sifat qana'ah.


Kaya yang sekaya-kayanya dan cemerlang yang secemerlangnya seseorang itu ialah yang berjaya bebas dari bakaran api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga Allah. Itulah kemuncak pencapaian. Mati itu sudah cukup sebagai pengajaran. Ambillah iktibar darinya.

@@@

Tuesday, May 24, 2011

Bila Resah Segera Zikrullah

Badan berisi, sesetengahnya sudah ala-ala obesiti, kerana apa? Kerana makan cukup. Malah berlebih. Alhamdulillah dengan rezki yang Allah kurniakan ini memberi kemampuan kepada diri kita untuk menyediakan makanan dan minuman yang diingini. Setengahnya menambah baik lagi dengan makanan tambahan (supplement) dan pelbagai vitamin dan mineral demi kesihatan diri. Dilengkapkan lagi dengan senaman 3 kali seminggu, 30 min setiap sessi. Erobik, jogging atau angkat besi. Alhamdulillah sihat walafiat badan kita.

Namun ada ramai pula yang terlebih makan dan minum dan ditimpa pula pelbagai penyakit. Ada yang ditimpa penyakit kronik dan ada juga di timpa penyakit2 sampingan yang tidak kronik. Kalau usia sudah meningkat ke era 40an penyakit yang popular termasuklah kencing manis, darah tinggi, kolestral tinggi, lemak tinggi, urik asid tinggi, lenguh2 badan, longgar2 sendi dan yang sewaktu dengannya akan menjadi fenomena biasa. Rupanya makanan dan minuman itu juga boleh bertindak sebagai racun yang membinasakan. Nasihat doktor biasanya ialah jaga pemakanan anda dan bersenam secara konsisten. Bab bersenam secara regular ni, ramai yang malas malah tak buat langsung.

Itu kita cerita persoalan fizikal seseorang manusia. Kesihatan jasmani. Ketrampilan luaran kita. Kuruskah kita? Gemukkah kita? Menarik tak menarikkah kita? Cantek ke hensom ke?

Ramai suami yang merungut dalam senyap ketrampilan isteri yang agak gemuk atau orang puteh kata 'out of shape' kalau dibanding dengan ketrampilan pada zaman syok mengurat atau berkasih dulu. Kalau dulu bentuk badan macam gitar 34 24 36 kini bentuknya mungkin sudah jadi 36 40 42. Begitulah juga suami yang sudah tidak menjaga ketrampilan yang dulunya begitu segak dan bergaya ala-ala Tom Cruise kini sudah nampak macam Wak Segan dalam filem tarzan, berbaju singlet dan berkain pelikat ke hulu dan ke hilir.

Ustaz Zahidi dalam kuliah 'Penawar Bagi Hati' tempoh hari ada berpesan kepada para jamaah iaitu para suami dan juga isteri supaya sama-sama menjaga ketrampilan kita agar tampak menarik sentiasa bagi melayari bahtera rumahtangga tidak kira berapa usia kita. Biar isteri cantek dan berhias kepada suami tercinta, begitu juga suami biar nampak kemas dan segak buat mendampingi isteri tersayang, dan sentiasa berbau wangi. Dengan itu rumahtangga akan sentiasa indah dan bahagia. Itu persoalan fisikal dan luaran manusia.

Ketrampilan fisikal yang baik tidak pula menjamin jiwa yang tenang. Acap kali hati sentiasa resah dan gundah gulana. Kenapa? Ramai yang ada segala-galanya tapi masih hidup purak puranda, bercerai berai, atau sampai membunuh diri. Kenapa?

Bila resah segera zikrullah, itulah penawarnya. Sentiasa berdamping dengan Allah. Banyak zikrullah yang boleh kita amalkan. Pilihlah mana yang ingat dan selesa. Antara yang popular ialah, Astagh firullah hal azim....wal hayyum qayyum muwa atu bu ilaih. Ia membawa maksud "Aku mohon ampun kepada Allah yang Maha Agung. Yang tiada tuhan melainkan Dia. Yang hidup lagi sentiasa berkuasa. Aku taubat kepada-Nya."


Bila resah segera zikrullah, "Ya Fatah, Ya Alim, Ya Hakim." Semasa bersendirian tanpa arah tujuan segera zikrullah. Bila kesunyian tiada berteman segera zikrullah. Bila rasa kekosongan segeralah zikrullah. Banyak zikrullah yang boleh kita amalkan. Di kedai2 buku ada banyak dijual buku2 kecil dengan RM2 atau RM3 mengandungi zikrullah dan amalan harian buat panduan.


Rupa-rupanya diri kita ini bukan hanya bahagian fizikal semata-mata. Tetapi ada pasangannya iaitu mental, sebab itu selalu diungkap fizikal dan mental. Ada jasmani dan ruhani, ada jasad dan ruh.

Sedar tak sedar kita hanya tumpukan makan dan minum yang cukup buat jasad. Bangun pagi kita sarapan pagi nasi lemak atau roti canai dengan teh tarik kurang manis, lepas tu kita break pukul 10, pekena karipap dua bijik dengan nescafe tarik. Kemudian tengahari nanti makan nasi dengan pelbagai lauk. Petang dengan minum petangnya, dan malam dengan makan malamnya. Kadang tu di akhiri pula dengan supper nya. Cukup makan jasad kita. Malah berlebih pula. Tapi ruh kita bagaimana? Ruhani kita, mental kita, sudah di beri makan dan minum?

Acap kali kita lupa untuk memberi makanan dan minuman yang diperlukan untuk ruhani kita. Akibatnya ruhani kita kurus kering, tak sihat, malah ditimpa pelbagai penyakit kronik. Antara penyakitnya ialah resah dan gelisah. Antara penyakitnya ialah tak lena tidur atau hati yang sakit. Apa penawarnya? Penawarnya ialah sebagaimana jasad atau fizikal kita memerlukan makanan dan minuman yang cukup dan berkhasiat untuk cergas maka begitulah juga ruhani atau ruh kita itu memerlukan makanan, minuman, vitamin dan sebagainya yang cukup supaya sihat walafiat.


Antara makanan, minuman dan supplement yang sangat baik untuk mental dan ruhani ini ialah zikrullah, sentiasa mengingati Allah, sentiasa menzahirkan ucapan dan bait2 zikir di bibir yang memuji dan mengharap kepada Allah. Yang hati kita sentiasa mengingati Allah, Pencipta segala makhluk di dunia dan langit dan antara keduanya.

Azan yang berkumandang dari corong2 pembesar suara di surau dan masjid 5 kali sehari semalam itu juga adalah zikrullah yang menyeru manusia untuk ke rumah Allah, untuk menghadap Allah yang Esa, untuk mendirikan solat dan tunduk kepada segala perintah-Nya dan meninggalakan segala larangan-Nya, menuju kejayaan bukan sekadar di dunia malah yang penting sekali ialah kejayaan di akhirat.

Bila resah segera zikrullah. Bila memandu kereta ke tempat kerja, penuhi ruang dengan zikrullah. Bila memandu untuk pulang ke rumah dan terperangkap dalam kesesakan, jangan buang masa begitu sahaja atau sekadar sibuk untuk mendengar hiburan dunia di pelbagai siaran radio FM, tetapi sibukkanlah dengan zikrullah. InsyaAllah kesesakan di jalanan itu akan tetap menenangkan jiwa yang resah.

Tika menjadi penumpang di atas bas, komuter atau LRT, gantikanlah sebutan dibibir dengan zikrullah. Cukuplah sudah mendengar lagu2 yang tak berfaedah di MP4 itu. Bila resah segera zikrullah, bila lapang segera zikrullah dan setiap kali ada ruang segera zikrullah. Untuk telinga sendiri mendengarnya. Untuk hati sendiri menghayatinya, bukan untuk manusia lain. Justru bisikkan zikrullah ini dengan nada yang berbisik untuk didengari oleh hati2 dan telinga2 yang hidup. Rapatkan hati ini dengan Allah SWT.

Bak kata Eddy pengacara siri 'The Deen Show', "I'm not afraid to be alone if Allah on my side." InsyaAllah apabila kita sentiasa mengingati Allah dan zikrullah sentiasa melekat di bibir dan terpahat di hati, maka Allah SWT akan sentiasa bersama kita.

Bila resah segera Zikrullah !!

@@@

Saturday, May 21, 2011

Tak Kenal Maka Tak Cinta

Kenapa kita takut harimau? Kerana kita kenal sifat2 harimau yang garang, pemangsa, dan ganas. Kalau kita tak kenal harimau maka kita rasanya tak takut. Dalam kepala kita sudah jelas gambaran harimau itu dengan kuku tajam, taring panjang dan kulit berbelang. Kalau kita berada di pinggir hutan dan ternampak bekas tapak kaki harimau sahaja pun maka akan terdetik rasa gerun di jiwa. Mungkin kita akan meninggalkan tempat itu dengan kadar segera. Apatah lagi bila mendengar harimau mengaum. Tak kenal maka tak takut, samalah juga tak kenal maka tak cinta.

Awal agama adalah mengenal Allah. Sifat-sifat Allah yang wajib diketahui oleh orang Islam yang terkandung di dalam al-Quran berjumlah 20 sifat. Termasuk juga sifat-sifat Mustahil yang wajib diketahui.


  1. Wujud ertinya : Ada , dan mustahil bagiNya bersifat tiada



  2. Qidam ertinya : dahulu atau sedia . Mustahil bagiNya bersifat ‘ baharu



  3. Baqa’ ertinya : kekal . Mustahil bagiNya bersifat “ Fana” atau “sementara”



  4. Muhkalafafuhi Li’l Hawaditsi , ertinya :Berlainan Ia dengan segala yang baharu. Dan mustahil bagiNya bersifat “sama dengan segala yang baharu”.



  5. Qiyamuhu Bi Nafsihi , ertinya :Berdiri Ia dengan sendirinya. Dan mustahil bagi Allah “ berdiri dengan lainNya”



  6. Wahdaniyah , ertinya :Maha Esa . Dan mustahil bagi Allah bersifat “ berbilang”.



  7. Qudrat , ertinya :Maha Kuasa . Dan mustahil baginya bersifat “ lemah”



  8. Iradat , ertinya : Maha menentukan . Dan mustahil bagiNya bersifat “ terpaksa “.



  9. Ilmu,ertinya :Maha mengetahui . Dan mustahil bagi Allah bersifat “ jahil” atau “ bodoh”.



  10. Hayat , ertinya :Maha Hidup. Dan mustahil bagi Allah bersifat “ mati”.



  11. Sama’ , ertinya : Maha mendengar . Dan mustahil bagiNya bersifat “ pekak”.



  12. Bashar , ertinya :Maha melihat . Dan mustahil bagiNya bersifat “ buta”.



  13. Kalam , ertinya :Maha Berkata-kata . Dan mustahil bagiNYa bersifat “ Bisu “.



  14. Kaunuhu Qadirun ertinya : Keadaan Allah yang Maha Berkuasa . Dan mustahil baginya berkeadaan “ lemah”



  15. Kaunuhu Muridun , ertinya : Keadaan Allah Yang Maha Menentukan . Dan mustahil bagiNya berkeadaan “ terpaksa “.



  16. Kaunuhu ‘alimun , ertinya : keadaan Allah Yang Maha Mengetahui . Dan mustahil bagi Allah berkeadaan “ bodoh”.



  17. Kaunuhu Hayyun , ertinya : Keadaan Allah yang Maha Hidup. Dan mustahil bagiNya berkeadaan “ Mati”.



  18. Kaunuhu sami’un , ertinya : Keadaan Allah Yang Maha Melihat . Dan mustahil bagiNya berkeadaan “buta”



  19. Kaunuhu Bashirun , ertinya : Keadaan Allah Yang Maha Melihat . Dan mustahil bagi Allah berkeadaan “ buta “.



  20. Kaunuhu Mutakalimun , ertinya: Keadaan Allah yang Maha Berkata-kata. Dan mustahil bagiNya berkeadaan “ Bisu”.

Semasa hendak menjemur kain basuhan di ampaian tadi saya bertanya anak saya, "Kenapa Papa suka jemur kain?" apabila anak saya itu liat untuk menjemur kain walupun sudah di suruh beberapa kali kerana masih sayang meninggalkan diri dari pembaringan atas sofa empuk di ruang tamu kerana khusyuk membaca novel Gelora Jiwa karya Aisya Sofea. Anak saya tersengih-sengih macam kambing orang asli dan tak gheti nak jawab apa. Saya pun menjawab soalan saya sendiri, "Sebab nak suruh kain tu kering." Saya pun bagi nasi tambah, "Sebab kalau kita tak jemur, maka kain basuhan yang kita keluarkan dari mesin basuh tak mau kering sendiri."

Kembali kepada tajuk posting ini iaitu Tak Kenal Maka Tak Cinta, dalam pengajian tauhid atau usuluddin, tok guru sentiasa mengingati agar kita punyai keyakinan yang kukuh, jawaban yang jitu pada setiap soalan berkaitan aqidah. Tidak mau jawaban yang goncang. Apatah lagi was-was dan ragu-ragu. Aqidah yang jitu menunjukkan keyakian yang padu pada Allah yang satu.

Sejauh mana kita mengenal Allah? Kalau kita mengenal Allah, maka tidak timbul lagi tabiat melengah-lengahkan solat, malas untuk menutup aurat, atau tak ambil kisah bila azan dilaungkan. Atau mempersendakan hukum-hakam Allah. Apabila disebut sahaja nama Allah, maka rasa gerun dan gementar dalam jiwa, rasa rindu dan cinta. Kita yakin berbuat sesuatu kerana perintah Allah. Kita nekad meninggalkan sesuatu kerana larangan Allah. Kita Taqwa. Barulah kita kata Aku Kenal Aku Cinta, kerana Tak Kenal Maka Tak Cinta.

@@@

Wednesday, May 18, 2011

Jasa Guru

Selamat Hari Guru buat seluruh warga guru yang menyemai bakti mendidik anak didik sehingga menjadi orang yang terdidik. Pendidikan itu berterusan sepanjang masa hinggalah ajal menjemput. Para pendidik penuh berjasa dalam kehidupan kita semua. Para pendidik yang mendidik anak didik mereka penuh ikhlas kerana Allah untuk melihat anak didik menjadi manusia alim yang faham ilmu dan baik akhlak, maka ganjaran pahala dari Allah pada setiap ilmu bermanafaat yang dicurahkan tanpa jemu itu.

Tidak dinafikan ramai juga guru yang mengajar sekadar untuk makan gaji. Namun profession guru ini adalah sesuatu yang amat mulia. Malah sekiranya ilmu yang diajar itu merupakan ilmu yang bermanafaat dan di amalkan oleh anak murid maka pahalanya akan berterusan walaupun guru itu sudah meninggal dunia dan berada di alam barzakh. Hebat bukan?

Hari Guru disambut pada 16 Mei setiap tahun sebagai penghargaan kita semua kepada para guru. Enam objektif Hari Guru yang digariskan dalam laman web rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia:





  1. Menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.


  2. Menarik perhatian ibubapa, murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru dalam masyarakat Malaysia.


  3. Memupuk perasaan perpaduan ikhtisas dan muhibah di antara guru.


  4. Meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat.


  5. Memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru melalui seminar-seminar, persidangan-persidangan, dan sebagainya yang diadakan pada Hari Guru.


  6. Menilai secara objektif peranan guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia dan mengambil langkah-langkah supaya peranan itu lebih berkesan.



Setiap kita punyai guru-guru yang pernah mendidik kita bermula di zaman sekolah tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, dan universiti. Kemudian di alam pekerjaan pula kita di dedahkan dengan pelbagai kursus dan latihan yang juga di kendalikan oleh para pendidik ataupun pakar dalam bidang mereka untuk menyampaikan ilmu. Di surau dan masjid pula para guru atau daei' menyampaikan ilmu dalam sessi kuliah maghrib, kuliah subuh, tazkirah jumaat, tazkirah ramadhan, kursus2 dan worksyop.




Ibu-bapa juga adalah guru terawal kita yang mengajar erti kehidupan semenjak kita bayi lagi. Bagi saya, ayah saya walaupun tidak kaya dari segi harta benda tapi kaya dari segi ilmu apabila menitik beratkan perihal ilmu semenjak saya kecil lagi. Dia sanggup memberikan perhatian khusus kepada saya dalam bidang akademik dan mendisiplnkan saya untuk berjaya terutamanya pada peringkat sekolah rendah hingga saya terpilih untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh. Namun jasanya yang paling hebat ialah mengajar saya mengaji Al-Qur'an. Berkat jasanya itu saya mampu membaca Al-Qur'an dengan baik, Alhamdulillah.




Kadang-kadang kita lupa jasa-jasa guru kita. Hinggakan kita juga sudah lama lupa nama guru-guru yang pernah mendidik kita. Mungkin ada nama beberapa orang guru sahaja yang masih melekat dalam memori kita pada hari ini. Jarang rasanya kita menyimpan senarai lengkap nama guru-guru yang pernah mendidik kita di zaman persekolahan dulu sehinggalah ke peringkat universiti atau kolej.




Antara yang masih melekat dalam kepala saya ialah Cikgu Abdullah (panggilan popular nya Cikgu Loh) yang mengajar ketika saya berada di darjah 4 atau 5 di sekolah rendah 37 tahun yang lalu. Dia mengajar subjek Bahasa Malaysia. Apa yang menarik ialah dia suka bercerita tentang pelbagai kisah termasuklah hikayat2 lama, cerita dongeng, dan kisah-kisah lucu. Gaya penyampaiannya memang hidup dan menggamit perhatian para pelajarnya. Apatah lagi di zaman itu sumber hiburan sangat terhad. Malah set-set TV pun masih jarang kewujudannya di kampung. Hari ni Cikgu Loh bercerita cerita orang minyak, esok dia bercerita pasal Singapura dilanggar todak, minggu depan dia bercerita pasal Hang Tuah, cerita pontianak, batu belah batu bertangkup, ish ish memang hebat. Pendek kata kami semua memang menanti slot Cikgu Loh. Kelas Cikgu Loh tidak boring. Di mana Cikgu Loh? Entahkan hidup entahkan mati. Terima kasih Cikgu Loh dari saya. Saya doakan Cikgu Loh berbahagia walau di mana berada.




Juga di sekolah rendah saya masih ingat kepada Cikgu Ainodin. Dia berasal dari Perak dan pandai bermain bola dan hoki. Tak silap saya dia mengajar matematik dan pendidikan jasmani. Masa tu dia masih bujang dan hidup pula di perantauan maka banyak masanya di curahkan kepada para pelajarnya. Antara yang mendapat perhatiannya ialah saya. Selepas saya tinggal di asrama di peringkat sekolah menengah, dia masih bertanyakan khabar saya dari emak dan ayah saya setiap kali berjumpa mereka. Bagi saya dia adalah contoh guru yang sangat dedikasi dengan tugasannya sebagai penddik dan sanggup keluar dari batasan tugas demi membantu pelajarnya terutamanya yang datang dari keluarga kurang berada termasuklah saya. Terima kasih Cikgu Ainodin atas segala jasamu yang tidak ternilai harganya bagiku.




Di sekolah menengah saya masih mengingati Ms Chan yang mengajar Kimia, Cikgu Faridah dan Ahmad Ibrahim yang mengajar BM, Pak Widoyo yang mengajar Biologi, Cikgu Bahar mengajar PJ, Cikgu Hamdi mengajar Geografi, Cikgu Sabar mengajar Seni Perusahaan, Cikgu Mat Soyong mengajar Matematik, siapa lagi ya? Hanya itu yang masih kekal diingatan. Terima kasih semua.




Semasa di Universiti, ish ish ...seorang pun saya tak ingat nama mereka? Apa sudah jadi, apakah belajar sekadar untuk lulus periksa?




Kini para guru saya adalah Ustaz2 yang mengajar di slot kuliah2 maghrib di Masjid As-Salam, Surau Al-Faaizeen, dan syarikat tempat saya bekerja. Antaranya Ustaz Ayub, Ustaz Zahidi, Ustaz Wan Samsuddin, Ustaz Abu Bakar, Ustaz Halim, Ustaz Azhar, Ustaz Shahrom, Ustaz Hakam, dan Ustaz Nazri. Di Radio dan video yang menjadi guru kegemaran saya ialah Ustaz Samsuri, TGNA, Ustaz Kazim Elias, dan Ustaz Zahazan. Tokoh luar negara pula ialah Zakir Naik, Nouman Khan, Rahim Green dan Ahmad Deedat.


Guru-guru di sekolah kini mungkin melalui cabaran yang berbeza jika dibandingkan dengan zaman saya 20 atau 30 tahun yang lalu. Pelbagai masalah sosial dan penyakit masyarakat telah berleluasa. Malah kemudahan internet, hiburan elektronik, dan media sosial mempunyai pengaruh yang besar dalam kehidupan remaja dan para pelajar. Maka method penyampaian dan isi ilmu itu mestilah dapat di hubung kaitkan dengan suasana hari ini agar ia tetap menjadi relevan dan mudah di terima. Janganlah sekadar mengajar teori atau fakta sejarah semata. Cubalah ajar erti kehidupan, tujuan hidup, kemahiran hidup, skil 'street smart' dan pertahanan diri. Dan yang paling penting ilmu agama yang menekankan akidah yang jitu, akhlak yang terbaik, dan jatidiri yang mantap.

Galakkan budaya membaca dan mencintai ilmu. Ilmu Allah ini luas. Jangan limitkan pencarian ilmu. Galakkan projek2 kretif, banyakkan ekspresi diri, banyakkan latihan 'presentation skill' dalam kelas, bercerita dan 'public speaking'. Ingatlah seseorang yang bijak namun gagal menyampaikan ilmunya dengan baik kerana skil komunikasi yang lemah maka dikhuatiri menyebabkan dia dianggap lemah bila berdepan dengan orang. Bijak sekadar di kertas peperikasaan tetapi mempunyai hujah dan pegangan yang longgar apabila berdepan dengan masyarakat. Sekali lagi - Selamat Hari Guru !!

@@@

Saturday, May 14, 2011

Apa Impian Anda?


"Apa impian anda?", tanya saya. "Saya nak rumah bungalow", jawabnya. "Berapa harganya?", tanya saya. "Lingkungan RM4,000,000", jawabnya. "Jadi apa usaha dan perancangan anda?", tanya saya. "Saya akan berkerja keras dan berniaga mengumpul wang mulai dari sekarang", jawabnya.

Apa pula impian anda? Apa matlamat hidup ini sebenarnya? Tidak dijadikan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadah kepada-Ku. Rasanya kita pernah dengar ungkapan itu tapi dimana ya? Dipendekkan cerita memang benarlah segala apa yang kita lakukan di muka dunia yang fana ini sebenarnya beruntung kalau ia terkategori sebagai ibadah kepada Allah, 24 jam sehari semalam. Kerja kerana Allah, makan minum kerana Allah, bergaul kerana Allah, mendidik anak-anak kerana Allah, bersilaturahim kerana Allah, berdakwah kerana Allah.

Sifat hamba ialah patuh pada perintah tuannya. Kalau kita ini hamba Allah, maka kenalah kita patuh pada perintah Allah, supaya kita mendapat redha Allah. Agar dengan redhanya Allah itu maka melayakkan kita mendapat nikmat Syurga Allah di alam akhirat yang kekal abadi itu.

Yang peliknya kita ini ialah menjadi hamba kepada wang ringgit dan harta benda, hamba kepada boss dan kerja, sehingga lupa yang mana halal yang mana haram, yang mana wajib yang mana harus. Kita juga lupa bahawa hidup di dunia ini sementara sahaja dan segala yang kita miliki akan ditinggalkan. Kadang tu mesyuarat berlanjutan melepasi waktu solat maghrib, tapi masing2 diam membisu tak berani nak bersuara, "Boss, kita break untuk solat maghrib dulu." Prioriti kita dunia nampaknya. Kita buta kepada akhirat.

Berbalik kepada impian untuk memiliki sebuah bungalow idaman tadi. Bukan senang nak dapat benda istimewa itu. Ia perlukan usaha dan wang ringgit yang banyak. Jika tidak, setakat dok rumah teres atau apartment sahaja lah. Maka kita semua akui bahawa bukan senang nak jadi senang dan mewah begitu. Mungkin dari beribu-ribu orang, dua tiga orang sahaja yang mampu dan berjaya memilikinya bungalow RM4,000,000 tersebut.

Rasulullah pernah bersabda kepada para sahabatnya, kalau kamu meminta syurga maka mintalah Syurga Firdaus. Syurga Firdaus adalah syurga tertinggi yang ada di akhirat. Artinya untuk urusan akhirat kita jadikan cita-cita kita setinggi-tingginya.

Ada beberapa nama syurga yang disebutkan dalam Al-Qur'an, antara lain Firdaus, Aden, Na’iim, Ma’wa, dan Darussalaam. Masing-masing memiliki kriteria penghuninya.

Dalam doa selepas solat kita mohon, "Ya Allah, layakkanlah aku memasuki Syurga Firdaus." Maka kenalah ada master plan untuk mencapai impian terhebat ini. Sesuatu yang istimewa dan mewah begini sudah tentu mahal harganya. Bukan orang sembarangan yang boleh mendapatkannya.

Perjalanan yang jauh bermula dengan langkah pertama. Impian yang hebat bermula dengan usaha yang mantap. Nawaitu kerana Allah. Mulai hari ini apa kata kita patuhi lah segala perintah Allah dan tinggalkan segala larangan-Nya. Apabila kita bangun bersolat malam kita tanya, "Ini membawa dosa atau pahala?" Apabila hendak melakukan sesuatu kita tanya, ini mengundang redha Allah atau kemurkaan-Nya? Itulah masterplan kita....yes. Just Do It !!

@@@

Saturday, May 07, 2011

Tafaqquh Fiddin Sheikh Nuruddin


"Jom, beryani kambing", sapa saya kepada Rosli yang sedang menuju ke tempat wudhuk di surau syarikat. "Wow apahal?" respon darinya.

"Hari ni kan hari Jumaat, penghulu segala hari, hari yang istimewa," mencelah Nazri selamba. "Ya betul tu, hari yang istimewa, jadi kenalah kita meraikannya", nasi tambah dari saya pula. Rosli tersenyum kambing tanda setuju. Saya dan Nazri meneruskan langkah ke kereta Nazri untuk ke Masjid Muadz Bin Jabal bagi solat Jumaat merangkap makan tengahari nasi beryani kambing di gerai depan pagar masjid.

Sekembali dari solat itu, saya singgah untuk minum di kantin. Sekali lagi terserempak dengan Rosli. Beliau ialah pegawai di bahagian legal syarikat. Dulunya bekerja di syarikat guaman. Orangnya mudah tersenyum dan cepat mesra walaupun dengan orang yang baru dikenalinya. Perwatakannya zuhud dan sangat sederhana. Ahli surau syarikat yang setia setiap solat zohor dan asar berjemaah. "Jom minum", sapa saya sambil mengambil beberapa biji kueh. Rosli yang telan memesan teh ais dari makcik kantin pula membalas, "Eh makan lagi?"

"Makan je selagi mana Allah memberi kita nikmat makan ni", kata saya. Rosli tersenyum kambing hingga menyerlahkan janggutnya yang memang ala-ala janggut kambing tu. Teh ais yang dipesannya sudah berada di tangan dan dia bertanya saya, "Nak duduk kat luar ke dalam?" Saya menjawab, "Kat dalam la, selagi Allah bagi nikmat aircond ni, kita nikmati je lah." Rosli senyum kambing lagi. Suasana dalam kantin yang dipanggil Kak Midah Cafe itu memang dilengkapi dengan kemudahan hawa dingin, berbanding dengan tempat yg di sebelah luar sana yang di lengkapi kipas syiling yg sentiasa menjadi pot untuk para perokok tegar.

Kami memilih meja yang terletak di bahagian tengah. Saya mengeluarkan sekeping risalah kecil yang di ambil dari Masjid Muadz Bin Jabal tadi dan bertanya kepada Rosli, "Hang kenal tak Ustaz ni?" Poster kecil yang difotostat itu ialah perihal sebuah wacana ilmu bersama ulamak masyhur nusantara Al Fadhil Sheikh Nuruddin Marbu Al Banjarin Al Makiki 6 Mei 2011 Jumaat lepas solat maghrib di Masjid Muadz Bin Jabal. Air muka Rosli terus berubah. Ada nur kasih bercahaya di matanya. Dia menjadi bersemangat. Katanya, "Ya aku mengenali tokoh ulamak hebat ini."

"Dia selalu mengajar kitab di Masjid USJ Taipan", katanya. "Aku adalah salah seorang anak muridnya." Rosli memberitahu bahawa Syeikh Nuruddin adalah ahli ilmu dan pakar hadis yang tersohor. Berasal dari Banjar Masin Indonesia dari keluarga Ulamak besar. Menuntut ilmu di Mekah selama 8 tahun dan di Mesir selama 7 tahun dengan memperoleh BA Kuliah Syariah dan Diploma am "Dirasyat Ulya". Semasa di Mesir beliau telah mengadakan halaqah pengajian ilmu yang diberi nama "Tafaqquh Fi al-Din" untuk pelajar Nusantara. Pengajian ini telah berjalan mencecah 20 tahun sehingga beliau digelar sebagai "Al-Azhar al-Thani". Pada tahun 2004 beliau menubuhkan pondok yang diberi nama Ma'ahad Az-Zain Al-Makki Al-A'li Littafaqquh Fiddein, Bogor Jawa Barat. Dan kini dalam rangka menubuhkan sebuah lagi pondok di Bukit Pinang, Kedah yang diberi nama Ma'ahad Nuruddin Li Tarbiah Wa I'dad al-Ulama' Wa al-Du'ah. Syeikh Nuruddin juga telah mengarang dan mentahqiq lebih dari 50 buah kitab. Hebat tokoh ini.

Saya agak terkedu sekaligus bersyukur kerana Syeikh Nuruddin akan berkunjung ke Masjid di khariah saya pada hari minggu ini dalam majlis Qiamullail Perdana dan Majlis Tafaqquh Fiddin.

***

Alhamdulillah saya dan isteri telah menyertai Qiamullail pada pagi tadi bermula 4 pagi dengan ibadah solat sunat tahajjud berjamaah 8 rakaat dan solat sunat taubah berjamaah 2 rakaat, disudahi dengan solat sunat witir. Solat ini bimbingan imam jemputan dari rombongan Sheikh Nuruddin. Ruang solat masjid dipenuhi oleh para jemaah dari jauh dan dekat yang pada congakan saya sekitar 600 orang. Sungguh shahdu melihat saf yang memenuhi ruang masjid umpama solat Jumaat pula, tapi pada kesamaran cahaya lampu yang dipasang terhad. Bertahajjud bersujud di hadapan Allah, berzikir, dan berdoa memohon keredhaan dan keampunan-Nya.

Azan subuh dilaungkan oleh Muazzin tepat jam 5:43 pagi. Selesai solat subuh berjamaah, Nazir masjid Ustaz Abu Bakar Yan pun memulakan majlis dengan mengalu-alukan kehadiran para jamaah sekelian dan mengingatkan agar semua menghormati adab2 dalam majlis ilmu bersama Syeikh Nuruddin yang memang terkenal sebagai seorang guru yang begitu mengambil kira tentang adab tertib dalam setiap majlis ilmunya.

Syeikh Nuruddin menyentuh persoalan kepentingan bermazhab dengan umpama seorang yang ingin menuju satu destinasi contohnya untuk ke Kelantan dari KL tetapi tidak begitu tahu selok belok jalannya atau tiada kereta sendiri, maka elok benar ia menaiki bas ekspres kerana di sana dia tidak perlu risau pasal selok belok jalannya atau masalah tiada keretanya, malah dia boleh duduk dengan selesa di seat yang tersedia malah dapat tidur dengan lena. Dia sebenarnya bertaklik kepada pemandu bas itu untuk membawanya ke destinasi yang dituju. Maka begitulah kita ini bertaklik dengan Imam Shafie sebagai pemandu yang akan membawa kita ke destinasi yang dituju.

Satu analogi lagi ialah kita teringin untuk makan nasi kerabu. Maka kita bertaklik dengan Makcik pembuat nasi kerabu kerana kepakaranya yang memang terbukti. Maka hasilnya kita dapat menikmati nasi kerabu yang kita idamkan tadi. Tapi kita tidak boleh campur adukkan kepakaran tukang2 pembuat nasi dagang, nasi lemak, atau nasi padang jika tujuan kita untuk menikmati nasi kerabu, kerana ia akan jadi caca merba pula. Maknanya dalam bermazhab pula tidak boleh untuk kita mencampur adukkan sesuatu fatwa itu mengikut mazhab yang berbeza-beza. Kita pengikut mazhab Shafie bertaklik dengan Imam Shafie mengikut segala kefahamannya yang berpandukan Al-Qur'an, Hadith dan ijmak ulamak.

Ibarat orang yang menolak fahaman bermazhab pula ialah umpama seseorang yang hendak makan nasi beryani kambing contohnya. Di depannya tersedia beras, tomato, bawang, daging kambing, santan, rempah-ratus, maka silakan untuk memasaknya menjadi nasi beryani kambing. Payah bukan atau mungkin agak mustahil pada si jahil. Alangkan mudahnya jika kita beli saja kat gerai depan pagar masjid Muadz Bin Jabal pada setiap tengahari Jumaat untuk satu hidangan nasi beryani yang kita idamkan itu? Tidak dinafikan segala persoalan dan panduan sudah terangkum dalam Al-Qur'an, namun di sana kita masih memerlukan hadith dan ijmak ulamak untuk menfsirkan secara yang jelas untuk mudah di ikuti. Justru dituntut sangat2 untuk kita menuntut ilmu, mencintai majlis2 ilmu, menadah kitab dan ajaran ulamak2 muktabar.

Pada persoalan perpaduan ummah pula, Syeikh Nuruddin menyeru para tok2 guru dan alim ulamak supaya memainkan peranan untuk menyatukan umat Islam di negara ini dengan mencari titik2 persamaan dan bukannya menumpukan kepada perkara2 perbezaan yang sebenarnya tidak banyak pun. Kita ini umat Islam yang mengucap dua kalimah syahadah yang sama, bersolat mengadap kiblat yang sama, berpuasa, berzakat dan berkunjung ke tanah haram untuk ibadah haji. Ideologi dan aqidah yang sama. Perbezaan adalah lebih kepada perkara cabang, maka di sana formula untuk bersatu padu mengukuhkan saf Islam mestilah diutamakan untuk menghadapai musuh2 Islam.

Majlis Tafaqquh Fiddin bersama Sheikh Nuruddin Marbu Al Banjari Al Makki berakhir pada sekitar pukul 8:30 pagi. Pihak masjid menyediakan hidangan nasi dan gulai kawah untuk semua jamaah yang hadir. Alhamdulillah.

@@@

ISU PENDIDIKAN

Saya terbaca sebuah posting yg sangat baik yg berupa luahan rasa seorg guru yg dedikasi perihal sistem pendidikan di sekolah yg sudah acap k...